Kalam Perantau

Icon

PRO-M kembali berkuasa di kampus?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Telah lama saya tidak menulis berkaitan dengan mahasiswa dan politik kampus. Ketika saya kembali memasuki semula kampus sebagai mahasitua pada tahun 2006 untuk pengajian sarjana, saya mengasaskan dan menulis ruangan kampus di dalam akhbar Siasah. Malah, sesekali bila dipanggil menghadiri program-program siswa di kampus, saya tidak pasti apa yang hendak diperkatakan kerana zaman dah berubah. Setelah menghasilkan buku, Disebalik Tabir Politik Kampus pada tahun 1995, saya tidak  mengikuti secara dekat perkembangan mahasiswa dan politik kampus.

Sejak Aspirasi muncul sebagai satu pihak  yang ditaja oleh  establishment pada tahun 2002 untuk menguasai kepimpinan mahasiswa di kampus-kampus universiti, satu demi satu kepimpinan mahasiswa jatuh kebawah kekuasaan Aspirasi kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Setalah hampir satu dekad berkuasa di kampus-kampus, pada pilihanraya kampus minggu lalu (21hb. Febuari, 2011) beberapa kampus utama seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya ditawan semula oleh kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M). Di UM, kumpulan Pro-M mendapat 23 dari 41 kerusi dan di UKM pula Pro-M mendapat 22 dari 37 kerusi.

Dari maklumat yang saya perolehi, ProM menang dengan bergaya(sapu bersih) di USIM, menang di UPSI, UMS, UMK dan lain-lain tetapi kalah di beberapa kampus utama seperti UPM, UTM dan USM. Walaupun kalah di USM, tetapi ProM tetap menang di kampus USM Kubang Kerian, Kelantan.

Sejak beberapa tahun lepas, kebangkitan semula kumpulan mahasiswa yang bergabung membentuk ProM menggusarkan Menteri Pengajian Tinggi untuk membolehkan kumpulan Aspirasi “tajaan” mereka untuk terus berkuasa.

Percaturan yang dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, dengan membatalkan  semua calon Pro-M yang menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini cukup memalukan imej universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi. Tetapi setelah dibantah dan didesak banyak pihak, mereka memperakukan semula kemenangan calon-calon Pro-M tersebut.

Piliharaya kampus

Pilihanraya kampus hendaklah dilakukan secara adil dan bebas. Tidak wajar bagi bahagaian Hal ehwal Pelajar (HEP) yang mengedalikan pilihanraya mengambil bahagian yang aktif dengan menaja calon-calon dan memihak serta menjadi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang berat sebelah.

Sekiranya pilihanraya kampus diadakan sebagai memenuhi syarat yang termaktub dalam akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sahaja  adalah lebih baik kerajaan dan pihak berkuasa universiti tidak membazirkan duit, masa dan keringat bagi mengadakan piliharaya kampus.

Jika matlamat pilihanraya kampus gagal dihayati oleh pihak berkuasa universiti untuk mendedahkan dan mendidik mahasiswa erti demokrasi, tiada makna pilihanraya kampus diadakan dalam keadaan yang “tempang”.

Malah sekarang ini, pemilihan jawatankuasa kolej-kolej kediaman tidak lagi dilakukan dalam pilihanraya seperti sebelum ini kerana tidak termaktub dalam AUKU. Sebaliknya mereka lebih senang menyerahkan kepada budibicara Pengetua-pengetua melantik “Pengawas-pengawas” Kolej kediaman yang mereka perlukan untuk membantu kerja-kerjanya.

Saya diberitahu oleh seorang bekas aktivis kampus, Abdullah Abdul Karim seorang peguam baru-baru ini, jika pilihanraya kampus diadakan secara saksama kumpulan Pro-M boleh memenangi kampus-kampus utama seperti UKM, UM dan lain-lain dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan baru-baru ini.

Pada saya yang pernah menjadi aktivis mahasiswa dan terlibat dalam pilihanraya kampus pada zaman kami sebelum ini (1980an), sama ada Pro Apirasi atau Pro Mahasiswa menang, ianya tak akan kemana. Sebab itu pada saya, pihak berkuasa universiti tidak perlu menghiraukan sangat kepimpinan mahasiswa yang memenangi pilihanraya kampus cenderung ke arah establishment atau antiestablishment sebab  tidak banyak yang boleh mereka lakukan.

Pemimpin pelajar hanyalah setakat menyuarakan isu-isu kebajikan mereka, diberikan peluang  mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan beberapa program lain yang bersifat akademik dan non akademik. Cuma sesekali anak-anak muda ini akan menyuarakan pandangan yang tidak selari dengan kehendak HEP atau universiti.

Sebab itu saya tidak nampak rasionalnya seorang Menteri atau Timbalan Menteri beria-ia mengadakan strategi yang bukan-bukan bagi menghadapi Pilihanraya Kampus dengan membazirkan wang kerajaan.

Lebih baik Menteri Pengajian Tinggi melakukan kerja-kerja yang berfaedah bagi mempertinggatkan status universiti ketahap yang lebih baik dari berebut kuasa yang tidak ada dengan mahasiswa. Sebaiknya serahkan sahaja kepada kebijaksanaan pihak bwerkuasa universiti mengendalikannya seperti sebelum Kementerian pengahjian Tinggi (KPT) diwujudkan. Menteri Pelajaran atau menteri Pendidikan ketika itu yang bertanggungjawab kepada universiti tidaklah terlalu ghairah untuk menguasai politik kampus.

Secara peribadi, saya puji dengan sikap yang diambil oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sekarang, Saifuddin Abdullah yang pernah menjadi aktivis mahasiswa di zamannya. Dengan sikapnya yang mesra pemimpin mahasiswa, telah ada suara-suara mahasiswa meminta beliau dilantik menjadi  Menteri Pengajian Tinggi. Tetapi saya tidak pasti selama mana Saifuddin Abdullah boleh bertahan dengan sikap yang sekali pandang lebih banyak menyebelahi mahasiswa berbanding dengan bekas-bekas aktivis mahasiswa yang lain bila berkuasa.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , ,

Wajarkah mahasiswa dibelenggu di kampus?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri 

SELALUNYA saya tidak ketinggalan mengikuti program Soal Jawab atau diskusi berhubung dengan mahasiswa di televisyen. Itu memang minat saya sejak dahulu walaupun telah lama meninggalkan kampus. Kali ini, saya terlepas program Soal Jawab Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ibrahim Abu Shah di TV3 baru-baru ini. 

Pasca program ini menarik minat ramai bekas-bekas aktivis kampus untuk memberikan respons. Beberapa aktivis kampus yang sedang bergelumang dengan PAS seperti Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah (bekas Setiausaha Agung, Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, PMUTM 85/86) dan Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS (bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, PMUKM 1987/88) tidak ketinggalan memberikan komentar masing-masing berhubung dengan isu mahasiswa.

Mengikut komen Ahmad Lutfi Othman dalam kolumnya di Harakah, “Malam itu Saifuddin memang bintang dan wira bagi gerakan pelajar. Beliau mencadangkan, selain guru, pensyarah patut diberi peluang bergiat aktif dalam parti, manakala mahasiswa dipertimbangkan untuk terbabit menjadi ahli parti politik”.

“Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberipeluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan, tambah beliau, wajar menerima mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan, selain menghargai peranan pelajar sebagai sebahagian masyarakat sivil yang mempunyai tugas penting dalam sistem demokrasi.

Politik Kampus

Dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, beliau mungkin sedikit terhalang untuk melakukan reformasi bagi mengembalikan semula mahahasiswa sebagaimana yang dihatinya walaupun melakukan sedikit percubaan awal dengan membenarkan semula “sudut pidato” di kampus-kampus.

Menteri Pengajian Tinggi sendiri tidak bersependapat dengan timbalannya, Saifuddin Abdullah dalam hal pembabitan mahasiswa dalam politik. Saifuddin seolah-olah menjadi pemimpin “pembangkang” kepada menterinya sendiri, Mohamed Khaled Noordin!

Seperti biasa, tidak semua pentadbir utama kampus-kampus universiti bersetuju dengan pandangan beliau. Masih Naib Canselor yang sealiran atau bersependapat dengan Datuk Ibrahim Abu Shah, bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Agak ralat, saya juga tidak dapat hadir mendengar sendiri syarahan perdana bertajuk “university, kreativiti dan inovasi” teman lama, Datuk Professor Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seorang bekas aktivis pelajar Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1980an yang mempunyai idealism yang tinggi dalam memberikan kebebasan kepada perjuangan mahasiswa di kampus.

Sedikit sebanyak rasanya Zaini seperti juga Saifuddin masih berpegang kepada idealisme yang diperjuangkannya semasa di kampus dahulu bila dalam bukunya, “Mengangkasa Pengajian Tinggi”  mengungkapkan fenomena yang menyedihkan di universiti hari ini: “Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

Cuma saya ingin menyarankan kepada beliau, sebagai Naib Canselor UTM beliau bersedia membuka gelanggang UTM mengadakan debat, forum atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi.

Walaupun tidak setanding dengan Debat Agung Ekonomi yang pernah dianjurkan di universiti Malaya pada dekad 1980’an dahulu, di UTM setidak-tidaknya tidak kurang diadakan debat, forum atau diskusi berkaitan politik semasa dan sebagainya ketika saya bersama dengan beliau menjadi aktivis pelajar di UTM.

Saya bersetuju dengan pandangan Idris Ahmad, sepatutnya pendedahan politik kepada mahasiswa adalah perlu kerana ia sebagai medan mengasah bakat kepimpinan pada masa akan dating. Banyak kepimpinan mahasiswa telah melahirkan tokoh-tokoh politik dipihak pembangkang, kerajaan dan ahli akademik.

Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana sejarah telah membuktikan terserlahnya mereka dalam kepimpinan politik adalah hasil perjuangan mereka di universiti melalui gelanggang Majlis Perwakilan Pelajar dan juga kegiatan persatuan-persatuan di universiti.    

Saya juga telah lama menulis bahawa walaupun seseorang itu aktivis mahasiswa seolah-olah menentang establishment semasa dikampus, tetapi apabila terlibat dalam politik nasional mereka masih boleh menjadi pendokong UMNO dan Barisan Nasional seperti Ahmad Shabery Cheek (mantan Presiden PMUM dan PMIUM), Datuk Fuad Zarkasyi (mantan Setiausaha Agung PMUM) dan Datuk Saifuddin Abdullah sendiri.

Dari universiti lain pun sama, sebagai contohnya, Abd Rahman Sheikh, bekas Timbalan Presiden PMUPM yang pernah dilabelkan dari kumpulan Islam (Persatuan Mahasiswa Islam) sekarang ini adalah AJK UMNO Bahagian Teluk Intan. 

Beberapa orang aktivis mahasiswa yang bertanding diatas tiket Islam Penyelamat Ummah (IPU) di UKM juga menjadi wakil rakyat UMNO seperti Ramli Hj Noh (ADUN Tepuh), Ismail Said (Ahli Parlimen Kuala Krau) dan lain-lain.

Bagi saya, Saifuddin Abdullah, seorang bekas aktivis pelajar Universiti Malaya yang sinonim dengan tuntutan agar belenggu kampus ditamatkan wajar menerima pelawaan mengetuai kaukus parlimen mengenai penyertaan mahasiswa dalam politik yang dicadangkan Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)demi mengembalikan semula kegemilangan gerakan mahasiswa.

Lebih menarik lagi, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO pun turut mendesak kerajaan agar memberikan kebebasan kepada mahasiswa dibenarkan berpolitik di kampus. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,067 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories