Kalam Perantau

Icon

Pilihanraya Sarawak: Pakatan Harapan bertembung sesama sendiri

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Semakin hampir pilihanraya negeri Sarawak, krisis pembahagian kerusi diantara parti-parti politik tidak semudah seperti yang diharapkan. Baik di pihak Barisan Nasional (BN) apatah lagi parti-parti pembangkang.

Minggu lepas, saya pun menulis dalam kolum ini berhubung dengan kalangan komponen BN. Kali ini kita tinjau sikit sembang-sembang politik di kalangan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan. Dua parti utama dikalangan Pakatan Harapan, DAP dan PKR semakin menemui jalan buntu.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak telah menyenaraikan dan mengumumkan semua calon bagi 29 kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN11, 7 Mei nanti. Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata senarai asal ini tidak termasuk Bukit Goram disebabkan perubahan saat akhir, Larry Sng Wei mantan. Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk tidak bertanding di Bukit Goram, DAP telah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi itu.

Chong Chieng Jen akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa termasuk lapan (8) bekas ADUN yang akan mempertahankan kerusi mereka iaitu Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).

Terdapat 16 kerusi DAP memperkenalkan calon baharu iaitu Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Nyabe (Kedup), Yong Siew Wei (Repok), Rinda Juliza Alexander (Pakan), Richard Lias (Ngemah), Irene Mary Chang (Bukit Assek ), Chiew Sung Ngie (Bawang Assan), Frankie Bendindang (Pelagus), Paren Nyawi (Katibas), Larry Asap (Bukit Goram), Kenneth Adan Silek (Murum), Leighton Manjah (Kemena), Baba Emperan (Samalaju), Dr Ting Tiong Choon (Pujut) dan Paul Raja (Mulu).

Manakala calon yang lain pula adalah Mordi Bimol (Tasik Biru), Edward Luwak (Bukit Semuja), Leon Jimat (Simanggang) dan Baru Langub (Senadin).

DAP Sarawak bukan sahaja telah mengumumkan bertanding 29 dun berbanding dengan 15 pada PRN10 dahulu tetapi memaklum akan bertanding satu lagi kerusi Dun menjadi 30 kerusi DUN pada pilihanraya ini. Kini, DAP mula melebarkan sayapnya meluaskan kedudukan kerusi mereka ke luar bandar di mana sebelum ini PKR telah bertanding kerusi pilihanraya di luar bandar.

Sehingga kolum ini ditulis, PKR belum mengumumkan lagi secara terperinci 40 kerusi Dun (berbanding dengan 49 dun sebelum ini) dan calon yang bakal bertanding. Lebih memberikan tekanan kepada PKR, Boniface Willy Tumek, Naib Pengerusi PKR Sarawak dan Ketua Cabang Mas Gading telah mengumumkan pengunduran daripada semua jawatan dalam PKR pada Ahad, 17 April lepas.

Beliau kecewa dengan PKR yang gagal mempertahankan kerusi DUN Tasik Biru untuk ditandingi beliau kerana dirampas oleh DAP. Ini bukan kali pertama PKR gagal mempertahankan kerusi untuk ditandinginya, sebelum itu perkara yang sama juga berlaku pada pilihanraya umum ke-13.

Jika PKR tidak beralah, beberapa kerusi bertindih antara PKR dengan DAP yang belum diselesaikan secara tuntas. Mahu tidak mahu, PKR terpaksa beralah kepada DAP kerana mereka telah mengumumkan calon. PKR tiada pilihan lain untuk selamatkan Pakatan Harapan daripada berpecah.

Satu lagi komponen, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan akan bertanding 13 kerusi tetapi belum juga mengumumkan calon mereka.

Parti serpihan PAS ini dijangka akan bertembung dengan PAS sekurang-kurangnya 5 kerusi, iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Semariang dan Muara Tuang.

Manakala calon PAS dijangka akan bertembung dengan PKR di empat (4) kerusi, iaitu Pantai Damai, Kakus, Jepak dan Lambir. Dua lagi Dun yang ditandingi PAS, Samalaju dan Pujut dijangka akan bertembung dengan DAP.

Apa pun kita lihat lah senarai penuh mereka yang bertanding selepas penamaan calun pada 25hb April ini. Pertembungan pelbagai penjuru termasuk dengan parti-parti berasal dari Sarawak seperti PBDS (Baru), STAR dan lain-lain calon bebas terutama pemimpin yang tak dicalonkan parti masing-masing dijangka akan turut bertanding menjadikan pertandingan kali ini lebih meriah.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

PRN Sarawak meriah, bukan ‘straight fight’

Oleh : Shuhaimi AlManiri

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 dijangka menjadi lebih meriah dan menarik dengan beberapa parti baharu muncul untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini. Dijangkakan terdapat 14 parti bakal bertembung, dimana 10 adalah parti pembangkang.

Pertembungan pelbagai penjuru bukan perkara baharu di dalam politik Sarawak tetapi angkanya dijangka meningkat hampir tiga kali ganda dalam dua pilihan raya lalu.

Terdapat 44 kerusi berlakunya pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya ke-10 pada 2011 berbanding dengan 15 kerusi pada pilihanraya ke-9 pada 2006.

Beberapa calon bebas bergabung membentuk Barisan Malaysia (BM) itu telah mengenal pasti kira-kira 15 calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi yang disasarkan dan dijangkakan bertanding di lebih 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Gabungan digelar BM, secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Bebas.diketuan Affendi Jeman yang juga pengerusi sementara untuk Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (ARBS) yang belum berdaftar.

Menjelang hari penamaan calon pada 25hb April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu diberikan kebenaran untuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya ini.

Terdapat juga spekulasi akan muncul sebuah parti baharu, Dayak National Party (DNP), bakal mencuba untuk menggugat Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak masih belum mengatasi rasa tidak puas hati berhubung isu tuntutan kerusi bertindih.

Bagi pembangkang dari Semenanjong yang dikenali Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta PAN dilihat gagal menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih dan dijangka menghadapi pertembungan antara satu sama lain di sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi jika tiada pihak yang mengalah.

Berdasarkan kepada 29 senarai yang diumumkan DAP Sabtu lalu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata terdapat pertempuran di kira-kira lima kerusi – Mambong, Simanggang, Ngemah, Murum dan Mulu.

Dilaporkan, PKR akan meletakkan calon di 40 kawasan. Manakala PAS, yang menawarkan budaya politik matang dan sejahtera akan meletakkan 11 calon seperti yang diumumkan pada 6hb Mei lepas.

SUPP, komponen BN tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi

BN turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, dengan tiga lagi calon yang ada kaitan dengan PBB.

BN terdiri daripada 4 parti kompenan dan 2 parti serpihan yang disebut mesra BN. Satu kelainan BN dibawah Tan Sri Adenan Satem adalah turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan SUPP dikenali Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebanyak 7 kerusi dan Teras, parti serpihan SPDP dengan 3 kerusi dengan tiga lagi calon langsung yang dikatakan ada kaitan dengan PBB.

Manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) diperuntukkan 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 13 kerusi, dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) hanya 5 kerusi.

Keadaan ini telah menjadikan sekurang-kurangnya SUPP tidak berpuashati kerana kerusi mereka diberikan kepada parti serpihan mereka, UPP dijadikan calon langsung BN.

Dilaporkan media, Penolong Ketua Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Pending, Milton Foo dikecam oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung tindakannya mempersoalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meletakkan calon langsung BN di beberapa kerusi tradisi SUPP.

Malah dilaprkan juga. seorang ahli SUPP iaitu “LTC” (nama singkatan) pada status Facebooknya. “SUPP tidak akan berdiam diri, sama ada PRS dan SPDP memilih untuk berdiam diri, itu terpulang kepada mereka,” tambahnya lagi.

Malah beliau menyeru, agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bergabung bangkit menentang PBB kerana mengikut status quo dalam BN Sarawak, 20 kerusi telah diperuntukan untuk SUPP dan maka itu SUPP seharusnya mempertahankannya tanpa kompromi.

“Sekiranya PBB mahu melanggar tradisi status quo yang berusia 50-tahun ini dan meyusun semula jumlah kerusi yang sedia ada, sudah sampai masanya SUPP, PRS dan SPDP bangkit dan menubuhkan BN Sarawak yang baru,” kata LTC.

“Jika SUPP, PRS dan SPDP tidak diberi kuota kerusi di dalam BN Sarawak, SUPP, PRS dan SPDP harus duduk berbincang dan merancang untuk meletakkan calon terbaik diantara tiga parti tersebut untuk diletakkan bertanding di setiap kawasan yang ditandingi PBB,” kata LTC lagi.

Keadaan ini ditambah lagi dengan komen supremo DAP, Lim Kit Siang yang dilihat cuba campor tangan dalam urusan BN Sarawak dengan mempertikai Adenan berkenaan pembahagian kerusi SUPP.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , ,

PRN11: BN yakin bentuk kerajaan negeri, menang 60-70 kerusi DUN Sarawak?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Dalam pilihan raya negeri ke-11 (PRN11) , jumlah kerusi sebanyak 82 DUN dipertandingkan berbanding 71 kerusi pada PRN10 yang diadakan pada April 2011. Dari segi pertambahan 11 kerusi, menjadikan 82 kerusi DUN kesemuanya telah mencatat angka terbesar berbanding persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak 1985, 1995 dan 2005.

Sebelas (11) kerusi baharu turut menjadi rebutan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lepas adalah; Dun Gedong di Parlimen Batang Sadong, Dun Stakan di Parlimen Kota Samarahan, Dun Batu Kitang di Parlimen Stampin, Dun Serembu di Parlimen Puncak Borneo, Dun Tellian di Parlimen Mukah, Dun Samalaju di Parlimen Bintulu, Dun Murum di Parlimen Hulu Rajang, Dun Selirik di Parlimen Kapit, Dun Long Lama di Parlimen Baram, Dun Serian di Parlimen Tribon dan Dun Kabong di Parlimen Saratok.

Amat luar biasa dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak 2015, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperlihatkan mereka mengambil satu tindakan untuk membezakan tugasan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat negeri dengan wakil rakyat Parlimen.

Keanehan tanpa penglibatan persempadanan kerusi Parlimen ada rasionalnya kerana BN tidak mempunyai undi majoriti 2/3 untuk mengubah kerusi parlimen. Perbezaannya, persempadanan 2015 di Sarawak hanya melibatkan kawasan DUN tetapi tidak melibatkan perubahan dan penambahan kawasan pilihan raya Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada 1 April selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pada 31 Mac lepas tarikh pembubaran pada 11hb April 2016 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) diadakan selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

BN Sarawak masih berpecah!

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri Sarawak dilaporkan yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang dengan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 ini dengan barisan calon yang ada dalam ‘Pasukan Adenan’,.

Dengan tindakan politik yang ditunjukkan oleh Adenan sekarang begitu disenangi rakyat Sarawak ekoran bebberapa tindakan beliau yang mengutamakan kepentingan rakyat, pemerhai politik yakin BN tidak bermasalah untuk membentuk semula sebuah kerajaan yang baru selepas PRN ke-11 nanti. Cuma yang sedang diperhatikan sekarang adalah berapa kerusi yang bakal diperolehi oleh pembangkang dalam pilihanraya kali ini.

Malah satu kelainan adalah Adenan terpaksa meletakkan calun terus BN terutama bagi mengambil hati dan sokongan dari parti-parti serpihan komponen BN Negeri Sarawak seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) serpihan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan juga Parti Tenaga Rakyat (Teras) adalah parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh, dan Parti Tenaga Rakyat (Teras), yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan yang diiktiraf sebagai pro-BN walaupun tidak diterima secara rasmi sebagai komponen BN kerana UPP dan Teras belum lagi diterima sebagai anggota BN, manakala SPDP, SUPP dan PRS tidak mahu parti itu berada dalam gabungan itu.

Kedua-duanya berharap dapat mempertahankan kerusi DUN yang telah dimenangi atas tiket BN sebelum ini. Wong telah menyandang kerusi Bawang Assan selama lima penggal. Mawan pula berharap dapat mempertahankan kerusi Pakan, yang disandangnya selama lima penggal.

Selain Wong, UPP mempunyai tiga anggota dewan undangan negeri daripada masyarakat Dayak dan mereka masih berpengaruh di kawasan masing-masing. Di samping Mawan, empat anggota Teras menduduki kerusi dewan undangan negeri, tiga daripada mereka adalah menteri muda. Ramai yang ternanti-nanti keputusan Adenan mengenai kedudukan Adun UPP dan Teras ini. Semuanya berharap dicalonkan semula diatas tiket BN. Ini yang memeningkan pasukan Adenan.

Setakat ini hanya Parti Bersatu Bumiputera (PBB) yang diketuai Tan Sri Adenan Satem diperuntukan dengan 40 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipimpin oleh Tan Sri Dr James Masing diberikan 11 kerusi yakin dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi bagi membolehkan BN memperolehi majority mudah dalam Dun sebelum ditambah dengan kerusi-kerusi lain yang ditandingi oleh SUPP dan SPDP selain dari calon terus dari parti-parti UPP dan Teras yang pro-BN.

Setakat ini belum dapat dipastikan berapa kerusi akan diperolehi oleh parti-parti pembangkang, yang tidak dikatakan tidak selesai membahagikan kerusi dikalangan mereka. Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011 yang lalu, BN berjaya memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dan16 kerusi selebihnya dimenangi oleh pembangkang dan bebas, iaitu DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1).

Satu perkara yang pasti bagi seorang Ketua Menteri yang pertama kali diuji dalam pilihanraya yang dipimpinnya sendiri, beliau bukan sekadar mahukan kemenangan, tetapi satu kemenangan besar bagi BN-Pasukan Adenan, dan oleh itu, beliau mungkin memanfaatkan semua peluang yang ada untuk mencapainya sehingga beliau tersasul ‘mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pembuangan yang dikehendakinya pada 30hb April 2016, satu perkara yang musthail dipatuhi oleh SPR bila diumumkan secara terbuka.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , ,

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 : PAS bakal dapat ADUN sulung?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Ketika memulakan coretan sulung untuk kolum Kalam Perantau dalam akhbar Harakah pada Februari lepas, saya ada menulis berhubung pilihanraya negeri Sarawak ke-11. Sebelum itu pun, saya juga ada membuat analisa Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-10 pada tahun 2011.

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 dengan 71 kerusi DUN dipertandingkan, pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini sebanyak 11 kerusi DUN Sarawak telah ditambah menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu.

Saya tidak bercadang untuk mencatat semula apa yang telah ditulis dahulu, artikel berkenaan bertajuk “harakah, kalam perantau dan pilihanraya Sarawak” dan lain-lain artikel berkaitan dengan pilihanraya sarawak boleh rujuk dalam kalam Perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) atau menggeledah arkib ePaper Harakah bagi melanggannya.

DUN Bubar 11 April, Buang Undi 7 Mei?

Teka teki bila tarikh pilihanraya Sarawak belum lagi terjawab sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kita sudah tahu satu pilihanraya negeri Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN sarawak dibubarkan pada 11hb April, 2016 nanti.

Apa yang pasti adalah tidak mungkin bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016 seperti yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

Dari sumber-sumber yang layak dipercayai, penamaan calon dijangka akan diadakan pada 25hb April dan pengundian dilakukan pada 7hb Mei, 2016 kerana SPR memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan terutama di 11 DUN yang baru diwujudkan untuk pilihanraya kali ini.

PAS bertanding Pilihanraya Negeri Sarawak

Tahun 2001 merupakan kali pertama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melibatkan diri dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong.

Pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, PAS membuat keputusan bertanding di tiga Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut, dengan calon seperti berikut:

  1. N.07 Samariang : Mohd Shokri Mohd Fauzi
  2. N.18 Sadong Jaya : Haji Adam Ahid
  3. N.21 Beting Maro : Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihanraya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di DUN Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR.

Dalam PRN Sarawaki Ke-10 yang diadakan pada 16 April 2011, PAS bukan sahaja bertanding lagi di Beting Maro bahkan bertanding di 4Kerusi DUN yang lain. Selain Beting Maro, PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 Kerusi DUN lagi, iaitu DUN Sebuyau, Tanjung Datu dan Muara Tuang.

PAS telah mengumunkan untuk bertanding sekali lagi di DUN yang telah ditandingi pada PRN ke10 yang lepas kecuali DUN Tanjong Datu untuk menentang Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah diserahkan kepada PKR.

Sebelas (11) kerusi Dun yang telah dikenalpasti dan diumumkan ditandingi PAS pada pilihanraya negeri ke-11 ini adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut dengan menawarkan ‘Sejahtera Untukmu Sarawak’ yang dilancarkan pada 12hb Mac 2016 dengan hasrat untuk melihat kehadiran ADUN PAS di dalam DUN Sarawak.

Berikut adalah calon-calon PAS yang telah dikenalpasti, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Jofri Jaraiee (51 tahun, professional) bertanding di N74 – Pujut, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Ariffiriazul Paijo (32 tahun, professional) bertanding di N72 – Lambir, Pengarah Pilihanraya, Zharuddin Naruddin (31 tahun, professional) bertanding di N70 – Samalaju, Ketua Penerangan PAS Sarawak, Hj Kiprawi bin Aman (67 tahun, pesara kerajaan) bertanding di N67 – Jepak, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Clement Bayang (59 tahun, Seniman dan tuai Rumah) bertanding di N60 Kakus, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar (26 tahun, usahawanita) bertanding N29-Beting Maro, pendakwah bebas, Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (44 tahun, agamawan bertanding N27 – Sebuyau, Timbahan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Hassan Sinkro (63 tahun, Pesara Guru) bertanding di Sadong Jaya, Bendahari PAS Sarawak, Zulkifli Ramzi (38 tahun, setiausaha kerja PAS) bertanding N16 – Muara Tuang), pendakwah bebas Ustaz Yusof Assadiqi Ahmad Sarkawi (30 tahun, Qari Al-Quran) bertanding di N7 – Samariang, Timbalan Yang Dipertua PAS Santubong Zainal Abidin Yet (49 tahun, kakitangan swasta) bertanding di N4 – Pantai Damai.

Daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi PAS, seorang calon yang bukan beragama Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) dicadangkan bertanding di DUN Kakus pernah bertanding kerusi DUN Semena sebelum ini sebagai calon tetapi bukan diatas tiket PAS.

PAS kembali bertanding di DUN Samariang yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu. Manakala DUN di Zon Utara Sarawak, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut adalah ditandingi untuk kali pertama.

PAS berpeluang Menang

PAS menaruh harapan untuk menang di 3 DUN yang berpotensi pada kali ini. Tiga (3) DUN berkenaan adalah DUN Beting Maro yang telah ditandingi 3 kali sebelum ini dan Dun Lambir dan Samalaju yang pertama kali bertanding juga berpotensi untuk PAS menang.

Selepas persempadanan semula, PRN Ke-9 menyaksikan pertambahan 9 kerusi DUN baru lagi menjadikan 71 kerusi DUN keseluruhannya. Pilihanraya Negeri Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding hanya satu kerusi DUN sahaja dan memfokuskan DUN Beting Maro.

PAS mengejutkan banyak pihak bila Dun Beting Maro kalah dengan majoriti PAS kecil, 895 undi pada kali kedua bertanding pada PRN ke-9 (2006). Berikut merupakan keputusan penuh 2 pilihanraya pilihanraya bagi Kerusi DUN berkenaan:

  1. N.24 BETING MARO (PRN ke-9; 2006) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 895 undi. PAS – Alem bin Din (1,901 undi) ; BN – Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di (2,796 undi)
  2. N.24 BETING MARO (PRN ke-10; 2011) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 391 undi. BN – Razaili Gapor (3,069 undi) ; PAS – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (2,678 undi)

Berdasarkan kepada ‘track record’ PRN Sarawak yang lepas, PAS menaruh harapan yang tinggi untuk menang DUN Beting Maro pada PRN kali ini yang hanya ketinggalan sebanyak 391 undi sahaja,

Dengan membawa politik matang dan sejahtera, PAS berharap rakyat Sarawak memberikan peluang kepada PAS menang di Beting Maro untuk mencipta satu lagi sejarah, iaitu masuk ke DUN Sarawak.

Dari cakap-cakap politik di Beting Maro, sekurang-kurangnya 3 calon akan bertanding merebut kerusi Beting Maro pada kali ini, PAS bukan sahaja akan menentang calon BN dari PBB untuk kali keempat tetapi parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) juga dikatakan akan bertanding dikerusi berkenaan.

Apa pun PAS telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding untuk semua kerusi yang telah dikenalpasti dan diumumkan sebelum ini. Semua calun PAS yang akan bertanding diumumkan serentak di Bintulu pada 6 April.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories