Kalam Perantau

Icon

Dolah Kok Lanas : Letak calon boleh menang

Oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Gender telah diuji tidak mustahak dalam kerjaya politik, bisnes, pendidikan, perkhidmatan awam dan profesion hatta dalam kalangan pasukan keselamatan, juga dalam penerbangan awam dan angkatan tentera diraja. Kalau ketua agung UMNO, BN dan kerajaan, Datuk Seri Najib Razak, tegas dia tidak akan memilih sebagai calon walaupun mereka ketua bahagian, setiausaha politik, menteri besar atau menteri dan mereka yang rapat dengannya seperti kata orang seberang ‘yang tidak bisa menang’ dalam PRU 13 tidak kira bila ia diadakan tahun ini, 2012 atau 2013 pun

Usia kerajaan Najib tidak tamat hingga April 2013. Tegas Speaking, ‘what’s the hurry? – kenapa mahu dipercepatkan?’ Ambillah iktibar apa yang berlaku kepada Gordon Brown. Jangan terikut-ikut dengan tradisi PAP di Singapura kerana pulau itu dan parti itu terkecuali! Mengikut pakar ekonomi dan kewangan bebas, ekonomi kita akan berkembang dan tumbuh antara 5 – 6 peratus tahun ini dan kalau yang terkecuali berlangsung 7 peratus tahun depan. Satu berita baik.

Najib telah menekankan hanya ‘calon yang diterima pengundi akan dipilih’ yakni yang berkemungkinan besar boleh menang sahaja kalau tidak BN akan kehilangan kerusi kerana salah tapis calon. Moleklah tu. ‘Tetapi bolehkah Najib bikin seperti cakapnya?’ tanya seorang ketua UMNO di Kelantan pada saya. Saya yakin niat Najib baik. Begitulah harapan Najib. Iltizamnya? Walaupun amat berkuasa – all powerful – dia juga tertakluk kepada realisme dan landskap politik kawasan dan negeri. Di setengah kawasan di Kelantan, seolah calon sudah pun dipilih kerana sudah ada secara ketara dan mendadak mutakhir ini yang ‘turun naik rumah’ diiringi rombongan, menghulur buah tangan, ada RM50 dan tahfifah yang lain.

Bagi saya ini agak pra masa. Kempen terlalu awal! PRU 13 tergenting, crucial, penentu ke mana kita hendak dibawa oleh pemenang – ‘transformasi’ atau ‘reformasi’; realisme atau ilusi? Bertenang dengan apa yang ada atau mengejar apa yang dilihat (atau rasa rindu) kepada perubahan dengan segala risikonya, menderita merayan atau dianugerahi kebaikan. Siapa calon akan menentukan besar kecil BN atau Pakatan menang. Meletak calon yang baik sukar tetapi tidak mustahil tetapi sebaik-baiknya memilih wakil parti kepentingan parti wajib (bukan harus) mengatasi kepentingan peribadi, kepentingan-kepentingan tertentu, kronisme dan favoritisme.

Ada bakal calon akrab atau dilihat rapat dengan Najib, tauke BN yang lain dan pelobi. Mereka disenangi oleh tauke politik, pegawai tinggi kerajaan tetapi mereka ini kekok bergaul dengan rakyat dan orang bawahan.

Pada teori hasrat Najib bagus. Realiti pula bukan begitu. Mengimbangkan antara teori dan realisme, antara ideal dengan realpolitik tidak begitu sukar kalau pintar. Pertama Najib, Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Haji Hadi, Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng dan Chua Soi Lek mesti menolak mereka yang syok sendiri dan oportunis (peringatan kepada BN), yang berpura-pura dan katak puru (peringatan kepada Pakatan Rakyat). Najib terutamanya menghadapi terlampau ramai mereka yang syok sendiri. Ada sudah macam diberi isyarat mereka bakal calon. Oh syoknya mereka ini! Ke hulu ke hilir, ke barat ke timur! Ada antara mereka baik tetapi dulu dan sekarang pun dilihat tidak boleh menang.

Contohnya banyak di Kelantan terutamanya. Keterlaluan sangat mahu menjadi YB, timbalan menteri dan menteri bukan kerana hendak mengabdikan diri kepada rakyat tetapi hati amat tertarik kepada glamor jadi MP dan kemudahan-kemudahan seperti elaun, pencen dan publisiti! Ingin jadi selebriti! Ada orang pula menjadi figura awam (public figure)!

Penyakit atau sindrom syok sendiri berat. Suami berkali kalah, isteri pun kalah. Mungkinkah kali ini anak atau menantu dicalonkan pula? Masakan tidak ada orang lain yang layak dalam serba serbi dari mereka? Bagaimana ini telah berlaku bukan sekali dan dua kali? Zaman Tunku – Tun Razak dahulu ada dua syarat yang UMNO amal: kalau calon itu pernah kalah sekali pun dia tidak akan dicalon semula kecuali yang terkecuali: Ungku Muhussin Abdul Kadir di Kuala Terengganu dan dia menang kali kedua.

Syarat kedua ialah seorang tidak boleh bertanding dalam dua kawasan yakni kena pilih parlimen atau negeri sahaja. Sudah berlaku pertama kali dalam sejarah UMNO apabila Mustapha Mohamad telah serentak bertanding Parlimen dan ADUN pada tahun 2004 dengan harapan untuk menggulingkan Pas kerana kepimpinan UMNO waktu itu terlampau bergantung kepada seorang yang kononnya ‘contoh’! UMNO gagal (walaupun satu kerusi saja). Sepatutnya Mustapha dikekalkan sebagai ketua UMNO Kelantan tetapi telah disingkir dengan berkesudahan UMNO Kelantan kalah teruk pada pilihan raya ke 12.
Pas pula pernah meletak muka yang sama walaupun kalah berkali-kali kerana waktu itu Pas tidak ramai ahli yang layak atau mampu. Kini Pas seperti UMNO ramai ahli yang berkaliber maka tiada harus mengemukakan calon yang telah kalah kecualilah calon yang kalah itu benar-benar akan menang. Pemimpin Pas Kedah Ustaz Abu Bakar Umar telah bertanding banyak kali dalam pilihan raya tetapi pada akhirnya dia menang dan terus menjadi timbalan menteri kesihatan semasa Pas dalam BN pertengahan 70-an. Abu Bakar juga penolong whip dan saya ketua penolong whip dalam parlimen.

Saya harap Najib tidak ‘salah hisab’ seperti yang dilakukan oleh Badawi tahun 2008 dan Brown 2010. Badawi sepatutnya tidak membubarkan Parlimen tahun itu. Apa boleh buat kerana syok dia ‘amat popular’ dan ‘bapa’. Badawi orangnya baik walaupun dia singkirkan saya dari ketua pengarang NSTP. Apa boleh buat dia diserang teruk oleh halusinasi, tanggapan palsu; diayun dan dikhayalkan oleh budak-budaknya di tingkat empat, anak dan menantu dan ‘sepuluh budak hitam’! Najib bukan sembarangan orang, bukan senang boleh dikhayalkan tetapi tidak mustahil kerana ramai yang ‘beragenda’ di sekelilingnya. Awasilah mereka yang membawa gifts – yang membawa persembahan; pengampu dan mereka yang syok sendiri.

Secara ringkas pilihlah calon yang disukai pengundi tauke-tauke; elaklah memilih mereka kerana jawatan dalam parti atau kerajaan. Pilihlah mereka yang berwibawa, telus, tulus, ikhlas dan pandai berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakyat. Pilihlah mereka yang berpotensi mara ke depan (bakal menteri) bakal menjadi backbenchers yang berkesan yang menguasai dwi atau tiga bahasa dan berakhlak baik.

Mereka yang prihatin dan sanggup pula membela cabaran dan masalah rakyat, bangsa, watan dan agama tanpa silu dan takut. Iltizam, keikhlasan Najib dan ketegasannya akan diuji tetapi kita juga sedar dia seorang realis maka janganlah kita optimis sangat! Janganlah terperanjat beberapa kerat yang sah tak laku pun akan dipilih bertanding. Manusia berkenaan tidak akan rugi, UMNO dan BN lah bersia-sia mencalon, membelanja dan membazirkan kerusi dalam pilihan raya umum yang tergenting ini…

Memilih masa yang terbaik membubar parlimen sukar. Itu semata-mata budi bicara perdana menteri lazimnya keputusan akan dibuat olehnya setelah konsultasi dengan penasihat terdekatnya. Kebijaksanaannya terjelas kalau menang besar. Parah kalau silap haribulan. Ingatan masa lampau deras kembali, pengalaman saya dengan bapa Najib, Tun Razak, terutama dalam pilihan raya 1964, 1969 dan 1974. Sungguh nostalgik, satu kenangan yang menggamitkan hati. UMNO/BN kononnya telah berubah, terus menyesuaikan dengan keadaan masa. Baguslah kalau itu benar. Umpamanya China terus bertukar tetapi bukan untuk kepentingan Amerika Syarikat, pesaing dan lawannya. Beijing berlain dulu, kini dan akan datang semata-mata bagi faedahnya bukan faedah negara lain. Kita juga harus bertukar bagi keperluan dan manafaat kita bukan orang lain!

Apa pun ‘kaki syok sendiri’, oportunis, pembodek, tukang angkat, tukang kipas kalau tidak kesempatan pada PRU 13 janganlah kecewa sangat: selagi ada nafas ada harapan!

Filed under: News, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: