Kalam Perantau

Icon

Pemidang ‘sindir’ Ahmad di Besut

Oleh : Mohd Nasir Awang    

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dijadualkan berkunjung ke daerah Besut pada Selasa, 31 Ogos nanti. Selain menyempurnakan majlis penyampaian bantuan khas kepada warga pendidik di sebelah pagi, beliau juga dijangka berbuka puasa dan bertarawih dengan pemimpin parti dan kerajaan di daerah itu kemudiannya.

Namun serentak dengan tersebarnya berita kedatangan beliau itu sejak beberapa hari lalu, turut menarik perhatian masyarakat umum di Besut ialah sehelai pemidang yang juga baru dinaikkan. Ia dilihat terpapar di simpang masuk ke Bukit Keluang dan turut tergantung di pagar Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja (bersetentang Imtiaz Besut kini). 

Sepintas lalu isu dipaparkan pemidang berkenaan dianggap biasa. Lagi pun ia sekadar ulangcetak keratan sebuah akhbar harian memuatkan kenyataan seorang anggota Exco berhubung status Kompleks Imtiaz Besut.

Bagaimana pun, tanda tanya timbul apabila ada pihak mengaitkan pemidang itu dengan kunjungan Ahmad. Dikatakan ia sengaja dinaikkan menjelang kedatangan menteri besar paling kontroversi dalam sejarah Terengganu itu ke daerah kubu kuat ‘pesaing utama’ beliau, yang juga mantan menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Apatah lagi isu Kompleks Imtiaz menyimpan berbagai signifikan tersendiri dalam konteks pertembungan politik dalaman Umno Terengganu. Banyak pihak melihat isu ini membabitkan pertembungan antara kuasa Ahmad dan maruah Idris.

Imtiaz Besut adalah sebuah sekolah diasaskan Idris pada 1999. Apabila Ketua Umno Bahagian Besut itu menjadi Menteri Besar pada 2004, ia memanfaatkan kuasanya dengan menjadikan sekolah peribadi itu sebagai sekolah biayaan kerajaan, menerusi Yayasan Terengganu (YT). Urustadbirnya bagaimana pun dibuat sebuah anak syarikat yang ditubuhkan, yang memiliki kuasa “autonomi” dalam menentukan berbagai perkara berhubung pentadbiran Imtiaz.

Menggunakan kuasanya juga Idris menukar tiga lagi sekolah milik kerajaan negeri iaitu Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ) di Dungun, Kolej Sains dan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di Kuala Terengganu dan Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) di Hulu Terengganu, sebagai Sekolah Menengah Imtiaz.

Idris juga memulakan pembinaan Kompleks Imtiaz di atas kawasan seluas 16 hektar di Bukit Keluang, Besut. Ia belum siap apabila kerusi Idris di Wisma Darul Iman diambilalih Ahmad.

Kini, kompleks bernilai RM40 juta itu hampir siap dibina dan dijangka mula digunakan menjelang awal tahun depan. Ia bagaimana pun diura-ura akan diserahkan kepada YT untuk dijadikan kolej.

Turut diura-urakan ialah perpindahan Sekolah Imtiaz Besut ke satu lagi kompleks milik YT yang telah pun siap dibina di Padang Landak, juga di Besut.

Oleh kerana ia melibatkan maruah Idris, menyebabkan Umno Bahagian Besut mengambil keputusan mendesak kerajaan negeri menyerahkan kompleks tadi kepada Imtiaz Besut selaras dengan tujuan asal pembinaannya di bawah kerajaan negeri sebelum ini.

Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut pada 11 Julai 2010 sebulat suara menyokong usul mendesak kerajaan negeri mengekalkan bangunan Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang, di Besut sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz dan bukan untuk tujuan lain.

Ada cakap-cakap mengatakan tuntutan Umno Besut bukan sahaja agar Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang diserahkan kepada Imtiaz Besut, malah soal pengurusannya juga diserahkan kepada pihak swasta, bukan lagi di bawah YT.

Dalam reaksinya, Ahmad bagaimana pun memaklumkan keputusan kerajaannya untuk meletakkan kompleks berkenaan di bawah pengurusan YT, sama seperti tiga lagi sekolah jenama itu di negeri ini.

“Saya berpendapat adalah sesuatu yang ganjil kalau (Imtiaz Besut) diletakkan di bawah satu syarikat kerana sekolah lain pun mahu juga berbuat demikian. Kita tubuh unit Imtiaz ini sama saja, dari segi pengurusan adalah di bawah YT,” katanya, sepertimana dipetik Utusan Malaysia, 13 Julai 2010.

Kes ini bukan saja menzahirkan lagi pertembungan pendirian antara dua pemimpin itu, malah menyemarakkan lagi sentimen anti-Ahmad Said di kalangan pendukung Umno Besut. MB itu dilihat sengaja mengenepikan sebarang idea dan projek utama ditinggalkan Idris.

Sebelum ini sudah tersebar ura-ura bahawa Ahmad tidak akan meneruskan pembinaan Kampus Universiti Darul Iman Malaysia (UDM – kini UniSZA) di Besut yang sudah pun bermula.

Idris sendiri dalam satu majlis dihadiri Timbalan Presiden Umno dan juga Ahmad di Besut pernah memetik beberapa contoh projek utamanya yang disifatkannya sengaja dilengah atau dipinggirkan Ahmad. Antaranya ialah projek Jerteh Souq, iaitu kompleks pasar utama di pusat bandar daerah Besut itu yang tergendala pembinaannya sejak lebih setahun lalu.

Sebab itu apabila tersiar kenyataan Exco Pendidikan negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman memberi jaminan pihaknya akan mengekalkan status Kompleks Imtiaz sepertimana tujuan asal pembinaannya, ia bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang buat Umno Besut.

Tidak diketahui siapa mengulangcetak keratan akhbar memuatkan kenyataan Razif itu ke dalam bentuk pemidang. Selain tidak ada nama penerbit, pemidang itu juga tidak ada pelekat kebenaran Majlis Daerah Besut (MDB).

Namun itu tidak memeranjatkan. Dalam negara kita ini, pihak berkuasa tempatan boleh saja memejamkan mata dan mengenepikan peraturan apabila kesalahan dilakukan Umno/Barisan Nasional (BN).

Apa pun, ucapan “Terimakasih!” yang tertera pada pemidang itu boleh membawa dua pengertian berbeza. Ia mungkin ditujukan kepada Razif sebagai tanda syukur kerana perjuangan mendapatkan hak menduduki Kompleks Imtiaz dijamin.

Ia mungkin juga suatu “sindiran” buat Ahmad yang dikatakan orang utama di sebalik ura-ura mengubah status kompleks itu sebelum ini. Itulah yang menyambut kedatangan Ahmad ke Besut, Selasa nanti.

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: