Kalam Perantau

Icon

Elia Suhana masih isteri kedua bekas Sultan Kelantan

KOTA BHARU – Elia Suhana Ahmad, 31, kekal isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai terhadapnya yang difailkan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu.

Hakim Syarie, Abdullah Man memutuskannya berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan sepanjang prosiding dan kegagalan pihak plaintif membuktikan lafaz cerai tersebut berlaku pada 12 Februari 2010 ketika baginda dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

”Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan plaintif kerana terdapat beberapa isu berbangkit. Bagaimanapun, permohonan baru boleh dikemukakan dengan saya sendiri sebagai saksi berdasarkan fakta baru mengikut hukum syarak dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Nik Rorhana hadir bersama peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Halim Bahari sementara defendan, Elia Suhana tidak hadir dan diwakili oleh peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan.

Hakim dalam keterangannya berkata, penolakan permohonan tersebut disebabkan timbul beberapa isu berkaitan.

”Pertama, ia berhubung dengan permohonan plaintif, isunya bolehkah mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang didakwa berlaku itu sedangkan plaintif tidak mempunyai kaitan dengan Sultan Ismail malah bukan juga isterinya.

”Isu kedua, adakah dakwaan plaintif Sultan melafazkan cerai terhadap defendan boleh disabitkan atau tidak kerana lafaz berlaku di Singapura atau cukupkah syarat-syarat perceraian yang didakwa termasuk saksi.

”Seterusnya, apakah boleh mahkamah mengambil kira pertemuan hakim yang menghadap Sultan Ismail pada 30 Oktober lalu sedangkan kehadiran tersebut secara bersendirian dan tidak memenuhi kehendak prosedur mahkamah,” katanya.

Menjawab isu yang beliau kemukakan, Abdullah menjelaskan, berkaitan isu pertama, selepas mahkamah meneliti permohonan, plaintif mempunyai hak mengetahui pengesahan lafaz cerai tersebut mengikut hukum syarak.

”Berhubung isu yang kedua pula, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan lafaz cerai yang didakwa pada 12 Februari lalu kerana melalui dua saksi yang dikemukakan, hanya saksi pertama yang memuaskan hati mahkamah, manakala saksi seorang lagi tidak memenuhi syarat.

”Bagi isu ketiga berkaitan pertemuan hakim iaitu saya sendiri pada 30 Oktober lalu dengan Sultan Ismail di istana tidak boleh dijadikan asas perceraian tersebut,” katanya.

Ini kerana, kata Abdullah, walaupun peranannya hadir ke istana sebagai hakim tetapi dalam situasi menghadap sultan seorang diri, peranannya telah berubah kepada saksi.

”Saya sebenarnya seorang hakim tetapi ketika menghadap tuanku, saya seorang saksi kerana untuk melayakkan saya sebagai hakim, pertemuan tersebut sepatutnya mengikut kehendak prosedur mahkamah iaitu disertai plaintif, defendan dan peguam kedua-dua belah pihak.

”Walaupun sebelum ini mahkamah memohon menghadap baginda, tetapi permohonan tidak diizinkan dan hanya seorang hakim yang dibenarkan menghadap,” katanya.

Tambahnya, tanpa kehadiran pihak-pihak yang sepatutnya dalam pertemuan tersebut, bagaimana mahkamah boleh mengesahkan lafaz cerai yang difailkan oleh plaintif.

”Saya hanya saksi dan timbul persoalannya, siapa pula yang menjadi hakim. Berdasarkan situasi tersebut saya tidak memenuhi fungsi dan syarat-syarat sebagai hakim,” katanya.

Di dalam penggulungan keputusan tersebut, Abdullah juga menawarkan diri untuk menjadi saksi dan kenyataan tersebut mengundang persepsi berbeza kepada peguam plaintif Zainul Rijal.

”Sepatutnya apabila hakim hari ini menawarkan diri menjadi saksi dalam kes pengesahan lafaz cerai tersebut berdasarkan pertemuannya dengan Sultan Ismail pada 30 Oktober lalu, keputusan permohonan sepatutnya tidak dibuang (ditolak) pada hari ini,

”Sebaliknya, beliau mencadangkan untuk menarik diri daripada mendengar kes berkaitan dan meminta mahkamah melantik hakim lain dan perbicaraan dapat diteruskan,” katanya.

Katanya, keputusan lebih kepada isu teknikal yang mana hakim telah menghadap Sultan Ismail dan timbul konflik apabila Abdullah lebih layak sebagai saksi dan menawarkan diri apabila permohonan difailkan.

”Bagi pihak anak guam, saya akan mendapatkan arahan selanjutnya khusus daripada Sultan Ismail sendiri untuk memfailkan semula permohonan dan memanggil hakim Abdullah sebagai saksi atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Fakhrul ketika ditemui berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan akan berbincang dahulu dengan Elia Suhana untuk memfailkan semula permohonan hak lawatan yang hilang selepas mahkamah menerima permohonan bantahan awal Tengku Anis Tengku Hamid pada 24 Oktober lalu

Filed under: News, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: