Kalam Perantau

Icon

PRK Hulu Selangor : Rakyat perlu bertindak bijak memilih antara dua wakil kerajaan

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Perkembangan terkini pertandingan Kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25hb. April ini yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak bertambah menarik. Ianya bakal menyaksikan pertarungan dua penjuru sahaja antara calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan, 44 (MIC) dan Zaid Ibrahim, 59 dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dua lagi calon yang telah diterima kertas pencalonan mereka dan diisytiharkan sebagai calon bebas . iaitu VS. Chandran, 56 bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor, dan seorang peniaga, Johan Md.Diah, 31 yang dikatakan ahli UMNO telah menarik diri.

Penarikan diri kedua-dua calon bebas ini telah disahkan oleh SPR selas dua hari pencalonan mereka diterima. Tidak dapat dipastikan kenapa pemimpin MIC Hulu Selangor dan  UMNO Shah Alam yang telah disahkan pencalonan mereka menarik diri.

Lebih pelik sebelum itu, Johan,  AJK Pemuda Umno Bahagian Shah Alam dilaporkan media massa mengadakan sidang media di Felda Sungai Tengi Hulu Bernam, yang antara lain mengenai persediaannya menghadapi pilihan raya kecil ini.

Dalam kerancakkan kempen pilihanraya kecil ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan kesal dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukarkan 13,448 daripada 64,500 pengundi dipindahkan pusat mengundi secara tiba-tiba tanpa sebarang makluman.

Berdasarkan semakan daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR, Pengarah Pilihanraya PKR, Fauziah Salleh menyebut tiada pengundi baru dimasukkan tetapi terdapat 558 pengundi dibersihkan daripada semakan daftar pemilih pada disember, 2009.

Beliau juga mendakwa, seramai 230 orang pengundi di Kampong Tanjong, Sungai Choh dipindahkan dari senarai pengundi berdaftar kawasan parlimen Hulu Selangor ke Parlimen Selayang. Mengulas dakwaan itu, Wan Ahmad mengakui SPR bertindak demikian setelah menyedari bahawa lokaliti 228 pengundi Kampung Tanjung di Sungai Choh itu sepatutnya diletakkan di kawasan parlimen Selayang.

Bagaimanapun Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan tuduhan bahawa Suruhanjaya itu menjadi ‘dalang dalam konspirasi’ untuk memenangkan BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Tambahnya, pemindahan lokaliti melibatkan seramai 228 pengundi itu, bukanlah dibuat semata-mata bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Persoalannya adakah tindakan SPR ini adalah satu kebetulan atau ada operasi yang telah dirancangkan khusus untuk Selangor sebagaimana SPR mengadakan operasi khusus pemindahan pengundi di Terengganu pada tahun 2002 dan 2003 yang lalu sebelum Pilihanraya umum ke-11 pada Mac, 2004 dulu.

Palanivel kecundang, Zaid belum tentu menang ? 

Dalam tulisan saya dalam keluarah Siasah Bil: 0196 yang lepas, bertajuk, “PRK Hulu Selangor : Pertemuan buku dengan ruas? Menyebut, “…ramai pemerhati politik hamper bersependapat, jika Palanivel dicalonkan BN, Datuk zaid Ibrahim adalah calon yang setanding untuk dipertaruhkan oleh PKR”. 

Disebabkan yakin dengan BN akan meletakkan semula G. Palanivel bekas Timbalan Menteri, PKR bertindak mengumumkan calonnya, Zaid Ibrahim pada 13hb. April, berbanding dengan BN pada 15hb. April, 2010. Teka teki siapa yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil P94 Hulu Selangor pada Ahad, 25hb. April ini telah terjawab.

BN sepatutnya memberi peluang  kepada  Palanivel merampas semula kerusi tersebut kerana tewas dengan majoriti yang tipis sahaja, 198 undi kepada Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad. Jika memenangi pilihanraya kecil, peluang palanivel dilantik sebagai Menteri adalah sangat besar berdasarkan kekanannya dalam parti MIC.

Sebelum penamaan calon, MIC telah menetapkan calon BN adalah Palanivel bagi merampaskan semula kerusi. Dengan pencalonan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan nampaknya G.Palanivel sudah tidak penting lagi dalam percaturan politik UMNO dan BN di Hulu Selangor. 

Dalam tulisan tersebut, ternyata maklumat yang sampai kepada saya Najib dan Muhyidin tidak akan pilih Palanivel walaupun dikehendaki oleh Samy Vellu adalah menjadi kenyataan. Tetapi seorang muka baru MIC anak tempatan  yang direstui oleh UMNO Hulu Selangor dipilih menjadi calon juga tidak menjadi kenyataan.

Setelah Palanivel kecundang akibat permainan politik UMNO dan BN, Zaid Ibrahim juga cuba dipastikan tidak menang dalam pilihanraya kecil ini dengan mengadakan serangan-serangan peribadi dan juga diadakan “pesta keluar parti” dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PKR.

Strategi “keluar parti” dikalangan pembangkang menjadi rancak setiap kali  adanya pilihanraya. Pelaku-pelakunya mendapat sedikit “habuan pilihanraya” kerana berjaya membantu mencalarkan imej parti parti yang terlibat untuk menunjukkan kepada rakyat parti berkenaan telah hilang sokongan.

Terbaru ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu dan Ketua AMK Chabang Shah Alam , Norhisham Manap serta timbalannya, Muhammad Ali Mukthar. Diikuti oleh Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat yang keluar PKR dan seterusnya menyertai UMNO. Di Pulau Pinang, dikatakan 200 orang pengikut Zahrain Hashim turut keluar parti.  Siapa lagi akan keluar parti selepas ini?

Diantara mereka ini, tindakan Dr. Halili Rahmat mungkin memberikan tindakan yang boleh menjejaskan kerana beliau adalah bekas pemimpin PKR tempatan. Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Dr Halili dilaporkan berkata, walaupun beliau pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi “bagi pilihan raya kecil kali ini, saya merasa berat kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah”. Bagaimanapun, pengumumannya yang dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencurigakan banyak pihak dan menimbulkan tandatanya sama ada beliau ditawarkan ‘imbuhan’ tertentu untuktujuan tersebut.
 
Saya tidak pasti sama ada beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon PKR atau mempunyai sebab-sebab lain yang tidak dinyatakan. Peliknya selepas keluar parti dan masuk UMNO,  beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia selepas ini bagi menghadiri konvokesyennya di Universiti Monash – satu keputusannya yang didakwa sudah lama dibuat dan “bukan untuk lari”.

Kesungguhan BN khususnya UMNO dan MIC untuk menang dalam pilihanraya kecil ini begitu ketara.  Walaupun UMNO dan MIC berebut untuk bertanding dalam pilihanraya kecil ini tetapi mereka menunjukkan seolah-olah bersatu dalam menghadapi pilihanraya kecil ini.

Dengan tiadanya Palanivel dalam pilihanraya kecil ini, maka peluang rakyat Hulu Selangor untuk diwakili oleh seorang Menteri adalah tipis. Percaturan pegundi Hulu Selangor sebelum ini dengan memberikan kerusi DUN kepada BN dan kerusi parlimen kepada Pakatan Rakyat  perlu diteruskan dalam pilihanraya kecil ini.

Ini penting supaya kawasan Hulu Selangor lebih cepat membangun dengan adanya wakil kerajaan pusat dan kerajaan negeri mewakili mereka diperingkat DUN dan parlimen. Rakyat Hulu Selangor tiada pilihan lain dalam pilihanraya kecil ini melainkan memberikan undi mereka kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (PKR) bagi mewakili mereka sebagai jambatan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kita tunggu keputusan bijak rakyat Hulu Selangor pada 25hb. April ini

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: