Kalam Perantau

Icon

Ku Li minta Majlis Raja-Raja Beri Perhatian Terhadap Krisis Istana Kelantan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gambar kiri – Kuli bersama isteri)  meminta Majlis Raja-Raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Beliau juga mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

Kenyataan bertarikh 27 November lepas, diedarkan oleh Tengku Razaleigh di pejabatnya di sini supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismail Petra.

“Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh dunia. Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.

“Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hayat beta,” kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.

“Beta tidak kehilangan keupayaan untuk terus menjadi Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim untuk terus menjalankan tugas Perlembagaan beta menurut hak Perlembagaan.

“Dengan demikian maka beta dengan ini mengisytiharkan bahawa tiada mana-mana pihak dan sesiapa pun selain daripada beta yang boleh mendakwa menjadi Sultan dengan menderhaka kepada beta dan tradisi serta adat dan melanggar hak-hak sejarah para waris raja yang kini sudah merupakan bahagian yang mutlak dalam Perlembagaan Kelantan,” kata Sultan Ismail Petra.

Tengku Razaleigh juga melafazkan taat setia beliau kepada Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dan menyifatkan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, adalah tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Berikutan itu, beliau berkata: “Saya setia kepada Sultan Ismail. Saya cuma hendak tengok keluarga diraja ini dapat didamaikan dan tidak ada lagi krisis sebagaimana berlaku sejak Tuanku gering pada bulan Mei tahun sudah,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, dalam erlembagaan, seorang Sultan boleh digantikan sekiranya, pertama Sultan yang sedia ada itu mangkat, kedua Sultan itu berhenti menjadi Sultan dan ketiga, Sultan itu meninggalkan negerinya tanpa sebarang alasan yang munasabah selama 12 bulan.

Katanya, pelantikan Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dilakukan mengikut perlembagaan di mana baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Yahya Petra. “Tiba-tiba ada pindaan kepada perlembagaan yang dibuat oleh Pemangku Raja negeri, itu saya tidak tahu bagaimana boleh dilakukan. Kalau mahkamah mengesahkan, itu hak mahkamahlah. Tapi biasanya ia tidak dilakukan.

“Ini yang menjadi tanda tanya, Sultan yang ada sekarang, Sultan Ismail Petra adalah sultan yang sah yang telah ditabal dan dimahkotakan selepas mangkatnya Sultan Yahya Petra.

“Dia (Sultan Ismail) sudah menjadi raja tanpa berlaku kesalahan apa-apa, cuma gering baru-baru ini tapi beransur pulih. Mengikut doktor, baginda berupaya untuk melaksanakan tugasnya cuma tidak boleh berjalan,” katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan rakyat di Kelantan mengenai krisis ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di negeri itu berkelakuan baik dan menerima apa yang berlaku tetapi tetap melahirkan rasa gelisah mereka mengenai urus tadbir kerajaan negeri.

“Kalaulah keadaan yang berlaku di Kelantan itu, berlaku di mana-mana sahaja, saya rasa, boleh berlaku huru-hara negara kita. Kalau raja boleh dibuang dengan senang dan ini pula dibuang oleh orang di dalam negeri berkenaan, kerana dia memangku dan disifatkan ada kuasa seperti raja juga maka dibuang raja yang ada walaupun bapa, huru hara. Tiada siapa yang akan kekal menjadi raja.

“Ini adalah peristiwa yang tidak pernah berlaku yang saya rasa boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir yang tidak menentu dalam negeri dan negara dan sudah tentu akan merisaukan dan mengelirukan rakyat ramai. Dan kestabilan pun akan tergugat dan pemerintahan pun tidak dapat menentukan yang sepatutnya untuk dijalankan pemerintahan,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelucutan dua pingat, Tengku Razaleigh berkata hal itu tidak menjadi persoalan yang besar kerana yang penting adalah rakyat bukan darjah kebesaran.

Pada Ahad, Istana Kelantan mengesahkan Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I).

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. – BERNAMA

Advertisements

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: