Kalam Perantau

Icon

INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE-2

Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang

19 Disember 2010

Mukaddimah

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng – Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan  PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu  penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka.  Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT  :

Maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya. 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita  dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut.  Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Ketuanan Melayu dan hipokrasi Umno

Oleh : Ahmad Lutfi Othman    

Tsunami politik, Mac 2008, mengundang pelbagai tafsiran. Ada menyifatkan kecenderungan mengundi rakyat Malaysia sudah tidak lagi terkepung dan terkurung dengan sentimen perkauman. Isu-isu sepanjang kempen pilihan raya ke-12 itu menjangkau persoalan sejagat sehingga istilah “politik baru”, yang popular semasa pilihan raya umum 1999, kembali diperkatakan. Pengundi semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu penting dan kritikal, sekali gus memecahkan kepompong yang sengaja diwujudkan selama ini.

Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang. Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.

Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti ‘chauvinist Cina’. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN – membangkitkan emosi kaum demi survival BN. Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, “lagu lama” yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.

Terbaru, melihat “keterlanjuran” Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin. (Dalam teks asal dinyatakan, konsep “ketuanan Melayu” ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan). Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: “Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. …Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini.”

Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus. Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat “pengkhianat Melayu” yang sanggup “menjual” segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! … Ya, apa lagi istilah “jelik dan jijik” dan “sumpah-saranah” yang belum dihadapkan kepada Anwar?

BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi “mengajar BN”. Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai “pembaharuan” cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai “juara Melayu”.

Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri. Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.

Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu – yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka – mudah dicuit emosi hanya dengan “menggilap” kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.

Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap “konsep yang begitu dipolitikkan itu” akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.

Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?

Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya “perilaku negatif” sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka. Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?

Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: “Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. … Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.

Kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebihj besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan.”

Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu. Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.

Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: “Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta ‘terkunci kemas’ dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat … seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu.”

Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, kan?

Filed under: News, , , , , , , , ,

Yang Terbaik Untuk Zaid

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

MINGGU lalu penulis telah bertanya, bagaimakah kerjaya politik Datuk Mohd Zaid Ibrahim akan berakhir dalam PKR. Hari ini kita semua sudah memperolehi jawapannya – beliau mengisytiharkan keluar dari parti tersebut.

Langkah paling logika yang akan diambil oleh tokoh politik paling kontroversi tahun ini adalah untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Hasrat untuk menubuhkan parti baru ini pun telah siang-siang lagi diumumkan oleh Zaid iaitu ketika beliau mengadakan roadshow di Kedah, Khamis lalu untuk menjelaskan kepada ahli-ahli PKR mengapa beliau bertindak menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Kini segala-galanya bergantung kepada Pendaftar Pertubuhan. Secepat manakah proses pendaftaran parti politik baru yang akan diketuai oleh Zaid Ibrahim akan diluluskan.

Yang Terbaik Untuk Zaid

Semalam (Ahad), penulis membuat andaian di dalam kolum penulis di Mingguan Mstar bahawa apabila Zaid mengumumkan untuk menubuh parti baru yang akan dinamakan Keadilan Baru seandainya dipecat, ternyata itulah yang sedang dialu-alukannya. Ternyata andaian penulis silap.

Beliau tidak menunggu untuk dipecat sebaliknya beliau mengumumkan keluar dari Keadilan. Namun itulah yang disyorkan oleh penulis kepada Zaid semalam. Jalan keluar terbaik untuk Zaid adalah untuk dia meninggalkan parti itu dan tubuh partinya sendiri. Itu lebih baik dan itu lebih sesuai untuk orang yang berperwatakan sepertimana Zaid Ibrahim ini.

Ini kerana dia masuk parti orang yang dah bersarang dan bertapak lama dan cuba merubah parti itu ikut acuan dan cara pemikirannya. Anwar, Wan Azizah dan Azmin adalah PKR dan PKR adalah mereka. Mereka orang lama yang dah berjuang dan bercalar balar berperang ketika zaman reformasi dan zaman jatuh bangun PKR dulu tiba-tiba nak disuruh berhenti oleh Zaid. Mana ada jalan.

Paling senang buka parti baru sebagaimana yang dia sendiri tengah pertimbangkan itu. Penulis percaya, Pendaftar Pertubuhan boleh dengan segera mempermudahkan permohonan Zaid sekiranya dia membuat permohonan. Sehubungan dengan itu juga, Zaid boleh menggariskan piagam dan halatuju parti baru yang diterajuinya itu mengikut acuan dan kepercayaannya selama ini.

Angka Yang Mengugat

Bila berbuat demikian, dia tidak perlu lagi nak kena rujuk kepada pucuk pimpinan atau orang atas kerana dia yang paling atas. Pada masa yang sama, semua 3,988 penyokong Zaid yang sehingga dia menarik diri daripada bertanding telah memberi undi dan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya boleh beramai-ramai keluar PKR dan sertai Keadilan Baru.

Jumlah itu pun dah cukup ramai dan ini belum termasuk lagi ahli di cabang-cabang lain yang belum sempat mengundi Zaid. Dengan jumlah undi asas 3,988 yang diterimanya, penulis berani membuat kesimpulan, jika hari ini Zaid mengisytiharkan tubuh parti baru, paling minima pun, tidak kurang daripada 6,000 orang anggota Keadilan yang akan keluar untuk turut serta bersamanya.

Itu kita cuma ambil angka konservatif belum termasuk lagi bukan ahli Keadilan yang menyokong cara politik Zaid yang serba berani ini. Campur sana campur sini, “satu Malaya” termasuk Sabah dan Sarawak, senang-senang Zaid boleh kumpul antara 10,000 hingga 15,000 ahli baru dalam tempoh satu minggu sahaja.

Ini adalah satu angka yang mengugat PKR sebenarnya. Maka tidak hairanlah “musuh politik” Zaid paling utama, Azmin Ali dengan segera pada hari Jumaat cuba “memujuk” Zaid agar tidak terburu-buru dalam langkahnya untuk menubuhkan parti baru. Azmin menasihati Zaid agar terus berjuang dalam PKR walaupun terdapat perbezaan pendapat dan cara berpolitik. Azmin lantas mengingatkan Zaid ketika dia menyertai PKR dahulu, ia adalah atas semangat bersama untuk meneruskan agenda melakukan perubahan dan reformasi.

Malangnya, Zaid tidak lagi berkongsi semangat dan citarasa yang sama kerana baginya, yang tidak sama ialah mereka bukan dia. Maka sebab itulah dia sedang ‘mengamuk’ sekarang

Filed under: News, , , , ,

Batu Sapi : Belum Habis Berkabung, BN Sudah Buat Pesta Dangdut

Oleh Dzulkarnain Taib 

WawiBatuSapi2SANDAKAN 27 Okt – Belum habis waktu berkabung mengingati kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Edmund Chong dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Barisan Nasional sudah pun menganjurkan pesta dangdut di kawasan parlimen tersebut dakwa calon Pakatan Rakyat, Ansari Abdullah.

Beliau berkata nampaknya BN lebih mementingkan hiburan daripada menghormati pemimpin mereka yang baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Semalam saya lewat, orang Sabah bilang ‘limpas’ pesta rakyat di mana Tan Sri Muhyiddin berada di sana, saya nampak penari dangdut menari bergelek di atas pentas.

“Sepatutnya pemimpin-pemimpin BN berkabung kerana wakil mereka baru sahaja meninggal dunia tapi mereka berpesta semalam bawa penyanyi menari atas pentas.

“Saya tak tahu lah samada hiburan untuk pemimpin atau hiburan untuk rakyat tetapi tidak ada apa yang boleh menghiburkan rakyat Sandakan, rakyat Batu Sapi sehingga nasib dan badan mereka dibela,” kritik Ansari pada sidang media selepas pengumuman calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Dewan Masyarakat Sandakan pagi semalam.

Ansari, 54, membidas kegagalan kerajaan memperjuangkan kebajikan rakyat Batu Sapi khususnya sejak 47 memerintah.

“Seperti semua sedia maklum pengundi Batu Sapi terdiri daripada 60 peratus Bumiputera-Muslim. Mereka adalah masyarakat terpinggir di tengah-tengah kota Sandakan.

“Saudara-sauadara boleh tengok sendiri keadaan yang dhaif di mana mereka tinggal, yang kedua kemudahan asas telah gagal diberikan dengan memuaskan oleh kerajaan Barisan Nasional selepas 47 tahun.

“Sandakan sehingga kini masih sering kali mengalami gangguan bekalan elektrik, gangguan bekalan air dan yang paling penting masalah keselamatan,” jelas beliau.

Sambil merujuk kepada beberapa kawasan di dalam parlimen Batu Sapi, kerajaan BN katanya telah mengabaikan penyelenggaraan kemudahan rakyat sehingga terjejas sosio-ekonomi di kawasan tersebut.

“Kita tengok sebahagian daripada Bandar Ramai-Ramai ditinggalkan oleh pemilik asal kerana mereka merasa tidak terjamin dan majlis berkuasa tempatan juga tidak kemudahan-kemudahan yang ada seperti jalanraya, lampu dan sebagainya, dengan itu pembangunan sudah beralih ke Batu 4, Batu 7.

“Kawasan Tanah Merah sehingga Karamunting menjadi ‘slum area’ atau kawasan setinggan dan saya rasa prasarana yang paling teruk di Malaysia. Mereka ini tidak terbela selama 47 tahun yang diwakili oleh Barisan Nasional yang mana mungkin boleh mengkritik pemerintahan Barisan Nasional,” ujar Ansari lagi.

Kata Ansari pilihan raya kecil Batu Sapi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih wakil Pakatan Rakyat yang mampu membawa masalah dan suara hati masyarakat kepada di Parlimen.

“Pertandingan ini bukan antara calon, pertandingan ini antara kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela rakyat dan pembangkang yang akan membela rakyat. Samada kita menang atau tidak hanya Allah dan rakyat menentukan,” kata beliau.

Ditanya mengenai Parti Maju Sabah (Sapp) yang dianggap sebagai ‘penganggu’ Ansari menjelaskan sekiranya parti itu menang ia tetap akan menjadi wakil Bebas yang tidak diketahui pendiriannya samada menyokong BN atau Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata PRK Batu sapi merupakan tanda permulaan arus perubahan di Sabah.

“Kita rasa peluang kemenangan ada, kita mahu kerusi ini diwakili oleh Pakatan Rakyat sebagai pembangkang bukannya Sapp, merekalah yang menjadi perosak pertandingan di sini

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , ,

Batu Sapi : Wan Azizah, Ansari Temui Rakyat

Oleh Dzulkarnain Taib    

IMG_3510SANDAKAN 27 Okt – Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Ansari Abdullah tidak membuang masa untuk terus menemui rakyat bagi berkempen dan mendekati masalah yang mereka hadapi sejurus selepas selesai penamaan calon pada sebelah pagi semalam.

Bersama-sama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ansari berpeluang beramah mesra dengan rakyat di kawasan Jalan Leila dan Bandar Nam Tung yang menyambut mereka dengan baik sekali.

Turut serta dalam kempen melawat rakyat termasuk Exco Selangor, Elizabeth Wong, Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Gan Pei Nei, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Sahamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Kebanyakan penduduk yang ditemui menunjukkan respons yang positif kepada kempen agar mereka memilih Ansari bagi mewakili mereka di Dewan Rakyat pada PRK Batu Sapi 4 November depan.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi yang bakal di adakan 4 November depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ansari, calon Barisan Nasional Datin Tsen Thau Lin dan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Batu Sapi, Datuk Edmund Chong dalam satu kematian jalan raya di Tanjung Aru 8 Oktober lalu.

Pagi ini Ansari bersama Dr Wan Azizah sekali lagi bertemu rakyat di beberapa kawasan sekitar Batu Sapi termasuk program sarapan pagi, lawatan ke Pasar Tanah Merah dan Pasar MPS, melawat Pulau Timbang dan merasmikan Bilik Gerakan Utama KEADILAN di Bandar Ramai-Ramai pada pukul 5.00 petang nanti.

Ceramah kelompok di Kampung Bahagia akan juga diadakan pada pukul 8.00 nanti bersama pimpinan Pakatan Rakyat

Filed under: News, , , , , , , ,

Blog Stats

  • 220,297 hits

ePaper

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories