Kalam Perantau

Icon

Pecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pemilihan PAS

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang dalam PRU ke-12 pada 2008 lalu. BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Sebelum ini ada ramalan mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan dalam jangkamasa terdekat. Saya tak pasti bila Perdana Menteri nak umumkan tarikh PRU ke13? Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ternyata Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin melakukannya dalam jangkamasa terdekat.   

Penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN Sarawak tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam dan mencemaskan UMNO dan BN. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah?

Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat. Selain Cina, kaum Iban di Sarawak juga menolak BN.  Ini akan menyebabkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah yang dikuasai BN  akan berubah pada PRU ke-13 nanti. Pakatan Rakyat dijangka boleh memenangi 20 hingga 25 kerusi Parlimen di sabah dan Sarawak.

Sekarang ini UMNO dan BN sudah terdesak untuk terus mempertahankan kuasa di Putrajaya. Setelah gagal memujuk Cina untuk kembali kepada BN, UMNO mula memainkan strategi lama untuk memecahkan gabungan PKR-DAP-PAS. DAP dikatakan parti chauvanis Cina, PAS pula parti hilang prinsip dan jadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PAS ditafsirkan dan diolah sedemikian rupa bagi diadu-dombakan mengikut rentak UMNO dan BN. Terbaru media memanipulasi dan memutarbelitkan jawaban Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkaitan dengan video seks Trio 3T yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang.

Tak cukup dengan kenyataan pemimpin UMNO, Nalakaruppan, Presiden Parti MUIP yang tak ada kena mengena dengan isu ini pun tumpang semangkuk. Selain itu, mereka juga menggalakkan perkembangan parti-parti serpihan pembangkang seperti KITA, pimpinan Zaid Ibrahim. 

Komen Aziz Bari dan Pemilihan PAS

Sejak beberapa minggu lepas, ramai yang bertanya apa sikap saya terhadap pemilihan PAS kali ini. Sebenarnya pada saya, ada baiknya PAS menumpukan perhatian untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada terlalu memikirkan berhubung dengan pemilihan pada Muktamar parti itu ke-57 yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini..

Saya tidak bercadang untuk mengulas pemilihan PAS kali ini. Sebagai memenuhi pertanyaan di sini saya petik catatan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai renungan ahli-ahli PAS. Beliau berkata, Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS). Justeru itu, ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara’ , berpandukan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kepimpinan (Al-Qiadah) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus.Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini memaklumkan semua jawatan dalam PAS termasuk Presiden terbuka untuk ditandingi. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara ekslusif dengan Harakah tetap menegaskan beliau bersikap terbuka jika ada pemimpin lain yang ingin bertanding jawatan Presiden yang disandangnya sejak tahun 2002 kerana beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

Tidak dapat dipastikan apa motif tersirat, seorang Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat? Saya diberitahu, tanpa ada membuat soal selidik atau kajian lapangan yang menjadi amalan ahli akdemik dalam membuktikan tesisnya, beliau meminta ahli-ahli PAS menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin yang lebih dinamik. 

Dalam hal ini, saya cukup bersetuju dengan cadangan Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan Harakahdaily, bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada. Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

Malah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin menambah dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata. “Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa,” kata beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Berbalik kepada pemilihan kali ini, sama ada Presiden PAS dicabar atau tidak bukan persoalannya. Sejarah peralihan kuasa dalam PAS telah dilakukan dengan sistematik dibawah kepimpinan ulamak sejak lebih 25 tahun yang lepas berjalan dengan lancer dari Yusof Abdullah Ar-Rawa, kepada Datuk Haji Fadhil Mohd Nor dan seterusnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Cuma bila Timbalan Presiden ditandingi sejak tahun 2003, ianya belum lagi sunyi dari pertandingan bagi jawatan tersebut. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Rasanya sudah tiba masayanya jawatan tersebut di’syura’kan semula seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: