Kalam Perantau

Icon

Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

“Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

“Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

“Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: