Kalam Perantau

Icon

Tuah salam Cikgu Mala

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada “berlapek”, ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti “mengangkat dan memuji” PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran “sanjungan” Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai  Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang “mudah dibaca” itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA — rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional — berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan “DAP yang pekat rasis Cina” dan “PAS yang fanatik dan ekstrim Islam” sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. “Politik label” yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia — bukan sahaja pengundi Tionghua — yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan  bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.

Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang “dikitar semula”, malah merupakan “pemain utama” yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula “isu salam” calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) — tentu bersama Utusan Malaysia — yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN. 

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau  tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana “ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan”. Tambahnya, “BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu.” Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo  menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, ‘kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan “semak dan imbang”.

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , , , ,

‘Cikgu Mala suka P.Ramlee’, ikuti wawancara dengan beliau

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN (Mstar)

APAKAH latar belakangnya sebagai bekas guru memberi kelebihan kepada calon PAS, Normala Sudirman, 38, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang?

Sebelum diangkat sebagai calon, Normala tidak begitu dikenali ramai. Lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala, Ketua Muslimat PAS Kawasan Labis ini bagaimanapun tidak lokek bercerita mengenai perkara yang disukainya kepada mStar Online.

Ikuti temu bual dengannya yang diadakan di Markas PAS Labis baru-baru ini.

Mstar: Adakah ‘Cikgu Mala’ mempunyai blog atau akaun laman web sosial seperti Facebook?

Cikgu Mala: Saya ada laman blog dan akaun Facebook. Saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk mengemaskini medium online ini. Kedua-duanya saya gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat mengenai pandangan serta masalah mereka.

Mstar: Adakah anda meminati apa-apa cabang seni?

Cikgu Mala: Saya tidak pernah belajar bermain apa-apa alat muzik tetapi saya suka dengar muzik nasyid kerana melodi dan liriknya memberi ketenangan kepada saya. Kumpulan nasyid yang saya gemari ialah, In Team dan Hijjaz.

Mstar: Adakah anda suka menonton wayang?

Cikgu Mala: Saya bukan kaki tengok wayang dan saya tak ada filem yang betul-betul saya minati. Ini disebabkan tugas saya sebagai seorang ibu dan sibuk dengan aktiviti parti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk menonton wayang.

Mstar: Anda suka membaca? Buku apa yang anda gemari? :

Cikgu Mala: Saya suka baca buku agama dan perjuangan nasionalisme kerana di sini saya mendapat inspirasi untuk amalan kehidupan seharian.

Mstar: Makanan kesukaan anda?

Cikgu Mala: Saya suka makan nasi goreng kampung dan ikan siakap masak stim.

Mstar: Apakah yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?

Cikgu Mala: Saya suka membaca buku pada waktu lapang dan saya suka pergi sauna selepas melalui aktviti yang meletihkan. Namun disebabkan oleh jadual yang padat, saya hanya dapat tidur tiga jam sehari dan yang mengejutkan ini tidak langsung memenatkan saya kerana saya sentiasa teruja untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Mstar: Sukan apa yang anda gemari?

Cikgu Mala: Saya suka bermain bola jaring dan aktif di sekolah. Saya juga suka menyaksikan pelajar saya bermain bola jaring ketika saya menjadi guru.

Mstar: Adakah anda mempunyai nama samaran atau timbangan?

Cikgu Mala: Teman rapat dan ahli keluarga memanggil saya Nor tetapi sejak saya menjadi cikgu mereka panggil saya Cikgu Mala dan gelaran itu kekal hingga hari ini.

Mstar: Bahasa yang anda kuasai?

Cikgu Mala: Selain Bahasa Malaysia. Saya boleh berbahasa Inggeris dan cakap bahasa Jawa. Selalunya saya lebih banyak bercakap dalam Bahasa Malaysia.

Mstar: Anda mempunyai binatang peliharaan?

Cikgu Mala: Saya suka haiwan dan saya ada bela kucing namanya ‘Mickey’.

Mstar: Siapakah idola anda?

Cikgu Mala: Idola saya, Nabi Muhammad SAW. Baginda sumber insipirasi kepada saya dan kegigihan, ketabahan serta kepayahan yang dihadapinya merupakan contoh kepada orang Islam.

Mstar: Pelakon yang anda sukai?

Cikgu Mala: Saya suka P. Ramlee. Dia seorang legenda dan salah seorang artis tempatan yang paling berbakat kita pernah miliki.

Mstar: Perkara yang anda sukai tentang Malaysia?

Cikgu Mala: Kepelbagaian budaya, agama serta adat resam yang kita miliki. Kepelbagaian budaya dan masyarakat menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa dan unik untuk dikunjungi.

Mstar: Perkara yang anda tidak suka tentang Malaysia pula?

Cikgu Mala: Satu faktor yang saya tidak suka tentang Malaysia ialah kita masih belum mempratikkan nilai demokrasi sebenar. Banyak yang masih boleh diperbaiki lagi dan kita sudah pasti akan bergerak ke arahnya.

Biodata

Nama: Normala Sudirman,38.

Suami: Maarof Abdul Mutalib

Anak: Nur Hasanatul Fadillah 13, Muhammad Aiman Zulhakim 11 dan Muhammad Irfan Mukhlis, 8.

Ayah: Sudirman Suratman

Ibu: Mukmini Yahya

Kelulusan: Diploma Maktab Perguruan Tuanku Bainon Pulau Pinang.

Pekerjaan terakhir: Guru.

Jawatan dalam parti: Ketua Muslimat PAS Labis, Exco Pendidikan PAS pusat.

Pembabitan dalam pertubuhan kebajikan: Setiausaha Program Literasi dan Numerasi (LINUS) dan Pemulihan Kanak-Kanak Buta Huruf 3M, Penyelaras Program Pemulihan Khas dan Intervensi (PINCH), AJK Bimbingan dan Kaunseling, AJK Kantin Sekolah.

Filed under: News, , , , , ,

PRK lagi: Selepas Tenang, Merlimau pula

Oleh SUHAIMI AL-MANIRI

Tulisan saya dalam kolum ini minggu lepas menjangkakan suhu politik politik negara menjadi semakin panas pada tahun ini berikutan Pilihanraya Kecil (PRK) Tenang pada 30hb. Januari nanti. Belum pun sempat penamaan calon PRK Tenang diadakan pada 22hb. Januari, lepas, satu lagi pilihanraya kecil yang ke-15 pula akan diadakan di Merlimau, Melaka berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20hb. Oktober lepas.

DUN Merlimau mempunyai jumlah pengundi sebanyak 10,471 dengan pecahan komposisi pengundi 64 peratus Melayu, 21 peratus China dan 14 peratus India. Dalam pilihanraya umum 2008 yang lepas, Hidhir yang bertanding atas tiket BN (UMNO) mendapat undi sebanyak 4,981 mengalahkan calon PAS, Jasme Tompang (undi: 2827) dengan majoriti 2,154. Sebelum itu pada pilihanraya umum 2004, beliau menang dengan majoriti 5,087 setelah  mendapat 6,332 undi berbanding dengan calon PKR, S Jayantas yang mendapat 1,245 undi.   

Semua negeri lain telah ada pilihanraya kecil, iaitu Kedah (Bukit Selambau; kekal dimenangi PKR), Pulau Pinang, Permatang Pauh dan Penanti; kekal dimenangi PKR, Permatang Pasir; kekal dimenangi PAS), Perak (Bukit Gantang; kekal dimenangi PAS), Selangor (Hulu Selangor; dirampas BN (MIC) dari PKR), Kelantan (Manek Ural; kekal dimenangi PAS, Galas dirampas BN dari PAS), Terengganu (Kuala Terengganu dirampas PAS dari BN9UMNO), Negeri Sembilan (Bagan Pinang kekal dimenangi BN), Sarawak (Batang Ai kekal dimenangi BN; Sibu dirampas DAP dari BN) dan Sabah (Batu Sapi kekal dimenangi BN).

Setakat ini hanya di Perlis dan Pahang serta Wilayah Persekutuan sahaja lagi yang belum ada pilihanraya kecil. Setakat 13 pilihanraya kecil yang lepas, hanya 4 kerusi sahaja yang berpindah dari parti yang menyandang sebelumnya; Kuala Terengganu dari UMNO (BN) kepada PAS (PR), Hulu Selangor dari PKR (PR) kepada MIC (BN), Sibu dari SUPP (BN) kepada DAP (PR) dan yang terakhir Galas dari PAS (PR) kepada UMNO (BN). Selainnya kekal kepada penyandang sebelumnya.Kedudukan sekarang BN Versus PR adalah seri 2-2.

Cikgu Mala ada peluang buat kejutan?

Kelantangan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO untuk meletakkan Haslinda Salleh, Ketua Wanita UMNO bahagian Labis  sebagai calon BN pada kerusi pengundi wanita melebihi 50 ini pada pilihan raya kecil Tenang ini tidak menjadi kenyataan.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memperjuangkan Wanita UMNO diletakkan sebagai  calon kerusi DUN Merlimau yang juga wanita menjadi  pengundi majoriti melebihi 50 peratus juga. Pada masa itu, Shahrizat sekali lagi boleh meminta Ketua Wanita UMNO Jasin pula dicalunkan.

Cuma Shahrizat perlu sedar, UMNO dibawah kepimpinan Najib sekarang ini berbeza dengan dibawah kepimpinan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Najib telah menekankan hanya calon yang mempunyai kreteria untuk menang sahaja akan dipilih sebagai calon untuk mengelak BN kehilangan kerusi yang dipertandingkan. Dia tegas untuk tidak memilih Ketua Bahagian, Setiausaha Politik atau orang yang rapat dengannya ‘yang tidak boleh membawa kepada kemenangan’ dalam pilihanraa umum ke-13 nanti.  

Di Bagan Pinang, Najib berani memperjudikan Isa Samad sekali lagi kerana ada potensi untuk menang walaupun sudah di’pencen’kan dan tidak berapa ‘selesa’ dengan Menteri Besar Negeri Sembilan. Terbaru di Galas, Najib juga meletakkan muka baru walaupun calon lama, Saupi Deraman berminat untuk bertanding semula menebuskan kekalahannya yang tipis kepada PAS dalam PRU 2008.

Begitu juga di Hulu Selangor, Najib tidak merestui G.Palanivel, Timbalan Presiden MIC dan calon yang kalah di Hulu Selangor bertanding sekali lagi dalam pilihanraya kecil selepas itu kerana tiada peluang untuk menang semula. Ternyata percaturan Najib meletakkann muka baru, P.kamalanthan membuahkan hasil merampas semula kerusi berkenaan daripada PKR.

BN seolah-olah terkejut atau tidak percaya PAS meletakkan calon wanita Normala Sudirman, 38, Ketua Muslimat Labis yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala, bekas guru sekolah menengah di Tenang  dalam pilihanraya kecil ini.

Sabtu, 22hb Januari lepas, saya berpeluang pergi melihat sendiri proses penamaan calon yang diadakan di majlis Daerah Labis. Entah apa sebab saya pun tak pasti, saya tergerak hati untuk berarak mengiri calon pada hari tersebut. Biasanya saya hanya meninjau dari jauh sahaja untuk melihat suasana. 

Buat pertama kali saya diberitahu oleh orang-orang Labis bahawa mereka terkejut bila PAS dan parti-parti PR mampu membawa begitu ramai penyokong (dianggarkan lebih 10,000 orang) dan mereka melihat sendiri penyokong-penyokong PR hari itu melebihi penyokong calon BN. Beberapa orang Cina dan Melayu yang saya temui, mereka tidak segan silu mengatakan PAS membuat percaturan yang bijak kali ini meletakkan Cikgu Mala sebagai calon. 

Aura Cikgu Mala cepat merebak di Labis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai calon. Sejak itu percaturan UMNO mula tidak kena. Bermula dengan adegan, suaminya nak ditukarkan ke JB dalam masa 24 jam, tapi tak jadi kerana bantahan dan menyebabkan rakyat semakin benci kepada UMNO. Begitu juga UMNO tidak mampu memperjudikan Ketua Wanita Labis di kerusi DUN Tenang yang majoriti pengundinya adalah wanita. Sebaliknya BN terpaksa meletakkan  Mohd Azhar Ibrahim, seorang Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Rengit sebagai calon “payung terjun” BN.  

Berjayakah Tok Ai (nama panggilan Azhar) menjaga air muka Tan Sri Muhyiddin untuk menang di sini? Jika Kak Ijat (nama timangan Shahrizat) dan wanita UMNO berpegang kepada perjuangan mereka untuk melihat lebih ramai wanita berada dalam DUN atau parlimen, tidak menjadi masalah bagi wanita UMNO memberikan laluan kepada Cikgu Mala memenangi pilihanraya kecil ini kerana pilihanraya umum akan diadakan beberapa bulan sahaja lagi. Jika Cikgu Mala menang sekalipun ianya tidak menjejaskan pemerintahan UMNO di Johor.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , ,

ROSMAH PM SELEPAS NAJIB?

Beberapa tahun sudah, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib Tun Razak dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka lengkaplah apa yang dinamakan teori RAHMAN.  Timbullah cakap-cakap kedai kopi apa pula selepas RAHMAN. Ada yang menyebut RAHMAN akan kembali. Namun siapakah insan yang bernama ‘R’ itu? Apakah mungkin Rosmah yang dimaksudkan? Jika kita lihat apa yang berlaku kepada Hillary Clinton, walaupun beliau gagal menjadi Presiden Amerika, tidak mustahil Rosmah sedang mengatur langkah daripada ‘First Lady’ kepada ‘first Women Prime Minister’. Sama-sama kita lihat seterusnya – moderator

TAJUK ASAL : Lebih baik Rosmah saja jadi PM 

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Kolumnis terkemuka, A Kadir Jasin mengulas beberapa respons dalam blognya, mengenai pembabitan aktif isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, terutama dalam lawatan terbaru ke Asia Barat (kunjungan empat hari ke Oman). Rosmah ke sana bukannya kerana mengiringi Najib Razak. Ini bukan kali pertama Rosmah bertindak atas kapasitinya sebagai “First Lady“, yang sebenarnya tiada diperuntukkan dalam sistem pemerintahan di negara kita.

Melalui blognya, kadirjasin.blogspot.com, terdapat pembahas yang mencadangkan agar Rosmah  masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Menurut Kadir, seorang bekas menteri kanan yang diketahui cukup akrab dengan Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.

“Rosmah sudahpun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de facto dalam sistem pemerintahan negara melalui projek Permata Negara yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam Belanjawan 2011. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media,” tulis Kadir.

Selepas memperincikan kemunculan begitu ramai isteri sebagai pengganti suami dalam lanskap politik dunia, Kadir sempat mengusik: “Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.

“Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan.”

Saya turut bersetuju andaikata Rosmah berhasrat untuk terlibat aktif dalam politik, termasuk bertanding dalam pilihan raya umum dan bersedia menggantikan Najib nanti. Situasi menjadi lebih keliru jika benar beliau sekarang bertindak di sebalik tabir dalam proses pembuatan dasar dan juga penganugerahan projek-projek. Keadaan hampir menyamai era Abdullah Ahmad Badawi apabila menantunya, Khairy Jamaluddin dikatakan menentukan keputusan-keputusan penting negara.

Biar rakyat membuat penilaian, sama ada seorang wanita bersedia dipilih rakyat sebagai Perdana Menteri, daripada membiarkannya menjadi dalang yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, ‘kan? Apatah lagi lawatan glamournya itu menghanguskan wang rakyat yang begitu banyak. Bayangkan saja kos penginapannya di sebuah hotel di Dubai didakwa mencecah RM140,000 semalam!

Lebih daripada itu, Rosmah cukup licik mempergunakan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri, sehingga banyak pihak rimas dengan “kuasanya” yang melampaui batas. Segalanya mahu disentuh Rosmah, kadang-kadang mengalahkan menteri yang mengetuai potfolio tertentu.

II.

Selepas Dr Mahathir Mohamad dimalukan bekas anggota kabinetnya sendiri, Shahrir Abd Samad, di Johor Bahru pada 1988, tiada lagi kelibat Perdana Menteri, termasuk Abdullah dan Najib kemudiannya, dalam kempen pilihan raya kecil. Mereka lebih suka menyerahkan tugas mengetuai jentera BN kepada timbalan masing-masing. Namun di Sibu Najib terpaksa turun ke jalan raya dan pasar untuk meraih simpati masyarakat Cina di sana. Akhirnya BN tewas juga.

Di Tenang, Najib bertindak lebih awal berkempen menemui pengundi, dengan menggunakan kemudahan kerajaan sepenuhnya, sebelum tarikh penamaan calon lagi, malah sebelum nama wakil BN diumumkan pun. Beliau mengadakan lawatan sehari suntuk ke Labis, pada 18 Januari lalu. Ketibaan Najib dengan helikopter khas kira-kira 9.30 pagi itu semata-mata untuk berkempen memenangkan BN dan menolak calon PAS.

Tumpuan Najib adalah para peneroka Felda, dengan program di Pusat Komuniti Felda Chempelak Barat dan jamuan makan di Padang Awam Felda Tenang, diikuti majlis ramah mesra bersama masyarakat India di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis dan merasmikan bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Labis, seterusnya menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina.

Dengan memakai topi berlogo BN, Najib dilihat bersalaman dengan orang ramai. Jelas dalam Buletin Utama TV3, Perdana Menteri melemparkan dakyah politik. Selain mempromosikan “jasa-jasa BN” terhadap masyarakat Felda, Najib menggesa pengundi tidak membaca apa jua risalah yang mempunyai lambang PAS, KeADILan dan DAP. Nampak sangat Pengerusi BN ini begitu takutkan penyebaran maklumat dan informasi yang bakal mendedahkan tipu-helah mereka selama ini.

Dalam majlis sama, Najib sekali lagi mencari helah untuk tidak bersemuka dengan Anwar Ibrahim di pentas debat terbuka. Ketua Pembangkang pada tarikh sama, 18 Januari, melalui suratnya kepada Perdana Menteri, mempelawa Najib berdebat mengenai “isu berkaitan ekonomi negara dan fakta-fakta yang terkandung dalam Buku Jingga”. Bagi Anwar, isu-isu tersebut kian mendesak memandangkan kos sara hidup melonjak tinggi, harga barang semakin meningkat dan membebankan rakyat, manakala hutang negara melonjak lebih 50 peratus.

Anwar yakin debat itu mampu memberi manfaat kepada usaha memperkukuh amalan demokrasi, penyebaran maklumat tanpa sekatan dan memulihkan kembali ekonomi negara.

Bagi saya, lebih penting daripada mencongak siapa bakal pemenang di Tenang adalah memastikan proses pilihan raya yang bersih, adil, bebas dan telus. Biar “padang permainan sama rata” buat semua calon yang bertanding. Proses pendemokrasian di Malaysia harus melambangkan kematangan dan kedewasaan kita setanding negara-negara maju. Banyak negara yang lewat mengamalkan demokrasi daripada kita tetapi berjaya melaksanakannya secara bertanggungjawab dan penuh integriti.

Sayang sekali, Najib tidak menunjukkan teladan yang baik untuk dirakam sejarah. Beliau — seperti juga pemimpin utama BN sebelum ini — sanggup memperalatkan apa jua institusi kerajaan dan  mengamalkan rasuah politik, demi memastikan maruah BN di Johor tidak tercalar lebih teruk.

Saya kira buku Reforming Political Financing in Malaysia, terbitan Trasparency International – Malaysia elok ditelaah bagi mendapatkan gambaran lanjut  tentang isu-isu berkaitan politik wang di negara ini.

III.

Pagi Selasa lalu, saya tidak sempat menunggu isteri yang menjalani  rawatan rutin di Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, berhampiran pejabat Harakah. Saya terpaksa berkejar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bertemu pakar bedah saraf. Tiga hari sebelum itu, selama tiga hari saya berehat di wad HUKM sambil mengikuti beberapa ujian pemeriksaan kesihatan.

Setiba di rumah, isteri nampak seronok bercerita tentang gelagat pemandu teksi yang membawanya balik ke Bukit Ampang. Menurut isteri saya, lelaki Cina itu,  kelihatan lebih berusia daripada umurnya, 59 tahun, tetapi tidak henti-henti bersembang sepanjang perjalanan. Saya cuba rumuskan bicara pemandu teksi yang peramah itu, seperti diceritakan semula oleh isteri saya:

“Ramai orang susah sekarang. Macam saya, bawa teksi, hanya cukup untuk makan dan sewa rumah. Harga barang-barang naik melambung. Tapi lagi sakit hati saya apabila pemimpin kerajaan bandingkan harga dengan negara luar. Betullah, harga di sana lebih murah, tapi gaji mereka jauh lebih tinggi, berkali-kali ganda. Janganlah ingat kita ini bodoh.

“Malaysia ini cukup kaya. Jauh lebih kaya, dua tiga kali ganda daripada Singapura. Tapi you tengoklah sendiri, siapa yang senang? Duit tak sampai kepada rakyat. Orang berkuasa yang sapu. Siapa yang kaut semua? Sekarang, gaji di Singapura jauh lebih tinggi daripada kita walaupun negara kita sebenarnya lebih kaya.

“Kita bukannya tamak nak kaya, nak rumah mewah. Senang sikit cukuplah, bagi lega sikit hidup. Tak perlu teruk-teruk bekerja tapi hasilnya sikit, macam saya ini. Sudah macam-macam sakit sebab susah hati, tension.

“Macam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita dapat air percuma, cukuplah. Kalau ada lebih nanti, mungkin banyak lagi yang kita akan dapat, okeylah tu sikit-sikit dulu …

“Saya nak bagitau you, jangan takut tukar kerajaan. Lima tahun saja. Kalau tak puas hati, tukarlah balik. Lima tahun bukan lama, sekejap saja. Kalau boleh tunggu 50 tahun BN perintah, kenapa takut nak cuba kerajaan baru … untuk lima tahun saja.

“Nak undi apa pun tak apa. Tak kira PAS, KeADILan atau DAP, asal jangan Umno sudahlah.

“Memang kerajaan tak suka orang lawan dia. Mereka guna ISA untuk tutup mulut rakyat. Tapi orang sekarang sudah tak takut lagi. Saya tak ada komputer tapi saya tahu orang lain tekan saya komputer, dapat tahu macam-macam rahsia kerajaan.”
Apabila pemandu teksi itu menyebut ISA, isteri saya menyambut pantas: “Suami saya pun pernah ditahan ISA.” Beliau juga berulangkali menyatakan kekaguman tidak terhingga kepada “orang tua di Kelantan” yang baginya terlalu hebat. “PAS tak akan kalah selagi ada orang tua itu di Kelantan,” ujarnya bersungguh-sungguh. Isteri saya terpaksa menyebut nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkali-kali apabila nampak beliau  seperti susah sangat hendak mengingati Menteri Besar Kelantan.
IV.

Teruja saya membaca laluan perit yang dilalui Presiden, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang terpaksa membuka ‘pejabat’ sendiri di depan ibu pejabat Utusan Melayu sebagai tanda bantahan terhadap majikannya yang menggantung kerjanya. Hata dituduh menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai media.

Menurut laporan Malaysiakini, pejabatnya itu hanyalah sebuah meja plastik kecil warna biru dan sebuah kerusi kecil. Di atasnya terdapat sebuah laptop, kamera kecil dan papan tanda bertulis “Wartawan Sedang Bertugas”. Dan kakitangannya cuma beliau seorang.

Meskipun baru menerajui NUJ, Hata lantang mempromosikan prinsip kebebasan akhbar. Daripada segi ini, perjuangannya berkait rapat dengan apa yang Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mulakan lebih 10 tahun lalu. Sebagai wartawan kanan Utusan Malaysia, akhbar yang terkenal dengan sifatnya sebagai “lidah rasmi” Umno, agenda yang ditekankan Hata dan NUJ begitu menarik untuk disorot secara lebih terperinci.

Apa pun, tabik Hata! Isu kebebasan media harus dirakyatkan.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Kerana gagal “kawal isteri”, suami diarah tukar 24 jam

Tajuk asal “Usaha pindah suami kerana gagal ‘kawal isteri”

Oleh Kuek Ser Kuang Keng

Kementerian Pelajaran Johor cuba menukar suami kepada calon PAS di Tenang Normala Sudirman daripada kawasan itu ke Johor Bahru atas alasan beliau tidak dapat “mengawal isterinya”.

Arahan tiba-tiba itu, yang mengarahkan Makrof Abd Mutalib dipindahkan dalam 24 jam bagaimanapun ditarik semula selepas beberapa bantahan.

“Guru besar beritahu, ia kerana saya gagal kawan isteri, merujuk kepada penyertaan politiknya dalam PAS,” kata Makrof yang telah mengajar di Tenang sejak 13 tahun.

Ditemui ketika PAS mengumumkan calon malam tadi, Makrof memberitahu Malaysiakini bahawa beliau menerima notis pertukaran beberapa hari lagi apabila spekulasi isterinya akan bertanding pada 30 Januari ini bertiup kencang.

Menurut Makrof, notis pertukaran itu tidak menyatakan sebarang sebab.

“Kami bantah keputusan itu. Normala sudah letak jawatan (sebagai guru).

“(Kami beritahunya) mereka tidak patut baut macam ini, jika mereka tidak menarik balik, kami akan panjangkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau adakan sidang media.

“Mereka kemudian tarik balik,” jelas Makrof.

Normala, bekas guru dekat Segamat, meletakkan jawatan baru-baru ini untuk berkhidmat sepenuh masa dengan parti.

Menurut Makrof, notis pertukaran itu merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap guru yang anggota keluarganya menyokong pembangkang

Filed under: News, , , , , , ,

Takziah! PRK Lagi, ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

Menurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasata di ibu negara itu.

Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Blog Stats

  • 222,208 hits

ePaper

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories