Kalam Perantau

Icon

Harakah 2011 : Luahan hati Ketua Pengarang

Artikel ini agak lewat diterbitkan, namun ianya wajar diterbitkan untuk muhasabah khusus untuk akhbar harakah. – moderator

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hanya beberapa hari lagi tirai  2010 akan berlabuh. Tahun penuh warna-warni ini bakal ditinggalkan.  Pastinya, ramai yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri dan organisasi. Aspek kejayaan tidak seharusnya melekakan kita. Proses berterusan memaknakan kehidupan ini tentu juga berdepan dengan kekecewaan. Lebih malang jika kegagalan itu berpunca daripada faktor kealpaan dan kelemahan peribadi. 

Jatuh-bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takah-takah yang lebih tinggi dengan semangat jitu. 

Begitu juga dengan kami di Harakah. Sebagai pembaca, anda lebih layak untuk menghakimi prestasi kami dalam tempoh setahun ini. (Kebetulan, sejak diserang penyakit jantung akhir November 2009, sudah lebih setahun sentuhan saya cukup terbatas).

Harakah yang diasaskan lebih 23 tahun lalu tidak sunyi daripada kelemahan. Usianya sudah menginjak dewasa, namun pencapaiannya mungkin boleh dipersoalkan. Dunia maklumat bergerak pantas. Ya, terlalu cepat sekali sehingga kita selalu tertinggal. Teknologinya begitu mengkagumkan sekali. Kemajuan datang bersama cabaran. Tanpa keupayaan daya saing yang tinggi, kita mungkin menjadi makhluk asing yang terpinga-pinga dengan arus perubahan.

Mudah melafazkan istilah perubahan, namun usaha mengisinya jarang kesampaian. Ramai yang menjerit slogan perubahan tetapi tidak sempat menghadam makna di sebaliknya.Ia menuntut tekad dan azam luar biasa, selain perincian dan perancangan sistematik. Segalanya mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Serius. Cepat belajar.

Tahun 2011 dijangka tahun pilihan raya. Dan ia bukan seperti pilihan raya umum sebelum ini. PRU13 cukup istimewa. Sebagai organ parti, di kala permit Suara Keadilan masih terbenam, harapan buat Harakah menjulang. Akhbar dua kali seminggu ini perlu memenuhi aspirasi pendukung perubahan dan kehendak rakyat seluruhnya, yang mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih makmur dan adil.

Meskipun kuasa siber diakui faktor yang semakin dominan untuk mempengaruhi kecenderungan mengundi, namun media tradisional seperti akhbar, terutama buat sasaran khalayak Melayu masih penting dan berbisa. Perang maklumat dan usaha membentuk pandangan awam melalui akhbar tetap merupakan satu agenda yang tidak boleh dikesampingkan.

Edaran akhbar-akhbar harian yang dikontrol Umno-BN memang menurun. Jualan Utusan Malaysia dan Berita Harian di bawah paras 200,000 naskhah. Bagi penganalisis media, trend penurunan ini tidak mungkin dapat disekat, cuma boleh diperlahankan kemerosotannya. Seolah-olah tiada pembaca baru daripada generasi muda. Kehilangan penggemar akhbar-akhbar berkenaan sukar dicari ganti.

“Kita tidak perlu menunggu lama untuk menunggu kepupusan sepenuhnya akhbar bercetak, seperti yang sudah berlaku di beberapa negara maju,” ramal seorang wartawan kananakhbar harian berbahasa Melayu. Mungkin jangkaannya itu boleh ditolak tetapi sekurang-kurangnya ia amaran awal buat semua syarikat akhbar di negara ini, termasuk Harakah. Realitinya, banyak majalah berita antarabangsa sudah ditutup, seperti Asiaweek, atau terpaksa dirombak kandungannya secara drastik, seperti Newsweek.

Menurut laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC), akhbar yang mengambil pendekatan santai seperti Harian Metro dan Kosmo mengambil alih pasaran. Media seumpama ini jarang memuatkan bahan-bahan serius seperti perkembangan politik. Kalau ada pun, ia sekadar berita kaki atau bahan sendal.

Apakah fenomena ini menunjukkan masyarakat kita semakin kurang “berahi” dengan berita-berita semasa yang dahulunya dilihat penting ataupun mereka mula beralih sepenuhnya kepada sumber internet?

Saya tidak mudah untuk memborong pandangan bahawa pembaca sudah muak dengan “berita putar-belit”. Trend kejatuhan jualan akhbar tidak sesenang itu untuk dibuat kesimpulan. Harakah turut terkena tempiasnya jika tiada usaha bersungguh-sungguh menepisnya.

Memang cabaran kuasa siber cukup gagah dan sukar ditandingi. Rasanya hampir semua akhbar cetak mempunyai versi “dalam talian”. Ini bermakna, yang menjadi saingan adalah produk daripada syarikat yang sama. Daripada sudut perniagaan, banyak kos yang terpaksa “dihanguskan” untuk akhbar on-line, sedangkan pulangannya hanya tersudutkepada jualan iklan semata-mata.

Masyarakat sekarang pula lebih terbuka pemikiran dan bersikap kritikal dengan maklumat yang dihidangkan. “Pengikut fanatik” terhadap mana-mana parti semakinberkurangan. “Golongan atas pagar” lebih ramai. Mereka tidak mahu terkongkong dengan satu-satu aliran politik. Bagi aktivis Pakatan Rakyat, ia mungkin satu perkembangan positif apabila kecenderungan mengundi terbuka untuk dipengaruhi.

Apa pun, pengamal media cetak — termasuk Harakah — mesti serius menangani gugatan genting berkenaan. Diharapkan sesi permukiman kami pada 25 dan 26 Disember inimampu menawarkan jalan keluar ke atas kemelut sejagat itu. Anda, pembaca, turut dipelawa menyalurkan pandangan. Salurkan kepada lutfi_detik@yahoo.com.

Filed under: News, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: