Kalam Perantau

Icon

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 : PAS bakal dapat ADUN sulung?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Ketika memulakan coretan sulung untuk kolum Kalam Perantau dalam akhbar Harakah pada Februari lepas, saya ada menulis berhubung pilihanraya negeri Sarawak ke-11. Sebelum itu pun, saya juga ada membuat analisa Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-10 pada tahun 2011.

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 dengan 71 kerusi DUN dipertandingkan, pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini sebanyak 11 kerusi DUN Sarawak telah ditambah menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu.

Saya tidak bercadang untuk mencatat semula apa yang telah ditulis dahulu, artikel berkenaan bertajuk “harakah, kalam perantau dan pilihanraya Sarawak” dan lain-lain artikel berkaitan dengan pilihanraya sarawak boleh rujuk dalam kalam Perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) atau menggeledah arkib ePaper Harakah bagi melanggannya.

DUN Bubar 11 April, Buang Undi 7 Mei?

Teka teki bila tarikh pilihanraya Sarawak belum lagi terjawab sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kita sudah tahu satu pilihanraya negeri Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN sarawak dibubarkan pada 11hb April, 2016 nanti.

Apa yang pasti adalah tidak mungkin bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016 seperti yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

Dari sumber-sumber yang layak dipercayai, penamaan calon dijangka akan diadakan pada 25hb April dan pengundian dilakukan pada 7hb Mei, 2016 kerana SPR memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan terutama di 11 DUN yang baru diwujudkan untuk pilihanraya kali ini.

PAS bertanding Pilihanraya Negeri Sarawak

Tahun 2001 merupakan kali pertama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melibatkan diri dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong.

Pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, PAS membuat keputusan bertanding di tiga Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut, dengan calon seperti berikut:

  1. N.07 Samariang : Mohd Shokri Mohd Fauzi
  2. N.18 Sadong Jaya : Haji Adam Ahid
  3. N.21 Beting Maro : Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihanraya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di DUN Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR.

Dalam PRN Sarawaki Ke-10 yang diadakan pada 16 April 2011, PAS bukan sahaja bertanding lagi di Beting Maro bahkan bertanding di 4Kerusi DUN yang lain. Selain Beting Maro, PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 Kerusi DUN lagi, iaitu DUN Sebuyau, Tanjung Datu dan Muara Tuang.

PAS telah mengumunkan untuk bertanding sekali lagi di DUN yang telah ditandingi pada PRN ke10 yang lepas kecuali DUN Tanjong Datu untuk menentang Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah diserahkan kepada PKR.

Sebelas (11) kerusi Dun yang telah dikenalpasti dan diumumkan ditandingi PAS pada pilihanraya negeri ke-11 ini adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut dengan menawarkan ‘Sejahtera Untukmu Sarawak’ yang dilancarkan pada 12hb Mac 2016 dengan hasrat untuk melihat kehadiran ADUN PAS di dalam DUN Sarawak.

Berikut adalah calon-calon PAS yang telah dikenalpasti, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Jofri Jaraiee (51 tahun, professional) bertanding di N74 – Pujut, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Ariffiriazul Paijo (32 tahun, professional) bertanding di N72 – Lambir, Pengarah Pilihanraya, Zharuddin Naruddin (31 tahun, professional) bertanding di N70 – Samalaju, Ketua Penerangan PAS Sarawak, Hj Kiprawi bin Aman (67 tahun, pesara kerajaan) bertanding di N67 – Jepak, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Clement Bayang (59 tahun, Seniman dan tuai Rumah) bertanding di N60 Kakus, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar (26 tahun, usahawanita) bertanding N29-Beting Maro, pendakwah bebas, Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (44 tahun, agamawan bertanding N27 – Sebuyau, Timbahan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Hassan Sinkro (63 tahun, Pesara Guru) bertanding di Sadong Jaya, Bendahari PAS Sarawak, Zulkifli Ramzi (38 tahun, setiausaha kerja PAS) bertanding N16 – Muara Tuang), pendakwah bebas Ustaz Yusof Assadiqi Ahmad Sarkawi (30 tahun, Qari Al-Quran) bertanding di N7 – Samariang, Timbalan Yang Dipertua PAS Santubong Zainal Abidin Yet (49 tahun, kakitangan swasta) bertanding di N4 – Pantai Damai.

Daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi PAS, seorang calon yang bukan beragama Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) dicadangkan bertanding di DUN Kakus pernah bertanding kerusi DUN Semena sebelum ini sebagai calon tetapi bukan diatas tiket PAS.

PAS kembali bertanding di DUN Samariang yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu. Manakala DUN di Zon Utara Sarawak, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut adalah ditandingi untuk kali pertama.

PAS berpeluang Menang

PAS menaruh harapan untuk menang di 3 DUN yang berpotensi pada kali ini. Tiga (3) DUN berkenaan adalah DUN Beting Maro yang telah ditandingi 3 kali sebelum ini dan Dun Lambir dan Samalaju yang pertama kali bertanding juga berpotensi untuk PAS menang.

Selepas persempadanan semula, PRN Ke-9 menyaksikan pertambahan 9 kerusi DUN baru lagi menjadikan 71 kerusi DUN keseluruhannya. Pilihanraya Negeri Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding hanya satu kerusi DUN sahaja dan memfokuskan DUN Beting Maro.

PAS mengejutkan banyak pihak bila Dun Beting Maro kalah dengan majoriti PAS kecil, 895 undi pada kali kedua bertanding pada PRN ke-9 (2006). Berikut merupakan keputusan penuh 2 pilihanraya pilihanraya bagi Kerusi DUN berkenaan:

  1. N.24 BETING MARO (PRN ke-9; 2006) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 895 undi. PAS – Alem bin Din (1,901 undi) ; BN – Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di (2,796 undi)
  2. N.24 BETING MARO (PRN ke-10; 2011) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 391 undi. BN – Razaili Gapor (3,069 undi) ; PAS – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (2,678 undi)

Berdasarkan kepada ‘track record’ PRN Sarawak yang lepas, PAS menaruh harapan yang tinggi untuk menang DUN Beting Maro pada PRN kali ini yang hanya ketinggalan sebanyak 391 undi sahaja,

Dengan membawa politik matang dan sejahtera, PAS berharap rakyat Sarawak memberikan peluang kepada PAS menang di Beting Maro untuk mencipta satu lagi sejarah, iaitu masuk ke DUN Sarawak.

Dari cakap-cakap politik di Beting Maro, sekurang-kurangnya 3 calon akan bertanding merebut kerusi Beting Maro pada kali ini, PAS bukan sahaja akan menentang calon BN dari PBB untuk kali keempat tetapi parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) juga dikatakan akan bertanding dikerusi berkenaan.

Apa pun PAS telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding untuk semua kerusi yang telah dikenalpasti dan diumumkan sebelum ini. Semua calun PAS yang akan bertanding diumumkan serentak di Bintulu pada 6 April.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , ,

Analisis Keputusan Pasca PRN Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Saya mengikuti Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ini sejak tahun 1980’an lagi. Selepas PRN Sarawak pada tahun 1987 dimana Kumpulan Maju pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakob (PERMAS) dan Dato’ Leo Mogie (PBDS) hampir-hampir menumbangkan kerajaan BN3 pimpinan Taib Mahmud ekoran peristiwa Ming Court, pilihanraya kali ini begitu  mencabar bagi BN Sarawak.

Menurut sesetengah pemerhati, pilihan raya Sabtu lalu adalah ujian getir kepada BN sejak pilihan raya umum 2008 apabila pembangkang berjaya merampas satu pertiga daripada kerusi parlimen. Rakyat Sarawak sudah sebati dengan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan) dan masih memerlukan beliau untuk meneruskan kesinambungan pembangunan. Pilihanraya Sarawak kali ini dikatakan petunjuk bagi  mengukur populariti Najib yang didakwa banyak menabur wang bagi pembangunan luar bandar ketika berkempen.

Minggu lepas, saya telah membuat analisa awal berhubung dengan PRN Sarawak ke-10 pada 16hb April, lepas. Dengan hasrat tidak mahu menyusahkan Pakatan Rakyat dengan ulasan yang tidak memihak kepada mereka sebelum pengundian dijalankan, maka saya tinggal dahulu apa yang sepatutnya saya sebut dalam analisa awal tersebut. 

Keputusan PRN ke-10

Sungguhpun undi popular BN telah merosot kepada 55 peratus pada pilihanraya negeri ke-10 kali ini berbanding dengan 63 peratus pada pilihanraya negeri ke-9 tahun 2006 tetapi BN berjaya kembali memerintah dengan kelebihan majoriti 2/3 atau 55 dari 71 kerusi.

Bagi saya, Pakatan Rakyat tersilap strategi. Diantara perkara pokok yang sepatutnya saya tulis adalah kegagalan Pakatan Rakyat secara khususnya PKR untuk ‘berjiwa besar’ seperti komponen BN (PBB, SUPP, SPDP, PRS) bagi memastikan satu lawan satu diantara BN.  

PR Sarawak bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan part-parti lain yang ada di Sarawak. DAP dan PAS  telah akur untuk bertanding 15 dan 5 kerusi sahaja walaupun berkemampuan bertanding lebih dari itu. PKR dan SNAP gagal membahagikan 51 kerusi, akibatnya tiada kerjasama untuk hadapi BN.

PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi. Soal sama ada PKR atau SNAP yang lebih kuat, sudah tidak penting lagi sekarang. Hasilnya sudah dilihat, rakyat tolak kedua-duanya kerana gagal bersatu. PKR terpaksa berpuashati menang 3 kerusi (Batu Lintang, Ba’Klalan, Krian) sahaja daripada 49 yang ditandinginya. Hampir semua, 26 dari 27 calon SNAP bukan sahaja kalah malah hilang wang pertaruhan kecuali calon DUN Katibas, Toh Heng Sng.

Penolakan rakyat terhadap BN jelas berlaku di kawasan bandar yang mana pengundi Cina menjadi majoriti di mana DAP berjaya melumpuhkan parti parti komponen kedua terbesar BN Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). SUPP bukan sahaja tumpas teruk, malah presidennya sendiri, Tan Sri George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau, yang sudah sekian lama diwakilinya. Dan apa yang berlaku ini, sudah jelas DAP yang memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya.

Perkara ke-2, tidak ada kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandingi oleh PBB berjaya dirampas oleh PKR, PAS atau DAP. Kesilapan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim sendiri kerana terpengaruh dengan kajian-kajian persepsi yang ternyata mengundang padah bila mengisytiharkan Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru jika Pakatan Rakyat memerintah yang menyebabkan PBB berjaya memenangi semua kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandinginya.

PAS masih gagal mendapat kerusi sulung dari 5 kerusi yang ditandinginya di Sarawak. Bagi PAS, saya hanya optimis PAS memenangi DUN Beting Maro jika tidak ada perkara-perkara diluar dugaan berlaku pada hari mengundi. Apa yang saya jangka rupanya hampir menjadi kenyataan. PAS kalah dengan majoriti cuma 391 undi sahaja berbanding dengan 895 dalam pilihanraya negeri yang lepas.  Walaupun PAS berjaya meningkatkan undi di saluran lain tapi undi PAS merosot teruk di pusat mengundi SMK Beladin. Macamana UPU Beladin kawasan yang dah jadi macam “kubu PAS” masa PRU12 boleh terlepas kepada BN. Daripada menang masa PRU12 bertukar jadi kalah pulak masa PRN10.

Selain itu, pilihanraya kali ini menyaksikan seramai 71 calon telah hilang wang pertaruhan setelah mendapat kurang dari 12.5 peratus atau satu per lapan jumlah undi. Selain 26 calon SNAP itu, enam calon PKR, empat calon PCM serta 36 calon Bebas. Dominique, bekas ADUN PKR Padungan yang bertanding sebagai calun bebas kali ini juga hilang wang pertaruhan. Hanya calon DAP dan PAS tidak ada yang hilang wang pertaruhan.

Dari 41 calon bebas, hanya 5 sahaja tidak hilang wang pertaruhan. Malah seorang darinya George ak Lagong berjaya memenangi kerusi DUN Pelagus dengan majoriti 2,837 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional Stanley Nyitar @ Unja ak Malang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan calon PKR, Edward Sumbang ak Asun.

Kerusi DUN Palagus ini dimenangi oleh calon bebas yang disokong oleh ADUN dahulu, Larry Sng (gambar – kiri), Timbalan Menteri yang dipecat oleh PRS dan tidak dicalonkan semula ekoran perbalahan Larry Sng dengan Dr James Masing (gambar – kiri) berebut kerusi Presiden PRS.

Bukan setakat Larry, bapanya dulu pun ADUN di situ. Keadaan ini sama seperti Gabriel Aidit yang memenangi DUN Ngemah dalam pilihanraya ke-9 2006 sebelum ini atas tiket bebas yang disokong oleh Dato’ Leo Mogie selepas PBDS dimasuhkan.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , ,

PAS dan Politik Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Penyertaan PAS dalam politik di Sarawak tidaklah begitu menonjol berbanding dengan  dua lagi anggota pakatan Rakyat, DAP dan PKR. PAS mula mengembangkan sayap politiknya ke Sarawak selepas mendapat kemenangan yang besar dalam pilihanraya umum ke-10 pada tahun 1999. Pada tahun tersebut, PAS bukan sahaja mempertahankan Kelantan, tetapi merampas Terengganu dan menang majoriti kerusi parlimen di kedah.

PAS bertanding di Sarawak dalam pilihnraya negeri Sarawak ke-7 pada tahun 2001 sebanyak 3 kerusi sahaja daripada 62 DUN, iaitu DUN Samariang, DUN Sadong Jaya dan DUN Beting Maro sebagai percubaan awal. Ketiga-tiga DUN tersebut menjadi DUN “angkat” kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya amat memberangsangkan tetapi di Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon  BN (PBB) dan PKR.  

Kemudiannya, setelah PAS tewas teruk dalam PRU ke-11 dalam tahun 2004 di bawah era Perdana Menteri yang baru, Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun), PAS hanya diberikan satu kerusi DUN sahaja dalam pilihanraya Negeri Sarawak ke-8 pada tahun 2006, iaitu DUN Beting Maro walaupun kerusi DUN Sarawak selepas persempadanan semula  melibatkan pertambahan 9 kerusi DUN menjadi 71.

Keputusan calon PAS di Beting Maro, tewas dengan hanya 895 undi mengejutkan banyak pihak berhubung dengan kemampuan PAS di Sarawak. Alem Din (PAS) mendapat 1,901 undi atau 40.47 % undi berbanding calon BN (PBB) Bolhassan Di @ Ahmad Di mendapat 2,786 sahaja.

Dalam pilihanraya Negeri Sarawak pada kali ke-9 pada 16 April 2011 ini, PAS bukan sahaja akan bertanding sekali lagi di Beting Maro tetapi bertanding di 5 DUN. PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 DUN  lain, iaitu DUN Sebuyau, Muara Tuan dan Tanjong Datu.

Sama ada PAS berjaya membuat kejutan atau pun tidak, belum dapat dipastikan lagi. Kesungguhan PAS untuk mensasarkan kemenangan sulung  pada pilihanraya ini amat tinggi, apabila saya diberitahu calon PAS kali ini lebih berdaya saing. Disamping aktivis parti, terdapat dua orang peguam yang sanggup bertanding atas tiket PAS.

BN tidak ditentang satu lawan satu?

Barisan Nasional telah mengumumkan calon mereka pada Ahad, 3 April 2011. Beberapa keunikan berlaku pada pengumuman tersebut yang menjadikan tandatanya kepada ramai pemerhati politik di sini. Pertama ianya diumumkan oleh Datuk Adenan Satem , Ketua Penerangan BN Sarawak. Keduanya, ianya tidak menamakan calon DUN Ba’ Kelalang serentak dengan pengumuman calon-calon lain.

Dari analisa ringkas calon-calon BN,  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 19 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 9 kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) 8 kerusi dengan menegemukakan 18 muka baru. Seorang lagi calon di Ba’ Kelalang juga dikatakan muka baru menjadikannya 19 orang. Satu lagi komponen BN, PPP yang menubuhkan cawangannya di Sarawak tidak diberikan sebarang kerusi.

Didapati keempat-empat pemimpin parti komponen BN Sarawak akan mempertahankan kerusi masing-masing. Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (PBB) mempertahankan DUN Balingian, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan (DUN Piasau), Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing pula mempertahankan DUN Baleh danpresiden SPDP Datuk Seri William Mawan, mempertahankan DUN Pakan.

BN juga mengekalkan semua empat penyandang wanita, termasuk di, Simoi Peri (DUN Lingga), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Datin Fatimah Abdullah (Dalat) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Rosey Yunus (Bekenu) daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Berdasarkan kepada perkembangan terakhir politik Sarawak setakat ini, sukar untuk melihat calon BN ditentang satu lawan satu di semua kerusi. Ini kerana parti-parti bukan dari kalangan kerabat BN, sukar untuk bersatu dan bersepakat.

Dalam  pilihanraya Sarawak 2006, pihak pembangkang telah berjaya membentuk Barisan Bersatu Sarawak (BBS) yang terdiri dari Keadilan dan SNAP. Malaysian Dayak Sarawak (MDC) ketika itu belum diluluskan pendaftaran turut bergabung dengan  BBS ini. DAP tidak menyertai BBS dan hanya menyertainya melalui KeADILan.

Ketika rencana ini di tulis penamaan calon belum lagi diadakan. Ianya akan diadakan pada 6hb. April. Saya menjangkakan kemungkinan ada beberapa calon BN akan menang tanpa bertanding memandangkan Pakatan Rakyat hanya bertanding di 69 kerusi sahaja, iaitu PKR sebanyak 49 kerusi, DAP 20 kerusi dan PAS 5 kerusi. Sementara 2 kerusi lagi belum pasti ditandingi oleh tidak oleh mana-mana pihak.

Manakala SNAP dilaporkan bertanding sebanyak 27 kerusi yang dijangkakan akan bertindan dengan PKR. Parti KITA juga dilaporkan akan mencuba nasib beberapa kerusi dibawah tiket atau lambing SNAP. Sementara satu lagi parti yang baru ditubuhkan, Parti Cinta Malaysia (PCM) juga dilaporkan akan bertanding pada kali ini. Setidak-tidaknya Gabriel Adit (ADUN Ngemah), Pengerusi PCM Sarawak berkemungkinan akan mempertahankan kerusinya yang dimenangi atas tiket bebas dalam pilihanraya yang lepas.  

Dalam beberapa perkembangan terkini, Movement of Change Sarawak (MoCS) atau Pergerakan Perubahan Sabawak telah menyenarikan 30 sebab mengapa Taib Mahmud perlu berundur setelah 30b tahun memenerintah Sarawak. Jika mereka gagal melakukan dalam pilihanraya pada 16 April ini, mereka akan mengambil tindakan lain untuk memastikan Taib Mahmud berundur.

Sementara itu Bernama melaporkan Abdul Taib, 74, menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Sebandi pada Mac 1981. Beliau menjadi wakil rakyat Sebandi, kini dikenali Asajaya, sebelum berpindah ke Balingian pada pilihan raya negeri 2001.

Manakala bagi Dr George Chan, 74, yang juga timbalan ketua menteri, pertama kali menang tanpa bertanding pada pilihan raya negeri 1983 di Piasau, yang sebelum ini dikenali sebagai Miri. Sementara Dr Masing pula akan mempertahankan kerusi DUN Baleh di Hulu Rajang untuk penggal ketujuh, yang dimenanginya sejak 1983.

Menurut kenyataan Tun Daim Zainuddin, BN akan kehilangan lebih banyak kerusi berbanding dengan pilihanraya 2006 yang lepas. Cuma, apa yang menarik untuk dilihat adakah, Taib Mahmud dan rakannya Dr George Tan dan James Masing akan menerima nasib seperti Tan Sri Wan Mokhtar di Terengganu, selepas berdegil untuk tidak berundur dalam PRU ke-10 pada tahun 1999 atau Tun Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang dan Tan Sri Mohamad Yaakob di kelantan pada pilihanraya umum ke-8 tahun 1990.

Artikel ini terbit untuk akhbar SIASAH

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 220,811 hits

ePaper

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories