Kalam Perantau

Icon

Mahasiswa: Shabery, kan molek kalau terbuka macam Saifuddin

Oleh Mohd Nasir Awang   

Setakat ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah masih istiqomah dengan sikap dan komitmennya memperjuangkan peraturan lebih terbuka untuk aktivisme mahasiswa. Selaku bekas aktivis pelajar di zaman kampus dulu, beliau sendiri tentu lebih maklum dengan kekangan dan kongkongan yang sekian lama dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik masing-masing.

Kebetulan pula beliau kini berada di tapak yang amat bersesuaian dengan kecenderungan pemikirannya. Kementerian dijaganya membolehkan beliau merealisasikan hasrat mewujudkan suasana lebih liberal dan adil untuk pembinaan insan lebih kreatif dan cemerlang di kampus-kampus institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Perkembangan semasa yang memungkinkan pemimpin mahasiswa IPT menyatakan sikap secara terbuka turut membantu mempercepatkan pencapaian hasrat itu. Sebab itu apabila  ada kumpulan mahasiswa menyatakan persetujuan membenarkan mereka terbabit dalam parti politik, ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ buat Saifuddin.

“Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara mahasiswa IPTA itu sendiri,” media pada Selasa (10 Ogos) memetik katanya.

Beliau mengulas penyerahan resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar dua hari sebelumnya. Menerusi resolusi itu, mahasiswa mengambil kata sepakat bersetuju mereka dibenarkan terbabit dalam parti politik.

“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” ulasnya lagi.

Tidak syak lagi, secara idealnya pandangan dan pendirian sebegitulah yang amat kita harapkan. Kehidupan kampus sering dianggap platform terbaik menggilap bakat kepemimpinan yang diharapkan menjadi pelapis teraju masyarakat dan negara.

Untuk itu sudah sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa ditiadakan. Mereka perlu didedahkan dengan perkembangan “dunia luar”. Selaku juru bicara ummah dan ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat.

Tidak dapat tidak, secara adilnya mereka perlu diberi kebebasan memilih dan menzahirkan kecenderungan politik masing-masing. Malangnya, keterbukaan dan sikap lapang dada ditunjukkan Saifuddin itu gagal dikongsi pemimpin lain.

Biar pun secara zahir para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menampakkan kesediaan mewujudkan kelonggaran dituntut mahasiswa, ia bukan kebebasan sepenuhnya. Kebebasan dibayangkan itu tidak akan menyebabkan mahasiswa terlalu berani menzahirkan sikap anti-establishment, yang merugikan parti pemerintah.
Sebab itu di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin memuncak mutakhir ini, sikap sebilangan pemimpin negara tidak sealiran dengan kecenderungan rakyat itu.

Bahkan, ada menteri tergamak membangkitkan isu kononnya parti pembangkang membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menjayakan program merekrut mahasiswa. Umpamanya, PAS didakwa menjadikan pelajar Malaysia di Mesir sebagai ‘kilang’ untuk melahirkan pemimpin dan pendokong parti itu.

“Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia, dan juga sedikit di England,” media pada Ahad (8 Ogos) memetik kebimbangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, partinya tidak pernah mengeluarkan duit untuk mengadakan program dengan pelajar di luar negara.

“(Perjuangan di atas dasar) kebenaran tidak memerlukan wang. Sebaliknya, jika memang benar terdapat pelajar di luar negara yang memilih perjuangan PAS, itu menunjukkan golongan cerdik pandai sentiasa bersama parti ini,” ulasnya sinis.

Namun isu lebih utama di sini ialah kegagalan Shabery berfikir secara terbuka dan bersikap adil, terutama berhubung peluang sama rata antara parti-parti politik dalam mendekati warga kampus, dalam mahu pun luar negara.

Maksudnya, di saat parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, apakah masih wajar untuk BN-Umno berdengki dengan sokongan diterima parti lawan?

“Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.

Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu Saifuddin sejak dulu. Sebilangan tulisannya sarat dengan pandangan meliberalisasikan peraturan, terutama berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.

Sebab itu apabila ada dakwaan kononnya kumpulan mahasiswa tertentu dalam pilihan raya kampus dibantu pihak luar dalam kempen mereka, beliau mendesak ia dinilai secara lebih adil.

“Siapa pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami politik kampus, lazimnya pihak luar itu ditujukan kepada pembangkang. Bagaimana jika pihak luar itu turut membabitkan orang kerajaan?”, soalnya menerusi kolum beliau dalam sebuah akhbar arus perdana, 23 September 2006.

Kita percaya Saifuddin sendiri sedia maklum betapa Umno jauh lebih ke depan dalam mempengaruhi politik kampus berbanding pembangkang. Justeru, di mana adilnya jika kecenderungan politik di kalangan warga kampus dibataskan hanya untuk kepentingan BN-Umno.

Tidak syak lagi pemikiran terbuka sebegitu tidak dikongsi rakannya dalam Umno. Justeru, ada baiknya beliau memperturunkan sedikit pemikiran sebegitu kepada yang lain, terutamanya Shabery

Filed under: News, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: