Kalam Perantau

Icon

Kabinet PRU ke-13 PAS diterima rakyat?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kali ini agak lama saya tidak menulis dalam akhbar Siasah ini. Jika saya menulis, tentu saya tidak akan lari dari menyentuh tentang pemilihan PAS. Seingat saya, hanya satu artikel sahaja saya menulis tentang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan Pemilihan PAS secara sepintas lalu sahaja.

Sekarang ini semua pihak termasuk semua parti-parti politik mula sibuk membuat ramalan bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Malah sesetengah parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing kecuali PKR (akhir tahun 2010) dan PAS (pada 3-5 Jun, 2011) untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiyakan atau menafikan akan mengadakan PRU ke-13 pada 11.11.11 tapi masih berlegar kepada permainan angka seolah-olah dia cuba bermain teka-teki berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Najib dalam temubual dengan sebuah rangkaian radio tempatan yang disiarkan secara langsung baru-baru ini menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya. Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Diantaranya Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11. Sementara, ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Analisa Pemilihan PAS

Pasca Pemilihan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu media ketika diminta mengulas tentang keputusan pemilihan PAS 2011 bahawa beliau telah mendapat kabinet pilihanraya.  Kita akan lihat sama ada kabinet PAS kali ini yang penuh dengan professional menggantikan ulamak akan memaukau rakyat atau tidak untuk memilih PAS menggantikan UMNO dalam PRU-13 nanti untuk menuju ke Putrajaya? 

Seperti dilaporkan dalam HarakahDaily, “Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak,  dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat,” katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Dalam pemilihan kali ini, satu kejutan telah dilakukan oleh perwakilan PAS bilamana mereka menobatkan Hj. Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang secara tidak langsung memecah rekod kepimpinan PAS apabila beliau menjadi timbalan presiden pertama dari kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS pada tahun 1983.

Mohamad menang pada pemilihan kali ini apabila mendapat 420 undi berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa (224). Pada pemilihan 2009, Nasharudin mendapat 480 undi diikuti Husam dengan 281 undi dan Mohamad 261 undi.
Jika dilihat pada kedua-dua keputusan pertandingan Timbalan Presiden ini, ternyata Husam seorang strategis politik yang hebat, bila kawasan Kubang Kerian yang dipimpinnya mencalonkan Mohamad Sabu, saingannya untuk kerusi Timbalan Presiden pada 2009 sebagai calon Timbalan Presiden pada kali ini dan beliau hanya bertanding Naib Presiden di saat-saat akhir.

Ternyata percaturan Husam dan Mat Sabu berjaya kali ini berbanding dengan pemilihan 2009. Pada saya tidak susah untuk perwakilan untuk mengembalikan beliau semula kepada salah satu daripada 3 kerusi Naib Presiden dan meletakkan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, bila perwakilan kerana mereka “keliru” sama ada untuk memilih Nasharuddin Mat Isa atau Tuan Ibrahim untuk meneruskan tradisi yang dipegang sebelum ini.

Subky Latif, seorang pengamat politik terkenal tanahair ketika mengulas perkara ini menyebut,  Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi ‘akar ini akar tunjang yang menjalar merata’. Katanya, “Ulama tak menang kerana tidak ada yang sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan…tetapi Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata,”

Bagi kerusi Naib Presiden pula, Salahudin Ayub mendapat 753 undi, Husam Musa (660), Mahfuz Omar (616), Idris Ahmad (491), Nik Mohd Amar (321) dan Nizar Jamaluddin (217). Kehadiran Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS  dan Mohd Amar Nik  Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan) serta Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak)  tidak cukup untuk menyakin perwakilan bagi meletakkannya sebagai Naib Presiden PAS.

Mohd Amar juga tidak bernasib baik kerana masih ada Husam Musa juga calon dari Kelantan. Beliau dilihat masih dibelakang Husam bagi politik PAS peringkat nasional. Jika tiada Husam,yang turut bertanding kerusi Naib Presiden, peluang beliau mungkin lebih baik.

Walaupun Idris Ahmad seorang ulamak muda yang dinamik serta dilihat seorang yang ‘perfom’ sebagai Ketua Penerangan PAS, beliau gagal untuk mengikut jejak bekas Ketua Penerangan PAS apatah lagi bagi menyaingi kewibawaan Datuk Mahfuz Omar, yang mempertahankan kedudukan Naib Presiden bagi penggal kedua.

Sementara Sallehuddin Ayub pula dilihat sebagai  ‘Mr nice guy’ yang berjaya memukau perwakilan PAS setelah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tidak dapat mempertahankan prinsip awalnya untuk tidak bertanding kerusi Timbalan Presiden dan hanya mempertahankan kerusi Naib Presiden yang telah disandangnya.

Pemerhati politik melihat, Ir Nizar telah melepaskan peluang keemasannya untuk mencuba kerusi menjadi Naib Presiden PAS ketika popularitinya memuncak pada pemilihan 2009. Pada tahun itu, jika beliau menyertainya, peluangnya adalah lebih baik dari pada 2011 ini ketika ahli PAS telah melupai kehebatan bekas Menteri Besar Perak tersebut.

Sementara bagi 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013 tiada muka baru kecuali Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam serta Ustazah Nuridah Salleh, bekas Ketua Muslimat PAS. Keputusan penuh adalah seperti berikut :1) Mazlan Aliman (804), 2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765), 3) Datuk Kamarudin Jaafar (739), 4) Hanipa Maidin (735), 5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721), 6) Dr Zulkefly Ahmad (702), 7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651), 8) Khalid Samad (643), 9) Abdul Ghani Shamsuddin (579), 10) Amiruddin Hamzah (576), 11) Abdul Wahid Endut (556), 12) Abu Bakar Chik (527), 13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470), 14) Dr Siti Mariah Mahmud (445), 15) Datuk Mahfodz Mohamed (449), 16) Datuk Hassan Ali (437), 17) Abdul Ghani Abd Rahman (430), 18) Nuridah Salleh (416)

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Pecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pemilihan PAS

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang dalam PRU ke-12 pada 2008 lalu. BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Sebelum ini ada ramalan mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan dalam jangkamasa terdekat. Saya tak pasti bila Perdana Menteri nak umumkan tarikh PRU ke13? Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ternyata Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin melakukannya dalam jangkamasa terdekat.   

Penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN Sarawak tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam dan mencemaskan UMNO dan BN. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah?

Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat. Selain Cina, kaum Iban di Sarawak juga menolak BN.  Ini akan menyebabkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah yang dikuasai BN  akan berubah pada PRU ke-13 nanti. Pakatan Rakyat dijangka boleh memenangi 20 hingga 25 kerusi Parlimen di sabah dan Sarawak.

Sekarang ini UMNO dan BN sudah terdesak untuk terus mempertahankan kuasa di Putrajaya. Setelah gagal memujuk Cina untuk kembali kepada BN, UMNO mula memainkan strategi lama untuk memecahkan gabungan PKR-DAP-PAS. DAP dikatakan parti chauvanis Cina, PAS pula parti hilang prinsip dan jadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PAS ditafsirkan dan diolah sedemikian rupa bagi diadu-dombakan mengikut rentak UMNO dan BN. Terbaru media memanipulasi dan memutarbelitkan jawaban Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkaitan dengan video seks Trio 3T yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang.

Tak cukup dengan kenyataan pemimpin UMNO, Nalakaruppan, Presiden Parti MUIP yang tak ada kena mengena dengan isu ini pun tumpang semangkuk. Selain itu, mereka juga menggalakkan perkembangan parti-parti serpihan pembangkang seperti KITA, pimpinan Zaid Ibrahim. 

Komen Aziz Bari dan Pemilihan PAS

Sejak beberapa minggu lepas, ramai yang bertanya apa sikap saya terhadap pemilihan PAS kali ini. Sebenarnya pada saya, ada baiknya PAS menumpukan perhatian untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada terlalu memikirkan berhubung dengan pemilihan pada Muktamar parti itu ke-57 yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini..

Saya tidak bercadang untuk mengulas pemilihan PAS kali ini. Sebagai memenuhi pertanyaan di sini saya petik catatan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai renungan ahli-ahli PAS. Beliau berkata, Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS). Justeru itu, ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara’ , berpandukan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kepimpinan (Al-Qiadah) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus.Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini memaklumkan semua jawatan dalam PAS termasuk Presiden terbuka untuk ditandingi. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara ekslusif dengan Harakah tetap menegaskan beliau bersikap terbuka jika ada pemimpin lain yang ingin bertanding jawatan Presiden yang disandangnya sejak tahun 2002 kerana beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

Tidak dapat dipastikan apa motif tersirat, seorang Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat? Saya diberitahu, tanpa ada membuat soal selidik atau kajian lapangan yang menjadi amalan ahli akdemik dalam membuktikan tesisnya, beliau meminta ahli-ahli PAS menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin yang lebih dinamik. 

Dalam hal ini, saya cukup bersetuju dengan cadangan Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan Harakahdaily, bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada. Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

Malah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin menambah dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata. “Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa,” kata beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Berbalik kepada pemilihan kali ini, sama ada Presiden PAS dicabar atau tidak bukan persoalannya. Sejarah peralihan kuasa dalam PAS telah dilakukan dengan sistematik dibawah kepimpinan ulamak sejak lebih 25 tahun yang lepas berjalan dengan lancer dari Yusof Abdullah Ar-Rawa, kepada Datuk Haji Fadhil Mohd Nor dan seterusnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Cuma bila Timbalan Presiden ditandingi sejak tahun 2003, ianya belum lagi sunyi dari pertandingan bagi jawatan tersebut. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Rasanya sudah tiba masayanya jawatan tersebut di’syura’kan semula seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

PAS: SPR perlu sedia 21 hari kempen di Sarawak

KUALA LUMPUR, 10 Mac — PAS hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh berkempen bagi pilihan raya Sarawak daripada tujuh kepada 21 hari.
Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata ini perlu kerana Sarawak sebuah negeri yang besar menyebabkan perjalanan ke satu-satu tempat mengambil masa, sekali gus menyukarkan usaha berkempen.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata masalah itu diburukkan lagi dengan faktor kelengkapan logistik pakatan pembangkang yang tidak mencukupi.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilapor berkata pihaknya bersedia mendengar sebarang cadangan konstruktif daripada parti politik di negara ini bagi memastikan pilihan raya negeri Sarawak berjalan lancar dan adil. Abdul Aziz memberi respons itu ketika mengulas cadangan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Fadillah Yusof agar tempoh berkempen dipendekkan bagi mengelak amalan politik kurang sihat.

Sementara itu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu berkata parti tersebut dan rakan sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP sedang membincangkan agihan kerusi yang akan ditandingi.

Pada pilihan raya Sarawak 2006, Barisan Nasinal menguasai 63 kerusi dengan Parti PBB menang 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dengan 12 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Di pihak pembangkang, DAP memenangi enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM) masing-masing satu kerusi. Mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat Julai ini. — Bernama

Filed under: News, , , , , , , , , , , ,

Isu SUK : Nizar kata perlantikan Khusrin akan bawa masalah

Oleh AZIZ MUDA   

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan ‘mengganggu’ mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

“Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

“Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.   

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu. 

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

“Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu

Oleh : Idris Hj Ahmad 
 
Sah, pemimpin umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia.  Contohnya umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana. Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang  ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja  Melayu. Tindakan umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”. Sebenarnya  pemimpin umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin umno. 

  1. Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar dibuang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta. 
  2. Tahun 1974  Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato’ Seri Tajul Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya. Tiba-tiba Datuk Seri Tajul Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.( UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.
  3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Dato’ Rahim Bakar bekas Menteri besar Pahang yang berselisih dengan Sultan pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.
  4. 1983  Umno hendak meminda supaya kuasa DYMM Yang Di Pertua Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.
  5. Pada  tahun 1991 dalam  Persidangan Agung Umno,  Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan. 
  6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta  harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?
  7. Satu demontrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya.?
  8. Pada 18hb Jan 1993 Pindaan Perlembagaan Persekutuan  yang membolehkan raja di bawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)
  9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam raja-raja Melayu.
  10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993  atau tindakan rakyat  tidak menunjukkan hormat pada sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993.  (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.
  11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti  Sutan Ismail Putera 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato’ Annuar Musa . Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya?  Budaya mana pemimpin umno ambil 
  12. Kenyataan biadab  Shahidan Kasim bekas MB Perlis mengatakan “ Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11hb Jun 1993)
  13. Dato’ Muhamad Taib kata Nizar derhaka, Dia lupakah yang dia  bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?. 
  14.  23 daripada 24 ADUN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Dato’ Ahmad Said  selepas pilihanraya 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu.  Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan. Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang. Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar 6hb Feb 2009. 
  15. Shahidan Kasim  boikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai MB Perlis, bukankah ini derhaka namanya. 
  16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu. 
  17. Dato’ Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Ketua Pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campurtangan soal pelantikan raja-raja melayu.
    Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dnegan Raja-Raja melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993 
  18. Berita harian 23/1/1993  mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara  ini. Jawabnya tentulah pemimpin Umno . Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.

Filed under: News, , , , , ,

Nizar lancar buku krisis politik di Perak

Oleh : Hazlan Zakaria

Loyarburokking to Remember, Review & Reclaim, 12.12.10Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini melancarkan buku yang diterbitkan lamanweb popular Loyarburok.com yang memperincikan peristiwa pengambilalihan kuasa oleh BN yang menyaksikan penyingkiran beliau dan Pakatan Rakyat di Perak.

Buku yang bertajuk ‘Perak: A State of Crisis’ merupakan kompilasi artikel tulisan peguam dan aktivis di blog, terutamanya yang menyokong perjuangan Nizar untuk mengembalikan kuasa kerajaan Pakatan selepas peristiwa tersebut.

Ia turut memuatkan empat analisis khas oleh pakar-pakar seperti bekas hakim Datuk NH Chan dan pakar perlembagaan, Prof Shad Saleem Faruqi mengenai krisis perlembagaan yang berlaku.

Nizar yang diberi nama jolokan menteri besar rakyat oleh pihak penganjur, tiba di tempat pelancaran buku itu di Annexe Gallery di ibunegara, dengan diberi sambutan meriah oleh para penyokong Loyarburok.com, rakan politik dan para aktivis.

Antara mereka yang hadir memberi sokongan ialah bekas presiden Majlis Peguam dan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham serta penyumbang bahan untuk buku tersebut.

Filed under: News, , , , , , , ,

1,000 banjiri pelancaran kempen BERSIH 2.0

Oleh : Kuek Ser Kuang Keng

Hampir 1,000 orang membanjiri Dewan Sivik Petaling Jaya bagi menyaksikan pelancaran kempen baru untuk pilihan raya bersih dan adil yang dinamakan BERSIH 2.0.

Pelbagai pemimpin politik dan NGO hadir dalam majlis tersebut, termasuklah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, exco kerajaan Selangor Teresa Kok serta beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat seperti Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja), Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) dan Loh Gwo Burne (PKR-Kelana Jaya).

Majlis itu dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Orang Asli Jerai dan standup comedy daripada aktivis, kolumnis dan pengarah filem Hishammudin Rais.

BERSIH – gabungan parti politik dan puluhaan NGO – sebelum ini menggegarkan politik negara apabila berjaya menganjurkan demonstrasi besar melibatkan 40,00 orang di Kuala Lumpur bagi menyampaikan tuntutan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agung.

Pada 9 Julai lalu, BERSIH 2.0 kembali semula selepas dua tahun melakukan pembersihan dirinya daripada parti politik, dengan ikrar untuk tidak lagi turun ke jalanan untuk mencapai matlamatnya.

Dan langkah pertama BERSIH ialah menyerahkan memorandum yang menyenaraikan 15 cadangan pembaharuan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai murni apolitis, tidak berniat menganjur demonstrasi besar seperti sebelumnya, sebaliknya mahu memfokus pada pendidikan awam.

Filed under: News, , , , , , , , ,

PAS Ganti UMNO jadi teras politik Melayu?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berhubung dengan kesediaan PAS menjadi teras politik Melayu amat wajar didokong oleh rakyat Malaysia dewasa ini yang condong untuk member peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah setelah UMNO/BN  di’pencen’kan selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

 Majoriti rakyat terutamanya orang-orang Melayu memuji ketegasan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS kerana berani mempertahankan hak istimewa orang Melayu tetapi dalam masa yang sama beliau tegas menyatakan keadilan kepada semua rakyat perlu diberikan kepada semua bangsa selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam keadaan yang terdesak untuk mendapat sokongan PAS, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menangguk di air keroh dengan memuji Presiden PAS dan dalam masa yang sama  cuba melaga-lagakan PAS dengan DAP.

Tindakan Timbalan Presiden UMNO ini dibidas pula oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon  yang merupakan komponennya sendiri dengan nasihat supaya parti politik membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni.

Kesedaran beliau tentang hakikat parti-parti politik berdendam antara satu sama lain terutama selepas Pilihanraya umum 2008 wajar diikuti dan diamalkan bukan sahaja oleh Pakatan Rakyat tetapi juga oleh Barisan Nasional.

Impian PAS ganti UMNO

Selain Kelantan dan Terengganu, impian PAS untuk menggantikan UMNO berjaya selepas pilihanraya umum 2008 yang lalu dengan sokongan parti-parti Pakatan Rakyat yang lain di Kedah dan Perak.

Dengan PAS hanya ada 16 kerusi sahaja di DUN Kedah yang mempunyai 36 kerusi, kerajaan PAS boleh membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dengan sokongan PKR dan DAP tetapi boleh tumbang bila-bila masa sahaja jika politik Pakatan Rakyat tidak berjaya diuruskan dengan baik di negeri ini.

Beberapa percubaan telah dilakukan oleh UMNO dan BN tetapi masih belum berhasil untuk menumbangkan Ustaz Azizan Abdul Razak dan kerajaan PAS di negeri Jelapang Padi ini seperti mereka menumbangkan Ir Nizar Jamaluddin,  Menteri Besar PAS dan kerajaannya di Perak.              

Di Selangor pula, PAS sedang mencari jawapan adakah orang Melayu masih bersama UMNO atau telah berhijrah kepada PAS dan PKR? Sekiranya orang Melayu bersama dengan PAS, orang Melayu tetap menjadi teras politik di negeri Selangor yang majoriti Melayunya tidak sampai 60 peratus.

Manakala di negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan belum menampakkan perubahan yang drastik untuk bersama mendokong PAS  sebagai bahtera yang boleh menyelamatkan orang Melayu kepada satu teras yang baru dan baik yakni Islam.

Di Johor, PAS telah berjaya memperolehi dua kerusi DUN,(iaitu DUN Sungai Abong dan DUN Maharani) sekarang ini. Berbagai perangsaraf mula dilancarkan bagi menghadapi gelombang kebangjkitan Pakatan Rakyat di Johor. Diantaranya, kain rentang yang mendakwa PKR akan menabalkan Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor ditabalkan menjadi Menteri Besar Johor selepas PRU ke-13 nanti.  

Di sini peranan Naib Presiden PAS, Sallehuddin Ayub  yang dipertanggungjawabkan kepada pemerkasaan parti PAS perlu dibantu bagi memastikan Johor juga menjadi pangkalan PAS dan tidak ketinggalan memberikan sumbangan beberapa kerusi parlimen kepada PAS dalam usahanya menggantikan UMNO.

Tindakan Mazlan Aliman, Ketua Penerangan PAS Johor yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bertanggungjawab kepada hal ehwal tanah dan pembangunan wilayah menggempur kubu tradisi UMNO di kawasan-kawasan Felda seluroh negara berjaya membuka mata pimpinan UMNO bahawa PAS bukan lagi bercakap kosong untuk menggantikan UMNO. Kedudukan UMNO dan BN mula tergugat setelah kubu tradisi mereka di kawasan-kawasan Felda berjaya dipecahkan.

Di Pahang pula, kedudukan Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden PAS yang dipertanggungjawabkan memimpin jentera PAS Pahang menambah 2 kerusi DUN PAS (Beserah dan Kuala Semantan)  bagi menggantikan UMNO di negeri ini perlu dilipat  gandakan lagi kerana sebelum ini PAS pernah memperolehi 6 kerusi di DUN Pahang selepas pilihanraya umum 1999 yang lepas.

Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, peluang PAS untuk menggantikan UMNO di negeri Sembilan, satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih ini masih jauh lagi setelah PAS  berjaya bertapak di negeri ini selepas memenangi DUN Paroi pada pilihanraya umum 2008 yang lepas. 

Melaka menjadi satu-satunya negeri yang PAS belum pernah menang lagi dalam pilihanraya tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil Melayu Melaka juga berubah menyokong PAS selepas ini.

Manakala di Pulau Pinang, PAS telah lama mengantikan UMNO di Permatang Pasir tetapi gagal berkembang kerana 11 lagi kerusi DUN yang dikuasai oleh UMNO di Pulau Piang. Begitu juga di Perlis, PAS telah lama bertapak di DUN Santan tetapi masih gagal menggantikan UMNO di Perlis.

PAS dan UMNO, Silih Berganti

Dua buah negeri, yakni Kelantan dan Terengganu yang menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu di Semenanjung di mana UMNO dan PAS silih berganti menguasai kekuasaan politik di sini.

Di Kelantan, setelah PAS memerintah selama 18 tahun sejak tahun 1959 ianya berjaya ditumbangkan oleh UMNO pada tahun 1978 selepas kerajaan PAS di’mageran’kan. Begitu juga selama 12 tahun orang Melayu Kelantan memberikan harapan kepada UMNO sehingga tahun 1990 juga tidak Berjaya.

Sejak 20 tahun lalu, orang Melayu memberikan harapan kepada PAS untuk menguasai semula kekuasaan politik Melayu di Malaysia dengan menjadikan Kelantan pangkalan. Sejak itu, berlaku beberapa kali kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan tetapi tidak berlaku secara menyeluroh.

Di Terengganu, selepas kerajaan PAS yang menang dalam tahun 1959 di negeri ini ditumbangkan dalam satu undi tidak percaya pada tahun 1961.Sejak itu, PAS mengambil masa 38 tahun untuk muncul semula menggantikan UMNO memerintah kerajaan Terengganu pada tahun 1999.

Kerajaan kedua PAS Terengganu yang dibina pada tahun 1999 hanya sempat bertahan selama sepenggal sahaja dan berkubur semula setelah kalah pada pilihanraya umum 2004. Sejak itu PAS sentiasa memasang impian untuk sekali lagi berkuasa di negeri Terengganu setiap kali pilihanraya umum diadakan.

Saya kira, satu seminar khas berhubung PAS Ganti UMNO perlu diadakan dengan beberapa  tindakan berstrategi dan bersungguh-sungguh bagi menyakinkan Melayu terutama di Pantai Barat perlu dilakukan disamping tidak meninggalkan harapan baru yang diberikan oleh orang-orang bukan Melayu kepada PAS.  

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , ,

Malaysia kena ada 2 gagasan parti politik?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Tulisan  Professor Undang-undang UIAM, Dr. Abdul Aziz Bari dalam akhbar Sinar, Isnin 2hb. Ogos, 2010 bertajuk UMNO-PAS dalam konteks perlemabagaan menarik minat saya dalam membentuk sistem dua parti yang kukuh dan dominan dinegara ini. 

Beliau menyebut, “Sistem dua parti ini penting kerana ketiadaan struktur inilah yang menyebabkan perlembagaan kita wujud hanya pada nama sahaja. Seperti yang kita maklum perlembagaan hanyalah sekadar sebuah dokumen yang tidak bermakna jika kita gagal melaksanakannya. Dan pelaksanaan ini tidak akan berlaku di dalam sebuah sistem di mana kerajaan yang memerintah tidak rasa takut dihumban keluar oleh rakyat. Rasa tidak takut ini wujud apabila kerajaan berkenaan berasa ia boleh melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa”. 

Dalam konteks perlembagaan, saya nampak beliau  begitu  arif mengenainya. Tetapi bila menyentuh soal politik, beliau menjadi sedikit emosi, kalau pun tidak berdendam dengan PAS. 

Sebagai contoh, kenyataan beliau , “PAS akan terus jadi parti Melayu yang sempit dan kampungan sekiranya ia termakan pujukan UMNO yang penuh dengan muslihat itu. Dan seperti mana yang disebut tadi Pas akan tersungkur dalam pilihan raya kerana rakyat berasa ragu siapa dan apakah sebenarnya wawasan politiknya”.

Sudah lama saya tidak mendengar komen beliau tentang PAS secara terbuka di media massa. Jika tidak silap ingatan saya, semasa beliau hadir dan menjadi selebriti dan diaju  dengan berbagai pertanyaan bertubi-tubi dari ahli PAS dalam ‘Seminar Pemerasaan Parti PAS’ pada tahun lepas, beliau ada menyebut tidak akan mengulas lagi tentang PAS.

Tanpa memihak kepada pro dan kontra terhadap Pakatan Rakyat, PAS kena berpolitik diatas realiti politik semasa dan juga kehendak perjuangan Islam dan keadilan sejagat yang didukungnya.

Realitinya, PAS bertanding dikawasan yang majoritinya orang Melayu. Bagi saya, PAS perlu mengadakan satu Seminar Khas bagi membincangkan secara terperinci, kemampuan PAS dalam menjaga hak dan keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam perlemabagaan.

Orang melayu begitu takut untuk menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana bimbangkan kemampuan mereka untuk terus menikmati apa yang mereka ada pada hari ini. Kenyataan pemimpin DAP  seperti Tony Pua, untuk menghapuskan diskaun 7% untuk bumiputera membeli rumah mewah amat mencurigakan orang Melayu.

Di sini PAS perlu bijak memainkan peranannya. Jika PAS gagal menyakinkan orang Melayu bahawa PAS mampu menggantikan UMNO dalam mempertahankan apa yang orang melayu ada pada hari ini, tidak mustahil PAS tidak diterima oleh orang-orang Melayu selain dari bumi Kelantan.

Mahu tidak mahu, orang Melayu akan terus bergantung kepada UMNO. Bila bukan Melayu berpindah kepada Pakatan Rakyat dan orang Melayu terus bersama UMNO, maka pada masa itu berlaku kerajaan camporan UMNO  (Melayu) dan DAP+PKR (bukan Melayu).

Perhitungan seperti ini perlu diambil kira, dalam menentukan halatuju PAS dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti. Disebabkan PAS sekarang ini sudah menjadi parti multi-racial seperti juga DAP dan PKR setelah adanya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), maka sudah tentu PAS berhak untuk bertanding dikawasan-kawasan campuran secara sama rata ataupun berdasarkan kepada merit tertentu.  

Lebih banyak kerusi-kerusi seperti Kota Raja yang majorinya bukan Melayu perlu diserahkan kepada PAS untuk ditandingi oleh parti tersebut supaya tidak dilihat menjadi parti Melayu yang sempit dan kekampungan seperti yang dinukilkan oleh Professor Dr. Aziz Bari dan lain-lain pihak yang sependapat dengan beliau.

1Malaysia 1Pilihanraya? 

Perkara kedua yang menarik minta saya juga adalah bila tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan?. Perkara ini terus menjadi teka teki dalam persekitaran politik negara hari ini. Kuasa membubarkan Parlimen dan DUN ada ditangan Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri.  Malah kuasa Sultan dan Yang Dipertua Negeri tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Pengalaman sebelum ini telah berlaku. Yang terbaru adalah keengganan Sultan Perak membubarkan DUN selepas pilihanraya umum ke-12 lalu, bila Menteri Besar Perak ketika  itu, Ir Nizar Jamaluddin memohon perkenan membubarkan DUN bila 3 ADUN Pakatan Rakyat mengistiharkan diri menjadi ADUN bebas.

Begitu juga dengan kemelut politik Sabah pada tahun 1994, apabila Datuk Joseph Pairin Kitingan (gambar – kiri)  memohon membubarkan DUN sekali lagi setelah beberapa ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) melompat menyebabkan kerajaannya yang baru dibentuk menjadi minoriti di DUN Sabah.   

Begitu juga ketika krisis politik kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1977 dahulu, Sultan Kelantan juga tidak bersetuju membubarkan DUN bila undi tidak percaya kepada Datuk Muhammad Nasir, Menteri Besar ketika itu diluluskan  Krisis politik ini menyebabkan MAGERAN dan Pilihanraya DUN Negeri Kelantan diadakan berasingan dengan pilihanraya  parlimen.

Tetapi selepas kemelut politik Sabah 1994 yang menyebabkan PBS tumbang dan UMNO mula berkuasa di Sabah menyebabkan pilihanraya DUN sabah selepas itu diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen.

Sekarang ini adalah peluang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi arkitek menyelaraskan pilihanraya DUN Sarawak  diadakan serentak dengan pilihanraya parlimen. Cabarannya pilihanraya DUN Sarawak mesti dibubarkan sebelum bulan Julai, 2011.

Tetapi jika diadakan lebih awal dari April 2011, kemungkinan negeri-negeri yang diatadbirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini seperti Selangor, Pulalu Pinang, kedah dan Kelantan tidak akan membubarkan DUN mereka. 

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yakin, pilihanraya Sarawak dan pilihanraya umum ke-13 diadakan secara berasingan.  Baginya, keputusan pilihanraya Negeri Sarawak dijadikan penentu kepada pilihanraya umum ke-13 nanti. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.. 

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , , ,

Benarkah Melayu akan hilang kuasa dalam PRU ke-13?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sekarang ini kerjasama  UMNO dan PAS menjadi topik yang menghangatkan suasana politik Malaysia menjelang pilihanraya umum ke-13 yang tidak berapa lama lagi. Banyak pihak menyarankan, PAS dan UMNO  berdialog dalam suasana penuh ikhlas dengan hati terbuka demi memastikan Melayu tidak hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Saya tidak pasti atas logik apa, jika UMNO kalah, kuasa politik orang Melayu akan hilang? Banyak pihak terpedaya dengan teori-teori ahli akademik tertentu yang menjadi pengulas-pengulas politik tanahair dan tidak pernah terjun kelapangan politik secara langsung.

Bila kerusi yang dimiliki oleh UMNO, beralih kepada PAS,  kuasa orang Melayu tetap kekal kalaupun tidak lebih baik. Manakah bukti Pas rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR? Malah dalam usaha hendakkan kerusi Melayu bertambah, calon Pas Dr Siti Mariah Mahmud bertanding di kerusi pengundi melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja.

Hakikat yang berlaku, UMNO yang telah menyerahkan kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu. Apa yang menjadi masalah sekarang ini, banyak kerusi majoriti Melayu yang diserahkan oleh UMNO kepada komponen BN yang lain seperti MCA, MIC dan Gerakan. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo’ Lo’ Pas lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman (PAS), Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan (PKR) lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar (PAS) lawan Dr S Vasan (MIC).

Berlakukah kerjasama politik UMNO-PAS?

Saya cukup tertarik dengan usaha tidak pernah putus asa dan jemu, Tan Sri Harusani Zakaria (gambar – kanan), Mufti Kerajaan Negeri Perak yang begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk mempertemukan dan berusaha menggabungkan kerjasama politik UMNO dan PAS sekali lagi kerana bimbang orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Sebagaimana semua sedia maklum, sejak tamatnya pilihanraya umum ke-12 April 2009 ekoran keputusan rakyat Perak  menolak kerajaan UMNO/BN beliau berusaha mengekalkan kerajaan UMNO/BN di Perak.  Usaha beliau tidak berjaya kerana PAS mesti menunaikan janji  politik dengan sekutu mereka (PKR dan DAP) bagi membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat Perak yang akhirnya, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar.

Tetapi kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak dapat bertahan, belum pun berusia setahun pun ianya berjaya ditumbangkan dengan mudah oleh UMNO dan Barisan Nasional, disebabkan kurang pengalaman politik dalam menerajui kerajaan yang dibentuk dengan majoriti tipis sebanyak 3 kerusi sahaja. Dengan menggunakan strategi ADUN lompat parti bila mana 2 ADUN PKR (Jamaluddin Mohd Radzi – Behrang dan Osman Jailu – Changkat Jering) dan 1 ADUN DAP (Hee Yitv Foong – Jelapang).

Sejak UMNO merampas balik kerajaan Perak secara tidak demokratik melalui persidangan DUN atau pilihanraya, Mufti Perak Tan Sri Harusani tidak dilihat berusaha untuk mendekatkan PAS dengan UMNO untuk sekian lama. Cuma bila pemimpin-pemimpin  utama UMNO menyuarakan hasrat bekerjasama dengan PAS baru-baru ini, Tan Sri Harusani menawarkan diri untuk menjadi “orang tengah”.

Sejarah cubaan kearah kerjasama antara dua parti ini sudah lama wujud. Ianya bermula selepas UMNO dan Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 dan kemudian berlakunya Tragedi 13 Mei 1969. Kesan daripada tragedi 13 Mei tersebut akhirnya PAS bersetuju menerima pelawaan UMNO membentuk kerajaan campuran PAS-Perikatan (UMNO-MCA-MIC) sebelum membentuk kerjasama yang kuat sehingga tertubuhnya satu kerjasama politik yang baru di bawah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973.

Disebabkan untuk mengelakkan pertembungan politik yang keterlaluan, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu menghulurkan “salam persahabatan” kepada PAS. Mengikut cerita Tan Sri Abdullah Ahmad, dalam kolumnya disebuah akhbar harian berbahasa melayu, beliau menjadi utusan atau “perantara” Tun Razak terhadap Dato’ Asri (gambar – kiri) yang ketika itu adalah Menteri Besar Kelantan dan Yang Di Pertua PAS Pusat.

Namun, langit juga tidak selalunya cerah, mendung hadir secara tiba-tiba, hujan pun turun bersertakan guruh dan kilat sabung menyabung, akhir PAS di tendang keluar oleh UMNO-BN pada tahun 1978 bila UMNO beralih tangan kepada Tun Hussein Onn. Sebagaimana bapanya, Datuk Hishamuddin yang sekarang ini menjadi Naib Presiden UMNO tidak menunjukkan minat yang bersungguh menjayakan kerjasama politik UMNO-PAS ini.

Begitu juga dengan apa yang cuba dilakukan oleh anak Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib yang menjadi Perdana menteri sekarang ini tidak mengikut strategi yang dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Tak perlu bagi beliau menyebut, UMNO bukan lemah untuk bersatu dengan PAS kerana menampakkan keegoan UMNO dalam menyatupadukan orang Melayu dan Islam sekarang ini.

Sekiranya ada kesungguhan dikalangan pimpinan tertinggi UMNO untuk berkesama dengan PAS demi kepentingan Melayu/Islam, mereka boleh mulakan kerjasama ini diperingkat kerajaan dengan kerajaan (G to G) dahulu sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak dahulu.

Sama ada akan berlaku kerjasama politik atau tidak, biarlah keadaan dan masa yang akan tentukan. Sejarah semasa bergabung dengan UMNO dahulu masih segar dalam lipatan ingatan dan agak sukar untuk dilunturkan. Selain itu, kenyataan Mursyidul Am Pas bahawa UMNO menolak Islam juga menjadi punca parti itu menolak usaha untuk bekerjasama bergabung. Jika dilihat kepada kenyataan tersebut, ia seolah-olah mempamerkan fahaman berbeza kedua-dua parti politik mengenai Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai sia-sia. Dalam keadaan sekarang,  Tan Sri Muhyiddin Yaasin selaku Timbalan Perdana Menteri perlu  mengambil inisiatif bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan Menteri Besar Kedah bagi mengadakan kerjasama di peringkat kerajaan. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 222,208 hits

ePaper

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories