Kalam Perantau

Icon

Kenapa takutkan bukan Islam dengan rumah Allah? – kemaskini

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Ramadhan Al-Mubarak dah hampir kepenghujungnya. Bulan yang penuh degan keberkatan ini sepatutnya diperbanyakkan dengan amal ibadat dan dakwah menyeru orang Islam dan bukan Islam mengenali ajaran Islam dengan lebih dekat lagi.

Tetapi ramadhan tahun ini dicemari dengan propaganda yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menakutkan bukan Islam untuk menghampiri rumah Allah, samaada masjid ataupun surau.Lebih mendukacitakan lagi, bila seorang mufti menambahkan lagi ketakutan bukan Islam kepada Islam dengan kenyataan yang tidak sesuai dengan semangat ramadhan. 

Secara tersirat mufti berkenaan cuba memperlekehkan PAS dalam melalui dakwah dan politik yang diperlopori oleh PAS. Tetapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin jelas tidak bersependapat dengan mufti berkenaan.

Perkara pemimpin bukan Islam hadir di masjid atau surau bukan sesuatu yang baru. Tetapi ianya mungkin baru berlaku di Selangor. Di Kelantan dan Terengganu, ADUN MCA dah lama ziarah dan berucap di surau dan masjid di kawasan yang mereka wakili. Kalau tak percaya media boleh tanya, Datuk Foo Chong Yoong (bekas ADUN Padang Garong, Kelantan) dan Datuk Tok Teng Sai (bekas ADUN Bandar, Terengganu).      

Tak semena-mena nama Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Chin (DAP) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong (PKR) menjadi kontroversi di media kerana mereka hadir memberikan bantuan kerajaan negeri kepada surau dan masjid di kawasan mereka.

Sebelum itu kecoh berhubung dengan khutbah jumaat di Pulau Pinang mendoakan supaya pemerintahan Lim Guan Eng, Ketua menteri Pulau Pinang yang menjadikan khalifah Umar Abdul Aziz sebagai ikutannya diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Perkara yang  dilakukan secara terpencil ini bukan dengan arahan pihak berkuasa Pulau Pinang atau Selangor  telah dijadikan isu oleh UMNO kedua-dua negeri berkenaan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu dan menjauhkan bukan Melayu dengan agama Islam. 

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumah Kelantan pada 30hb. Ogos,  bagi mendapatkan pandangan mursyidul am PAS itu berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu 

Menurut Harakahdaily, selepas pertemuan itu, Nie Ching berkata, beliau gembira dapat bertemu dan mendapat pandangan mursyidul am PAS itu. 

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno. 

“Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid. Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi,” katanya menjelaskan isi pertemuan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah: 

  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta’abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam. 
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid. 
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza

Nasihat Presiden PAS

Ekoran beberapa insiden yang menjadi polemik antara bukan Islam dan Islam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.
 
Presiden PAS juga mengingatkan supaya jangan bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu.
 
Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri.

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: