Kalam Perantau

Icon

Resolusi Persidangan Shah Alam : Meneruskan cita-cita Rakyat

Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat
29 November 2010, Shah Alam, Selangor

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

  • Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
  • Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai  berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
  • Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
  • Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
  • Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

  • Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
  • Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
  • Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
  • Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
  • Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri;  dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(Menteri Besar Selangor)

Lim Guan Eng
(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Kedah)

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

“Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

“Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

“Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

PRU 13 : Pakatan belum tentu kekal di Selangor

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menghadapi risiko hilang sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya ia tidak bersatu, kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, walaupun Pakatan Rakyat memenangi 17 daripada 22 kerusi parlimen dan 36 daripada 56 kerusi DUN di Selangor pada 2008, tetapi tiada jaminan bahawa ia pasti dapat mempertahankan kuasa di negeri paling maju itu.

Lapan daripada kerusi parlimen, tegas Lim, dan sepuluh kerusi DUN dimenangi dengan majoriti kurang daripada 10 peratus.

“Saya tahu ada orang yang percaya Pakatan Rakyat tidak boleh hilang kuasa di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya ketika merasmikan konvensyen DAP Selangor hari ini.

“Bolehkah Umno dan BN memenangi semula Selangor dalam pilihanraya umum akan datang? Adakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak dapat dikalahkan? ”

Lim mengambil perubahan kerajaan di Terengganu sebagai contoh yang jelas tentang bagaimana nasib politik boleh datang dan pergi, apabila PAS tanpa diduga mencapai kemenangan 28-4 kerusi DUN pada 1999.

Dalam pilihan raya umum 2004, PAS tidak menduga akan kehilangan kuasa di Terengganu tetapi ia pula kalah 28-4 di tangan Umno dan BN.

Oleh itu, tegasnya, Pakatan Rakyat perlu belajar daripada sejarah

Filed under: News, , , , , ,

PKR Sahkan Pengunduran Zaid Berkuat Kuasa Serta-Merta

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan permohonan keluar parti Datuk Zaid Ibrahim berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Biro Politik partiyang bermesyuarat pada Ahad bersetuju agar pengunduran Zaid disegerakan tanpa menunggu tarikh 16 Disember seperti yang dikehendaki bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu sebelum ini.

Beliau menyifatkan keputusan berkenaan tidak dianggap ‘memecat’ dari parti sebaliknya sekadar ‘menunaikan hasrat’ Zaid yang mahumeninggalkan PKR.

“Ibu Pejabat parti menerima surat Datuk Zaid pada 19 November pada pukul 10.30 pagi, jadi Biro Politik mengambil keputusan untuk tunaikan dengan segera hasrat beliau itu.

“Kita bukan pecat kerana beliau hantar surat… sekadar nak mudahkanDatuk Zaid untuk aturkan langkah yang seterusnya,” katanya pada sidangmedia di sini, Isnin.

Jumaat lalu Zaid secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada PKRberkuat-kuasa pada 16 Disember namun menafikan tarikh berkenaanmempunyai siknifikasi tertentu.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah parti baru danbertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Filed under: News, , ,

Negeri Pakatan tidak akan bersama dalam PRU 13?

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ketika berita angin bertiup kencang pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam pilihan raya itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Ini kerana, mereka yang menguasai empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Pendapat beliau disokong oleh anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

“Kita ada negeri yang hendak diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka,” kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa membuat cadangan yang serupa.

Beliau mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.

“Kita mesti ada kuasa tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja,” kata Husam dalam satu kenyataannya.

PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan iaitu antara Mac atau April 2011.

Bendahari PKR yang juga anggota Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.

Pemilihan dalam PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi berpecah.

Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak dinyatakan oleh beliau.

Filed under: News, , , , ,

Nurul Izzah naib presiden PKR paling kanan

Oleh : Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar menjadi naib presiden PKR paling kanan kini apabila beliau memenangi undi terbanyak dalam pemilihan PKR yang berakhir semalam.

Beliau mendapat undi tertinggi iaitu 13,170 mendahului naib presiden sekarang Tian Chua yang mendapat 11,460, pengarah pilihan raya Fuziah Salleh (8,891) dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansur Othman (8,477) yang turut terpilih.

Sebagaimana dijangka, Azmin Ali memenangi jawatan timbalan  presiden apabila mendapat 19,212 mengalahkan pencabarnya, Mustaffa Kamil Ayub yang cuma mendapat 4,567 undi.

Keputusan itu berdasarkan 214 daripada 222 cabang PKR yang berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Berbanding keputusan minggu sudah, exco Selangor berjaya memintas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan di tempat kelima.

Hanya empat kerusi sahaja diperuntukkan untuk pemilihan naib presiden. Bagaimanapun, PKR berhak melantik dua lagi ke jawatan itu.

Berikut jumlah Undi yang diterima mereka:

Nurul Izzah – 13,170
Tian Chua – 11,460
Fuziah Salleh – 8,891
Dr Mansor Othman – 8,477
Dr Xavier Jayakumar – 6,984
Gobalakrishnan – 6,721
Yahya Sahri – 6,436

Keputusan rasmi akan diumumkan dalam kongres PKR di Petaling Jaya yang akan berlangsung minggu depan

Filed under: News, , , , ,

Pilihanraya mungkin antara April dan Jun 2010

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru seluruh petugas parti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) yang dijangka diadakan antara April hingga Jun tahun hadapan.

Bercakap dalam majlis makan malam jentera pilihan raya PAS Wilayah Persekutuan di Taman Cempaka, Pandan Jaya malam tadi, beliau juga tidak menolak kemungkinan PRU 13 diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

“Pilihan raya sudah hampir dengan kita. Saya menjangkakan pilihan raya berlaku antara bulan April hingga Jun tahun hadapan, itu paling awal. Ini bacaan politik berasaskan situasi politik yang ada di negara ini.

“Saya boleh membuat kesimpulan, kalau pilihan raya Sarawak diadakan pada April tahun hadapan ini menunjukkan kemungkinan pilihan raya itu diadakan sekali dengan pilihan raya umum,” kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Turut serta pada majlis itu seorang lagi naib presiden, Salahudin Ayub.

Kata Mahfuz, PAS perlu menyiapkan jentera medianya sendiri di setiap lajnah bagi melawan manipulasi media Umno yang membuat laporan berat sebelah.

“Amat perlu untuk media kita membuat serangan balas kepada serangan media mereka. Sebab itu dalam situasi sekarang, tidak cukup Harakah dan akhbar alternatif yang lain tetapi dalam lajnah penerangan sendiri perlu ada pasukan media sendiri menggunakan segala teknologi maklumat yang ada,” katanya.

Beliau turut memuji langkah PAS Wilayah mengadakan program mengutip dana sedemikian bagi membuat persiapan awal.

Kemenangan Di Galas dan Batu Sapi bukan petanda baik bagi BN

Sementara itu, Salahuddin berkata, kemenangan BN di pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi baru-baru ini bukanlah petanda baik bagi BN untuk mengekalkan kemenangan mereka dalam PRU akan datang.

“Berdasarkan dua pilihan raya kecil yang berlangsung, penganalisis politik berpandangan keputusan itu tidak mencerminkan pandangan umum di peringkat nasional.

“Walaupun BN menang selesa kita melihat cara media melaporkan kemenangan itu juga tidak begitu memberangsangkan mereka, laporan cuma satu hari sahaja,
kata beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, pemimpin Umno BN sendiri tiak begitu ghairah meraikan kemenangan itu, seolah-olah masih berada dalam kebimbangan dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

“Kemenangan itu tidak menjadi topik penting bagi Umno untuk dibanggakan dan suhu perbahasan di Parlimen dan bila melihat riak wajah pemimpin Umno mereka tak begitu ghairah untuk meraikan kemenangan yang mungkin berlaku atas beberapa faktor itu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib juga ujarnya, tidak mengeluarakan satu kenyataan yang tegas bagi mengakui kemenangan mereka dan bersedia menghadapi PRU awal.

Justeru ujarnya, PAS dan Pakatan Rakyat masih mempunyai peluang yang luas untuk menguasai PRU 13.

“PAS sebagai parti yang berpengalaman luas, harus bijak mengambil peluang ini dengan mengadakan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi BN,” katanya.

Filed under: News, , , ,

Yang Terbaik Untuk Zaid

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

MINGGU lalu penulis telah bertanya, bagaimakah kerjaya politik Datuk Mohd Zaid Ibrahim akan berakhir dalam PKR. Hari ini kita semua sudah memperolehi jawapannya – beliau mengisytiharkan keluar dari parti tersebut.

Langkah paling logika yang akan diambil oleh tokoh politik paling kontroversi tahun ini adalah untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Hasrat untuk menubuhkan parti baru ini pun telah siang-siang lagi diumumkan oleh Zaid iaitu ketika beliau mengadakan roadshow di Kedah, Khamis lalu untuk menjelaskan kepada ahli-ahli PKR mengapa beliau bertindak menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Kini segala-galanya bergantung kepada Pendaftar Pertubuhan. Secepat manakah proses pendaftaran parti politik baru yang akan diketuai oleh Zaid Ibrahim akan diluluskan.

Yang Terbaik Untuk Zaid

Semalam (Ahad), penulis membuat andaian di dalam kolum penulis di Mingguan Mstar bahawa apabila Zaid mengumumkan untuk menubuh parti baru yang akan dinamakan Keadilan Baru seandainya dipecat, ternyata itulah yang sedang dialu-alukannya. Ternyata andaian penulis silap.

Beliau tidak menunggu untuk dipecat sebaliknya beliau mengumumkan keluar dari Keadilan. Namun itulah yang disyorkan oleh penulis kepada Zaid semalam. Jalan keluar terbaik untuk Zaid adalah untuk dia meninggalkan parti itu dan tubuh partinya sendiri. Itu lebih baik dan itu lebih sesuai untuk orang yang berperwatakan sepertimana Zaid Ibrahim ini.

Ini kerana dia masuk parti orang yang dah bersarang dan bertapak lama dan cuba merubah parti itu ikut acuan dan cara pemikirannya. Anwar, Wan Azizah dan Azmin adalah PKR dan PKR adalah mereka. Mereka orang lama yang dah berjuang dan bercalar balar berperang ketika zaman reformasi dan zaman jatuh bangun PKR dulu tiba-tiba nak disuruh berhenti oleh Zaid. Mana ada jalan.

Paling senang buka parti baru sebagaimana yang dia sendiri tengah pertimbangkan itu. Penulis percaya, Pendaftar Pertubuhan boleh dengan segera mempermudahkan permohonan Zaid sekiranya dia membuat permohonan. Sehubungan dengan itu juga, Zaid boleh menggariskan piagam dan halatuju parti baru yang diterajuinya itu mengikut acuan dan kepercayaannya selama ini.

Angka Yang Mengugat

Bila berbuat demikian, dia tidak perlu lagi nak kena rujuk kepada pucuk pimpinan atau orang atas kerana dia yang paling atas. Pada masa yang sama, semua 3,988 penyokong Zaid yang sehingga dia menarik diri daripada bertanding telah memberi undi dan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya boleh beramai-ramai keluar PKR dan sertai Keadilan Baru.

Jumlah itu pun dah cukup ramai dan ini belum termasuk lagi ahli di cabang-cabang lain yang belum sempat mengundi Zaid. Dengan jumlah undi asas 3,988 yang diterimanya, penulis berani membuat kesimpulan, jika hari ini Zaid mengisytiharkan tubuh parti baru, paling minima pun, tidak kurang daripada 6,000 orang anggota Keadilan yang akan keluar untuk turut serta bersamanya.

Itu kita cuma ambil angka konservatif belum termasuk lagi bukan ahli Keadilan yang menyokong cara politik Zaid yang serba berani ini. Campur sana campur sini, “satu Malaya” termasuk Sabah dan Sarawak, senang-senang Zaid boleh kumpul antara 10,000 hingga 15,000 ahli baru dalam tempoh satu minggu sahaja.

Ini adalah satu angka yang mengugat PKR sebenarnya. Maka tidak hairanlah “musuh politik” Zaid paling utama, Azmin Ali dengan segera pada hari Jumaat cuba “memujuk” Zaid agar tidak terburu-buru dalam langkahnya untuk menubuhkan parti baru. Azmin menasihati Zaid agar terus berjuang dalam PKR walaupun terdapat perbezaan pendapat dan cara berpolitik. Azmin lantas mengingatkan Zaid ketika dia menyertai PKR dahulu, ia adalah atas semangat bersama untuk meneruskan agenda melakukan perubahan dan reformasi.

Malangnya, Zaid tidak lagi berkongsi semangat dan citarasa yang sama kerana baginya, yang tidak sama ialah mereka bukan dia. Maka sebab itulah dia sedang ‘mengamuk’ sekarang

Filed under: News, , , , ,

Mat Said ‘bohong’ lagi kerana nama?

Oleh : Wan Kay   

Kuala Terengganu : Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dilaporkan sanggup membohongi rakyat Terengganu dan Malaysia amnya, dengan program berkhatam al-Quran beramai-ramai hingga memecah rekod Negara dan dunia.

Kononnya, ramailah anak-anak Terengganu ini berkhatam al-Quran hingga dalam satu masa mencecah hampir 17,000 orang diadakan serentak.

Skuad Buletin, bukan cuba menafikan tanpa sebab tetapi didedahkan maklumat ini oleh para guru dan murid-murid sendiri yang terlibat dengan majlis khatam Quran itu.

Ianya, dibuat semata-mata inginkan nama tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagaimana yang pernah dibuat oleh mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Hari ini, MB Mat Said juga meraikan kejayaannya apabila menjadi negeri pertama perkenalkan khatam al-Quran menggunakan buku elektronik atau e-Book yang diagihkan kepada para pelajar tahun enam sejak dua tahun lalu.

Sekaligus, katanya tercatatlah dalam Malaysia Book of Records program tersebut berlangsung serentak di seluruh daerah di negeri ini menyaksikan seramai 2,170 murid khatam menggunakan e-Book.

Bahkan, katanya seramai 16,929 orang murid tahun lima dan enam di seluruh negeri terlibat dengan program khatam al-Quran tersebut.

Tinjauan Skuad Buletin pada majlis khatam al-Quran yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu telah melihat sendiri ada sesuatu yang tidak kena serta bermotif politik.

Ibubapa dan orang ramai dapat melihat sendiri dengan jelas sebahagian besar para pelajar khatam al-Quran yang sepatutnya menggunakan e-Book tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, murid-murid terbabit membaca dengan berpandukan kitab kecil yang dibekalkan kepada setiap peserta.

Buku elektronik (e-Book) yang diletakkan dihadapan pelajar itu sekadar hiasan sahaja dan apa sebab tidak diketahui.

Selain itu, pemilihan murid yang terlibat dengan khatam al-Quran turut diragui kerana terdapat ramai di kalangan pelajar berkenaan sebenarnya belum lagi khatam sepenuhnya.

Menurut sumber dalaman pemilihan para pelajar terbabit adalah termasuk mereka yang boleh membaca al-Quran meski pun belum khatam sepenuhnya.

Malah, apa yang melucukan terdapat juga di kalangan para pelajar terbabit yang terpilih ke program khatam al-Quran kerana mengikut kawan sahaja.

Seorang guru pengiring yang enggan disebut namanya mendakwa pemilihan pelajar ke program khatam al-Quran dibuat secara angkat tangan.

“Kelakar juga kali ini, pemilihan pelajar untuk program khatam al-Quran ini dibuat secara angkat tangan.

“Guru akan tanya anak muridnya sesiapa yang telah khatam Quran angkat tangan dan beri nama untuk menyertai majlis berkhatam beramai-ramai di Stadium,” ujarnya.

Menurutnya, jika diselidiki betul-betul jumlah pelajar yang benar-benar khatam al-Quran tidak seramai yang diumumkan Menteri Besar Terengganu.

Seorang pelajar, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) mengakui belum ‘tamat’ (khatam) Quran tetapi terpilih kerana mengangkat tangan ikut kawan.

“Saya belum tamat (khatam) lagi Quran ‘besar’ tetapi boleh membacanya. Bila ustaz tanya dalam kelas siapa tamat Quran angkat tangan. Saya pun angkatlah ikut kawan,” jelasnya dari sebuah sekolah di daerah Kuala Terengganu.

Katanya, tindakan berbuat demikian dilakukan oleh ramai lagi kawan-kawan yang lain kerana pemilihan terbuka.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan kes pelajar yang belum tamat al-Quran tetapi ‘dikhatamkan’ usaha terdesak kerajaan Barisan Nasional mencari nama.

Katanya, demi mengejar nama untuk dibanggakan kerajaan Umno-BN Terengganu boleh buat apa sahaja walau pun dengan cara menipu.

“Ini bukan perkara baru, banyak kes yang berlaku di negeri ini dibuat hanya untuk cari nama dan dibanggakan walau pun secara tidak betul.

“Pencapaian UPSR setiap tahun diragui, kejayaan mengatasi kemiskinan diragui, khatam Quran diragui dan banyak lagi pencapaian di bawah kerajaan Umno-BN diragui,” ujarnya.

Menurutnya, PAS bukan menentang usaha baik yang dilakukan kerajaan negeri jika benar-benar terjadi tanpa ‘pembohongan’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung berkata akan membangkitkan beberapa isu yang meragukan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Zaid: ‘Saya tidak sertai PAS, susah parti besar-besar ini’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim hari ini menjelaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk PAS sebaik sahaja keluar secara rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 16 Disember ini.

Sebaliknya, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata, adalah lebih baik jika menubuhkan parti baru daripada menyertai PAS.

“Saya tidak akan masuk PAS, susah parti besar-besar ini.

“Lebih baik saya sendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di sini pagi ini.

Terlebih dahulu ketika sidang media itu, Zaid berkata beliau akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini.

Beliau turut mengesahkan kemungkinan akan menubuhkan parti baru berkata beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Namun menurut Zaid, parti baru itu hanya akan ditubuhkan sekiranya mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong beliau.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sama ada parti Islam itu akan menerima Zaid sebagai ahli PAS bergantung kepada keputusan yang dibuat Zaid hari ini.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Had yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan “dingin” dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Terdahulu kata Zaid, beliau menyertai PKR kerana mempercayai wadah perjuangan reformasi yang tulen yang diamalkan parti itu.

“Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam.

“Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu,” katanya.

Menurut Zaid adalah wajar baginya meninggalkan PKR apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

“Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

“Saya juga amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli parti kepada saya selama ini.

“Ingin saya tegaskan bahawa karier politik saya adalah sesuatu yang kecil sahaja, (tapi) yang paling penting kepada kita ialah politik kotor dan penipuan yang mesti kita tentang walau dari mana ia datang,” katanya.

Filed under: News, , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories