Kalam Perantau

Icon

Ahmad Razif kekal MB Terengganu hingga PRU ke-14?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ramai yang bertanya kenapa Kalam Perantau tak fokus penulisan kepada kemelut yang berlaku dalam politik Terengganu sebaliknya kolum Kalam Perantau dikatakan memberikan tumpuan kepada politik dan pilihanraya Negeri Sarawak sejak sebulan kebelakangan ini, April 2016.

Bukan tidak banyak yang saya hendak ulas khususnya melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman yang dilihat tidak disenangi oleh pihak Istana Terengganu mutakhir ini dengan peristiwa penarikan semua gelaran darjah-darjah kebesaran kerana itu adalah hak Sultan Terengganu tetapi pada politik dan pilihanraya negeri Sarawak juga penting.

Saya mengakhiri tulisan dalam Kalam Perantau berhubung dengan politik Terengganu pada bulan Mac dan pada bulan April, saya lebih menumpukan kepada politik Sarawak yang menghadapi pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 pada 7hb Mei, 2016 nanti.

Atas permintaan rakan-rakan yang saya temui di Kuching baru-baru ini dan juga semalam saya bertandang ke Johor atas urusan keluarga juga bertanya perkara yang sama tentang apa yang sebenarnya berlaku anatara Sultan-MB Terengganu.

Terus terang saya sebut, saya tak tahu secara spesifik kepada apa yang berlaku diantara mereka berdua. Pada tanggapan saya, kalau tidak ada hal yang besar, tidak mudah untuk Sultan menarik gelaran yang telah diberikan kepada seseorang penerima.

Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa pada 22 April lalu. Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ada pihak yang mendakwa punca berlakunya kemelut ini dikhabarkan kerana teks ucapan yang dibacakan oleh MB Terengganu dalam Majlis Kurniaan Tabungan SSPN-i oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Tengoklah kepada kemelut yang berlaku pada tahun 2008 dulu, apa yang tidak dikatakan oleh pimpinan Umno/BN Terengganu kepada Istana Terengganu yang tak sanggup saya nak catatkan semula di sini untuk tatapan pembaca tetapi Sultan tidak menarik pun gelaran yang telah diberikan kepada mereka yang berkenaan.

Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan tidak mengambil kesempatan politik diatas apa yang berlaku kepada Umno hari ini dipuji pelbagai pihak walaupun umno berada dihujung tanduk bila-bila masa sahaja Umno boleh tumbang tidak seperti yang dilakukan oleh Umno yang menculik beberapa ADUN PAS dan mengadakan usul undi tak percaya hingga tumbangnya kerajaan, Menteri Besar Hj Daud Samad pada tahun 1961.

Ahmad Razif Kekal MB?

Pada 1 Mei 2016, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak memaklumkan Ahmad Razif Abdul Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan beliau akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika beliau menghadap baginda bagi membincangkan tentang kedudukan Menteri Besar Terengganu.

Dipetik dari laporan Bernama, beliau berharap, dengan pengumuman itu, tidak akan timbul lagi sebarang persoalan atau andaian tentang kedudukan Ahmad Razif.

“Kita mesti anggap isu kepemimpinan kerajaan negeri Terengganu sudah pun selesai. Sekarang ini, kita perlu tumpukan kepada tanggungjawab dan tugas untuk terus memastikan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu berjalan lancar bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” ketika dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jika PAS berdendam dengan Umno dan mengucar kacirkan pentadbiran kerajaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir yang tak sampai 2 tahun bila beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014, rasanya kerajaan beliau akan tumbang bila Ahmad Said tidak akan undur kebelakang dengan usul undi tidak percaya kepada beliau.

Secara peribadi, saya berharap Ahmad Razif Abdul Rahman tidak melatah dengan apa yang berlaku tetapi kena bertindak lebih adil kepada semua pihak rakyat, ADUN yang dipilih rakyat termasuk ADUN Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said bagi memulakan satu Transformasi Terengganu Baru (TTB) dalam aspek politik dan pentadbiran.

Malah ada suara-suara nakal dikalangan rakyat yang menyebut TTB ini dalam konotasi yang tak seronok didengar, TTB – Terengganu Tengah Bbolok.

Malah ada pihak seperti ADUN Bandar (PKR) yang mempunyai 1 kerusi DUN pula menggesa untuk Menteri Besar Terengganu membuat kerajaan perpaduan (Unity Government) untuk membolehkan Umno mempunyai kelebihan 1 kerusi menggantikan kerusi ADUN Kijal yang tidak memihak.

Sama ada Ahmad Razif mampu kekal atau tidak sebagai Menteri Besar Terengganu lebih kepada kemampuan beliau menangani politik semasa di Terengganu sekarang ini. Mungkin Datuk Ahmad Razif boleh mempertimbangkan cadangan ADUN Bandar membentuk kerajaan perpaduan dengan melantik ADUN PKR Bandar tersebut sebagai exco kerajaan Terengganu yang dikosongkan oleh beliau dulu yang masih tidak diisi lagi bila dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Cukuplah sekadar ini dulu dalam tulisan berhubung kemelut Menteri Besar dalam politik Terengganu pada kali ini. Ada beberapa perkara lagi yang dimaklumkan pada saya mungkin tak sesuai untuk ditulis dalam kolum ini pada masa ini.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , ,

Tiada kerajaan campuran, mungkinkah Terengganu bertukar Menteri Besar lagi?

Oleh : Shuhaimi Al-maniri

Ramai juga yang bertanya tentang perkembangan politik Terengganu ekoran usul undi tidak percaya Adun Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu. Kata mereka, takkan habis begitu sahaja.

Tiba-tiba sahaja ‘sportlight’ politik dihalakan kepada Negeri Terengganu. Dato’ Seri Abdul Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu yang bersifat ‘low profile’ dalam politik nasional tiba-tiba menjadi perhatian semua pihak.

Ahmad Razif dalam wawancara ekslusif dengan A Jalil Hamid, Syed Umar Arif dan Koi Kye Lee ketika melawat The NSTP memberitahu tidak ada ‘snap polls’ untuk pilihanraya negeri Terengganu telah menjadi berita utama Berita Harian dan NST pada Isnin, 28hb Mac, 2016.

Menteri Besar juga beritahu tidak akan ada kerajaan campuran di Terengganu walaupun keadaan “api dalam sekam” politik UMNO di Terengganu sejak Ahmad Said digantikan oleh beliau dan begitu yakin pembangkang terutama PAS menyokong perancangan ‘Transformasi Terengganu Baru’ yang diilhamkan oleh beliau sebagai Menteri Besar sejak hampir 2 tahun lepas.

Semua boleh baca dan saya tidak bercadang untuk komen berhubung dengan pandangan Menteri Besar Terengganu. Cuma dalam satu laporan beliau ada menyebut, “Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan UMNO dan BN terus kekal berkuasa pada PRU-14 nanti,” katanya yang dipetik dari Bernama beberapa hari sebelum itu,

Terengganu dapat Menteri Besar baru lagi?

Sungguhpun begitu, cakap-cakap politik di kalangan orang-orang UMNO sedang rancak semula dengan kemungkinan Ahmad Razif akan dipaksakan berundur untuk memberikan seorang dikalangan exco yang ada sekarang ini untuk menjadi Menteri Besar yang baru dalam masa terdekat bagi meredakan kemarahan dari ‘kem Ahmad Said’ terutama selepas Ahmad Razif mengambil tindakan balas menarik peruntukan diuruskan Adun Kijal.

Nama ADUN Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee sekali lagi dikatakan sedang memanaskan suhu politik Terengganu dengan menjadi sebutan pelbagai pihak akan dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dalam masa yang terdekat.

Perkara ini sukar untuk ditolak begitu sahaja. Dalam kolum Kalam Perantau pada Jumaat minggu lepas bertajuk, Selepas Kedah, giliran politik Terengganu bergolak? saya ada menulis, “setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Dato’ Abdul Razif Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan jolokan “Menteri Besar Seberang Takir” ini mampu atau tidak bertahan sehingga akhir penggal ini”.

Ternyata UMNO bernasib baik kerana PAS sejak mengamalkan ‘politik matang dan sejahtera’ tidak mengambil kesempatan untuk mengangguk di air keruh kepada masalah dalaman yang dihadapi oleh UMNO Terengganu sekarang ini walaupun PAS didesak parti serpihannya, Parti Amanah Nasional (PAN) yang tidak mempunyai seberang kerusi dalam DUN Terengganu supaya tidak melepaskan peluang yang ada sekarang.

Malah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satipul Bahari Mamat dalam kenyataan media sebelum ini jelas tidak campurtangan dan terlibat dalam hal politiking dalaman UMNO ini kerana tidak bersetuju dengan cara menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara ‘paksa’ seperti yang dilakukan oleh UMNO keatas kerajaaan Daud Samad (PAS) di Teregganu pada tahun 1961 dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (PR) di Perak pada tahun 2009.

Terpulanglah kepada UMNO untuk mempertimbangkan sama ada perlu untuk tukar Menteri Besar Terengganu sekali lagi ataupun tidak? Bagi Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu dalam kenyataan medianya, Razif-Ahmad Said berbalas dendam, rakyat dapat apa? menyebut, “…MB sepatutnya mencari kekuatan sendiri dengan menonjolkan kejayaannya sepanjang dua tahun pemerintahannya……”.

Bagi pihak rakyat, jika Ahmad Razif supaya tidak berdendam dengan mana-mana Adun bila ingat melakukan Transformasi Terengganu Baru. Beliau bukan sahaja tidak sepatutnya mengambil alih pengurusan peruntukan Adun Kijal kepada Pejabat Menteri Besar tetapi memberikan kepada semua Adun yang dipilih secara demokrasi hak yang sama mengendalikan peruntukan dun masing-masing seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan bertemakan ‘Membangun untuk Islam’ pimpinan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1999-2004).

Rakyat Terengganu akan lebih menghargai seorang Menteri Besar yang mampu membangunkan negeri Terengganu secara bersepadu supaya rakyat Terengganu dapat melihat pembangunan ‘Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air’ yang boleh dibanggakan oleh rakyat negeri ini.termasuk juga yang berada di Besut atau pun Kemaman.

Sama ada UMNO untuk menukarkan Menteri Besar atau tidak, terpulang kepada mereka kerana mereka masih menguasai kerajaan. Siapa pun jadi MB Terengganu, tiada apa pun untuk dibanggakan rakyat.

Pada rakyat selagi Ahmad Razif mengekalkan style politik kuno UMNO yang diwarisinya secara turun termurun, selama itu tidak berlaku Transformasi Terengganu Baru.

Saya pada mulanya kagum juga bila Ahmad Razif memberikan tagline kerajaannya, Transformasi Terengganu Baru (TTB). Setelah hampir dua tahun menunggu untuk melihat perubahan yang drastik dalam style pengurusan kerajaan negeri dibawah kepimpinan beliau, ternyata ianya tidak berlaku.

Pada rakyat tidak ada makna tagline politik kerajaan Ahmad Razif, Transformasi Terengganu Baru (TTB) jika masih mengulangi apa yang dilakukan oleh Menteri Besar dari Umno yang tidak mengagihkan wang pembangunan bagi DUN yang diwakili pembangkang untuk menguruskannya secara saksama.

Apatah lagi sekiranya pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu sekarang ini pun tidak merata dan hanya ditumpukan kepada DUN sendiri sahaja sehingga timbul jolokan ‘Menteri Besar Seberang Takir’.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , ,

Krisis Politik Umno Kedah hangat-hangat tahi ayam ?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Dua minggu sebelum ini, saya menulis mengenai politik Terengganu suam-suam kuku dalam ruangan kalam Perantau ini . Kali ini saya menulis sedikit berkaitan politik Kedah pula khususnya krisis pertukaran Menteri Besar yang melibatkan Datuk Ahmad Bashah, Timbalan Pengerusi UMNO Kedah dan Mukhriz Mahathir, Pengerusi UMNO Kedah.

Apa yang menarik adalah kekecohan yang berlaku akibat pertukaran Menteri Besar di Kedah tidaklah seteruk yang berlaku di Terengganu dan juga Selangor yang hamper-hampir kepada pembubaran Dewan Negeri jika tidak diselesaikan dengan baik.

Kedah adalah negeri ketiga yang diambil tindakan untuk bertukar Menteri Besar yand dilantik ekoran keputusan Pilihanraya Umum ke-13 selepas Terengganu dan Selangor pada tahun sebelum ini.

Tidak dipastikan sama ada akan berlaku atau tidak lagi pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri lain selepas ini sebelum Piliahnraya Umum ke-14 nanti.

Pelantikan Exco Kedah: Ahmad Bashah ikut cara MB Terengganu?

Mukhriz MahathirSebagaimana yang umum ketahui, Mukhriz Mahathir dilantik menjadi menteri Besar Kedah sebagai memenuhi janji Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Kedah jika rakyat memberikan peluang kepada UMNO/BN semula dalam pilihanraya umum ke-13.

Bila Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah diumumkan Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukriz yang mengundurkan diri pada 3hb Februari dan beliau akan mengangkat sumpah pada 4hb Februari yang lepas, ramai pemerhati politik menjangkakan akan melakukan rombakan barisan exco kedah, setidak-tidaknya Ahamd Bashah akan menggugurkan yang dilihat memihak kepada Datuk Mukhriz Mahathir dalam krisis Menteri Besar selama beberapa minggu.

Tindakan Ahmad Bashah mengekalkan kesemua exco pada zaman Mukhriz menjadi Menteri Besar termasuk. mengekalkan tiga Exco yang dilihat setia dengan kepimpinan Mukhriz sebelum ini iaitu Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor.mengejutkan banyak pihak.

Mungkin juga Ahmad Bashah melihat kepada tindakan yang dilakukan oleh Razif diTerengganu yang Berjaya mengawal pemberontakan ‘musuh-musuh politik dalaman ini dengan melekatakkanya di dalam kandang’ yang dikawal sendiri oleh beliau lebih baik daripada meletakkannya diluar kandang yang tak terkawal.

Bila Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12hb Mei, 2014, beliau kemudiannya mengekalkan semua exco yang dilantik oleh Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Ahmad Said.

Keadaan yang berlaku dalam UMNO ini dilihat tidak banyak berbeza dengan apa yang berlaku di Terengganu sebelum ini di mana hanya Menteri Besar Kedah dan Terengganu sahaja yang diganti tetapi mengekalkan semua exco dan UMNO /BN dilihat lebih mementingkan kestabilan politik parti mereka terlebih dahulu daripada kehendak politik mereka sendiri setelah dilantik sebagai Menteri Besar.

Berbeza dengan cara Azmin Momamed Ali (PKR) bila dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 23hb September, 2014 menggantikan pendahulunya, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau telah bertindak bukan sahaja menggugurkan 2 exco dari PAS sebelum itu, Dr Halimah Mohamad Ali dan Ustaz Salehin Mukyi tetapi ‘kouta’ exco PAS juga dikurang daripada 4 orang kepada 3 orang sahaja.

Bukan sahaja exco PAS yang ditukar, tetapi seorang exco PKR, Rodziah Ismail juga digugurkan dan digantikan dengan muka baru tetapi 3 exco DAP dikekalkan kerana Menter Besar mungkin tak berani ‘usik’ exco dari DAP.

Rakyat tidak ‘buta politik’ dan boleh faham kenapa DAP hendak sangat PAS di’keluar’kan dari kerajaan yang dibentuk oleh Azmin sebagai Menteri Besar. Tetapi rakyat memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke-13 yang lepas adalah kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang dibentuk di Selangor adalah masih lagi kerajaan majoriti Melayu/Islam bukannya kerajaan minoriti Melayu/Islam seperti di Perak yang tidak dapat kekal setahun pun.

Jika PAS berjaya dikeluarkan dari kerajaan Selangor,apa yang kononnya dinamakan kerajaan Pakatan Harapan campuran PKR-DAP-PAN menjadikan DAP akan menjadi’berkuasa penuh’ seperti yang berlaku diPerak pada tahun 2008 dahulu walaupun Azmin Ali (PKR) masih lagi menjadi Menteri Besar.

Filed under: Harakah, , , , , , , , , , , , ,

Resolusi Persidangan Shah Alam : Meneruskan cita-cita Rakyat

Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat
29 November 2010, Shah Alam, Selangor

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

  • Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
  • Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai  berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
  • Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
  • Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
  • Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

  • Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
  • Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
  • Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
  • Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
  • Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri;  dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(Menteri Besar Selangor)

Lim Guan Eng
(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Kedah)

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Nik Aziz dirawat di Hospital USM

Oleh Lan Jusoh   

KOTA BHARU, 4 Mac: Menteri Besar tidak hadir menyambut keberangkatan pulang Sultan Kelantan dari Singapura hari ini disebabkan beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sejak petang semalam.

Setiausaha Politiknya, Wan Nik Wan Yussof berkata, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana masih mendapat rawatan di hospital.

Kata beliau, kepenatan tugas harian menyebabkan jantungnya tidak stabil sehingga terpaksa mendapat rawatan di Unit Rawatan Jantung pagi semalam.

“Dan pada sebelah petang doktor menasihatkan Menteri Besar berehat di wad bagi memulihkan keadaan jantungnya.

“Keadaan kesihatan Tuan Guru agak terganggu sejak seminggu lalu disebabkan kepenatan kerana menghadiri banyak program di merata tempat,” katanya di sini.

Oleh itu katanya, Menteri Besar tidak dapat memenuhi banyak undangan termasuk di Kuala Lumpur sehari dua ini disebabkan keadaan kesihatannya belum lagi mengizinkan.

Pada Julai 2004 Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjalani koronari angiogram, iaitu memasukkan wayar ke dalam saluran jantung untuk melihat penyumbatan di Unit Kardiologi HUSM.

Selepas itu beliau dipindahkan ke Institut Jantung Negara bagi menjalani rawatan koronari angioplasty dengan memasuk bateri menguatkan pergerakan jantungnya.

Wan Nik berkata, keadaannya sekarang beransur pulih dan doktor menasihat supaya banyak berehat

Filed under: News, , , , , , ,

‘Bakal Menteri Besar’ Masih Bermimpi?

Oleh: Ahmad Fadhli Shaari

“Malaysia bahkan dunia pun mungkin telah mencatat sejarah yang menarik apabila sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pernah digegarkan dengan kempen agresif UMNO/BN di dalam menawan Kelantan.

Bermula dengan kempen ”18 Pade Doh” sehinggalah kepada menabalkan ”Bakal Menteri Besar”, UMNO / BN terus kempunan di dalam menawan Kelantan. PAS terus gagah bersama Pakatan Rakyat meninggalkan hanya 6 kerusi untuk UMNO.

Sayangnya, barangkali mimpi bakal menteri besar masih belum habis. Nyata sekali, bakal menteri besar berkenaan, YB Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein masih bermimpi, angin Pantai Bachok yang kadang-kadang kencang gagal mengejutkannya dari mimpi yang diulit oleh bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sendiri. Sayang sekali, mimpi ini semakin beralun indah apabila diberikan teraju mengendalikan duit wang ehsan yang entah dari mana datangnya.

Bakal Menteri Besar sekali lagi mengegarkan ketenangan bumi Kelantan. Kali ini apabila YAB Menteri Besar yang sah dinafikan hak untuk membuat pelepasan pelumba-pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) semalam. Bukanlah soal berebut untuk bermegah-megah, isunya  ialah semua pihak perlu tahu di bumi mana mereka sedang berpijak. Bumi Kelantan ada Rajanya, ada Menteri Besarnya, ada rakyatnya yang telah menolak UMNO/BN secara total di dalam pilihanraya yang lepas.

Tuan Guru Menteri Besar telah dijemput dari awal untuk membuat pelepasan peserta LTDL. Petang sehari sebelum berlangsungnya pelepasan, Datuk Awang Adek memohon untuk turut hadir bersama. Persetujuan telah dicapai dengan Menteri Besar akan membuat pelepasan diiringi oleh Datuk Awang Adek. Bukankah itu satu kompromi yang baik dan jernih? Setidak-tidaknya Awang Adek tidak dilihat sebagai tidak cerdik. Paling kurang pun sudah mengiringi Menteri Besar sekalipun gagal menjadi Menteri Besar yang sah.

Pagi hari pelepasan jam 9.15 pagi, pengesahan dibuat bahawa Menteri Besar yang akan membuat pelepasn. Sayangnya, entah sihir apa digunakan, kedatangan Menteri Besar tidak dialu-alukan. Datuk Awang Adek langsung tidak berdiri sewaktu kedatangan Menteri Besar sebagaimana orang lain. Bahkan pada peringkat awalnya, hanya Awang Adek dan Pengarah JPP Kelantan dibenarkan untuk berada di atas pentas manakala Menteri Besar di bawah! Teruk sekali apabila orang yang bermimpi masih belum terjaga!

Akhirnya, yang dijemput membuat pelepasan hanyalah Datuk Awang Adek meninggalkan Menteri Besar yang sah. Konspirasi apa yang dirancang tidaklah diketahui, yang jelasnya kejadian tersebut benar-benar memalukan. Bukan memalukan Menteri Besar, tetapi memalukan Awang Adek sendiri yang langsung tidak menghormati pemimpin negeri yang sah di majlis yang sama.

Bak kata YAB Tuan Guru Menteri Besar sebentar tadi di dalam Dun Kelantan, “Malu hanyalah harta orang beriman. Orang yang tidak beriman tidak malu. Bahkan lembu kerbau juga tidak malu. Orang yang tidak malu kulit mukanya lebih tebal dari kulit kaki..”

——————————————————————————-
Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.”

Filed under: News, , , , , , , ,

Pas-Umno: Berbincang bukan bekerjasama

oleh Wan Nik Wan Yussof

Pada Khamis, 4 Februari lepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan hadir ke majlis penutup Seminar Pemikiran Islam mengenai pemakaian ‘kalimah Allah’ di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Seminar tersebut anjuran Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dengan kerjasama NGOs. Tatok merupakan sebuah badan amanah di bawah Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui Mohd Khir Zahri Abdul Ghani.

Seminar tersebut diisi dengan forum oleh barisan ahli panel terdiri daripada Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat; Editor akhbar Herald, Lawrence Andrew dan dan Loo Coo Chiang mewakili penganut Buddha. Di samping sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Mohamad Noor Manuty dan Wan Ji Wan Hussin.

Dalam ucapan penutup Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memulakan dengan petikan firman Allah bermaksud:

“Rasul (Nabi Muhammad SAW) sendiri telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya (mereka mengatakan); “Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya,” dan mereka mengatakan; “Kami dengar dan kami taat,” (mereka berdoa); “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (al-Baqarah, ayat 285)

Sesungguhnya pihak Kerajaan Negeri Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa mengamalkan toleransi dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum. Ia sesuai dengan amalan agama Islam sendiri yang berteraskan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit, budaya dan adat resam. Maka, Kerajaan Negeri amat komited di dalam melaksanakan pentadbiran ke arah perdamaian, ketenangan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama”.

“Oleh itu, penganjuran Seminar Pemikiran Islam ini amat dialu-alukan dan ia amat wajar ke arah memahami secara lebih mendalam inti pati ilmu Islam di dalam menangani persoalan kehidupan semasa. Walaupun, seminar kali ini memfokuskan kepada isu “pemakaian kalimah Allah,” apa yang saya harapkan ia mampu mengemukakan asas-asas ilmu yang merangkumi kesemua aspek kehidupan yang ada kaitannya dengan aspek kehidupan yang berasaskan keagamaan. Kerana Islam adalah cara hidup yang lengkap, menganjurkan keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian.

Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud,

“Masuklah kamu ke dalam agama Islam yang membawa keselamatan, kesejahteraan dan perdamaian.” (al-Baqarah ayat 208)

“Semoga Seminar ini yang diisi dengan sesi pembentangan dan sesi forum telah menemui persefahaman yang jitu dan dapat merapatkan hubungan harmoni antara kaum dan agama di negeri dan negara ini”.

Sementara ketika sidang media selepas selesai sesi ucapan penutup itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah menegaskan, “segala kemelut agama dalam negara hari ini adalah disebabkan kegagalan Umno yang mentadbir negara ini lebih 50 tahun.

Hakikatnya, penegasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada sidang media itu boleh difahami betapa, “Umno telah gagal memberitahu Islam sebenar kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam, gagal mempraktikkan Islam sebenar malah menolak undang-undang Islam di dalam mentadbir negara, menerima sekular dan menolak Islam, sehingga orang Melayu sendiri yang beragama Islam tidak faham Islam sebenar. Sedangkan Islam adalah agama yang mengajar kehidupan yang sempurna, Islam adalah ‘way of life’ dan bila diamalkan akan membawa kesejahteraan, keharmonian dan tidak berlaku kekalutan seperti isu penggunaan kalimah Allah.”

Sebenarnya, sebelum menyampaikan ucapan penutup itu, pada Isnin, 1 Februari, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah hadir ke Pulau Pinang berucap pada karnival harmoni anjuran PAS Pulau Pinang. Tuan Guru dimaklumi tentang program PAS di sana yang berjaya mengadakan dialog dengan rakan-rakan bukan Islam di salah sebuah gereja. Dilaporkan, kesan dialog itu amat positif, kerana mereka baru nampak dan faham kebaikan Islam. Maka, pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz ia suatu langkah proaktif. Khabarnya Tuan Guru juga amat gembira dengan usaha PAS Pulau Pinang itu, tetapi agak terkilan kerana tugas itu sepatutnya dibuat oleh Umno yang memegang tampuk kuasa.

Maka, Tuan Guru menanggapinya punca kekalutan isu-isu agama di negara ini disimpulkan sebagai kegagalan Umno selaku pemegang tampuk kerajaan. Pemimpin Umno telah gagal menjalankan tanggungjawab agamanya kepada rakyat di negara ini. Sebab itulah orang Islam sendiri tidak faham Islam, sementelah pula orang bukan Islam jauh sekali untuk memahaminya. Contohnya, pemimpin MCA dan MIC mahupun Gerakan tidak faham-faham tentang Islam meskipun lebih 50 tahun berkawan dengan pemimpin Umno.

Lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengemukakan rasionalisasi demi penyelesaian segala-gala kemelut agama yang dicetuskan oleh Umno sejak berkuasa!!

Menerusi sidang media di majlis penutup seminar anjuran Tatok itu, kenyataan spontan Tuan Guru Nik Abdul Aziz antaranya menyebutkan, “saya datang hanya untuk menutup majlis, tapi saya sangat gembira kalau boleh majlis macam ini dibuat antara PAS dengan Umno”.

Lebih 50 tahun kita bertengkar dengan Umno, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS. Apa hasil? Banyak masa habis, Umno guna masa begitu banyak, kepakaran begitu banyak, lawan gerakan Islam yang dibawa oleh PAS, apa hasilnya?”

PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam Umno sendiri dan adalah tidak wajar berlaku perbalahan yang terus menerus”.

“Tolong fikirlah, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS dan PAS ini dibuat oleh alim ulama Umno.

“Pada 1946, semua orang Melayu bersama Umno; tok gurunya, cikgunya, pelajar, tetapi pada 1951, alim ulama telah keluar Umno dan buat parti baru namanya PAS, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kemudian berubah jadi Parti Islam Se-Malaysia.

“Jadi apa pentingnya Umno bertengkar dengan PAS, sedangkan PAS bawa Islam… (kena faham-P) selepas kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna.., yang berguna hanya Islam dan yang bertakwa kepada Allah. Jadi apa gunanya berjuang kebangsaan (merujuk kepada Umno-P)?

“Jika isu pembangunan yang menjadi punca Umno memusuhi PAS, ia tidak sepatutnya berlaku kerana PAS juga bawa pembangunan kepada negeri yang kita perintah.

Atas asas rasionalisasi tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta tokoh-tokoh Umno agar sedia untuk berbincang dengan PAS.

Walau bagaimanapun, apabila akhbar arus perdana keesokan harinya (5 Februari) telah memutar kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sidang media penutup seminar tersebut. Akhbar-akhbar itu telah mengemukakan tajuk berita yang agak terkeluar daripada konteks asal maksud Tuan Guru. Sehingga ada pembaca yang terkeliru yang kononnya PAS mahu menjalin kerjasama politik dengan Umno.

Maka, di sana dilihat peranan akhbar mahupun media elektronik turut mengambil peluang memanaskan kenyataan Tuan Guru, termasuk menyiarkan maklum balas pemimpin Umno dan tidak terkecuali Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib memberi maklum balas dengan nada yang sinis, apabila menyifatkan pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu berubah-ubah seperti ramalan cuaca.

Paling tidak tepat dan tersasar apabila akhbar Utusan Malaysia (8 Februari) melaporkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa lawatan kerjanya ke Kuching, Sarawak. Berita berkaitan isu yang sama atas tajuk “PAS sedia kerjasama dengan Umno” dan berita yang sama turut disiarkan oleh Utusan Borneo. Akhbar berkenaan telah memetik kenyataan yang sebenarnya menggambarkan wartawan berkenaan tidak memahami konteks sebenar apa yang diterangkan oleh Presiden PAS.

Wartawan berkenaan melaporkan, “Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan Umno dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

“Polisi kerjasama antara PAS dan Umno sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincangkan atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi yang berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

“Kerjasama di dalam politik merupakan amalan demokrasi sebagaimana yang diamalkan negara ini yang mana PAS boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh dipersetujui dan jika perkara sebaliknya berlaku, parti akan memberi nasihat dan ia amalan biasa bagi negara demokrasi.

“Dalam negara demokrasi, kita tidak berperang, sebaliknya kita berhujah, berdebat, berbahas dan berbincang. Tidak ada pemisahan antara agama dan politik bagi PAS.

“PAS akan memberi pandangan dalam menangani perkara berkaitan sosial, ekonomi dan ketenteraman awam malah ada antara pandangan parti diterima kerajaan secara senyap-senyap.

Apapun catatan wartawan berkenaan, ia telah tersasar dan tidak menepati maksud sebenar kenyataan Presiden PAS. Ini kerana maksud asal cetusan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah berbincang atas dua isu utama mengenai kepentingan agama Islam, iaitu berkisar kepada persoalan kenapa Umno tolak Islam terima sekular dalam perjuangannya, dan hakikat kemelut salah faham terhadap Islam adalah kerana kegagalan Umno menguruskan kefahaman Islam yang menyebabkan rakyat tidak memahami Islam sebenar.

Oleh itu, Presiden PAS pun mengeluarkan kenyataan di atas konteks yang sama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang menyatakan kepada wartawan semasa di Kuching bahawa isu agama yang dicadangkan untuk berbincang dengan Umno itu adalah dalam skop memahami Islam adalah agama yang lengkap – meliputi semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, politik pentadbiran, pembangunan, sosial, undang-undang, kehakiman, mahupun ketenteraman.

Maka, amat tersasarlah cara Utusan Malaysia mengemukakan tajuk “PAS sedia kerjasama dengan Umno”. Kerana kerjasama akan membawa implikasi hubungan politik bersifat persetujuan politik, sedangkan usul asalnya berbincang yang bererti pendekatan bagi menyampaikan maksud tertentu kepada Umno, iaitu isu-isu berkaitan agama.

Sayugia, pihak akhbar dan media amnya dapat bertindak adil di dalam melaporkan sesuatu yang tidak tepat dengan maksud sebenar. Dalam isu, kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya dijadikan asas untuk mengeruhkan misi PAS bersama Pakatan Rakyat berdepan dengan Umno dan BN demi keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Semoga Tuhan Yang Esa membekalkan kewarasan nyata kepada mereka yang tumpul daya warasnya, dan terzahir keharmonian Islam sepanjang zaman.

————————————————————————————————-
Wan Nik Wan Yussof merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Filed under: Recommended, , , , ,

Nizar Masih MB?

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

“Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun.”

Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.

“Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’ kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.

Filed under: News, , , , ,

Zambry kekal MB: Berakhirkah kemelut politik Perak?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Hari ini 9hb. Februari, 2010, Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut dan sebulat suara (5-0) memutuskan bahawa Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dari BN adalah Menteri Besar Perak yang sah setelah tertangguh sejak 5hb. November, 2009 yang lepas.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Sebelum ini,  Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan Menteri Besar Perak yang sah pada 11hb. Mei, 2009 yang lepas. Tetapi Dr. Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Setelah selesai perbicaraan di mahkamah perundangan, apakah politik Perak kembali menjadi stabil dengan mengisytiharkan Dr. Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak? Sudah tentu ianya tidak akan berakhir lagi walaupun keputusan mahkamah yang memihak kepada Dr. Zambry setelah hampir 3 bulan tertangguh.

Persoalan ini sedang menghantui pemimpin-pemimpin UMNO/BN sekarang ini dengan kedudukan kerusi DUN Perak terikat sama banyak antara BN dan PR, yakni 28-28 dengan 3 ADUN Bebas yang memihak kepada BN setelah keluar dari parti asal mereka, PKR dan DAP.

Beberapa siri kekecohan dalam mengendalikan sidang DUN Perak sebelum ini, menjadikan Dr. Zambry  tidak selesa memerintah Perak melainkan membubarkan DUN Perak pada masa yang sesuai sebelum genap 3 tahun bagi mendapat mandat baru dari rakyat.

Jika Dr. Zambry terus dengan keputusannya tidak mahu membubarkan DUN, bukan sahaja sejarah telah merakamkan bahawa kerajaan beliau dibina melalui satu rampasan kuasa yang dilakukan secara terang-terangan, tetapi kerajaannya tidak akan berjalan dengan lancar kerana akan terus diganggu.

Ini berdasarkan kepada apa yang berlaku di perkarangan Istana Keadilan, bila penyokong-penyokong Pakatan lebih ramai hadir memberikan sokongan moral dengan membawa sepanduk “Mahkamah rakyat Nizar MB” dan melaungkan “reformasi” dan “Hidup Rakyat“,  

Berdasarkan kepada laporan kajian-kajian yang dibuat oleh Merdeka Center, sekarang adalah masa yang terbaik untuk membubarkan DUN setelah setahun memerintah bagi mendapat mandat baru untuk memerintah dengan lebih selesa.

Lebih-lebih lagi dengan pertambahan lebih 50, 000 pengundi baru yang didaftarkan selepas pilihnraya tersebut yang dijangka memihak kepada BN.

Tiada Pilihnraya kecil selepas ini?

Berdasarkan kepada keputusan mahkamah hari ini, saya diberitahu oleh seorang penganalisis politik bahawa Pilihanraya Kecil DUN Kota Seputih tetap tidak diadakan walaupun kawasan tersebut masih selamat untuk UMNO/BN.

Untuk apa kerajaan Najib mengambil risiko mengadakan pilihanraya tersebut sedangkan mereka mampu menguasai mahkamah untuk tidak mengadakannya. Itulah persepsi yang ada dalam minda rakyat ketika ini, ujar beliau meyakinkan saya terhadap dakwaannya.

Ketika ini UMNO dan PAS dipercayai sedang membuat persiapan masing-masing bagi menghadapi kemungkinan diadakan pilihanraya kecil Kota Seputih. Malah UMNO juga mengambil kesempatan dengan melancar program UMNO Juara Rakyat peringkat negeri Kedah di sini baru-baru ini.

Jika pilihanraya Kota Seputih ini turut diadakan juga, ramai pemerhati politik percaya ianya adalah  sengit tetapi tetap memihak kepada UMNO dan BN terutama selepas UMNO memenangi kerusi DUN Bagan Pinang.

Selain Bagan Pinang, kerusi Parlimen Batu yang dimenangi oleh Tian Chua dari PKR juga berada dalam keadaan tidak selamat bila kesnya dimahkamah akan diputuskan pada bila-bila masa sahaja.

Beberapa pemimpin utama BN saban minggu turun ke parlimen Batu untuk mendekati rakyat di sini yang telah menolak mereka dalam pilihanraya umum yang lalu. Beberapa minggu sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin datang menghulur bantuan membina sekolah. Kemudian, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan juga turun untuk meninjau projek-projek pembangunan di parlimen Batu ini.

Selain dua kerusi, DUN Kota Seputeh dan Parlimen Batu yang menunggu keputusan mahkamah, satu lagi kerusi milik PKR di Hulu Selangor berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana wakilnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dilaporkan tidak sihat.

Walaupun kerusi pilihanraya kecil terakhir di menangi oleh UMNO, BN tetapi berdasarkan kepada keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini, semua parti yang menang, sama ada dari komponen BN atau PR, masing-masing  mengekalkan kerusi yang telah dimenangi dalam pilihanraya umum lalu kecuali dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sahaja bertukar tangan dari UMNO (BN) kepada PAS (PR).

Ini bermakna, jika berlaku pilihanraya kecil di Parlimen Batu atau Hulu Selangor, peluang UMNO dan BN menebus kembali maruahnya di Kuala Terengganu akan lebih mudah  diselesaikan segera sebelum PRU ke-13.

Jika tiada lagi pilihanraya kecil lagi selepas ini, bermakna keputusan kekal seperti sedia ada sekarang ini di mana UMNO dan BN hilang satu kerusi kepada PR. Manakala PR juga hilang 5 (4 PKR dan 1 DAP) kerusi menjadi bebas. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

MB lawan MB

11.00 pagi Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
10.42 pagi Tan Sri Ariffin Zakaria memutuskan permohonan Nizar sepatutnya tidak dibuat mengikut Perkara 36(2) tetapi 16(2) dalam perlembagaan negeri.
10.15 pagi Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria sedang membaca keputusan pengadilan.
10.10 pagi Panel lima anggota hakim memasuki mahkamah.Penyokong Pakatan kini melebihi penyokong BN dengan laungan “Reformasi” dan “Hidup Rakyat’ terus bergema.
9.25 pagi Penyokong Pakatan semakin bertambah kepada 300. Mereka bawa banner “Mahkamah rakyat Nizar MB” dan melaungkan “reformasi” dan “Hidup rakyat”.Lim Kit siang duduk di belakang dekat pintu, kerusi dibawa masuk oleh polis. Di sebelahnya Ngeh dan ADUN titi serong, Idham Lim.
9.50 pagi Anggota FRU memisahkan penyokong kedua belah pihak – Pakatan di sebelah kiri dan Umno di sebelah kanan.Ngeh Koo Ham juga masuk dan berjabat tangan dengan exco negeri Perak dari BN dan speaker Ganesan
9.25 pagi Kira-kira 20 anggota FRU mengarahkan semua penyokong dan media beredar dari tangga bangunan mahkamah. Datuk Sei Nizar Jamaluddin masuk ke mahkamah bersama isteri, dan bersalaman dengan beberapa penyokong BN.200 Penyokong Umno berhimpun depan tangga mahkamah manakala penyokong Pakatan sekitar 100 orang. Penyokong BN membalas dengan laungan “Daulat Tuanku” dan “Penderhaka”
9.37 pagi Penyokong BN berpaian kuning berkumpul di luar Istana Keadilan melebihi jumlah penyokong Pakatan.
9.36 pagi Penyokong BN melaungkan perkataan “Daulat Tuanku” dan “Penderhaka”.
9.10 pagi ADUN Pakatan Perak, Chang Lih Kang, Wong Kah Hoe dan Kesivinder Singh dihalang polis daripada memasuki mahkamah. Ekoran itu, 50 penyokong Pakatan mengelilingi anggota pasukan keselamatan bagi memberikan tekanan.
9.05 pagi Datuk Sei Nizar Jamaluddin tiba bersama isteri jam 9.05 pagi, disambut oleh 50 penyokong Pakatan yg melaungkan “Hidup Nizar”, “Bubar DUN” dan “Hidup Rakyat”.
8.45 pagi Tiada tanda-tanda penyokong Pakatan hadir. Hanya seorang ADUN Titi Serong dan beberapa penyokong PAS dan DAP.
8.30 pagi Penyokong BN meningkat lebih daripada 100 orang. Mereka berdoa untuk kemenangan DatukSeri Zambry Abd Kadir.
8.25 pagi Kira-kira 50 penyokong BN, kebanyakannya Melayu berhimpun di depan Istana Keadilan sambil melaungkan “Daulat Tuanku”, “Hidup Zambry”, “Hidup BN”.
8.15 pagi Sekumpulan orang, dipercayai penyokong BN, memakai kemeja-t kuning bertulis “Daulat Tuanku” berkumpul di depan mahkamah.
8.10 pagi Sekumpulan anggota polis kelihatan mula mengawal keadaan.

Filed under: News, , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories