Kalam Perantau

Icon

Riyapadu Sdn. Bhd Langgar Perjanjian Kontrak

Ditulis oleh BuletionOnline    

Saman RM1 Bilion: PAS pertahankan hak rakyat

KUALA TERENGGANU: PAS mempertahankan tindakannya menamatkan kontrak konsesi pembalakan yang diberikan kepada Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd ketika memerintah kerajaan Terengganu. Tindakan tersebut kerana mahu mempertahankan hak dan harta rakyat dari diceroboh kerana tanggungjawab PAS terhadap rakyat serta amanah kepada Allah SWT.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali mendakwa telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat Riyapadu Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat berkenaan gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

“Kita hendak mempertahankan harta rakyat, balak ini harta rakyat. Kita tidak boleh membiarkan dia (Riyapadu) mengerjakan balak dengan premium tidak dibayar mengikut jadual.

“Ini akan merugikan rakyat, kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat, amanah kita dengan Allah SWT kita tidak boleh buat main-main.

“Keputusan itu dibuat dengan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri. Ini kerana, telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, 13 Disember lalu.

Menurutnya, pada tahun 2003 kerajaan negeri membuka satu tender terbuka bagi kawasan pembalakan seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Katanya, syarikat Riyapadu terbabit telah terpilih serta diluluskan oleh jawatankuasa tender dari enam buah syarikat yang memohon.

Menurutnya, selepas ditawarkan sudah tentu terdapat terma-terma perjanjian yang ditetapkan serta perlu dipatuhi.

Dato’ Mustafa yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan PAS Terengganu ketika itu menjelaskan syarikat Riyapadu berkenaan gagal membayar premium ditetapkan dalam perjanjian meski pun kerja pembalakan diteruskan.

“Selepas ditawarkan ada penjanjian. Bayaran premium kena bayar ikut jadual yang dipersetujui dan ditetapkan dalam perjanjian itu. Selepas itu, diberi lesen dan balak dikeluarkan.

“Kita ikut perjanjian dan sampai suatu masa yang sepatutnya Riyapadu ini membayar premium mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian. Dia gagal, dia tidak bayar. Premium itu tidak dibayar tetapi balak dikerjakan,” ujarnya.

Mengulas dakwaan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said kononnya menjadi mangsa tuntutan saman RM1 bilion oleh Riyapadu kerana terpaksa menanggung beban dan natijah kepincangan kerajaan pimpinan PAS.

Beliau menyifatkan Mat (Ahmad) Said seorang Menteri Besar yang tidak cerdik serta tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti.

“Saya merasakan sebagai seorang Menteri Besar, Mat (Ahmad) Said tidak reti sebenarnya beza antara kerajaan dengan parti politik. Sebab, kerajaan ini satu entiti dan parti ini satu entiti yang lain.

“Dulu saya dengar ‘Mat Said’ ini orang Umno kata, bukan saya kata ini, bodoh ‘Mat Said’ ini. Saya tidak mahulah guna istilah itu tetapi saya kata dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat itu tidak cerdik Mat Said ini,” ujarnya.

Menurutnya, tujuan kenyataan tersebut dibuat untuk mendapat ‘political mailers’ tetapi boleh menimbulkan subjudis kerana kes masih dalam proses mahkamah.

Katanya, kes mahkamah belum selesai tetapi telah diberi gambaran oleh akhbar seolah-olah kerajaan terpaksa menanggung beban RM1 bilion itu.

“Saya faham sebenarnya untuk dapat ‘political mailers’ tetapi kena faham sebab kes mahkamah ini boleh menimbulkan subjudis kerana proses mahkamah belum selesai.

“Tetapi, gambaran yang diberi oleh akhbar-akhbar ini seolah-olahnya kerajaan ini terpaksa tanggung beban RM1 bilion. Ini satu persepsi yang salah dan dari segi proses mahkamah pun dia boleh menimbulkan subjudis,” tegasnya.

Malah, menurutnya tidak pernah seorang pun di kalangan pimpinan bekas kerajaan PAS Terengganu dipanggil memberi keterangan atau sebagai saksi di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Dato’ Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun termasuk baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak sebanyak RM166,432.86 dibayar kepada plaintif.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Filed under: News, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: