Kalam Perantau

Icon

PAS tiada pilihan, tanding pilihanraya kecil berkembar

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa hari ini saya ditanya adakah PAS akan bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkembar Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Bermacam-macam teori yang dikemukakan selain pujuk rayu pelbagai pihak supaya PAS tidak bertanding pada kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS sebelum ini.

Ramai yang keliru dengan PKR yang mendakwa mereka parti yang boleh menang di Sg Besar dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18hb Jun 2016 nanti. Semua parti akan mendakwa mereka boleh menang hatta Parti Amanah Negara (PAN) yang belum teruji itu pun membuat dakwaan yang sama.

Saya tak berminat untuk sebut tentang PAN dulu setakat ini. Biarkan mereka dengan dakwaan dan teori-teori mereka. Ramai yang kenal siapa mereka. Mereka tak lebih dari ahli politik yang kecewa dalam PAS setelah kalah dalam pemilihan parti pada tahun lepas.

Begitu juga dengan dakwaan PKR yang mendakwa mereka boleh menang juga boleh dipertikaikan. Tak perlulah PKR nok bertukar kerusi pada masa ini kerana masa hendak tukar kerusi boleh dibuat pada PRU ke-14 nanti. Sekarang PAS dan PKR masih terikat dengan ‘status quo’ yang telah dipersetujui sebelum ini.

Cuma saya minta PKR merenung sejenak kebelakang dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 selepas PRU ke-12. Kerusi Hulu Selangor tersebut dimenangi oleh PKR dalam PRU ke-12 sebanyak 198 undi.

Ketika itu Pakatan Rakyat (PR) masih kuat dan semua pihak menyokong PKR tanpa berbelah bahagi dibantu oleh kerajaan PKR yang memimpin Selangor. Calon PKR pun bukan calang-calang orang, seorang bekas Menteri UMNO, Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan kerana prinsip dan menyertai PKR.

Apa yang berlaku dalam PRK tersebut, PKR bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi tersebut, malah tewas dalam pilihanraya kecil tersebut dengan majoriti 1,725 undi. Calon  BN, P. Kamalanathan mendapat 24,997 undi dan calon PKR,  Datuk Zaid Ibrahim pula mendapat 23,274 undi sahaja.

Dalam satu perkembangan yang lain pada PRU ke-12, calon PAS Mohd Sabu (sekarang Presiden PAN) yang disebut-sebut sebagai calon popular PAN di Sungai Besar gagal memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi.

Bila PAS bertanding semula dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, PAS meletakkan calon yang diterima rakyat mampu merampas kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Saya sendiri pun tidak pasti sama ada PAS akan bertanding atau tidak kerana penamaan calon belum diadakan lagi. Penamaan calon bagi pilihanraya kecil berkembar itu akan diadakan pada 5hb Jun 2016 nanti.

PAS berkeras kerusi tradisi parti Sg Besar dan Kuala Kangsar

Dalam Pakatan Harapan, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, atas alasan ia mempunyai hak keatas kerusi itu yang sebelum ini ditandingi oleh PAS apabila mereka menjadi sebahagian daripada bekas gabungan Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam masa yang sama, Azmin Ali Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar juga ‘berminat’ PKR bertanding di Sungai Besar, Selangor kerana beranggapan mempunyai lebih peluang untuk menang.

Tetapi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin PAS mempunyai peluang yang cerah pada PRK ini dengan berkata, “PAS akan bertanding di sini kerana PAS secara tradisinya bertanding di kerusi Sungai Besar, kerusi tradisi PAS, maka keputusan parti itu untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa dan kini memberi tumpuan untuk merampasnya dari BN kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional akibat dari kebobrokan pentadbiran BN”.

Dalam banyak-banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin politik terutama dari kem pembangkang, saya rasa kenyataan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang juga pemimpin PKR paling realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Saya bersetuju PAS bertanding dikerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pembangkang harus tunjukkan komitmen berpadu jika mahu mengambil alih Putrajaya pada PRU 14 nanti. Bertanding untuk tewas bukanlah pilihan yang bijak” dimuat naik dalam facebook beliau pada 12hb Mei 2016 yang lepas.

Tan Sri Muhammad dilihat terus konsisten dengan pendirian awalnya bila seminggu lepas itu, pada 19hb Mei, 2016 sekali lagi beliau memuat naik pandangan beliau dalam facebook, “kalau saya memutuskan siapa nak bertanding di piluihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya akan pilih PAS. Soal dia dilihat berbaik-baik dengan Umno sama lah seperti PH dilihat berbaik-baik dengan Tun Mahathir”

Walaupun diserang kiri dan kanan dalam dalam dunia maya, beliau bertegas, “mengapa di satu pihak kita boleh berbaik-baik dengan Tun Mahathir dan disatu pihak tidak mahu sokong-menyokong dengan PAS dalam pilihanraya kecil ini? Biasanya dalam pilihanraya kecil, ‘incumbent’ akan bertanding” katanya dalam facebook beliau pada 19hb mei, 2016 tersebut.

Keputusan PAS untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa hatta PKR sekali pun sebagaimana PAS tidak mempertikai PKR bertanding pada kerusi tradisinya di Selangor.

Apatah lagi dalam keadaan PAS akan adakan muktamar ke-62 pada 1-3hb Jun, 2016 (dpercepatkan sehari dari asal yang akan berakhir pada 4hb Jun) di Kota Bharu kerana penamaan calon PRK berkembar berkenaan pada 5hb Jun, 2016.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini konsisten dalam kenyataan mereka bahawa parti itu akan meneruskan keputusannya untuk meletakkan calonnya dalam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setakat ini saya tak nampak ada pemimpin PAS yang sanggup “membunuh” karier politik mereka dalam PAS dengan mengambil sikap U-turn dengan keputusan yang dah diputuskan untuk bertanding dan sanggup berhadapan dengan ahli dalam muktamar yang diadakan untuk digelar pengkhianat parti sendiri.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: