Kalam Perantau

Icon

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah ‘naik tocang’ dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi ‘membuli’ PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang ‘bercelaru’ kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: