Kalam Perantau

Icon

Tok Guru Nik Aziz terus kebal?

Nik Aziz terus kebal depani krisis: Pensyarah 

Oleh Jimadie Shah Othman
 
Walaupun diasak hebat dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan nepotisme, PAS Kelantan dan menteri besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat masih menikmati tanggapan positif rakyat, kata dua penganalisis politik.

“Biar dalam PAS sendiri berpecah, tetapi imej kerajaan Kelantan tidak terjejas. Rakyat (negeri itu) takut bahawa ini semua mainan media.

“Rakyat tidak berasa beliau (Nik Aziz) bersalah,” kata Prof Dr Mohd Agus Yusoff, seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, yang berasal dari negeri itu.

“Ia tidak memberikan kesan besar jika hendak dibandingkan dengan penyelewengan lain (dalam negara) yang lebih besar.

“Dakwaan seperti Nik Aziz menerima kek bernilai RM500 ini akhirnya jadi bahan lawak sahaja.”

Ahli akademik Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) pula berkata, asakan demi asakan terhadap kerajaan Kelantan tidak menggugat kepercayaan politik orang ramai kepada Nik Aziz apabila beliau masih meraih populariti berbanding pemimpin PAS lain.

Pensyarah kajian media itu juga berkata, data terkini menunjukkan bahawa sokongan terhadap Kelantan meningkat sebanyak 8 hingga 12 peratus (kepada 73.6 peratus) pada November lalu berbanding 63 peratus pada pilihan raya umum 2008.

“Sesetengah media tidak mempunyai data ini dan menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerajaan Kelantan merosot,” katanya.

“Mereka lupa, krisis adalah bisnes, bisnes adalah tentang tumpuan (masyarakat). Dalam dunia sekarang, perkara ini (tumpuan) mampu mengangkat reputasi dan mampu memberikan kekuatan.”

Dr Abu Hassan, yang menjalankan tanggapan politik melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies, membuat kesimpulan tersebut berdasarkan tinjauan berterusan berhubung kepercayaan politik tokoh-tokoh politik yang dijalankan sejak pilihan raya lalu.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, berdasarkan data-data terkumpul setakat November tahun lalu, berdasarkan maklum balas lebih 2,000 responden di seluruh.

Fasa kedua kajian tersebut akan bermula bulan depan, katanya.

Dr Mohd Agus dan Dr Abu Hassan diminta mengulas asakan konsisten terhadap kepemimpinan Nik Aziz, terbaru apabila beliau didakwa menerima hadiah kek bernilai RM500 daripada menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi Abdul Ariffahmi berhubung dakwaan terbaru terhadapnya masih belum berhasil.

Sejak beberapa pertengahan November lalu, Nik Aziz dihimpit dengan pelbagai isu, antaranya melibatkan isu tajaan hajinya daripada seorang ahli perniagaan, pengaruh ahli keluarganya dalam pertadbiran kerajaan negeri dan desakan agar beliau menyediakan pelan peralihan jawatannya.

Isu-isu tersebut, terutamanya berhubung isu Abdul Ariffahmi dan peranan ahli keluarganya – sering disebut ‘kabinet dapur’ Nik Aziz – turut dipersoalkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Spekulasi berhubung pengganti Nik Aziz juga hangat dibincangkan di media susulan cadangan exco negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendesak menteri besar menamakan penggantinya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Dr Abu Hassan bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Agus bahawa, sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Nik Aziz dan PAS dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri yang telah ditadbir selama 20 tahun itu.

“Kalau buat pilihan raya sekarang pun PAS menang lagi. Sukar untuk Umno menang biarpun Nik Aziz dibebani dengan pelbagai isu.

“Semua ini akhirnya akan mati sendiri. Tunggu masa sahaja,” kata Dr Mohd Agus.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno negeri Datuk Md Alwi Che Ahmad berpendapat sebaliknya.

“Dunia akademik ini macam fekah juga. Ada kata harus, ada kata sunat, ada kata wajib ada kata makruh (pelbagai tafsiran agama).

“Tetapi yang jelasnya, Kelantan mengalami masalah. Dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu, dah terbukti (PAS lemah), mereka menang dengan majoriti yang amat tipis,” katanya.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat hampir-hampir menewaskan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah apabila tewas dengan majoriti tipis 65 undi.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , ,

Siapa paling layak ganti Nik Abdul Aziz?

Oleh Zulkiflee Bakar
DALAM tempoh beberapa hari ini, isu siapa yang bakal menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan ‘hangat’ diperkatakan biarpun Mursyidul Am Pas itu sendiri belum memberi sebarang isyarat sama ada beliau akan berundur dalam waktu terdekat.

Sebenarnya, isu pengunduran Nik Abdul Aziz bukanlah isu baru, malah sejak beberapa tahun lalu ia sudah mula diperkatakan termasuklah setiap kali pilihan raya umum berlangsung. Tetapi setakat ini, belum ada petanda yang jelas bahawa Nik Abdul Aziz akan meninggalkan jawatan itu yang disandangnya sejak tahun 1990.

Apabila soal pengganti diperbincangkan, maka wujudlah nama-nama mereka yang dikatakan layak untuk menggantikan Nik Abdul Aziz. Setakat ini ia berkisar kepada tiga orang sahaja yang ketiga-tiganya adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Husam Musa. Ahmad Yakob adalah Timbalan Menteri Besar manakala Nik Amar dan Husam adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun sebelum ini, Husam sering disebut-sebut sebagai pengganti Nik Abdul Aziz tetapi kenyataan terbaru beliau jelas membuktikan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Kelantan.

“Saya tidak mahu dicalonkan sebagai pengganti. Jadi tak sepatutnya nama saya naik. Saya serius (tentang apa yang dikatakan).’’ Itulah kata Husam.

Namun begitu, sama ada penyokong Pas suka atau tidak, soal pengganti Nik Abdul Aziz tidak akan menjadi satu masalah sekiranya mereka mengkaji kriteria bagi melayakkan seseorang itu menggantikan Mursyidul Am Pas tersebut.
Sejak Pas menguasai Kelantan pada tahun 1990, slogan ‘Bersama Kepimpinan Ulama’ adalah menjadi daya penarik utama bagi membolehkan Pas terus bertahan sehingga kini. Pas mendapat sokongan di kalangan rakyat kerana corak kepimpinan ulama yang diketengahkan.

Inilah faktanya. Oleh itu apabila orang bercakap mengenai pengganti Nik Abdul Aziz (jika Pas masih diberi mandat untuk berkuasa) maka perkara pokok yang paling utama untuk dipertimbangkan ialah individu berkenaan mesti berlatar belakangkan agama, jika tidak maka Pas Kelantan perlu menggugurkan slogan ‘Bersama Kepimpinan ulama’ tersebut.

Dalam soal ini, Pas sudah tentulah tidak mahu ia berlaku kerana sokongan yang diraih oleh mereka selama ini adalah bersandarkan kepada kepimpinan tersebut. Malah Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang Menteri Besarnya adalah ulama. Justeru orang melihat dari satu segi Pas sudah terperangkap dengan slogannya sendiri kerana mahu tidak mahu, hanya ulama sahaja yang boleh menggantikan Nik Abdul Aziz.

Jika Pas hendak memilih mereka yang bukan berlatar belakangkan ulama, maka mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan penolakan rakyat terutamanya penyokong atas pagar yang selama ini begitu bangga apabila melontar undi kepada Pas di Kelantan kerana memahami ulama akan terus memimpin negeri itu.

Kalau kepimpinan ulama mahu dikekalkan maka Pas Kelantan hanya mempunyai dua pilihan sahaja sama ada memilih Ahmad Yakob atau Mohd. Amar.

Filed under: News, , , , , , ,

Ahmad Yaakob: Nik Aziz tak perlu umum pengganti sekarang

Oleh Adib Zalkapli
PETALING JAYA, Nov 26 — Timbalan Mentri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang menerima sokongan dua Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu mengambil sikap rendah diri dengan menegaskan tidak perlu ada pelan peralihan sekarang yang memerlukan Mentri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan penggantinya.

Oleh kerana Nik Aziz masih sihat, Ahmad yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan berkata, beliau boleh meneruskan kepimpinannya sebagai Mentri Besar.

“Tiada keadaan terdesak. Mentri Besar masih OK… boleh teruskan jawatan dia. Sebenarnya benda ini tak ada apa-apa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Pandangan itu diberikan beberapa jam selepas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang turut bersetuju supaya Ahmad dilantik Menteri Besar menggantikan Nik Aziz kelak.
Pendirian yang serupa juga dilahirkan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa semalam.
Husam berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Mentri Besar Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz.

Mohd Amar dan Husam juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Isnin lalu Mohd Amar mengesyorkan agar Nik Aziz menyatakan pelan peralihan pucuk kepimpinan kerajaan negeri dengan menamakan bakal penggantinya.

Mohd Amar berkata tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, beliau secara peribadi menyatakan sokongan itu berdasarkan kedudukan Timbalan Menteri Besar itu sebagai pemimpin paling senior dalam kepimpinan kerajaan negeri itu.

Selepas 19 tahun mengetuai kepimpinan pentadbiran negeri, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS kelmarin membayangkan sudah aha barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.

Bagaimanapun Nik Aziz enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Ketika mengulas lanjut, Ahmad berkata soal pemilihan pengganti Nik Aziz seharusnya melalui saluran parti.
“Bagi saya perkara ini mesti melalui saluran. Dalam parti ada forumnya, perkara ini tak mendesak, Tok Guru boleh teruskan,” tambah Ahmad.

Dalam pada itu, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood berkata, perkara berkaitan pelan peralihan seharusnya diputuskan oleh kepimpinan parti.

“Kita ada jawatankuasa pusat, ada dewan harian untuk bincangkan.

“Seelok-eloknya buat keputusan dalam mesyuarat dengan sama-sama semua kepimpinan,” katanya lagi.

Filed under: News, , , , , , ,

Kelantan perlu MB baru bertaraf ulama

KOTA BHARU – Dewan Ulama Pas Kelantan mengambil pendirian untuk menerima sesiapa saja bakal pengganti Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, namun ia harus datang dari individu yang berstatus ulama.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, kepimpinan Nik Abdul Aziz sudah menjadi sebati kepada rakyat Kelantan dan adalah perlu pengganti beliau juga harus memiliki ciri-ciri kepimpinan ulama yang ada padanya.

“Untuk meneruskan apa yang Nik Aziz perjuangkan selama ini, kita menerima sesiapa sahaja yang dipilih, namun ia harus datang dari ulama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz sebelum ini yang mendedahkan bahawa beliau sudah mempunyai :barisan pelapis untuk menerajui kepimpinannya selepas ini.

Nik Aziz sebelum itu mengulas mengenai saranan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahu Menteri Besar Kelantan itu menamakan penggantinya supaya tidak timbul kekalutan dalam Kerajaan Negeri.

Merujuk kepada hierarki kepimpinan Pas Kelantan sekarang, tiga Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

:Mohamed Daud berkata, adalah langkah yang terbaik sekiranya kepimpinan Pas memilih Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob sebagai pengganti Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, Ahmad memiliki ciri-ciri yang ada pada Nik Aziz selain memegang jawatan Timbalan Ketua Ulama Pas di peringkat pusat.

“Apa yang jelas, beliau adalah pemimpin yang tidak suka kepada kontroversi. Ini menunjukkan beliau memiliki rekod yang bersih, sudah tentu ia menjadi pilihan kepada Dewan Ulama,” katanya.

Ditanya adakah kenyataan itu bermakna Datuk Husam Musa tidak layak memegang jawatan itu, Mohamed Daud berkata: “Jika Pas memilihnya kita tidak ada masalah untuk menerima.”

Filed under: News, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories