Kalam Perantau

Icon

Analisa PRN ke-11 Sarawak: Pengajaran kepada pembangkang

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ketika menulis kolum Kalam Perantau ini, saya tak sempat lagi meneliti secara terperinci keputusan-keputusan pilihanraya negeri Sarawak kali ke-11 pada 7hb Mei, 2016 yang baru diumumkan pada hari tersebut. Sebagaimana yang dijangka, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang tidak sehaluan pada kali ini.

Gelombang demam Adnan menyebabkan BN berjaya menang 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus berbanding BN hanya mendapat 55 daripada 70 kerusi (78.6 peratus) pada PRN 2011. Ini mengulangi kejayaan 2006 apabila BN menguasai 88.6 Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 7hb Mei lalu, parti-parti pembangkang peringkat federal terdiri dari PKR-DAP-PAN yang membentuk Pakatan Harapan dan PAS telah mundur setapak ke belakang berbanding pada pilihanraya negeri Sarawak 2011.

Sama ada disedari atau tidak, rakyat Sarawak tidak memberikan harapan pada mereka untuk memerintan malah untuk menang pun sukar bila PKR dan DAP bertembung sesama sendiri sebanyak 6 kerusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih. Kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Bukan sahaja impian DAP menembusi kawasan bumiputera juga gagal, malah turut hilang 5 kerusi DUN majoriti Cina yang dimenangi sebelum ini. Selepas mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan lima kerusinya pada pilihan raya Sarawak Ke-11, DAP hari ini mengakui bahawa sokongan masyarakat Cina kembali beralih kepada BN.

Lebih parah 63 calon telah hilang wang deposit dimana PKR (10 calon), PAN (9 calon), DAP (7 calon), PAS (7 calon), STAR (7 calon), PBDS (5 calon) dan 18 calon Bebas dimana 35 kawasan memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, 28 (tiga penjuru) 12 (empat penjuru) dan lima (lima penjuru).

Dalam pilihanraya kali ini, DAP menang 7 kerusi sahaja dan PKR pula hanya mampu kekal 3 DUN yang dimenangi sebelum ini. Ketiga-tiga kerusi itu adalah N11 Batu Lintang, N39 Krian dan N81 Ba’kelalan. Manakala DAP pula hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

PAS dan parti serpihannya, PAN bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. PAS bertanding 11 kerusi manakala PAN pula 13. Lebih menyedihkan PAN menentang PAS di 5 kerusi DUN. PAN telah hilang deposit pada kerusi DUN yang ditandingi menentang PAS, Samariang (Nani Shahari, 389 undi), Muara Tuang (Abang Abdul Halili Abang naili, 765 undi), Sadong Jaya (Othman Mustafa, 157 undi), Sebuyau (Andrew Jain, 164 undi)) dan Beting Maro (Andri Zulkarnain Hamden, 103 undi).

Walaupun calon parti Islam berjaya mendapat serba sedikit sokongan  dibeberapa tempat, amat jelas sekali  dalam pertembungan kedua-dua parti ini, undi yang di raih PAS adalah lebih besar, walaupun terjejas oleh kehadiran parti PAN.

Akibatnya, calon PAS juga turut hilang deposit di DUN Sadong Jaya dan Muara Tuang pada kali ini berbanding dengan PRN 2011. Lima lagi DUN yang pertama kali PAS bertanding pada PRN2016, iaitu Pujut, Lambir, Jepak, Samalaju dan Kakus juga turut hilang deposit. Malah PAS juga gagal dapat kerusi sulung yang dicita-citakan di Beting Maro, malah BN menambah majoriti di situ.

Sementara itu, dua parti negeri sarawak, STAR dan PBDS (baru) gagal memberikan saingan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan parti pembangkang peringkat nasional. Sesungguhnya keputusan positif  BN di kawasan-kawasan kaum Cina ini mengambarkan populariti Tan Seri Adenan Satem yang luar biasa yang mampu meningkatkan sokongan semua kaum kepada BN.

Barisan Nasional

Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) dengan PBB dan PRS mencatat kemenangan 100 peratus. Malah 11 daripada 13 calon langsung BN juga telah menang pada kali ini termasuk dua Presiden bekas parti TERAS dan UPP, serpihan kepada SPDP dan SUPP.

Parti Cina di Sarawak – SUPP – pula menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya dan mendapat nafas baru apabila presidennya, Senator Dr Sim Kui Hian berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selepas menewaskan penyandangnya Christina Chiew Wang See dengan majoriti undi 2,085. Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi. Manakala Calon Bebas Liu Thian Leong, bekas pengerusi UPP Batu Kawah, hanya mendapat 1,109 undi, telah hilang deposit.

Manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing memperoleh 5,272 undi mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong yang hanya 479 undi dengan majoriti 4,793 undi telah hilang deposit dalam pertandingan satu lawan satu itu.

Sementara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBB dan Ketua Menteri terus kekal sebagai ADUN untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu mendapat 6,360 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Numan meraih 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, selepas menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun. Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.

Cukup setakat ini dulu dalam catatan ringkas pemerhatian saya berhubung dengan PRN11.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Analisa PRU13; Persaingan BN vs PR lebih hebat dan meluas (Bahagian Pertama)

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kita telah pun mengetahui keputusan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5hb Mei lepas dan telah diwartakan pada 22hb Mei. Buat pertama kali, BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara. BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89.

Setelah selesai PRU-13 yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PR, marilah menganalisa keputusan Pilihanraya yang ke-13 ini.

Sebagaimana dijangkakan persaingan lebih hebat dan meluas dalam PRU13 berbanding dengan PRU12. Jika pada PRU ke-12 sebelum ini hanya mencatatkan 76 peratus (8.0 juta) sahaja keluar mengundi tetapi peratus keluar mengundi PRU ke13 kali ini adalah paling tinggi dalam sejarah PRU, iaitu 80 peratus (10.4 juta) dengan undi popular BN 47 peratus (5.2 juta) ketinggalan berbanding dengan PR sebanyak 51 peratus (5.5 juta).

Pembangkang walaupun kalah, namun mereka telah menjadi pembangkang yang lebih kuat daripada sebelum ini. Berbanding (jadual 1 – di lampirkan) dengan PRU ke-12, Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS telah berjaya meningkat 7 kerusi dari 82 kepada 89. DAP berjaya menambah 10 lagi kerusi parlimen pada PRU 13 ini manakala PAS dan PKR bukan sahaja gagal untuk menambah kerusi, malah hilang pula kerusi yang sedia ada. PAS daripada 23 kerusi parlimen pada PRU12 kini hilang 2 kerusi menjadi 21 kerusi sahaja. Manakala PKR pula daripada 31 kerusi parlimen kini menjadi 30 kerusi setelah hilang 1 kerusi pada PRU13 ini.

Berikut (jadual 2 – dilampirkan) ini adalah keputusan penuh bagi 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri; Perlis (3): BN (3); Kedah (15): BN (10), PKR (4), Pas (1); Kelantan (14): BN (5), Pas (9); Terengganu (8): BN (4), Pas (4); Pulau Pinang (13): BN (3), DAP (7), PKR (3); Perak (24): BN (12), DAP (7), PKR (3), Pas (2); Pahang (14): BN (10), PKR (2), DAP (1), Pas (1); Selangor (22): BN (5), PKR (9), DAP (4), Pas (4); WP Kuala Lumpur (11): BN (2), DAP (5), PKR (4); WP Putrajaya (1): BN (1); WP Labuan (1): BN (1); Negeri Sembilan (8): BN (5), DAP (2), PKR (1); Melaka (6): BN (4), DAP (1), PKR (1); Johor (26): BN (21), DAP (4), PKR (1); Sabah (25): BN (22), DAP (2), PKR (1); Sarawak (31): BN (25), DAP (5), PKR (1).

Di peringkat negeri pula, Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan mereka di Pulau Pinang dan Selangor dengan mendapat majoriti 2/3, begitu juga di Kelantan walaupun merosot sedikit. BN berjaya merampas semula Kedah dan mengekalkan Perak dengan majoriti mudah. Begitu juga di Terengganu dan Negeri Sembilan, BN gagal menang dengan majoriti 2/3.

Sungguhpun BN berjaya memenangi semula Kedah dan Perak (sebelum BN merampas kembali Perak pada Februari 2009 melalui pintu belakang), tetapi jumlah keseluruhan 505 DUN, BN kehilangan 71 kerusi lagi kepada pembangkang atau bebas dengan hanya memperolehi 271 (berbanding 344) dan PR mendapat 230 (berbanding 161) pada PRU12 pada Mac 2008.

Berikut jadual 3 (di lampirkan) keputusan penuh bagi 505 kerusi DUN yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri; Perlis (15): BN (13), PAS (1), PKR (1); Kedah (36): BN (21), PAS (9), PKR (4), DAP (2); Kelantan (45): PAS (32), PKR (1), BN (12); Terengganu (32): BN (17), Pas (14), PKR (1); Pulau Pinang (40): BN (10), DAP (19), PKR (10), PAS (1); Perak (59): BN (31), DAP (18), PKR (5), Pas (5); Pahang (42): BN (30), PKR (2), DAP (7), Pas (3); Selangor (56): BN (12), PKR (14), DAP (15), Pas (15); WP Kuala Lumpur (-); WP Putrajaya (-), WP Labuan (-); Negeri Sembilan (36): BN (22), DAP (11), PKR (3); Melaka (28): BN (21), DAP (6), PAS (1); Johor (56): BN (38), DAP (13), PAS(4),PKR (1); Sabah (60): BN (48), DAP (4), PKR (7), STAR (1); Sarawak : kerusi DUN telah dipertandingkan secara berasingan.

Didapati 21 kerusi yang dirampas Pakatan Rakyat dan BN tetapi 15 kerusi pula yang Barisan Nasional rampas dari Pakatan Rakyat. Senarai Kerusi dirampas Pakatan Pakatan adalah; 1) Stampin (DAP); 2) Sarikei (DAP); 3) Lanang (DAP); 4) Kluang (DAP); 5) Kampar (DAP); 6) Miri (PKR); 7) Lumut (PKR); 8) Gelang Patah (DAP); 9) Sandakan (DAP); 10) Sibu (DAP, kalah pada 2008, tetapi menang dalam pilihanraya kecil 2010); 11) Tuaran (PKR); 12) Penampang (PKR); 13) Bukit Katil (PKR); 14) Temerloh (PAS); 15) Alor Setar (PKR); (16) Pandan (PKR); 17) Kuala Terengganu (PAS); 18) Dungun (PAS); 19) Batu Pahat (PKR); 20) Kuala Nerus (PAS); 21) Sepang (PAS)

Manakala Kerusi dirampas BN pula adalah; 1) Titiwangsa (PAS); 2) Kuala Selangor (PAS); 3) Pendang (PAS) 4) Balik Pulau (PKR); 5) Bagan Serai (PKR); 6) Kulim-Bandar Baru (PKR); 7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010); 8) Padang Terap (PAS); 9) Jerai (PAS); 10) Sik (PAS) 11) Merbok (PKR); 12) Baling (PAS); 13) Machang (PKR); 14) Ketereh (PKR); 15) Tanah Merah (PKR)

Berikut adalah analisis kerusi parlimen dan dun yang dimenangi oleh BN atau PR dibawah majoriti kurang dari 1000 undi majoriti seperti berikut; Perlis – 5 kerusi: BN (4), PR (1); Kedah – 5 kerusi: BN (3), PR (2); Pulau Pinang – 6 kerusi: BN (6); Perak – 11 kerusi: BN (8), PR (3); Selangor – 7 kerusi: BN (3), PR (4); WP Kuala Lumpur – 1kerusi: BN (1); Negeri Sembilan – 4 kerusi: BN (3), PR (1); Melaka – 3 kerusi: BN (2), PR (1); Johor – 4 kerusi: BN (4); Kelantan – 16 kerusi: BN (7), PR (9); Terengganu – 13 kerusi: BN (4), PR (9); Pahang – 8 kerusi: BN (6), PR (2); Sabah – 12 kerusi: BN (7), PR (5); dan Sarawak – 2 kerusi: BN (1); PR (1);

Kerusi Barisan Nasional

cartapru13

Pada PRU ke13 ini, parti-parti BN berasaskan kaum Cina telah mengalami kekalahan yang teruk setelah kehilangan kerusi di kawasan majoriti kaum Cina. Pada ketika ini, parti-parti berasaskan kaum Cina BN hampir runtuh, manakala kaum tersebut tidak lagi menganggap parti-parti komponen itu sebagai wakil dalam politik Malaysia.

Barisan Nasional bersifat perkauman – Cina mula serik dengan politik perkauman. Ia menunjukkan bahawa pengundi Cina telah membuat pilihan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada BN, satu tamparan yang yang menambah sulitkan parti MCA dan Gerakan.

Di dalam BN, MCA yang mewakili kaum Cina diberi 37 kerusi parlimen, namun yang menang hanya 7.  Begitu juga dengan MIC, hanya menang 4 kerusi daripada 9 serta GERAKAN yang hanya memenangi 1 kerusi parlimen daripada 11. Sebahagiannya pula menang di kerusi majoriti melayu/Islam.

Penganalisa politik UMNO pula membidas yang MCA dan Gerakan tidak bekerja untuk PRU ini, apakah benar kenyataan ini. Lihat bukti ini, Kerusi kawasan Melayu tapi BN (MCA/Gerakan ) yang menang sebagai

contoh; 1. PARLIMEN Simpang Renggam (M- 56%) Suhaizan (PAS) kalah vs Liang Teck Meng (BN); 2. PARLIMEN Tanjong Piai (M- 52 %) Dr Mahzir (DAP) Kalah vs Wee Jack (BN); 3.PARLIMEN Batu Sapi (Islam 51%) Hamzah (PAS) Kalah vs Tsen Tsau Lin (BN); 4. DUN Gurun (M- 57%) Salma Ismail (PKR) Kalah vs. Dr Leong (BN); 5. DUN Cheka (M69%) Cikgu Abas (PKR) kalah vs Dato Fong (BN); 6. DUN Gambir (M- 56%) Dato Mahfoz Mohd (PAS) kalah vs M. Aso(BN); 7. DUN Chenderiang (M-36%, C-30%) Amani Abdullah (PKR) kalah vs Dr Mah Hang(BN); 8. DUN Pemanis (M-56%) Cikgu Normala (PAS) Kalah vs Lau Chin (BN); 9. DUN Kahang (M-74%) Hamdan (PKR) kalah vs R. Vidyanathan (BN); 10. DUN Pulai Sebatang (M-63%) Ungku Mohd Nor kalah vs Dato Tee Seiw (BN); 11. DUN Tg Aru (Islam – 52%) Hamid Ismail (PAS) kalah vs Yong Oui (BN); 12. DUN Bingkor (Islam 38%) Ahmad Shah (PKR) kalah vs Kennedy John (BN);13. DUN Merotai (Islam-53%) Ahmad Dullah (PAS) kalah vs. Pang Yuk Ming (BN)

Selain menganalisa undi Cina, mari kita analisa undi Melayu pula. Sungguhpun BN hilang 7 kerusi Parlimen lagi, namun UMNO telah meningkatkan kerusi Parlimen yang diwakilinya daripada 79 kerus kepada 88 kerusi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri juga menyaksikan peningkatan kerusi UMNO daripada 239 pada 2008 kepada 242 pada 2013.

Realitinya, kemenangan pilihan raya BN diperoleh hasil dua cara, iaitu melalui parti BN yang menang dikawasan majoriti tradisional Melayu di Semenanjung dan melalui parti-parti komponen BN yang mendapat kerusi majoriti di Sarawak dan Sabah.

Kebanyakan yang masih menyokong BN adalah terdiri dari pengundi melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, dimana BN memenangi 22 kerusi parlimen dari 25 yang dipertandingkan di Sabah dan 25 dari 31 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN untuk 2 negeri “deposit BN” ini adalah 47, mewakili 35% dari keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi BN. Kalau dilihat dalam konteks PRU13, negeri-negeri seperti Johor, Pahang, dan Melaka, masih majoriti pengundi melayu berpihak kepada BN dan untuk negeri-negeri lain di Semenanjung, peratusan kaum melayu menjadi 50:50 di antara BN dan Pakatan Rakyat.

(Disiarkan Harakah Bil 1848 / 31Mei – 2 Jun)

Filed under: Harakah, Recommended, , , , , , , , , , ,

Pecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pemilihan PAS

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang dalam PRU ke-12 pada 2008 lalu. BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Sebelum ini ada ramalan mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan dalam jangkamasa terdekat. Saya tak pasti bila Perdana Menteri nak umumkan tarikh PRU ke13? Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ternyata Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin melakukannya dalam jangkamasa terdekat.   

Penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN Sarawak tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam dan mencemaskan UMNO dan BN. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah?

Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat. Selain Cina, kaum Iban di Sarawak juga menolak BN.  Ini akan menyebabkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah yang dikuasai BN  akan berubah pada PRU ke-13 nanti. Pakatan Rakyat dijangka boleh memenangi 20 hingga 25 kerusi Parlimen di sabah dan Sarawak.

Sekarang ini UMNO dan BN sudah terdesak untuk terus mempertahankan kuasa di Putrajaya. Setelah gagal memujuk Cina untuk kembali kepada BN, UMNO mula memainkan strategi lama untuk memecahkan gabungan PKR-DAP-PAS. DAP dikatakan parti chauvanis Cina, PAS pula parti hilang prinsip dan jadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PAS ditafsirkan dan diolah sedemikian rupa bagi diadu-dombakan mengikut rentak UMNO dan BN. Terbaru media memanipulasi dan memutarbelitkan jawaban Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkaitan dengan video seks Trio 3T yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang.

Tak cukup dengan kenyataan pemimpin UMNO, Nalakaruppan, Presiden Parti MUIP yang tak ada kena mengena dengan isu ini pun tumpang semangkuk. Selain itu, mereka juga menggalakkan perkembangan parti-parti serpihan pembangkang seperti KITA, pimpinan Zaid Ibrahim. 

Komen Aziz Bari dan Pemilihan PAS

Sejak beberapa minggu lepas, ramai yang bertanya apa sikap saya terhadap pemilihan PAS kali ini. Sebenarnya pada saya, ada baiknya PAS menumpukan perhatian untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada terlalu memikirkan berhubung dengan pemilihan pada Muktamar parti itu ke-57 yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini..

Saya tidak bercadang untuk mengulas pemilihan PAS kali ini. Sebagai memenuhi pertanyaan di sini saya petik catatan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai renungan ahli-ahli PAS. Beliau berkata, Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS). Justeru itu, ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara’ , berpandukan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kepimpinan (Al-Qiadah) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus.Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini memaklumkan semua jawatan dalam PAS termasuk Presiden terbuka untuk ditandingi. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara ekslusif dengan Harakah tetap menegaskan beliau bersikap terbuka jika ada pemimpin lain yang ingin bertanding jawatan Presiden yang disandangnya sejak tahun 2002 kerana beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

Tidak dapat dipastikan apa motif tersirat, seorang Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat? Saya diberitahu, tanpa ada membuat soal selidik atau kajian lapangan yang menjadi amalan ahli akdemik dalam membuktikan tesisnya, beliau meminta ahli-ahli PAS menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin yang lebih dinamik. 

Dalam hal ini, saya cukup bersetuju dengan cadangan Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan Harakahdaily, bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada. Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

Malah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin menambah dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata. “Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa,” kata beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Berbalik kepada pemilihan kali ini, sama ada Presiden PAS dicabar atau tidak bukan persoalannya. Sejarah peralihan kuasa dalam PAS telah dilakukan dengan sistematik dibawah kepimpinan ulamak sejak lebih 25 tahun yang lepas berjalan dengan lancer dari Yusof Abdullah Ar-Rawa, kepada Datuk Haji Fadhil Mohd Nor dan seterusnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Cuma bila Timbalan Presiden ditandingi sejak tahun 2003, ianya belum lagi sunyi dari pertandingan bagi jawatan tersebut. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Rasanya sudah tiba masayanya jawatan tersebut di’syura’kan semula seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

P/raya Sarawak penentu nasib Pakatan Rakyat?

Oleh Wong Chin Huat

Seandainya 9 Mac 2008 menandakan permulaan era baru politik Malaysia, dan menjadi pembuka tirai zaman “tsunami politik”; maka hari ini adalah hari terakhir selepas genap tiga tahun “tsunami” berlaku.  Apa yang berlaku mnjelang ulang tahun ketiga ini adalah kekalahan teruk Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya kecil, malah UMNO mencapai prestasi yang lebih baik daripada PRU tahun 2004 di Kerdau.

Sebaik sahaja PRK melabuh tirai, DAP terus membantah pengharaman penjualan tiket perjudian oleh kerajaan PAS di Kelantan, mendedahkan kontradiksi dalaman PR.  Justeru itu, apakah ia penghujung “zaman tsunami” mulai esok, atau apakah pergolakan yang berlaku sepanjang tiga tahun ini sekadar riak air yang bakal kembali tenang tanpa meninggalkan kesan?

Sejauh manakah impak tsunami politik 8 Mac 2008 terhadap perkembangan sejarah kita?  Apakah PR bakal kembali kepada bentuk asalnya selepas PRU yang akan datang?  Kita perlu membuat penilaian dalam konteks sejarah yang lebih luas, dan bukannya tertumpu kepada apa yang berada di depan mata sahaja – barulah jawapan yang lebih jelas diperolehi. Samuel P. Huntington mengibaratkan “pendemokrasian” sebagai ombak, kerana ada pasang dan surutnya fikrah demokrasi.  Ia bukan sahaja berlaku di luar dunia, malah Malaysia juga tidak terkecuali.

Sistem dua parti
Pada awal pembentukan Tanah Malaya (Malaysia), Barisan Sosialis (SF) dan Malaysian Solidarity Covention (MSC) yang didominasi PAP pernah cuba untuk membentuk pakatan yang melangkaui batas etnik untuk menentang Perikatan (yang didominasi UMNO).  Namun, SF hanya wujud untuk dua penggal, berpecah kerana isu bahasa; sementara MSC pula wujud hanya sekelip mata, menghembus nafas terakhirnya selepas Singapura diusir dari Persekutuan Malaysia.

Perubahan yang menggoyah kuasa UMNO hanya berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969, zaman Dasar Ekonomi Baru yang mencapai kemuncaknya hingga mencetus pergelutan kuasa antara pimpinan tertinggi dalam UMNO.

Peluang pertama untuk pertukaran kerajaan wujud pada tahun 1990.  Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) diusir oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dari UMNO.  Kuli cuba memimpin dua barisan pembangkang melalui Semangat 46.  Salah satu daripadanya adalah Gagasan Rakyat yang dibentuk bersama DAP; dan satu lagi adalah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang ditunjangi PAS.  Ini kerana DAP dan PAS pantang duduk sebumbung ketika itu.  Gagasan Rakyat akhirnya terbubar sebelum PRU tahun 1995, malah APU dibubuh noktah setelah Kuli kembali ke pangkuan UMNO, setahun selepas PRU tahun 1995.

Namun, hanya selepas dua tahun, pergelutan kuasa tercetus lagi dalam UMNO.  Kali ini, gelombang Reformasi muncul, dan Parti KeADILan Nasional (kini PKR) mengisi kekosongan Semangat 46.  Berbeza dengan dahulu, KeADILan tidak bersaing dengan UMNO untuk menjuarai wacana nasionalis Melayu, sebaliknya mendukung politik berbilang kaum.  DAP dan PAS pula bersepakat secara terbuka, dan akhirnya terbentuklah Barisan Alternatif.  Namun demikian, dua tahun kemudian, BA terkubur dalam sejarah selepas DAP meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan dasar Islamnya – tinggal sesetengah anggota PAS yang ada kalanya ditemui menyarung jersi yang mempunyai logo empat parti politik itu.

Dari makna teknikalnya, PR ditubuhkan pada 1 April 2008, merupakan jalinan pakatan antara PKR, DAP dan PAS selepas pilihan raya umum.  Dari makna sebenarnya, PR adalah versi “BA” yang diperbaharui.  Momentumnya berasal daripada gelombang Reformasi – menentang pemerintahan Mahathir yang autokratik; tetapi pada masa yang sama memberi manfaat kepada sekta kuasa Mahathir dalam UMNO yang lama, dan ingin menyekat pembaharuan beransur-ansur oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Seandainya dilihat dalam konteks sejarah, wujud tiga kemungkinan untuk Pakatan Rakyat dalam PRU yang akan datang.  Pertama, seperti kejayaannya menafikan majoriti dua pertiga parlimen BN, PR menyempurnakan tugas yang gagal dicapai oleh Gagasan Rakyat, APU pada tahun 1990, juga BA pada tahun 1999, iaitu berjaya untuk menukar kerajaan.  Kedua, PR berpijak di tempat asal, mengekalkan kira-kira satu pertiga kerusi Dewan Rakyat, dan kuasa kerajaan di beberapa negeri.  Ketiga, PR kehilangan pengkalannya, dengan masa depan yang malap, malah mencetuskan kontradiksi dalaman dan antara parti, mengulangi nasib tiga pakatan pembangkang sebelum ini.

Jatuh bangun dalam 16 PRK
Selepas keputusan PRK Merlimau dan Kerdau, rata-rata menganggap BN telah kembali berkuasa di gelanggang yang pernah mereka tumpas sebelum ini.  Jadi, ia sememangnya memberangsangkan semangat BN untuk berdepan dengan PRU yang akan datang, dan PR mungkin gagal menangkis kemaraan tersebut.  Pada hakikatnya, pilihan raya kecil adalah pilihan raya pertengahan yang mencerminkan perubahan suara rakyat.  Namun demikian, disebabkan ia bukan berlangsung serentak di seluruh negara, maka ia turut memperlihatkan unsur tempatannya.

Seandainya PRK ini berlangsung di kawasan MCA atau Gerakan, hampir pasti BN akan kecundang.  Untuk memahami perubahan hasrat rakyat melalui PRK dengan lebih sempurna, kita perlu mengkaji keputusan pilihan raya yang lalu di kawasan tersebut.  Selain Sarawak, kawasan DUN dan parlimen di seluruh negara tidak disempadankan semula sejak tahun 2003.  Jadi kita boleh bandingkan keputusan PRK PR dengan keputusan PRU tahun 2004 (kemuncak BN), dan PRU tahun 2008 (kemuncak pembangkang, sewaktu “tsnami politik”).

Dari rajah di atas, kekencangan PR menyusuli tsunami telah menjadi lemah ketika PRK Penanti pada 31 Mei 2009.  Walaupun mungkin menggerunkan BN sebelum ini, sehingga tidak mengambil bahagian dalam PRK buat kali pertamanya.  Namun, PR telah kembali ke paras asalnya semasa PRK Manek Urai, dengan kemenangan yang tipis. Permatang Pasir adalah kawasan kuat PAS di Pulau Pinang, malah berada dalam lingkungan kawasan parlimen Anwar Ibrahim, maka prestasi tahun 2008 dikekalkan. PRK selepas ini, melainkan keajaiban yang muncul di Sibu, PR sebenarnya berlegar antara dua kemuncak, iaitu prestasi PRU pada tahun 2004 dan 2008. 

Sesungguhnya kegagalan PR di Kerdau dan Merlimau menunjukkan kelemahan PR di kawasan desa, tetapi ia tidak cukup untuk menggambarkan keadaan seluruh negara.
Seandainya ada lagi PRK sebelum genap tiga tahun Dewan Rakyat bersidang, malah kebetulan di kawasan Cina, maka PR mungkin dapat mengembalikan semangatnya, sebagaimana dalam PRK Sibu.  Sememangnya PRK sukar diduga, tetapi sudah pasti pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat.  Jadi, pilihan raya Sarawak bakal menjadi peluang terakhir PR untuk menaikkan semangatnya.
Sarawak penentu kemenangan dan kekalahan?

Dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, pembangkang memenangi 9 kerusi daripada 71 kerusi, prestasi pembangkang yang terbaik sejak tahun 1987.  SUPP menjadi MCA di Sarawak, dan menjadi pentanda pertama tsunami politik pada tahun 2008.

Kini, pemerintahan Taib Mahmud yang telah memunggah kekayaan dari bumi kenyalang untuk 30 tahun dibandingkan dengan Mubarak di Mesir.  Isu tanah adat bumiputera mungkin menjadi arus yang menderas di bawah untuk menumbangkan BN, dari kalangan kaum asal.  Meskipun jentera pembangkang agak lemah, namun masih berkemungkinan menembusi beberapa kawasan.

Di kawasan bandar pula, angin yang kencang bertiup di kawasan majoriti Cina.  SUPP mungkin tenggelam di selatan Sarawak (sekitar Kuching), dan pertarungan sengit di kawasan pertengahan Sarawak (sekitar Sibu) – mungkin mengulangi keputusan PRK Sibu.  SUPP hanya mungkin menang di bahagian utara Sarawak (sekitar Miri).

Dalam keadaan sedemikian, DAP dijangka merangkul 10-14 kerusi, dan PKR mungkin berjaya merampas kira-kira 10 kerusi.  Seandainya PR bekerjasama untuk merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi, biarpun mungkin belum cukup untuk menafikan dua pertiga, namun tetap menggemparkan.

Maka Taib Mahmud semestinya berdepan dengan tekanan untuk berundur, dan tercetusnya pergelutan kuasa yang baru.  Paling penting, seandainya kuasa kerajaan negeri BN di Sarawak tergugat, maka ia bukan lagi “deposit tetap” untuk BN dalam PRU akan datang.  Semangat PR akan teruja, dan tekanan itu beralih kepada BN.  Justeru itu, biarpun BN kekal berkuasa, namun PR masih mampu mengekalkan kerusinya yang hampir satu pertiga dalam Dewan Rakyat.

Namun demikian, seandainya PR kecundang dalam suasana sebegini, dan hanya memperolehi kira-kira tiga hingga lima kerusi DUN Sarawak?  Bukan sahaja PR Sarawak akan menemui ajal, malah Najib Razak mungkin mengambil kesempatan untuk mengadakan PRU.  Jika itu berlaku, maka PR di peringkat persekutuan mungkin mengulangi nasib BA, hilang dari pentas politik selepas PRU – dan pertukaran kerajaan mungkin ditunda lapan atau 10 tahun kemudian.

Mengapa dikatakan Sarawak bakal menjadi penentu kemenangan atau kekalahan PR?  Ini kerana seandainya harapan untuk menawan Putrajaya berkecai, maka ketiga-tiga parti politik akan kembali kepada asasnya, lantas mencungkil kontradiksi antara tiga parti. 

Apakah pengharaman perjudian oleh PAS adalah reaksi spontan terhadap kekalahan PRK yang berturut-turut?  Jikalau BN kekal kukuh di Malaysia Timur, PAS yang hilang harapan untuk menawan Putrajaya akan menekankan dasar islamnya – untuk selamatkan dirinya.  Adakah DAP akan kompromi dengan keadaan itu?  Jadi, apakah manifesto yang ingin diketengahkan PR ketika itu?  Apakah mungkin PR tidak kalah?

Apakah PR Sarawak jelas dengan kepentingan dirinya?  Seolah-olah tidak.  Dalam saat-saat DUN Sarawak akan dibubar bila-bila sahaja, DAP dan PKR masih tegang kerana Dominique Ng – rundingan pengagihan kerusi yang belum diselesaikan.  Sementara itu, PKR juga bermasalah dengan SNAP.  Malah, rundingan manifesto bersama pun belum bermula!  Seandainya mereka terus melengah-lengahkannya, maka terpaksalah kita bersedia untuk menunggu 8 atau 10 tahun lagi, untuk pertukaran kerajaan persekutuan!

*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview.  Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 8 Mac 2011

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Mengapa PAS tewas di Tenang

Para netters boleh semak keputusan pilihanraya kecil N05 Tenang seperti yang kami paparkan sebagai perbandingan dan rujukan punca kekalahan PAS seperti yang disebut dalam laporan di bawah. – moderator

Oleh Kuek Ser Kuang Keng & Regina Lee

Banyak yang telah diperkatakan berhubung pilihan raya kecil DUN Tenang sebagai pentas ujian bagi BN untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut. Ini berdasarkan komposisi kaum di kerusi campuran itu yang menjadi contoh tipikal kepada kerusi-kerusi yang dipertandingkan di di Semenanjung Malaysia.

Namun, persoalannya apakah kemenangan BN dengan majoriti 3,707 undi ini menjadi petunjuk bahawa sentimen pengundi telahpun kembali memihak kepada parti pemerintah itu? Jawapannya, ya dan tidak.

Kejadian hujan lebat dan banjir yang tidak dijangka, disifatkan warga setempat sebagai peristiwa yang lebih buruk daripada bah besar pada 2006 – banyak menjejaskan pusat-pusat pengundian di kawasan majoriti Cina.

Keadaan ini memberi kesan kepada ukuran sebenar bagi sokongan terhadap BN mahupun kepada Pakatan Rakyat, di mana peratus keluar mengundi di sesetengah kawasan adalah serendah 55 peratus seperti di Bandar Labis Tengah yang mempunyai 95 peratus pengundi Cina

Hujan dan bah tersebut juga menjadi sebab peratus keluar mengundi yang turun sehingga 66 peratus berbanding 73.52 peratus pada pilihan raya umum 2008. Hujan lebat turun sebelum pusat mengundi dibuka pada 8 pagi.

Menurut setiausaha publisiti DAP Tony Pua, peratus keluar mengundi di kalangan pengundi Cina dan India turun mendadak – di antara 23 dan 39 peratus bagi pengundi Cina dan lebih mengejutkan penurunan sebanyak 54 peratus di kalangan pengundi Cina.
Bagaimanapun, peratus keluar mengundi bagai pengundi Melayu menyaksikan peningkatan sebanyak dua peratus kepada 81 peratus.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Tuah salam Cikgu Mala

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada “berlapek”, ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti “mengangkat dan memuji” PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran “sanjungan” Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai  Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang “mudah dibaca” itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA — rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional — berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan “DAP yang pekat rasis Cina” dan “PAS yang fanatik dan ekstrim Islam” sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. “Politik label” yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia — bukan sahaja pengundi Tionghua — yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan  bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.

Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang “dikitar semula”, malah merupakan “pemain utama” yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula “isu salam” calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) — tentu bersama Utusan Malaysia — yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN. 

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau  tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana “ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan”. Tambahnya, “BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu.” Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo  menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, ‘kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan “semak dan imbang”.

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , , , ,

Ketuanan Melayu dan hipokrasi Umno

Oleh : Ahmad Lutfi Othman    

Tsunami politik, Mac 2008, mengundang pelbagai tafsiran. Ada menyifatkan kecenderungan mengundi rakyat Malaysia sudah tidak lagi terkepung dan terkurung dengan sentimen perkauman. Isu-isu sepanjang kempen pilihan raya ke-12 itu menjangkau persoalan sejagat sehingga istilah “politik baru”, yang popular semasa pilihan raya umum 1999, kembali diperkatakan. Pengundi semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu penting dan kritikal, sekali gus memecahkan kepompong yang sengaja diwujudkan selama ini.

Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang. Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.

Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti ‘chauvinist Cina’. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN – membangkitkan emosi kaum demi survival BN. Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, “lagu lama” yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.

Terbaru, melihat “keterlanjuran” Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin. (Dalam teks asal dinyatakan, konsep “ketuanan Melayu” ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan). Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: “Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. …Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini.”

Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus. Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat “pengkhianat Melayu” yang sanggup “menjual” segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! … Ya, apa lagi istilah “jelik dan jijik” dan “sumpah-saranah” yang belum dihadapkan kepada Anwar?

BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi “mengajar BN”. Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai “pembaharuan” cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai “juara Melayu”.

Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri. Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.

Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu – yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka – mudah dicuit emosi hanya dengan “menggilap” kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.

Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap “konsep yang begitu dipolitikkan itu” akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.

Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?

Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya “perilaku negatif” sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka. Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?

Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: “Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. … Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.

Kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebihj besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan.”

Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu. Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.

Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: “Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta ‘terkunci kemas’ dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat … seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu.”

Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, kan?

Filed under: News, , , , , , , , ,

Keputusan pilihanraya kecil N45 Galas mengikut saluran

Rumusan

1. Kali ini, PAS hanya menang 8 daripada 26 saluran.  Selebihnya Umno-BN

2. Manakala undi orang asli kepada BN melebihi 1,000, satu angka yang agak besar menyebabkan BN menang dengan majoriti yang besar.

3. Jika dilihat pola undi cina, keputusan ini memberi isyarat bahawa undi cina bukan lagi “fixed deposit” kepada Pakatan Rakyat. Undi mereka mungkin beralih kepada BN semua sekiranya segala aspirasi mereka berjaya dipenuhi.

Result Galas 2010

Filed under: News, , , , , , ,

Keputusan pilihanraya kecil P185 Batu Sapi mengikut saluran

Rumusan

1. Sokongan pengundi melayu kepada BN amat tinggi, melebihi 80%, manakala sokongan pengundi cina amat rendah iaitu di bawah 50%

2. Sokongan pengundi melayu kepada SAPP lebih tinggi di DUN Sekong jika dibandingkan PKR. Ini mungkin disebabkan pengaruh bekas ADUN Sekong Datuk Nahalan Damsal yang baru menyertai SAPP selepas kalah pemilihan Ketua Cabang PKR Batu Sapi. Berbeza di DUN Karamunting, sokongan pengundi melayu kepada PKR lebih tinggi berbanding SAPP.

3. Jika diukur mengikut DUN, BN menang di kedua-dua DUN.

4. Keputusan 2010 dan 2008 tidak jauh bezanya jika dicampur undi PKR dan SAPP. Majoriti tinggi yang diperolehi disebabkan perpecahan undi PKR dan SAPP.

5. Kesimpulannya, disebalik kemiskinan yang menimpa pengundi melayu dan bumiputera Batu Sapi, mereka selesa untuk kekal setia bersama BN.

Result Prk Batu Sapi 2010

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , ,

Galas, Batu Sapi pengukur sokongan

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah bulan depan sekali lagi menjadi petunjuk aliran sokongan kepada parti politik

Sejak sokongan pengundi kaum Cina terhadap BN dilihat semakin merosot, maka dua pilihan raya kecil yang tidak diduga itu sekali lagi menjadi kayu pengukur yang penting.

Walaupun majoriti pengundi di kedua-dua kawasan itu terdiri daripada kaum Bumiputera namun 20 peratus pengundi di Galas dan 30 peratus di Batu Sapi adalah dari kaum Cina.

Orang dalaman parti menyifatkan kemerosotan sokongan kaum Cina telah menyebabkan kerusi DUN Galas, sebelum ini menjadi kubu kuat BN, jatuh ke tangan parti PAS.

Sehingga 70 peratus daripada 2,500 pengundi Cina di kawasan itu telah meimlih parti pembangkang itu pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, senario di kawasan Parlimen Batu Sapi adalah berbeza iaitu BN memperoleh 70 peratus undi kaum Bumiputera dan lebih 50 peratus undi dari masyarakat Cina pada 2008.

Dianggap sebagai kubu kuat BN, kawasan Batu Sapi mempunyai 60 peratus pengundi Bumiputera dan 38 peratus pengundi Cina.

Nampaknya BN akan mencapai kejayaan dengan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, menurut seorang dalaman BN.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas manakala wakil DUN Galas Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, meninggal dunia akibat barah pada 27 Sept lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi dengan menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

“Sabah adalah menarik bagi BN dan pembangkang kerana belum ada pilihan raya kecil diadakan di negeri itu sejak pilihan raya umum lalu,” kata penganalisis politik Khaw Veon Szu.

“Bagaimanapun, pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik bukan sahaja untuk menilai sokongan pengundi Cina tetapi juga kaum Bumiputera.

Pengundi Cina di Kelantan dan Terengganu adalah berbeza berbanding di Sabah atau Sarawak,” kata Khaw, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan.

Aliran pengundian dari kaum Cina lebih berpihak kepada pembangkang dalam kebanyakan PRK sebelum ini kecuali pada PRK Kuala Terengganu dan Bagan Pinang pada 2009.

“Adalah menarik untuk melihat sama ada keputusan keluar parti oleh beberapa pemimpin BN di Sandakan untuk menyertai parti komponen BN lain di negeri itu akan membawa sebarang kesan terhadap pengundi di Batu Sapi,” kata Khaw.

Sejak dua tahun lepas, beberapa pemimpin BN seperti Datuk Peter Pang En Yin telah keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menjadi wakil rakyat Bebas menyokong BN manakala Datuk Raymond Tan Shu Kiah keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menyertai Gerakan selepas SAPP tarik diri dari BN pada akhir 2008.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Pang, yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi diadakan serentak iaitu 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan 4 Nov ini sebagai hari mengundi.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash, berkata Batu Sapi dan Galas bukan merupakan platform baik untuk mengukur tahap sokongan secara keseluruhan kerana Galas merupakan kerusi penduduk Melayu di kawasan luar bandar manakala Batu Sapi mempunyai isu-isu tempatan tersendiri.

Bagaimanapun, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, berkata keputusan kedua-dua PRK itu masih menjadi petunjuk baik sentimen pengundi berikutan kedua-dua tempat itu merupakan kubu kuat BN.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata masalah utama di kedua-dua kawasan PRK itu bukan mengenai peluang BN tetapi bagaimana BN menangani punca sebenar kemerosotan sokongan kaum Cina.

“Mendapat kepercayaan pengundi di dua kerusi tersebut bukan merupakan masalah kepada BN jika mereka memilih calon yang sesuai dan popular tetapi isu sama ada strategi BN dapat menangani masalah itu,” katanya.

Menurutnya aliran sokongan pada 14 PRK sebelum ini jelas menunjukkan pengundi Cina bergerak ke arah pembangkang walaupun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan pusat tetapi masih mengundi pihak pembangkang.

Katanya perancang strategi BN perlu melihat lebih daripada pilihan raya kecil dan menumpukan kepada soal menyelesaikan masalah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau pula berkata BN tidak mempunyai pilihan kecuali mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi bagi mengelak terhakisnya tanggapan bahawa Sabah dan Sarawak adalah ‘simpanan tetap’ BN.

–Bernama

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories