Kalam Perantau

Icon

Zaid keluar PKR kuat kuasa 16 Dis, tanding PRU-13

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
 
PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu hari ini.

Zaid yang turut mengesahkan akan menubuhkan parti baru berkata, beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun depan.

Zaid pernah menang kerusi Parlimen Kota Baru pada pilihan raya umum 2004 ketika masih di Umno dan bertanding  pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR tetapi tewas.

Pada sidang media di rumahnya di sini hari ini, Zaid yang kelihatan terus membidas PKR dan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil keputusan itu ekoran perasaan kecewa terhadap parti itu dan kepimpinannya selain hasrat mahu menjana pembaharuan politik yang sebenar di negara ini.

Ketika ditanya signifikan tarikh 16 Disember yang dipilihnya, Zaid dengan ketawa besar berkata, Anwar sendiri memilih 16 September (2008) untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

Pelan 16 September itu tidak menjadi kenyataan.

“Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember.

“Sekurang-kurangnya saya tidak seperti beliau, mendakwa ada cukup Ahli Parlimen akan menyertai PKR. Bagi saya, saya hanya mengumumkan saya akan keluar PKR,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakannya mahu keluar PKR dan kemungkinan menubuhkan parti baru tidak bermakna akan memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat.

“Saya mahu semua menjadi kawan saya.

“Sama ada Pakatan Rakyat terjejas atau tidak, kena tanya PAS dan DAP,” kata Zaid.

Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu juga memberitahu, keputusan untuk menubuhkan parti baru itu akan dibentuk sekiranya mendapat sokongan daripada penyokongnya.

 “Saya kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kalau ada sokongan daripada penyokong saya akan tubuhkan parti baru tapi apa-apa pun kita tunggu reaksi daripada penyokong dulu,” katanya.

Menurut Zaid, parti baru yang akan ditubuhkan itu akan berdasarkan prinsip prinsip yang adil, demokratik dan memperjuangkan isu-isu penting.

“Perjuangan parti baru ini berasaskan perjuangan yang betul, sebuah parti yang demokratik dan berteraskan isu-isu penting.

“Kalau nak tahu dengan lanjut tentang parti baru ini, kita kena tunggu ia ditubuhkan dulu,” kata bekas pemimpin ini yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu, beberapa bulan selepas dipecat oleh Umno.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekiranya sehingga pilihan raya masih belum ditubuhkan parti baru beliau akan bertandung sebagai calon Bebas.

“Soal di mana saya nak bertanding, itu saya masih belum tahu. Tapi saya memang akan bertanding.

“Sekiranya dalam tempoh itu belum ada parti baru, walaupun sukar untuk gagal, maka terpaksalah saya bertanding sebagai calon Bebas.

“Tapi kalau nak bertanding lebih elok jika berada di bawah satu label (parti), selain itu kita juga akan ada penyokong,” katanya.

Tambah Zaid, rakyat di negara ini dapat membuat keputusan bijak dalam pilihan raya akan datang.

“Saya tidak boleh nak anggarkan berapa ramai penyokong saya, nanti jadi macam PKR dan Umno pula.

“Tapi saya percaya rakyat cukup bijak untuk membuat keputusan, kalau mereka masih mahu berada dalam penipuan dan bermimpi mereka boleh bersama Anwar tapi mereka mungkin juga boleh memilih untuk bersama saya.

“Saya bukan Anwar yang anggap diri sebagai pemimpin alaf 21 dan saya juga bukan penceramah terbaik macam Anwar.

“Saya percaya masih ada penyokong yang mempercayai perjuangan saya. Saya meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memahami bahawa kita mesti berpegang teguh kepada prinsip dasar yang ikhlas walau dalam apa jua situasi,” katanya.

Terlebih dahulu ketika mengumumkan keluar PKR, Zaid berkata tindakan tersebut disebabkan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pemimpin kanan parti berhubung dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

“Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti seperti Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR) tuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru.

“Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR) pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti.

“Anwar pula menggelar saya sebagai ‘Trojan Horse’ dan ‘Sore Loser’, fitnah dan putar belit ini memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya rasa hari ini mereka gembira,” katanya.

Zaid, salah seorang calon jawatan timbalan presiden PKR menarik diri daripada saingan minggu lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan dan awal minggu ini mengumumkan akan keluar PKR

Filed under: News, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: