Kalam Perantau

Icon

‘Sudah sampai masa akui kita ini lemah’

DATUK Zaid Ibrahim mengadakan sidang akhbar di rumahnya semalam bagi menjelaskan mengenai tindakannya menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya dalam parti. Berikut adalah sedutan sidang akhbar itu:

ZAID: Soal pemilihan kita telah timbulkan, bukan baru. Jadi, tak betul Anwar kata saya timbulkan sebab kalah di Sabah. Saya timbulkan ini sebelum saya nak bertanding.

Saya telah tulis surat dan minta penjelasan tertentu. Kita memerlukan pemilihan yang bersih kerana bukan hanya saya sahaja bertanding, ratusan calon yang bertanding.

Ini bukan agenda peribadi, jadi saya timbulkan ini sebelum buat keputusan. Kemudian timbulkan lagi semasa hari pertama pemilihan, pada masa itu saya mendahului.

Saya cakap jangan salah guna sistem, jangan buat penipuan. Tentang bukti, kalau dia tidak dapat bukti itu dalam tempoh dua bulan ini.

Semua orang tahu, dia sudah hilang sentuhan dengan parti, jadi saya rasa, kita telah banyak kemukakan bukti ini.
Undi lebih daripada ahli yang hadir. Orang tak hadir pun tandatangan dia ada. Ada kenyataan, yang datang mengundi bukan ahli tapi guna kad orang lain. Ada video orang tawarkan duit di Alor Gajah.

Saya mahu katakan begini, masalah yang kita hadapi sekarang dalam pemilihan PKR adalah manifestasi kelemahan Anwar itu sendiri.

Kita perlu terima hakikat dan ini bukan masa untuk nafi dan berdolak-dalik.
Jika anda nak membetulkan negara ini kita mesti jujur. Saya minta maaf, masalah ini saya terpaksa dedahkan kepada masyarakat.

Semua ini mendedahkan kita lemah, hakikatnya ialah cuma 6,000 ahli sahaja yang keluar mengundi, kita gagal. Saya mahu ubah kerana saya fikir PKR mampu bertindak lebih baik.

Kita tidak boleh ada pemimpin yang lemah yang hanya sentiasa menyalahkan pihak lain. 16 September, kita salahkan BN (Barisan Nasional)… hilang negeri Perak, kita salahkan BN… MP (ahli Parlimen) tinggalkan parti, kita salahkan BN.
Sudah sampai masa kita akui yang kita ini lemah, kerana kita membawa beban yang besar iaitu kepercayaan rakyat. Untuk PKR menjadi lebih baik, perlu ada kepimpinan baru, itu tidak semestinya saya. Ia akan memberi kekuatan baru, fokus baru. Sekurang-kurangnya siapa yang sanggup terima kelemahan ini dan mengatasinya.

Bukan kita tidak hargai sumbangan Anwar, kita hargai semua, tapi masa sudah berubah dan masalah sekarang juga berbeza.

Saya cadang jika PKR mahu terus maju, Anwar dan Azmin (Ali) mesti keluar kerana mereka adalah punca kepada segala masalah.

Saya mungkin tidak mendapat sokongan. Mungkin juga saya akan mendapat sokongan dan mungkin juga akan ada dakwaan saya buat semua ini untuk kepentingan diri sendiri.

Tapi kita tengoklah. Tetapi saya juga telah ke bawah dan ingin melihat kejayaan parti pembangkang yang kuat, nak tengok pakatan pembangkang yang kuat dan kerajaan akan jadi lebih bertanggungjawab.

Itu polisi saya, saya tak buat ini untuk menunjuk. Ada orang kata, jika saya tak dapat jawatan ini saya tarik diri. Bukan, saya ada visi untuk politik negara ini menjadi lebih baik.

Saya lakukan ini semua dengan nilai kebertanggungjawaban dan kejujuran. Saya tidak kritik parti kerana tidak dapat apa yang dikejar. PKR perlukan penyelesaian radikal bagi mengatasi segala masalah yang timbul hari ini. Harap apa yang saya katakan ini dapat difahami.

SOALAN: Kalau parti tangguhkan pemilihan, nak berpatah balik?
ZAID: Tidak. Masalah parti lebih dalam daripada semua itu. Jadi, Azmin patut disingkirkan. Anda tidak boleh, kerana kantoi di cabang ini, buat pemilihan sekali lagi. Kantoi di Kubang Pasu, buat lagi. Kantoi di Libaran, buat pemilihan semula.

Saya tidak nampak pendekatan itu berkesan. Sesiapa yang menyalahgunakan sistem mesti disingkirkan.

Adakah Anwar sudah tidak relevan dengan PKR dan politik tanah air?

ZAID: Saya fikir Anwar terlalu banyak isu peribadi. Selesaikanlah isu peribadi dulu. Azmin banyak masalah juga, jadi kedua-duanya perlu berundur dan biarkan PKR dipimpin dengan cara yang berbeza.

Sedia untuk berjumpa dengan Anwar?
ZAID: Boleh. Tapi saya akan cakap benda yang sama seperti yang saya kata hari ini.

Masalah bukti yang Anwar minta, boleh tunjukkan kepada media?
ZAID: Saya tunjuk dekat media, buat apa? Saya tunjuk dekat Bersih lah. Saya yakin Anwar tahu semuanya. Tak perlu tunjuk bukti, ahli pun tahu, semua orang tahu, calon pun tahu. Apa nak buktikan? Tapi kalau nak buktikan, saya akan buktikan kepada pihak yang bebas. Nak buktikan dekat dia buat apa?

Selain video, apa bukti lain yang Datuk ada?
ZAID: Laporan-laporan yang kita terima itulah bukti. Kita bukan polis nak pergi siasat, cuma yang kita ada laporan daripada ahli. Serah kepada mereka. Kalau tak mencukupi terserahlah kepada ahli. Tapi yang tak puas hati bukan saya seorang, semua calon. Yang puas hati cuma Azmin seorang sahaja.

Takkan kita semua reka bukti-bukti. Anwar perlu terimalah banyak masalah dalam parti. Beliau kena berdepan dengan masalah itu.

Kalau Azmin disingkirkan, apa tindakan Datuk?
ZAID: Kita bergantung kepada ahli. Tindakan saya macam ini, kita perlu melakukan pembersihan dalam parti. Kita perlu orang yang baik dalam parti. Kita perlukan dasar yang kukuh.

Sejauh mana kesetiaan Datuk pada parti?
ZAID: Kesetiaan saya pada parti sentiasa ada, tidak tergugat. Cuma, ada beberapa pemimpin lemah, itu yang tidak suka pada saya. Itu sahaja.

Datuk menyesal masuk PKR dengan segala penyelewengan, duit pun sudah habis banyak?
ZAID: Tidak. Kalau saya tak masuk, mana saya tahu semua ini?

Anwar kempen untuk Azmin, macam mana?
ZAID: Itulah salah satu puncanya masalah ini. Apabila Ketua Umum sudah memihak… kempen, beritahu ketua cabang… rosaklah. Tetapi Azmin dan Anwar ini baik, terpaksalah kempen.

Ada kemungkinan Datuk akan bersama dengan Mustaffa selepas ini?
ZAID: Tidak tahu apa tindakan beliau selepas ini. Dia pun berlapik tadi.

P.S Janapala (bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR) dakwa secara terbuka Anwar bertanggungjawab atas segala penyelewengan?
ZAID: Saya tidak tahulah siapa di sebalik penipuan tetapi saya tahu ada penipuan. Mungkin Janapala ada bukti, tapi peliklah orang datang 50 orang undi 150 undi.

Datuk percaya Anwar terlibat?
ZAID: Saya tidak tahu. Saya peguam, saya perlu lihat pada bukti.

Ada kemungkinan calon lain akan mengikut jejak Datuk?
ZAID: Saya rasa begini. Mereka juga kecewa, semua calon yang bukan ‘line up’ Azmin kecewa. Tetapi apa yang mereka akan lakukan, saya tidak mahu buat spekulasi.

Notis rasmi?
ZAID: Tak apa, saya akan hantar surat kalau itu mereka mahu.

Isu di Libaran dan Sandakan?
ZAID: Benda-benda ajaib berlaku. Tong pengiraan undi berpindah randah, banyak yang tidak betul.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , ,

Asri mohon maaf cadang Anwar ‘bersara’

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya “bersara politik.”

“Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal – pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

“Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam ‘perancangan’ untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan ‘digunakan’ terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar ‘bersara politik’ bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

“Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

“Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar,” katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari ini mempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan menggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil

Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang ‘garang’, laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

“(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

“Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub – yang turut dikaitkan dalam ‘perancangan’ itu – akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik – terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur – Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar

“Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot,” jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

“Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

“Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Zaid desak Anwar, Azmin berundur

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

PETALING JAYA 9 Nov. – Segala permasalahan yang timbul dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk kekalutan pada pemilihan parti yang menyaksikan pelbagai aktiviti penyelewengan serta penipuan berleluasa, adalah manifestasi kelemahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, kelemahan Anwar terbukti apabila beliau hanya pandai menyalahkan Barisan Nasional (BN) apabila misi 16 September gagal, ahli Parlimen keluar parti selain kehilangan pentadbiran negeri Perak, sedangkan semua perkara berlaku berpunca daripadanya.

Selain itu, beliau mendakwa kelemahan Anwar juga semakin terserlah apabila hanya 6,000 ahli parti keluar mengundi dalam pemilihan PKR dan pada masa yang sama parti itu kini dilihat semakin tidak bermaya untuk menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Sehubungan itu, beliau yang baru mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden mendesak supaya Anwar bersama ‘anak emasnya’, Azmin Ali berundur daripada PKR kerana kedua-duanya disifatkan sebagai punca kepada segala masalah.

“Masalah yang kita hadapi sekarang adalah manifestasi kepada kelemahan Anwar sendiri, justeru itu jika PKR mahu menjadi lebih baik, kita perlu kepimpinan baru yang mampu memberi kekuatan, nafas serta fokus yang baru bagi mengatasi kelemahan-kelemahan parti.

“Anwar dan Azmin mesti berundur daripada parti kerana mereka adalah punca kepada segala masalah, kita perlu terima hakikat ini dan sekarang bukan masa untuk berdolak-dalik,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Tropicana Golf & Country Resort di sini hari ini.

Sidang akhbar yang diadakan bagi menjelaskan keputusan beliau menarik diri daripada bertanding timbalan presiden itu turut dihadiri bekas pesaingnya, Mustaffa Kamil Ayub; calon Naib Presiden, N. Gobalakrishnan serta puluhan penyokong setianya.

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan menarik diri kerana kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan undi, selain turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR.

Zaid berkata, sudah tiba masanya parti itu memerlukan pendekatan yang radikal kerana Anwar dan Azmin terlalu ‘bermimpi’ sehingga menyebabkan parti itu hilang fokus dan kelihatan tidak bermaya untuk terus memperjuangkan prinsip keadilan seperti yang dilaungkan.

“Semua ini mendedahkan bahawa kita sebenarnya lemah dan saya mahu ubah keadaan ini. Saya fikir PKR sebenarnya boleh dan berkemampuan untuk menjadi lebih baik tetapi bukannya dengan pendekatan hanya pandai menyalah orang lain.

“Kita tidak boleh ada pemimpin lemah… 16 September kita salahkan BN, terlepas Kerajaan Negeri Perak kita salahkan BN, ahli Parlimen meninggalkan parti kita salahkan BN. Sudah tiba masanya kita akui kita ini sebenarnya yang lemah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaid mahu pencalonan Azmin dibatalkan kerana dakwanya terdapat banyak bukti bahawa ‘anak emas’ Anwar itu menyalah guna sistem pemilihan selain bertanggungjawab atas segala penyelewengan dan penipuan undi di sepanjang pemilihan berlangsung.

Sambil menyelar sikap berpura-pura Anwar, beliau berkata, adalah mustahil bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak mengetahui tentang penyelewengan dan penipuan yang berlaku kerana seluruh ahli akar umbi bercakap mengenai perkara tersebut.

“Kalau dalam tempoh dua bulan ini Anwar kata dia tidak tahu tentang penyelewengan dan penipuan, saya fikir dia sudah hilang sentuhan dengan parti,” katanya.

 Sumber : Utusan Melayu

Filed under: News, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories