Kalam Perantau

Icon

Galas, Batu Sapi pengukur sokongan

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah bulan depan sekali lagi menjadi petunjuk aliran sokongan kepada parti politik

Sejak sokongan pengundi kaum Cina terhadap BN dilihat semakin merosot, maka dua pilihan raya kecil yang tidak diduga itu sekali lagi menjadi kayu pengukur yang penting.

Walaupun majoriti pengundi di kedua-dua kawasan itu terdiri daripada kaum Bumiputera namun 20 peratus pengundi di Galas dan 30 peratus di Batu Sapi adalah dari kaum Cina.

Orang dalaman parti menyifatkan kemerosotan sokongan kaum Cina telah menyebabkan kerusi DUN Galas, sebelum ini menjadi kubu kuat BN, jatuh ke tangan parti PAS.

Sehingga 70 peratus daripada 2,500 pengundi Cina di kawasan itu telah meimlih parti pembangkang itu pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, senario di kawasan Parlimen Batu Sapi adalah berbeza iaitu BN memperoleh 70 peratus undi kaum Bumiputera dan lebih 50 peratus undi dari masyarakat Cina pada 2008.

Dianggap sebagai kubu kuat BN, kawasan Batu Sapi mempunyai 60 peratus pengundi Bumiputera dan 38 peratus pengundi Cina.

Nampaknya BN akan mencapai kejayaan dengan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, menurut seorang dalaman BN.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas manakala wakil DUN Galas Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, meninggal dunia akibat barah pada 27 Sept lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi dengan menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

“Sabah adalah menarik bagi BN dan pembangkang kerana belum ada pilihan raya kecil diadakan di negeri itu sejak pilihan raya umum lalu,” kata penganalisis politik Khaw Veon Szu.

“Bagaimanapun, pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik bukan sahaja untuk menilai sokongan pengundi Cina tetapi juga kaum Bumiputera.

Pengundi Cina di Kelantan dan Terengganu adalah berbeza berbanding di Sabah atau Sarawak,” kata Khaw, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan.

Aliran pengundian dari kaum Cina lebih berpihak kepada pembangkang dalam kebanyakan PRK sebelum ini kecuali pada PRK Kuala Terengganu dan Bagan Pinang pada 2009.

“Adalah menarik untuk melihat sama ada keputusan keluar parti oleh beberapa pemimpin BN di Sandakan untuk menyertai parti komponen BN lain di negeri itu akan membawa sebarang kesan terhadap pengundi di Batu Sapi,” kata Khaw.

Sejak dua tahun lepas, beberapa pemimpin BN seperti Datuk Peter Pang En Yin telah keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menjadi wakil rakyat Bebas menyokong BN manakala Datuk Raymond Tan Shu Kiah keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menyertai Gerakan selepas SAPP tarik diri dari BN pada akhir 2008.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Pang, yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi diadakan serentak iaitu 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan 4 Nov ini sebagai hari mengundi.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash, berkata Batu Sapi dan Galas bukan merupakan platform baik untuk mengukur tahap sokongan secara keseluruhan kerana Galas merupakan kerusi penduduk Melayu di kawasan luar bandar manakala Batu Sapi mempunyai isu-isu tempatan tersendiri.

Bagaimanapun, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, berkata keputusan kedua-dua PRK itu masih menjadi petunjuk baik sentimen pengundi berikutan kedua-dua tempat itu merupakan kubu kuat BN.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata masalah utama di kedua-dua kawasan PRK itu bukan mengenai peluang BN tetapi bagaimana BN menangani punca sebenar kemerosotan sokongan kaum Cina.

“Mendapat kepercayaan pengundi di dua kerusi tersebut bukan merupakan masalah kepada BN jika mereka memilih calon yang sesuai dan popular tetapi isu sama ada strategi BN dapat menangani masalah itu,” katanya.

Menurutnya aliran sokongan pada 14 PRK sebelum ini jelas menunjukkan pengundi Cina bergerak ke arah pembangkang walaupun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan pusat tetapi masih mengundi pihak pembangkang.

Katanya perancang strategi BN perlu melihat lebih daripada pilihan raya kecil dan menumpukan kepada soal menyelesaikan masalah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau pula berkata BN tidak mempunyai pilihan kecuali mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi bagi mengelak terhakisnya tanggapan bahawa Sabah dan Sarawak adalah ‘simpanan tetap’ BN.

–Bernama

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: