Kalam Perantau

Icon

SPR timbang cadangan benarkan kempen pilihan raya hingga 21 hari

Oleh G. Manimaran

PUTRAJAYA, 9 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan pertubuhan bukan kerajaan ke arah sistem pilihan raya adil, Bersih 2.0 agar tempoh berkempen dilanjutkan hingga maksimum 21 hari.

Ia salah satu daripada 11 perkara dibangkitkan oleh Bersih 2.0 untuk perhatian SPR dalam memorandum dikemukakan Julai lalu dan dibincangkan kedua-dua pihak itu hari ini.

“Kami meminta maksimum 21 hari untuk berkempen, mereka (SPR) bersedia untuk melihat idea itu,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan selepas pertemuan kira-kira dua setengah jam dengan SPR di sini hari ini.

Di bawah undang-undang pilihan raya semasa tempoh berkempen minimum yang dibenarkan adalah tujuh hari dan tempoh maksimum boleh ditetapkan mengikut budibicara SPR.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi The Malaysian Insider selepas pertemuan itu memberitahu, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pandangan pihak-pihak lain.

“Kami juga ada menerima pandangan daripada pihak-pihak lain, ada pihak yang mengatakan tempoh semasa sudah cukup… memadai, 10 hari berkempen pun sudah penat, sampai tidak boleh buka mata,” katanya.

“Sekarang tempoh minimum adalah tujuh hari, tiada peruntukan tempoh maksimum, SPR boleh tentukan tempoh maksimum,” kata Abdul Aziz.

Pilihan raya umum nasional dan negeri di negara ini pernah menyaksikan tempoh berkempen antara 30 hingga 40 hari satu masa dahulu. Bagaimanapun ia kemudian dikurangkan mengikut kemajuan dan pembangunan negara khususnya sejak 1980-an.

Secara purata, tempoh berkempen pilihan raya kecil dan umum yang diperuntukkan SPR sejak pilihan raya umum 1982 adalah antara sembilan hingga 10 hari.

SPR mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 hari ini iaitu sehari sebelum pertubuhan bukan kerajaan itu dilancarkan — ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 semakin meningkat. Bersih pernah mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Perhimpunan tahunan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini membuat ketetapan agar gerakan Bersih dihidupkan semula bagi menjamin pilihan raya umum ke-13 yang bebas dan adil. Bersih 2.0 akan dilancarkan di Petaling Jaya, Rabu ini serentak program melanjutkan usaha ke arah pilihan raya bersih dan adil.

Mengenai hasil perbincangan sulung dengan SPR hari ini, Ambiga berkata, pihak berpuas hati dengan hasil perbincangan.

“Ada cadangan kami diterima, ada cadangan kami tidak diterima… SPR memberikan alasan mereka,” kata beliau yang pada keseluruhannya kelihatan berpuas hati dengan pertemuan tersebut. Kedua-dua pihak akan mengadakan pertemuan susulan dijangka Januari ini.

Abdul Aziz juga berkata beliau gembira dengan pertemuan mereka hari ini dan akan bertemu semula awal tahun depan.

“Sesetengah isu, mereka kata OK, tetapi berhubung soal dakwat kekal, ia tidak akan digunakan tetapi mereka memberitahu bahawa akan menggunakan kaedah biometrik… kita tengok nanti.

“Kami berpendapat bahawa mereka (SPR) adalah ejen peurbahan dalam mengadakan sistem pilihan raya (lebih baik). “Kami berharap, apabila kami bertemu dalam dua bulan, apa (langkah) yang telah diambil (oleh SPR),” kata Ambiga lagi sambil menambah, “ada beberapa perkara yang boleh diselesaikan segera.”

“Mereka (Bersih 2.0) boleh cadangkan, kami dengar pandangan mereka, tetapi keputusan akhir kami putuskan,” kata Abdul Aziz lagi. Kata Abdul Aziz, ada perkara yang boleh dilaksanakan oleh SPR dan ada yang tidak boleh dilaksanakan, antara sistem pendaftaran secara automatik dan had layak mengundi 18 tahun.

“Ini soal undang-undang, kami ikut peruntukan yang ada. Jika undang-undang dipinda, SPR sedia melaksanakan pendaftaran secara automatik, had layak pengundi 18 tahun,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Bersih 2.0 akan turun untuk mengadakan demonstrasi jalanan, Ambiga berkata, “tetapi tengok perkembangan (hasil perbincangan), kami serius, kami sangat serius untuk melihat (sistem pilihan raya yang adil dan telus).”

Pada pertemuan itu, Bersih 2.0 kata Ambiga, ada menyuarakan bahawa pihaknya tidak gembira dengan tindakan pihak berkuasa menyalurkan sumbangan dan projek, yang dilihat begitu ketara, ketika tempoh berkempen pilihan raya khususnya ketika pilihan raya kecil. Perkara itu menjadi perhatian semasa pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi baru-baru ini.

“Kami (Bersih 2.0) memberitahu bahawa kami tidak gembira dengan tindakan kerajaan menyalurkan wang dan projek. Perkara ini begitu jelas semasa pilihan raya. “SPR memberitahu bahawa mereka juga telah meminta parti-parti politik tidak menggunakan jentera kerajaan semasa berkempen,” katanya lagi.

Mengenai isu pendaftaran pemilih secara automatik, kata Ambiga, meskipun SPR nampaknya tidak begitu berminat, tetapi Bersih 2.0 telah meminta suruhanjaya itu agar mengkaji semula keputusan itu dan mengemukakan sebagai pembaharuan sistem pilihan raya yang komprehensif.

“Berhubung keperluan media bebas dan adil kepada semua parti, SPR memaklumkan bahawa mereka sebenarnya ada menulis dan kadangkala bertemu dengan organisasi media, meminta agar diberikan liputan media yang luas (kepada semua calon dan parti).

“Ini sesuatu yang baik, dan harus diketahui umum. Tetapi, jika begitu keadaan, kita kena mempersoalkan tindak tanduk media, yang tidak memberikan liputan media yang bebas dan adil kepada parti-parti yang bertanding,” katanya.

Antara isu utama dalam reformasi pilihan raya disertakan dalam memorandum Bersih 2.0 termasuklah:

  • Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti
  • Penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda
  • Reformasi dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem lebih fleksibel bagi semua pengundi
  • Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti bertanding
  • Tempoh kempen minimum 21 hari
  • Amalan-amalan adil dan profesional dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian tidak adil (“malaportionment, gerrymandering”) yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang
  • Pendaftaran automatik untuk semua pengundi layak
  • Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun
  • Reformasi dalam urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan dan mengehadkan kecenderungan terhadap politik wang
  • Pentadbiran tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya umum atau kecil, untuk badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri
  • Memperjuangkan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam politik dalam dan di luar kampus.

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: