Kalam Perantau

Icon

Analisa PRN ke-11 Sarawak: Pengajaran kepada pembangkang

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ketika menulis kolum Kalam Perantau ini, saya tak sempat lagi meneliti secara terperinci keputusan-keputusan pilihanraya negeri Sarawak kali ke-11 pada 7hb Mei, 2016 yang baru diumumkan pada hari tersebut. Sebagaimana yang dijangka, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang tidak sehaluan pada kali ini.

Gelombang demam Adnan menyebabkan BN berjaya menang 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus berbanding BN hanya mendapat 55 daripada 70 kerusi (78.6 peratus) pada PRN 2011. Ini mengulangi kejayaan 2006 apabila BN menguasai 88.6 Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 7hb Mei lalu, parti-parti pembangkang peringkat federal terdiri dari PKR-DAP-PAN yang membentuk Pakatan Harapan dan PAS telah mundur setapak ke belakang berbanding pada pilihanraya negeri Sarawak 2011.

Sama ada disedari atau tidak, rakyat Sarawak tidak memberikan harapan pada mereka untuk memerintan malah untuk menang pun sukar bila PKR dan DAP bertembung sesama sendiri sebanyak 6 kerusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih. Kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Bukan sahaja impian DAP menembusi kawasan bumiputera juga gagal, malah turut hilang 5 kerusi DUN majoriti Cina yang dimenangi sebelum ini. Selepas mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan lima kerusinya pada pilihan raya Sarawak Ke-11, DAP hari ini mengakui bahawa sokongan masyarakat Cina kembali beralih kepada BN.

Lebih parah 63 calon telah hilang wang deposit dimana PKR (10 calon), PAN (9 calon), DAP (7 calon), PAS (7 calon), STAR (7 calon), PBDS (5 calon) dan 18 calon Bebas dimana 35 kawasan memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, 28 (tiga penjuru) 12 (empat penjuru) dan lima (lima penjuru).

Dalam pilihanraya kali ini, DAP menang 7 kerusi sahaja dan PKR pula hanya mampu kekal 3 DUN yang dimenangi sebelum ini. Ketiga-tiga kerusi itu adalah N11 Batu Lintang, N39 Krian dan N81 Ba’kelalan. Manakala DAP pula hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

PAS dan parti serpihannya, PAN bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. PAS bertanding 11 kerusi manakala PAN pula 13. Lebih menyedihkan PAN menentang PAS di 5 kerusi DUN. PAN telah hilang deposit pada kerusi DUN yang ditandingi menentang PAS, Samariang (Nani Shahari, 389 undi), Muara Tuang (Abang Abdul Halili Abang naili, 765 undi), Sadong Jaya (Othman Mustafa, 157 undi), Sebuyau (Andrew Jain, 164 undi)) dan Beting Maro (Andri Zulkarnain Hamden, 103 undi).

Walaupun calon parti Islam berjaya mendapat serba sedikit sokongan  dibeberapa tempat, amat jelas sekali  dalam pertembungan kedua-dua parti ini, undi yang di raih PAS adalah lebih besar, walaupun terjejas oleh kehadiran parti PAN.

Akibatnya, calon PAS juga turut hilang deposit di DUN Sadong Jaya dan Muara Tuang pada kali ini berbanding dengan PRN 2011. Lima lagi DUN yang pertama kali PAS bertanding pada PRN2016, iaitu Pujut, Lambir, Jepak, Samalaju dan Kakus juga turut hilang deposit. Malah PAS juga gagal dapat kerusi sulung yang dicita-citakan di Beting Maro, malah BN menambah majoriti di situ.

Sementara itu, dua parti negeri sarawak, STAR dan PBDS (baru) gagal memberikan saingan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan parti pembangkang peringkat nasional. Sesungguhnya keputusan positif  BN di kawasan-kawasan kaum Cina ini mengambarkan populariti Tan Seri Adenan Satem yang luar biasa yang mampu meningkatkan sokongan semua kaum kepada BN.

Barisan Nasional

Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) dengan PBB dan PRS mencatat kemenangan 100 peratus. Malah 11 daripada 13 calon langsung BN juga telah menang pada kali ini termasuk dua Presiden bekas parti TERAS dan UPP, serpihan kepada SPDP dan SUPP.

Parti Cina di Sarawak – SUPP – pula menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya dan mendapat nafas baru apabila presidennya, Senator Dr Sim Kui Hian berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selepas menewaskan penyandangnya Christina Chiew Wang See dengan majoriti undi 2,085. Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi. Manakala Calon Bebas Liu Thian Leong, bekas pengerusi UPP Batu Kawah, hanya mendapat 1,109 undi, telah hilang deposit.

Manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing memperoleh 5,272 undi mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong yang hanya 479 undi dengan majoriti 4,793 undi telah hilang deposit dalam pertandingan satu lawan satu itu.

Sementara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBB dan Ketua Menteri terus kekal sebagai ADUN untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu mendapat 6,360 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Numan meraih 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, selepas menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun. Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.

Cukup setakat ini dulu dalam catatan ringkas pemerhatian saya berhubung dengan PRN11.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Galas: SPR Jawab Nik Aziz Isu Tarikh Mengundi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mendakwa suruhanjaya itu bersifat pilih kasih dan tidak sensitif apabila menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar – kanan) berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung penetapan tarikh penamaan calon ataupun pembuangan undi.

Jelas beliau, keupayaan pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam DUN Galas merupakan keutamaan utama yang diberi perhatian oleh SPR.

“Perkara yang paling penting ialah sama ada tarikh yang dipilih itu bersesuaian serta tidak menyusahkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekesalan Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berhubung pemilihan tarikh mengundi yang bertembung dengan persidangan DUN negeri yang bermula 1 November depan.

Malah Mursyidul Am PAS itu menganggap SPR tidak menghormati sidang DUN dan seolah-olah sengaja memberi kelebihan kepada Umno.

Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, dakwaan bahawa SPR hanya mengambil kira tarikh yang bersesuaian dengan Umno iaitu selepas Perhimpunan Agung yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa SPR juga pernah mengambil kira tarikh berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS ke-54 yang diadakan pada 2008 iaitu semasa berlakunya kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Ini masalahnya… mereka mudah lupa perkara yang SPR lakukan yang berpihak kepada mereka. Sebaliknya mereka akan tuduh kita macam-macam kalau ia berpihak kepada parti lain.

“Kita pernah ambil kira mengenai Muktamar PAS ketika itu, dan kali ini kebetulan Umno mengadakan perhimpunan agung mereka, jadi ia turut diambil kira oleh SPR,” katanya.

Selain itu Wan Ahmad berkata, soal tidak menghormati sidang DUN tidak timbul kerana ia hanya melibatkan beberapa pemimpin parti itu.

“Sidang DUN bukan melibatkan semua pemimpin PAS, ada ramai lagi jentera mereka yang boleh menjalankan aktiviti Uberkempen.

“Malah kebanyakan aktiviti ceramah diadakan pada waktu malam, jadi mereka yang terlibat dengan sidang DUN boleh mengambil tempat untuk berkempen di waktu malam,” katanya

Filed under: News, , , , , , , , ,

Defisit Kerajaan Terengganu Meningkat RM274,046,116.36

KUALA TERENGGANU – Defisit (kurangan) Akaun hasil yang disatukan Kerajaan Negeri Terengganu meningkat sebanyak RM274,046,116.36 pada 31 Disember 2009 menjadikan jumlah defisit terkumpul pada akhir tahun tersebut berjumlah RM699,010,087.44.

Pada akhir tahun 2008, Akaun Hasil kerajaan telah mencatatkan defisit sebanyak RM146,548,465.66 menjadikan jumlahnya sebanyak RM424,963,971.08 pada 31 Disember 2008.

Defisit lebih setengah bilion ringgit tersebut telah dinyatakan dalam jawapan kepada soalan-soalan bertulis Mesyuarat Yang Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) Kedua Belas pada 8 dan 9 Ogos lalu.

Fakta tersebut diumumkan Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjawab soalan yang dikemuka oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau turut meminta Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah belanja berlebihan itu.

Kerajaan negeri pimpinan Umno dan Barisan Nasional Terengganu telah mengemukakan beberapa langkah antaranya mengamalkan perbelanjaan berhemat dan memberi tumpuan kepada perbelanjaan sebenar kerajaan negeri,

Sebaliknya, jawapan yang dikemukakan itu jelas bertentangan dengan tindakan pemimpin Umno/BN negeri yang mengusulkan supaya DUN meluluskan peruntukan tambahan pula sebanyak RM220 juta

Filed under: News, , , , , , , ,

Malaysia kena ada 2 gagasan parti politik?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Tulisan  Professor Undang-undang UIAM, Dr. Abdul Aziz Bari dalam akhbar Sinar, Isnin 2hb. Ogos, 2010 bertajuk UMNO-PAS dalam konteks perlemabagaan menarik minat saya dalam membentuk sistem dua parti yang kukuh dan dominan dinegara ini. 

Beliau menyebut, “Sistem dua parti ini penting kerana ketiadaan struktur inilah yang menyebabkan perlembagaan kita wujud hanya pada nama sahaja. Seperti yang kita maklum perlembagaan hanyalah sekadar sebuah dokumen yang tidak bermakna jika kita gagal melaksanakannya. Dan pelaksanaan ini tidak akan berlaku di dalam sebuah sistem di mana kerajaan yang memerintah tidak rasa takut dihumban keluar oleh rakyat. Rasa tidak takut ini wujud apabila kerajaan berkenaan berasa ia boleh melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa”. 

Dalam konteks perlembagaan, saya nampak beliau  begitu  arif mengenainya. Tetapi bila menyentuh soal politik, beliau menjadi sedikit emosi, kalau pun tidak berdendam dengan PAS. 

Sebagai contoh, kenyataan beliau , “PAS akan terus jadi parti Melayu yang sempit dan kampungan sekiranya ia termakan pujukan UMNO yang penuh dengan muslihat itu. Dan seperti mana yang disebut tadi Pas akan tersungkur dalam pilihan raya kerana rakyat berasa ragu siapa dan apakah sebenarnya wawasan politiknya”.

Sudah lama saya tidak mendengar komen beliau tentang PAS secara terbuka di media massa. Jika tidak silap ingatan saya, semasa beliau hadir dan menjadi selebriti dan diaju  dengan berbagai pertanyaan bertubi-tubi dari ahli PAS dalam ‘Seminar Pemerasaan Parti PAS’ pada tahun lepas, beliau ada menyebut tidak akan mengulas lagi tentang PAS.

Tanpa memihak kepada pro dan kontra terhadap Pakatan Rakyat, PAS kena berpolitik diatas realiti politik semasa dan juga kehendak perjuangan Islam dan keadilan sejagat yang didukungnya.

Realitinya, PAS bertanding dikawasan yang majoritinya orang Melayu. Bagi saya, PAS perlu mengadakan satu Seminar Khas bagi membincangkan secara terperinci, kemampuan PAS dalam menjaga hak dan keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam perlemabagaan.

Orang melayu begitu takut untuk menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana bimbangkan kemampuan mereka untuk terus menikmati apa yang mereka ada pada hari ini. Kenyataan pemimpin DAP  seperti Tony Pua, untuk menghapuskan diskaun 7% untuk bumiputera membeli rumah mewah amat mencurigakan orang Melayu.

Di sini PAS perlu bijak memainkan peranannya. Jika PAS gagal menyakinkan orang Melayu bahawa PAS mampu menggantikan UMNO dalam mempertahankan apa yang orang melayu ada pada hari ini, tidak mustahil PAS tidak diterima oleh orang-orang Melayu selain dari bumi Kelantan.

Mahu tidak mahu, orang Melayu akan terus bergantung kepada UMNO. Bila bukan Melayu berpindah kepada Pakatan Rakyat dan orang Melayu terus bersama UMNO, maka pada masa itu berlaku kerajaan camporan UMNO  (Melayu) dan DAP+PKR (bukan Melayu).

Perhitungan seperti ini perlu diambil kira, dalam menentukan halatuju PAS dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti. Disebabkan PAS sekarang ini sudah menjadi parti multi-racial seperti juga DAP dan PKR setelah adanya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), maka sudah tentu PAS berhak untuk bertanding dikawasan-kawasan campuran secara sama rata ataupun berdasarkan kepada merit tertentu.  

Lebih banyak kerusi-kerusi seperti Kota Raja yang majorinya bukan Melayu perlu diserahkan kepada PAS untuk ditandingi oleh parti tersebut supaya tidak dilihat menjadi parti Melayu yang sempit dan kekampungan seperti yang dinukilkan oleh Professor Dr. Aziz Bari dan lain-lain pihak yang sependapat dengan beliau.

1Malaysia 1Pilihanraya? 

Perkara kedua yang menarik minta saya juga adalah bila tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan?. Perkara ini terus menjadi teka teki dalam persekitaran politik negara hari ini. Kuasa membubarkan Parlimen dan DUN ada ditangan Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri.  Malah kuasa Sultan dan Yang Dipertua Negeri tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Pengalaman sebelum ini telah berlaku. Yang terbaru adalah keengganan Sultan Perak membubarkan DUN selepas pilihanraya umum ke-12 lalu, bila Menteri Besar Perak ketika  itu, Ir Nizar Jamaluddin memohon perkenan membubarkan DUN bila 3 ADUN Pakatan Rakyat mengistiharkan diri menjadi ADUN bebas.

Begitu juga dengan kemelut politik Sabah pada tahun 1994, apabila Datuk Joseph Pairin Kitingan (gambar – kiri)  memohon membubarkan DUN sekali lagi setelah beberapa ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) melompat menyebabkan kerajaannya yang baru dibentuk menjadi minoriti di DUN Sabah.   

Begitu juga ketika krisis politik kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1977 dahulu, Sultan Kelantan juga tidak bersetuju membubarkan DUN bila undi tidak percaya kepada Datuk Muhammad Nasir, Menteri Besar ketika itu diluluskan  Krisis politik ini menyebabkan MAGERAN dan Pilihanraya DUN Negeri Kelantan diadakan berasingan dengan pilihanraya  parlimen.

Tetapi selepas kemelut politik Sabah 1994 yang menyebabkan PBS tumbang dan UMNO mula berkuasa di Sabah menyebabkan pilihanraya DUN sabah selepas itu diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen.

Sekarang ini adalah peluang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi arkitek menyelaraskan pilihanraya DUN Sarawak  diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen. Cabarannya pilihanraya DUN Sarawak mesti dibubarkan sebelum bulan Julai, 2011.

Tetapi jika diadakan lebih awal dari April 2011, kemungkinan negeri-negeri yang diatadbirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini seperti Selangor, Pulalu Pinang, kedah dan Kelantan tidak akan membubarkan DUN mereka. 

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yakin, pilihanraya Sarawak dan pilihanraya umum ke-13 diadakan secara berasingan.  Baginya, keputusan pilihanraya Negeri Sarawak dijadikan penentu kepada pilihanraya umum ke-13 nanti. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.. 

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , , ,

Kemahiran Kerja, Iltizam dan Pengukuhan Organisasi Pra-Syarat Kemenangan

KEMAMAN – Kemahiran kerja, Iltizam dan Pengukuhan organisasi petugas-petugas PAS adalah tiga pra-syarat utama bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum yang ke 13 akan datang.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, ketiga-tiga faktor tersebut akan menentukan persepsi dan pendapat umum tentang PAS ‘di mata’ masyarakat umum.

”Untuk memenangi pilihanraya umum (akan datang) ia memerlukan komitmen yang tinggi, iltizam dari semua peringkat dan isu mengukuhkan dalaman (PAS) adalah amat penting,”katanya ketika merasmikan kursus organisasi dan pentadbiran petugas-petugas PAS DUN Chukai, disini, Sabtu, 14 November.

Menurutnya, soal pengurusan pentadbiran dan pentadbiran remeh temeh seperti tidak ada program di cawangan-cawangan, tidak sepatutnya timbul dan menjadi halangan.

Oleh itu, katanya, dalam usaha memperkasakan parti, soal kemahiran bekerja mengurus dan mentadbir parti adalah menjadi keutamaan.

”Dalam konteks pemerkasaan parti, soal kemahiran bekerja menjadi keutamaan, kalau saudara-saudari mahir bekerja, peluang untuk menang adalah sangat besar, dan akan membantu kemenangan di peringkat negeri,”jelas Haji Yahaya.

Justeru, beliau menegaskan, untuk mengembangkan pengaruh PAS dalam masyarakat, ia memerlukan penglibatan kita dalam masyarakat dengan lebih terbuka dan lebih mesra.

Turut hadir dalam kursus sehari anjuran MTD Chukai dan Perantau adalah Pengarah MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Perantau, Dr. Badrulzaman Yusof dan Setiausaha Politik Presiden Dr. Shamsuri Mokhtar

Filed under: News, , , , ,

Dun Perak: Jubah direntap, speaker hampir lemas?

Oleh Harakahdaily 

12.50 tgh: Ketika ini semua Adun Pakatan Rakyat sedang bermesyuarat di Wisma DAP. Dijangkakan satu lagi sidang media akan diadakan pada jam 1.30 petang nanti.
12.37 tgh: Sidang media tamat, semua beredar.
12.35 tgh: Dalam sidang media itu juga Sivakumar menceritakan bagaimana beliau hampir tidak dapat bernafas dan lemas akibat jubahnya direntap dengan ganas.
12.30 tgh: Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat sedang membuat sidang media di dalam perpustakaan di kompleks SUK. Beliau (Sivakumar) menunjukkan cebisan jubah speaker yang dirampas sehingga terkoyak kepada media.
12.15 tgh: Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu usul untuk melantik Osman Abdul Rahman sebagai senator telah diluluskan dalam sidang mereka sebelum ini.
12.14 tgh: Sementara itu, sidang dewan BN sedang berlangsung di dalam dewan dengan usul untuk melantik Datuk Azian Osman sebagai senator di Dewan Negara.
11.55 pagi: Adun PR sedang memberikan sidang media di luar dewan dan memberikan penerangan terperinci situasi yang berlaku hari itu.
11.52 pagi: Sambil keluar dewan semua Adun Pakatan Rakyat melambai kepada Ganesan dan mengucapkan ‘Selamat Hari Deepavali.’
11.49 pagi: Ganesan cuba mengumumkan bajet 2010 diluluskan. Sivakumar berdiri dan mengumumkan sidang telah ditangguhkan.Semua Adun Pakatan Rakyat telah keluar dewan.
11.45 pagi:Adun BN cuba mengusul untuk menerima dan membahaskan bajet tetapi ditenggelami dengan suara daripada adun-adun lain.
11.40 pagi: Mikrofon Adun Pakatan Rakyat telah ditutup tetapi tidak bagi Adun BN.
11.37 pagi: Zambry cuba berdiri untuk bercakap dan Adun PR melaungkan ‘lanun’ terhadapnya.
11.35 pagi: Seorang Adun BN menyuruh Ganesan menghukum adun-adun PR.
11.30 pagi: Kedua-dua sidang sedang berlangsung sekarang. Seorang adun PR kelihatan sedang membaca sesuatu tetapiu tidak jelas kedengaran akibat gangguan.
11.25 pagi: Ganesan menyambung kembali sidang. Adun Pakatan Rakyat menyerit menyatakan Ganesan ‘Speaker Haram’. Ganesan membuka sidang untuk debat mengenai belanjawan.Sidang mula kecoh. Riiuh. Dentuman meja kedengaran. Suara adun mula tenggelam timbul.
11.15 pagi: Sidang dijangka bermula semula jam 11.20 pagi. Suasana di luar tenang.
11.11 pagi: Adun Pakatan Rakyat terima usul dan luluskannya. Sivakumar tangguhkan sidang sementara waktu, tiada sesiapa kecuali Adun Pakatan Rakyat yang mendengar sidang tersebut.
11.01 pagi: Ganesan telah menangguhkan sidang dun. Adun Titi Serong mengusulkan agar sidang dun dibubar. Kerajaan BN adalah haram dan wajar dikembalikan kepada rakyat. Ganesan terus tidak menghiraukan sidang yang berlangsung sebaliknya berbual dengan bekjas MB, Tajol Rosli.
10.57 pagi: Ganesan disuruh oleh Sivasubramaniam untuk meninggalkan tempat duduknya. Suis mikrofon telah ditutup. Kemudian Sivakumar memberitahu dewan kejadian yang berlaku diluar dewan tentang kekasaran yang dilakukan terhadapnya.
10.56 pagi: Ngeh menyokong usul Nizar. Adun BN sedang berborak sesama sendiri. Adun Pakatan Rakyat melaungkan “setuju”. Sementara di luar SUK, polis kelihatan menyuraikan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul berhampiran sebuah restoran.
10.55 pagi: Ganesan kelihatan menguap dan tidak mengendahkan sidang yang dijalankan. Adun BN sedang bercakap sesama sendiri dan beberapa adun BN termasuk Zambry kelihatan meninggalkan dewan.
10.53 pagi: MB Pakatan Rakyat, DS Nizar bangun dan mengusulkan agar semua program PLKN dan 1 Malaysia dihentikan serta merta.
10.52 pagi: Sivakumar berkata beliau kini telah memulakan persidangan dan mengarahkan semua adun untuk bertakafur selama 1 minit untuk memperingati tragedi titi gantung di Kampar baru-baru ini.
10.45 pagi: Adun Buntong, A Sivasubramaniam bangun dan mengarahkan Ganesan untuk beredar kerana beliau merupakan speaker yang dilantik secara haram.
10.39 pagi: Adun Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan Adun Khalil Idham Lim membaca doa.Ganesan menyampuk dengan memberitahu sidang telah bermula.
10.38 pagi: Ganesan (Speaker BN) hanya duduk diam dan begitu juga dengan Adun BN.
10.37 pagi: Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam dewan dan melaungkan “Ketibaan Speaker Dewan”. Sementara itu, DSP Glen memberikan masa 5 minit kepada penyokong PAS untuk beredar daripada kawasan SUK.
10.36 pagi: Helikopter masih kelihatan di udara.
10.35 pagi: Adun Pakatan Rakyat kelihatan di luar dewan persidangan dan mengecam Ganesan sebagai Speaker haram. 10.20 pagi: Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat bukan beragama Islam berdiri berhampiran dengan penyokong PAS yang sedang bersolat hajat untuk menunjukkkan solariditi mereka.
10.19 pagi: Keadaan di luar SUK kelihatan agak tenang walaupun kelihatan orang ramai sedang berkumpul untuk mengikuti kejadian yang berlaku ketika ini.  Kelihatan penyokong PAS sedang melakukan solat hajat berhampiran dengan pagar halangan di luar SUK.
10.09 pagi: Nizar dan Adun Pakatan Rakyat cuba masuk sekali lagi ke dalam dewan persidangan.Sivakumar kelihatan tanpa jubah Speakernya.
10.05 pagi: Dalam dewan kelihatan pengawal (betara) seramai 20 orang mengawal sekitar ‘Speaker’ Ganesan.
10.04 pagi: Persidangan bermula di dalam dewan dengan bacaan doa tanpa kehadiran adun Pakatan Rakyat.
10.00 pagi: Adun Pakatan beredar keluar daripada SUK. Beberapa adun dan Nizar kelihatan di lluar SUK. Nizar mendakwa mereka dihalang masuk ke dalam dewan.
9.57 pagi: Polis kelihatan menyerbu ke arah Sivakumar. Beberapa adun Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada serbuan polis. Seorang SB dilihat merampas songkok Speaker. Jubah yang dipakai oleh Sivakumar juga cuba ditarik.
9.55 pagi: Keadaan di luar, adun pakatan rakyat dihalang dan dilambatkan oleh kawalan pihak polis.
9.55 pagi: Keadaan dalam dewan, Speaker BN Ganesan kelihatan sudah mengambil tempatnya begitu juga adun-adun BN.
9.50 pagi: Adun Pakatan diketuai Nizar terus bergerak ke arah pintu SUK.Sivakumar kelihatan memakai pakaian rasmi speaker.
9.45 pagi: Adun BN bersama Zambry Abdul Kadir telah berada dalam SUK.
9.40 pagi: Adun Pakatan Rakyat mula berarak menuju ke arah SUK bersama sekumpulan penyokong PAKATAN RAKYAT. Sivakumar dilindungi dan dikawal oleh para penyokong. Mereka kelihatan menuju ke arah ‘Pokok Demokrasi’ dan cuba masuk melalui kawasan tersebut. Polis hanya benarkan Adun-adun masuk.
 9.35 pagi: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar kelihatan di Wisma DAP.
9.25 pagi: Kawasan koridor bangunan SUK dipenuhi polis dan media hanya dibenarkan masuk setelah diperiksa dengan ketat dan disahkan pas mereka.
9.15 pagi: Adun Ngeh, Thomas, L P Seah, B P Ong, Sivanesan, Idham, Ramli, M M Leong and K W Wong adalah antara Adun Pakatan Rakyat yang kelihatan berada di Wisma DAP.
9.05 pagi: Anggota polis (SB) kelihatan mengambil gambar secara rambang kawasan sekitar.
9.00 pagi: Helikopter polis kelihatan berlegar di atas bangunan dan kawasan SUK.
8.50 pagi:Ngeh dan Thomas kelihatan terpaksa bertikam lidah dengan polis kerana dihalang daripada memasuki kawasan yang telah dikepung (dihalang) polis. Namun akhirnya mereka dibenrakan masuk.
8.45 pagi: Kelihatan Adun Ngeh dan Thomas Su berada di luar bangunan. Wartawan mula kerumuni mereka untuk mendapatkan maklumat.
8.30 pagi:Bilangan anggota polis dikatakan lebih 400 orang kini.
8.20 pagi: Pagar kawat berduri makin banyak dipasang. Antaranya bangunan ibu pejabat DAP juga kelihatan dikawal ketat. Orang ramai (awam) dihalang daripada masuk kawasan sekitar.
7.55 pagi: Semakin banyak kenderaan polis kelihatan. Trak FRU mula kelihatan. Trak meriam air juga kelihatan di sekitar bangunan SUK.
7.52 pagi: Keseluruhan kawasan SUK dikawal dengan ketat. Lebih 40 anggota keselamatan berkawal di hadapan SUK dengan memakai vest hijau dan diapit 2 buah trak merah dan beberapa kenderaan serta van polis. Kumpulan wartawan berada di hadapan hadangan berkawat berduri.
7.15 pagi: 6 buah kenderaan polis termasuk ‘Black Maria’ digunakan sebagai perisai di hadapan pagar dan pusat ‘check point’. Anggota polis berpakaian biasa (SB) kelihatan mula penuhi kawasan sekitar. Keadaan mula sibuk.

Filed under: News, , , , , , ,

DUN KOTA SIPUTEH: KEPUTUSAN SPR BERCANGGAH DENGAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI KEDAH – PAS

Parti Se-Malaysia (PAS) menolak keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mengistiharkan bahawa Dun N3:Kota Siputeh tidak kosong. Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif, yang didakwa hilang keanggotaannya kerana tidak hadir dua mesyuarat secara berturut-turut.

Berdasarkan Perkara 51: Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UUTKNK);
 
Jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong
 
Dalam kes ADUN Kota Siputeh, beliau didapati gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Maka keputusan Speaker adalah menepati Perkara 51 UUTKNK.
 
Walaubagaimana pun SPR mentafsirkannya sebagai tidak sah kerana melibatkan dua penggal yang berbeza dimana mesyuarat 19 April berlaku dalam penggal pertama dan mesyuarat 9 Ogos dalam Penggal yang kedua.  

Ini bercanggah dengan Perkara 51 yang langsung tidak menyebutkan isu penggal. Perkara 51 hanya menyebut tentang mesyuarat tanpa mengasingkannya mengikut penggal dan kuasa memberikan kebenaran adalah ditangan Speaker bukannya Ketua Pembangkang yang gagal melakukan tugasnya pada waktu kejadian.
 
Tindakan SPR ini juga bercanggah dengan Perkara 52, UUTKNK yang menyebut;
 
Jika berbangkit apa-apa soalan fasal adakah mana-mana Ahli Dewan Negeri itu tiada layak menjadi ahli maka hendaklah diambil keputusan Dewan dan itulah yang muktamad.”
 
Maka SPR tiada kuasa untuk membuat tafsiran atau keputusan kerana kekosongan Dun Kota Siputeh yang boleh diputuskan oleh Speaker dan Mesyuarat Dewan sahaja.
 
Maka, dengan sendirinya keputusan SPR itu terbatal dan tidak terpakai. Maka perkara ini perlu dibawa kepada Mesyuarat DUN atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.
 
Perlembagaan menetapkan bahawa SPR hanyalah berfungsi sebagai; 

  1. Jawatakuasa pilihan raya ke atas kawasan parlimen dan DUN, mengelola pilihan raya, dan pelaksanaan pendaftaran pemilih.     
  2. Ia juga mengumpul maklumat mengenai kawasan baru yang membolehkan keadilan dapat dilakukan ke atas pengundi untuk mengundi di kawasan pengundian yang ditetapkan, mempromosikan kepentingan mengundi, dan menguruskan semakan daftar pemilih dengan memadam nama-nama orang yang telah mati atau didapati tidak layak mengundi.
  3. Pada hari pengundian, anggota SPR dan pegawai akan berada di pusat pengundian untuk menjalankan proses pengundian pilihan raya.

Maka tugas menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah kuasa Speaker dan Dewan semua negeri dan Parlimen. SPR tidak boleh memandai-mandai menjadi hakim jika tidak kes seperti di Perak akan berlaku sekali lagi.
 
PAS sekali lagi menyatakan pendirian menolak keputusan SPR dan meminta agar pihak SPR menghormati kuasa Speaker dan Dewan Undangan Negeri Kedah.
 
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , , , ,

Tahniah! Dato’ Tengku Hasan kekal di DUN Ladang

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, salah sebuah DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu  kekal menjadi milik, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ( PAS). Tahniah!

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat DUN. Selain Ladang, tiga lagi DUN ialah Wakaf Mempelam (PAS), Batu Buruk (PAS) dan Bandar (BN). Malah dalam PRK Kuala Terengganu awal tahun ini, PAS juga berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan  mengetepikan rayuan BN Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihanraya umum ke-12 menyebabkan tiada PRK di DUN Ladang.

Mahkamah memutuskan bahawa tidak ada perbezaan besar dari segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama.

Kes itu didengar oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim, Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, lapor Bernama.
 
“Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada PAS). 
 
“Oleh itu, keputusan Hakim Pilihan Raya itu dikekalkan,” kata Hakim Melanjun dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Surita Budin. 
 
Ramai yang menunggu PRK Ladang diadakan kerana hendak menguji pengaruh UMNO/BN sekali lagi selepas peristiwa 10 ADUN penyokong kerajaan memulau persidangan Dewan ekoran pertembungan kem Mat Said (MB) dan Idris Jusoh (mantan MB)

Filed under: News, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories