Kalam Perantau

Icon

Menjelang PRU-13, Bagaimana lanskap politik kalau Anwar-Ku Li bergabung?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.

Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Pehin Sri Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).     

Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan), 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.

Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk  Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.

Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang. 

Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).

Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.

Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah  lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.

Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar – kiri ) atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap “Mr. Clean” menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenangan yang terlalu besar dalam sejarah politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.

Jika tahun 1990 ekoran keterlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.

Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?

PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.

Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar

Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun ke-12 tahun 2008.

Ibrahim Ali  (gambar – kanan) memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi

Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya  kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).

Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang wang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.        

Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?     

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Ijtimak Kali Ke-8, 2010; Menilai Pemikiran Melayu Terengganu

Sumber Buletin Online
  
KUALA TERENGGANU – Ijtimak Kepimpinan PAS Kali Ke 8, 2010 adalah siginifikan bagi menilai dan menguji kekuatan PAS di negeri Terengganu menjelang Plihanraya Umum yang Ke-13 (PRU 13) yang akan datang.

Dengan meletakkan keyakinan PRU13 akan diadakan pada tahun depan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata, Ijtimak pada kali ini adalah amat penting sebagai pesiapan PAS Terengganu sebagai ‘kerajaan Menunggu’.

“Ijtimak kali ini merupakan tahun pendaduhuluan sebelum daripada PRU 13 dan merupakan ujian kepada bagaimana hubungan kita (PAS) dengan pimpinan dibawah juga bagaimana sokongan kita dibawah selepas (PRU 12) Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri.

“signifikannya juga kita sedang berhadapan dengan kerajaan BN Umno Terengganu yang sedang menguunakan seluruh usaha dan kewangan mereka secara besar-besaran untuk mendapatkan sokongan dan kita rasa ijtimak ini akan menguji bagaimana kekuatan kita dibawah,”ujarnya

Sehubungan itu, PAS sentiasa berhasrat dan berkeyakinan akan meraih kemenangan kerana menurutnya kemenangan sebenar kepada perjuangan Islam adalah mendapat keredhaan Allah.

Sementara, katanya, kemenangan dalam pilihanraya dalah kemenangan ‘yang dekat’ berdasarkan fakta al-Quran yang menyebut kemenangan dan keampunan dari Allah dalam membuka negeri melalui pilihanraya.

“Memang itu hasrat dan keyakinan kita sepanjang masa kerana kita meletakkan kemenangan yang sebenar ialah keredhaan Allah SWT dan kita meletakkan kemenangan pilihanraya kemenangan sebagai kemenangan yang dekat sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran yang menyebutkan tentang kemenangan dan keampunan Allah dalam membuka negeri iaitu (melalui) pilihanraya,”jelasnya apabila ditanya bagaiamana peluang PAS dalam PRU akan datang.

Namun, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tidak menafikan, cabaran ‘hebat’ yang dihadapi PAS untuk mencapai kemenangan dalam PRU-13.

Menurutnya, Terengganu adalah sebuah negeri ‘dominan’ orang Melayu dan pengaruh politik bukan Melayu kurang ‘meresap’ kerana pergaulan Melayu dan bukan Melalyu yang terhad.

“Kita tidak dapat menafikan kita berhadapan dengan ‘challenge’ yang hebat, kerana di negeri Terengganu pengaruh orang Melayu adalah dominan. (Soalnya) Apakah masyarakat Melayu sedar dengan perkembangan poltik semasa atau tidak?

“dan pengaruh orang bukan Melayu kurang sampai ke bawah di negeri Terengganu kerana pergaulan mereka (bukan Melayu) tidak sama seperti negeri-negeri di Pantai Barat,”terangnya.

Katanya, selain pengaruh politik yang menguasai pemikiran orang Melayu, faktor ekonomi juga akan menentukan hala tuju politik orang Melayu Terengganu.

Selaku bekas Exco Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar kerajaan PAS Terengganu 1999 – 2004, Ustaz Abu Bakar berkata, masih ramai penduduk Terengganu yang miskin yang memerlukan bantuan dari kerajaan.

“masyarakat Melayu teruatama di Terengganu mereka adalah orang-orang susah, yang memerlukan bantuan daripada kerajaan dan sebagainya dan ini (menyebabkan) mereka terkesan dengan pengaruh politik,”tegasnya.

Sebaliknya kata beliau, PAS mempunyai peluang yang cerah kerana walaupun Umno dan Barisan Nasional memiliki kekuatan kewangan, parti itu gagal menyelesaikan measalah-masalah sosial yang ‘parah’, ‘umpama wabak’, sedang menyerang rakyat Terengganu.

“kita (PAS) yakin (akan menang) kerana Umno tidak dapat menyelesaikan masalah (sosial). Masalah moral, masalah pendidikan anak-anak, gejala sosial (seperti jenayah) pecah rumah, kecurian, penagihan dadah merebak semacam satu wabak,

“dan kita lihat Institusi keluarga pada hari ini sudah menjadi longggar dan masyarakat dan ibu bapa tahu keaadaan keluarga mereka (yang bermasalah),”katanya.

Selain itu. masalah-masalah ekonomi seperti kenaikan harga barang kesan dari kenaikan harga minyak dan kegagalan kerajaan Umno/BN menyediakan peluang perkerjaan kepada rakyat akan turut menyumbang kepada faktor kemenangan PAS Terengganu menghadapi PRU-13 akan datang

Filed under: News, , , , , , ,

Takziah! ADUN Galas Meninggal Dunia

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima, 47, meninggal dunia di Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru akibat barah usus kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Maklumat tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang turut berada di pusat rawatan berkenaan sejak pagi tadi.

“Beliau disahkan meninggal pada pukul 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Che Hashim dimasukkan ke KBMC sejak lima hari lalu.

Anggota keluaga beliau turut berada di pusat rawatan berkenaan.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS turut menziarahi Che Hashim antaranya Penolong Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Che Hashim disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu apabila batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People’s Hospital Fu San, China.

Julai lalu beliau sekali lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana Kota Bharu.

Filed under: News, , , , , ,

Alahai…orang Deris kata Mat Said ‘bodoh’, orang Mat Said pulok kata Deris ‘jahat’

Tajuk asasl : Rakyat Terengganu perlu tolak pemimpin ‘jahat’, ‘lemah’

Oleh : Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus ‘celik’ dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih. Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.

“Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.

“Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali,” kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak pandai memerintah negeri’ manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai ‘jahat dan ‘tidak tahu adab’.

Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam.

Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam. “Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.

“Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam,” katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat. Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.

“Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek. Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.

“Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini. Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat,” katanya

Filed under: News, , , , , ,

“Tidak pernah sebelum ini!” – Besut Juara, Kemaman Naib Juara

Oleh : Wartawan Buletin
  
KUALA TERENGGANU – Setelah enam tahun Umno dan Barisan Nasional mermpas pemerintahan kerajaan Terengganu daripada PAS, barulah rakyat boleh melihat benar-benar pencapaian yang diperolehi oleh kerajaan berdasarkan slogan ‘Islam Hadhari Terengganu Bestari’ yang dipopularkan oleh Mantan Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

“Tidak pernah sebelum ini”  Terengganu mencapai rekod yang begitu cemerlang dalam masalah sosial yang melanda hidup rakyat.

Pengarah Jabatan Penenrangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Terengganu masakini, Dato’ Ahmad Said juga tidak membawa Terengganu kemana-mana.

“Apa yang rakyat lihat dari kedua-dua Menteri Besar Umno/BN ini adalah, kerajaan dan rakyat Terengganu semakin mundur ke belakang, semakin tinggi gejala sosial, semakin banyak penyelewengan yang berlaku,”ujarnya ketika dihubungi Buletinonline.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini, Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu berkata, Pengarah AADK negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor mendedahkan, daerah Besut, daerah dimana Idris Jusoh menjadi Ketua Bahagian Umno, menjadi ‘Juara’ dalam bilangan penagih dadah manakala daerah Kemaman, dimana Ahmad Said menjadi Ketua Bahagian, menjadi naib Juara.

“‘Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91),”jelas Wan Sukairi.

Beliau menambah, dalam kenyataan yang dikeluarkan, AADK turut merumuskan bahawa daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat.

Katanya lagi, kenyataan tersebut memperincikan, mengikut pecahan profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun dan sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine.

“Fakta tersebut jelas menunjukkan Umno yang menjadikan ‘Melayu’ sebagai dasar perjuangannya, sebaliknya menjadikan orang-orang Melayu penagih dadah yang paling ramai,”katanya

Filed under: News, , , , , , , , ,

Mat Said semakin goyah, UMNO Terengganu haru biru?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Cuti Hariraya Aidilfitri baru ni saya pulang ke Terengganu dan sempat menghadiri Ijtimak Aidilfitri Anak-anak Terengganu bersama Presiden dan kepimpinan PAS Terengganu pada Ahad, 12hb. September lepas. Tetapi saya terlepas menyertai program yang dianjurkan oleh Menteri Besar dan kerajaan Terengganu untuk Perantau pada Sabtu, hariraya kedua.

Dari cakap-cakap politik yang saya dengar semasa beberapa hari berada di Terengganu baru-baru ini, kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said semakin goyah dalam menerajui Terengganu. Bukan sahaja pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati, malah pegawai-pegawai kerajaan juga merungut dan tidak berpuashati

Sejak dua penggal UMNO memerintah semula negeri Terengganu, hiraki dan senioriti pegawai-pegawai TCS menjadi haru biru semula. Semasa zaman Datuk Seri Idris Jusoh memerintah Terengganu dulu, pegawai-pegawai dari Besut mendapat keutamaan. Sekarang pada era pemerintahan Datuk Seri Ahmad Said pula, pegawai-pegawai kanan kerajaan dilantik dari kalangan kawan-kawan sekolahnya dan rakan-rakannya semasa menjadi TCS (Terengganu Civil Service) dulu.

Kata seorang bekas pegawai kanan TCS yang saya temui semasa berkunjung ke rumahnya pada hariraya kedua baru-baru ini, pegawai-pegawai TCS baru menyedari bahawa kedudukan mereka pada zaman pemerintahan PAS sebelum itu adalah lebih baik berbanding dengan sekarang walaupun terdapat beberapa kelemahan dan masalah.

Di kampung-kampung pula rakyat merungut kurma dan air zamzam yang dijanjikan oleh Menteri Besar kepada rakyat tidak sampai ke tangan rakyat kerana permainan politik JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung). Belanjanya bukit sedikit, khabarnya RM8 juta duit rakyat dihabiskan untuk tujuan ini.

Terengganu Tidak Pesat Membangun di bawah BN

Kelantan negeri jiran negeri yang diperintah oleh PAS sejak 20 tahun lalu tanpa royalti minyak pun lebih pesat membangun kerana keberkatan pemerintahan ulama di sana. Kota Bharu dan seluruh jajahan lain begitu pesat membangun berbanding negeri Terengganu.

Malah kalau ada pembangunan yang dibuat, berlaku pula trajedi runtuh di sana sini kerana dilakukan secara rakus dan tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya serta tiadanya keberkatan dalam pembinaan tersebut.

Cukup memilukan bila bangunan stadium (gambar kanan), sekolah, institusi pengajian tinggi, masjid, stesen bas dan berbagai lagi runtuh. Malah UMNO pun hampir runtoh di Terengganu sekarang ini. Dua kumpulan Idris Jusoh dan Mat Said saling ber’perang’ diantara satu sama lain menyebabkan rakyat Terengganu menjadi mangsanya.

Satu lagi khabar terbaru yang belum sampai kepada pengetahuan rakyat Terengganu, satu-satunya Sistem Keretapi Kerteh-Kuantan atau Kerteh-Kuantan Railway Sistem (KKRS) yang telah siap dibina dan siap beroperasi mulai 1hb. April,2004 semasa PAS memerintah Terengganu akan ditamatkan operasinya pada 1 Oktober 2010 ini.

Landasan keretapi sejauh 86km itu telah dibina oleh pihak Petronas sehingga ke Kuantan Yad bagi tujuan mengangkut barang-barang (hasil daripada pemerosesan minyak) untuk diekspot ke luar negara melalui Pelabuhan Kuantan yang terletak kira-kira 20 km dari pusat Bandar dikatakan menelan belanja sebanyak RM 800 juta ringgit.

Pembinaan landasan keretapi pada dasarnya bagi tujuan memperkenalkan sistem pengkeretapian di negeri Terengganu. Dua buah lokomotif telah dibeli dari China bagi tujuan menarik jajajaran tren dan terdapat 50 set wagon termasuk 02 BGV (Bogi Guard Van) telah disediakan dalam misi pengkeretapian di Kuantan Kerteh Railway System.

Selain dari itu untuk mengelak kesesakan jalanraya yang semakin meruncing di Kemanan. Rencana Utusan Malaysia 2006. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican menyatakan; “Satu lagi contoh sumbangan Petronas ialah landasan kereta api dari Kertih ke Kuantan yang kami bina, ia bukan sekadar membawa
barang perantara ke loji dan untuk eksport tetapi juga demi keselamatan jalan raya. Tanpanya, 3,500 buah lori sehari akan menggunakan jalan raya di sana. Selain itu, jalan juga tidak rosak. Melalui kemudahan sebegini, pelabur akan datang”
. Betul ke 3,500 buah lori akan berkeliaran semula dijalanraya antara Kerteh-Kuantan? Tidakkah ia akan menambahkan kesesakan jalan-raya khususnya di jambatan Kemaman dan Bandar Chukai.

Apa tindakan Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu dalam hal ini. Apatah lagi kawasan yang terlibat adalah di kawasan beliau sendiri. Amat malang, baru 6 tahun beroperasi dah hendak dimatkan. Apakah beliau tidak malu bila rakyat menyebut, keretapi di Terengganu ini bermula dizaman pemerintahan PAS dan berakhir di zaman BN.

Seorang pemimpin PAS Terengganu, Haji Saiful Bahari Mamat, Timbalan Pesuruhjaya PAS mengeluh dengan kejeadian ini. Katanya, inilah nasib Terengganu di bawah pemerintahan BN. Hasil minyaknya penjana ekonomi negara, tetapi Terengganu tetap menjadi negeri kedua termiskin. Adakah landasan keretapi Kerteh-Kuantan itu tidak  menguntungkan? Takkanlah Petronas membelanjakan duit rakyat sedemikian banyak hanya untuk digunakan sekadar 6 tahun. Takde kajian dibuat ke?

Manakala Haji Yahya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu pula yang bertanggungjawab terhadap portfolio Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi ketika PAS memerintah kerajaan Terengganu pada tahun 1999-2004 berkata zaman pemerintahan Pas dahulu dah ada perbincangan kenapa perlu Kerteh-Kuantan sedangkan pelabuhan Kemaman lebih dekat separuh & kos boleh dijimatkan.

Jika ditutup pada beberapa hari lagi menjelang Oktober ini, tinggallah rakyat Terengganu bernostalgia dengan keretapi buat kali kedua. Sebelum ini, telah pupusnya pengangkutan keretapi Bukit Besi – Sura Gate. Nampaknya  memang keretapi tidak boleh kekal wujud lama dan bertahan di bumi Terengganu ini?

Ketika kabinet meluluskan pada tahun 2007 projek kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur-Kuantan sempena ECER bagi meningkatkan pelaburan dan industri pelancongan di Pantai Timur Semenanjung. Ia akan disambung ke Kerteh dan ke Terengganu. Sekali lagi, rakyat Terengganu boleh berkhayal untuk menikmati kemudahan keretapi di bumi Terengganu selagi mana BN memerintah Terengganu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Pas Sokong Pendirian NUJ

Oleh : Idris Ahmad

Parti Islam Semalaysia Pas menyokong penuh pendirian  Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari  untuk mendukung  etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.  Kenyataan tegas sebagai jawapan balas kepada   Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang. Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam  etika kewartawanan, dengan   melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab.
 
Pas dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan. Menjadi lumrah  sebagai manusia, wartawan  tidak sunyi daripada kesilapan. Jika perkara ini berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali  sebarang kesilapan. Apa yang berlaku pada hari ini media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika ini. Mereka sanggup membiarkan perkara ini berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah.

Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang Di Pertuan Agong dalaam doa. Begitu juga  Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah   bertazkirah dan  memberi bantuan kepada ahli Pas di Surau Al-Huda Kajang Sentral. Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang professional. Apa yang penting kepada mereka ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.

Pas sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini. Pas bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar. Pas tidak kecil hati kalau berita mengenai Pas tidak dilaporkan, tetapi Pas tidak rela berita mengenai perjuangan Pas difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini. Kemampuan untuk menjernihkan tanggapan  fitnah kepada Pas adalah terbatas melalui media Harakah yang  dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelusuk kampung.

Pas ingin mengigatkan Saudara Zahid  Mat Arif , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi. Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntuk hak sebuah parti politik di negara ini. Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Cek RM4 billion: Belang mula pecah …

Harakahdaily    
KUALA LUMPUR, 24 Sept: Dalam keadaan kerajaan PAS Kelantan diasak dengan isu cek RM4 bilion, wajah dan motif sebebanr syarikat I’Da World Group Sdn Bhd dan hubungannya dengan Umno semakin jelas terdedah.

Keratan akhbar Utusan Borneo dengan tajuk “I’Da World Group menjayakan 1Malaysia” Khamis, 8 April 2010 cukup membuktikan siapa mereka dan dalang di belakang mereka.

Dalam satu majlis di Kota Kinabalu, keakraban syarikat itu dengan Umno terserlah apabila syarikat tersebut diberi projek dalam usaha membantu Sabah dengan dakwaan menjayakan 1Malaysia gagasan Datuk Seri Najib Razak.

Ekoran penyerahan replika cek RM4 bilion baru-baru ini yang didakwa untuk PAS negeri itu, media milik Umno dan pemimpin parti itu melakukan serangan bertubi-tubi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak cukup dengan pelbagai tohmahan jahat terhadap kerajaan negeri, mereka turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Di pihak kerajaan negeri dan masyarakat Kelantan pula, timbul persoalan apa sebenarnya motif di sebalik gimik penyerahan replika cek tersebut.

Lebih menimbulkan tanda tanya, ianya dilakukan tanpa kehadiran mana-mana pemimpin PAS negeri itu mahupun Exco kerajaan negeri sendiri.

Badan Perhubungan PAS Kelantan juga tidak dijemput sedangkan mereka mendakwa cek RM4 bilion tersebut untuk PAS Kelantan bagi membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Replika cek tersebut sebelum ini diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini.

Nik Din bagaimanapun tampil menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Nik Aziz juga mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

Dalam pada itu, beberapa blog turut mendedahkan siapakah sebenarnya Pengerusi Eksekutif  I’Da World Group, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Beberapa keping gambar didedahkan menunjukkan Abdul Rahim dalam majlis perlancanran Misi Perdana de Everest – Tibet 2011 yang berlangsung di Dewan Felda, Jalan Gurney yang dilancarkan Perdana Menteri, Najib Razak pada 25 April lalu.

Pendedahan-pendahan tersebut dijangka mampu merungkai dan menjawab segala persoalan berhubung niat sebenar dan dalang di sebalik pemberian replika cek tersebut.

Filed under: News, , , , , , , ,

Cek RM 4 Billion : “Kita tarik diri. Minta maaflah” – Abdul Rahim

I’Da World Batal Cadangan Projek RM313b Di Kelantan

PETALING JAYA: Syarikat I’Da World Group Sdn Bhd – yang dikatakan mahu menderma sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan PAS Kelantan – membatalkan hasrat mereka melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri itu.

Pengerusi Eksekutif I’Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, tindakan dibuat ekoran keputusan kerajaan negeri itu menyenaraihitamkan syarikat itu.

“Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi.

“Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya, Khamis, lapor Malaysiakini.

Abdul Rahim mendakwa, syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Kontroversi mula melanda syarikat berkenaan ekoran tindakannya yang mengejutkan semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Replika cek sumbangan itu diterima oleh adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

PAS pula menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan, sumbangan berkenaan merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan projek yang bakal dilaksanakan.

“Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperoleh kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

“Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja, dasar daripada 20 peratus tadi,” tambahnya.

Dakwanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

“Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi,” tambahnya.

Filed under: News, , , , , , ,

Cek RM4 billion : PAS Parti terkaya di Malaysia ?

Tajuk asal : Hebatnya Gimik Replika Cek RM4 Bilion…

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

PENULIS tidak pasti bagaimanakah hendak menunjukkan reaksi selepas membaca berita ini kerana hendak dikatakan ia kisah lawak jenaka paling hebat abad ini tapi ia benar-benar berlaku dan berlaku di hadapan khalayak ramai serta mendapat liputan media secara meluas.

Sebuah syarikat yang khabarnya diterajui oleh anak Kelantan di luar negara dilaporkan telah menyumbangkan derma bernilai RM4 bilion kepada Parti Islam SeMalaysia atau ringkasnya PAS dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Kota Baru malam Ahad lalu.

Sumbangan derma itu dibuat dalam bentuk replika cek yang tertera nama Bank Al Rajhi di atasnya. Adalah tidak jelas atas sebab apa syarikat ini bersedia menyumbangkan derma sebanyak itu kepada PAS. Tapi itu soal lainlah kerana ia hak tuan yang punya diri.

Namun yang lucunya, Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Nik Amar Abdullah pun ketika ditemui para pemberita keesokan harinya tidak pasti apa bentuk reaksi yang perlu beliau berikan apabila ditanya mengenai derma tersebut. Beliau pun tidak pasti sama ada pemberian sedekah paling hebat dalam sejarah kewujudan PAS itu benar-benar ‘benar’ atau sekadar satu gimik semata-mata.

Majlis itu berlangsung di hadapan lebih seratus tetamu yang kebanyakkan ahli perniagaan yang khabarnya akan turut dihadiri oleh Sultan Kelantan yang baru iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra dan juga Menteri Besar. Tetapi akhirnya baginda Sultan pun tidak hadir dan MB pun tidak kelihatan.

Malah Nik Aziz ketika ditemui para pemberita pada hari Selasa (21 Sept), juga kelihatan seperti tidak tahu menahu mengenai sumbangan derma tersebut.

Hendak dikatakan ini usikan April Fool pun, bulan April lambat lagi tapi Nik Amar dalam kata-katanya sendiri menyebut, ia adalah terlalu baik untuk dikatakan benar.

Akhirnya yang naik ke pentas untuk menerima cek ialah adik kepada Menteri Besar, Nik Din Nik Mat kerana tidak ada seorang pun wakil kerajaan negeri yang hadir. Malah khabarnya beberapa kakitangan kerajaan negeri yang turut hadir pada majlis tersebut pun tidak berani untuk naik ke pentas menerima replika cek tersebut bagi pihak kerajaan negeri.

Nik Din pada keesokan harinya terpaksa membuat penjelasan lanjut bahawa kemunculannya di atas pentas untuk menerima cek itu bukanlah atas kapasitinya secara peribadi tetapi setelah tidak ada wakil daripada Kerajaan Negeri yang tampil untuk menerimanya.

Ada kemungkinan besar semua Exco Kerajaan Negeri bersama MB mengaru kepala pening-pening lalat sama ada hendak percaya atau tidak yang parti mereka akan menerima sumbangan dana bernilai RM4bilion dalam satu malam. Maka itu tidak ada seorang pun yang hadir dengan memberi pelbagai alasan dan juga sebab musabab.

Setahu penulis, manusia Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari pun belum pernah menyumbang sebanyak itu kepada mana-mana pihak tetapi jika syarikat anak Kelantan ini yang bernama I’Da World Group Sdn Bhd mampu menyumbang derma sebanyak itu maka penulis tidak dapat bayangkan berapakah pula rezab yang mereka miliki untuk menjalankan perniagaan mereka itu.

Pendek kata, dah tentulah lebih banyak dari itu. Jika tidak, manakan mampu menderma RM4 bilion dalam sekelip mata begitu sahaja.

Bukan apa, apabila membaca kisah pemberian derma ini, penulis teringatkan kisah seorang ‘jutawan’ Lebanon yang berjanji akan menderma entah berapa bilion ringgit kepada Makna iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantu pesakit-pesakit kanser kononnya untuk membolehkan Makna membina hospital.

Akhirnya wang berbilion itu pun tidak nampak malah jutawan tersebut dihukum penjara kerana didapati bersalah kerana menjalankan perniagaan di negara ini tanpa permit yang sah.

Penulis tidaklah mendakwa I’da World Group ini pun begitu tetapi jika benarlah PAS menerima bantuan derma sebanyak itu daripada kumpulan tersebut, penulis ingin mengucapkan syabas.

Ini kerana, PAS akan menjadi parti politik paling kaya di Malaysia dan bakal berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 nanti tanpa sebarang masalah kewangan kerana kantung telah penuh dengan fulus…TAHNIAH!

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories