Kalam Perantau

Icon

Najib dan Hishamudin tolong jangan kembali ke era Tun Razak dan Hussein

Oleh Subky Latif   

DUNIA media cetak di Malaysia selepas merdeka sememangnya dirundung suasana seperti gerhana matahari.
Jika sebelum era Dr. Mahathir, di era Tun Razak dan Tun Hussein Onn, siangnya seperti gerhana matahari penuh dan malamnya seperti tidak berbulan. Itulah yang dinamakan gelap. Zaman mereka adalah  zaman gelap bagi media cetak.
Tetapi di zaman Dr. Mahathir ada sedikit cahaya. Cahaya itu seperti dunia menghadapi tiga suku gerhana matahari. Ia tidak gelap  gulita, tetapi lebih teruk dari mendung.

Ketika UMNO mula berkuasa di zaman Tunku, cahaya media belum tercemar. Bukan saja UMNO ada lidah rasminya, Malaya Merdeka, Parti Negara dan Partai Rakyat bebas memiliki akhbar.

Dato Onn menerbitkan mingguan untuk Parti Negara bernama Kritik. Dato Onn tidak disyaratkan oleh kerajaan meletakkan di muka depan akhbarnya penjelasan seperti Untuk Ahli Parti Negara Saja. Mingguan Partai Rakyat yang dikelolakan oleh Ahmad Boestamam tidak disyaratkan meletakkan Untuk Ahli Partai Rakyat Saja.

Malah sebelum merdeka kerajaan penjajah Inggeris tidak menyaratkan kepada Malaya Merdeka mencetak Untuk Ahli UMNO Saja.

British tidak mensyaratkan kepada Tunku supaya Malaya Merdeka dijual di pejabat UMNO saja  dan Dato Onn tidak diperintah menjual Kritik di pejabat Parti Negara saja. Ia boleh dijual di mana-mana di pasaran terbuka.

Malaya Merdeka terkubur kerana tidak laku. Kritik terkubur kerana Dato Onn dan Parti Negara mati. Lidah Rasmi Partai Rakyat jadi mendiang kerana parti itu tidak cukup dana.

Di hujung era Tunku dan sepanjang era Tun Razak dan Hussein dunia media cetak bukan saja malap tetapi gelap. Parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan. Apa yang dibuat oleh pembangkang ialah penerbitan haram. Berkeliaran polis memburunya.

Datang ke era Dr. Mahathir dengan dia sendiri menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan  dibenarkannya PAS menerbitkan Harakah tetapi disyaratkan sebagai penerbitan dalaman, tidak boleh dijual kepada orang ramai – untuk ahli saja.

PAS tidak pernah minta permit terhad tetapi yang Mahathir beri permit terhad.

Harakah diedarkan oleh ahli-ahlinya. Tetapi kerana ia mendatangkan rezeki kepada pengedar, ramailah pengedar akhbar mengambil terus dari pejabat Harakah.

Tetapi polis yang dulunya dipanggil mata-mata gelap betul-betul menjadi mata-mata  gelap mengacau pengedar-pengedar akhbar. Mata-mata gelap itu tidak pula terus menerus mengacau. Ikut angin dan mood UMNO.

Apa yang berlaku itu adalah gambar demokrasi Mahathir. Dia buli Harakah seperti kucing tangkap tikus. Kucing tidak terus makan tikus yang ditangkapnya. Tetapi dikepungnya hingga tikus itu tidak bertenaga.

Dr. Mahathir dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran tetapi dibenarkannya pula Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Walaupun Harakah mengamalkan demokrasi, mengkritik politik Dr. Mahathir, UMNO dan kerajaan BN, dia sekadar beri amaran tetapi pula menghalang KDN mengeluarkan permit baru apabila lama tamat.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri, kerja pertama yang dibuatnya ialah menyekat permit dua kali seminggu yang dibenarkan oleh Dr. Mahathir kepada dua kali sebulan,

Dari tak ada langsung seperti di zaman Tun Razak dan Tun Hussein, dua kali sebelum adalah lebih baik dari zaman sebelum Dr. Mahathir. Walau pun  tak dapat semua, jangan tak dapat semua.

Tetapi di pertengahan era Pak Lah yang singkat itu dibenarkannya pula Harakah terbit semula dua kali seminggu dan dikeluarkannya pula permit untuk Roket untuk DAP dan Keadilan untuk PKR.

Seminggu sebelum Pak Lah ‘dipaksa’ bersara dia cuba bawa balik alam media cetak era Tun Razak dan Tun Hussein yang gelap dulu. Disekatnya permit Harakah. Tetapi apabila Najib mengambil alih kuasa dibatalkannya perintah Pak Lah itu.

Cuma selepas KDN diserahkan kepada Dato Seri Hishamuddin, dilambatkannya pengeluaran permit baru Harakah hingga ia tidak dapat diterbitkan seminggu dan Roket serta Keadilan digantung permitnya.

Perdana Menteri Najib adalah anak Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato Hishamuddin adalah anak Tun Hussein. Keduanya seolah-olah sepakat mahu kembali ke era gelap ayah mereka dulu.

Dengan perubahan masa, anak Felda saja sudah 200 ada PhD, dunia media bertambah maju, zaman ini bukan seperti 30 tahun, orang sudah tidak sekuno dulu, biarlah keduanya tidak jadi sekolot ayah mereka.

Datuk Seri Hisham patut ingat apa yang datoknya, Dato Onn bebas menerbitkan akhbar partinya, tidak pernah disekat oleh kerajaan masa itu. Yang Dato Onn buat dulu kira-kira sama dengan PAS, PKR dan DAP buat sekarang. Dato Onn tidak dihalang mengapa cucu Dato Onn dan anak Tun Razak cuba buat apa yang orang dulu tidak buat terhadap Dato Onn.

Najib dan Hisham jangan ulang kelemahan ayah masing-masing!

Filed under: harakahdaily, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: