Kalam Perantau

Icon

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Krisis Pelantikan Jawatan SUK Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor.

Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.

Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011

Advertisements

Filed under: News, , , , , ,

Teks Ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah

Berikut adalah teks titah ucapan baginda:

Pada pagi yang penuh bermakna ini, marilah kita semua bersama-sama mengangkat tangan memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmati dan dilindungi daripada apa-apa malapetaka dan musibah, supaya rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam aman makmur dan harmoni.

Pada hari ini Beta merasa amat terharu dan kesal kerana banyak titah-titah Beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat Beta di Negeri Selangor ini.

Seperti yang pernah Beta nyatakan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) semasa pada Majlis Santapan Sembah Kasih sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang ke-65 pada 5 Disember 2010 yang lalu, Beta menegaskan bahawa Beta tidak menyebelahi mana-mana pihak atau mana-mana parti politik.

Hasrat Beta adalah untuk melihat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini sentiasa dalam aman dan rakyatnya tidak kira daripada apa bangsa dan agama hidup dalam harmoni dan sentiasa tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu sama lain. Dato’ Menteri Besar Selangor sentiasa menghadap Beta sekurang-kurangnya seminggu sekali dan semasa sesi menghadap ini, Beta dan Dato’ Menteri Besar Selangor sentiasa bertukar-tukar fikiran dan saling menasihati serta berbincang untuk mendapatkan sesuatu yang baik dan elok untuk Negeri Selangor yang dikasihi ini.

Beta mahu rakyat Negeri Selangor ini makmur dan mengecap kekayaannya bersama-sama dan mendapat apa yang mereka perlukan untuk kehidupan seharian. Dalam erti kata lain, jika Negeri Selangor ini aman dan tiap-tiap pihak menjalankan tugas mereka dengan jujur, telus dan penuh komitmen, maka pembangunan dan kemajuan yang dicapai akan benar-benar dapat dikecapi oleh rakyatnya.

Justeru itu, Beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambat proses kemajuan.

Walau bagaimanapun, Beta juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya, Negeri Selangor masih berada di dalam keadaan yang aman dan makmur sehingga ini. Beta mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para penerima yang hadir pada hari ini.

Beta mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Berbahagia Dato’ Mohammed Khusrin bin Haji Munawi sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Beta ingin menegaskan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini adalah mengikut peraturan-peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

Beta tidak mahu isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor ini diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Harapan Beta yang Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik dan cemerlang.

Sumbangan dan tanggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan Negeri Selangor yang kita kasihi ini amatlah penting untuk kesejahteraan rakyat jelata yang berbilang bangsa. Beta berkenaan menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan di Negeri Selangor memberi kerjasama yang baik kepada YB Dato’ Haji Mohamed Khusrin agar segala perjalanan urusan pentadbiran negeri akan berjalan dengan lancar dan sempurna. Beta juga menitahkan supaya Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan dasar-dasar Kerajaan yang memerintah Negeri Selangor (Government of the day) mengikut undang-undang dan peraturan semasa (current rules dan regulations).

Beta mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor yang baru. Di sini ingin Beta mengingatkan bahawa Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor mempunyai peranan yang penting dalam menasihati Beta dalam masa pemerintahan Beta ini dan mereka mestilah menjalankan tugas dengan jujur, amanah serta ikhlas supaya Beta dapat menjalankan kuasa-kuasa sebagai pemerintah Negeri Selangor ini dengan adil dan saksama.

Beta sebagai seorang manusia, tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Oleh itu, Dewan di-Raja Selangor yang mulia ini haruslah memberi pandangan dan nasihat jika ada kesilapan yang Beta lakukan.

Kepada Sahibus Saadah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor yang baru, Beta berharap agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sempurna demi untuk menegakkan syiar Islam di Negeri Selangor ini serta menaikkan lagi martabat Agama Islam di Negeri Selangor.

Pada hari ini, Beta berkenaan untuk melantik tiga (3) orang Jaksa Pendamai Selangor dan Beta berharap Ahli-Ahli Jaksa Pendamai Selangor ini dapat memberi perkhidmatan mereka kepada masyarakat dan juga dapat menyatupadukan rakyat di Negeri Selangor yang berbilang kaum ini. Jagalah nama baik Jaksa Pendamai dan janganlah menyalahgunakan pelantikan mereka untuk kepentingan diri sendiri.

Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan Beta ini, Beta berkenan supaya Negeri Selangor ini akan kekal sebagai negeri yang termaju di Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain serta segala urusan pentadbiran dan operasinya akan menjadi benchmark kepada negeri-negeri sedang membangun di rantau ini. Marilah kita bersama-sama bersatu padu untuk merealisasikan harapan Beta ini.

Beta berdoa semoga kita semua akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta kekal maju dan berdaya saing di samping mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Filed under: News, , ,

Isu SUK: ‘Khas Buat Mu Sidek Hassan’

Oleh NAZRI ABDULLAH   

PUTRAJAYA, 4 Jan: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini diserahkan senaskhah buku Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai ‘hadiah istimewa’ kepada beliau.

Hadiah itu diserahkan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor beserta memo sebagai membantah perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang didakwa mereka dibuat dengan proses yang mencabul kuasa kerajaan negeri.

Mereka diiringi hampir 100 penyokong, berarak dari perkarangan Masjid Putrajaya menuju ke pajabat KSN di Kompleks Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 10.30 pagi dengan dikawal oleh lebih 50 anggota polis.

Hanya tiga dibenar pihak polis masuk membuat penyerahan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainudin dan Adun DAP Teratai, Janice Lee Ying Ha yang juga ketua DAPSY Selangor.

Pada sidang media selepas itu mereka memaklumkan hadiah dan memo tersebut berjaya diserahkan kepada pembantu peribadi kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN.

Dalam memo tersebut antara lain menggesa Mohd Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin.

Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat KSN bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

“Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini.

“Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor,” kata Khairul Anuar.

Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

“Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak.

“MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam,” gesanya.

Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu.

“Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau.
“Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut.
Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Filed under: News, , , , , , ,

Isu SUK : Nizar kata perlantikan Khusrin akan bawa masalah

Oleh AZIZ MUDA   

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan ‘mengganggu’ mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

“Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

“Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.   

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu. 

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

“Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Filed under: News, , , , , , , , , ,

DUN tergempar bagi kembalikan kuasa Sultan

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan sidang dewan undangan negeri tergempar bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik setiausaha kerajaan negeri, penasihat kewangan dan penasihat undang-undang.

Keputusan itu diambil setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, hari ini di mana baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan, kata Khalid pada sidang media yang penuh sesak dengan kehadiran wartawan.

Menurut Khalid, Baginda mencadangkan kepada kerajaaan negeri bagi membincangkan perkara berkenaan dengan SPA untuk mencari “jalan penyelesaian yang terbaik”.

“Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Calon yang layak

“Justeru, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

“Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio,” katanya lagi.

Sehingga kini, Khalid belum berjumpa dengan Khusrin meskipun bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu melaporkan dirinya hari ini

Filed under: News, , , , ,

Isu SUK: Khalid dakwa KSN tak hormati fungsi MB, sabotaj Selangor

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, — Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Hasilnya menurut Khalid, jawatankuasa tersebut telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.

“Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin, Ketua Setiausaha Negara bukan saja membelakangkan Menteri Besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman,” kata Menteri Besar.

Menurut Khalid lagi, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, malah tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

“Malah boleh dianggap bermotifkan politik, sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” kata Khalid.

“Lebih merungsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

“Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen,” kata beliau lagi.

Khalid memberikan kenyataan rasmi bertulis kedua dalam seminggu ini ketika pakar perundangan dan perlembagaan berpendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.  Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan itu boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan. “Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

“Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider semalam. Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan sultan.

Dalam kenyataan pertama, Khalid berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Filed under: News, , , , ,

Isu SUK : UMNO Selangor mahu Shuhaimi ditahan bawah ISA

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

 2 Jan. – UMNO Selangor mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ekoran kenyataan yang didakwa menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana kenyataannya yang dibimbangi boleh menggugat sistem pentadbiran dan keselamatan negara.

Katanya, negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kedudukan sultan atau raja diiktiraf sebagai ketua bagi sesebuah negeri.

Justeru beliau menegaskan, sebarang kenyataan atau tindakan oleh mana-mana individu yang mempertikaikan kedudukan serta bidang kuasa institusi itu merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan apatah lagi mengajak rakyat menentang asas perundangan negara.

“Kita memandang serius perkara tersebut atas dasar menjaga kedudukan Perlembagaan serta keselamatan negara ini. Tindakan Shuhaimi seolah-olah mahu mewujudkan fahaman anarki dalam masyarakat khususnya di Selangor.

“Ini amat membimbangkan dan kita mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuklah ISA sekiranya perlu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Shuhaimi menerusi laman blognya, http://srimuda.blogspot.com didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat PKR itu turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan “Beraja di mata, bersultan di hati” oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh “raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja”.

Filed under: News, , , , , , , , ,

Isu SUK : ADUN Sri Muda pertikai kuasa Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak biadab apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi dengan mendakwa ia seperti tindakan ‘beraja di mata, bersultan di hati’.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei juga dilihat mahu mengheret Sultan Sharafuddin ke dalam kancah politik apabila mendakwa, isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Sambil mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin itu, Shuhaimi mendakwa, jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Sultan Sharafuddin mesti bertindak mengikut nasihat majlis tersebut, bukannya berkecuali.

“Saya dapati pelantikan SUK sebagaimana diperuntukkan oleh Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Rakyat akan menolak sebarang tindakan ‘beraja di mata, bersultan di hati’ oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja,” katanya dalam blognya http://srimuda.blogspot.com, hari ini.

Shuhaimi merupakan pemimpin pembangkang terbaru mempertikai Kuasa Budi Bicara Sultan Sharafuddin dalam isu pelantikan Mohammed Khusrin selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad terlebih dahulu mempersoal pelantikan berkenaan.

Dalam pada itu, Shuhaimi seperti cuba memberi amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan konvensyen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

“Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung, akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan,” katanya.

Sementera itu, wakil rakyat PKR itu juga seolah-olah cuba menyamakan ketegasan Sultan Sharafuddin yang tidak berganjak dengan keputusannya walaupun mendapat pelbagai kecaman daripada pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dalam isu tersebut sebagai ego.

“Saya meneliti kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menyatakan baginda seorang yang tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang telah dibuat tetapi bagaimana sekiranya keputusan yang dibuat atau cara keputusan itu dibuat adalah salah?

“Adakah baginda masih tidak akan berganjak? Harapan saya supaya ketegasan tidak dikelirukan dengan ego,” katanya.

Filed under: News, , , , , , ,

Isu SUK : Selangor mohon keadilan

Kerajaan Selangor kini menyerahkan kepada Ilahi untuk “mencari keadilan dan kebenaran” dalam kemelut yang timbul rentetan dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri (SUK) baru negeri itu.

Usaha itu dilakukan melalui satu majlis solat hajat yang dihadiri kira-kira 100 orang di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam malam semalam setelah cubaan mengadakan perbincangan dengan Sultan Selangor sebelum ini menemui jalan buntu.

Bercakap dalam majlis ringkas itu, menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim berkata solat hajat berkenaan bertujuan untuk mengembalikan kuasa pemilihan SUK kepada kerajaan negeri.

“Kita mahu kuasa diberikan kepada kerajaan negeri (dan kita juga mahu) perubahan supaya Selangor telus dalam usaha mentadbir rakyat di negeri ini,” katanya ketika berucap di hadapan hadirin dalam majlis berkenaan.

Tambahnya, kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk memastikan pemilihan pegawai SUK itu akan dapat bersama-sama memperjuangkan hasrat pentadbiran negeri tersebut.

“Calon itu mesti mengikut tatacara dan enakmen kerajaan negeri dan saya telah meminta pegawai kerajaan negeri memberi nama calon.

“Akhirnya saya telah menerima lapan nama yang layak untuk proses pemilihan jawatan itu,” katanya. ‘Tak tahu kena bersaing hantar nama’

Khalid berkata panel jawatankuasa temuduga itu antaranya  terdiri daripada exco kerajaan Selangor Dr Hassan Ali dan Dr Xavier Jayakumar yang telah mengemukakan tiga nama kepada Sultan Selangor.

“Yang kita pilih adalah mereka yang berpengalaman dan kepakaran khususnya bidang ekonomi serta menyesuaikan diri dengan jawatan dilantik.

“Saya tak diberitahu kena bersaing untuk hantar nama,” katanya yang mengulas satu kenyataan daripada Istana Selangor sebelum ini yang mengakui menerima tiga nama calon untuk mengisi kekosongan itu tetapi “sudah terlewat.”

Kenyataan daripada setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani itu juga menyebut, Sultan Sharafuddin Idris Shah telahpun memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, seperti dilaporkan.

Turut hadir dalam program solat hajat itu ialah ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, exco kebajikan dan hal ehwal wanita Selangor Rodziah Ismail, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengarah komunikasi pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Baharom.

Filed under: News, , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories