Kalam Perantau

Icon

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah ‘naik tocang’ dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi ‘membuli’ PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang ‘bercelaru’ kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Analisa PRN ke-11 Sarawak: Pengajaran kepada pembangkang

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ketika menulis kolum Kalam Perantau ini, saya tak sempat lagi meneliti secara terperinci keputusan-keputusan pilihanraya negeri Sarawak kali ke-11 pada 7hb Mei, 2016 yang baru diumumkan pada hari tersebut. Sebagaimana yang dijangka, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang tidak sehaluan pada kali ini.

Gelombang demam Adnan menyebabkan BN berjaya menang 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus berbanding BN hanya mendapat 55 daripada 70 kerusi (78.6 peratus) pada PRN 2011. Ini mengulangi kejayaan 2006 apabila BN menguasai 88.6 Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 7hb Mei lalu, parti-parti pembangkang peringkat federal terdiri dari PKR-DAP-PAN yang membentuk Pakatan Harapan dan PAS telah mundur setapak ke belakang berbanding pada pilihanraya negeri Sarawak 2011.

Sama ada disedari atau tidak, rakyat Sarawak tidak memberikan harapan pada mereka untuk memerintan malah untuk menang pun sukar bila PKR dan DAP bertembung sesama sendiri sebanyak 6 kerusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih. Kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Bukan sahaja impian DAP menembusi kawasan bumiputera juga gagal, malah turut hilang 5 kerusi DUN majoriti Cina yang dimenangi sebelum ini. Selepas mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan lima kerusinya pada pilihan raya Sarawak Ke-11, DAP hari ini mengakui bahawa sokongan masyarakat Cina kembali beralih kepada BN.

Lebih parah 63 calon telah hilang wang deposit dimana PKR (10 calon), PAN (9 calon), DAP (7 calon), PAS (7 calon), STAR (7 calon), PBDS (5 calon) dan 18 calon Bebas dimana 35 kawasan memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, 28 (tiga penjuru) 12 (empat penjuru) dan lima (lima penjuru).

Dalam pilihanraya kali ini, DAP menang 7 kerusi sahaja dan PKR pula hanya mampu kekal 3 DUN yang dimenangi sebelum ini. Ketiga-tiga kerusi itu adalah N11 Batu Lintang, N39 Krian dan N81 Ba’kelalan. Manakala DAP pula hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

PAS dan parti serpihannya, PAN bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. PAS bertanding 11 kerusi manakala PAN pula 13. Lebih menyedihkan PAN menentang PAS di 5 kerusi DUN. PAN telah hilang deposit pada kerusi DUN yang ditandingi menentang PAS, Samariang (Nani Shahari, 389 undi), Muara Tuang (Abang Abdul Halili Abang naili, 765 undi), Sadong Jaya (Othman Mustafa, 157 undi), Sebuyau (Andrew Jain, 164 undi)) dan Beting Maro (Andri Zulkarnain Hamden, 103 undi).

Walaupun calon parti Islam berjaya mendapat serba sedikit sokongan  dibeberapa tempat, amat jelas sekali  dalam pertembungan kedua-dua parti ini, undi yang di raih PAS adalah lebih besar, walaupun terjejas oleh kehadiran parti PAN.

Akibatnya, calon PAS juga turut hilang deposit di DUN Sadong Jaya dan Muara Tuang pada kali ini berbanding dengan PRN 2011. Lima lagi DUN yang pertama kali PAS bertanding pada PRN2016, iaitu Pujut, Lambir, Jepak, Samalaju dan Kakus juga turut hilang deposit. Malah PAS juga gagal dapat kerusi sulung yang dicita-citakan di Beting Maro, malah BN menambah majoriti di situ.

Sementara itu, dua parti negeri sarawak, STAR dan PBDS (baru) gagal memberikan saingan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan parti pembangkang peringkat nasional. Sesungguhnya keputusan positif  BN di kawasan-kawasan kaum Cina ini mengambarkan populariti Tan Seri Adenan Satem yang luar biasa yang mampu meningkatkan sokongan semua kaum kepada BN.

Barisan Nasional

Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) dengan PBB dan PRS mencatat kemenangan 100 peratus. Malah 11 daripada 13 calon langsung BN juga telah menang pada kali ini termasuk dua Presiden bekas parti TERAS dan UPP, serpihan kepada SPDP dan SUPP.

Parti Cina di Sarawak – SUPP – pula menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya dan mendapat nafas baru apabila presidennya, Senator Dr Sim Kui Hian berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selepas menewaskan penyandangnya Christina Chiew Wang See dengan majoriti undi 2,085. Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi. Manakala Calon Bebas Liu Thian Leong, bekas pengerusi UPP Batu Kawah, hanya mendapat 1,109 undi, telah hilang deposit.

Manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing memperoleh 5,272 undi mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong yang hanya 479 undi dengan majoriti 4,793 undi telah hilang deposit dalam pertandingan satu lawan satu itu.

Sementara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBB dan Ketua Menteri terus kekal sebagai ADUN untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu mendapat 6,360 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Numan meraih 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, selepas menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun. Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.

Cukup setakat ini dulu dalam catatan ringkas pemerhatian saya berhubung dengan PRN11.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Pilihanraya Sarawak: Pakatan Harapan bertembung sesama sendiri

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Semakin hampir pilihanraya negeri Sarawak, krisis pembahagian kerusi diantara parti-parti politik tidak semudah seperti yang diharapkan. Baik di pihak Barisan Nasional (BN) apatah lagi parti-parti pembangkang.

Minggu lepas, saya pun menulis dalam kolum ini berhubung dengan kalangan komponen BN. Kali ini kita tinjau sikit sembang-sembang politik di kalangan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan. Dua parti utama dikalangan Pakatan Harapan, DAP dan PKR semakin menemui jalan buntu.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak telah menyenaraikan dan mengumumkan semua calon bagi 29 kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN11, 7 Mei nanti. Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata senarai asal ini tidak termasuk Bukit Goram disebabkan perubahan saat akhir, Larry Sng Wei mantan. Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk tidak bertanding di Bukit Goram, DAP telah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi itu.

Chong Chieng Jen akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa termasuk lapan (8) bekas ADUN yang akan mempertahankan kerusi mereka iaitu Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).

Terdapat 16 kerusi DAP memperkenalkan calon baharu iaitu Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Nyabe (Kedup), Yong Siew Wei (Repok), Rinda Juliza Alexander (Pakan), Richard Lias (Ngemah), Irene Mary Chang (Bukit Assek ), Chiew Sung Ngie (Bawang Assan), Frankie Bendindang (Pelagus), Paren Nyawi (Katibas), Larry Asap (Bukit Goram), Kenneth Adan Silek (Murum), Leighton Manjah (Kemena), Baba Emperan (Samalaju), Dr Ting Tiong Choon (Pujut) dan Paul Raja (Mulu).

Manakala calon yang lain pula adalah Mordi Bimol (Tasik Biru), Edward Luwak (Bukit Semuja), Leon Jimat (Simanggang) dan Baru Langub (Senadin).

DAP Sarawak bukan sahaja telah mengumumkan bertanding 29 dun berbanding dengan 15 pada PRN10 dahulu tetapi memaklum akan bertanding satu lagi kerusi Dun menjadi 30 kerusi DUN pada pilihanraya ini. Kini, DAP mula melebarkan sayapnya meluaskan kedudukan kerusi mereka ke luar bandar di mana sebelum ini PKR telah bertanding kerusi pilihanraya di luar bandar.

Sehingga kolum ini ditulis, PKR belum mengumumkan lagi secara terperinci 40 kerusi Dun (berbanding dengan 49 dun sebelum ini) dan calon yang bakal bertanding. Lebih memberikan tekanan kepada PKR, Boniface Willy Tumek, Naib Pengerusi PKR Sarawak dan Ketua Cabang Mas Gading telah mengumumkan pengunduran daripada semua jawatan dalam PKR pada Ahad, 17 April lepas.

Beliau kecewa dengan PKR yang gagal mempertahankan kerusi DUN Tasik Biru untuk ditandingi beliau kerana dirampas oleh DAP. Ini bukan kali pertama PKR gagal mempertahankan kerusi untuk ditandinginya, sebelum itu perkara yang sama juga berlaku pada pilihanraya umum ke-13.

Jika PKR tidak beralah, beberapa kerusi bertindih antara PKR dengan DAP yang belum diselesaikan secara tuntas. Mahu tidak mahu, PKR terpaksa beralah kepada DAP kerana mereka telah mengumumkan calon. PKR tiada pilihan lain untuk selamatkan Pakatan Harapan daripada berpecah.

Satu lagi komponen, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan akan bertanding 13 kerusi tetapi belum juga mengumumkan calon mereka.

Parti serpihan PAS ini dijangka akan bertembung dengan PAS sekurang-kurangnya 5 kerusi, iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Semariang dan Muara Tuang.

Manakala calon PAS dijangka akan bertembung dengan PKR di empat (4) kerusi, iaitu Pantai Damai, Kakus, Jepak dan Lambir. Dua lagi Dun yang ditandingi PAS, Samalaju dan Pujut dijangka akan bertembung dengan DAP.

Apa pun kita lihat lah senarai penuh mereka yang bertanding selepas penamaan calun pada 25hb April ini. Pertembungan pelbagai penjuru termasuk dengan parti-parti berasal dari Sarawak seperti PBDS (Baru), STAR dan lain-lain calon bebas terutama pemimpin yang tak dicalonkan parti masing-masing dijangka akan turut bertanding menjadikan pertandingan kali ini lebih meriah.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

PRN Sarawak meriah, bukan ‘straight fight’

Oleh : Shuhaimi AlManiri

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 dijangka menjadi lebih meriah dan menarik dengan beberapa parti baharu muncul untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini. Dijangkakan terdapat 14 parti bakal bertembung, dimana 10 adalah parti pembangkang.

Pertembungan pelbagai penjuru bukan perkara baharu di dalam politik Sarawak tetapi angkanya dijangka meningkat hampir tiga kali ganda dalam dua pilihan raya lalu.

Terdapat 44 kerusi berlakunya pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya ke-10 pada 2011 berbanding dengan 15 kerusi pada pilihanraya ke-9 pada 2006.

Beberapa calon bebas bergabung membentuk Barisan Malaysia (BM) itu telah mengenal pasti kira-kira 15 calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi yang disasarkan dan dijangkakan bertanding di lebih 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Gabungan digelar BM, secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Bebas.diketuan Affendi Jeman yang juga pengerusi sementara untuk Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (ARBS) yang belum berdaftar.

Menjelang hari penamaan calon pada 25hb April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu diberikan kebenaran untuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya ini.

Terdapat juga spekulasi akan muncul sebuah parti baharu, Dayak National Party (DNP), bakal mencuba untuk menggugat Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak masih belum mengatasi rasa tidak puas hati berhubung isu tuntutan kerusi bertindih.

Bagi pembangkang dari Semenanjong yang dikenali Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta PAN dilihat gagal menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih dan dijangka menghadapi pertembungan antara satu sama lain di sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi jika tiada pihak yang mengalah.

Berdasarkan kepada 29 senarai yang diumumkan DAP Sabtu lalu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata terdapat pertempuran di kira-kira lima kerusi – Mambong, Simanggang, Ngemah, Murum dan Mulu.

Dilaporkan, PKR akan meletakkan calon di 40 kawasan. Manakala PAS, yang menawarkan budaya politik matang dan sejahtera akan meletakkan 11 calon seperti yang diumumkan pada 6hb Mei lepas.

SUPP, komponen BN tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi

BN turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, dengan tiga lagi calon yang ada kaitan dengan PBB.

BN terdiri daripada 4 parti kompenan dan 2 parti serpihan yang disebut mesra BN. Satu kelainan BN dibawah Tan Sri Adenan Satem adalah turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan SUPP dikenali Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebanyak 7 kerusi dan Teras, parti serpihan SPDP dengan 3 kerusi dengan tiga lagi calon langsung yang dikatakan ada kaitan dengan PBB.

Manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) diperuntukkan 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 13 kerusi, dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) hanya 5 kerusi.

Keadaan ini telah menjadikan sekurang-kurangnya SUPP tidak berpuashati kerana kerusi mereka diberikan kepada parti serpihan mereka, UPP dijadikan calon langsung BN.

Dilaporkan media, Penolong Ketua Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Pending, Milton Foo dikecam oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung tindakannya mempersoalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meletakkan calon langsung BN di beberapa kerusi tradisi SUPP.

Malah dilaprkan juga. seorang ahli SUPP iaitu “LTC” (nama singkatan) pada status Facebooknya. “SUPP tidak akan berdiam diri, sama ada PRS dan SPDP memilih untuk berdiam diri, itu terpulang kepada mereka,” tambahnya lagi.

Malah beliau menyeru, agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bergabung bangkit menentang PBB kerana mengikut status quo dalam BN Sarawak, 20 kerusi telah diperuntukan untuk SUPP dan maka itu SUPP seharusnya mempertahankannya tanpa kompromi.

“Sekiranya PBB mahu melanggar tradisi status quo yang berusia 50-tahun ini dan meyusun semula jumlah kerusi yang sedia ada, sudah sampai masanya SUPP, PRS dan SPDP bangkit dan menubuhkan BN Sarawak yang baru,” kata LTC.

“Jika SUPP, PRS dan SPDP tidak diberi kuota kerusi di dalam BN Sarawak, SUPP, PRS dan SPDP harus duduk berbincang dan merancang untuk meletakkan calon terbaik diantara tiga parti tersebut untuk diletakkan bertanding di setiap kawasan yang ditandingi PBB,” kata LTC lagi.

Keadaan ini ditambah lagi dengan komen supremo DAP, Lim Kit Siang yang dilihat cuba campor tangan dalam urusan BN Sarawak dengan mempertikai Adenan berkenaan pembahagian kerusi SUPP.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , ,

PRN11: BN yakin bentuk kerajaan negeri, menang 60-70 kerusi DUN Sarawak?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Dalam pilihan raya negeri ke-11 (PRN11) , jumlah kerusi sebanyak 82 DUN dipertandingkan berbanding 71 kerusi pada PRN10 yang diadakan pada April 2011. Dari segi pertambahan 11 kerusi, menjadikan 82 kerusi DUN kesemuanya telah mencatat angka terbesar berbanding persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak 1985, 1995 dan 2005.

Sebelas (11) kerusi baharu turut menjadi rebutan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lepas adalah; Dun Gedong di Parlimen Batang Sadong, Dun Stakan di Parlimen Kota Samarahan, Dun Batu Kitang di Parlimen Stampin, Dun Serembu di Parlimen Puncak Borneo, Dun Tellian di Parlimen Mukah, Dun Samalaju di Parlimen Bintulu, Dun Murum di Parlimen Hulu Rajang, Dun Selirik di Parlimen Kapit, Dun Long Lama di Parlimen Baram, Dun Serian di Parlimen Tribon dan Dun Kabong di Parlimen Saratok.

Amat luar biasa dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak 2015, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperlihatkan mereka mengambil satu tindakan untuk membezakan tugasan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat negeri dengan wakil rakyat Parlimen.

Keanehan tanpa penglibatan persempadanan kerusi Parlimen ada rasionalnya kerana BN tidak mempunyai undi majoriti 2/3 untuk mengubah kerusi parlimen. Perbezaannya, persempadanan 2015 di Sarawak hanya melibatkan kawasan DUN tetapi tidak melibatkan perubahan dan penambahan kawasan pilihan raya Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada 1 April selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pada 31 Mac lepas tarikh pembubaran pada 11hb April 2016 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) diadakan selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

BN Sarawak masih berpecah!

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri Sarawak dilaporkan yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang dengan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 ini dengan barisan calon yang ada dalam ‘Pasukan Adenan’,.

Dengan tindakan politik yang ditunjukkan oleh Adenan sekarang begitu disenangi rakyat Sarawak ekoran bebberapa tindakan beliau yang mengutamakan kepentingan rakyat, pemerhai politik yakin BN tidak bermasalah untuk membentuk semula sebuah kerajaan yang baru selepas PRN ke-11 nanti. Cuma yang sedang diperhatikan sekarang adalah berapa kerusi yang bakal diperolehi oleh pembangkang dalam pilihanraya kali ini.

Malah satu kelainan adalah Adenan terpaksa meletakkan calun terus BN terutama bagi mengambil hati dan sokongan dari parti-parti serpihan komponen BN Negeri Sarawak seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) serpihan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan juga Parti Tenaga Rakyat (Teras) adalah parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh, dan Parti Tenaga Rakyat (Teras), yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan yang diiktiraf sebagai pro-BN walaupun tidak diterima secara rasmi sebagai komponen BN kerana UPP dan Teras belum lagi diterima sebagai anggota BN, manakala SPDP, SUPP dan PRS tidak mahu parti itu berada dalam gabungan itu.

Kedua-duanya berharap dapat mempertahankan kerusi DUN yang telah dimenangi atas tiket BN sebelum ini. Wong telah menyandang kerusi Bawang Assan selama lima penggal. Mawan pula berharap dapat mempertahankan kerusi Pakan, yang disandangnya selama lima penggal.

Selain Wong, UPP mempunyai tiga anggota dewan undangan negeri daripada masyarakat Dayak dan mereka masih berpengaruh di kawasan masing-masing. Di samping Mawan, empat anggota Teras menduduki kerusi dewan undangan negeri, tiga daripada mereka adalah menteri muda. Ramai yang ternanti-nanti keputusan Adenan mengenai kedudukan Adun UPP dan Teras ini. Semuanya berharap dicalonkan semula diatas tiket BN. Ini yang memeningkan pasukan Adenan.

Setakat ini hanya Parti Bersatu Bumiputera (PBB) yang diketuai Tan Sri Adenan Satem diperuntukan dengan 40 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipimpin oleh Tan Sri Dr James Masing diberikan 11 kerusi yakin dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi bagi membolehkan BN memperolehi majority mudah dalam Dun sebelum ditambah dengan kerusi-kerusi lain yang ditandingi oleh SUPP dan SPDP selain dari calon terus dari parti-parti UPP dan Teras yang pro-BN.

Setakat ini belum dapat dipastikan berapa kerusi akan diperolehi oleh parti-parti pembangkang, yang tidak dikatakan tidak selesai membahagikan kerusi dikalangan mereka. Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011 yang lalu, BN berjaya memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dan16 kerusi selebihnya dimenangi oleh pembangkang dan bebas, iaitu DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1).

Satu perkara yang pasti bagi seorang Ketua Menteri yang pertama kali diuji dalam pilihanraya yang dipimpinnya sendiri, beliau bukan sekadar mahukan kemenangan, tetapi satu kemenangan besar bagi BN-Pasukan Adenan, dan oleh itu, beliau mungkin memanfaatkan semua peluang yang ada untuk mencapainya sehingga beliau tersasul ‘mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pembuangan yang dikehendakinya pada 30hb April 2016, satu perkara yang musthail dipatuhi oleh SPR bila diumumkan secara terbuka.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , ,

Politik Terengganu suam-suam kuku, kemana Ahmad Said selepas ini?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kemunculan semula Kalam Perantau dalam akhbar harakah Edisi Jumaat (bil 2120; 5-7 Februari, 2016) menyebabkan rakan-rakan bertanya kenapa saya tidak menulis tentang politik Terengganu? Ada yabg hantar Private Message dan sebagainya.

Saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir saya menulis tentang politik Terengganu?

Dalam satu artikel bertajuk Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS makin Sukar? dalam Kalam Perantau pada 24hb Februari, 2010 menyebut, “Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS”.

Setahun kemudian, sekali lagi saya menulis satu artikel pada 22hb Februari 2011 bertajuk Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah? dalam Kalam Perantau menyebut, “PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Tulisan penuh berkaitan artikel diatas dan beberapa tulisan yang lain yang berkaitan dengan politik PAS Terengganu boleh dirujuk dan dibaca secara online dalam kalam perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) tersebut.

Bila rakan-rakan media dan kenalan-kenalan politik meminta pandangan saya tentang politik Terengganu dalam pilihanraya umum ke-14 nanti, saya masih berpendirian seperti yang saya tulis beberapa tahun sebelum ini seperti sebelum PRU ke-13 yang lepas.

Pada saya, PAS telah ‘terlepas’ peluang untuk kembali ke Wisma Darul Iman dalam dua pilihanraya umum 2008 dan 2013 sebelum ini. Dalam tulisan kali ini saya tidak berminat untuk tulis berkaitan dengan politik PAS Terengganu kerana tiada apa yang baru untuk diperbincangkan di sini.

Malah seorang pemimpin kanan PAS (tak perlu saya sebutkan namanya) bertanya pandangan saya tentang kemampuan PAS tawan Terengganu pada PRU ke-14 nanti, secara jujurnya saya beritahu kepada pemimpin berkenaan untuk mencari ‘wow factor?’ atau mencari ‘X factor’ yang perlu ada untuk rakyat Terengganu beri undi kepada blok PAS dalam PRU ke-14 nanti.

UMNO Terengganu di hujung tanduk?

Politik UMNO Terengganu bergolak sebaik sahaja Ahmad Said yang membelakangkan kehendak kepimpinan UMNO Pusat dan Negeri menerima perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas UMNO/BN menang semula Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh. Sultan Terengganu tidak dapat menerima perlantikan semula Datuk Idris Jusoh untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sejak itu, UMNO Terengganu seolah-olah mempunyai dua blok dan dua nakhoda, satu team yang setia kepada Idris Jusoh (ADUN Jertih) dan satu team lagi yang ‘menerima’ jawatan exco kerajaan negeri dan bekerjasama Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kemudiannya.

Dalam pilihanraya umum ke-13, kebangkitan semula PAS menyebabkan UMNO Terengganu dibawah teraju Ahmad Said kecundang lebih banyak kerusi, yakni 15 kerusi DUN (14 kepada PAS dan 1 kerusi kepada PKR) dan hanya tinggal 17 kerusi sahaja daripada 32 kerusi DUN.

Menjadi cakap-cakap politik dikalangan UMNO, Ahmad Said akan dilantik sebagai Menteri Besar sementara selama setahun selepas PRU ke-13 bagi membolehkan UMNO mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menghadapi PAS dalam PRU ke-14 nanti kerana UMNO yakin kecundang jika Ahmad Said masih menjadi peneraju UMNO Terengganu menjelang PRU ke-14 nanti.

Beberapa nama ADUN disebut-sebut untuk menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, tetapi akhirnya Pengerusi Jawatankuasa Sains,  Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, ADUN Seberang Takir dan juga Ketua UMNO Kuala Nerus dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12hb Mei, 2014.

Untuk rekod, Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-2014).

Beberapa jam selepas berundur daripada tampuk kekuasaan pemerintahan negeri selaku Menteri Besar, Ahmad Said (Adun Kijal), mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas. Turut mengambil tindakan sama keluar parti adalah Adun Ajil, Ghazali Taib.

Disebabkan gara-gara Ahmad Said dan Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi Adun bebas, politik Terengganu bergolak dan tidak menentu selama 2 hari sebaik sahaja Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bila bilangan adun UMNO/BN mempunyai jumlah yang sama dengan pembangkang (PAS dan PKR) terikat pada kedudukan 15 – 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap gabungan dalam DUN yang mempunyai majoriti 32 kerusi – pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Sejarah hitam ini tentu sahaja bukan hanya memalukan Razif, Menteri Besar yang baru dlantik ketika itu tetapi juga memalukan UMNO itu sendiri yang sehari selepas hari ulang tahun Umno yang disambut pada 11Mei setiap tahun.

Rasanya itulah satu satu pilihan yang ada pada Ahmad Said melepaskan amarahnya kepada BN yang mengarahkannya meletakkan jawatan Menteri Besar ketika sedang mengadakan ‘kenduri’ perkahwinan anak beliau akan berlangsung pada 17hb Mei 2014 menyebabkan Najib dan UMNO ‘panik’ seketika ketika itu dan seterusnya menghadapi kocakan politik dalam ‘cawan kopi’ Ahmad Said sehingga DUN Terengganu dibubarkan untuk PRU ke-14 nanti.

Selepas tidak lagi menjadi pemimpin utama parti UMNO di peringkat negeri Terengganu dengan hanya menjadi Ketua UMNO Kemaman sahaja, sejauh mana kesan-kesan pengaruh Ahmad Said kepada politik UMNO di Kemaman khususnya di Kijal. Apa yang menarik untuk dilihat sekarang ini adalah kemana politik Ahmad Said selepas ini. Tentu sahaja ianya bukan lagi pilihan utama Umno Terengganu untuk bertanding semula di Kijal.

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan politik Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu. Saya tidak dapat membuat kesimpulan pada peringkat ini tetapi membiarkan politik ‘suam-suam kuku’ di Terengganu ini kepada semua pihak yang berkepentingan bagi melihat perkembangan selanjutnya menjelang PRU ke-14 nanti.

Filed under: Harakah, , , , , , , , ,

Harakah, Kalam Perantau dan Pilihanraya Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sudah lama kolum Kalam Perantau tidak ditulis secara tetap dan berkala. Sebelum ini, kolum Kalam Perantau ini (https://kalamperantau.wordpress.com) adalah ditulis seminggu sekali untuk pembaca akhbar Siasah.

Hari ini Isnin 1hb Februari, 2016 saya berkesempatan meluangkan sedikit masa untuk menulis kembali kolum Kalam Perantau setelah dipelawa oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Sdr. Wan Nordin untuk tatapan pembaca Harakah.

Saya diberitahu Harakah sukar didapati di Sarawak. Saya ada diberitahu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat atau pengundi Sabah dan Sarawak mendapat maklumat terus dari PAS?

Jika di Semenanjung akhbar harakah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar Harakah ini?.

Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan.

Bila akhbar Harakah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih PAS dalam pilihanraya Sarawak yang akan diadakan. Malah ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya Negeri Sarawak nanti.

Untuk mengatasi masalah komunikasi dan birokrasi di Sabah dan Sarawak, Harakah sudah memperkenalkan ePaper Harakah (eharakah) sejak 2009 lagi dan mulai tahun 2015, epaper telah menjadi sebahagian produk digital kad Istiqamah yang dilancarkan pada Muktamar PAS ke61 pada Jun tahun lepas.

Masa menghadiri Konvensyen Usahawan (koUSAHA) pada 16hb Januari, 2016 di Hotel Everly, Putrajaya. Saya telah bertemu seorang wakil PAS Sarawak, Abang Raini yang bersedia menjadi ejen Kad Istiqamah di Kuching, Sarawak.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11

Saya ke Sarawak tiga hari, 29-31hb Januari untuk meninjau perispan PAS bagi menghadapi pilihanraya Sarawak. DUN Sarawak bakal dibubarkan dalam masa terdekat dan pilihanraya negeri diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Malah telah terdapat khabar-khabar angin yang berlegar-legar dalam aplikasi maya khususnya whatsapp yang DUN Sarawak bakal dibubarkan pada 25hb Februari, 2016 sebaik sahaja selepas perayaan tahun baru Cina diadakan dan pilihanraya diadakan pada bulan April, 2016 .

Sama ada benar atau tidak DUN Sarawak dibubarkan pada tarikh tersebut, tiada siapa pun yang tahu lagi setakat ini. Ianya masih menjadi rahsia, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Mentri Sarawak bila dia hendak bubar DUN Sarawak bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menguruskan Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11.

Tetapi Adnan Satem membuat satu kejutan, dia beritahu telah membincangkan dengan wakil SPR untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016. Ini satu kejutan dan pembaharuan yang sedang dibuat Ketua Menteri Sarawak yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mengimbau kembali pilihanraya negeri Sarawak ke10 pada 2011 yang lepas, pada awalnya Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) berbincang dengan parti lama yang di asaskan di Sarawak, SNAP berbincang untuk bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional di 71 DUN. Akhirnya, PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi semasa hari penamaan calon.

Selepas proses penamaan selesai, terdapat pertandingan tiga penjuru membabitkan 23 DUN dan empat penjuru di 17 DUN. Dua kawasan berlaku pertandingan enam penjuru iaitu di DUN Belaga dan DUN Balai Ringin manakala pertandingan lima penjuru berlaku di DUN Ngemah serta DUN Jepak.

BN meletakkan 67 calon lelaki dan empat wanita, PAS (tiga lelaki dan dua wanita), DAP (11 lelaki dan empat wanita), Snap (26 lelaki), Bebas (40 lelaki dan seorang wanita) PKR (45 lelaki dan empat wanita), PCM meletakkan lima calon lelaki dan seorang wanita.
BN meneruskan penguasaan Kerajaan negeri buat penggal ke-10 dengan memperolehi kemenangan majoriti 2/3 dalam pilihan raya ini dimana BN memperolehi 55 kerusi namun peratusan undi popular yang diperolehnya menurun berbanding pilihan raya negeri 2006.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada keluar mengundi kali ini. 5 tahun lalu, pada 2006 BN menerima 62.91 peratus (341,587 undi) dan 71.16 peratus (382,137 undi) pada 2001.
Keputusan rasmi, BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1). Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding di 35 kawasan DUN telah memenangi kesemua kawasan yang dipertandingkan.

Bagi Pakatan Rakyat pula, memenangi sebanyak 15 kerusi dengan Democratic Action Party (DAP) sebanyak 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3 kerusi serta satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas Faktor undi cina telah menyebabkan DAP dan PKR juga menyapu bersih kesemua lima kerusi DUN di Kuching.

Bagaimana pula dengan prestasi BN dan pembangkang dalam pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 yang akan diadakan pada bila-bila masa dibawah ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem?

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 yang lepas dengan 71 kerusi DUN, SPR telah berjaya mendapat kelulusan DUN Sarawak dan Parlimen Malaysia untuk menambah 11 kerusi DUN lagi menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan pindaan nama ke atas kawasan Parlimen Mambong (P.198) di Sarawak kepada Parlimen Puncak Borneo. Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu. Bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan, tiada perubahan bilangan dan kekal dengan 31 kawasan Parlimen

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , , ,

Analisa PRU13; Persaingan BN vs PR lebih hebat dan meluas (Bahagian Pertama)

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kita telah pun mengetahui keputusan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5hb Mei lepas dan telah diwartakan pada 22hb Mei. Buat pertama kali, BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara. BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89.

Setelah selesai PRU-13 yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PR, marilah menganalisa keputusan Pilihanraya yang ke-13 ini.

Sebagaimana dijangkakan persaingan lebih hebat dan meluas dalam PRU13 berbanding dengan PRU12. Jika pada PRU ke-12 sebelum ini hanya mencatatkan 76 peratus (8.0 juta) sahaja keluar mengundi tetapi peratus keluar mengundi PRU ke13 kali ini adalah paling tinggi dalam sejarah PRU, iaitu 80 peratus (10.4 juta) dengan undi popular BN 47 peratus (5.2 juta) ketinggalan berbanding dengan PR sebanyak 51 peratus (5.5 juta).

Pembangkang walaupun kalah, namun mereka telah menjadi pembangkang yang lebih kuat daripada sebelum ini. Berbanding (jadual 1 – di lampirkan) dengan PRU ke-12, Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS telah berjaya meningkat 7 kerusi dari 82 kepada 89. DAP berjaya menambah 10 lagi kerusi parlimen pada PRU 13 ini manakala PAS dan PKR bukan sahaja gagal untuk menambah kerusi, malah hilang pula kerusi yang sedia ada. PAS daripada 23 kerusi parlimen pada PRU12 kini hilang 2 kerusi menjadi 21 kerusi sahaja. Manakala PKR pula daripada 31 kerusi parlimen kini menjadi 30 kerusi setelah hilang 1 kerusi pada PRU13 ini.

Berikut (jadual 2 – dilampirkan) ini adalah keputusan penuh bagi 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri; Perlis (3): BN (3); Kedah (15): BN (10), PKR (4), Pas (1); Kelantan (14): BN (5), Pas (9); Terengganu (8): BN (4), Pas (4); Pulau Pinang (13): BN (3), DAP (7), PKR (3); Perak (24): BN (12), DAP (7), PKR (3), Pas (2); Pahang (14): BN (10), PKR (2), DAP (1), Pas (1); Selangor (22): BN (5), PKR (9), DAP (4), Pas (4); WP Kuala Lumpur (11): BN (2), DAP (5), PKR (4); WP Putrajaya (1): BN (1); WP Labuan (1): BN (1); Negeri Sembilan (8): BN (5), DAP (2), PKR (1); Melaka (6): BN (4), DAP (1), PKR (1); Johor (26): BN (21), DAP (4), PKR (1); Sabah (25): BN (22), DAP (2), PKR (1); Sarawak (31): BN (25), DAP (5), PKR (1).

Di peringkat negeri pula, Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan mereka di Pulau Pinang dan Selangor dengan mendapat majoriti 2/3, begitu juga di Kelantan walaupun merosot sedikit. BN berjaya merampas semula Kedah dan mengekalkan Perak dengan majoriti mudah. Begitu juga di Terengganu dan Negeri Sembilan, BN gagal menang dengan majoriti 2/3.

Sungguhpun BN berjaya memenangi semula Kedah dan Perak (sebelum BN merampas kembali Perak pada Februari 2009 melalui pintu belakang), tetapi jumlah keseluruhan 505 DUN, BN kehilangan 71 kerusi lagi kepada pembangkang atau bebas dengan hanya memperolehi 271 (berbanding 344) dan PR mendapat 230 (berbanding 161) pada PRU12 pada Mac 2008.

Berikut jadual 3 (di lampirkan) keputusan penuh bagi 505 kerusi DUN yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri; Perlis (15): BN (13), PAS (1), PKR (1); Kedah (36): BN (21), PAS (9), PKR (4), DAP (2); Kelantan (45): PAS (32), PKR (1), BN (12); Terengganu (32): BN (17), Pas (14), PKR (1); Pulau Pinang (40): BN (10), DAP (19), PKR (10), PAS (1); Perak (59): BN (31), DAP (18), PKR (5), Pas (5); Pahang (42): BN (30), PKR (2), DAP (7), Pas (3); Selangor (56): BN (12), PKR (14), DAP (15), Pas (15); WP Kuala Lumpur (-); WP Putrajaya (-), WP Labuan (-); Negeri Sembilan (36): BN (22), DAP (11), PKR (3); Melaka (28): BN (21), DAP (6), PAS (1); Johor (56): BN (38), DAP (13), PAS(4),PKR (1); Sabah (60): BN (48), DAP (4), PKR (7), STAR (1); Sarawak : kerusi DUN telah dipertandingkan secara berasingan.

Didapati 21 kerusi yang dirampas Pakatan Rakyat dan BN tetapi 15 kerusi pula yang Barisan Nasional rampas dari Pakatan Rakyat. Senarai Kerusi dirampas Pakatan Pakatan adalah; 1) Stampin (DAP); 2) Sarikei (DAP); 3) Lanang (DAP); 4) Kluang (DAP); 5) Kampar (DAP); 6) Miri (PKR); 7) Lumut (PKR); 8) Gelang Patah (DAP); 9) Sandakan (DAP); 10) Sibu (DAP, kalah pada 2008, tetapi menang dalam pilihanraya kecil 2010); 11) Tuaran (PKR); 12) Penampang (PKR); 13) Bukit Katil (PKR); 14) Temerloh (PAS); 15) Alor Setar (PKR); (16) Pandan (PKR); 17) Kuala Terengganu (PAS); 18) Dungun (PAS); 19) Batu Pahat (PKR); 20) Kuala Nerus (PAS); 21) Sepang (PAS)

Manakala Kerusi dirampas BN pula adalah; 1) Titiwangsa (PAS); 2) Kuala Selangor (PAS); 3) Pendang (PAS) 4) Balik Pulau (PKR); 5) Bagan Serai (PKR); 6) Kulim-Bandar Baru (PKR); 7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010); 8) Padang Terap (PAS); 9) Jerai (PAS); 10) Sik (PAS) 11) Merbok (PKR); 12) Baling (PAS); 13) Machang (PKR); 14) Ketereh (PKR); 15) Tanah Merah (PKR)

Berikut adalah analisis kerusi parlimen dan dun yang dimenangi oleh BN atau PR dibawah majoriti kurang dari 1000 undi majoriti seperti berikut; Perlis – 5 kerusi: BN (4), PR (1); Kedah – 5 kerusi: BN (3), PR (2); Pulau Pinang – 6 kerusi: BN (6); Perak – 11 kerusi: BN (8), PR (3); Selangor – 7 kerusi: BN (3), PR (4); WP Kuala Lumpur – 1kerusi: BN (1); Negeri Sembilan – 4 kerusi: BN (3), PR (1); Melaka – 3 kerusi: BN (2), PR (1); Johor – 4 kerusi: BN (4); Kelantan – 16 kerusi: BN (7), PR (9); Terengganu – 13 kerusi: BN (4), PR (9); Pahang – 8 kerusi: BN (6), PR (2); Sabah – 12 kerusi: BN (7), PR (5); dan Sarawak – 2 kerusi: BN (1); PR (1);

Kerusi Barisan Nasional

cartapru13

Pada PRU ke13 ini, parti-parti BN berasaskan kaum Cina telah mengalami kekalahan yang teruk setelah kehilangan kerusi di kawasan majoriti kaum Cina. Pada ketika ini, parti-parti berasaskan kaum Cina BN hampir runtuh, manakala kaum tersebut tidak lagi menganggap parti-parti komponen itu sebagai wakil dalam politik Malaysia.

Barisan Nasional bersifat perkauman – Cina mula serik dengan politik perkauman. Ia menunjukkan bahawa pengundi Cina telah membuat pilihan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada BN, satu tamparan yang yang menambah sulitkan parti MCA dan Gerakan.

Di dalam BN, MCA yang mewakili kaum Cina diberi 37 kerusi parlimen, namun yang menang hanya 7.  Begitu juga dengan MIC, hanya menang 4 kerusi daripada 9 serta GERAKAN yang hanya memenangi 1 kerusi parlimen daripada 11. Sebahagiannya pula menang di kerusi majoriti melayu/Islam.

Penganalisa politik UMNO pula membidas yang MCA dan Gerakan tidak bekerja untuk PRU ini, apakah benar kenyataan ini. Lihat bukti ini, Kerusi kawasan Melayu tapi BN (MCA/Gerakan ) yang menang sebagai

contoh; 1. PARLIMEN Simpang Renggam (M- 56%) Suhaizan (PAS) kalah vs Liang Teck Meng (BN); 2. PARLIMEN Tanjong Piai (M- 52 %) Dr Mahzir (DAP) Kalah vs Wee Jack (BN); 3.PARLIMEN Batu Sapi (Islam 51%) Hamzah (PAS) Kalah vs Tsen Tsau Lin (BN); 4. DUN Gurun (M- 57%) Salma Ismail (PKR) Kalah vs. Dr Leong (BN); 5. DUN Cheka (M69%) Cikgu Abas (PKR) kalah vs Dato Fong (BN); 6. DUN Gambir (M- 56%) Dato Mahfoz Mohd (PAS) kalah vs M. Aso(BN); 7. DUN Chenderiang (M-36%, C-30%) Amani Abdullah (PKR) kalah vs Dr Mah Hang(BN); 8. DUN Pemanis (M-56%) Cikgu Normala (PAS) Kalah vs Lau Chin (BN); 9. DUN Kahang (M-74%) Hamdan (PKR) kalah vs R. Vidyanathan (BN); 10. DUN Pulai Sebatang (M-63%) Ungku Mohd Nor kalah vs Dato Tee Seiw (BN); 11. DUN Tg Aru (Islam – 52%) Hamid Ismail (PAS) kalah vs Yong Oui (BN); 12. DUN Bingkor (Islam 38%) Ahmad Shah (PKR) kalah vs Kennedy John (BN);13. DUN Merotai (Islam-53%) Ahmad Dullah (PAS) kalah vs. Pang Yuk Ming (BN)

Selain menganalisa undi Cina, mari kita analisa undi Melayu pula. Sungguhpun BN hilang 7 kerusi Parlimen lagi, namun UMNO telah meningkatkan kerusi Parlimen yang diwakilinya daripada 79 kerus kepada 88 kerusi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri juga menyaksikan peningkatan kerusi UMNO daripada 239 pada 2008 kepada 242 pada 2013.

Realitinya, kemenangan pilihan raya BN diperoleh hasil dua cara, iaitu melalui parti BN yang menang dikawasan majoriti tradisional Melayu di Semenanjung dan melalui parti-parti komponen BN yang mendapat kerusi majoriti di Sarawak dan Sabah.

Kebanyakan yang masih menyokong BN adalah terdiri dari pengundi melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, dimana BN memenangi 22 kerusi parlimen dari 25 yang dipertandingkan di Sabah dan 25 dari 31 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN untuk 2 negeri “deposit BN” ini adalah 47, mewakili 35% dari keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi BN. Kalau dilihat dalam konteks PRU13, negeri-negeri seperti Johor, Pahang, dan Melaka, masih majoriti pengundi melayu berpihak kepada BN dan untuk negeri-negeri lain di Semenanjung, peratusan kaum melayu menjadi 50:50 di antara BN dan Pakatan Rakyat.

(Disiarkan Harakah Bil 1848 / 31Mei – 2 Jun)

Filed under: Harakah, Recommended, , , , , , , , , , ,

Mengintai kabinet Najib: ‘rumah siap, pahat masih berbunyi’

Oleh : Shuhaimi Al Maniri

Pasca Pilihanraya Umum ke-13, berbagai pihak cuba meramalkan rupabentuk kabinet baru 2013 Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Tempoh empat tahun sebelum itu, beliau dilihat hanya menyambung legasi kabinet mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi walaupun menyebutnya sebagai kabinet transformasi dengan membawa masuk Idris Jala, seorang tokoh korporat.

Semua pihak perlu tahu, hak melantik anggota Kabinet adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri. Jadi sama ada, kita bersetuju dan tidak bersetuju, ianya tidak memberikan apa-apa kesan kepada pilihan Perdana Menteri yang telah dibuat, melainkan ianya akan menjadi sebagaimana pepatah melayu, “rumah siap pahat masih berbunyi”.

Barisan kabinet baru Perdana Menteri Najib Razak telah pun diketahui umum melalui pengumuman secara langsung pada jam 5 petang Rabu, 15hb mei dan mengangkat sumpah keesokan harinya. Kabinet Najib mempunyai keseluruhannya 32 menteri, berbanding kabinet terdahulu dianggotai 30 orang menteri dengan 2 orang Menteri dari UMNO yang digugurkan, Shaziman Abu Mansor (Menteri Kerjaraya) dan Noh Omar (Pertanian dan Industri Asas Tani) .

Selain Dato Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin serta Dato’ Jamil Khir Baharom dan Idris Jala di JPM, 4 orang lagi Menteri yang kekal kekal di kementerian masing-masing, Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Ahmad Husni Hanadzlah Menteri Kewangan Kedua; Mustapa Mohamed; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan; Anifah Aman sebagai Menteri Luar.

Manakala 4 orang lagi Menteri yang dilantik semula tetapi bertukar potfolio adalah, nekas Menteri Belia dan Sukan Ahmad Shabery Cheek yang kini memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia; bekas Menteri Sumber Manusia Dr S.Subramaniam kini Menteri Kesihatan; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz kini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan; dan bekas Menteri di JPM G.Palanivel Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Lim Kit Siang mendakwa 2 Menteri (Paul Low dan Abdul Wahid Omar) dan 3 Timbalan Menteri (P Waythamoorty, Loga Bala Mohan dan Ahmad Basha Md Hanipah) yang bukan Ahli Parlimen dilantik ke kabinet secara illegal dan tidak berpelembagaan menjalankan tugas mereka bila tidak dilantik sebagai dan mengangkat sumpah senator terlebih dahulu.

Perubahan kabinet

Satu pengharapan banyak pihak terutama peniaga bumiputera yang tidak ditunaikan oleh Najib kali iniadalah mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan yang ditamatkan oleh Mohd Najib semasa mengambil alih dari jawatan dari Tun Abdullah sangat berguna kepada usahawan kecil dan sederhana, khasnya Bumiputera yang kurang modal, kepakaran dan pasaran.

Sebuah kementerian yang baru dijenamakan semula menjadikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia selepas kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang ditinggalkan oleh Dato’ Rais Yatim, telah dipecahkan. Portfolio Kebudayaan telah digabung dengan Pelancongan dan kementerian ini. Apa yang lebih menarik adalah kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri adalah Ahli parlimen dari Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Jailani Johari.

Satu perubahan yang mendapat perhatian adalah peggabungan semula kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi menjadi sebuah kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dengan dua orang Menteri, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Menteri 1 dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 2). Sebelum dipecahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004, kementerian ini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan.

Satu lagi perubahan yang agak mendadak adalah kali ini Jabatan Perdana Menteri (JPM) sahaja mempunyai lapan orang menteri. Empat daripada Menteri JPM adalah muka baru, Abdul Wahid Omar (seorang tokoh korporat daripada Maybank); Paul Low Seng Kuan (seorang tokoh integriti dari Transperency International) selain dua orang ahli politik Shahidan Kassim (Perlis) dan Nancy Shukri (Sarawak).

Selain itu adalah kemasukkan semula Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan. Portfolio Kesejahteraan Bandar daripada kementerian ini kepada Kemneterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi sebauh kementerian baru, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan kerajaan Tempatan dengan Dato’ Abd Rahman Dahlan, seorang lagi muka baru sebagai Menteri dari Sabah.

Sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin akan dibawa masuk ke dalam kabinet sebagai Menteri (Belia dan Sukan). Turut mendapat perhatian kali ini adalah tiadanya seorang pun Menteri dari kalangan pergerakan Wanita UMNO setelah ketuanya, Dato’ Shahrizat Abdul Jalil terpaksa melepaskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum PRU ke-13 untuk dipangku sendiri oleh Perdana Menteri. Kali ini kementerian tersebut (Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat) diberikan kepada Datuk Rohani Abdul Karim, Ketua Wanita parti PBB, seorang lagi muka baru dari Sarawak yang dinaikkan pangkat dari bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Selain Rohani, 5 orang lagi Timbalan Menteri yang dinaikkan pangkat adalah Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Richard Riot (Menteri Sumber Manusia) bekas Timbalan Menteri Luar; Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Tan Sri Joseph Kurup (Jabatan Perdana Menteri) bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan; Joseph Entulu Belaun (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Manakala Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula mengambil keputusan menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam barisan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Najib.

Sementara itu, PRS juga dilaporkan tidak berpuas hati dan beranggapan parti tersebut disisihkan dengan Joseph Entulu Belaun wakil parti tersebut yang hanya dilantik sebagai Menteri di JPM juga tidak berpuashati dan kemungkinan menolak jawatan tersebut kerana mereka mengharapkan satu portfolio yang berkaitan dengan luar bandar.

Begitu juga SPDP walaupun menang 4 kerusi parlimen di Sarawak kesal tidak diberikan apa-apa kerusi dalam kabinet kali ini. Mereka berharap setidak-tidaknya diberikan satu Menteri dan Timbalan Menteri. Tiong King Sing telah dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri persekutuan jika menang Ahli Parlimen Bintulu. Dalam kabinet sebelum ini, SPDP diberikan 2 Timbalan Menteri bila berjaya menang 6 kerusi parlimen.

SPDP menjadi lebih kecewa bila parti SUPP dan PBRS yang hanya menang satu kerusi parlimen sahaja, Richard Riot dan Joseph Kurup pula diberikan pula jawatan Menteri penuh.

Perwakilan Cina dan India

Dalam Kabinet sebelum ini, terdapat enam (6) Menteri dan sepuloh (10) Timbalan Menteri Cina, keduadua dari parti semenanjung dan Malaysia Timur. Dalam situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, satu jawatan Menteri yang dikosongkan, Menteri Pengangkutan, difahamkan disimpan untuk MCA.

Kabinet Najib kali menamakan 31 menteri dalam Kabinet semalam dengan satu-satunya menteri Cina adalah Presiden Transparency International Datuk Paul Low. Perdana Menteri juga menamakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan.

Ini bermakna, MCA yang sebelum ini diwakili oleh empat orang wakil dalam kabinet telah dikurangkan kepada hanya satu kerusi sahaja dan hanya menamakan satu timbalan menteri di Kementerian Kewangan dimana sumber mengatakan ianya disimpan untuk MCA. Sementara Datuk Mary Yap Kain Ching dari PBS dijadikan timbalan menteri di Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi.

Ada pihak-pihak yang melobi Perdana Menteri supaya melantik semula Ong Tee Keat, bekas Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan kembali semula ke kabinet bagi menerajui semula Kementerian Pengangkutan mewakili masyarakat Cina yang telah menjadin tradisi wakil-wakil MCA selama ini kerana MCA telah menolak untuk menyertai kabinet selepas PRU ke-13 untuk tidak bersama kerajaan disebabkan kerana kalah dalam pilihan raya.

MIC bukan sahaja berjaya mengekalkan status quo, tetapi 4 orang Ahli Parlimen mereka telah dilantik ke kabinet dengan dua Menteri (G Palanivel dan Dr S Subramanian) dan 2 Timbalan Menteri (M. Saravanan dan P Kalamanathan). Sungguhpun MIC dapat mengekalkan status quo tetapi Najib juga membuat satu kejutan lain dengan melantik P Waythamoothy, pemimpin HINDRAF sebagai Timbalan Menteri. Malah HINDRAF (P. Uthayakumar, pemimpin de facto) adalah antara mereka yang mengecam pelantikan mengejut Waythamoorthy dalam pentadbiran Najib.

Mengikut satu sumber Umno itu, beliau menjangkakan pelantikan P Waythamoothy, pemimpin Hindraf bakal mengundang bala kepada Najib. Selain itu, Pemuda MIC dan Kongres India Muslim (Kimma) yang mesra BN turut menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan Najib memilih Hindraf, berbanding dengan mereka telah lama setia kepada parti pemerintah.

Secara kesimpulannya, Sabah dan Sarawak yang memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional pada pilihan raya yang lalu menerima habuan terbesar apabila mereka diwakili oleh dua belas (12) menteri penuh dan lapan (8) timbalan menteri dengan tidak ada calon yang kalah pilihanraya masuk menganggotai semula kabinet melalui “pintu belakang” dengan jawatan senator walaupun terdapat seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang disebut-sebut di bawa kembali ke kabinet kalah bila bertanding kerusi parlimen, iaitu Dato’ Abdul Ghani Othman (Johor) dan Dato’ Ali Rustam (Melaka).

Sungguhpun begitu, UMNO masih mendominasi kabinet dengan 16 daripada mereka adalah menteri penuh dengan kementerian-kementerian yang penting. Selain MCA, Gerakan sebuah lagi parti didominasi Cina juga mengambil tindakan yang sama menolak jawatan kabinet bila mana Presidennya Tan Sri Koh Tsu Koon turut berhenti dengan serta merta mulai 16hb Mei.

Filed under: Most Popular, , , , , , ,

Pecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pemilihan PAS

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang dalam PRU ke-12 pada 2008 lalu. BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Sebelum ini ada ramalan mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan dalam jangkamasa terdekat. Saya tak pasti bila Perdana Menteri nak umumkan tarikh PRU ke13? Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ternyata Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin melakukannya dalam jangkamasa terdekat.   

Penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN Sarawak tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam dan mencemaskan UMNO dan BN. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah?

Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat. Selain Cina, kaum Iban di Sarawak juga menolak BN.  Ini akan menyebabkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah yang dikuasai BN  akan berubah pada PRU ke-13 nanti. Pakatan Rakyat dijangka boleh memenangi 20 hingga 25 kerusi Parlimen di sabah dan Sarawak.

Sekarang ini UMNO dan BN sudah terdesak untuk terus mempertahankan kuasa di Putrajaya. Setelah gagal memujuk Cina untuk kembali kepada BN, UMNO mula memainkan strategi lama untuk memecahkan gabungan PKR-DAP-PAS. DAP dikatakan parti chauvanis Cina, PAS pula parti hilang prinsip dan jadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PAS ditafsirkan dan diolah sedemikian rupa bagi diadu-dombakan mengikut rentak UMNO dan BN. Terbaru media memanipulasi dan memutarbelitkan jawaban Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkaitan dengan video seks Trio 3T yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang.

Tak cukup dengan kenyataan pemimpin UMNO, Nalakaruppan, Presiden Parti MUIP yang tak ada kena mengena dengan isu ini pun tumpang semangkuk. Selain itu, mereka juga menggalakkan perkembangan parti-parti serpihan pembangkang seperti KITA, pimpinan Zaid Ibrahim. 

Komen Aziz Bari dan Pemilihan PAS

Sejak beberapa minggu lepas, ramai yang bertanya apa sikap saya terhadap pemilihan PAS kali ini. Sebenarnya pada saya, ada baiknya PAS menumpukan perhatian untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada terlalu memikirkan berhubung dengan pemilihan pada Muktamar parti itu ke-57 yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini..

Saya tidak bercadang untuk mengulas pemilihan PAS kali ini. Sebagai memenuhi pertanyaan di sini saya petik catatan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai renungan ahli-ahli PAS. Beliau berkata, Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS). Justeru itu, ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara’ , berpandukan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kepimpinan (Al-Qiadah) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus.Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini memaklumkan semua jawatan dalam PAS termasuk Presiden terbuka untuk ditandingi. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara ekslusif dengan Harakah tetap menegaskan beliau bersikap terbuka jika ada pemimpin lain yang ingin bertanding jawatan Presiden yang disandangnya sejak tahun 2002 kerana beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

Tidak dapat dipastikan apa motif tersirat, seorang Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat? Saya diberitahu, tanpa ada membuat soal selidik atau kajian lapangan yang menjadi amalan ahli akdemik dalam membuktikan tesisnya, beliau meminta ahli-ahli PAS menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin yang lebih dinamik. 

Dalam hal ini, saya cukup bersetuju dengan cadangan Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan Harakahdaily, bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada. Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

Malah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin menambah dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata. “Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa,” kata beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Berbalik kepada pemilihan kali ini, sama ada Presiden PAS dicabar atau tidak bukan persoalannya. Sejarah peralihan kuasa dalam PAS telah dilakukan dengan sistematik dibawah kepimpinan ulamak sejak lebih 25 tahun yang lepas berjalan dengan lancer dari Yusof Abdullah Ar-Rawa, kepada Datuk Haji Fadhil Mohd Nor dan seterusnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Cuma bila Timbalan Presiden ditandingi sejak tahun 2003, ianya belum lagi sunyi dari pertandingan bagi jawatan tersebut. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Rasanya sudah tiba masayanya jawatan tersebut di’syura’kan semula seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories