Kalam Perantau

Icon

PRO-M kembali berkuasa di kampus?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Telah lama saya tidak menulis berkaitan dengan mahasiswa dan politik kampus. Ketika saya kembali memasuki semula kampus sebagai mahasitua pada tahun 2006 untuk pengajian sarjana, saya mengasaskan dan menulis ruangan kampus di dalam akhbar Siasah. Malah, sesekali bila dipanggil menghadiri program-program siswa di kampus, saya tidak pasti apa yang hendak diperkatakan kerana zaman dah berubah. Setelah menghasilkan buku, Disebalik Tabir Politik Kampus pada tahun 1995, saya tidak  mengikuti secara dekat perkembangan mahasiswa dan politik kampus.

Sejak Aspirasi muncul sebagai satu pihak  yang ditaja oleh  establishment pada tahun 2002 untuk menguasai kepimpinan mahasiswa di kampus-kampus universiti, satu demi satu kepimpinan mahasiswa jatuh kebawah kekuasaan Aspirasi kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Setalah hampir satu dekad berkuasa di kampus-kampus, pada pilihanraya kampus minggu lalu (21hb. Febuari, 2011) beberapa kampus utama seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya ditawan semula oleh kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M). Di UM, kumpulan Pro-M mendapat 23 dari 41 kerusi dan di UKM pula Pro-M mendapat 22 dari 37 kerusi.

Dari maklumat yang saya perolehi, ProM menang dengan bergaya(sapu bersih) di USIM, menang di UPSI, UMS, UMK dan lain-lain tetapi kalah di beberapa kampus utama seperti UPM, UTM dan USM. Walaupun kalah di USM, tetapi ProM tetap menang di kampus USM Kubang Kerian, Kelantan.

Sejak beberapa tahun lepas, kebangkitan semula kumpulan mahasiswa yang bergabung membentuk ProM menggusarkan Menteri Pengajian Tinggi untuk membolehkan kumpulan Aspirasi “tajaan” mereka untuk terus berkuasa.

Percaturan yang dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, dengan membatalkan  semua calon Pro-M yang menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini cukup memalukan imej universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi. Tetapi setelah dibantah dan didesak banyak pihak, mereka memperakukan semula kemenangan calon-calon Pro-M tersebut.

Piliharaya kampus

Pilihanraya kampus hendaklah dilakukan secara adil dan bebas. Tidak wajar bagi bahagaian Hal ehwal Pelajar (HEP) yang mengedalikan pilihanraya mengambil bahagian yang aktif dengan menaja calon-calon dan memihak serta menjadi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang berat sebelah.

Sekiranya pilihanraya kampus diadakan sebagai memenuhi syarat yang termaktub dalam akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sahaja  adalah lebih baik kerajaan dan pihak berkuasa universiti tidak membazirkan duit, masa dan keringat bagi mengadakan piliharaya kampus.

Jika matlamat pilihanraya kampus gagal dihayati oleh pihak berkuasa universiti untuk mendedahkan dan mendidik mahasiswa erti demokrasi, tiada makna pilihanraya kampus diadakan dalam keadaan yang “tempang”.

Malah sekarang ini, pemilihan jawatankuasa kolej-kolej kediaman tidak lagi dilakukan dalam pilihanraya seperti sebelum ini kerana tidak termaktub dalam AUKU. Sebaliknya mereka lebih senang menyerahkan kepada budibicara Pengetua-pengetua melantik “Pengawas-pengawas” Kolej kediaman yang mereka perlukan untuk membantu kerja-kerjanya.

Saya diberitahu oleh seorang bekas aktivis kampus, Abdullah Abdul Karim seorang peguam baru-baru ini, jika pilihanraya kampus diadakan secara saksama kumpulan Pro-M boleh memenangi kampus-kampus utama seperti UKM, UM dan lain-lain dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan baru-baru ini.

Pada saya yang pernah menjadi aktivis mahasiswa dan terlibat dalam pilihanraya kampus pada zaman kami sebelum ini (1980an), sama ada Pro Apirasi atau Pro Mahasiswa menang, ianya tak akan kemana. Sebab itu pada saya, pihak berkuasa universiti tidak perlu menghiraukan sangat kepimpinan mahasiswa yang memenangi pilihanraya kampus cenderung ke arah establishment atau antiestablishment sebab  tidak banyak yang boleh mereka lakukan.

Pemimpin pelajar hanyalah setakat menyuarakan isu-isu kebajikan mereka, diberikan peluang  mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan beberapa program lain yang bersifat akademik dan non akademik. Cuma sesekali anak-anak muda ini akan menyuarakan pandangan yang tidak selari dengan kehendak HEP atau universiti.

Sebab itu saya tidak nampak rasionalnya seorang Menteri atau Timbalan Menteri beria-ia mengadakan strategi yang bukan-bukan bagi menghadapi Pilihanraya Kampus dengan membazirkan wang kerajaan.

Lebih baik Menteri Pengajian Tinggi melakukan kerja-kerja yang berfaedah bagi mempertinggatkan status universiti ketahap yang lebih baik dari berebut kuasa yang tidak ada dengan mahasiswa. Sebaiknya serahkan sahaja kepada kebijaksanaan pihak bwerkuasa universiti mengendalikannya seperti sebelum Kementerian pengahjian Tinggi (KPT) diwujudkan. Menteri Pelajaran atau menteri Pendidikan ketika itu yang bertanggungjawab kepada universiti tidaklah terlalu ghairah untuk menguasai politik kampus.

Secara peribadi, saya puji dengan sikap yang diambil oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sekarang, Saifuddin Abdullah yang pernah menjadi aktivis mahasiswa di zamannya. Dengan sikapnya yang mesra pemimpin mahasiswa, telah ada suara-suara mahasiswa meminta beliau dilantik menjadi  Menteri Pengajian Tinggi. Tetapi saya tidak pasti selama mana Saifuddin Abdullah boleh bertahan dengan sikap yang sekali pandang lebih banyak menyebelahi mahasiswa berbanding dengan bekas-bekas aktivis mahasiswa yang lain bila berkuasa.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , ,

Ledakan Kebangkita​n Mahasiswa

  1. Mendepani situasi rencam politik dunia dengan skala ricthernya yang agak tinggi serta menyaksikan kebangkitan anak – anak muda yang mendominasi iklim politik dunia hari ini dan rata – rata mereka adalah mahasiswa, nyata tidak ketinggalan rupanya negara kita turut mengalami gegarannya.
  2. Berurutan dengan kejayaan Dewan Pemuda PAS menghimpunkan 30 ribu kekuatan tenaga pemudanya dari seluruh negara di negeri Kedah Darul Aman sebagai persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 akan datang, kini kita digemparkan dengan kejayaan Pro Mahasiswa di UM, UIA, UKM, UMK, USIM, UMS, UMSKAL, USM Kubang Kerian dan UPSI walaupun Pro Mahasiswa kalah di UTM, USM Penang dan UPM.
  3. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan selamat melaksanakan tanggungjawab serta menunaikan amanah kepimpinan buat adik – adik dari Pro Mahasiswa yang telah memenangi pilihanraya di kampus masing – masing. Semoga kejayaan gemilang itu akan terus membawa mahasiswa bangkit berjuang sekaligus menggalas kecemerlangan ilmu sebagai asas utama kejayaan.
  4. Mahasiswa adalah agent penting bukan sahaja untuk lingkaran politik kampus tetapi juga dalam menentu arah masa depan negara di semua lapangan termasuk politik, ekonomi, budaya dan sosial. Saya mengharapkan kemenangan Pro Mahasiswa dalam arena politik kampus kali ini, benar – benar telah berjaya membebaskan minda mahasiswa dari kongkongan kerajaan sekalipun realitinya mereka masih dikongkong oleh AUKU dan pelbagai peraturan tempatan universiti.
  5. Selepas ini, Mahasiswa diharap mempertingkatkan prestasi kebangkitan mereka untuk terus berjuang menentang AUKU disamping turut memperjuangkan kecemerlangan akademik guna mengangkat izzah mahasiswa sehingga mereka tidak lagi dianggap sebagai boneka kepada mana – mana pihak sebaliknya mempunyai idealisme perjuangan tersendiri , memperjuangkan kebenaran, keadilan dan masa depan negara yang maju dan sejahtera.
  6. Kejayaan ini mesti diterjemahkan dengan kerja gigih, semangat, berani, nekad membawa perubahan dan memimpin idealisme mahasiswa dalam kehidupan mahasiswa di kampus dan juga di luar kampus. Malah penglibatan mahasiswa dalam arus kebangkitan anak muda dewasa ini untuk menentu masa depan negara dan kepimpinannya juga sangat di alu – alukan.
  7. Kami telah lama memperjuangkan agar masyarakat mahasiswa dibenarkan untuk berpartisipasi dengan politik luar kampus agar sentuhan mahasiswa turut mewarnai landskap politik tanahair dan pastinya corak dan frame politik negara lebih menarik terutama golongan mahasiswa adalah mewakili golongan intelek yang matang dan berwibawa.
  8. Telah sampai masanya negara memberi kepercayaan kepada mahasiswa dan menghargai ilmu jua karisma mereka biarpun usia mereka masih muda. Justeru dunia dan politiknya hari ini adalah milik orang muda. Kesuburannya dan Kebangkitan rakyat hari ini juga dipacu oleh orang muda. Malah suara orang muda seperti mahasiswa mula didengar dan dihargai oleh semua.
  9. Sekalung tahniah sekali lagi dari saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia buat kejayaan anda semua dari kalangan mahasiswa yang nyata tidak pernah mengizinkan diri kalian dipengaruhi oleh mana – mana pihak terutama golongan yang sering mahu memangsakan mahasiswa dengan pelbagai peraturan yang mengongkong minda dan tumbesar jiwa seorang yang mahu bergelar intelektual.
  10. Tahniah !

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Filed under: News, , , ,

Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.

Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

kerdau by election pas announcement candidate 240211Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini. Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi. Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.  Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir.

merlimau by election pas candidate yuhaizat abdullah 240211 02Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu, Setiausaha PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Yang Dipertua Pas Negeri Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP pusat, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abdul Hadi berkata Yuhaizad dipilih berdasarkan kelayakan pendidikan itu, statusnya sebagai anak tempatan dan kerana ia masih muda.

Yuhaizad memegang ijazah dalam pengajian Islam dan sijil dalam kejuruteraan mekanikal. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus projek pembinaan.

Menurut Abdul Hadi, tidak mustahil untuk PAS menang kerana ia pernah memenangi pilihan raya kecil sebelum ini, sekiranya ia dijalankan dengan adil, begitu juga dengan pihak media.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Berikutan tulisan saya bertajuk Analisa Pilihanraya kecil: Dimanakah kesudahannya strategi politik PAS? dalam Siasah keluaran lepas, bil: 0251 (18-24 Februari, 2011) telah mendapat respons dari beberapa orang kenalan meminta saya mengulas berkaitan dengan pandangan saya terutama berhubung dengan cakap-cakap politik dewasa ini bahawa PAS mempunyai peluang kembali memerintah  Terengganu selepas PRU-13 tidak lama lagi.

PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Saya masih ingat, lebih kurang 9 bulan sebelum PRU ke-12 yang lepas, Ikatan Anak Perantauan Terengganu (Perantau) mengadakan “Seminar : Analisa Politik Terengganu – Mampukah PAS Menguasai Terengganu?” sempena dengan Kongres Anak Terengganu pada Sabtu, 30hb. Jun 2007 di Kuala Lumpur.

Seorang wakil Perantau, Dr. Shafie Abu Bakar membuat satu kertas induk bertajuk ‘Mampukah PAS kuasai Terengganu?’ dan mantan Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan ucaptama yang bertajuk, “Kembalikan Pemerintahan Islam di Terengganu” serta saya sendiri memberikan ucapan aluan bertemakan ‘memikirkan masa depan Terengganu!.

Masa depan PAS di Terengganu

Dalam satu kajian lapangan (Perantau, 2007) menunjukkan beberapa fakta yang menarik, iaitu mereka (rakyat Terengganu) tidak kisah siapa yang memerintah, asalkan tidak ganggu kerja mereka (63%), manakala yang mahu memastikan pemerintah (32%) dan yang tidak tahu (5%). Pandangan pihak wanita pula lebih berbeza, tak kisah, jangan ganggu kerja mereka (67 %), perlu pastikan pemerintah (24%) dan tak tahu (9%) (Perantau, 2007: 11 & 19)

Ini menunjukkan penduduk Terengganu bersifat terbuka dan sedia menerima pelbagai parti dan ideologi. Tiada elemen budaya dan dialek bahasa tempatan (seperti Kelantan) yang boleh mengikat rasa ‘kekitaan dan kemegahan’ yang tinggi untuk mempertahankan identiti negeri khususnya bila berada di luar Terengganu di kalangan penduduk negeri Terengganu berbanding dengan penduduk negeri Kelantan.

Kerajaan PAS berjaya memerintah Terengganu sebanyak 2 kali. Kali pertama bertahan selama 2 tahun 4 bulan (1959 hingga 1961) pimpinan (Allayarham) Daud Samad sebagai Menteri Besar dan kemudiannya selama satu penggal sahaja pada kali kedua (1999-2004) pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar.

Setakat ini PAS hanya mampu bertahan memerintah Terengganu tidak lebih dari satu penggal  berbanding di Kelantan. Kali pertama kerajaan PAS Kelantan bertahan selama 18 tahun dan kali kedua bertahan sehingga sekarang (telah melebihi 20 tahun).

Semasa berkuasa selama 4 tahun (1999-2004) di Terengganu, PAS berusaha mewujudkan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat seperti pembahagian tanah kepada rakyat, menghapuskan cukai pintu dan tol serta berusaha melaksanakan pemerintahan Islam di Terengganu tetapi disebabkan berbagai halangan dari segi ekonomi dan politik, kemampuan mereka dilihat sebagai terhad.

Selepas kekalahan PAS kepada UMNO (BN) pada pilihanraya 2004, PAS seharusnya telah mengatur langkah bagi memulihkan kekuatan bagi menguasai pemerintahan di Terengganu. Mengikut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib, “perancangan untuk merampas semula telah berlaku lama sejak 2004 lagi, selepas Terengganu dirampas semula oleh BN…Bermula tahun ini, kita mulakan satu langkah baru daripada persiapan peribadi sehingga menyerang BN dengan slogan yang digunakan diperingkat pusat, iaitu “PAS Ganti UMNO”.

ADUN Manir tersebut berkata, “kita sudah mula bergerak untuk menyakinkan rakyat negeri Terengganu bahawa PAS mesti menggantikan UMNO. Sekarang ini kita sudah menyerang. Kita menerangkan kepada rakyat tentang penyelewengan-penyelewengan yang dibuat oleh kerajaan BN Terengganu, ketidakupayaan UMNO BN Terengganu memberikan kesegaran kepada rakyat negeri itu”.

Diperingkat ‘grass root’ rakyat bermuafakat sesama mereka, dan kata orang Terengganu…”tahun ini kita ubah (kerajaan) sekali”, kadang-kadang bukan orang PAS sahaja, orang UMNO pun sama juga. Mereka mahu berubah kepada kerajaan PAS”, tegas beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pengundi memberi sokongan politik bergantung kepada isu semasa. Dari segi psikologi dilihat jiwa dan fikiran rakyat Terengganu kurang berstrategik sebagaimana pengundi di Kelantan, sebaliknya dilihat sebagai ‘mudah berubah angin dan berubah rasa’. (Dr. Shafie Abu Bakar, Analisa Politik Terengganu: Mampukah PAS Kuasai Terengganu: 10)

Di sini pentingnya adunan diantara calon lama dan baru berdasarkan kelayakan dan kesesuaian. Kelapan-lapan ADUN sedia ada terdiri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Rhu Rhendang), Dato’ Harun Taib (Manir), Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Landang), Wan Hassan Mohd Ramli (Sura), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong) dan Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) boleh dipertaruhkan sebagai “muka lama” yang akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Daripada 24 kerusi berbaki yang masih dipegang oleh BN, PAS hanya memerlukan 9 kerusi sahaja lagi (dengan syarat 8 kerusi diatas kekal)  untuk membentuk kerajaan ke-3 PAS yang baru di Terengganu. Di sinilah letaknya kebijaksanaan percaturan politik Datuk Harun Taib sebagai “nakhoda” atau Pesuruhjaya PAS di Terengganu.

Dalam menghadapi PRU ke-13 nanti, PAS mesti bijak membuat percaturan politik dalam usahanya menggantikan UMNO di Terengganu. Pemilihan calon pilihanraya hendaklah dari kalangan berkelayakan yang boleh menang dan menepati kehendak pengundi serta dilihat sebagai satu pasukan yang boleh memberikan “harapan baru” kepada PAS memerintah negeri Terengganu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: News, , , , , , , , ,

Apakah berlaku Pilihanraya serentak?

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam menolak laporan portal pro-pembangkang kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan pada minggu ini bagi memberi laluan pilihan raya negeri.

Menyifatkan ia cuma rekaan semata-mata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menjelaskan, adalah tidak benar sama sekali beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi.

Di sebalik penafian Abdul Taib itu, satu sudut lain melihat ada kalangan portal pro- pembangkang merencanakan ‘laporan’ kononnya pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Soalnya, apakah tempoh sesuai untuk Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU? Adakah PRU diadakan serentak dengan Pilihan Raya DUN Negeri Sarawak yang perlu sebelum Julai ini atau ‘melepaskan’ dahulu Sarawak? Bagi penganalisis politik, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad, tempoh paling sesuai sekiranya BN hendak mencapai kemenangan dengan majoriti mudah adalah pada akhir tahun depan atau awal tahun 2012.

“Lagi pendek lagi bagus (tempoh hendak diadakan PRU), selain lagi cepat. Tetapi bahayanya jika tempoh bagi tarikh PRU agak lama (selepas pertengahan 2012 sehingga mandat berakhir pada April 2013). Ini kerana pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, Pas dan PKR begitu agresif, sebab mereka bukan nak fikir sangat soal rakyat tetapi yang paling utama adalah hendak menang dan perintah Malaysia.

“Saya percaya kalau BN tak baca signal ini, dikhuatiri BN akan ‘terperangkap’. Jadi, kalau hendak adakan serentak (PRU 13 dan pilihan raya Sarawak), maka dalam tempoh enam bulan mulai sekarang, BN perlu kerja keras sebab pembangkang sekarang kerja triple,” kata pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya itu kepada Utusan Malaysia.

Menurut Noor Sulastry, signal atau isyarat yang dimaksudkan itu merujuk jika BN gagal membacanya dengan tepat berkaitan masalah dalaman parti yang jika tidak diurus dengan baik, dikhuatiri akan merebak seperti jangkitan virus.

“Saya ingin menarik perhatian ini kerana jika ada lompang pun, kekuatan BN dari dalamlah yang mencemarkan parti itu dan bukannya dari luar.

“Jadi, inilah yang sering diambil kesempatan oleh pakatan pembangkang,” katanya.
Dalam aspek ini, katanya, BN perlu membuktikan mereka adalah juara rakyat sebenar dan bijak menangani masalah-masalah pengundi di setiap kawasan. Beliau menarik perhatian bahawa isu-isu pembangunan bukanlah ‘isu sebenar’ yang boleh dipergunakan sewenang- wenangnya oleh pembangkang kerana semua itu telah ditangani dengan baik oleh kerajaan BN.

“Dari sudut lain, isu pembangunan ini telah dimanipulasikan dengan sebegitu baik oleh lawan BN. Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh BN adalah fokus kepada isu-isu pembangunan yang lebih menumpukan pada soal kaum dan masyarakat tertentu antaranya warga emas, pelajar (pendidikan) dan golongan bergaji rendah serta sederhana.

“Isu pembangunan yang bersangkut paut dengan soal pembinaan yang menelan kos berpuluh atau beratus juta tidak kekal lama jika ia terlalu diuar-uarkan. Tetapi yang penting, ‘mudah’ dan paling diingati rakyat adalah yang menjurus terus kepada kehidupan majoriti mereka,” katanya.

Justeru, Noor Sulastry berpendapat, semua pemimpin dan ahli BN tidak perlu menunggu selepas Konvensyen BN selesai pada Ahad lalu untuk mula mengorak langkah mempertahankan mandat BN. “Saya percaya dengan keadaan undi yang berpecah, Melayunya lain (BN, Pas dan PKR), Cinanya juga begitu (MCA, PKR dan DAP), maka pencapaian sekurang-kurangnya dengan kemenangan majoriti mudah sebenarnya sudah cukup dalam situasi banyak negara di dunia ketika ini yang sukar mencapai tahap tersebut.

Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis, Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia.

“Pada saya, akhir tahun 2011 atau awal 2012 adalah waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU sekiranya BN berhajat mengekalkan mandatnya,” katanya.
Ini kerana, kata beliau, pada tempoh tersebut nanti, semua agenda yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri akan dan sedang terpamer untuk penilaian rakyat.

Sivamurugan turut menarik perhatian mengenai kepimpinan lepas yang hanya menonjolkan banyak projek dan program tetapi malangnya dari segi pelaksanaan, agak ‘indah khabar dari rupa’.

“Jika diadakan PRU serentak dengan pilihan raya Sarawak, ia agak sukar sebab harga barang baru naik selain perubahan kepimpinan dalam UMNO, manakala MIC baru hendak bermula.

“Tetapi tempoh lama (tarikh PRU) juga susah, katakan selepas pertengahan 2012, ia akan mewujudkan satu dilema untuk BN sendiri.

“Sebabnya, dibimbangi kemunculan lompang-lompang yang sengaja dicetuskan oleh pihak berkenaan,” katanya.

Filed under: News, , , , , , ,

Analisa Pilihanraya kecil, dimanakah kesudahannya strategi politik PAS?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Ekoran dari perkembangan terbaru dengan kematian ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, Perlis sahaja satu-satunya negeri yang belum diadakan pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 lalu. Paling banyak ada di Pulau Pinang, iaitu 3 kali dan menjadi lebih menarik bila dua kerusi DUN dalam parlimen dalam Permatang Pauh, iaitu DUN Penanti dan Permatang Pasir serta Parlimen Permatang Pauh sendiri bertukar penyandang.

Kerusi parlimen Permatang Pauh diadakan pilihanraya kecil pada bulan Ogos, 2008, yakni tidak sampai 6 bulan dan menjadi yang pertama selepas PRU ke-12 lalu. Kerusi tersebut diserahkan semula oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN)  dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.

Manakala bagi 6 kerusi DUN pula, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing pada PRK 2009, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti  (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009).

Tetapi pada tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN  keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010). 

Tirai pilihnraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011).Sekarang perhatian tertumpu kepada kerusi DUN Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang pula.   

Sekarang ini merupakan pertarungan antara UMNO dan PAS secara langsung. Sejak kalah dalam pilihanraya kecil DUN Galas tempohari, kelihatan PAS sedang mencari-cari strategi yang sesuai. 

Bagi tahun 2009, ternyata ianya memihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) bila berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut (MAWE) yang juga ADUN Wakaf Mempelam. 

Ekoran daripada kemenangan ini, PAS sekali lagi mempertaruhkan Ir Mohd Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang yang juga bekas Menteri Besar Perak dan berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang.   

Ini menjadikan kedua-dua ADUN ini (Wahid dan Nizar) memegang dua kerusi serentak, yakni kerusi DUN dan Parlimen, selain daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang).

Jika dilihat kepada perubahan kerusi diantara BN dan PR atau PAS dengan UMNO sepanjang 2008-2010, tidak banyak kesannya. UMNO dengan PAS boleh dikatakan seri dimana PAS berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu, tetapi UMNO pula berjaya merampas kerusi DUN Galas, Kelantan.

Selain itu, DAP berjaya menambah satu kerusi (Parlimen Sibu) dan PKR kehilangan satu kerusi (parlimen Hulu Selangor). Selain daripada kerusi tersebut, ianya dikekalkan kepada parti yang memenanginya dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Ekoran kegagalan PAS mempertahankan DUN Galas, PAS memulakan eksperimen baru. Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya kecil PAS meletakkan calon wanita, Normala Sudirman (Cikgu Mala) dalam pilihanraya kecil DUN Tenang.

Tanpa menidakkan strategi PAS, pemerhati politik sedang melihat, adakah PAS konsisten dalam eksperimen terbaru yang sedang dilakukannya sekarang dikekalkan atau tidak, meletakkan calon wanita sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau? 

PRK Merlimau dan Kerdau Serentak?

Belum sempat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Merlimau, Melaka diadakan pada Sabtu, 26hb. Februari, 2011 akan datang, satu lagi pilihanraya kecil di DUN Kerdau, Pahang terpaksa diadakan ekoran Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya Sabtu, 12 Februari lalu.

Bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan pada 23 Februari sementara calon PAS pula diijangka akan diumumkan pada 24hb Februari ini iaitu dua dan tiga hari sebelum penamaan calon pada 26 Februari ini. Manakala bagi DUN Kerdau pula, perhatian lebih tertumpu kepada SPR sama ada untuk membuat pilihanraya kecil serentak atau tidak?

Keadaan yang berlaku sekarang adalah hampir sama dengan apa yang berlaku sebelum pihanraya kecil DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah yang diadakan serentak pada bulan November, 2010 atau sebelum Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak, DUN Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Ai, Sarawak yang diadakan serentak pada April 2009.

Tidak sebab untuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk tidak mengadakan PRK  DUN Kerdau diadakan serentak dengan pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 5hb. Mac, 2011 nanti. Kerdau menjadi PRK ke-16 dan Merlimau menjadi PRK ke-15 selepas PRU ke-12 yang lalu.

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Terkini : ADUN Kerdau meninggal dunia

NONEADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia pada jam 6 petang tadi, menurut siaran Buletin Utama, TV3.

Sejak setahun lalu, allahyarham seringkali keluar masuk hospital kerana pelnagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

Filed under: News, , , , ,

Merlimau : PAS wakili Pakatan Rakyat

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 7 Feb: PKR dan DAP hari ini bersetuju untuk PAS meletakkan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau pada 6 Mac nanti.

Persetujuan itu dicapai kesemua komponen parti dalam Pakatan Rakyat itu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan mereka di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di ibu negara petang tadi.

Keputusan itu diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media mereka sekaligus menafikan desas-desus beberapa pihak bahawa PAS berkemungkinan tidak bertanding di PRK Dun itu.

“(Pilihan raya kecil) Merlimau, kita sudah bincang dan bersetuju sebulat suara supaya menyokong PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat.

“Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat dikerahkan dan kita bersetuju,” kata Anwar.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa kepimpinan ketiga-tiga parti yang lain.

Mengenai calonnya, Tuan Guru Abdul Hadi berkata keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat kepimpinan parti itu 13 Februari ini.

“Kami akan menyenarai pendek nama kemudian.

“Kita baru buat keputusan di peringkat Pakatan Rakyat. Calon itu nanti kita dapat maklumat daripada negeri,” kata Hadi.

Katanya, berdasarkan amalan biasa calonnya adalah warga tempatan dan kepimpinan pusat akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS Melaka sebelum menamakan calon mereka.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat memilih calon akan diadakan pada 13 Februari nanti.

“Senarai pendek calon mungkin 13 Februari. Insya Allah kita akan mesyuarat 13 Februari, tapi calon perlu disahkan Pakatan Rakyat dahulu” kata Mustafa.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Filed under: News, , , , , , , , ,

Kuasa siber dan revolusi Timur Tengah

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.
Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga. Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri  autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu — yang juga seorang blogger terkenal — seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet.

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan —  dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan — diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.
Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan  masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi “suam-suam kuku” penyokong Barisan Alternatif waktu itu!
Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan.

Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut.
Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan “saat-saat kematian” kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang “politikal”, ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat akan bangun membantah tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: “Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang.”

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. “Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.”

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin  Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 — seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 — tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman.

II.
Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan “Makcik Kedah”, dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya  di Bukit Besar. Pandangannya terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah.

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi — yang disifatkan rakyatnya sebagai “shopping plane” — sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: “Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!”

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: “Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?”

“Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan  bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah,” asaknya lagi.

“Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik,” saya memintasnya. “Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan …,” tambah saya, menunggu reaksinya. “Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja,” akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: “Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?” Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab — tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik,
bermusuh atau bersahabat dengan Israel — malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.
Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, ‘kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang “benar-benar baru” muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.

Filed under: News, , , , , , ,

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN N.05 Tenang : Tok Guru Haji Hadi

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen,  Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan.

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru  menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini. Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini.

Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.
 
Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan UMNO-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata. Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan.

Kita senatiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.
 
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
26 Safar 1432 H / 31 Januari 2011 M

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories