Kalam Perantau

Icon

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 : PAS bakal dapat ADUN sulung?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Ketika memulakan coretan sulung untuk kolum Kalam Perantau dalam akhbar Harakah pada Februari lepas, saya ada menulis berhubung pilihanraya negeri Sarawak ke-11. Sebelum itu pun, saya juga ada membuat analisa Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-10 pada tahun 2011.

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 dengan 71 kerusi DUN dipertandingkan, pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini sebanyak 11 kerusi DUN Sarawak telah ditambah menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu.

Saya tidak bercadang untuk mencatat semula apa yang telah ditulis dahulu, artikel berkenaan bertajuk “harakah, kalam perantau dan pilihanraya Sarawak” dan lain-lain artikel berkaitan dengan pilihanraya sarawak boleh rujuk dalam kalam Perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) atau menggeledah arkib ePaper Harakah bagi melanggannya.

DUN Bubar 11 April, Buang Undi 7 Mei?

Teka teki bila tarikh pilihanraya Sarawak belum lagi terjawab sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kita sudah tahu satu pilihanraya negeri Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN sarawak dibubarkan pada 11hb April, 2016 nanti.

Apa yang pasti adalah tidak mungkin bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016 seperti yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

Dari sumber-sumber yang layak dipercayai, penamaan calon dijangka akan diadakan pada 25hb April dan pengundian dilakukan pada 7hb Mei, 2016 kerana SPR memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan terutama di 11 DUN yang baru diwujudkan untuk pilihanraya kali ini.

PAS bertanding Pilihanraya Negeri Sarawak

Tahun 2001 merupakan kali pertama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melibatkan diri dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong.

Pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, PAS membuat keputusan bertanding di tiga Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut, dengan calon seperti berikut:

  1. N.07 Samariang : Mohd Shokri Mohd Fauzi
  2. N.18 Sadong Jaya : Haji Adam Ahid
  3. N.21 Beting Maro : Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihanraya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di DUN Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR.

Dalam PRN Sarawaki Ke-10 yang diadakan pada 16 April 2011, PAS bukan sahaja bertanding lagi di Beting Maro bahkan bertanding di 4Kerusi DUN yang lain. Selain Beting Maro, PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 Kerusi DUN lagi, iaitu DUN Sebuyau, Tanjung Datu dan Muara Tuang.

PAS telah mengumunkan untuk bertanding sekali lagi di DUN yang telah ditandingi pada PRN ke10 yang lepas kecuali DUN Tanjong Datu untuk menentang Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah diserahkan kepada PKR.

Sebelas (11) kerusi Dun yang telah dikenalpasti dan diumumkan ditandingi PAS pada pilihanraya negeri ke-11 ini adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut dengan menawarkan ‘Sejahtera Untukmu Sarawak’ yang dilancarkan pada 12hb Mac 2016 dengan hasrat untuk melihat kehadiran ADUN PAS di dalam DUN Sarawak.

Berikut adalah calon-calon PAS yang telah dikenalpasti, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Jofri Jaraiee (51 tahun, professional) bertanding di N74 – Pujut, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Ariffiriazul Paijo (32 tahun, professional) bertanding di N72 – Lambir, Pengarah Pilihanraya, Zharuddin Naruddin (31 tahun, professional) bertanding di N70 – Samalaju, Ketua Penerangan PAS Sarawak, Hj Kiprawi bin Aman (67 tahun, pesara kerajaan) bertanding di N67 – Jepak, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Clement Bayang (59 tahun, Seniman dan tuai Rumah) bertanding di N60 Kakus, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar (26 tahun, usahawanita) bertanding N29-Beting Maro, pendakwah bebas, Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (44 tahun, agamawan bertanding N27 – Sebuyau, Timbahan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Hassan Sinkro (63 tahun, Pesara Guru) bertanding di Sadong Jaya, Bendahari PAS Sarawak, Zulkifli Ramzi (38 tahun, setiausaha kerja PAS) bertanding N16 – Muara Tuang), pendakwah bebas Ustaz Yusof Assadiqi Ahmad Sarkawi (30 tahun, Qari Al-Quran) bertanding di N7 – Samariang, Timbalan Yang Dipertua PAS Santubong Zainal Abidin Yet (49 tahun, kakitangan swasta) bertanding di N4 – Pantai Damai.

Daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi PAS, seorang calon yang bukan beragama Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) dicadangkan bertanding di DUN Kakus pernah bertanding kerusi DUN Semena sebelum ini sebagai calon tetapi bukan diatas tiket PAS.

PAS kembali bertanding di DUN Samariang yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu. Manakala DUN di Zon Utara Sarawak, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut adalah ditandingi untuk kali pertama.

PAS berpeluang Menang

PAS menaruh harapan untuk menang di 3 DUN yang berpotensi pada kali ini. Tiga (3) DUN berkenaan adalah DUN Beting Maro yang telah ditandingi 3 kali sebelum ini dan Dun Lambir dan Samalaju yang pertama kali bertanding juga berpotensi untuk PAS menang.

Selepas persempadanan semula, PRN Ke-9 menyaksikan pertambahan 9 kerusi DUN baru lagi menjadikan 71 kerusi DUN keseluruhannya. Pilihanraya Negeri Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding hanya satu kerusi DUN sahaja dan memfokuskan DUN Beting Maro.

PAS mengejutkan banyak pihak bila Dun Beting Maro kalah dengan majoriti PAS kecil, 895 undi pada kali kedua bertanding pada PRN ke-9 (2006). Berikut merupakan keputusan penuh 2 pilihanraya pilihanraya bagi Kerusi DUN berkenaan:

  1. N.24 BETING MARO (PRN ke-9; 2006) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 895 undi. PAS – Alem bin Din (1,901 undi) ; BN – Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di (2,796 undi)
  2. N.24 BETING MARO (PRN ke-10; 2011) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 391 undi. BN – Razaili Gapor (3,069 undi) ; PAS – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (2,678 undi)

Berdasarkan kepada ‘track record’ PRN Sarawak yang lepas, PAS menaruh harapan yang tinggi untuk menang DUN Beting Maro pada PRN kali ini yang hanya ketinggalan sebanyak 391 undi sahaja,

Dengan membawa politik matang dan sejahtera, PAS berharap rakyat Sarawak memberikan peluang kepada PAS menang di Beting Maro untuk mencipta satu lagi sejarah, iaitu masuk ke DUN Sarawak.

Dari cakap-cakap politik di Beting Maro, sekurang-kurangnya 3 calon akan bertanding merebut kerusi Beting Maro pada kali ini, PAS bukan sahaja akan menentang calon BN dari PBB untuk kali keempat tetapi parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) juga dikatakan akan bertanding dikerusi berkenaan.

Apa pun PAS telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding untuk semua kerusi yang telah dikenalpasti dan diumumkan sebelum ini. Semua calun PAS yang akan bertanding diumumkan serentak di Bintulu pada 6 April.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: