Kalam Perantau

Icon

Pemilihan Presiden PAS: Hadi terus istiqamah, Ahmad Awang hendak kemana?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Muktamar PAS ke 61 pada 4-6hb Jun, 2015 ini tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semua perhatian kini tertumpu kepada pertandingan kerusi Presiden, Timbalan Presiden selain daripada Naib-Naib Presiden dan 18 orang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta ketua-ketua dewan.

Sepanjang era kepimpinan ulama pasca Muktamar 1982, inilah kali pertama jawatan Presiden PAS dicabar secara terbuka berbanding sebelum ini yang dilakukan secara peralihan yang agak sistematik. Malah Dato’ Asri sendiri pun berundur secara terhormat dengan melepas jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang disandangnya ketika itu setelah majoriti ahli-ahli tidak dapat lagi menerima kepimpinannya dalam PAS.

Kali terakhir penyandang jawatan Presiden (dulunya dipanggil Yang Dipertua Agong PAS) ditandingi adalah pada tahun 1960an. Menurut pengkaji sejarah, Dr Burhanuddin Al Helmy dicabar oleh Prof Zulkifli Muhammad pada Muktamar Agung PAS yang kelima pada tahun 1960-an. Keputusannya Dr Burhanuddin Helmi kekal menjadi Yang Dipertua, tetapi Prof Zulkifli Mohamad pula diangkat menjadi Timbalan Yang Dipertua.

abdulhadi5Setelah sekian lama pemilihan kepimpinan dalam PAS berjalan lancar terutama kepimpinan tertinggi, tiba-tiba pemilihan 2015 kali ini mencatat satu lagi sejarah baru dalam pemilihan PAS khususnya dalam Pemilihan Presiden PAS. Sebelum itu, tradisi jawatan Timbalan Presiden yang tidak ditandingi pun telah mula ditandingi sejak pemilihan 2003 bila jawatan tersebut dikosongkan oleh Abdul Hadi Awang yang disahkan menjadi Presiden setelah memangku selepas kematian mengejut Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Entah dimana silapnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang memimpin PAS sejak 2002, buat pertama kalinya Hadi akan ditentang sepanjang 13 tahun beliau memimpin parti itu oleh Ustaz Ahmad Awang seorang pesara kerajaan yang pernah menjadi pemimpin PAS sebelum ini tetapi tidak lagi aktif dalam politik tetiba muncul sebagai calon pencabar Presiden PAS pada pemilihan PAS 2015 kali ini.

Ahmad Awang yang pernah menjadi Presiden Persatuan Ulama SeMalaysia (PUM) mula aktif dalam PAS selepas berlaku era reformasi Anwar 1998 hingga pernah mendaki hirarki politik PAS dengan cepat bila dilantik Pesuruhjaya PAS Perak hingga pernah terpilih menjadi Naib Presiden dan Ahli Majlis Syura Ulama. Pernah bertanding dalam pilihanraya di Bagan Serai Perak, tetapi kalah.

Kalau melihat dari kacamata pemerhati politik, Ustaz Ahmad Awang secara individu sudah tidak bertenaga lagi dalam politik PAS bukan kerana umurnya berusia 79 tahun, tetapi beliau sudah tidak aktif lagi dalam politik PAS setelah tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti. Apa yang dilakukan oleh Ahmad Awang ketika ini mungkin sama dengan apa yang dilakukan oleh Sulaimen Palestin yang bertanding menentang Presiden UMNO dalam tahun 1970an dahulu.

Sulaiman Palestin ketika itu tahu dia sukar untuk mengalahkan Husein Onn yang bukan sahaja menjadi Presiden UMNO tetapi juga Perdana Menteri. Tetapi kenapa Sulaimen Palestin nekad bertanding menentang Husein Onn ketika itu. Tentu sahaja ada ‘tangan-tangan ghaib’ dan ‘grand design’ yang lebih besar disebalik pertandingan tersebut.
Terbukti kemudiannya, bila Sulaiman Palestin yang mendapat sekita 20% undi perwakilan, Timbalannya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mula menekan Husein Onn untuk bersara lebih awal dan meletakkan jawatan dengan alasan sakit.

Berbalik kepada pertandingan dalam pemilihan Presiden PAS kali ini, berdasarkan kepada jumlah pencalunan yang diperolehi kedua-dua calon (sebenarnya 3 calon, Dato Husam tarik diri hanya bertanding Naib Presiden sahaja), rata-rata pemerhati politik yakin sukar untuk Ustaz Ahmad Awang memenangi pertandingan tersebut.

Tetapi kenapakah Ustaz Ahmad Awang bertanding? Ini persoalan yang sedang cuba dirungkaikan oleh ahli PAS dan perwakilan dalam Muktamar ke61 pada 4 hingga 6 Jun, 2015 di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Disebalik apa yang berlaku dalam PAS sekarang ini, apakah tidak ada ‘grand design’ politik yang lebih besar?

Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya di sini. Tetapi memerhatikan kepada kenyataan Ahmad Awang dan beberapa pemimpin lain yang sealiran ‘fikrah’ politik dengannya, ramai yang berpendapat, kalau tidak ada ‘grand design’ masakan tempuan bersarang rendah.

Kata mereka, kalau betul-betul nak cabar Presiden PAS untuk digantikan, mestilah cari calon yang lain daripada pesara politik. Bagi mereka, cukup elok kalau Husam yang cabar Presiden dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden menetang Timbalan Presiden untuk membawa PAS ke satu era yang lain dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke14 nanti.

Dato’ Husam Musa yang mendapat pencalonan yang lebih baik dari Ahmad Awang dikatakan lebih bertenaga untuk mencabar Presiden sekarang kerana beliau bukan sahaja Naib Presiden tetapi yang lebih penting adalah Husam jauh lebih muda dari segi usia daripada Dato Seri Abdul Hadi.

Ahmad Awang mula terasa ada yang tidak kena dalam pemilihan kali ini bila DAP terus menyerang Abdul Hadi. Beliau mula bersuara yang disiarkan media, “Serangan demi serangan yang dihala kepada Ustaz Abdul Hadi Awang tidak akan memberikan kelebihan politik kepada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Hentikan serangan-serangan tersebut”.

Shuhaimi Almaniri
27hb Mei, 2015

Advertisements

Filed under: Recommended, , , , , , , , , , , , , ,

Pemuda PAS pusat mahu Tok Guru Haji Hadi kekal presiden

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 12 April – Dewan Pemuda PAS pusat mahu memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kekal presiden parti Islam itu di sebalik desas-desus dan ada pencalonan agar beliau dicabar kali ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Azman Shapawi Abd Rani berkata, pimpinan Hadi selaku presiden parti Islam itu telah berjaya menarik sokongan golongan muda terhadap parti itu.

Malah, jelas beliau, selain orang Melayu, golongan muda daripada kalangan masyarakat Cina dan India turut memberikan sokongan terhadap PAS.

“Dewan Pemuda PAS pusat mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS yang kini disifatkan berjaya menarik sokongan orang muda kepada parti.

“PAS kini semakin diminati ramai kerana hari ini orang muda telah memberi sokongan kepada PAS yang berada bersama dalam Pakatan Rakyat.

“Kita menjadi harapan besar kepada rakyat untuk membawa perubahan dalam pilihan raya umum akan datang, hari ini anak-anak muda bersama dengan PAS, masyarakat Cina berjinak dengan PAS, orang India minat kepada PAS dan harapan besar kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru tegas Azman Shapawi, hanya kepimpinan Hadi yang boleh membawa PAS terus maju ke hadapan untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN).

“Kepimpinan PAS yang diterajui oleh presiden parti yang sedia ada telah berjaya membawa PAS maju kehadapan.

“Sokongan rakyat terhadap PAS yang bersama dengan Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan besar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Laporan semalam menyebut PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden. Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung kawasan itu Jumaat lalu dan ia merupakan satu perkara yang mengejutkan banyak pihak.

Bagaimanapun kata Azman Shapawi, kawasan mempunyai hak untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding bagi mana-mana jawatan termasuk presiden kerana ia tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Menurut beliau, alasan untuk menukar presiden kerana gagal menarik sokongan golongan muda dalam menghadapi pilihan raya umum adalah tidak tepat.

“Pandangan (kurang sokongan orang muda) itu tidak tepat. Itu (isu) tidak berlaku kerana tidak ada satu kajian dibuat golongan muda tidak sokong PAS kerana presiden parti.
“Hari ini orang muda telah beri sokongan kepada PAS, jadi untuk tukar presiden PAS bukan isunya, walaupun itu (cadangan) tidak bercanggah dengan perlembagaan PAS,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Kawasan PAS Bukit Bintang turut mencalonkan bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar selain mencalonkan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi jawatan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden, bagaimanapun Mursyidul Am PAS itu menolak pencalonan tersebut.- Malaysia Insider

Filed under: News, , , , ,

Pemilihan PAS: Tuan Ibrahim tak tanding No 2, Mat Sabu masih kaji peluang

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden parti Islam itu pada pemilihan Jun ini, di sebalik desas-desus mengatakan persaingan kemungkinan sengit.

Sebelum ini khabar angin menyebut ada usaha untuk meminta beliau mencuba nasib jawatan nombor dua yang kini disandang Nasharudin Mat Isa.

Kata Tuan Ibrahim, beliau telah membuat keputusan yang jelas mengenai soal itu demi perpaduan parti. Dua naib presiden lain semasa ialah Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, masing-masing ahli Parlimen Pokok Sena an Kubang Kerian.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Tuan Ibrahim berkata, keputusan diambil demi masa depan yang lebih baik bagi PAS.
Jelas beliau, PAS mempunyai ramai pemimpin yang lebih layak dan berwibawa untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
“Saya tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden dan keputusan itu dibuat setelah fikirkan bahawa PAS mempunyai kepimpinan yang ramai dan boleh menyumbang memperkuatkan parti dalam menghadapi cabaran serta bersaing dengan Barisan Nasional (BN).

“Cabaran PAS kini lebih besar dan keputusan yang saya buat ini adalah jelas,” katanya. Jelas Pesuruhjaya PAS Pahang itu, dengan keputusan itu diharapkan kawasan yang akan mengadakan mesyuarat pada bulan depan tidak akan mencalonkan beliau bagi merebut jawatan timbalan presiden.

“Dengan keputusan ini saya harap kawasan tidak akan calonkan saya bagi jawatan ini, saya harap tidak pencalonan.“Saya harap kawasan akan pencalonan pemimpin yang lebih baik dan layak untuk memegang jawatan itu,” katanya.

Dengan keputusan itu, dijangkakan jawatan timbalan presiden akan menjadi rebutan antara penyandangnya Nasharudin dan ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu yang mungkin akan bertanding. Mohamad yang turut dihubungi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding bagi jawatan itu sekiranya mendapat sokongan kuat di peringkat kawasan.

Bagaimanapun, Mohamad berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding sekali lagi dan hanya akan mengumumkan pendiriannya tiga minggu sebelum muktamar yang akab berlangsung awal Jun ini.

Sekiranya, Mohamad bertanding ini merupakan kali kedua beliau berbuat demikian setelah tewas kepada Nasharudin dua tahun lalu. Turut bertanding ketika itu ialah Datuk Husam Musa.
Ketika itu kedua-dua Mohamad dan Husam merupakan naib presiden.

Pada pemilihan itu, Nasarudin mendapat 480 undi, Husam memperoleh 281 undi manakala Mohamad hanya 261 undi.

“Kita tengok pencalonan dulu… kemudian bincang dengan kawan-kawan, kemudian tengok pula sokongan lepas itu baru akan buat keputusan untuk bertanding atau tidak.

“Setakat hari ini saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi, dua atau tiga minggu sebelum muktamar saya akan beritahu sebab saya nak tengok mood perwakilan. “Kalau dapat sokongan yang kuat saya akan bertanding tapi kena lihat perkembangan dulu… lihat di kawasan yang akan mengadakan mesyuarat bulan depan,” kata Mohamad.

Mengakui kurang mendapat sokongan di peringkat perwakilan, Mohamad berkata, beliau mungkin akan bertanding jawatan lain sekiranya sokongan tidak kuat. “Kita tengok perkembangan dulu… tengok mood dulu. Kalau baik, saya akan bertanding, kalau tidak saya akan bertanding mana-mana jawatan yang dirasakan sesuai.

“Ataupun kemungkinan saya tidak akan bertanding pada pemilihan kali ini,” katanya.

Filed under: News, , , , ,

UMNO perlu insaf: Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU – Pas menyangkal dakwaan parti mereka sudah tersasar daripada perjuangan asal mereka seperti yang didakwa UMNO.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pelbagai tohmahan dan andaian buruk yang dilemparkan kepada Pas termasuk hubungan baik bersama DAP dan Pakatan Rakyat adalah satu rekaan semata-mata untuk menjatuhkan parti berkenaan.

Menurutnya, ahli-ahli yang berada di dalam Pas mengetahui perkara yang sebenarnya daripada orang UMNO.

“Orang Pas sendiri lebih tahu daripada UMNO, pada zaman Nabi Muhammad saw dahulu pun ketika berada di Makkah orang bukan Islam yang menjaganya, Nabi berbaik dengan orang kafir.

“Saudara saudari dalam UMNO tolong insaf sikit, kerana waktu kita hendak tahluf kertas kerja diluluskan oleh Dewan Ulama Pas,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Dataran Rakyat Bandar Baru Tunjong, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Nik Aziz juga menegaskan supaya semua ahli dan rakyat tidak perlu bimbang dengan keadaan yang melanda Pas sekarang kerana tahaluf berkenaan dianggotai oleh alim ulama dan ia diluluskan oleh Pas Pusat.

“Ahli-ahlinya juga terdiri daripada pakar-pakar, alim ulama, mufti yang jauh lebih tahu daripada orang UMNO,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Masuk PAS?: Kita tunggu dulu keputusan Zaid, kata Hadi

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi yang membabitkan Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan keluar parti itu.

Zaid yang sebelum ini membatalkan sidang media menjadualkan semula sesi bertemu pemberita di rumahnya di Petaling Jaya, pagi esok. Malah ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hadi berkata, Zaid sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan secara rasmi sama ada akan keluar PKR ataupun tidak.

“Beliau (Zaid) belum buat keputusan untuk keluar PKR atau tidak. Jadi kita tidak tahu apa yang akan beliau lakukan.

“Saya tidak suka kalau bercakap soal kalau sahaja, kita tunggu sahaja apa keputusan yang akan dibuat Zaid nanti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima Zaid sebagai ahli PAS, Hadi bagaimanapun berkata “kita perlu tunggu sahaja keputusan Zaid nanti.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan ‘dingin’ dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelmarin, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata parti itu akan menerima Zaid, bekas Pengerusi PKR sebagai anggotanya.

Husam berkata laporan Bernama yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak tepat. Zaid sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan PKR tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti itu.

Beliau mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang. Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 8 November lepas mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Malah Zaid meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Hari ini, Anwar berkata, Zaid bebas untuk meninggalkan PKR jika mahu sambil menegaskan bahawa partinya telah memberikan ruang secukupnya termasuk memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu. Kata Anwar, PKR telah memberikan banyak peluang dan layanan khas kepada bekas menteri Kabinet dan bekas pemimpin Umno itu.

Zaid juga disebut-sebut akan menubuhkan parti barunya bagi meneruskan perjuangan politik beliau.

Filed under: News, , , , , ,

Galas: SPR pilih tarikh ikut kehendak Umno?

Oleh : M Faqih & Mohd Nor Yahya   

KOTA BHARU, 6 Okt: Ada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu peratusan keluar mengundi lebih ramai, namun dalam masa yang sama hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas diadakan pada hari bekerja.

Ia seumpama kata orang cakap tidak serupa bikin. Malah ada pihak menggambarkan SPR mempunyai tuan yang lebih berkuasa iaitu pemimpin Umno. Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan (gambar – kiri) berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.

“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November. “Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.

Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya. Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010. Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos. Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya. Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi. ”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.

Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas.

 Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut. Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan. Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan. ”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.

Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.
”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau.

Filed under: News, , , , , , , ,

Ku Li sedia jadi saksi tuntutan royalti minyak

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.

“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.

Bagaimanapun, katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi. — Bernama

Filed under: News, , , , , , , ,

Isu royalti: Kelantan mahukan penjelasan Najib, bukannya Mustapa

Oleh Mohd Zuharman

PASIR MAS — Di sebalik pertikaian tuntutan royalti minyak Kelantan sebanyak lima peratus, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang beliau mendakwa sebagai hanya membisu.

Husam berkata demikian sebagai reaksinya terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sejak kebelakangan ini dilihat terlalu aktif mengatur pelbagai program dengan mendakwa Kelantan tiada hak mendapatkan bayaran royalti lima peratus.

“Sepatutnya Perdana Menteri yang bercakap pasal ini, dan kita memang inginkan penjelasan Perdana Menteri sendiri.
“Ambo (saya) minta Datuk Pa tak usah campur hal ini, biar Perdana Menteri sendiri yang bercakap.

“Sebab dia (Mustapa) bukan menteri berkaitan dalam perkara ini. Rakyat semua tahu,” kata beliau dalam ceramah umum dihadiri kira-kira 4,000 penyokong PAS di stadium mini Pasir Mas, dekat sini malam tadi.Kerajaan negeri membuat tuntutan tersebut awal tahun lalu.

Semalam Husam mengeluarkan penjelasan lapan perkara dengan menekankan Kelantan layak menerima tunggakan bayaran royalti minyak sebanyak RM2 bilion, bukannya RM20 juta yang diumumkan Mustapa baru-baru ini. Namun isunya menjadi hangat apabila kerajaan persekutuan cuba menafikan tuntutan itu dengan memutuskan hanya untuk membayar wang ihsan.

Mustapa menidakkan hak tersebut semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu dan ketika ceramah perdana balas baru-baru ini. Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, PAS yang begitu terdesak perlu menerima kenyataan royalti minyak bukan milik negeri seperti digembar-gemburkan selama ini.
Husam menegaskan pihak kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan tersebut walau dengan apa cara termasuk terpaksa bawa isu berkenaan ke mahkamah kelak.

“Kita lakukan semata-mata kerana rakyat. Dan, kita yakin rakyat sentiasa bersama kita dalam memperjuangkan hak ini,” katanya.

Satu taklimat berkaitan dengan isu royalti minyak kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan akan diadakan pada Ahad ini, yang akan disampaikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

“Tun sudah mengesahkan untuk hadir pada majlis itu. Selepas itu kita akan bincang balik apa tindakan seterusnya berhubung perkara ini,” ujarnya

Filed under: News, , , , , , , ,

Royalti minyak RM2 bilion, bukan RM20 juta

Oleh Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya   

KOTA BHARU, 23 Feb: Kelantan hari ini memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008. Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta. Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahad lalu, akhbar harian berbahasa Melayu menyiarkan iklan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum yang ditaja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, iklan terbabit begitu menggelirukan antaranya perkara yang dirujuk tidak ada kena mengena dengan akta atau undang-undang berkaitan petroleum.

Dalam senarai jawapan yang diedarkan kepada wartawan terdapat lapan perkara bagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti. Antaranya, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kesemua 13 perjanjian dan 13 geran penyerahan hak menggunakan istilah bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan. Perkataan yang popular digunakan semua pihak ialah royalti.

Selain itu, semua negeri di Malaysia ditadbir urus mengenai petroleum di bawah akta yang sama termasuk Sabah atau Sarawak.

“Perjanjian tersebut menyebut bahawasanya kerajaan dan Petronas adalah ingin hendak membuat sesuatu perjanjian menurut Seksyen 4 Akta PDA ia tak merujuk kepada Akta Ordinan Darurat 1969 yang telah dimansuhkan,” ujarnya.
Kata Husam, adalah amat memalukan kerajaan menggunakan akta yang telah dimansuhkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menjelaskan sebagai balasan bagi penggunaan dan hak-hak kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan hak kepadanya (Petronas). Mengikut akta itu, Petronas hendaklah membuat  bayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan kepada kerajaan Persekutuan lima peratus kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan.

“Jadi akta ini dengan jelasnya menunjukkan pembayaran dibuat oleh Petronas kepada negeri dan bukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.

Beliau juga berkata, perjanjian yang dilaksanakan di antara negeri-negeri dengan Petronas pada 1975/1976 menjelaskan hak negeri di daratan (onshore) dan luar pantai (offshore). Oleh itu, katanya, tiada dinyatakan sama ada dalam PDA 1974 dan perjanjian di antara negeri, di mana setiap negeri menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai.

Filed under: News, , , , ,

Royalti: Husam sedia dedah jika Mustapa minat

Oleh Wartawan Kita   

BACHOK, 22 Feb: Datuk Husam Musa berkata, segala dokumen mengenai istilah royalti ada dalam simpanannya dan sedia mendedahkan sekiranya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berminat.

“Saya sedia mengemukakan bukti itu kepada pemimpin Umno terbabit sekiranya berminat. Saya sedia hadir ke Kuala Lumpur sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya pada ceramah penjelasan isu royalti di Pekan Jelawat, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Aziz Kadir dan Setiausaha PAS kawasan, Mohd Huzaimy Che Husin.

Katanya, bayaran tunai lima peratus yang diterima kerajaan Terengganu sejak petroleum dikeluarkan di perairan negeri tersebut dikenali sebagai royalti tetapi malangnya istilah royalti tiba-tiba ditukar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wang ihsan pada 2000 selepas PAS menguasai Terengganu.

Malam Jumaat lalu Perhubungan Umno Kelantan menganjurkan program penjelasan isu wang ihsan di perkarangan pejabat Umno.

Program seumpama itu difahamkan kali ketiga diadakan. Sebelumnya diadakan di Hotel Renaissance dan padang Sekolah Menengah Zainab.

Kehadiran yang begitu mengecewakan Umno pada dua program berkenaan menyebabkan program ketiga diadakan malam Sabtu. Sekitar 1,000 orang hadir biar pun media proUmno menggambarkan lebih 5,000 hadir.
Umno juga kepanasan dengan isu tersebut apabila terpaksa mengeluarkan iklan satu muka surat dalam semua akhbar berbahasa Melayu semalam.

Iklan tersebut disebut dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan negeri berkata, buat apa perjanjian yang ditandatangani pada 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas sekiranya tiada kaitan dengan royalti minyak.

“Tidakkah melalui perjanjian tersebut negeri memberi kuasa kepada pusat untuk mengeluarkan minyak dengan syarat dibayar royalti.

“Ini kerana telah ditetapkan dalam undang-undang semua perkara berkaitan dengan perlombongan termasuk galian atau minyak diletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya di hadapan ribuan orang ramai di kedai Jelawat.
Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, usaha dilakukan kerajaan pusat melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjelaskan isu tuntutan hasil petroleum melalui iklan dalam akhbar semalam sebagai usaha menegak benang basah.
“Jelas usaha yang dilakukan mereka bagi memperbodohkan rakyat Kelantan,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tindakan dilakukan Umno mengiklan isu tuntutan royalti sebagai langkah yang amat terdesak.

Katanya, mereka cuba menghalalkan cara dengan cara menafikan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan.
Malah menurut beliau penjelasan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebaliknya telah menggelirukan rakyat kerana bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini.

“Rakyat sudah faham dengan penjelasan yang diberi pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Mana rakyat lebih percaya orang yang bertanggungjawab menubuh Petronas dengan pemimpin baru yang tidak faham apa-apa,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories