Kalam Perantau

Icon

Pemilihan Presiden PAS: Hadi terus istiqamah, Ahmad Awang hendak kemana?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Muktamar PAS ke 61 pada 4-6hb Jun, 2015 ini tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semua perhatian kini tertumpu kepada pertandingan kerusi Presiden, Timbalan Presiden selain daripada Naib-Naib Presiden dan 18 orang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta ketua-ketua dewan.

Sepanjang era kepimpinan ulama pasca Muktamar 1982, inilah kali pertama jawatan Presiden PAS dicabar secara terbuka berbanding sebelum ini yang dilakukan secara peralihan yang agak sistematik. Malah Dato’ Asri sendiri pun berundur secara terhormat dengan melepas jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang disandangnya ketika itu setelah majoriti ahli-ahli tidak dapat lagi menerima kepimpinannya dalam PAS.

Kali terakhir penyandang jawatan Presiden (dulunya dipanggil Yang Dipertua Agong PAS) ditandingi adalah pada tahun 1960an. Menurut pengkaji sejarah, Dr Burhanuddin Al Helmy dicabar oleh Prof Zulkifli Muhammad pada Muktamar Agung PAS yang kelima pada tahun 1960-an. Keputusannya Dr Burhanuddin Helmi kekal menjadi Yang Dipertua, tetapi Prof Zulkifli Mohamad pula diangkat menjadi Timbalan Yang Dipertua.

abdulhadi5Setelah sekian lama pemilihan kepimpinan dalam PAS berjalan lancar terutama kepimpinan tertinggi, tiba-tiba pemilihan 2015 kali ini mencatat satu lagi sejarah baru dalam pemilihan PAS khususnya dalam Pemilihan Presiden PAS. Sebelum itu, tradisi jawatan Timbalan Presiden yang tidak ditandingi pun telah mula ditandingi sejak pemilihan 2003 bila jawatan tersebut dikosongkan oleh Abdul Hadi Awang yang disahkan menjadi Presiden setelah memangku selepas kematian mengejut Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Entah dimana silapnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang memimpin PAS sejak 2002, buat pertama kalinya Hadi akan ditentang sepanjang 13 tahun beliau memimpin parti itu oleh Ustaz Ahmad Awang seorang pesara kerajaan yang pernah menjadi pemimpin PAS sebelum ini tetapi tidak lagi aktif dalam politik tetiba muncul sebagai calon pencabar Presiden PAS pada pemilihan PAS 2015 kali ini.

Ahmad Awang yang pernah menjadi Presiden Persatuan Ulama SeMalaysia (PUM) mula aktif dalam PAS selepas berlaku era reformasi Anwar 1998 hingga pernah mendaki hirarki politik PAS dengan cepat bila dilantik Pesuruhjaya PAS Perak hingga pernah terpilih menjadi Naib Presiden dan Ahli Majlis Syura Ulama. Pernah bertanding dalam pilihanraya di Bagan Serai Perak, tetapi kalah.

Kalau melihat dari kacamata pemerhati politik, Ustaz Ahmad Awang secara individu sudah tidak bertenaga lagi dalam politik PAS bukan kerana umurnya berusia 79 tahun, tetapi beliau sudah tidak aktif lagi dalam politik PAS setelah tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti. Apa yang dilakukan oleh Ahmad Awang ketika ini mungkin sama dengan apa yang dilakukan oleh Sulaimen Palestin yang bertanding menentang Presiden UMNO dalam tahun 1970an dahulu.

Sulaiman Palestin ketika itu tahu dia sukar untuk mengalahkan Husein Onn yang bukan sahaja menjadi Presiden UMNO tetapi juga Perdana Menteri. Tetapi kenapa Sulaimen Palestin nekad bertanding menentang Husein Onn ketika itu. Tentu sahaja ada ‘tangan-tangan ghaib’ dan ‘grand design’ yang lebih besar disebalik pertandingan tersebut.
Terbukti kemudiannya, bila Sulaiman Palestin yang mendapat sekita 20% undi perwakilan, Timbalannya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mula menekan Husein Onn untuk bersara lebih awal dan meletakkan jawatan dengan alasan sakit.

Berbalik kepada pertandingan dalam pemilihan Presiden PAS kali ini, berdasarkan kepada jumlah pencalunan yang diperolehi kedua-dua calon (sebenarnya 3 calon, Dato Husam tarik diri hanya bertanding Naib Presiden sahaja), rata-rata pemerhati politik yakin sukar untuk Ustaz Ahmad Awang memenangi pertandingan tersebut.

Tetapi kenapakah Ustaz Ahmad Awang bertanding? Ini persoalan yang sedang cuba dirungkaikan oleh ahli PAS dan perwakilan dalam Muktamar ke61 pada 4 hingga 6 Jun, 2015 di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Disebalik apa yang berlaku dalam PAS sekarang ini, apakah tidak ada ‘grand design’ politik yang lebih besar?

Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya di sini. Tetapi memerhatikan kepada kenyataan Ahmad Awang dan beberapa pemimpin lain yang sealiran ‘fikrah’ politik dengannya, ramai yang berpendapat, kalau tidak ada ‘grand design’ masakan tempuan bersarang rendah.

Kata mereka, kalau betul-betul nak cabar Presiden PAS untuk digantikan, mestilah cari calon yang lain daripada pesara politik. Bagi mereka, cukup elok kalau Husam yang cabar Presiden dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden menetang Timbalan Presiden untuk membawa PAS ke satu era yang lain dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke14 nanti.

Dato’ Husam Musa yang mendapat pencalonan yang lebih baik dari Ahmad Awang dikatakan lebih bertenaga untuk mencabar Presiden sekarang kerana beliau bukan sahaja Naib Presiden tetapi yang lebih penting adalah Husam jauh lebih muda dari segi usia daripada Dato Seri Abdul Hadi.

Ahmad Awang mula terasa ada yang tidak kena dalam pemilihan kali ini bila DAP terus menyerang Abdul Hadi. Beliau mula bersuara yang disiarkan media, “Serangan demi serangan yang dihala kepada Ustaz Abdul Hadi Awang tidak akan memberikan kelebihan politik kepada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Hentikan serangan-serangan tersebut”.

Shuhaimi Almaniri
27hb Mei, 2015

Filed under: Recommended, , , , , , , , , , , , , ,

Kuasa siber dan revolusi Timur Tengah

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.
Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga. Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri  autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu — yang juga seorang blogger terkenal — seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet.

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan —  dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan — diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.
Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan  masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi “suam-suam kuku” penyokong Barisan Alternatif waktu itu!
Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan.

Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut.
Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan “saat-saat kematian” kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang “politikal”, ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat akan bangun membantah tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: “Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang.”

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. “Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.”

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin  Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 — seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 — tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman.

II.
Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan “Makcik Kedah”, dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya  di Bukit Besar. Pandangannya terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah.

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi — yang disifatkan rakyatnya sebagai “shopping plane” — sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: “Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!”

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: “Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?”

“Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan  bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah,” asaknya lagi.

“Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik,” saya memintasnya. “Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan …,” tambah saya, menunggu reaksinya. “Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja,” akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: “Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?” Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab — tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik,
bermusuh atau bersahabat dengan Israel — malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.
Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, ‘kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang “benar-benar baru” muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.

Filed under: News, , , , , , ,

Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu

Oleh : Idris Hj Ahmad 
 
Sah, pemimpin umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia.  Contohnya umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana. Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang  ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja  Melayu. Tindakan umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”. Sebenarnya  pemimpin umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin umno. 

  1. Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar dibuang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta. 
  2. Tahun 1974  Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato’ Seri Tajul Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya. Tiba-tiba Datuk Seri Tajul Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.( UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.
  3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Dato’ Rahim Bakar bekas Menteri besar Pahang yang berselisih dengan Sultan pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.
  4. 1983  Umno hendak meminda supaya kuasa DYMM Yang Di Pertua Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.
  5. Pada  tahun 1991 dalam  Persidangan Agung Umno,  Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan. 
  6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta  harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?
  7. Satu demontrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya.?
  8. Pada 18hb Jan 1993 Pindaan Perlembagaan Persekutuan  yang membolehkan raja di bawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)
  9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam raja-raja Melayu.
  10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993  atau tindakan rakyat  tidak menunjukkan hormat pada sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993.  (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.
  11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti  Sutan Ismail Putera 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato’ Annuar Musa . Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya?  Budaya mana pemimpin umno ambil 
  12. Kenyataan biadab  Shahidan Kasim bekas MB Perlis mengatakan “ Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11hb Jun 1993)
  13. Dato’ Muhamad Taib kata Nizar derhaka, Dia lupakah yang dia  bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?. 
  14.  23 daripada 24 ADUN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Dato’ Ahmad Said  selepas pilihanraya 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu.  Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan. Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang. Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar 6hb Feb 2009. 
  15. Shahidan Kasim  boikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai MB Perlis, bukankah ini derhaka namanya. 
  16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu. 
  17. Dato’ Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Ketua Pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campurtangan soal pelantikan raja-raja melayu.
    Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dnegan Raja-Raja melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993 
  18. Berita harian 23/1/1993  mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara  ini. Jawabnya tentulah pemimpin Umno . Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.

Filed under: News, , , , , ,

Najib gelabah rakyat bangkit

Oleh : Idris Ahmad    

PAS nampak Datuk Seri Najib Tun Razak gelabah dan resah menghadapi gelombang kebangkitan rakyat. Serangan demi serangan kepada Pakatan Rakyat melalui media perdana dan meminta rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13.

Beliau cuba hendak mengajak rakyat supaya membutakan mata supaya jangan melihat kebaikan yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat yang memerintah selama  dua tahun lapan bulan cukup teruji dan terbukti kamampuanya berbanding dengan BN yang memerintah selama 53 tahun.

Ditambah pula kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN di bawah kepimpinan Najib memerlukan masa untuk  mendapat sokongan majoriti kerana masih  ada lagi rakyat yang belum berpuas hati  terhadap BN.

Rakyat mula membuat perbandingan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang tidak mempunyai hasil yang banyak tetapi mampu membuat kebajikan kepada rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah dan sebagainya.

Rakyat sudah membayangkan jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat dengan hasil yang begitu melimpah ruah, maka banyak lagi kesenangan rakyat akan diperolehi.

Rakyat mula memikirkan apa yang mereka dapat di negeri BN yang memerintah. Sebaliknya rakyat hanya dapat kenaikan harga barang, petrol, gas dan akan datang pula kenaikan tarif elektrik.

Taktik serangan terhadap Pakatan Rakyat untuk melindungi masalah dalaman BN yang begitu parah. Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 gagal mencapai hajat penyatuan di kalangan mereka sebaliknya berakhir dengan perang mulut antara Umno dan MCA mengenai isu ketuanan Melayu.

Slogan 1Malaysia nampaknya tidak berapa menjadi untuk menjadi umpan kepada pengundi bukan Melayu untuk bersama dengan BN, maka jalan keluarnya ialah dengan menyerang Pakatan Rakyat.

Hari ini Datuk Seri Najib mendakwa siapa yang mengatakan Felda bankrap pengkhianat bangsa. Apabila peneroka sudah mempunyai kekuatan dan celik maklumat hasil daripada perjuangan PAS yang menubuhkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) untuk generasi kedua, maka banyak tembelang Umno BN sudah terbongkar.

Barisan Nasional tidak boleh menipu generasi kedua peneroka kerana mereka adalah generasi yang bermaklumat dan terpelajar. Sekarang mereka bangkit menuntut hak mereka, selama ini bapa mereka diperah seperti kilang sawit memerah buah sawit, yang peneroka dapat hanya hampas ini yang menjadi kemarahan Datuk  Seri Najib.

Golongan Dakwa Felda Bankrap Pengkhianat Bangsa – Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap, sebagai pengkhianat bangsa, kerana sanggup menghina institusi itu yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan Felda sebenarnya merupakan sebuah institusi yang berjaya dan telah mengubah lanskap sosio-ekonomi negara selain mempunyai simpanan tunai yang banyak.

“Dua tiga hari lepas, saya bermesyuarat dengan pengurusan Felda, saya tengok akaun Felda. Kalau semua saham milik Felda yang tersenarai dalam Bursa Malaysia hari ini, kita cairkan, keuntungan atau pendapatan yang boleh Felda peroleh adalah sebanyak RM4.3 bilion.

“Siapa kata Felda bankrap…mana ada? Pengurusan Felda kata, jangan sebut tetapi banyak wang tunai kita ada dalam simpanan…(dan) selamat,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di sini, Ahad.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Najib berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap sebenarnya telah membuat pembohongan kedua terbesar selepas kononnya akan mengambilalih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada 16 Sept 2008.

Sebab itu, Perdana Menteri berkata adalah wajib bagi rakyat termasuk warga Felda untuk mempertahankan kerajaan sedia ada di Putrajaya.

Sambil menyifatkan golongan berkenaan tidak berhati perut kerana sanggup menghina dan mencemar imej Felda, Najib berkata pihak terbabit kini takut “menyerang” Felda kerana kebenaran telah terbukti bahawa apa yang mereka dakwa tidak betul.

“Sebab itu orang yang dakwa Felda bankrap hari ini dah ketaq (ketar) lutut. Kita dah menang dua kes (saman) di mahkamah dan empat lagi kes sedang tunggu.

“Kita berada di pihak yang benar. Hari ini mereka tidak berani berkokok lagi. Kita cabar, kalau mereka berkokok, kita saman,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata dengan peluang dan rancangan jangka panjang yang dilaksanakan Felda di 317 tanah rancangannya di seluruh negara, telah membawa banyak perubahan atau transformasi kepada komuniti Felda itu sendiri.

Sebagai contoh, beliau berkata seramai 36 anak peneroka Felda yang diberi peluang untuk mendapat kelulusan dalam jurusan “License Aircraft Maintenance” (penyelenggaraan pesawat berlesen) akan menjadi kumpulan pertama, diiktiraf sebagai jurutera dalam bidang tersebut tahun depan.

Justeru, beliau berkata tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa komuniti Felda kini merupakan contoh masyarakat luar bandar yang berjaya di negara ini.

Beliau juga berkata antara kejayaan paling berkesan oleh Felda di peringkat global ialah dalam membanteras masalah kemiskinan.

“Ini semua adalah bukti bahawa perjuangan kita merupakan perjuangan yang dapat membawa manfaat kepada komuniti Felda. Saya dimaklumkan dua juta rakyat mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung dengan kejayaan Felda,” katanya.

Malah, beliau berkata kejayaan dan perubahan itu bukan sahaja dinikmati masyarakat Felda tetapi komuniti di sekeliling tanah rancangan institusi berkenaan.

“Ini bererti bahawa kejayaan Felda bukan untuk komuniti Felda sahaja tetapi untuk seluruh negara. Sebab itu Felda perlu kita pertahankan daripada diserang oleh sesiapa yang berniat buruk dan tiada hati perut,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kejayaan yang dicapai oleh Felda, warga institusi itu boleh menjadi komuniti yang akan mencapai masyarakat berpendapatan tinggi lebih awal daripada rakyat lain di negara ini, iaitu sebelum 2020.

Bagi menghargai peranan peneroka Felda, Najib mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan lima program di tanah rancangan tersebut, yang masing-masing membabitkan peruntukan RM1 juta.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu melibatkan Program Memerangi Dadah dan Gejala Sosial; Program Pembangunan Belia, Kebudayaan dan Sukan; Program Komuniti Berpagar; Pengurusan Majlis Belia Felda Kebangsaan, Wilayah dan Rancangan serta Program Sahsiah Komuniti Belia.

Beliau turut mengumumkan bahawa Felda bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembinaan gelanggang futsal terbuka di tanah-tanah rancangannya.

Najib berkata kos pembinaan gelanggang tersebut yang melibatkan RM100,000 sebuah, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2012. – BERNAMA

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Menjelang PRU-13, Bagaimana lanskap politik kalau Anwar-Ku Li bergabung?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.

Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Pehin Sri Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).     

Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan), 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.

Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk  Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.

Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang. 

Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).

Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.

Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah  lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.

Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar – kiri ) atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap “Mr. Clean” menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenangan yang terlalu besar dalam sejarah politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.

Jika tahun 1990 ekoran keterlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.

Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?

PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.

Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar

Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun ke-12 tahun 2008.

Ibrahim Ali  (gambar – kanan) memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi

Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya  kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).

Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang wang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.        

Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?     

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Najib dan Hishamudin tolong jangan kembali ke era Tun Razak dan Hussein

Oleh Subky Latif   

DUNIA media cetak di Malaysia selepas merdeka sememangnya dirundung suasana seperti gerhana matahari.
Jika sebelum era Dr. Mahathir, di era Tun Razak dan Tun Hussein Onn, siangnya seperti gerhana matahari penuh dan malamnya seperti tidak berbulan. Itulah yang dinamakan gelap. Zaman mereka adalah  zaman gelap bagi media cetak.
Tetapi di zaman Dr. Mahathir ada sedikit cahaya. Cahaya itu seperti dunia menghadapi tiga suku gerhana matahari. Ia tidak gelap  gulita, tetapi lebih teruk dari mendung.

Ketika UMNO mula berkuasa di zaman Tunku, cahaya media belum tercemar. Bukan saja UMNO ada lidah rasminya, Malaya Merdeka, Parti Negara dan Partai Rakyat bebas memiliki akhbar.

Dato Onn menerbitkan mingguan untuk Parti Negara bernama Kritik. Dato Onn tidak disyaratkan oleh kerajaan meletakkan di muka depan akhbarnya penjelasan seperti Untuk Ahli Parti Negara Saja. Mingguan Partai Rakyat yang dikelolakan oleh Ahmad Boestamam tidak disyaratkan meletakkan Untuk Ahli Partai Rakyat Saja.

Malah sebelum merdeka kerajaan penjajah Inggeris tidak menyaratkan kepada Malaya Merdeka mencetak Untuk Ahli UMNO Saja.

British tidak mensyaratkan kepada Tunku supaya Malaya Merdeka dijual di pejabat UMNO saja  dan Dato Onn tidak diperintah menjual Kritik di pejabat Parti Negara saja. Ia boleh dijual di mana-mana di pasaran terbuka.

Malaya Merdeka terkubur kerana tidak laku. Kritik terkubur kerana Dato Onn dan Parti Negara mati. Lidah Rasmi Partai Rakyat jadi mendiang kerana parti itu tidak cukup dana.

Di hujung era Tunku dan sepanjang era Tun Razak dan Hussein dunia media cetak bukan saja malap tetapi gelap. Parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan. Apa yang dibuat oleh pembangkang ialah penerbitan haram. Berkeliaran polis memburunya.

Datang ke era Dr. Mahathir dengan dia sendiri menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan  dibenarkannya PAS menerbitkan Harakah tetapi disyaratkan sebagai penerbitan dalaman, tidak boleh dijual kepada orang ramai – untuk ahli saja.

PAS tidak pernah minta permit terhad tetapi yang Mahathir beri permit terhad.

Harakah diedarkan oleh ahli-ahlinya. Tetapi kerana ia mendatangkan rezeki kepada pengedar, ramailah pengedar akhbar mengambil terus dari pejabat Harakah.

Tetapi polis yang dulunya dipanggil mata-mata gelap betul-betul menjadi mata-mata  gelap mengacau pengedar-pengedar akhbar. Mata-mata gelap itu tidak pula terus menerus mengacau. Ikut angin dan mood UMNO.

Apa yang berlaku itu adalah gambar demokrasi Mahathir. Dia buli Harakah seperti kucing tangkap tikus. Kucing tidak terus makan tikus yang ditangkapnya. Tetapi dikepungnya hingga tikus itu tidak bertenaga.

Dr. Mahathir dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran tetapi dibenarkannya pula Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Walaupun Harakah mengamalkan demokrasi, mengkritik politik Dr. Mahathir, UMNO dan kerajaan BN, dia sekadar beri amaran tetapi pula menghalang KDN mengeluarkan permit baru apabila lama tamat.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri, kerja pertama yang dibuatnya ialah menyekat permit dua kali seminggu yang dibenarkan oleh Dr. Mahathir kepada dua kali sebulan,

Dari tak ada langsung seperti di zaman Tun Razak dan Tun Hussein, dua kali sebelum adalah lebih baik dari zaman sebelum Dr. Mahathir. Walau pun  tak dapat semua, jangan tak dapat semua.

Tetapi di pertengahan era Pak Lah yang singkat itu dibenarkannya pula Harakah terbit semula dua kali seminggu dan dikeluarkannya pula permit untuk Roket untuk DAP dan Keadilan untuk PKR.

Seminggu sebelum Pak Lah ‘dipaksa’ bersara dia cuba bawa balik alam media cetak era Tun Razak dan Tun Hussein yang gelap dulu. Disekatnya permit Harakah. Tetapi apabila Najib mengambil alih kuasa dibatalkannya perintah Pak Lah itu.

Cuma selepas KDN diserahkan kepada Dato Seri Hishamuddin, dilambatkannya pengeluaran permit baru Harakah hingga ia tidak dapat diterbitkan seminggu dan Roket serta Keadilan digantung permitnya.

Perdana Menteri Najib adalah anak Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato Hishamuddin adalah anak Tun Hussein. Keduanya seolah-olah sepakat mahu kembali ke era gelap ayah mereka dulu.

Dengan perubahan masa, anak Felda saja sudah 200 ada PhD, dunia media bertambah maju, zaman ini bukan seperti 30 tahun, orang sudah tidak sekuno dulu, biarlah keduanya tidak jadi sekolot ayah mereka.

Datuk Seri Hisham patut ingat apa yang datoknya, Dato Onn bebas menerbitkan akhbar partinya, tidak pernah disekat oleh kerajaan masa itu. Yang Dato Onn buat dulu kira-kira sama dengan PAS, PKR dan DAP buat sekarang. Dato Onn tidak dihalang mengapa cucu Dato Onn dan anak Tun Razak cuba buat apa yang orang dulu tidak buat terhadap Dato Onn.

Najib dan Hisham jangan ulang kelemahan ayah masing-masing!

Filed under: harakahdaily, , , , , , , , ,

UMNO, MCA atau DAP mana yang ikhlas?

KOTA BHARU 11 Ogos – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  menolak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan kerjasama Pas dan DAP bukan satu perkongsian yang ikhlas.
Beliau sebaliknya mempersoalkan sejauh mana keikhlasan hubungan antara UMNO dan MCA.

“Yang UMNO dengan MCA itu ikhlaskah? Pas bila baik dengan UMNO, UMNO mamah Pas, dia telan Pas, jadi nak buat apa lagi,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu dalam blog http://chedet.co.cc.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Pas itu bukanlah satu perkongsian yang ikhlas sebaliknya parti itu hanya ingin mendapatkan sokongan dan undi kaum Cina semata-mata.

Dr. Mahathir dalam blognya itu turut menyifatkan tindakan Pas bersekongkol dengan DAP sebagai contoh jelas hipokrasi masih menebal dalam politik di negara ini.

Sementara itu, ditanya sama ada Pas akan mengurangkan kempen politiknya sepanjang bulan Ramadan ini, Nik Abdul Aziz berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin dan aktivis parti.

Katanya, Pas adalah sebuah parti berdaftar dan bebas membuat kegiatannya pada bila-bila masa.

“Kaedah kempen itu atas masing-masing, saya dalam ceramah saya jarang sebut parti, kecuali dalam majlis parti sendiri. Program lainnya saya tekankan Islam, ekonomi cara Islam, akidah cara Islam, sosial cara Islam.

“Politik dalam Islam adalah sedaging. Islam tidak boleh bergerak tanpa berpolitik dan politik pula mesti turut Islam, amalan politik Islam lebih demokratik daripada sistem demokrasi yang ada,” katanya.

Filed under: News, , , , , ,

“Kalimah Allah”-Utamakan Keharmonian

Wan Nik Wan Yussof  – Harakahdaily 

Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu adalah antara isu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu, selepas tercetusnya kontroversi isu penggunaan kalimah Allah kepada “the herald” milik gereja Kristian, maka keputusan mahkamah tinggi itu dianggap tidak tepat dalam konteks keharmonian beragama di Malaysia. 

Sehubungan itu pelbagai pihak kalangan pemimpin dan umat Islam telah memberi pandangan, malah sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak yang bersifat anti-harmoni, telah melancarkan “serangan” ke rumah gereja.

Bagi menelusuri perkembangan kontroversi isu kalimah Allah ini, penulis ini cuba mempamerkan semula beberapa rentetan peristiwa yang bersejarah ini. Antaranya adalah kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dilapor dalam mstar.com (5 Januari 2010) berkata bahawa PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama,” kata Hadi.

Mantan Perdana Menteri yang juga pengasas dasar Islamisasi, Dr. Mahathir pula di dalam blognya (5 Januari 2010) menulis, sebenarnya kalimah “Allah” tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah. Nama bagi Tuhan dalam bahasa Yahudi ialah “Yahweh”, yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai “Jehovah”.

”Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.

”Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada “Allah” supaya mudah difaham oleh pendengar.

”Mungkin juga kalimah “Allah” dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan “Tuhan” digunakan untuk God.

”Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep “Trinity” yang mana terdapat “God the Father, God the Son and the Holy Ghost“.

Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan “Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci“, maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam.

Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.

”Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, “God is dead“. Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn “Allah is dead“?

”Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?

”Saya harap pihak Kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada 9 Januari melahirkan kebimbangan dengan kejadian pengeboman tiga buah gereja di sekitar Lembah Klang.

Kebimbangan itu diluahkan berikutan kemungkinan ia berpunca daripada permainan ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar. 

Mungkin permainan itu, boleh disamakan dengan peristiwa tahun 1987 yang bermula dari pertembungan antara Perdana Menteri sekarang yang waktu itu selaku Ketua Pemuda UMNO dan pemimpin MCA yang diketuai Datuk Lee Kim Sai.

Akhirnya mencetuskan kemarahan antara satu sama lain di kalangan orang-orang Melayu dan Cina, tetapi yang menjadi mangsa ialah pemimpin pembangkang yang dikambinghitamkan sehingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui Operasi Lalang.

Sedangkan permainan itu dimulakan oleh Mohd Najib dan Lee diberi cuti rehat ke Australia dan UMNO berjaya meraih kembali sokongan orang-orang Melayu dan MCA pula mendapat kembali sokongan orang-orang Cina.

Sebelum itu, pada 4 Januari Mahfoz juga melihat isu kalimah Allah adalah sengaja dirancang bagi mengalih perhatian orang ramai daripada membincangkan isu kecurian enjin jet milik TUDM yang bernilai RM100 juta dan kes skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berjumlah RM12.5 bilion. 

Walau apapun, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS (7 Januari 2010) turut mengingatkan bahawa realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam. 

Sementara di dalam al-Quran sendiri turut menjelaskan hakikat penerima ketuhanan “Allah” dikalangan orang bukan Islam, maka sewajarnya umat Islam memehaminya. Namun, penggunaan kalimah Allah haruslah difahami dalam konteks maknanya yang tepat dan tidak memahaminya dalam maksud yang boleh menyentuh perasaan umat Islam.

Justeru itu, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali.

Namun, isu kalimah Allah yang masih dalam pertimbangan mahkamah kerana ada rayuan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan ketika umat Islam sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah selepas solat Jumaat di sekitar Kuala Lumpur, tiba-tiba negara dikejutkan dengan tindakan liar pihak tertentu yang menyerang tiga gereja Kristian – Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara. 

Tindakan liar dan tidak beragama itu telah mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada para pimpinan poitik. Ia turut disusuli dengan kenyataan harmoni kepimpinan Pakatan Rakyat yang sedia mengeluarkan kenyataan akhbar bersama (8 Januari 2010) oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR; LimGuan Eng, Setiausaha Agung DAP; Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Antara lain kenyataan itu berbunyi;

(Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan. 

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.)

Selanjutnya pihak PAS secara sedar menyifatkan isu agama adalah terlalu sensitif dan tindakan liar semacam menzalimi kebebasan beragama di negara ini patut dielakkan.

Lalu kenyataan Presiden PAS pada 9 Januari sekali lagi melahirkan kekesalan berhubung isu serangan ke atas beberapa buah gereja yang belaku kelmarin.

Lebih menyedihkan jika perkara tersebut dilakukan orang Islam sendiri. Ini kerana, Islam sentiasa menghormati penganut agama lain termasuk rumah-rumah ibadat mereka walaupun dalam keadaan peperangan.

Dalam peperangan sekalipun gereja perlu dipelihara. 

Presiden PAS turut menyatakan sikap terbuka PAS dalam soal ini termasuklah bersedia berdialog dan menghadiri majlis-majlis memberi kefahaman kepada rakyat.

Sesungguhnya sikap terbuka dan toleransi serta semangat keharmonian itu merupakan sikap asli PAS terhadap masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama. Justeru itu, tradisi dan komitmen PAS adalah mengamalkan kemasyarakatan Islam yang mementing kahrmonian hidup berteraskan agama.

Dalam hal ini, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS selaku Menteri Besar Kelantan (9 Januari 2010) turut menegaskan betapa tindakan liar membakar mahupun menyerang rumah ibadat penganut bukan Islam seperti gereja Kristian adalah berlawanan dengan ajaran Islam.

Apa yang penting, Semua kaum patut menghormati orang lain dan mematuhi ajaran agama masing-masing. Kalau kita buat jahat, dosanya akan kita tanggung di akhirat,”

Menurutnya, punca kejadian serangan membakar gereja adalah kerana telah hilangnya sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini. Kesan hilangnya sensitiviti itu telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

”Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar, kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

”Selain itu, disebabkan hilangnya sensitiviti tersebut telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku, telah berlaku dalam negara kita.

”Sebab itulah berlakunya ada menteri yang rasuah, orang kampung yang rasuah, parti-parti pun rasuah. Hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja. Mana boleh jual kalau tidak ada rasuah.

Meskipun demikian, rentetan peristiwa kontroversi penggunaan kalimah Allah pasti ada hikmah kepada masyarakat Malaysia.

Para pemimpin negara, bukan setakat pimpinan politik Pakatan Rakyat malah Perdana Menteri turut prihatin sehinggalah ke peringkat Yang Dipertuan Agong terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mengharmonikan suasana yang hampir tegang. 

Walaupun begitu, perhatian utama banyak pihak dalam perkembangan isu kalimah Allah ini ialah kepada reaksi pemimpin PAS. Ini kerana PAS sebelum ini digambarkan sebagai parti yang keras dan tiada diplomasi dalam isu-isu melibatkan hubungan antara agama.

Sekarang terbukti, daripada kenyataan awal Prersiden PAS, diikuti dengan kenyataan rasmi PAS (selepas mesyuarat khas lajnah politik pada 4 Januari) dan kenyataan Mursyidul Am PAS serta disusuli dengan tindakan fizikal para pemimpin kanan parti (Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan lain-lain – 8 Januari) turun meninjau dan mengadakan ziarah mesra PAS ke Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati, Setapak. 

Oleh kerana itu, PAS kini dilihat mesra antara agama dan selayaknya PAS yang kini sudah 20 tahun mencipta pentadbiran cemerlang di bawah Mursyidul Am PAS di Kelantan telah membuktikan perjuangan PAS untuk semua. 

Lantaran itu, kesan perkembangan isu kalimah Allah, politik rakyat belum tentu akan menabalkan Barisan Nasional sebagai ”juara rakyat” kerana PAS dan Pakatan Rakyat turut menyumbang keharmonian yang sedia bersama rakyat berbagai kaum, budaya dan agama. 

Maka, layaknya (pada 8 Januari) Hock Teck Leong selaku Ketua Paderi Gereja Metro Tarbenacle, memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.  

Sekadar rekod, kejayaan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar mentadbir Kelantan terbukti dengan berlakunya hubungan harmoni antara agama dan kaum apabila masing-masing agama mendapat kebebasan yang setara menjalan ibadat dan membina rumah ibadat.

Meskipun Kelantan dikenali sebagai negeri yang hanya 5 peratus daripada 1.4 juta penduduk yang bukan Islam.

Namun, sehingga kini Negeri Kelantan memiliki 15 gereja Kristian, di samping lebih 100 buah to’kong dan wat serta kuil.

Berikutan daripada itu, dialog antara agama, perjumpaan sami, padri dan pemimpin agama sentiasa berlangsung di Kelantan.

Misalnya penghujung bulan Januari ini, pihak Majlis Paderi Kristian Malaysia berminat berhimpun di Kelantan dan satu agenda penting majlis itu ialah mengadakan dialog dengan Tuan Guru Menteri Besar. 

Langkah majlis itu amat dialu-alukan demi memastikan perkembangan dan keharmonian hidup rakyat di sebuah negeri yang ditadbir dengan agama dapat dikongsi bersama dan mudah-mudahan bakal membawa rahmat kepada semua pihak.

Semuga Tuhan Yang Esa memberi hidayah dan petunjuk cahaya keimanan kepada semua pihak yang layak menerimanya.

Wassalam.

Wan Nik Wan Yussof merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan

Filed under: News, , , , , , , ,

Demo: Bukan soal berapa lama, tetapi bagaimana? – Aziz Bari

Demonstrasi oleh para penyokong UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan dan Pulau Pinang minggu lalu saya fikir menarik untuk dibicarakan. Dari sudut perlembagaan ada beberapa sisi yang boleh diperkatakan. Yang pertama ialah soal hak bercakap dan berkumpul secara aman yang dijamin oleh Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Semua warganegara berhak untuk berbuat demikian.

Tetapi dalam konteks negara ini perlembagaan membuat peruntukan yang membolehkan Parlimen membuat undang-undang untuk membatas atau menyekat hak-hak tersebut. Atas asas inilah kita ada peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengawal selia, termasuk tidak membenarkan perhimpunan awam.
Dalam kedua-dua insiden itu pasukan polis dikecam kerana mengambil sikap tidak kisah; yang jelas berbeza dengan garang yang mereka tunjukkan dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Kecaman itu, pada saya, wajar dan patut diizinkan dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Umumnya saya berpendapat bahawa Perlembagaan dan undang-undang perlu selaras dengan demokrasi dan atas dasar ini saya fikir polis masih belum begitu berjaya meyakinkan rakyat tentang integriti dan keadilan mereka. Bandingkan sahaja cara polis bertindak memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti berucap di Johor beberapa minggu yang lalu.

Sisi lain yang saya hendak sentuh ialah perkara yang hendak ditangani oleh kedua-dua demonstrasi itu. Di Pulau Pinang para penyokong Barisan mendakwa bahawa mereka turun ke jalan kerana Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal melaksanakan janji-janji mereka. Di Kelantan pula para penyokong UMNO itu mahu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Dari sudut Perlembagaan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk meminta Lim Guan Eng atau Nik Aziz meletakkan jawatan. Cara yang disediakan oleh Perlembagaan ialah melalui undi tidak percaya di dalam dewan. Dengan kata lain kalau UMNO benar-benar komited dengan Perlembagaan dan mempunyai sokongan yang diperlukan mereka perlu menggunakan cara itu. Menjerit-jerit dan membakar gambar di jalan raya bukan caranya.

Saya fikir polis boleh memaksa penyokong Barisan bersurai kerana dalam Perlembagaan jelas ada cara yang lebih betul untuk melaksanakan kehendak mereka. Sebab itu saya katakan di atas tadi polis gagal melaksanakan tugas mereka. Apalagi setelah mereka menafikan hak Anwar untuk berucap di Johor itu. Apakah di Pulau Pinang dan Kelantan tidak timbul soal kesesakan lalu lintas atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yang mereka jadikan alasan di Johor dan beberapa demonstrasi Pakatan yang lain?

Selain itu saya tidak fikir penyokong Barisan di Pulau Pinang itu mengundi parti-parti Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Jadi apa hak mereka untuk mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Lim Guan Eng gagal mengotakan janjinya. Saya fikir yang lebih layak untuk menuntut itu semua ialah mereka yang mengundi Pakatan.
Isu-isu di atas sememangnya komplikated dan sepatutnya diselesaikan oleh mahkamah. Tetapi dalam keadaan yang ada sekarang tidak banyak yang boleh kita harapkan dari hakim-hakim kita. Malah sekitar 15 tahun yang lalu seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak di bawah Perlembagaan itu boleh disekat oleh apa sahaja undang-undang yang dibuat oleh Parlimen! Hakim ini jelas tidak faham Perlembagaan; khususnya prinsip ketertinggian Perlembagaan dan peranan polis dalam negara demokrasi.

Hak bersuara dan berbeza pendapat ini memang mengelirukan jika kita tidak faham kerangka Perlembagaan. Ini pernah ditimbulkan oleh mereka yang menyokong gelagat Datuk Dr Hassan Ali di Selangor. Saya katakan pada mereka yang Hassan tidak boleh menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) kerana beliau adalah anggota pentadbiran. Ada peruntukan lain yang mengatasi peruntukan umum itu; yakni Perkara 43(3) yang menuntut beliau patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota Kabinet. Kalau Hassan hendak menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) tadi maka perlulah beliau meletakkan jawatan Exconya.

Tentang Nik Aziz pula media UMNO begitu gemar menyebut betapa beliau terlalu lama memegang jawatan. Soalnya apakah tempoh yang baru masuk tahun ke 20 itu lebih lama dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun? Atau Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menduduki kerusi menteri besar di Terengganu sebelum tersungkur dalam Pilihan Raya Umum 1999. Di Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memegang jawatan Ketua Menteri selama 28 tahun.

Pada faham saya apa yang penting, kalau kita melihat isu ini dari sudut Perlembagaan dan demokrasi ialah cara bagaimana seseorang itu mendapat dan memegang jawatan. Bukan soal berapa lama seseorang itu memegang jawatan berkenaan. Minggu lalu, di Singapura, seorang bekas wartawan membuat dakwaan yang mengejutkan tentang jumlah wang yang lesap dalam tempoh 1981-2003. Sehingga ini orang yang selalunya cukup pantas membuat reaksi itu masih menikus. Kita juga sering mendengar betapa tempoh itu dikaitkan dengan pengembirian begitu banyak institusi awam dan pelanggaran hak asasi di negara ini. Bagi mereka yang prihatin dengan demokrasi tempoh 22 tahun itu dilihat sinonim dengan zaman gelap.

Pada saya itu menunjukkan bahawa apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu jawatan itu dimenangi dan bagaimana kuasa yang dikaitkan dengan jawatan itu digunakan. Bukan soal berapa lama. Kita boleh pegang jawatan itu selama yang mungkin asalkan caranya demokratik. Tetapi memanglah bahawa logiknya sukar untuk mengekalkan jawatan kerana cabarannya banyak dan kuat pula. Sebab itu bekas Perdana Menteri Britain Harold Wilson (1964-1970 dan 1974-1976) pernah berkata bahawa seminggu dalam politik sudah cukup lama. Pengucapan itu tentunya perlu dilihat dalam konteks demokrasi mereka yang begitu terbuka, telus dan tidak ada cara untuk membawa lari tiang gol seperti di sini!

Presiden Amerika Syarikat, Frank D Roosevelt memegang jawatan itu selama empat penggal (1933-1945). Tetapi zaman kepresidenannya ditandai oleh sokongan dan pengaruh yang kuat. Beliau berada di situ atas dasar demokrasi yang kalau dibandingkan dengan Malaysia atau negara-negara primitif lain jauh bezanya. Memang selepas beliau Perlembagaan Amerika Syarikat dipinda dan seorang hanya boleh memegang jawatan presiden selema dua penggal berturut-turut. Tetapi itu dilakukan secara terbuka dan demokratik. Dengan kata lain itu adalah kehendak rakyat.
Para penyokong Barisan yang turut ke jalanan itu sepatutnya ingat hakikat itu. Mereka perlu buktikan bahawa Lim Guan Eng dan Nik Aziz sudah kehilangan sokongan. Tetapi ia perlu dilakukan di dalam dewan. Bukan di luar. Ketua Polis Kelantan dan Pulau Pinang pun kena tahu hakikat ini. Undang-undang ini terpakai kepada kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan. S/H

*Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Sudah 20 tahun Tok Guru jadi menteri besar

Oleh : Subky Abdul Latif

Sudah 20 tahun Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar Kelantan. Satu  tempoh yang dikira panjang tetapi bukanlah yang terpanjang bagi sejarah Malaysia yang merdeka. Malah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, juga seorang lulusan Universiti al-Azhar Mesir, lebih lama daripadanya semasa menjadi menteri besar Terengganu dulu – daripada tahun 1974 hingga tahun 1999 – 25 tahun.

Negara pernah merasa puas, maksudnya temu, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu lama menjadi perdana menteri iaitu 22 tahun. Dia kalah dengan Suharto yang menjadi presiden Indonesia selama 32 tahun. Tidak pernah ada yang membandingkannya dengan Lee Kuan Yew yang juga lama menjadi perdana menteri Singapura. Orang pun tidak ingat berapa lama.

Tetapi orang tidak sedar rupanya Tok Guru Nik Aziz sudah jadi menteri besar selama 20 tahun. Kalau usianya ada lagi dan masih boleh memberi fikiran, dua tahun lagi akan samalah tempoh pentadbirannya dengan Mahathir.
Cuma setakat ini, tiada siapa mahu memikirkan beliau boleh menyamai tempoh pentadbiran Wan Mokhtar.
Orang hanya memberinya tiga bulan saja untuk mentadbir Kelantan. Tiada pengalaman menteri tadbir, tidak pernah tok guru berserban dalam sejarah Melayu menjadi menteri besar dan Kelantan itu negeri miskin pula. Dengan ketiadaan duit itu, beliau dan partinya diberi tiga bulan saja.

Lepas tiga bulan diberi tiga bulan lagi. Lepas itu tiga tahun pula. Dan akhirnya melewati tiga kali pilihan raya. Dan sesudah 20 tahun, tiada yang berani bercakap untuk dapat menewaskannya, malah menggantikan partinya, PAS bagi mentadbir Kelantan pun tidak berani difikirkan.

Bukan kita hendak berlumba siapa lebih lama memerintah, tetapi yang jemu dan bersungut tentang tempoh pentadbiran Tok Guru yang sudah dikira lama itu. Dengan hidupnya amat sederhana, tiada membuat harta dan tiada mengambil kesempatan dengan kuasa dan kedudukannya, beliau menjadi ketua kerajaan yang amat disenangi.
Dengan sumber khazanah yang terhad, sebagai negeri termiskin, bantuan kerajaan pusat pula bagai dicatu dan tidak mengikut jadual pula, serta kepungan ekonomi pusat, tidak pula negeri itu terhalang dari menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya. Cuma ia tidak dapat menambah makmurkan negeri dan rakyatnya disebabkan oleh kekangan kewangan, tetapi negeri itu lumpuh dan tidak muflis.

Ia tidak menambah hutang kerajaan negeri seperti 11 tahun di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelumnya, tetapi ia tidak pernah gagal ansuran bayaran hutang kepada kerajaan pusat.

Dengan 20 tahun pentadbirannya itu, ia memecahkan sangkaan ulama tidak boleh memerintah, ia mengubah persepsi pandangan masyarakat bukan Islam kepada Islam dan partinya yang sebelumnya disangka hanya untuk memenuhi kepentingan dan keperluan Islam dan Melayu saja. Tetapi ia boleh menjadi contoh memberi perlindungan kepada semua pihak.

Akhir-akhir ini ia tidak sekadar memberi kebajikan kepada yang hidup, yang mati, Muslim dan bukan Muslim ada skim bantuan kematian kepada waris dalam urusan kematian.

Mungkin boleh dikata, ada orang bersungut apabila seseorang itu terlalu lama berkuasa, menunggu mereka dia akan pergi. Tetapi dengan kesederhanaan yang ditunjukkan itu, tiada jemu dan tiada bosan orang akan keberadaannya, kalau boleh seseorang itu menongkat langit, biarlah beliau kekal lebih lama walau pun bukan selama-lamanya.
Bukan orang Muslim saja terasa senang dengannya, yang bukan Muslim baik dari Kelantan dan di luar Kelantan mengangkat tabik kepadanya dan memberi penghormatan tinggi kepadanya.

Tidak salah bagi semua menjadikannya contoh dan teladan kepada semua, sekarang dan akan datang. Amat sayang beliau sudah tua dan kesihatan pun selalu terganggu.

Di hujung pentadbirannya itu hak Kelantan mulai datang satu demi satu. Ia dinafikan mendapat hak atas minyak yang di keluarkan dari zon ekonomi perairannya. Tetapi ia mulai diiktiraf.

Kerajaan pusat tidak mengakui Kelantan ada hak atas minyak. Tiba-tiba perdana menteri setuju memberi wang ihsan. Apa sebab? Mengapa tidak diberi kepada Pahang, Johor, Melaka dan lain-lain? Kerana mereka tidak bersangkutan.
Mengapa Kelantan hendak diberi wang ihsan? Kerana ia berhak. Tok Guru dan kerajaannya tidak menolak rezeki wang ihsan itu. Tetapi ia ihsan kerajaan pusat. Sedekah, kata Datuk Husam Musa.

Yang Kelantan tahu, royalti Kelantan tidak boleh diusik dengan wang ihsan itu. Kelantan menuntutnya dari Petronas sama seperti Tunku menuntut kemerdekaan Malaysia daripada Inggeris.

Dan di hujung tempoh 20 tahun itu juga Tok Guru termasuk 50 orang teratas dalam 500 orang tokoh Muslim dunia bagi tahun 2009 ini.

Antara 50 orang itu adalah raja-raja, ketua negara bukan raja dan ketua kerajaan pusat. Tok guru bukan raja dan bukan pimpinan kerajaan peringkat pusat. Beliau sekadar menteri besar sebuah negeri miskin dan pemimpin sebuah parti politik pembangkang.

Tetapi itulah penghormatan dunia kepada pemimpin kerajaan Kelantan dan pemimpin umat Muslim Malaysia itu

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories