Kalam Perantau

Icon

Ketuanan Melayu dan hipokrasi Umno

Oleh : Ahmad Lutfi Othman    

Tsunami politik, Mac 2008, mengundang pelbagai tafsiran. Ada menyifatkan kecenderungan mengundi rakyat Malaysia sudah tidak lagi terkepung dan terkurung dengan sentimen perkauman. Isu-isu sepanjang kempen pilihan raya ke-12 itu menjangkau persoalan sejagat sehingga istilah “politik baru”, yang popular semasa pilihan raya umum 1999, kembali diperkatakan. Pengundi semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu penting dan kritikal, sekali gus memecahkan kepompong yang sengaja diwujudkan selama ini.

Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang. Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.

Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti ‘chauvinist Cina’. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN – membangkitkan emosi kaum demi survival BN. Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, “lagu lama” yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.

Terbaru, melihat “keterlanjuran” Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin. (Dalam teks asal dinyatakan, konsep “ketuanan Melayu” ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan). Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: “Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. …Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini.”

Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus. Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat “pengkhianat Melayu” yang sanggup “menjual” segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! … Ya, apa lagi istilah “jelik dan jijik” dan “sumpah-saranah” yang belum dihadapkan kepada Anwar?

BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi “mengajar BN”. Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai “pembaharuan” cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai “juara Melayu”.

Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri. Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.

Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu – yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka – mudah dicuit emosi hanya dengan “menggilap” kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.

Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap “konsep yang begitu dipolitikkan itu” akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.

Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?

Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya “perilaku negatif” sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka. Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?

Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: “Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. … Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.

Kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebihj besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan.”

Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu. Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.

Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: “Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta ‘terkunci kemas’ dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat … seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu.”

Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, kan?

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , ,

Setelah hampir 20 tahun, PAS Kelantan turut larang sertai BTN

PAS Kelantan turut larang sertai BTN

KOTA BHARU 9 Dis. – Kerajaan Pas Kelantan mengikuti langkah Selangor menegah para pegawai dan kakitangannya menyertai sebarang program anjuran Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya, UMNO tidak akan merombak kurikulum yang berunsur perkauman itu walaupun didesak berbuat demikian oleh beberapa pihak.

”Saya setuju kurikulum BTN dirombak. Tetapi kerana UMNO masih berkuasa sekarang ini dan tidak boleh menerima Islam maka ia tidak akan berlaku.

“Tukarlah. Cara yang paling mudah masa pilihan raya umum akan datang jangan undi selain pergerakan Islam dan pakatan pembangkang. Barulah senang pelesit-pelesit UMNO dibuang ke Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Ditanya pendirian kerajaan pimpinannya terhadap isu itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, kurikulum kursus BTN perlu dirombak agar dapat diterima oleh semua.

Polemik program BTN mula menjadi panas sejak akhir-akhir ini apabila pakatan pembangkang mendakwa kursus tersebut menjadi penghalang kepada pembentukan satu negara bangsa Malaysia.

Ia disusuli dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengharamkan kursus itu daripada disertai oleh kakitangan kerajaan negeri dan pelajar universiti milik negeri itu.

Bagaimanapun kerajaan mempertahankan kursus tersebut kerana ia bertujuan membentuk jati diri dan memberi pengetahuan tentang soal kenegaraan.

Menurut Nik Abdul Aziz, isu perkauman itu telah diketahuinya sejak lama dulu namun baru sekarang mempunyai peluang untuk bercakap mengenai BTN.

Justeru katanya, biarlah kurikulum tersebut diubah mengikut ajaran dan akidah Islam yang sebenar dan sebagai tempat menyebarkan agama berkenaan.

“Isu BTN ini telah lama saya dengar yang menghasut rakyat supaya benci kepada bangsa lain tetapi ketika itu saya tiada ruang untuk tegur,” ujarnya

Filed under: News, , , , ,

Bekas Pengarah : BTN racun pemikiran pemimpin melayu

Keputusan kabinet itu dibuat setelah Pulau Pinang menyusuli tindakan Selangor memulau kursus BTN berkuat kuasa serta merta.

Ini berikutan semakin ramai peserta kursus itu tampil mengecam kursus-kursus itu sebagai helah untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Menurut beberapa peserta, modul-modul kursus BTN secara halus, turut menjurus kepada menyemarakkan rasa benci terhadap kaum Cina, dan parti Pembangkang.

Bekas pengarah Biro Tata Negara (BTN), Johari Abdul menyelar kerajaan Malaysia terhadap pemesongan agenda asal BTN.

“ Ia (BTN) amat terpesong. BTN diwujudkan sekitar tahun 80-an. Bermula dengan Datuk Seri Abdullah Badawi yang menjadi pengarah belia di Kementerian Belia dan Sukan. Kemudian, dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri baru dipanggil Biro Tata Negara. Tujuan utama, tujuan asas BTN diwujudkan adalah untuk membakar semangat anak-anak Melayu dan Bumiputera” ujar Johari.

Ujar Johari, BTN pada asasnya mempunyai garis panduan yang jelas iaitu untuk menaikkan semangat anak muda bumiputera untuk bersaing dalam bidang akademik namun dasar itu mulai kendur dari semasa ke semasa.

“ Tapi kita tidak pernah menggunakan BTN ini sebagai tempat untuk mencerca pemimpin-pemimpin. Amat berbeza sekarang, BTN digunakan sebagai agensi, saya tidak kata semua tetapi ada dalam program-programnya mencerca pemimpin-pemimpin” katanya.

Menurut Johari, BTN pada masa kini bukan sahaja bersifat perkauman, malah turut menghina pemimpin negara seperti mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“ Ada pensyarah-pensyarah dalam program BTN ini Anwar mempunyai 3 bilion, dan ini disahkan oleh bekas governor, Datuk Murad dahulu, ini cerita tahun 1999 sedangkan bekas pengarah penyiasat BPR mengesahkan setelah siasatan dibuat, tuduhan 3 bilion itu tidak betul” katanya lagi. TVS

Filed under: News, , , , , , ,

Haram BTN: Mengapa Pusat terkejut dan tergamam?

Oleh Muhammad Arif Ismail

BANGI, 30 Nov:  Pemerintahan Pusat yang diketuai oleh Barisan Nasional ternyata terkejut dan tergaman dengan tindakan luar jangkaa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mengharamkan program Biro Tata Negara (BTN) daripada dilaksanakan di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Bangi, Dr Syafie Abu Bakar, menegaskan dalam blog beliau bahawa tindakan ini amat mengejutkan kerajaan pusat.Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi yang terkejut dengan isu ini, katanya.

Menurut beliau yang menganggap tindakan ini adalah tepat kerana BTN merupakan satu cara mekanisme doktrinasi BN, digunakan untuk melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

“Jika pegawai, kakitangan dan mahasiswa di selangor mengikuti program ini, mereka akan menjadi duri dan racun bagi kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri juga telah bersedia dengan program membina modal insan yang dikenali sebagai Spiritual, Physical, Intelektual, Emotional dan Social (SPIES) untuk mengantikan program BTN,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya SPEIS dipertingkatkan dan diperkasakan untuk dilaksanakan di semua negeri yang di perintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dengan menyepadukan sistem kokurikulum dan latihan.

“Tindakan selanjutnya hendaklah diharamkan pula pusat-pusat BTN yang berada di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya tidak berlaku pertindihan dan pertembungan.

“Kita berpendapat tindakan yang diambil, bukan merupakan niat untuk membalas dendam, tetapi lebih kepada tindakan menyelamat yang seharusnya dibuat lama dahulu, tetapi apa yang dibaut masih belum terlambat,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , , ,

Pulau Pinang juga haramkan BTN?

BUKIT MERTAJAM, Nov 29 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbangkan secara serius untuk mengikuti jejak langkah kerajaan negeri Selangor mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) kepada kakitangannya.

Timbalan Ketua Menteri I Mansor Othman berkata kerajaan negeri memandang serius cadangan Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yussof bagi kerajaan negeri mengikuti langkah Selangor.

Selangor merupakan negeri pertama kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi kendaliannya daripada menyertai kursus anjuran BTN. Ia diputuskan Rabu lalu. Tiga lagi negeri dipimpin PR ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Usul cadangan itu dijangka dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri esok untuk kelulusan, kata Mansor yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Yayasan Aman di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, Yusmadi mencadangkan supaya kerajaan negeri mencontohi Selangor berhubung isu BTN dan mengulangi cadangan itu pada perhimpunan hari ini.

Sementara itu, Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, sebuah sekretariat yang diketuai oleh Yusmadi akan ditubuhkan untuk mengumpulkan pandangan rakyat mengenai BTN, yang didakwa mengindoktrinasikan ideologi Barisan Nasional (BN).

Katanya, orang ramai yang mempunyai pengalaman dan pandangan mengenai BTN boleh mengemukakannya kepada sekretariat itu.

“Kita akan buat referendum mengenai perkara ini,” kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu, Shamsul mengumumkan pelantikan barisan baru kepimpinan AMK Pulau Pinang.

Ketua AMK Permatang Pauh Amir Ghazali dilantik sebagai ketua AMK negeri yang baru menggantikan Yusmadi manakala Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai timbalannya.

Ahmad Azrizal Tahir, Ong Chin Wen dan M. Muneswaran pula masing-masing dilantik sebagai Naib Ketua 1, 2 dan 3 manakala Syed Mikael Rizal Aidid sebagai setiausaha dan Philip Thor sebagai bendahari.

Filed under: News, , , , , ,

Kita bukan ‘pak turut’ – Azizan Razak

YAN – “Kita bukan ‘pak turut’ untuk buat keputusan tanpa mengkaji terlebih dahulu. Apa yang saya boleh katakan, kita akan kaji modul kursus Biro Tata Negara (BTN) sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan ditanya sama ada Kedah akan mengikut jejak langkah Selangor yang melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri itu mengikuti kursus anjuran agensi latihan Kerajaan Pusat itu.

“Ini bukan sahaja penting bagi mengelak sebarang kekeliruan tetapi juga diharap keputusan yang bakal dibuat itu memberi impak yang baik kepada semua pihak,” kata Azizan lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pihaknya tidak mahu dilihat sebagai ‘pak turut’ dalam membuat sebarang keputusan tanpa terlebih dahulu menyelidik atau mengkaji secara mendalam.

“Kita juga tidak mahu mencampuri sebarang keputusan yang melibatkan dasar mana-mana Kerajaan Negeri sebelum mendapat penerangan atau maklumat sebenar daripada pihak yang berkelayakan.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kekeliruan atau penerimaan salah di samping ingin menjaga hubungan baik sesama pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Pak Su Mat, Kampung Tengah, Sungai Limau Dalam, di sini, semalam.

Azizan berkata, isu larangan BTN memberi kursus kepada kakitangan awam dan pelajar negeri Selangor hanya dilaporkan dalam media sahaja dan beliau selaku rakan karib kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terlebih dahulu menghubungi rakan sejawatannya itu bagi mendapatkan gambaran jelas mengapa Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan itu.

“Buat masa sekarang lebih baik kita tumpukan pada soal lain yang lebih mustahak daripada membahaskan perkara yang belum diketahui kesahihannya.

“Saya juga enggan memberi komen sama ada Kerajaan Kedah akan menuruti langkah Kerajaan Selangor atau sebaliknya. Tunggulah sampai masa nanti, kita akan tahu juga,” katanya.

Dalam masa yang sama, Azizan juga berkata, beliau belum sedia untuk mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad yang berkata parti itu bersetuju dan menyokong jika negeri-negeri lain di bawah PR mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor.

Semalam, Idris dilaporkan berkata, Pas menyifatkan tindakan Kerajaan Selangor melarang kakitangan awam serta pelajarnya mengikuti kursus BTN sebagai tepat dan wajar.

Ini kerana dakwanya, selain kursus anjuran biro di bawah Jabatan Perdana Menteri itu tidak mendatangkan faedah dan hanya membazirkan wang rakyat, modul pengisiannya juga merupakan salah satu cara mendoktrinkan peserta agar membenci pembangkang

Filed under: News, , , ,

PAS SOKONG SELANGOR LARANG KURSUS BTN

PAS menyokong tindakan Kerajaan Selangor yang telah mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri ini daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta. Ini adalah kuputusan yang bijak. Kursus Biro  Tata Negara yang dijalankan selama ini memang tidak mendatangkan faedah dan membazir wang rakyat sahaja. Biro Tata Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya berperanan untuk indoktrinasi kepada peserta untuk benci kepada parti pembangkang dan menyokong umno/bn sahaja. Modul yang diselit ialah kononnya negara sedang mengalami ancaman perkauman. Kuasa Melayu semakin terhakis. Ini adalah modal lapuk yang dihidangkan kepada para peserta.

Pas juga kesal apabila  pensyarah yang hendak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran MA dan Phd perlu lulus kursus Biro Tata Negera. Mereka yang tidak sealiran tidak akan mendapat biasiswa walaupun akademik mereka cemeralang inilah yang pernah dialami oleh Saudara Ramadhan Fitri  Alias bekas Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM) walaupun beliau mendapat kelas pertama dan sijil dekan setiap semester. Tetapi apabila kursus Biro Tata Negara beliau gagal, kerana tidak memenuhi cita rasa golongan primitif maka beliau tidak layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. 

Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS

Filed under: News, , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories