Kalam Perantau

Icon

Tiada lagi akhbar alternatif milik pembangkang?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Terlalu banyak isu-isu semasa yang menarik perhatian untuk disoroti oleh penulis pada minggu ini. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersuara lunak, mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno.

Penulis mengambil sedikit masa dan ruang untuk bersama dengan penggiat media membicarakan tindakan kerajaan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar-akhbar milik parti-parti pembangkang Suara Keadilan milik PKR, Harakah milik PAS dan Roket milik DAP.

Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Parti Keadlilan Rakyat (PKR) telah dinafikan hak mendapat permit pernitan akhbarnya bertahun-tahun lamanya sebelum mendapat permit penerbitan terhad beberapa tahun lepas. Permit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab.

Dengan perangkap, permit penerbitan tamat pada 7 Julai lalu memaksa Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis kedua dari Harakah berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Pada tahun lepas pun permit Harakah digantung seketika ketika berhadapan dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang. Permohonan membaharukan permit pada tahun ini telah dilakukan oleh pengurusan Harakah sejak beberapa bulan lepas. Tindakan ini sengaja dikenakan oleh pihak pemerintah bagi “mendera” parti-parti pembangkang agar tidak menyerang kerajaan secara keterlaluan.

Harakah dan Perjuangan Lutfi

Keadaan ini memaksa, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang sedang bercuti panjang berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu sehingga hujung bulan Julai ini “memaksa” diri untuk turun padang dan turut berjuang melalui penulisannya dalam Harakahdaily dan Harakah Cetak apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.

Baginya, “Akta Mesin Cetak lebih gawat berbanding ISA kerana memperuntukkan beberapa perkara yang tidak masuk akal apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan hari ini”. Beliau menyebut, “resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi “sakit hati” dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa.”

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telah diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini cukup ditakuti oleh penerbit dan pengamal media kerana menafikan segala ruang untuk semakan kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri boleh menggantung, menyekat dan menyambung atau menghentikan mana-mana permit penerbitan sesebuah akhbar sesuka hati atas nama mengikut budi bicaranya.

Selain akta mesin cetak dan penerbitan ini, pemerintah berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan lain yang mengongkong akan terus menindas demi survival kuasa mereka seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain.

Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan tiga parti pembangkang terbesar dalam negara ini, PAS, PKR dan DAP akan buat, apabila hayat organ penerangan parti masing-masing diancam dengan berbagai kerenah birokrasi.

Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti “tidak berlaku apa-apa”.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: “Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya.”

Dalam tulisannya, Ahmad Lutfi menyebut, kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini? 

Baginya, cukup memperbodohkan kita. KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN. Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Dalam kenyataannya, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pula menganggap tindakan kerajaan ini sebagai satu pencabulan hak kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan mendapatkan maklumat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam dilaporkan media internet sebagai berkata, beliau berasa kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan ahkbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan juga akhbar rasmi PAS, Harakah serta pengharaman buku kartun berunsur politik yang diterbitkan oleh Zulkifli Anwar Ulhaque atau  Zunar.

Sasterawan Negara, A. Samad Said ketika mengulas tindakan kerajaan tidak memperbaharui dan memberhentikan pemberian permit penerbitan kepada lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan, awal bulan ini, beliau menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berat sebelah dan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat yang berlainan dengan pihak pemerintah

Tindakan menggantung permit akhbar-akhbar milik parti pembangkang oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak menampakkan ciri-ciri rakyat didahulukan, prestasi diutamakan berbanding dengan kerajaan Islam Hadhari pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih terbuka kepada media.  

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: