Kalam Perantau

Icon

Malaysia kena ada 2 gagasan parti politik?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Tulisan  Professor Undang-undang UIAM, Dr. Abdul Aziz Bari dalam akhbar Sinar, Isnin 2hb. Ogos, 2010 bertajuk UMNO-PAS dalam konteks perlemabagaan menarik minat saya dalam membentuk sistem dua parti yang kukuh dan dominan dinegara ini. 

Beliau menyebut, “Sistem dua parti ini penting kerana ketiadaan struktur inilah yang menyebabkan perlembagaan kita wujud hanya pada nama sahaja. Seperti yang kita maklum perlembagaan hanyalah sekadar sebuah dokumen yang tidak bermakna jika kita gagal melaksanakannya. Dan pelaksanaan ini tidak akan berlaku di dalam sebuah sistem di mana kerajaan yang memerintah tidak rasa takut dihumban keluar oleh rakyat. Rasa tidak takut ini wujud apabila kerajaan berkenaan berasa ia boleh melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa”. 

Dalam konteks perlembagaan, saya nampak beliau  begitu  arif mengenainya. Tetapi bila menyentuh soal politik, beliau menjadi sedikit emosi, kalau pun tidak berdendam dengan PAS. 

Sebagai contoh, kenyataan beliau , “PAS akan terus jadi parti Melayu yang sempit dan kampungan sekiranya ia termakan pujukan UMNO yang penuh dengan muslihat itu. Dan seperti mana yang disebut tadi Pas akan tersungkur dalam pilihan raya kerana rakyat berasa ragu siapa dan apakah sebenarnya wawasan politiknya”.

Sudah lama saya tidak mendengar komen beliau tentang PAS secara terbuka di media massa. Jika tidak silap ingatan saya, semasa beliau hadir dan menjadi selebriti dan diaju  dengan berbagai pertanyaan bertubi-tubi dari ahli PAS dalam ‘Seminar Pemerasaan Parti PAS’ pada tahun lepas, beliau ada menyebut tidak akan mengulas lagi tentang PAS.

Tanpa memihak kepada pro dan kontra terhadap Pakatan Rakyat, PAS kena berpolitik diatas realiti politik semasa dan juga kehendak perjuangan Islam dan keadilan sejagat yang didukungnya.

Realitinya, PAS bertanding dikawasan yang majoritinya orang Melayu. Bagi saya, PAS perlu mengadakan satu Seminar Khas bagi membincangkan secara terperinci, kemampuan PAS dalam menjaga hak dan keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam perlemabagaan.

Orang melayu begitu takut untuk menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana bimbangkan kemampuan mereka untuk terus menikmati apa yang mereka ada pada hari ini. Kenyataan pemimpin DAP  seperti Tony Pua, untuk menghapuskan diskaun 7% untuk bumiputera membeli rumah mewah amat mencurigakan orang Melayu.

Di sini PAS perlu bijak memainkan peranannya. Jika PAS gagal menyakinkan orang Melayu bahawa PAS mampu menggantikan UMNO dalam mempertahankan apa yang orang melayu ada pada hari ini, tidak mustahil PAS tidak diterima oleh orang-orang Melayu selain dari bumi Kelantan.

Mahu tidak mahu, orang Melayu akan terus bergantung kepada UMNO. Bila bukan Melayu berpindah kepada Pakatan Rakyat dan orang Melayu terus bersama UMNO, maka pada masa itu berlaku kerajaan camporan UMNO  (Melayu) dan DAP+PKR (bukan Melayu).

Perhitungan seperti ini perlu diambil kira, dalam menentukan halatuju PAS dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti. Disebabkan PAS sekarang ini sudah menjadi parti multi-racial seperti juga DAP dan PKR setelah adanya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), maka sudah tentu PAS berhak untuk bertanding dikawasan-kawasan campuran secara sama rata ataupun berdasarkan kepada merit tertentu.  

Lebih banyak kerusi-kerusi seperti Kota Raja yang majorinya bukan Melayu perlu diserahkan kepada PAS untuk ditandingi oleh parti tersebut supaya tidak dilihat menjadi parti Melayu yang sempit dan kekampungan seperti yang dinukilkan oleh Professor Dr. Aziz Bari dan lain-lain pihak yang sependapat dengan beliau.

1Malaysia 1Pilihanraya? 

Perkara kedua yang menarik minta saya juga adalah bila tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan?. Perkara ini terus menjadi teka teki dalam persekitaran politik negara hari ini. Kuasa membubarkan Parlimen dan DUN ada ditangan Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri.  Malah kuasa Sultan dan Yang Dipertua Negeri tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Pengalaman sebelum ini telah berlaku. Yang terbaru adalah keengganan Sultan Perak membubarkan DUN selepas pilihanraya umum ke-12 lalu, bila Menteri Besar Perak ketika  itu, Ir Nizar Jamaluddin memohon perkenan membubarkan DUN bila 3 ADUN Pakatan Rakyat mengistiharkan diri menjadi ADUN bebas.

Begitu juga dengan kemelut politik Sabah pada tahun 1994, apabila Datuk Joseph Pairin Kitingan (gambar – kiri)  memohon membubarkan DUN sekali lagi setelah beberapa ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) melompat menyebabkan kerajaannya yang baru dibentuk menjadi minoriti di DUN Sabah.   

Begitu juga ketika krisis politik kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1977 dahulu, Sultan Kelantan juga tidak bersetuju membubarkan DUN bila undi tidak percaya kepada Datuk Muhammad Nasir, Menteri Besar ketika itu diluluskan  Krisis politik ini menyebabkan MAGERAN dan Pilihanraya DUN Negeri Kelantan diadakan berasingan dengan pilihanraya  parlimen.

Tetapi selepas kemelut politik Sabah 1994 yang menyebabkan PBS tumbang dan UMNO mula berkuasa di Sabah menyebabkan pilihanraya DUN sabah selepas itu diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen.

Sekarang ini adalah peluang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi arkitek menyelaraskan pilihanraya DUN Sarawak  diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen. Cabarannya pilihanraya DUN Sarawak mesti dibubarkan sebelum bulan Julai, 2011.

Tetapi jika diadakan lebih awal dari April 2011, kemungkinan negeri-negeri yang diatadbirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini seperti Selangor, Pulalu Pinang, kedah dan Kelantan tidak akan membubarkan DUN mereka. 

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yakin, pilihanraya Sarawak dan pilihanraya umum ke-13 diadakan secara berasingan.  Baginya, keputusan pilihanraya Negeri Sarawak dijadikan penentu kepada pilihanraya umum ke-13 nanti. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.. 

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: