Kalam Perantau

Icon

PAS dan Politik Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Penyertaan PAS dalam politik di Sarawak tidaklah begitu menonjol berbanding dengan  dua lagi anggota pakatan Rakyat, DAP dan PKR. PAS mula mengembangkan sayap politiknya ke Sarawak selepas mendapat kemenangan yang besar dalam pilihanraya umum ke-10 pada tahun 1999. Pada tahun tersebut, PAS bukan sahaja mempertahankan Kelantan, tetapi merampas Terengganu dan menang majoriti kerusi parlimen di kedah.

PAS bertanding di Sarawak dalam pilihnraya negeri Sarawak ke-7 pada tahun 2001 sebanyak 3 kerusi sahaja daripada 62 DUN, iaitu DUN Samariang, DUN Sadong Jaya dan DUN Beting Maro sebagai percubaan awal. Ketiga-tiga DUN tersebut menjadi DUN “angkat” kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya amat memberangsangkan tetapi di Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon  BN (PBB) dan PKR.  

Kemudiannya, setelah PAS tewas teruk dalam PRU ke-11 dalam tahun 2004 di bawah era Perdana Menteri yang baru, Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun), PAS hanya diberikan satu kerusi DUN sahaja dalam pilihanraya Negeri Sarawak ke-8 pada tahun 2006, iaitu DUN Beting Maro walaupun kerusi DUN Sarawak selepas persempadanan semula  melibatkan pertambahan 9 kerusi DUN menjadi 71.

Keputusan calon PAS di Beting Maro, tewas dengan hanya 895 undi mengejutkan banyak pihak berhubung dengan kemampuan PAS di Sarawak. Alem Din (PAS) mendapat 1,901 undi atau 40.47 % undi berbanding calon BN (PBB) Bolhassan Di @ Ahmad Di mendapat 2,786 sahaja.

Dalam pilihanraya Negeri Sarawak pada kali ke-9 pada 16 April 2011 ini, PAS bukan sahaja akan bertanding sekali lagi di Beting Maro tetapi bertanding di 5 DUN. PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 DUN  lain, iaitu DUN Sebuyau, Muara Tuan dan Tanjong Datu.

Sama ada PAS berjaya membuat kejutan atau pun tidak, belum dapat dipastikan lagi. Kesungguhan PAS untuk mensasarkan kemenangan sulung  pada pilihanraya ini amat tinggi, apabila saya diberitahu calon PAS kali ini lebih berdaya saing. Disamping aktivis parti, terdapat dua orang peguam yang sanggup bertanding atas tiket PAS.

BN tidak ditentang satu lawan satu?

Barisan Nasional telah mengumumkan calon mereka pada Ahad, 3 April 2011. Beberapa keunikan berlaku pada pengumuman tersebut yang menjadikan tandatanya kepada ramai pemerhati politik di sini. Pertama ianya diumumkan oleh Datuk Adenan Satem , Ketua Penerangan BN Sarawak. Keduanya, ianya tidak menamakan calon DUN Ba’ Kelalang serentak dengan pengumuman calon-calon lain.

Dari analisa ringkas calon-calon BN,  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 19 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 9 kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) 8 kerusi dengan menegemukakan 18 muka baru. Seorang lagi calon di Ba’ Kelalang juga dikatakan muka baru menjadikannya 19 orang. Satu lagi komponen BN, PPP yang menubuhkan cawangannya di Sarawak tidak diberikan sebarang kerusi.

Didapati keempat-empat pemimpin parti komponen BN Sarawak akan mempertahankan kerusi masing-masing. Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (PBB) mempertahankan DUN Balingian, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan (DUN Piasau), Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing pula mempertahankan DUN Baleh danpresiden SPDP Datuk Seri William Mawan, mempertahankan DUN Pakan.

BN juga mengekalkan semua empat penyandang wanita, termasuk di, Simoi Peri (DUN Lingga), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Datin Fatimah Abdullah (Dalat) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Rosey Yunus (Bekenu) daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Berdasarkan kepada perkembangan terakhir politik Sarawak setakat ini, sukar untuk melihat calon BN ditentang satu lawan satu di semua kerusi. Ini kerana parti-parti bukan dari kalangan kerabat BN, sukar untuk bersatu dan bersepakat.

Dalam  pilihanraya Sarawak 2006, pihak pembangkang telah berjaya membentuk Barisan Bersatu Sarawak (BBS) yang terdiri dari Keadilan dan SNAP. Malaysian Dayak Sarawak (MDC) ketika itu belum diluluskan pendaftaran turut bergabung dengan  BBS ini. DAP tidak menyertai BBS dan hanya menyertainya melalui KeADILan.

Ketika rencana ini di tulis penamaan calon belum lagi diadakan. Ianya akan diadakan pada 6hb. April. Saya menjangkakan kemungkinan ada beberapa calon BN akan menang tanpa bertanding memandangkan Pakatan Rakyat hanya bertanding di 69 kerusi sahaja, iaitu PKR sebanyak 49 kerusi, DAP 20 kerusi dan PAS 5 kerusi. Sementara 2 kerusi lagi belum pasti ditandingi oleh tidak oleh mana-mana pihak.

Manakala SNAP dilaporkan bertanding sebanyak 27 kerusi yang dijangkakan akan bertindan dengan PKR. Parti KITA juga dilaporkan akan mencuba nasib beberapa kerusi dibawah tiket atau lambing SNAP. Sementara satu lagi parti yang baru ditubuhkan, Parti Cinta Malaysia (PCM) juga dilaporkan akan bertanding pada kali ini. Setidak-tidaknya Gabriel Adit (ADUN Ngemah), Pengerusi PCM Sarawak berkemungkinan akan mempertahankan kerusinya yang dimenangi atas tiket bebas dalam pilihanraya yang lepas.  

Dalam beberapa perkembangan terkini, Movement of Change Sarawak (MoCS) atau Pergerakan Perubahan Sabawak telah menyenarikan 30 sebab mengapa Taib Mahmud perlu berundur setelah 30b tahun memenerintah Sarawak. Jika mereka gagal melakukan dalam pilihanraya pada 16 April ini, mereka akan mengambil tindakan lain untuk memastikan Taib Mahmud berundur.

Sementara itu Bernama melaporkan Abdul Taib, 74, menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Sebandi pada Mac 1981. Beliau menjadi wakil rakyat Sebandi, kini dikenali Asajaya, sebelum berpindah ke Balingian pada pilihan raya negeri 2001.

Manakala bagi Dr George Chan, 74, yang juga timbalan ketua menteri, pertama kali menang tanpa bertanding pada pilihan raya negeri 1983 di Piasau, yang sebelum ini dikenali sebagai Miri. Sementara Dr Masing pula akan mempertahankan kerusi DUN Baleh di Hulu Rajang untuk penggal ketujuh, yang dimenanginya sejak 1983.

Menurut kenyataan Tun Daim Zainuddin, BN akan kehilangan lebih banyak kerusi berbanding dengan pilihanraya 2006 yang lepas. Cuma, apa yang menarik untuk dilihat adakah, Taib Mahmud dan rakannya Dr George Tan dan James Masing akan menerima nasib seperti Tan Sri Wan Mokhtar di Terengganu, selepas berdegil untuk tidak berundur dalam PRU ke-10 pada tahun 1999 atau Tun Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang dan Tan Sri Mohamad Yaakob di kelantan pada pilihanraya umum ke-8 tahun 1990.

Artikel ini terbit untuk akhbar SIASAH

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: