Kalam Perantau

Icon

‘Lorong Sunyi Media Bebas’ satu pembaharuan dalam dunia buku?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Sebelum menulis kolum Kalam Perantau pada minggu ini, saya mengucapkan tahniah pada team editorial Harakah kerana berjaya membuat satu lagi pembaharuan dalam dunia pesuratkhabaran dengan memberikan wjah baru pada Harakah edisi terkini adalah 40 mukasurat dimana semua muka surat dicetak dengan warna dan tiada lagi mukasuarat hitam putih tetapi dikekalkan pada harga RM 2 senaskah.

Saya tidak segera untuk mendapatkan buku Lorong Sunyi Media Bebas terbitan Penerbitan Pemuda dan terima kasih kepada Pengarang Ahmad Lutfi Othman yang menjemput saya untuk hadir pelancaran buku tersebut pada 20hb Mei 2016 lalu tetapi saya tak dapat hadir kerana bertembung dengan mesyuarat yang perlu saya hadiri.

Saya terpanggil untuk segera mendapatkan buku tersebut bila seorang rakan dari Sabah datang ke MyharakahBazzar pada Jumaat 27hb Mei untuk membeli buku tersebut tetapi tidak ada dalam senarai buku jualan di MyharakahBazaar.

Rakan tadi meminta bantuan untuk berhubung dengan penulis buku tersebut, Ahmad Lutfi untuk membeli terus dari beliau. Saya membawa rakan yang mencari buku tadi berjumpa dengan Lutfi dirumahnya. Terkejut saya, bukan sebuah yang dibelinya, tetapi 100 buah ditempah untuk dibawa balik ke Sabah.

Saya sendiri pun tidak ingat ada menyumbang satu artikel dalam buku tersebut. Berkali-kali saya cuba menulis tetapi tidak tahu dimana hendak mula. Secara jujur saya memberitahunya, sukar untuk tulis permintaan beliau pada kali ini. Untuk tidak menghampakan permintaannya, saya cuba menaip sesuatu sebagai catatan sekadar ingatan kepada seorang sahabat lama secara sepintas lalu sahaja berkaitan sisi pandang terhadap Lutfi kerana saya tulis tergesa-gesa sekitar bulan November, 2015 yang dijadikan bab ke-48 dalam buku tersebut dengan tajuk, Diingati kerana komitmennya pertahan hak pelajar berpurdah.

Menyertai Harakah

Sebenarnya kegigihan Lutfi sebagai seorang penulis dipupuk sejak dikampus UTM lagi. Diperingkat awal penglibatannya dalam PMUTM, beliau memang memegang portfolio akhbar dan penerbitan PMUTM sesi 1983/84 dan 1984/85 serta dilantik Ketua Pengarang ‘Nada Kampus’ lidah rasmi PMUTM. Jika tidak ada orang lain menulis dan menyediakan bahan, Lutfi menulis seorang diri dan kemudiannya terpaksa mempertahankan tulisan tersebut daripada mangsa guntingan Hal Ehwal Pelajar. Tidak sedikit tulisannya yang dilarang terbit. Semasa menjadi Setiausaha Agong PMUTM, Lutfi tetap konsisten menulis dan menyunting serta terlibat dengan kerja pengedaran. Tidak cukup dengan itu, beliau menerbitkan Suara Siswi, majalah khas PMUTM untuk mahasiswi dan beliau juga menjadi ketua pengarangnya.

Selepas Lutfi menyertai Harakah pada Mac, 1987 beliau diberi kepercayaan menjaga ruangan tetap Kampus. Hubungannya dengan aktivis pelajar berterusan. Malah beliau ditahan ISA pada akhir tahun 1989 kerana membuat laporan tentang demonstrasi pelajar UM dan dituduh sebagai penghasut mahasiswa untuk menentang kerajaan. Beliau kekal di Harakah hingga dilantik Pengarang Kumpulan Harakah pada tahun 1993.

Manakala saya menyertai Harakah agak lewat kerana saya menyertai dunia korporat terlebih dahulu untuk menimba pengalaman. Saya diminta bersama Harakah selepas menyelesai pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di UiTM selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008. Iaitu sebulan lebih sebelum pelancaran Harakah 2 kali seminggu pada Muktamar PAS di Ipoh. Lebih kurang setahun saya mengendalikan pemasaran Harakah, pada 2009 saya diberikan tugasan baru mempersiapknh Harakah dari segi IT dan memulakan pembangunan perniagaan digital.

Meskipun lama bersama Lutfi sebagai rakan sekerja Harakah atau pun aktivis mahasiswa dulu, kami kerap berbeda pendapat terutama berhubung pendekatan politik. Kami berbeda pandangan, misalnya terhadap isu-isu dalaman PAS. Saya sesekali turut dalam aktiviti kebebasan medianya, menerusi KAMI.

Lutfi sebelum masuk semula Harakah sebagai Ketua Pengarang Kumpulan pada 2006, beliau diamanahkan menerajui akhbar Siasah. Saya juga pernah menjadi kolumnis Siasah,. Kalam Perantau. Di Harakah pada peringkat awalnya saya tidak menulis apatah lagi mempunyai kolum, melalinkan kemudiannya sesekali menulis atas permintaan Lutfi. Tetapi diakhir khidmatnya sebelum bersara sebagai Ketua Pengarang kerana keuzuran, saya diberikan satu kolum untuk meneruskan minat saya dalam bidang penulisan.

Bersama Lutfi di PMUTM dan Harakah

Saya mula mengenali Ahmad Lutfi Othman bukan di harakah tetapi semasa menjadi aktivis pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kami pernah bersama-sama menjadi aktivis Persatuan Mahasiswa Unitersiti Teknologi Malaysia (PMUTM) pada era tahun 1980’an dulu.

Beliau bertanding dan menang dalam pilihanraya kampus beberapa kali sejak sesi 1983/84 hingga 1985/86. Banyak kenangan suka duka kami lalui bersama dalam memperjuangkan hak mahasiswa untuk terlibat dan bergiat dalam apa yang dikenali sebagai percaturan ‘politik kampus’.

Kemuncak keterlibatan beliau sebagai aktivis mahasiswa adalah pada masa beliau menjadi Setiausaha Agong PMUTM 1985/86. Pada masa itu saya menjadi seorang exco PMUTM yang bertanggungjawab pada portfolio Asrama dan Penginapan. Turut terpilih menjadi exco PMUTM, adalah Zaini Ujang sekarang menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan mantan Naib Canselor UTM.

Lutfi kerap diingati kerana kesungguhannya memperjuangkan hak mahasiswi untuk memakai purdahdan bersikap proaktif membantah keras arahan pengharaman berpakaian menutup muka, apatah lagi dengan tindakan UTM memecat para pelajar berkenaan, majoritinya berada ditahun akhir pengajian. Dia bersungguh-sungguh menetangnya.

Pada zamannya juga terbentuk satu gabungan kepimpinan kampus-kampus utama yang sebahagian besarnya berpusat di Lembah Kelang kecuali USM di Pulau Pinang dan UUM di Kedah. Badan itu dikenali sebagai Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) dipimpin oleh Zulkifli Yusoff (Presiden PMUM; sekarang Prof di Akademi Pengajian Islam UM) dan setiausaha adalah Saifuddin Nasution Ismail (Presiden PMUPM; pernah menjadi Setiausaha Agung KeADILan).

Antara aktiviti paling menonjol BBMN ialah demonstrasi besar menghimpunkan aktivis kampus Lembah Kelang membela Lutfi pada tahun 1986, bertempat di UTM selepas Jumaat ekoran penyingkirannya tanpa sebab yang munasabah. Mahasiswa tidak boleh menerima alas an beliau gagal dalam peperiksaan sedangkan beliau uzur ketika itu. Ramai pemimpin pelajar UTM yang digantung pengajian kerana tunjuk perasaan tersebut. Saya terlepas daripada tindakan disiplin tersebut kerana tidak mendaftar untuk tahun keempat Integrasi Sains Komputer selepas mendapat diploma pada tahun tersebut.

Sebaliknya memulakan kerjaya dalam bidang IT ini dengan terus bekerja dengan sebuah syarikat korporat, GLC dalam bidang besi waja berpangkalan di Kemaman Terengganu. Kemudiannya saya berpindah ke Kuala Lumpur semula dengan menyertai sebuah syarikat GLC yang lain dalam bidang teleomunikasi. Serentak dengan itu, saya juga memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah yang tertangguh dahulu dan memohon semula untuk memasuki UTM pada akhir 1980an.

Selepas mendapat tahu kemungkinan tidak dibenarkan menyambung semula pengajian ijazah oleh seorang Timbalan Naib Canselor, setelah Dekan Institut Sains Komputer (ISK) tiada halangan untuk meneruskan pengajian di UTM , saya menghantar permohonan ke UKM.

Saya pernah merekodkan dunia aktivisme ini dalam buku “Disebalik Tabir Politik Kampus” terbitan 1995. Ketika saya hendak menyambong menyambung pengajian peringkat sarjana, saya dan rakan menasihatkan dia untuk sambung semula pengajiannya yang tertangguh dulu. Lutfi memilih bidang Sains Politik di UKM.

Ini bukan ulasan buku. Tulisan ini ini telah disusun semula dari artikel saya dalam buku tersebut untuk tatapan pembaca setia kolum Kalam Perantau menjelang Muktamar PAS ke62 sebagai tribute kepada Mantan Ketua Pengarang Harakah bagi yang belum membaca lagi tulisan saya dalam dalam buku tersebut.

Biasanya apa yang saya tulis Lutfi akan berusaha baca, begitu juga sebaliknya. Saya tak pasti sama ada buku tersebut ada dijual di Muktamar atau pun tidak. Tergambar dalam fikiran bila baru dimananahkan mengndalikan Penerbitan Buku-buku Harakah, sebuah buku seperti ini perlu diterbitkan seperti yang pernah dilakukan semasa menyambut 20 tahun harakah bagi mengingati Ulangtahun ke30 Harakah pada tahun 2017. Ini adalah sekadar lontaran awal, apa pun perkara itu perlu difikirkan dan akan diusahakan bila tiba masanya nanti.

Saya tidak sempat lagi menghadam buku Lorong Sunyi Media Bebas setebal 811muka surat. Cuma apa yang saya lihat semacam ada satu trend baru dalam dunia buku bila ramai yang menjadi penulis dalam sesebuah buku menjadikan ianya seolah-olah sebuah jurnal. Dalam buku tersebut saya kira ada 70 orang kenalan beliau menulis. Apa yang Lutfi buat itu sebenarnya, saya dah mulakan ketika diamanahkan menjadi Editor Perunding untuk menerbitkan buku ’25 tahun Kepimpinan Ulama’ pada 2009 yang lalu.

Pada Muktamar PAS ke62 ini, Unit Buku Harakah berjaya menerbitkan 2 buah buku, iaitu Sejarah PAS 1951-1957 : Membina Jiwa Merdeka yang gagal diterbitkan sejak sekian lama dan buku lama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Sirrah Nabawiyyah yang disusun semula kepada 17 bahagian sebagai satu lagi tribute kepada beliau yang meninggalkan khazanah berharga tersebut sebagai amal jarian beliau yang berterusan.

Advertisements

Filed under: Buku, Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , ,

Harakah, Siasah dan Pilihanraya Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Selasa, 22hb. Mac, 2011 saya berkesempatan membentang kertas kerja berkaitan dengan  Harakah sebagai Media Dakwah bersama seorang Professor di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan dalam Bicara Dakwah kali ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak 10 kertas kerja di dalam program sehari ini. Bicara Dakwah ke X kali ini lebih memfokuskan perbincangan dan pembentangan kajian berkaitan dengan Internet dan Media Baru dalam konteks dakwah.

Ramai yang terkejut bahawa harakah tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bila Harakah Edisi Internet (lihat contoh, di http://harakah4.tripod.com) telah dilancarkan sejak tahun 1997 lagi sebelum berkembang kemudiannya menjadi portal berita harakahdaily selepas tahun 2000. Kemudiannya satu demi satu produk berasaskan ICT dimanfaatkan seperti SMS, Facebook, Twitter dan lain-lain dalam menyampaikan berita dan risalah dakwah.

Mereka terkejut dan berminat dengan harakah mungkin kerana akhbar berkenaan sukar didapati dipasaran kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang untuk dijual secara terbuka. Lutfi dan Dinsman ada membicarakan persoalan ini dalam kolum mereka di harakah, Catatan Hujung dan Wacana Budaya.

Ketika saya berbicara dengan Lutfi beberapa minggu lepas dia juga ada menyebutkan sukar untuk mendapat akhbar Siasah di sekitar tempat tinggalnya di Ampang. Saya tidak pasti apakah Siasah juga menghadapi masalah pengedaran sebagaima harakah?   

Jika di Semenanjung akhbar harakah dan Siasah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar ini?.

Dilaporkan oleh Lutfi dalam kolumnya itu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat mendapat maklumat terus dari PAS?

Bila akhbar berkernaan Harakah dan Siasah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih Pakatan rakyat khususnya PAS dalam pilihanraya yang akan diadakan beberapa minggu sahaja lagi.

Dalam kolumnya, Ahmad Lutfi Othman ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan. 

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10

Teka-teki tarikh pilihanraya negeri yang ke-10 hampir berakhir DUN Sarawak telah dibubarkan pada 21hb. Mac, 2011 untuk memberi laluan kepada pilihanraya DUN ke-10 diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Ketika rencana ini ditulis, SPR belum lagi mengadakan mesyuarat (SPR akan bermesyuarat pada hari Rabu, 23hb. Mac)  untuk memutuskan tarikh pilihanraya Sarawak. SPR memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan logistik walaupun mereka telah bersedia.

Kalau pada pilihanraya negeri Sarawak tahun 2006 dahulu, pembubaran DUN dilakukan pada 24hb. April, 2006 dan penamaan calon diadakan pada 9hb. Mei, 2006. Manakala pengundiaan diadakan pada 20hb. Mei, 2006, bermakna tempoh berkempen selama 11 hari.

Pada pilihanraya kali ini, jika jangkaan penamaan calon diadakan pada 9hb. April, 2011 dan pengundian pada 16hb April, 2011 sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak, bermakna tarikh berkempen hanya selama 7 hari sahaja. Ianya menjadi yang terpendek dalam sejarah.

Sekiranya benar, SPR membuat ketetapan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja, saya rasa kewibawaan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan bebas akan tercalar lagi memandang demografi bumi Sarawak yang luas dan kemudahan perhubungan yang masih kurang baik.

Pakatan Rakyat meminta tempoh berkempen selama 21 hari memandangkan bumi Sarawak yang luas dan media yang dikawal ketat serta perhubungan yang masih tidak memuaskan menyukarkan mereka memperkenalkan calon dan juga menerangkan manifesto kepada rakyat Sarawak.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad Pas yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihanraya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN terutama dengan janji “Buku Jingga” antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak setelah 30 tahun dibawah kepimpinan Taib Mahmud.

Manakala Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, berdasarkan dari respon masyarakat di sana tidak mustahil PAS mampu memenangi kerusi dan menghantar wakil ke Sidang DUN Sarawak. Kesungguhan PAS Nampak ketara bila akhbar rasminya banyak membuat liputan dan pendedahan tentang kepincangan pemerintahan BN Sarawak yang membolot kekayaan Sarawak seperti yang didedahkan dalam media internet melalui Sarawak Report.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas, pembangkang hanya memenangi 9 dari 71 kerusi dengan 6 DAP, 1 PKR, 1 SNAP (Sarawak National Parti) dan 1 PCM (Parti Cintai Malaysia). Inilah prestasi terbaik sejak tahun 1987, bila Taib Mahmud nyaris-nyaris tumbang berikutan pemberontakan dalaman BN melalui peristiwa “Ming Court” untuk membawa usul undi tidakl percaya dalam Sidang DUN.

PKR hendak bertanding 52 kerusi DUN dan SNAP pula hendak bertanding 40 kerusi DUN. Berapa pula yang hendak ditandingi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam pilihanraya kali ini? DAP dan PAS agak realistik dan boleh bertolak ansur dalam rundingan permbahagian kerusi. Apakah pilihanraya kali ini dua penjuru atau tiga penjuru ekoran SNAP, parti tertua di Sarawak tidak berpuashati berhubung pembahagian kerusi dengan PKR.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

PAS Ganti UMNO, PR Ganti BN?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Minggu lepas, pada 9hb. Mac, 2011, saya berkesempatan untuk bersembang santai berhubung dengan politik semasa dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman di rumahnya. Tujuan asal kerumahnya adalah untuk memberikan komen terhadap buku terbarunya, Catatan Hujung setelah lebih sedekat beliau tidak menulis buku-buku politik.

Satu sahaja komen saya selepas membuat ‘speed reading’ terhadap buku terbarunya itu, buku Catatan Hujung tersebut sepatutnya diterbitkan oleh unit buku Harakah. Setidak-tidaknya sebagai penghormatan kepada Ketua Pengarang Kumpulan terutamanya menjelang sambutan “Jublee Perak” atau 25 tahun penubuhan Harakah kerana semua tulisan tersebut adalah merupakan kompilasi artikel-artikelnya dalam Harakah.

Petang tersebut dihabiskan dengan bertukar-tukar pandangan terhadap masa depan PAS dalam politik negara…Mampukah PR ganti BN atau setidak-tidaknya PAS Ganti UMNO? Pengamatan Lutfi begitu kritis dan sesetengahnya tidak mampu dihayati oleh pimpinan PAS sendiri. Bacalah sendiri komentarnya dalam harakah.

Tumpuan sembang politik secara santai kami lebih tertumpu kepada peluang PAS memerintah kembali Terengganu pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Saya ada menulis dalam kolum di akhbar Siasah ini beberapa minggu sebelum ini, Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah ? Saya tidak bercadang untuk memetik kembali apa yang telah saya tulis itu. Boleh dibaca di internet menerusi https://kalamperantau.wordpress.com/2011/02/22/analisa-politik-terengganu-mampukah-pas-kembali-memerintah/

Keghairahan PAS Terengganu untuk kembali memerintah bagi kali ke-3 di negeri ini semakin jelas. Bukan setakat mengadakan taklimat PAS Ganti UMNO sebagaimana yang dicadangkan oleh PAS Pusat, tetapi PAS Terengganu agak ke depan mengambil inisiatif dengan mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat dengan slogan atau tema PAS Ganti UMNO di Kemaman pada 15 dan 16hb. Januari, 2011 telah dihadiri puluhan ribu rakyat terutamanya penyokong-penyokong PAS.

Sebulan kemudian, Dewan Pemuda PAS Terengganu juga mengadakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di Kuala Nerus pada 12hb. Februari, 2011 juga dihadiri puluhan ribu anak muda. Pada 18 dan 19hb. Mac, 2011 ini, sekali lagi PAS Terengganu akan mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Terengganu di Besut pula.

Kenapa UMNO perlu ditolak?

Satu pertanyaan yang sedang bermain dibenak rakyat dinegara kita sekarang adalah kenapa perlu tolak UMNO? Bukankah UMNO telah memerdekakan negara dan berkuasa memartabatkan orang Melayu dan islam dengan kuasa politik yang ada pada mereka. Tanpa UMNO hilanglah kuasa Orang Melayu dinegara kita. Betulkah begitu?

Saya tidak bercadang untuk membuat kajian akademik dalam hal ini. Di sini saya memetik dari buku Taklimat Isu-Isu Penerangan Siri ke-2 yang diadakan pada 12hb. Mac, 2011 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Shah Alam, Selangor.

Sebagai bahan untuk kita berfikir sejenak, apa yang dilakukan oleh UMNO terhadap orang Melayu dan Islam semasa rakyat memberikan kuasa politik memerintah negara kepada mereka selama lebih setengah abad, sejak merdeka pada tahun 1957.

Selepas merdeka, orang Islam adalah 82 %, tetapi setelah 52 tahun merdeka hanya tinggal 50 % lebih sahaja. Kenapa ini terjadi? Itu tidak termasuk lagi pengkhianatan UMNO terhadap agama Islam dengan menghapuskan tulisan jawi, menukarkan hari Jumaat sebagai cuti umum kepada hari Ahad, kecuali di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam soal tanah rezab Melayu pula, telah menurun dengan banyaknya. Di Terengganu, 300 ekar tanah Rezab Melayu di Pulau Redang di berikan kepada Vincent Tan. Tanah rezab Melayu yang diambil tidak pernah diganti semula. Pada tahun 1957, ada 3 juta hektar diseluruh negara, tetapi tinggal 1.7 juta hektar pada tahun 1995. Sekarang tak pasti tinggal banyak mana?

Pengkhianatan terbesar UMNO kepada orang Melayu adalah dengan menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew kerana bimbang hilang kuasa politik mereka dinegara ini menyebabkan orang Melayu Singapura merempat ditanahair mereka sendiri.

Daris segi politik pula, UMNO sanggup tidak menambahkan kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri majoriti orang Melayu seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Bukan setakat itu sahaja, UMNO sanggup memberikan kerusi majoriti orang Melayu Islam kepada orang bukan Melayu seperti di Parlimen Gerik, Perak.

Malah UMNO juga sanggup derhaka pada Raja-Raja Melayu jika tidak selari dengan kehendak mereka. Beberapa kali UMNO meminda perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu terutama pada masa pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad, iaitu pada tahun 1983 dan 1993. Tidak cukup dengan itu, mereka sanggup menabalkan Tengku Ibrahim Putra di Ketereh Kelantan pada 29hb. April, 1993 kerana Sultan Ismail Putera dikata campor tangan dalam politik menyebabkan UMNO kalah teruk di Kelantan pada tahun 1990.

Lebih penting lagi, bagi umat Islam UMNO tidak menjadikan hukum Allah (Al Quran/Hadith) sebagai hukum tertinggi negara. Ini bertentangan dengan aqidah Islam dan boleh membawa kepada kerosakan aqidah. UMNO dikatakan menganut faham sekularisma, yakni menganggap agama sebagai perkara peribadi yang tiada kena mengena dengan pengurusan dan pentadbiran.

Disamping itu, UMNO mempunyai nilai akhlak yang membimbangkan. Perjuangannya mementingkan habuan peribadi mengatasi kepentingan awam serta tidak mementingkan dosa dan pahala dalam urusan mereka. Lebih teruk lagi, UMNO mempunyai budaya rasuah yang terlalu parah seperti diakui oleh kepimpinan mereka sendiri.

Paling mendukacitakan adalah menafikan hakikat kenaikan harga barang keperluan rakyak, sebaliknya UMNO boleh bersandiwara dengan mengatakan ‘bukan kenaikan tetapi penyelarasan harga’. Ketidak perihatinan kepimpinan UMNO dalam membendung inflasi (kenaikan harga) sehingga membebankan rakyat terutamanya golongan miskin menyebabkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain kecuali menolak UMNO dan BN dalam PRU ke-13 nanti.

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Harakah 2011 : Luahan hati Ketua Pengarang

Artikel ini agak lewat diterbitkan, namun ianya wajar diterbitkan untuk muhasabah khusus untuk akhbar harakah. – moderator

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hanya beberapa hari lagi tirai  2010 akan berlabuh. Tahun penuh warna-warni ini bakal ditinggalkan.  Pastinya, ramai yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri dan organisasi. Aspek kejayaan tidak seharusnya melekakan kita. Proses berterusan memaknakan kehidupan ini tentu juga berdepan dengan kekecewaan. Lebih malang jika kegagalan itu berpunca daripada faktor kealpaan dan kelemahan peribadi. 

Jatuh-bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takah-takah yang lebih tinggi dengan semangat jitu. 

Begitu juga dengan kami di Harakah. Sebagai pembaca, anda lebih layak untuk menghakimi prestasi kami dalam tempoh setahun ini. (Kebetulan, sejak diserang penyakit jantung akhir November 2009, sudah lebih setahun sentuhan saya cukup terbatas).

Harakah yang diasaskan lebih 23 tahun lalu tidak sunyi daripada kelemahan. Usianya sudah menginjak dewasa, namun pencapaiannya mungkin boleh dipersoalkan. Dunia maklumat bergerak pantas. Ya, terlalu cepat sekali sehingga kita selalu tertinggal. Teknologinya begitu mengkagumkan sekali. Kemajuan datang bersama cabaran. Tanpa keupayaan daya saing yang tinggi, kita mungkin menjadi makhluk asing yang terpinga-pinga dengan arus perubahan.

Mudah melafazkan istilah perubahan, namun usaha mengisinya jarang kesampaian. Ramai yang menjerit slogan perubahan tetapi tidak sempat menghadam makna di sebaliknya.Ia menuntut tekad dan azam luar biasa, selain perincian dan perancangan sistematik. Segalanya mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Serius. Cepat belajar.

Tahun 2011 dijangka tahun pilihan raya. Dan ia bukan seperti pilihan raya umum sebelum ini. PRU13 cukup istimewa. Sebagai organ parti, di kala permit Suara Keadilan masih terbenam, harapan buat Harakah menjulang. Akhbar dua kali seminggu ini perlu memenuhi aspirasi pendukung perubahan dan kehendak rakyat seluruhnya, yang mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih makmur dan adil.

Meskipun kuasa siber diakui faktor yang semakin dominan untuk mempengaruhi kecenderungan mengundi, namun media tradisional seperti akhbar, terutama buat sasaran khalayak Melayu masih penting dan berbisa. Perang maklumat dan usaha membentuk pandangan awam melalui akhbar tetap merupakan satu agenda yang tidak boleh dikesampingkan.

Edaran akhbar-akhbar harian yang dikontrol Umno-BN memang menurun. Jualan Utusan Malaysia dan Berita Harian di bawah paras 200,000 naskhah. Bagi penganalisis media, trend penurunan ini tidak mungkin dapat disekat, cuma boleh diperlahankan kemerosotannya. Seolah-olah tiada pembaca baru daripada generasi muda. Kehilangan penggemar akhbar-akhbar berkenaan sukar dicari ganti.

“Kita tidak perlu menunggu lama untuk menunggu kepupusan sepenuhnya akhbar bercetak, seperti yang sudah berlaku di beberapa negara maju,” ramal seorang wartawan kananakhbar harian berbahasa Melayu. Mungkin jangkaannya itu boleh ditolak tetapi sekurang-kurangnya ia amaran awal buat semua syarikat akhbar di negara ini, termasuk Harakah. Realitinya, banyak majalah berita antarabangsa sudah ditutup, seperti Asiaweek, atau terpaksa dirombak kandungannya secara drastik, seperti Newsweek.

Menurut laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC), akhbar yang mengambil pendekatan santai seperti Harian Metro dan Kosmo mengambil alih pasaran. Media seumpama ini jarang memuatkan bahan-bahan serius seperti perkembangan politik. Kalau ada pun, ia sekadar berita kaki atau bahan sendal.

Apakah fenomena ini menunjukkan masyarakat kita semakin kurang “berahi” dengan berita-berita semasa yang dahulunya dilihat penting ataupun mereka mula beralih sepenuhnya kepada sumber internet?

Saya tidak mudah untuk memborong pandangan bahawa pembaca sudah muak dengan “berita putar-belit”. Trend kejatuhan jualan akhbar tidak sesenang itu untuk dibuat kesimpulan. Harakah turut terkena tempiasnya jika tiada usaha bersungguh-sungguh menepisnya.

Memang cabaran kuasa siber cukup gagah dan sukar ditandingi. Rasanya hampir semua akhbar cetak mempunyai versi “dalam talian”. Ini bermakna, yang menjadi saingan adalah produk daripada syarikat yang sama. Daripada sudut perniagaan, banyak kos yang terpaksa “dihanguskan” untuk akhbar on-line, sedangkan pulangannya hanya tersudutkepada jualan iklan semata-mata.

Masyarakat sekarang pula lebih terbuka pemikiran dan bersikap kritikal dengan maklumat yang dihidangkan. “Pengikut fanatik” terhadap mana-mana parti semakinberkurangan. “Golongan atas pagar” lebih ramai. Mereka tidak mahu terkongkong dengan satu-satu aliran politik. Bagi aktivis Pakatan Rakyat, ia mungkin satu perkembangan positif apabila kecenderungan mengundi terbuka untuk dipengaruhi.

Apa pun, pengamal media cetak — termasuk Harakah — mesti serius menangani gugatan genting berkenaan. Diharapkan sesi permukiman kami pada 25 dan 26 Disember inimampu menawarkan jalan keluar ke atas kemelut sejagat itu. Anda, pembaca, turut dipelawa menyalurkan pandangan. Salurkan kepada lutfi_detik@yahoo.com.

Filed under: News, , , , , , ,

Tiada lagi akhbar alternatif milik pembangkang?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Terlalu banyak isu-isu semasa yang menarik perhatian untuk disoroti oleh penulis pada minggu ini. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersuara lunak, mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno.

Penulis mengambil sedikit masa dan ruang untuk bersama dengan penggiat media membicarakan tindakan kerajaan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar-akhbar milik parti-parti pembangkang Suara Keadilan milik PKR, Harakah milik PAS dan Roket milik DAP.

Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Parti Keadlilan Rakyat (PKR) telah dinafikan hak mendapat permit pernitan akhbarnya bertahun-tahun lamanya sebelum mendapat permit penerbitan terhad beberapa tahun lepas. Permit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab.

Dengan perangkap, permit penerbitan tamat pada 7 Julai lalu memaksa Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis kedua dari Harakah berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Pada tahun lepas pun permit Harakah digantung seketika ketika berhadapan dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang. Permohonan membaharukan permit pada tahun ini telah dilakukan oleh pengurusan Harakah sejak beberapa bulan lepas. Tindakan ini sengaja dikenakan oleh pihak pemerintah bagi “mendera” parti-parti pembangkang agar tidak menyerang kerajaan secara keterlaluan.

Harakah dan Perjuangan Lutfi

Keadaan ini memaksa, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang sedang bercuti panjang berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu sehingga hujung bulan Julai ini “memaksa” diri untuk turun padang dan turut berjuang melalui penulisannya dalam Harakahdaily dan Harakah Cetak apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.

Baginya, “Akta Mesin Cetak lebih gawat berbanding ISA kerana memperuntukkan beberapa perkara yang tidak masuk akal apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan hari ini”. Beliau menyebut, “resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi “sakit hati” dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa.”

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telah diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini cukup ditakuti oleh penerbit dan pengamal media kerana menafikan segala ruang untuk semakan kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri boleh menggantung, menyekat dan menyambung atau menghentikan mana-mana permit penerbitan sesebuah akhbar sesuka hati atas nama mengikut budi bicaranya.

Selain akta mesin cetak dan penerbitan ini, pemerintah berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan lain yang mengongkong akan terus menindas demi survival kuasa mereka seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain.

Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan tiga parti pembangkang terbesar dalam negara ini, PAS, PKR dan DAP akan buat, apabila hayat organ penerangan parti masing-masing diancam dengan berbagai kerenah birokrasi.

Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti “tidak berlaku apa-apa”.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: “Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya.”

Dalam tulisannya, Ahmad Lutfi menyebut, kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini? 

Baginya, cukup memperbodohkan kita. KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN. Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Dalam kenyataannya, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pula menganggap tindakan kerajaan ini sebagai satu pencabulan hak kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan mendapatkan maklumat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam dilaporkan media internet sebagai berkata, beliau berasa kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan ahkbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan juga akhbar rasmi PAS, Harakah serta pengharaman buku kartun berunsur politik yang diterbitkan oleh Zulkifli Anwar Ulhaque atau  Zunar.

Sasterawan Negara, A. Samad Said ketika mengulas tindakan kerajaan tidak memperbaharui dan memberhentikan pemberian permit penerbitan kepada lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan, awal bulan ini, beliau menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berat sebelah dan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat yang berlainan dengan pihak pemerintah

Tindakan menggantung permit akhbar-akhbar milik parti pembangkang oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak menampakkan ciri-ciri rakyat didahulukan, prestasi diutamakan berbanding dengan kerajaan Islam Hadhari pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih terbuka kepada media.  

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Presiden PAS ke mahkamah beri sokongan moral untuk Anwar

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan atas tuduhan liwat.

Beliau dilihat tiba di mahkamah pada jam 9 pagi bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan. Namun mereka tidak berada lama di mahkamah kerana ia ditangguhkan sejurus selepas itu. Turut mengiringi Anwar adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim.

Ustaz Hadi kemudiannya menaiki kenderaan dan menuju rumah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman di rumahnya dekat Ampang. Lutfi baru selesai menjalani pembedahan pintasan jantung minggu lalu dan kini sedang bercuti rehat.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara.

Sementara itu, perbicaraan pagi ini melibatkan penghujahan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh.

Karpal pagi ini mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan berbohong mengenai kenyataannya bahawa dia diliwat tanpa kerelaannya.

Karpal juga berkata cara rekaan kes ini cacat kerana menurut beliau, Anwar sepatutnya didakwa mengikut seksyen 377c iaitu mengadakan hubungan seks luar tabii secara paksa ke atas Saiful bukannya seksyen 337b iaitu melakukan  hubungan seks luar tabii secara rela.

Ini berikutan dari keterangan Saiful dalam perbicaraan ini, dia dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii itu.
Karpal berhujah oleh kerana Saiful mendakwa hubungan seks yang dilakukan itu adalah tanpa kerelaannya, manakala Anwar pula didakwa menurut Seksyen 377b atas kesalahan mengadakan hubungan di luar tabii, maka berlaku percanggahan antara dakwaan dan kenyataan Saiful.

“Memang pasti ada kesilapan berhubung dakwaan, dan perlu untuk melihat semula kenyataan yang dirakamkan.

“Di Malaysia, kita ketahui hubungan seks antara lelaki dengan lelaki walaupun dengan kerelaan adalah satu kesalahan. Bagaiamanapun, saksi telah berulangkali berkata dan menegaskan bahawa perhubungan seks itu tanpa kerelaaanya,” kata Karpal.

Katanya lagi, penyiasatan sepatutnya dijalankan mengikut seksyen 377c.

Karpal kemudiannya berkata Saiful menipu dan cuba mencabar keboleh-percayaan atau kewibawaannya sebagai saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berkata ini kali pertama perkara seumpama itu timbul – tertuduh didakwa dengan hubungan seks (liwat) secara rela sedangkan bukti yang dikemukakan menunjukkan ia dilakukan tanpa rela.

Beliau kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga esok dan akan memutuskan sama ada membenarkan pemohonan peguam bela untuk mendapatkan kenyataan beramaran Saiful.

Mahkamah ditangguhkan jam 9 pagi esok.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Sayonara 2009: Pengajaran untuk semua!

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Hari ini Selasa, 29hb. Disember, 2009 hingga jam 7.00 petang saya masih di pejabat dan belum memulakan artikel ini. Bila editor Siasah menghubung  minta emelkan artikel dengan segera, saya baru fikir tajuk apa nak ditulis sebagai tulisan terakhir penutup tirai 2009 bagi akhbar tabloid Siasah.

Jika tidak silap ingatan saya, akhbar  Siasah ini, sudah bernafas dalam tahun kelima (5). Malah saya sendiri tak pasti sama ada dapat terus menulis lagi atau tidak untuk akhbar Siasah pada tahun-tahun kehadapan. Saya tak ingat bila mula menulis dalam akhbar ini secara tetap, tetapi sebelum buat Ijazah sarjana perniagaan selama 2 tahun dan sekarang telah lebih setahun tamat pengajiannya.

Sejak dari awal penerbitannya, saya terlibat bila Ahmad Lutfi Othman, Pengarang ketika itu menjemput untuk menyertai bengkel bedah siasat (post mortem) berkaitan akhbar baru yang diterbitkannya. Pada masa tersebut, saya tidaklah menulis secara tetap seperti sekarang ini tetapi menulis sekali sekala sahaja bila ada kelapangan sebab tidak mempunyai banyak masa.

Kalau tidak silap telah hampir 5 tahun saya menulis  dengan Siasah bermula dengan dua minggu sekali dan sekarang sekali seminggu. Apabila Ahmad Lutfi Othman keluar dari Siasah untuk kembali semula kepada Harakah, baru saya menulis secara tetap dengan Siasah dibawah Kolum Kalam Perantau dan kemudiannya bersama-sama mengasaskan ruangan Kampus dalam akhbar ini.

Siasah sekali lagi mengalami perubahan. Beberapa kali rekabentuknya bertukar, tetapi Ketua Pengarangnya belum bertukar dan masih bersemangat  meneruskan hayat Siasah. Bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong muncul untuk menerajui Siasah.

Sekarang dengan imej baru akhbar Siasah sejak dua tiga bulan lepas, kolum saya Kalam Perantau juga telah ditiadakan tetapi saya masih kekal menulis secara tetap demi untuk memberikan sedikit sumbangan kepada akhbar tabloid ini.

Sekali lagi Siasah mengalami perubahan dari segi rekabentuk dan corak pemberitaan dan persembahannya. Pada masa ini, saya diberikan satu kolum tetap, Kalam Perantau yang saya alihkan dari sebuah media tabloid lain, Salam Perantau dalam akhbar al-Wasilah.

Saya tidak pasti, masih ramai atau tidak rakyat Malaysia yang mahu melihat Siasah terus bernafas dalam industri persuratkhabaran negara. Apakah akhbar ini akan terus bernyawa atau tidak selepas ini banyak bergantung kepada sambutan pembaca dan juga kemampuan kewangan penerbitnya.

Bukan mudah bagi menghidupkan sebuah industri persuratkhabaran tabloid seperti ini. Malah ada tabloid yang sempat bernyawa beberapa keluaran sahaja dan terpaksa di’kafan’kan bagi mengelakkannya menanggung keruigian yang lebih besar.

Dizaman kegemilangannya menjelang PRU ke-12 yang lepas, saya diberitahu, akhbar Siasah dicetak hampir-hampir mencecah angka 100,000 naskhah seminggu. Tetapi sekarang ketika industri akhbar sedang menurun selepas PRU ke-12, mampukah akhbar ini terus bertahan untuk diterbitkan?.

Media Certak tidak lagi diperlukan?

Saingan utama kepada dunia persuratkhabaran sekarang ini adalah media baru dan dunia internet yang semakin mengambil alih peranan industri akhbar. Berita-berita di internet yang dikemaskinikan setiap masa menjadikan masyarakat hampir tidak memerlukan lagi akhbar-akhbar cetak kecuali di kampung-kampung.

Malah penerbit-penerbit akhbar-akhbar cetak sekarang ini mengemaskini berita-berita mereka dalam edisi internet sebelum dicetak semula dalam edisi cetak keesokan harinya. Disebabkan ramai pengunjung-pengunjung internet yang telah membaca berita yang sama lebih awal, untuk apa mereka membeli lagi akhbar berkenaan?

Ini merupakan dilema yang dihadapi oleh penerbit-penerbit media cetak dinegara kita sekarang. Malah ada media hanya menyediakan akhbar online sahaja. Mereka hanya mencetak bahan-bahan onlinenya dalam bentuk buku setelah melaku proses meng’edit’ bahan-bahan berkenaan untuk dijadikan buku.

Malah ada akhbar-akhbar alternatif seperti harakah dan Siasah mengadakan Unit Buku pula untuk menerbitkan buku-buku berdasarkan kepada koleksi bahan-bahan terbitan mereka yang sedia ada. Selain itu akhbar-akhbar ini juga tidak ketinggalan dalam dunia digital dengan berjaya mengadaptasikannya ke dalam epaper.

Perkembangan-perkembangan sebegini memerlukan kepada pelaburan yang besar dalam keadaan masyarakat belum bersedia sepenuhnya menerima akhbar digital sebagai ganti kepada akhbar cetak. Ini dilemma yang dihadapi oleh penerbit-penerbit akhbar kecil yang menyebabkan mereka tidak mampu bersaing dalam industri media dewasa ini.

Apa pilihan yang mereka ada? Satu pilihan yang ada bagi mengurangkan kos operasi adalah mengurang tenaga kewartawanan kerana sekarang para blogger sudah mengambil alih sebahagian besar kerja-kerja wartawan sebelum ini. Sebaliknya penerbit-penerbit perlu menumpukan kepada pembangunan produk-produk media baru yang lebih diperlukan dimasa akan datang.

Parti mungkin menjadi parti politik pertama di negara ini menganjurkan Konvensyen Blogger pada 20hb. Disember, 2009 yang lepas bagi menghimpunkan para blogger pro PAS. Tahniah kepada ketua Penerangan PAS kerana berjaya keluar dari kepompong lama “Penerangan hanyalah Ceramah” sahaja.

PAS perlu bergerak ke hadapan bagi menangani isu media baru ini dengan segera kerana menjelang pilihanraya umum ke-13 nanti mungkin peranan akhbar harakah sudah menjadi kurang berkesan lagi kerana rakyat sudah beralih kepada media baru.

Mulai sekarang PAS mesti melihat kembali peranan dan masa depan akhbar Harakah bagi terus relevan dengan perkembangan dunia semasa. Tindakan PAS melancarkan eharakah pada muktamar  ke-55 di Shah Alam pada tahun ini sesuai dengan perkembangan semasa.

Sayonara 2009. Selamat tahun baru 2010 kepada semua pembaca Siasah.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , ,

Rayuan derma & tunjuklah simpati..

Oleh Songkok Putih

Beberapa hari lalu saya tidak berada di dalam kawasan, al Hamdulillah sekarang ada sidikit kelapangan untuk saya berbicara beberapa perkara dalam ruang ini.

Saya telah menerima maklumat bahawa Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman telah menjalani rawatan jantung iaitu prosedur angioplasty untuk memasukkan balon dan tongkat bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat. Pembedahan ini memerlukan kewangan yang melibatkan angka yang besar.

Ahmad Lutfi Othman seorang perjuang reformasi semenjak di Universiti lagi. Seorang yang low forfile tidak menonjolkan diri, mempunyai pemikiran terbuka, kritis dan semangat waja.

Jasanya di Harakah cukup besar walaupun beberapa kali beliau telah di “buang” daripada Harakah dan masuk semula untuk beberapa kali dengan rendah diri dan tidak pernah mengungkit kisah-kisah lama kenapa dia disingkirkan sebelum ini.

Ya seorang yang bekerja kerana Islam bukan kerana manusia sejagat! Sukar memperolehi manusia seperti ini di zaman muktahir ini.

Pernah bawa keluarga tidur dalam Toyota Unser, tidak pulang ke rumah demi menjaga keselamatan keluarga bila beliau membuat serangan beberapa siri pendedahan kebajetan pemimpin-peminpin Negara!

Hasilnya seorang Menteri Besar telah tumbang dan seorang lagi hampir tumbang!!

Ahmad Lutfi perlu dibantu, dimana beliau ingin mendapatkan wang sebegitu banyak jika kerja yang ditawarkan oleh akhbar-akhbar lain dengan kemewahan di tolak semata-mata ingin bersama dengan arus perjuangan Islam yang banyak menggunakan wang dan duit saku sendiri?

Sampai masanya untuk kita buktikan apa yang kita selalu bercakap tentang teori ukhwah, persahabatan dan perjuangan. Kita mesti membantu merasa perit maun yang dirasai oleh Ahmad Lutfi Othman. Kita mesti meringakan bebannya.

Jangan sampai nanti ada sahabat-sahabat UMNO yang kita benci dan nista mendahului kita memberi bantuan. Jangan pelekeh kenyataan saya. Semasa Ahmad Lutfi di dalam tahanan ISA dahulu, sesiapa yang berusaha mengeluarkannya. Bukan Pemuda UMNO Selongor !! Siapa yang bantunya semasa dia di saman??

Kita mahu ada orang bekerja dengan Islam sepenuh masa.. Tapi kita tidak bersedia membantu mereka… Jika ini sikaplah kita masa depan perjuangan kita masih jauh…

Saya menyeru dalam kesempatan ini bantu seadanya untuk meringankan beban beliau, semoga Allah akan memberikan kita kemuliaan disisiNya….

Akaun Maybank anak Sulong Ahmad Lutfi Othman (Ahmad Luqman Hakim bin Ahmad Lutfi) 162179670906

………
** Saya juga diminta untuk maklumkan kepada HISBI ISLAMI UTM untuk sebaran dan bantuan kewangan

Filed under: News, ,

Ketua Pengarang Harakah jalani rawatan jantung pagi tadi

Oleh Paktam, webmaster detikdaily.com

Ahmad Lutfi Othman telah pun selesai menjalani rawatan jantung dan beliau dijangka dibenarkan pulang ke rumah petang ini juga.Walaubagaimana pun beliau perlu menjalani rawatan semula pada hari jumaat depan kerana masih ada lagi dua saluran jantungnya tersumbat..sama sama kita doakan kesejahteraan kesihatan beliau

Petikan HarakahDaily
Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menjalani rawatan jantung pagi ini iaitu prosedur angioplasty untuk memasukkan balon dan tongkat bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat.Prosedur tersebut dijalankan di HSC Medical Centre di Jalan Ampang dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Lutfi sampai ke pusat perubatan swasta itu kira-kira jam 8.30 pagi dengan ditemani isterinya, Puan Siti Hawa Samsam. Menunggu beliau di pusat perubatan itu adalah rakan-rakannya dari Harakah serta keluarga beliau yang lain termasuk abangnya, Che Samsudin Othman atau Dinsman.

Lutfi membuat pemeriksaan jantungnya di situ semalam selepas disyorkan oleh AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa yang pernah mendapatkan pemeriksaan jantung di situ. Cadangan itu dibuat Husam ketika menziarahi Lutfi di rumahnya dua hari lepas.

Selepas dibuat pemeriksaan, doktor memutuskan agar Lutfi membuat pembukaan segera kepada saluran jantungnya yang terlalu banyak tersumbat itu.

Semalam, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar mengunjungi beliau di pusat perubatan swasta itu.

Prosedur angioplasty itu dijangka akan berjalan selama 4 jam. Ia dibuat tanpa melalui pembedahan tetapi hanya memasukkan alat melalui saluran darah beliau. Di sana, saluran darah ke jantungnya yang tersumbat akan dibuka semula dengan belon dan tongkat (stanting) akan diletakkan.

Lutfi yang menghantar sistem pesanan ringkas kepada Harakahdaily malam semalam, menjelaskan bahawa beliau menghadapi masalah jantung yang serius. “Doktor pakar kata keadaan jantung saya serius.

“Saluran tersumbat dan doktor mahu jalani pembukaan saloran itu esok. Harap doakan saya,” katanya kepada Harakahdaily.

Harakahdaily berharap semua pihak khususnya kepada pembaca Harakah dan Harakahdaily mendoakan kesejahteraan Lutfi dan semoga Allah mempermudahkan pembedahan beliau pagi ini.

Sekiranya ada yang ingin menghulurkan sumbangan boleh dimasukkan ke dalam Akaun Maybank anak saudara beliau iaitu 

ZABIDI MORAD ,No Akaun Maybank: 164221341851 Dan Email zabidi_morad@hotmail.com  ATAU

AHMAD LUQMAN HAKIM BIN AHMAD LUTFI
No Akaun Giro Bank Simpanan Nasional :14192-2900010283-4

Filed under: News, , , , ,

Marilah Kita Mendoakan Keselamatan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah

Oleh Paktam
Webmaster DetikDaily

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman akan menjalani pembedahan triple-bypas awal pagi ini. Saya bagi pihak keluarga beliau memohon kepada semua mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan sebagainya memohon serta mendoakan semoga beliau selamat menjalani pembedahan tersebut .

Filed under: News, ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories