Kalam Perantau

Icon

Kabinet PRU ke-13 PAS diterima rakyat?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kali ini agak lama saya tidak menulis dalam akhbar Siasah ini. Jika saya menulis, tentu saya tidak akan lari dari menyentuh tentang pemilihan PAS. Seingat saya, hanya satu artikel sahaja saya menulis tentang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan Pemilihan PAS secara sepintas lalu sahaja.

Sekarang ini semua pihak termasuk semua parti-parti politik mula sibuk membuat ramalan bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Malah sesetengah parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing kecuali PKR (akhir tahun 2010) dan PAS (pada 3-5 Jun, 2011) untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiyakan atau menafikan akan mengadakan PRU ke-13 pada 11.11.11 tapi masih berlegar kepada permainan angka seolah-olah dia cuba bermain teka-teki berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Najib dalam temubual dengan sebuah rangkaian radio tempatan yang disiarkan secara langsung baru-baru ini menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya. Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Diantaranya Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11. Sementara, ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Analisa Pemilihan PAS

Pasca Pemilihan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu media ketika diminta mengulas tentang keputusan pemilihan PAS 2011 bahawa beliau telah mendapat kabinet pilihanraya.  Kita akan lihat sama ada kabinet PAS kali ini yang penuh dengan professional menggantikan ulamak akan memaukau rakyat atau tidak untuk memilih PAS menggantikan UMNO dalam PRU-13 nanti untuk menuju ke Putrajaya? 

Seperti dilaporkan dalam HarakahDaily, “Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak,  dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat,” katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Dalam pemilihan kali ini, satu kejutan telah dilakukan oleh perwakilan PAS bilamana mereka menobatkan Hj. Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang secara tidak langsung memecah rekod kepimpinan PAS apabila beliau menjadi timbalan presiden pertama dari kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS pada tahun 1983.

Mohamad menang pada pemilihan kali ini apabila mendapat 420 undi berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa (224). Pada pemilihan 2009, Nasharudin mendapat 480 undi diikuti Husam dengan 281 undi dan Mohamad 261 undi.
Jika dilihat pada kedua-dua keputusan pertandingan Timbalan Presiden ini, ternyata Husam seorang strategis politik yang hebat, bila kawasan Kubang Kerian yang dipimpinnya mencalonkan Mohamad Sabu, saingannya untuk kerusi Timbalan Presiden pada 2009 sebagai calon Timbalan Presiden pada kali ini dan beliau hanya bertanding Naib Presiden di saat-saat akhir.

Ternyata percaturan Husam dan Mat Sabu berjaya kali ini berbanding dengan pemilihan 2009. Pada saya tidak susah untuk perwakilan untuk mengembalikan beliau semula kepada salah satu daripada 3 kerusi Naib Presiden dan meletakkan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, bila perwakilan kerana mereka “keliru” sama ada untuk memilih Nasharuddin Mat Isa atau Tuan Ibrahim untuk meneruskan tradisi yang dipegang sebelum ini.

Subky Latif, seorang pengamat politik terkenal tanahair ketika mengulas perkara ini menyebut,  Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi ‘akar ini akar tunjang yang menjalar merata’. Katanya, “Ulama tak menang kerana tidak ada yang sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan…tetapi Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata,”

Bagi kerusi Naib Presiden pula, Salahudin Ayub mendapat 753 undi, Husam Musa (660), Mahfuz Omar (616), Idris Ahmad (491), Nik Mohd Amar (321) dan Nizar Jamaluddin (217). Kehadiran Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS  dan Mohd Amar Nik  Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan) serta Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak)  tidak cukup untuk menyakin perwakilan bagi meletakkannya sebagai Naib Presiden PAS.

Mohd Amar juga tidak bernasib baik kerana masih ada Husam Musa juga calon dari Kelantan. Beliau dilihat masih dibelakang Husam bagi politik PAS peringkat nasional. Jika tiada Husam,yang turut bertanding kerusi Naib Presiden, peluang beliau mungkin lebih baik.

Walaupun Idris Ahmad seorang ulamak muda yang dinamik serta dilihat seorang yang ‘perfom’ sebagai Ketua Penerangan PAS, beliau gagal untuk mengikut jejak bekas Ketua Penerangan PAS apatah lagi bagi menyaingi kewibawaan Datuk Mahfuz Omar, yang mempertahankan kedudukan Naib Presiden bagi penggal kedua.

Sementara Sallehuddin Ayub pula dilihat sebagai  ‘Mr nice guy’ yang berjaya memukau perwakilan PAS setelah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tidak dapat mempertahankan prinsip awalnya untuk tidak bertanding kerusi Timbalan Presiden dan hanya mempertahankan kerusi Naib Presiden yang telah disandangnya.

Pemerhati politik melihat, Ir Nizar telah melepaskan peluang keemasannya untuk mencuba kerusi menjadi Naib Presiden PAS ketika popularitinya memuncak pada pemilihan 2009. Pada tahun itu, jika beliau menyertainya, peluangnya adalah lebih baik dari pada 2011 ini ketika ahli PAS telah melupai kehebatan bekas Menteri Besar Perak tersebut.

Sementara bagi 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013 tiada muka baru kecuali Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam serta Ustazah Nuridah Salleh, bekas Ketua Muslimat PAS. Keputusan penuh adalah seperti berikut :1) Mazlan Aliman (804), 2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765), 3) Datuk Kamarudin Jaafar (739), 4) Hanipa Maidin (735), 5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721), 6) Dr Zulkefly Ahmad (702), 7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651), 8) Khalid Samad (643), 9) Abdul Ghani Shamsuddin (579), 10) Amiruddin Hamzah (576), 11) Abdul Wahid Endut (556), 12) Abu Bakar Chik (527), 13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470), 14) Dr Siti Mariah Mahmud (445), 15) Datuk Mahfodz Mohamed (449), 16) Datuk Hassan Ali (437), 17) Abdul Ghani Abd Rahman (430), 18) Nuridah Salleh (416)

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Tok Guru Nik Aziz – Musyidul Am PAS yang saya kenali

Oleh Wan Nik Wan Yussof    

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS – sentiasa mengutamakan agama dalam berpolitik.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2:253, maksudnya: “Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan”.

Selaku pemimpin yang mempunyai sifat ulamak, nilai kepimpinannya adalah religiously charismatic. Peribadi kehidupannya sentiasa mengutamakan ajaran agama. Penampilannya pula adalah berwatak alim, warak, sederhana dan mesra. Dalam menjalankan tugas, keputusannya mengutamakan hukum syarak dan syura. Pengarahannya adalah berpandukan maklumat yang dicari mahu pun yang diberitahu. Pada usia yang menghampiri 80 tahun, fikiran dan fizikal masih kental. Walaupun upaya fizikalnya memerlukan pengawasan perubatan.

Demikianlah rangkap huraian atas tokoh yang dikenali umum, yang terserlah sejak tahun 60-an sampai kini dihormati kekal menerajui Majlis Syura Ulamak melalui jawatan Mursyidul Am sejak dilantik selepas Tuan Guru Yusof Rawa kembali ke rahmatullah.

Pada 29 Mac lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Atas pelantikan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini memasuki tahun ke-20 selaku Menteri Besar Kelantan dilihat telah melonjak keyakinan jemaah menghadapi segenap cabaran perjuangan. Meskipun pelantikan tersebut atas sifat penerusan dan pemerkasaan Majlis Syura selepas Pendaftar Pertubuhan mengesahkan pindaan Perlembagaan PAS 2009 lalu, ia tetap dilihat penting untuk PAS selaku sebuah gerakan Islam yang mengutamakan kepimpinan berteraskan religiously charismatic.

Oleh sebab itu, ramai berpendapat kekuatan institusi Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am adalah nilai keagamaan dan kekudusan sifat kepimpinan tertinggi parti dalam membayangi segala keputusan dasar, strategi, pelaksanaan dan pemantauan seluruh organ parti PAS.

Justeru itu, segala penghormatan, pengharapan dan pengupayaan PAS ada jawapannya di sebalik siapa orangnya yang dilantik selaku Mursyidul Am. Hakikatnya jawapan itu ada pada diri Tuan Guru Nik Abdul Aziz setakat mana yang saya kenal dan sepanjang waktu berada bersamanya di dalam jemaah.

Sehubungan itu, kekaguman saya secara peribadi terhadap bukti-bukti religiously charismatic beliau dapat ditampilkan dan disebut di sini. Antaranya adalah selalu memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan yang berceramah agar bersembahyang Maghrib/Isyak berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah, sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah, semasa berceramah mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja, dan akan mengingatkan tempat untuk bersembahyang apabila bermusafir.

Religiously charismatic boleh difahami sebagai kehebatan mengamalkan prinsip kehidupan selaku pemimpin yang bijaksana dan kental berpegang kepada ajaran Islam. Ia tidak berlaku di kalangan pemimpin biasa atau orang awam. Hakikat sifat keulamakan yang zahir dalam diri rohani dan jasmani Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan manifestasi religiously charismatic.

Meskipun, charismatic difahami sebagai sifat pemimpin yang berupaya mencetus kuasa penarik untuk orang ramai menerima dan menghormatinya, namun apabila charismatic itu diikat dengan religiously, maka kekuatan amalan kepimpinan yang berkarisma itu sebenarnya adalah berteraskan ajaran agama yang merupakan satu anugerah Ilahi yang memantapkan kepimpinan seseorang. Nilai religiously charismatic itu boleh dipadukan dengan ketentuan Allah SWT di dalam mencipta seseorang itu menjadi pemimpin menuruti lunas-lunas agama.

Sesuai dengan firman Allah (al-Baqarah 2: 253) bermaksud, “Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan”.

Justeru itu, kelebihan yang Allah kurniakan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah antara yang mungkin dikurniakan kepada para ulamak masyhur yang lain. Oleh itu, nilai karismatiknya adalah terserlah dalam perkara amalan kepimpinan yang dilihat tidak ada pada pemimpin yang sekular.

Dalam konteks memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, nilai karismatiknya adalah kehebatan seseorang pemimpin itu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Ia bertujuan untuk mendidik rakyat berteraskan lunas yang jelas, iaitu kalimah Allah SWT.

Hal ini saya yakin tidak mampu dilakukan oleh pemimpin yang tidak komited dengan Islam (tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai ibadat harian).

Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegang dengannya, iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Rasulullah SAW” (Riwayat Muslim);

“Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya satu pahala dan satu pahala digandakan sepuluh kali” (Riwayat at-Tirmizi).

Sembahyang berjemaah

Begitu pula, langkah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan agar bersembahyang Maghrib/Isyak secara berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah. Kelebihan di sebaliknya adalah mengandungi makna besar sebagai pemimpin yang berjuang di medan politik-dakwah. Ia akan menzahirkan keupayaan pemimpin boleh menjadi imam atau makmum sembahyang di mana-mana tempat bersama-sama rakyat. Sekali gus membuktikan integriti beragama yang secara peribadinya selalu menjaga sembahyang berjemaah dan menjaga serta mendirikan sembahyang sebagai paksi dan tiang beragama.

Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Sembahyang jemaah pahalanya melebihi sembahyang sendirian dengan dua puluh darjat” (Mutafaq’alaih);

“tiga orang yang diredai Allah iaitu seorang yang pada tengah malam bangun dan sembahyang, suatu kaum (jemaah) yang berbaris untuk sembahyang, dan satu kaum berbaris untuk berperang” (Riwayat Abu Ya’la).

Hakikat ini akan membezakan pemimpin Islam dengan pemimpin sekular, kerana pemimpin yang sekular akan menepikan amalan sembahyang, lebih-lebih sembahyang berjemaah.

Sementara kehidupan seorang yang warak sudah pasti sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah. Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku pemimpin jangan tak berzikir, kerana semasa berzikir kita akan dekat dengan Allah. Amalan zikir ini tidak diajar oleh demokrasi, kerana ia tiada dalam aturan demokrasi. Melainkan dalam Islam yang mengajar kita berzikir. Dimulakan dengan Bismillah dan sebutlah sentiasa nama-nama Allah dan diikuti dengan selawat kepada junjungan Nabi.

Seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini selari dengan sunah Nabi, sebagaimana sabdanya bermaksud, “tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya dari azab Allah daripada zikrullah” (Riwayat Ahmad); “perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

Demikian pula, semasa berceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja. Pendekatan ini dikira menepati dengan uslub dakwah yang mengambil kira semua pendengar dapat menerima atas lunas keislaman bukan kepartian.

Jika banyak menyebut parti, mungkin akan ada sebahagian pendengar akan rasa tersinggung atau menolak hujah yang disebut semasa berceramah. Ia berbeza, apabila hujah agama dijadikan sandaran, maka tidak akan ada orang menolak agama. Apabila mereka memahami agama, dan agama yang difahami itu adalah Islam, maka sampai masanya parti yang memperjuangkan Islam akan dapat difahami dan diterima.

Selanjutnya, sifat pemimpin Islam adalah mengutamakan sembahyang kerana ia tugas wajib hamba kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Sebenarnya bukan sifat pemimpin Islam apabila berpergian (bermusafir), ibadat sembahyang dikemudiankan, sebaliknya mengutamakan makan-minum ketika berpergian.

Saya teringat, betapa Arwah Ustaz Bunyamin Yaakob membandingkan kehebatan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja naik kereta untuk berpergian, maka akan disebut kepadanya ‘masjid mana kita nak berhenti sembahyang’. Sebaliknya, ada seorang pemimpin besar PAS yang lain, sebaik sahaja berpergian perkara pertama yang disebut ialah ‘kita nak berhenti makan di mana’. Demikian cerita Arwah Ustaz Bunyamin.

Maka, pengajaran besar bagi setiap ahli dan pemimpin di jalan politik-dakwah ialah mengingatkan tempat untuk bersembahyang dan menunaikan sembahyang sewaktu bermusafir diyakini akan mendapat berkat Allah SWT di sepanjang perjalanan, sehinggalah kita semua akan sampai dengan selamatnya ke tempat yang dituju.

Ia sesuai dengan amanat Rasulullah SAW apabila menghantar orang-orang mukmin yang akan memulakan perjalanan, baginda bersabda, “semoga Allah membekali kamu dengan takwa, mengarahkan kamu kepada segala kebaikan, melaksanakan bagi mu segala keperluan mu, menyelamatkan agama dan dunia mu, mengembalikan kamu pulang dengan selamat dan memperoleh keuntungan” (Riwayat Ibnu Babawih).

Demikianlah perspektif yang dapat ditonjolkan atas nilai-nilai religiously charismatic kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan sebagaimana usia saya mengenali, mendampingi dan mendapat bimbingannya. Serlahan kepimpinan itu selayaknya akan ramai lagi pemimpin Islam, khasnya kalangan pemimpin parti PAS yang mengikut jejak ilmu politik-dakwah dan keperibadian hidup ibadatnya.

Selayaknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas kepimpinan Majlis Syura PAS dengan jawatan Mursyidul Am, kerana ia memenuhi ciri-ciri Kepimpinan Ulamak yang menguruskan gerakan politik-dakwah, menyambung urusan sunah Nabi – memartabatkan agama dan mengurustadbir dunia dengan agama – dalam era kecanggihan dunia yang mencabar ini.

Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Siapa paling layak ganti Nik Abdul Aziz?

Oleh Zulkiflee Bakar
DALAM tempoh beberapa hari ini, isu siapa yang bakal menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan ‘hangat’ diperkatakan biarpun Mursyidul Am Pas itu sendiri belum memberi sebarang isyarat sama ada beliau akan berundur dalam waktu terdekat.

Sebenarnya, isu pengunduran Nik Abdul Aziz bukanlah isu baru, malah sejak beberapa tahun lalu ia sudah mula diperkatakan termasuklah setiap kali pilihan raya umum berlangsung. Tetapi setakat ini, belum ada petanda yang jelas bahawa Nik Abdul Aziz akan meninggalkan jawatan itu yang disandangnya sejak tahun 1990.

Apabila soal pengganti diperbincangkan, maka wujudlah nama-nama mereka yang dikatakan layak untuk menggantikan Nik Abdul Aziz. Setakat ini ia berkisar kepada tiga orang sahaja yang ketiga-tiganya adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Husam Musa. Ahmad Yakob adalah Timbalan Menteri Besar manakala Nik Amar dan Husam adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun sebelum ini, Husam sering disebut-sebut sebagai pengganti Nik Abdul Aziz tetapi kenyataan terbaru beliau jelas membuktikan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Kelantan.

“Saya tidak mahu dicalonkan sebagai pengganti. Jadi tak sepatutnya nama saya naik. Saya serius (tentang apa yang dikatakan).’’ Itulah kata Husam.

Namun begitu, sama ada penyokong Pas suka atau tidak, soal pengganti Nik Abdul Aziz tidak akan menjadi satu masalah sekiranya mereka mengkaji kriteria bagi melayakkan seseorang itu menggantikan Mursyidul Am Pas tersebut.
Sejak Pas menguasai Kelantan pada tahun 1990, slogan ‘Bersama Kepimpinan Ulama’ adalah menjadi daya penarik utama bagi membolehkan Pas terus bertahan sehingga kini. Pas mendapat sokongan di kalangan rakyat kerana corak kepimpinan ulama yang diketengahkan.

Inilah faktanya. Oleh itu apabila orang bercakap mengenai pengganti Nik Abdul Aziz (jika Pas masih diberi mandat untuk berkuasa) maka perkara pokok yang paling utama untuk dipertimbangkan ialah individu berkenaan mesti berlatar belakangkan agama, jika tidak maka Pas Kelantan perlu menggugurkan slogan ‘Bersama Kepimpinan ulama’ tersebut.

Dalam soal ini, Pas sudah tentulah tidak mahu ia berlaku kerana sokongan yang diraih oleh mereka selama ini adalah bersandarkan kepada kepimpinan tersebut. Malah Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang Menteri Besarnya adalah ulama. Justeru orang melihat dari satu segi Pas sudah terperangkap dengan slogannya sendiri kerana mahu tidak mahu, hanya ulama sahaja yang boleh menggantikan Nik Abdul Aziz.

Jika Pas hendak memilih mereka yang bukan berlatar belakangkan ulama, maka mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan penolakan rakyat terutamanya penyokong atas pagar yang selama ini begitu bangga apabila melontar undi kepada Pas di Kelantan kerana memahami ulama akan terus memimpin negeri itu.

Kalau kepimpinan ulama mahu dikekalkan maka Pas Kelantan hanya mempunyai dua pilihan sahaja sama ada memilih Ahmad Yakob atau Mohd. Amar.

Filed under: News, , , , , , ,

MENJELANG MUKTAMAR: PAS ANJUR SAMBUTAN 25 TAHUN KEPIMPINAN ULAMAK DAN LANCAR DANA BINA KOMPLEKS 27 JUTA DI PUTRAJAYA

Oleh MOHD SHUHAIMI AL-MANIRI

Tulisan saya, Kepimpinan Ulama dipertikai, PAS Terengganu mula berubah ? dalam Siasah Bil. 0148 (10-16 hb. Mei, 2009) telah mendapat reaksi oleh seorang blogger Zahid Yusof, mantan Setiausaha PAS Besut setelah artikel berkenaan dimasukkan ke dalam blog Cina Islam yang dikendalikan oleh seorang blogger Perakian, Drs Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong yang juga Ketua Backbencher ADUN Pakatan Rakyat Perak.  

Saya tidak pasti kenapa blogger Cina Islam berminat dengan artikel berkenaan. Mungkin juga kerana beliau hadir menjadi tetamu khas pada Muktamar PAS kawasan Marang menggantikan  Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak yang sah pada 9hb. Mei, 2009 dan menyaksikan sendiri perubahan kepimpinan PAS Kawasan Marang daripada Ustaz Hj. Hassan Salleh yang berundur kepada Haji Yahaya Ali menyebabkan apa yang ditulis beberapa hari sebelum itu ternyata tidak meleset dan menjadi kenyataan.

Secara jujurnya saya belum berkesempatan membaca blog blogger berkenaan sebelum ini. Tetapi setelah diberitahu oleh Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung dengan  komen tersebut saya beluim berkesempatan membacanya. Tetapi bila pengendali blog kalamperantau.wordpress.com yang memuatkan tulisan-tulisan saya dari saya memberitahu saya kena jawab makan terpaksalah saya mencari blog tersebut untuk mengetahui isi kandungannya.

Bila saya amat betul-betul tiada apa yang dipertikaikan, cuma  mengatakan ianya meleset kerana hanya dua Yang Dipertua sahaja bertukar, iaitu Besut dan Marang. Saya tidak berhasrat untuk berdebat dan mengulas apa yang ditulis  mantan Setiausaha PAS Besut berhubung dengan perubahan apa yang dimaksudkan dalam tulisan tersebut. Bagi yang belum membacanya boleh layari blog Kalam Perantau di alamat, https://kalamperantau.wordpress.com untuk mengetahui isi kandungannya.

Begitu juga dengan frasa kata kepimpinan ulamak dipertikai yang tidak difahami oleh blogger berkenaa juga tidak perlu dijelaskan kerana  seorang pengunjung blog beliau, Mohd Ali Muda telah memberikan komen berikut;

Salam,  Ustaz tak faham tulisan suhaimi dalam kalam perantau, dia sebenarnya ada 2 benda yang berbeza…ustaz kena amati betul2. Ustaz jangan keliru mcm saya mula2 baca juga. Maaf”.

Pemilihan Kepimpinan PAS
Saya melihat minat dan perhatian media kepada pemilihan PAS kali ini meningkat. Malah bila membaca akhbar-akhbar harian dan tabloid tertentu lebih menyerlah ulasan mereka berhubung dengan pemilihan kepimpinan PAS berbanding dengan akhbar Harakah sendiri.

Malah kalau membaca blog-blog dan laman-laman web di alam maya, keadaan menjadi lebih parah dengan bermacam-macam cerita. Ada satu atau dua blog yang konsisten membincangkan kepincangan kepimpinan PAS . Setiap satu tindakan yang dilakukan oleh pimpinan PAS tertentu yang mungkin bukan  dari kumpulan mereka dipertikaikan.

Pada saya jika blog ini dikendalikan oleh ahli PAS atau pimpinan PAS adalah amat tidak wajar kerana mendedahkan kelemahan PAS kepada musuh secara terbuka yang tidak pernah dilakukan oleh parti-parti lain.

Ketelusan PAS dalam era pendemokrasian maklumat seperti ini yang membenarkan maklumat-maklumat sulit yang sepatutnya diketahui oleh ahli yang hadir mesyuarat berkenaan  sahaja tidak sewajarnya disebarkan secara meluas melainkan ada agenda terancang untuk memusnahkan parti berkenaan dalam jangkamasa panjang.

Perkara ini berlaku mungkin disebabkan tiada Akta Rahsia Rasmi (OSA) didalam parti PAS menyebabkan semua maklumat boleh diklasifikasikan sebagai maklumat umum.  Saya tidak pasti ada klasifikasi maklumat atau tidak dalam PAS. Tetapi apapun klasifikasinya, dalam era kecanggihan teknologi mkaklumat dan komunikasi (ICT) ini, maklumat berhubung dengan perbincangan berkenaan boleh berada dalam internet sebelum habis mesyuarat berkenaan kerana ramai yang mempunyai blackberry dan sebagainya.   

Satu trend yang saya perhatikan sejak dahulu ada dua perkara yang menjadi budaya kepada parti PAS. Satunya terdapat kalangan pemimpin-pemimpin tertentu yang menulis secara bermusim terutama menjelang pemilihan dengan berbagai isu dan topik sama ada dalam akhbar parti ataupun internet.

Kedua adalah melancarkan program-program atau projek menjelang muktamar . Dua program saya dijemputdan hadir adalah  pelancaran dana bina kompleks PAS bernilai RM 27 juta di Putrajaya disebuah hotel terkemuka dan kedua sambutan Jublee Perak kepimpinan ulamak PAS.

Pada saya kedua-dua program ini adalah baik dan perlu diberikan perhatian.   Saya cukup seronok dengan apa yang diperkatakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS bebas politik wang.

Jika benar seperti yang disebutkan oleh Presiden PAS dalam petikan dari akhbar rasmi PAS, Harakah Bil. 1440 : 27-29 Mei, 2009, “setelah mendengar taklimat dari Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan beberapa pimpinan PAS yang lain, setelah kita kumpul maklumat dari semua negeri-negeri yang telah bermesyuarat agung disemua peringkat, kita dapati tiada politik wang dalam PAS. Kita yakin PAS tidak akan dapat ditembusi  dengan politik wang. Kita juga menafikan sekeras-kerasnya laporan media yang mengaitkan PAS dengan amalan rasuah dan politik wang”.

Mungkin sekarang PAS belum terpalit dengan politik wang kerana belum berkuasa memerintah negara. Kita lihat bagaimana wajah PAS selepas memerintah. Saya yakin jika UMNO tidak memerintah, parti berkenaan juga tiada politik wang kerana pemimpin-pemimpin mereka tiada wang untuk dihamburkan kepada pengikut-pengikut mereka.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah Bil:0150 (24-30 Mei, 2009)

Filed under: Siasah, , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories