Kalam Perantau

Icon

PRU ke-13: Najib main teka teki dengan rakyat?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Dalam masa 2 bulan terakhir ini, kita telah melihat 2 pilihanraya umum, iaitu Pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April, lepas dan Pilihanraya Umum Singapura pada 7 Mei lepas. Keputusan pembangkang dalam kedua-dua pilihanraya tersebut begitu memberangsangkan walaupun gagal menafikan 2/3 majoriti kepada parti memerintah. Tetapi pembangkan meningkat 100 peratus atau lebih.

Di Sarawak, pembangkang telah meningkat 100 peratus, yakni  dari 8 kerusi DUN kepada 16 kerusi DUN. DAP mendapat 12 kerusi, PKR 3 kerusi dan Bebas 1 kerusi. Sementara di Singapura pula, keputusan pembangkang  telah meningkat lebih 100 peratus dari, yakni dari 2 kerusi  sebelum ini kepada 6 kerusi. Kesemuanya dimenangi oleh parti Pekerja, yakni satu kawasan GM1 (1 orang) dan 1 kawasan GRC (5 orang), yakni al-Juneid memaksa Menteri Luar, George Yeo dan 4 rakannya dari PAP tewas. 

Begitu juga peratus undi popular parti pemerintah juga telah merosot kepada 55 peratus di Sarawak dan 60 peratus di Singapura bwerbanding dengan undi popular mereka sebelum ini. Kita melihat bagaimana angin perubahan telah mula berlaku di kedua-dua tempat yang sukar menerima kehadiran pembangkang sebelum ini.

Mungkinkah PRU 13 pada 11.11.2011? 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiyakan atau menafikan akan mengadakan PRU ke-13 pada 11.11.11 tapi masih berlegar kepada permainan angka seolah-olah dia cuba bermain teka-teki berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Najib dalam temubual dengan sebuah rangkaian radio tempatan yang disiarkan secara langsung baru-baru ini menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya. Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Diantaranya Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11. Sementara, ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Sekarang ini semua pihak termasuk semua parti-parti politik mula sibuk membuat ramalan bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Malah sesetengah parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing kecuali PKR (akhir tahun lepas) dan PAS (pada pertengahan tahun ini) untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya tersebut.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dalam komennya berhubung dengan perkara ini berpendapat,  Nampaknya Perdana Menteri terdesak nak buat PRU dan lebih banyak bergantung kepada perkiraan angka. Najib dilihat lebih bergantung kepada kesesuaian angka untuk mengadakan PRU daripada meyakinkan rakyat mengenai dasar dan polisi kerajaan.

“Maknanya dia tidak ada lagi kepercayaan bahawa dasar dan polisi yang mereka buat itu boleh meyakinkan rakyat tapi hanya bergantung keapda angka dan tarikh sedangkan angka dan tarikh tidak memberi apa-apa makna,” kata beliau seperti dilaporkan Harakahdaily.

Beberapa negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dilaporkan tidak akan membubarkan DUN-DUN mereka jika pilihanraya umum diadakan pada tahun ini. Jika kita lihat kepada Sarawak dan Singapura yang baru selesai pilihanraya mereka pada bulan April dan Mei lepas juga mengadakan pilihanraya hingga hamper tamat penggal 5 tahun mereka dengan pilihanraya sebelumnya diadakan pada tahun 2006.

Sebenarnya, Najib tidak perlu tergopoh-gopoh mengadakan pilihanraya umum ke-13 lebih awal kerana mandat bagi kerajaan yang ada sekarang adalah sehingga tahun 2013. Dalam hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga berpendapat, tiada keperluan untuk mengadakan pilihanraya umum sebelum tahun 2012 kerana banyak lagi masalah-masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Najib akan akur atau tidak kepada saranan negawaran seperti Tun Dr. Mahathir kerana Najib juga hendak membuktikan kepada rakyat bahawa beliau adalah popular dan akan mendapat mandat rakyat semula dan tidak perlu bergantung kepada mandat yang diperolehi dari pemimpin sebelumnya.

Jika melihat kepada perkembangan politik semasa di Sarawak dan Singapura, ada kewajaran juga untuk Najib akur kepada saranan Tun Dr. Mahathir bahawa beliau tidak perlu tergopoih gapah untuk mengadakan pilihanraya segera.

Jika silap percaturan, Najib bukan sahaja tidak dapat mengembalikan majority 2/3 kepada parti pemerintah, tetapi kerajaannya juga boleh hilang jika orang Melayu juga turut berpaling tadah seperti pengalaman yang dialami sendiri oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1999 yang lalu.

Abdullah Ahmad Badawi bernasib baik pada tahun 2008 kerana ketika orang bukan Melayu tidak lagi mempercayai BN (khususnya Gerakan, MCA dan MIC), orang-orang Melayu masih sanggup mengundi UMNO kecuali di Kelantan dan Kedah.

Dengan adanya program terbaru, PAS Ganti UMNO, atau singkatannya PGU yang begitu bersemarak di Terengganu tidak mustahil negeri tersebut bakal hilang dari penguasaan UMNO sekali lagi.

Dalam masa yang sama slogan PR (Pakatan Rakyat) Ganti BN (Barisan Nasional) tidak boleh dipandang ringan walaupun UMNO dan sekutu-sekutunya berusaha keras untuk memecahbelahkan kerjasama PAS dan DAP khususnya dalam PR.

Berbagai-bagai serangan berbentuk saraf yang dikemukakan kepada rakyat khusnya orang Melayu, seperti PAS alat DAP atau DAP ganti PAS dan sebagainya? Secara logiknya, mana mungkin DAP ganti PAS? Kedua-dua parti berkenaan mempunyai ideology dan sasaran politik yang berlainan.

Apa yang akan berlaku, sekira rakyat khususnya orang Melayu tidak menggantikan UMNO dengan PAS, UMNO terpaksa membuat kerajaan campuran UMNO-DAP  setelah orang bukan Melayu tidak lagi mempercayai BN. Jika rakyat tidak mahu melihat kerajaan campuran UMNO-DAP, pilihan yang ada adalah kerusi-kerusi yang dimiliki UMNO sekarang ini digantikan dengan PAS disemua peringkat.  

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah 

Advertisements

Filed under: Siasah, , , ,

Pecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pemilihan PAS

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang dalam PRU ke-12 pada 2008 lalu. BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Sebelum ini ada ramalan mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan dalam jangkamasa terdekat. Saya tak pasti bila Perdana Menteri nak umumkan tarikh PRU ke13? Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ternyata Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin melakukannya dalam jangkamasa terdekat.   

Penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN Sarawak tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam dan mencemaskan UMNO dan BN. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah?

Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat. Selain Cina, kaum Iban di Sarawak juga menolak BN.  Ini akan menyebabkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah yang dikuasai BN  akan berubah pada PRU ke-13 nanti. Pakatan Rakyat dijangka boleh memenangi 20 hingga 25 kerusi Parlimen di sabah dan Sarawak.

Sekarang ini UMNO dan BN sudah terdesak untuk terus mempertahankan kuasa di Putrajaya. Setelah gagal memujuk Cina untuk kembali kepada BN, UMNO mula memainkan strategi lama untuk memecahkan gabungan PKR-DAP-PAS. DAP dikatakan parti chauvanis Cina, PAS pula parti hilang prinsip dan jadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PAS ditafsirkan dan diolah sedemikian rupa bagi diadu-dombakan mengikut rentak UMNO dan BN. Terbaru media memanipulasi dan memutarbelitkan jawaban Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkaitan dengan video seks Trio 3T yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang.

Tak cukup dengan kenyataan pemimpin UMNO, Nalakaruppan, Presiden Parti MUIP yang tak ada kena mengena dengan isu ini pun tumpang semangkuk. Selain itu, mereka juga menggalakkan perkembangan parti-parti serpihan pembangkang seperti KITA, pimpinan Zaid Ibrahim. 

Komen Aziz Bari dan Pemilihan PAS

Sejak beberapa minggu lepas, ramai yang bertanya apa sikap saya terhadap pemilihan PAS kali ini. Sebenarnya pada saya, ada baiknya PAS menumpukan perhatian untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada terlalu memikirkan berhubung dengan pemilihan pada Muktamar parti itu ke-57 yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini..

Saya tidak bercadang untuk mengulas pemilihan PAS kali ini. Sebagai memenuhi pertanyaan di sini saya petik catatan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai renungan ahli-ahli PAS. Beliau berkata, Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS). Justeru itu, ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara’ , berpandukan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kepimpinan (Al-Qiadah) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus.Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.

Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini memaklumkan semua jawatan dalam PAS termasuk Presiden terbuka untuk ditandingi. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara ekslusif dengan Harakah tetap menegaskan beliau bersikap terbuka jika ada pemimpin lain yang ingin bertanding jawatan Presiden yang disandangnya sejak tahun 2002 kerana beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

Tidak dapat dipastikan apa motif tersirat, seorang Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat? Saya diberitahu, tanpa ada membuat soal selidik atau kajian lapangan yang menjadi amalan ahli akdemik dalam membuktikan tesisnya, beliau meminta ahli-ahli PAS menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin yang lebih dinamik. 

Dalam hal ini, saya cukup bersetuju dengan cadangan Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan Harakahdaily, bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada. Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

Malah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin menambah dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata. “Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa,” kata beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Berbalik kepada pemilihan kali ini, sama ada Presiden PAS dicabar atau tidak bukan persoalannya. Sejarah peralihan kuasa dalam PAS telah dilakukan dengan sistematik dibawah kepimpinan ulamak sejak lebih 25 tahun yang lepas berjalan dengan lancer dari Yusof Abdullah Ar-Rawa, kepada Datuk Haji Fadhil Mohd Nor dan seterusnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Cuma bila Timbalan Presiden ditandingi sejak tahun 2003, ianya belum lagi sunyi dari pertandingan bagi jawatan tersebut. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Rasanya sudah tiba masayanya jawatan tersebut di’syura’kan semula seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Analisis Keputusan Pasca PRN Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Saya mengikuti Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ini sejak tahun 1980’an lagi. Selepas PRN Sarawak pada tahun 1987 dimana Kumpulan Maju pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakob (PERMAS) dan Dato’ Leo Mogie (PBDS) hampir-hampir menumbangkan kerajaan BN3 pimpinan Taib Mahmud ekoran peristiwa Ming Court, pilihanraya kali ini begitu  mencabar bagi BN Sarawak.

Menurut sesetengah pemerhati, pilihan raya Sabtu lalu adalah ujian getir kepada BN sejak pilihan raya umum 2008 apabila pembangkang berjaya merampas satu pertiga daripada kerusi parlimen. Rakyat Sarawak sudah sebati dengan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan) dan masih memerlukan beliau untuk meneruskan kesinambungan pembangunan. Pilihanraya Sarawak kali ini dikatakan petunjuk bagi  mengukur populariti Najib yang didakwa banyak menabur wang bagi pembangunan luar bandar ketika berkempen.

Minggu lepas, saya telah membuat analisa awal berhubung dengan PRN Sarawak ke-10 pada 16hb April, lepas. Dengan hasrat tidak mahu menyusahkan Pakatan Rakyat dengan ulasan yang tidak memihak kepada mereka sebelum pengundian dijalankan, maka saya tinggal dahulu apa yang sepatutnya saya sebut dalam analisa awal tersebut. 

Keputusan PRN ke-10

Sungguhpun undi popular BN telah merosot kepada 55 peratus pada pilihanraya negeri ke-10 kali ini berbanding dengan 63 peratus pada pilihanraya negeri ke-9 tahun 2006 tetapi BN berjaya kembali memerintah dengan kelebihan majoriti 2/3 atau 55 dari 71 kerusi.

Bagi saya, Pakatan Rakyat tersilap strategi. Diantara perkara pokok yang sepatutnya saya tulis adalah kegagalan Pakatan Rakyat secara khususnya PKR untuk ‘berjiwa besar’ seperti komponen BN (PBB, SUPP, SPDP, PRS) bagi memastikan satu lawan satu diantara BN.  

PR Sarawak bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan part-parti lain yang ada di Sarawak. DAP dan PAS  telah akur untuk bertanding 15 dan 5 kerusi sahaja walaupun berkemampuan bertanding lebih dari itu. PKR dan SNAP gagal membahagikan 51 kerusi, akibatnya tiada kerjasama untuk hadapi BN.

PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi. Soal sama ada PKR atau SNAP yang lebih kuat, sudah tidak penting lagi sekarang. Hasilnya sudah dilihat, rakyat tolak kedua-duanya kerana gagal bersatu. PKR terpaksa berpuashati menang 3 kerusi (Batu Lintang, Ba’Klalan, Krian) sahaja daripada 49 yang ditandinginya. Hampir semua, 26 dari 27 calon SNAP bukan sahaja kalah malah hilang wang pertaruhan kecuali calon DUN Katibas, Toh Heng Sng.

Penolakan rakyat terhadap BN jelas berlaku di kawasan bandar yang mana pengundi Cina menjadi majoriti di mana DAP berjaya melumpuhkan parti parti komponen kedua terbesar BN Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). SUPP bukan sahaja tumpas teruk, malah presidennya sendiri, Tan Sri George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau, yang sudah sekian lama diwakilinya. Dan apa yang berlaku ini, sudah jelas DAP yang memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya.

Perkara ke-2, tidak ada kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandingi oleh PBB berjaya dirampas oleh PKR, PAS atau DAP. Kesilapan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim sendiri kerana terpengaruh dengan kajian-kajian persepsi yang ternyata mengundang padah bila mengisytiharkan Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru jika Pakatan Rakyat memerintah yang menyebabkan PBB berjaya memenangi semua kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandinginya.

PAS masih gagal mendapat kerusi sulung dari 5 kerusi yang ditandinginya di Sarawak. Bagi PAS, saya hanya optimis PAS memenangi DUN Beting Maro jika tidak ada perkara-perkara diluar dugaan berlaku pada hari mengundi. Apa yang saya jangka rupanya hampir menjadi kenyataan. PAS kalah dengan majoriti cuma 391 undi sahaja berbanding dengan 895 dalam pilihanraya negeri yang lepas.  Walaupun PAS berjaya meningkatkan undi di saluran lain tapi undi PAS merosot teruk di pusat mengundi SMK Beladin. Macamana UPU Beladin kawasan yang dah jadi macam “kubu PAS” masa PRU12 boleh terlepas kepada BN. Daripada menang masa PRU12 bertukar jadi kalah pulak masa PRN10.

Selain itu, pilihanraya kali ini menyaksikan seramai 71 calon telah hilang wang pertaruhan setelah mendapat kurang dari 12.5 peratus atau satu per lapan jumlah undi. Selain 26 calon SNAP itu, enam calon PKR, empat calon PCM serta 36 calon Bebas. Dominique, bekas ADUN PKR Padungan yang bertanding sebagai calun bebas kali ini juga hilang wang pertaruhan. Hanya calon DAP dan PAS tidak ada yang hilang wang pertaruhan.

Dari 41 calon bebas, hanya 5 sahaja tidak hilang wang pertaruhan. Malah seorang darinya George ak Lagong berjaya memenangi kerusi DUN Pelagus dengan majoriti 2,837 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional Stanley Nyitar @ Unja ak Malang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan calon PKR, Edward Sumbang ak Asun.

Kerusi DUN Palagus ini dimenangi oleh calon bebas yang disokong oleh ADUN dahulu, Larry Sng (gambar – kiri), Timbalan Menteri yang dipecat oleh PRS dan tidak dicalonkan semula ekoran perbalahan Larry Sng dengan Dr James Masing (gambar – kiri) berebut kerusi Presiden PRS.

Bukan setakat Larry, bapanya dulu pun ADUN di situ. Keadaan ini sama seperti Gabriel Aidit yang memenangi DUN Ngemah dalam pilihanraya ke-9 2006 sebelum ini atas tiket bebas yang disokong oleh Dato’ Leo Mogie selepas PBDS dimasuhkan.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , , ,

Analisa Pilihanraya : Apakah musim bunga melanda Sarawak?

Oleh : Bridget Welsh    

Semasa angin perubahan menggoncang Timur Tengah daripada Tunisia ke Yemen, ramai yang berpendapat bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku di Malaysia. Kerajaan BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang baik, dengan semua ketidakseimbangan dalam lapangan pertarungan, telah mengadakan satu pilihanraya yang kompetitif.

Namun, dengan berlangsungnya kempen di Sarawak, ia semakin jelas bahawa perubahan sedang berlaku. Pentadbiran 30 tahun Abdul Taib Mahmud yang sama panjang dengan kekuasaan regim Hosni Mubarak sudah memberi inspirasi yang tidak pernah dilihat di bumi kenyalang.

Dengan rekod jumlah pengunjung ke ceramah di seluruh pelusok negeri, pintu perubahan sudahpun terbuka, dengan Perdana Menteri Najib Razak menyuruh semua anggota kabinet turun berkempen di Sarawak yang sudah menjadi satu ujian kertas litmus negara yang penting.

Pilihanraya ke 10 Sarawak bakal menjadi medan ujian yang sebenar selepas Mac 2008 samada Malaysia bakal menyaksikan satu lagi musim bunga atau membantutkan angin perubahan.

Hilang kepercayaan terhadap pimpinan Sarawak

Terdapat beberapa persamaan yang penting antara Sarawak dan Timur Tengah selain tempoh kekuasaan kepimpinan yang lama. Yang paling ketara ialah ketidakpuashatian yang semakin mendalam terhadap pimpinan negeri di mana semakin banyak rakyat Sarawak telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Dengan keputusan Taib Mahmud untuk bertanding dan tidak menawarkan satu pelan pemindahan kuasa yang nyata, fokus tetap terpaku kepada keperibadian dan kekayaan keluarganya. Usaha untuk menyekat laman Sarawak Report sudahpun terlalu lewat.

Dengan ramai yang masih tetap setia kepada Taib, terutamanya dari golongan Melayu/Melanau dan pada tahap yang lebih rendah di antara beberapa komuniti Iban, isu rasuah dan nepotisme telah menjadi fokus utama sehingga menjadikan ianya pusat berbanding dengan keadaan di pilihanraya negeri 2006.

Isu-isu ini telah dibincangkan di rumah panjang dan kedai kopi secara terang-terangan, dengan rujukan kepada contoh-contoh konkrit yang membolehkan isu-isu tersebut menyerap luas ke dalam masyarakat. Terdapat pengundi yang merasakan dirinya dikhianati dan ditipu sehingga ada pemimpin negara dan BN yang hilang kredibiliti mereka.

Apa yang berbeza ialah perbualan kedai kopi daripada pilihanraya yang lepas ialah skop perbincangan dan peningkatan mendadak terhadap kepercayaan mengenai “excesses” (kelampauan salah tadbir negeri), ialah persis kelampauan.

Keadaan ekonomi yang tidak baik

Masa pilihanraya negeri kali ini tidak memihak kepada BN, dan memberikan lagi kesan terhadap faktor kelampauan. Inflasi tetap pada kadar yang tinggi (lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia), dan kesan pertumbuhan di bawah pentadbiran Najib, contohnya Model Ekonomi Baru (NEM), tidak dirasai pada kadar yang sama.

Pembangunan di Sarawak sudah terbantut untuk beberapa tahun yang lepas, di mana pertumbuhan telah mundur dan pendapatan tidak naik-naik. Manfaat ekonomi negeri dilihat tertumpu pada tangan golongan elit Taib. Ekonomi Sarawak – selain daripada pelancongan dan pembangunan pelabuhan berkaitan dengan gas asli, secara umumnya kurang dinamik.

Bahkan harga komoditi yang lebih tinggi untuk barang-barang seperti minyak kelapa sawit tidak menetes ke bawah dalam cara yang sama seperti Semenanjung Malaysia, kerana ini didominasi oleh syarikat yang menguruskan ladang (banyak di tangan elit politik dan orang dari Semenanjung Malaysia) daripada petani kecil.

Sektor runcit pula tersepit oleh pengurangan pembelanjaan, disebabkan kesinambungan upah rendah, yang tetap berada di tahap rendah mengejutkan dalam sektor perkhidmatan dan pertanian khususnya, dengan pekerja mendapat kurang dari RM500 satu bulan di pasaran pelanggan yang boleh dikatakan sekurang-kurangnya 30 peratus lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.

Isu sekuriti makanan juga telah muncul sebagai masalah, dengan perubahan dalam pengeluaran pertanian dan inflasi, mengurangkan kualiti makanan, terutama di kawasan luar bandar.

Tahap kemiskinan melampau walaupun mungkin telah turun dari tahun 1980, namun pada saat ini kadar kemiskinan relatif tetap tinggi, dengan rekod kedua tertinggi di negara. Jurang antara kaya dan miskin di Sarawak telah meningkat dan bertambah lebih luas – meskipun seseorang  percaya hanya beberapa laporan kekayaan elit ahli politik negeri itu – daripada Semenanjung Malaysia.

Kesulitan ekonomi dan perbezaan jauh lebih menonjol dalam pemilihan ini dan ini juga sedang dibicarakan secara terbuka.

Hilangnya rasa takut

Perbincangan terbuka ini telah mula mengubah satu lagi elemen penting yang telah menjadi sebahagian integrasi dari politik Sarawak iaitu rasa ketakutan.

Walaupun ada kebimbangan yang cukup bahawa proses pungutan suara tidak rahsia (yang difahami dalam masyarakat penduduknya lebih sedikit), ada juga kesediaan yang lebih tinggi untuk keluar dan berkumpul, dan, seperti yang berlaku di jalanan di Kaherah, dinamik ini sedang mendapat momentum.

Banyak pemilih, yang berdiam diri dalam menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak pembangkang, yang mendapat keberanian untuk menghadapi kesan sampingan dan menghadiri perhimpunan. Mereka memberikan sokongan kewangan di beberapa bandar yang menyamai sumbangan tahun pilihan raya Mac 2008.

Sementara BN yang menunjuk ke arah ketidakstabilan – mengingatkan pada pilihanraya 2001 selepas 11 September – ini tidak mempunyai kesan sama sekali, kerana pemilih di Sarawak seperti di Mesir, lebih bersifat engkar.

Kempen Internet lebih dinamik

Ini kerana sebahagian daripada alasannya berkaitan dengan sumber-sumber maklumat baru, iaitu akses pada sumber maklumat alternatif. Blog, website seperti Malaysiakini, YouTube dan banyak lagi telah menjadi sebahagian integral daripada kempen pilihanraya. Ini tidak berlaku dahulu, bahkan pada Mac 2008.

Kempen siber sangat panas, bahkan mungkin lebih panas daripada rally ceramah. Adalah penting untuk menghargai bahawa penetrasi internet di Sarawak jauh lebih terhad daripada Semenanjung Malaysia, di mana ia hanya tertumpu di bandar-bandar besar. Maklumat walaupun secara tapisan tersebar ke daerah semi-luar bandar dan luar bandar, akan tetapi secara perlahan-lahan dan tanpa impak yang besar sehingga sampai saat ini.

Ironisnya, ini adalah situasi di Timur Tengah juga, kerana perkongisan maklumat hanya tertumpu di kawasan bandar. Golongan kelas menengah dan profesional itu merupakan saluran yang amat penting dan pemimpin perbincangan, dan dinamik ini tampaknya akan bermain di Sarawak juga.

Peranan diaspora yang kritikal

Kesamaan terkini sebagai faktor penentuan melibatkan peranan penting dari diaspora (penduduk Sarawak di luar kawasan) Sarawak. Ada sekurang-kurangnya 300,000 pengundi Sarawak berada di luar negeri. Majoriti yang keluar kerana kurangnya peluang pekerjaan dan mereka tertumpu di Singapura dan Kuala Lumpur.

Mereka telah mengikuti pilihanraya kali ini dari jauh, memberikan sokongan dan kepulangan mereka untuk memilih akan menjadi faktor penting dalam membentuk keputusan di kawasan-kawasan yang sengit. Berapa ramaikah mereka yang akan kembali bakal menjadi penentuan dalam keputusan akhir.

Masalah yang sama juga bermain di dalam negeri, di mana pemilih muda di Kuching, Miri dan Bintulu akan membentuk kempen masyarakat luar bandar (apabila mereka pulang).

Pertandingan yang amat sengit

Walaupun perkara-perkara di atas menunjukkan gelombang ke arah perubahan, terdapat beberapa lagi cabaran penting yang membuatkan pilihanraya kali ini sebuah pertandingan yang paling kompetitif dalam sejarah Sarawak. Kemenangan pembangkang pada tahun 2006 dimenangi dengan margin yang sangat kecil, dan jumlah kecil keseluruhan pemilih di konstituensi membuatkan banyak pertandingan menjadi sengit.

Tiada satu pun dari kerusi pembangkang yang “selamat”, dengan sengitnya pertandingan kali ini, lebih banyak kerusi menjadi pertandingan terbuka. Hampir separuh daripada 71 kerusi di dalam ruang, dengan jumlah pemilih atas pagar yang sangat tinggi, terutama di daerah Iban dan di kerusi semi-luar bandar. Keputusan di semua kerusi akan ditentukan pada saat terakhir, termasuk setiap kerusi pembangkang.

Jentera dan kewangan BN

BN akan terus bergantung kepada kelebihan tradisinya iaitu sumber kewangan. Jentera BN – termasuk penggunaan jabatan kerajaan – bergerak dengan baik dan BN mempunyai akses kepada kawasan luar bandar, yang membolehkannya mendapat sebuah kawasan selamat – beberapa kawasan yang “pasti” menang.

Wang tersebut telahpun mengalir keluar, dengan rumah-rumah menerima RM1,000, individu RM200 dan individu yang berpengaruh sebanyak RM5,000. Sebelum ini mereka ini hanya dibayar sebanyak RM20. Apa yang akan menarik untuk dilihat adalah, jika benar wang terus menjadi kuasa penentuan, yang telah terjadi dalam pilihan raya sebelum ini, adalah berapa banyak lagi wang yang perlu disalurkan.

Penyaluran kewangan awal telah dibuat untuk menjadikan ini satu pilihanraya yang mahal. Meningkatnya penggunaan insentif kewangan untuk mendapatkan sokongan memberikan gambaran terhadap cabaran yang sedang dihadapi BN di dalam usaha memperkukuhkan dan dalam beberapa kes untuk mendapatkan kembali kesahihannya. Laungan janji pembangunan di Sarawak nampaknya tidak mempunyai kesan yang sama.

Pada peringkat ini, adalah amat sukar bagi BN untuk mengadakan pilihanraya umum.

Pertalian peribadi dan pertikaian parti

Penerusan budaya ‘perlindungan’ membezakan musim bunga yang mungkin melanda Malaysia daripada perubahan di Timur Tengah. Di Sarawak, dengan penduduk yang lebih kecil, terutama di kawasan luar bandar, ikatan mereka lebih bersifat peribadi. Ada banyak dalam masyarakat luar bandar yang mempunyai rasa kesetiaan yang kuat kepada Ketua Menteri Taib, kerana hidup dan mata pencarian mereka terikat pada pemerintahannya.

Tidak seperti pertalian akar umbi Umno di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sudah musnah, hubungan peribadi adalah lebih kuat di Sarawak, dan menghasilkan kesetiaan.

Melintasi jambatan ke tempat yang tidak diketahui – terutamanya dengan ketidakpastian di dalam kepimpinan di segelintir golongan pembangkang – bukanlah langkah yang sanggup harungi oleh banyak pihak. Hal ini memberikan BN kekuatan, meskipun telahpun tercemar.

Salah satu alasan mengapa SUPP sedang menghadapi cabaran untuk mempertahankan nyawa ikannya ialah kerana parti itu telah kehilangan sentuhan peribadi di kawasan bandar. Hal ini tidak menghairankan apabila logo kempen mereka cuba untuk menggunakan daya tarikan ini, walaupun dengan kesan yang terhad sampai saat ini.

Satu lagi elemen hubungan peribadi dalam kempen Sarawak adalah hubungan peribadi calon dengan masyarakat. Calon diketahui, daripada yang bebas kepada menteri-menteri BN. Mereka sangat bergantung kepada sokongan keluarga besar dan persahabatan peribadi. Dalam komuniti kecil, isu-isu ini memainkan peranan yang penting.

Semakin banyak pertikaian dalam sesebuah kerusi tertentu, dengan calon bebas yang mempunyai pangkalan mereka sendiri dan ketidakpuasan hati untuk bertarung, ia akan meningkatkan ketidaktentuan dalam perlumbaan-perlumbaan yang sudahpun sengit. Pertikaian telah menyebabkan PKR, Snap dan PBB bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dimana calon bebas turut bertarung. Secara keseluruhan, ini membantu BN dalam tahap yang lebih besar daripada pembangkang.

Politik etnik yang mengerikan

Apa yang membezakan kempen dari yang sebelumnya di luar mobilisasi besar pengundi adalah dari sudut etnik dalam kempen kali ini. Secara tradisinya, dinamik etnik di Sarawak hanya dimainkan di peringkat elit, dengan pertikaian kepimpinan yang jarang diperluaskan ke dalam masyarakat. Sementara itu, walaupun nasionalisme Iban juga penting, ia mempunyai kesan yang kecil pada pilihanraya negeri kali ini.

Sekarang semuanya telah berubah. Pertama, politik perkauman sedang digunakan dalam/daerah Melayu Melanau, dengan alasan bahawa sokongan mereka sangat penting untuk menentukan kedudukan komuniti tersebut dalam kepimpinan Sarawak.

Dengan foto Baru Bian daripada PKR yang diedarkan dan mesej yang halus dihantar dalam kempen, isu ‘Ketuanan Melayu’ akan mempunyai kesan.

Hujah halus yang disebut-sebut seperti orang Cina tidak setia kerana menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan beberapa pemilih, yang melihat politik etnik Semenanjung Malaysia telah dibawa ke Sarawak sebagai tidak bersesuaian. Hal ini terjadi pada masa yang sama orang Kristian – Iban, Cina, Dayak dan beberapa orang Melanau – berada dalam keadaan sangat marah atas pengendalian Alkitab dan isu-isu ‘Allah’.

Agama telah lebih terjalin dengan etnik dan dalam negeri ini, yang majoritinya Kristian, soalan kebebasan beragama telah menimbulkan riak politik, seperti yang berlaku pada bulan Mac 2008 di Semenanjung Malaysia.

Lebih merumitkan dinamik etnik adalah masalah tanah, yang telah terikat pada marginalisasi yang sedang dirasai masyarakat Iban dan Dayak, dengan mengorbankan masyarakat lain dan pihak luar.

Kurangnya kemajuan dalam masalah-masalah tanah adat mempunyai kesan dalam komuniti tertentu dan masalah ini sahaja memiliki arti-penting di lebih daripada 15 kerusi – dari Ba’Kelalan ke Belaga.

Menjadikan pertandingan seadil mungkin

Yang menarik untuk diamati dalam pertandingan ini adalah apakah pilihan raya akan terus dijalankan dalam keadaan terhormat dan adil. Orang Sarawak secara tradisinya akan mengelak konfrontasi dan polarisasi politik. Sementara wang telah diterima sebagai satu norma, masalah lain seperti proses pemilihan juga telah muncul.

Pemilih inginkan, dan patut diberi, satu pertandingan yang adil. Mereka ingin suara mereka diambil kira. Ura-ura bahawa telah ada pemindahan pemilih antara kawasan mengundi, masalah dengan senarai pemilih, cabaran undi pos, kad pengenalan yang didakwa telah diserahkan untuk pembayaran bagi seseorang untuk mengundi individu tertentu, pembatalan permit polis, tekanan pada pemilik kedai untuk membolehkan perbincangan politik telah meningkatkan kebimbangan mengenai integriti dan pendapat.

Apapun yang terjadi ketika keputusan akhir datang, adalah penting bahawa proses pilihanraya ini kredibel. Ramai rakyat Sarawak berharap bahawa seruan BN untuk berkelakuan baik dalam kempen di Sarawak akan dipanjangkan ke proses pungutan undi juga.

Peranan berkecuali dan profesionalisme di antara pegawai negeri di Malaysia dalam pilihan raya Sarawak, adalah sama pentingnya dengan tindakan kerajaan di Timur Tengah.

Ujian kepimpinan Najib

Pada hari-hari terakhir kempen, PM Najib telah membuat langkah berani untuk melibatkan dirinya dalam pilihanraya kali ini. Kehadirannya di bumi Sarawak lebih daripada perdana menteri yang lain kerana ini adalah pertarungan kalah-mati untuk mendapatkan mandat beliau nanti.

Adalah penting untuk melihat apakah beliau mampu mengalihkan kecemasan terhadap kerajaan negeri dan menyalurkan undi terhadap BN.

Pola bersejarah ini sememangnya menjadi salah satu kekuatan Taib daripada pemimpin BN yang lain. Namun segalanya bertukar tempat di pertandingan kali ini. Satu perbandingan selari boleh dibuat ke Tunisia dan Mesir apabila para pemimpin lain datang untuk mengelakkan pembangkang diarahkan dari arah atas.

Target dan kemungkinan

Cabaran di kedua-dua belah pihak sangat besar kerana pertandingan kali ini mempunyai kepentingan yang lebih besar sebagaimana yang disaksikan dalam kempen yang telah berlangsung. BN, Taib dan SUPP sedang menghadapi referendum penentuan yang akan mempengaruhi masa depan mereka, dan mereka harus memegang majoriti dua pertiga dan sekurang-kurangnya kerusi masing-masing.

Bagi pembangkang, apa jua kemenangan yang melebihi 15 kerusi berbanding tahun 1987 adalah prestasi yang besar. Menghalang BN daripada dua pertiga majoriti walaupun tidak mustahil, namun perjuangan ini amatlah sukar bagi semua pihak, dan keunggulan tetap berada di pihak BN walaupun ramainya yang menyerbu ceramah pembangkang.

Setiap undi adalah penting. Musim bunga masih belum tiba ke Sarawak, tapi dengan perubahan yang berlaku di bumi kenyalang, ia masih berada dalam keadaan serba mungkin.
————————————
Bridget Welsh adalah profesor sains politik di sebuah universiti di Singapura. Tulisan asal berbahasa Inggeris disiarkan dalam laman web Malaysiakini. Terjemahan dibuat oleh Li Fook Gao (harakah)

Filed under: News, , , , , , , ,

Kuasa siber dan revolusi Timur Tengah

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.
Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga. Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri  autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu — yang juga seorang blogger terkenal — seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet.

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan —  dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan — diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.
Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan  masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi “suam-suam kuku” penyokong Barisan Alternatif waktu itu!
Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan.

Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut.
Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan “saat-saat kematian” kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang “politikal”, ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat akan bangun membantah tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: “Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang.”

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. “Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.”

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin  Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 — seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 — tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman.

II.
Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan “Makcik Kedah”, dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya  di Bukit Besar. Pandangannya terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah.

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi — yang disifatkan rakyatnya sebagai “shopping plane” — sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: “Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!”

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: “Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?”

“Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan  bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah,” asaknya lagi.

“Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik,” saya memintasnya. “Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan …,” tambah saya, menunggu reaksinya. “Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja,” akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: “Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?” Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab — tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik,
bermusuh atau bersahabat dengan Israel — malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.
Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, ‘kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang “benar-benar baru” muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.

Filed under: News, , , , , , ,

Anak muda dijangka protes Pakatan Rakyat?

Oleh : Ahmad Lutfi Othman   

Demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik. Penyertaan proaktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak – termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus – mencuit perhatian saya. Tanpa kehadiran mereka, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk.

Tidak gentar dengan ugutan dan gertakan, ternyata anak-anak muda ini sedia “bertempur”, meredah tembakan gas pemedih mata dan basah dihujani pancutan water cannon. Idealisme mengungguli kebenaran terpasak kukuh dalam jiwa dan minda.

Dan inilah warisan mahasiswa zaman berzaman yang cukup membanggakan; tradisi mencabar dan sedia turun ke gelanggang mempraktikkan ilmu yang dikutip dari bilik kuliah, interaksi meluas dan pembacaan mendalam.

BUKAN SEKADAR SATU PESTA

Berlarian di jalan-jalan raya dikejar FRU bukannya sekadar satu pesta yang menyeronokkan. Ia memerlukan komitmen dan kesedaran. Isu yang mahu diperjuangkan perlu dihadam dan diperhalusi.

Dimensinya pelbagai dan merangkumi pelbagai aspek. Daripada tuntutan proses pilihan raya adil dan bebas, menjangkau desakan pemansuhan akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara, bantahan kenaikan harga minyak, juga tanpa melupakan problem dalam kampus seperti isu PTPTN, kemudahan asrama, akta universiti, sudut pidato, partisipasi politik. Sesekali melepaskan amarah di hadapan kedutaan Amerika Syarikat menentang sikap neo-imperialisme kuasa besar itu.

Kali ini bukan sekadar menentang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada tahun 2009, diikuti 25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10 peratus (2018) dan 5 peratus (2021), yang pastinya membebankan rakyat, malah secara umumnya mahu mengembalikan hak air air kepada rakyat, selain membetulkan kesalahan dalam penswastaan industri perkhidmatan air. Desakan turut dibuat agar sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu. Amalan kronisme yang menjadi budaya politik Umno-BN juga ditentang habis-habisan.

Berbanding siri perhimpunan raksasa sebelum ini, juga di lokasi sama, iaitu perkarangan Masjid Negara (juga Dataran Merdeka dan kompleks Sogo) menuju Istana Negara, pembabitan orang muda pada 5 Disember lalu jelas mendominasi suasana.

Biarpun diterajui pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun anak-anak muda ini saya yakin bukannya hanya mengikut melulu. Ia didorong atas sikap tanggungjawab yang penuh makna, demi mencapai kebaikan dan manfaat umum. Mereka mendahulukan kepentingan bersama meskipun terpaksa berdepan ancaman dan penguatkuasaan Auku yang mengongkong.

Lebih menarik apabila lima hari kemudiannya, pada Jumaat, 10 Disember, mereka sekali lagi berkumpul atas solidariti semangat kemahasiswaan di hadapan Masjid Putrajaya, menuju Jabatan Perdana Menteri. Medan kali ini lebih “terkepung” dan berisiko. Bagaimanapun ia bukan kali pertama mahasiswa memilih gelanggang Putrajaya.

Sudah beberapa kali anak muda terpelajar ini memprotes secara lantang di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, antara lain, menuntut sistem pilihan raya kampus yang adil, telus, tidak memihak dan benar-benar bebas daripada pengaruh dan campur tangan Urusetia Hal Ehwal Pelajar.

MENGANGKAT SUARA MASYARAKAT TERTINDAS

Mesejnya tetap sama, mengangkat suara masyarakat tertindas untuk didengari secara lebih jelas oleh elit penguasa. Mahasiswa mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib Razak kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, yang diumumkan secara tiba-tiba. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Mahasiswa pasca Auku juga tidak kurang hebatnya mempamerkan daya juang yang kental, menyelongkar kezaliman, membongkar penganiayaan, membela golongan miskin dan tertindas. Perobohan kawasan setinggan tanpa belas-kasihan, seperti di Kg Berembang, Ampang beberapa tahun lalu menjadi saksi.

Ia mengingatkan beberapa batu tanda sejarah kegemilangan gerakan pelajar terdahulu, misalnya peristiwa Telok Gong dan Tasek Utara. Penglibatan mahasiswa sebagai pemangkin gelombang reformasi 1998 juga tidak boleh dilupakan sehingga ada yang dipecat daripada universiti. Mereka bagai pembawa obor kesedaran, yang tiada berkepentingan.

Saya tetap yakin, jika ruang dan kesempatan diberikan, golongan mahasiswa hari ini tetap akan membawa panji-panji yang sama seperti generasi 1960-an dan awal 1970-an dahulu. Namun, sesuatu yang pasti, penguasa yang korup sentiasa menganggap masyarakat terpelajar sebagai seteru yang perlu dijinakkan. Peraturan makin diperketat, lingkungan disempitkan dan ruang perdebatan dikecilkan. Pemimpin universiti pula dipilih daripada kalangan pengampu dan kaki bodek. Masing-masing berlumba dan bersaing untuk memuaskan kehendak menteri.

Persoalan yang timbul, apakah minat dan kecenderungan positif mendekati gelodak rasa masyarakat ini benar-benar melebar di kalangan warga kampus, atau golongan yang sensitif dan prihatin ini tersudut dalam kelompok minoriti di menara gading? Mungkinkah sebahagian besar yang lain masih leka dengan rutin harian yang mementingkan diri sendiri semata-mata, atau langsung tidak terdorong untuk memahami pergolakan dan keresahan komuniti sekitar?

MELUNTURKAN KOMITMEN

Ada juga yang bimbang dengan suasana persekitaran yang turut melunturkan komitmen dan kesedaran anak muda sebagai agen perubahan, terutama selepas keluar daripada alam kampus. Memang diakui fenomena ini sentiasa berputar dalam lingkaran yang sudah diduga. Generasi yang begitu aktif dengan gerakan pelajar zaman 60-an dan 70-an pun dijangkiti wabak sama. Realiti dunia sebenar hanya menghakis daya juang yang dibekalkan di institut pengajian tinggi. Asakan kehidupan yang cukup rencam itu sering mengelirukan dan ramai idealis kampus  kecundang.

Jika direnung perangkaan yang menunjukkan kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008. Manakala di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Senarai punca dan alasan belia Melayu bersikap tidak peduli mungkin panjang, seperti himpitan Auku, budaya hedonisme dan pengaruh materialisme. Minat mereka untuk turut serta dalam agenda politik, termasuk dalam kegiatan paling minimum seperti pendaftaran sebagai pengundi, berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Saya tidak pasti apakah anak-anak muda yang kelihatan prihatin dengan persoalan politik dan bersedia untuk berdemonstrasi memperjuangkan isu-isu rakyat sudah mendaftar sebagai pengundi.

Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih terbuka dan berpemikiran kritis. Ya, zaman penguasa menakrifkan segalanya buat rakyat sudah berakhir. Media “arus perdana” hilang sengat dan bisanya. Anak muda tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton YouTube dari bilik tidur atau membaca berita-analisis terbaru yang segar daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari dengan mudah dan cepat.

Soalnya, mengapa dalam situasi yang begitu selesa dan secocok dengan amalan demokrasi yang matang (tanpa mengetepikan halangan dan sekatan masih berterusan, namun kita sudah ada jalan keluar), tiba-tiba kita dihadapkan dengan fenomena golongan muda (terutama orang Melayu) yang dikatakan tidak berminat dengan politik? Walhal, bagi penganalisis politik, perubahan di peringkat persekutuan hanya dapat dilakukan dalam pilihan raya akan datang jika kesedaran datang secara serentak daripada semua kaum, khususnya masyarakat Melayu. Sederap langkah diperlukan, bukannya satu kaum menolak BN sementara kaum yang lain masih mempertahankannya, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya 1999 dan 2008.

TREND POLITIK MAHASISWA CINA

Secara lahiriah, kelihatan generasi muda bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, seperti tidak mengambil hirau politik kepartaian. Mereka lebih prihatin dengan kegiatan ekonomi. Mahasiswa Melayu lebih berminat berpolitik khususnya dalam mengidentifikasikan diri dengan parti siasah tertentu.

Justeru, di mana silapnya sehingga masyarakat Melayu dikatakan yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi? Walhal parti-parti politik Melayu lebih banyak menjalankan aktiviti – dan ia tidak bermusim sifatnya – berbanding parti-parti lain. Begitu juga dengan kegiatan di kampus, yang dikuasai mahasiswa Melayu. Atau, mungkin keadaan sebenarnya tidak seperti yang dijangkakan itu? Pelajar Cina mungkin lebih selektif beraktiviti tetapi “kesedaran politiknya” jauh lebih matang?

Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat, daripada semua parti komponen, harus meneliti secara mendalam kecenderungan dan budaya politik anak-anak muda ini. Kesetiaan mereka terhadap parti tidak sepekat generasi lebih dewasa. Golongan ini lebih mudah beralih arah jika dasar atau sikap sesebuah parti (atau pemimpinnya) dilihat tidak serasi lagi dengan mereka.

Jika mereka berasa dikesampingkan atau tidak diambil peduli, usaha rendahkan keupayaan mereka untuk melakukan “undi protes”. Sokongan pada musim pilihan raya terdahulu sama sekali tidak mengikat mereka untuk terus mengundi parti atau calon yang sama untuk pilihan raya akan datang.

Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik. Selain merumuskan deraf manifesto awal pilihan raya umum ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.

Pendedahan bahawa laman-laman sesawang atau blog pro-BN semakin popular mungkin satu petanda bahawa masyarakat kini lebih dahagakan maklumat atau perkembangan baru, meskipun ia disalurkan oleh “media lawan”. Keghairahan ingin tahu itu cuba dimanfaatkan oleh strategis Umno. Ia bukanlahlah sesuatu yang patut digeruni.

Pakatan tidak perlu gentar dengan maklumat walaupun ia mendedahkan kelemahan kerajaan negeri yang dikuasainya ataupun membongkar  karenah dalaman parti yang cuba diselindung. Kelemahan harus segera diatasi dan ditangani. Anak muda yang diasuh dengan keterbukaan, integriti dan ketelusan tidak mahu daya intelektual mereka diperbodohkan. Zaman untuk mengangguk dan menerima tanpa bahas sudah berlalu

Filed under: News, , , , , , , , ,

Isu FELDA: Najib Pengkhianat Sebenar

SHAH ALAM  : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai pengkhianat sebenar oleh Mantan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab menjaga FELDA, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ini kerana katanya rizab tunai  agensi itu susut mendadak selepas Najib mengambil alih syarikat itu pada tahun 2005.

Tegasnya, tindakan terdesak itu juga ujarnya disebabkan Najib ingin menjaga 40 kerusi Parlimen yang terletak di bawah kawasan FELDA seluruh negara.

Dihubungi Tv Selangor Dr Tan berkata, selepas Najib mengambil alih pengurusan FELDA, rizab tunai lembaga itu jatuh daripada RM4.5 bilion kepada RM1.2 bilion.

Beliau mendakwa Najib sebagai individu yang bertanggungjawab penuh ke atas FELDA membazirkan RM3 bilion melalui pelaburan anak syarikatnya, FELDA Global Ventures.

FELDA juga  baru-baru ini kata Dr Tan, cuba meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat kekurangan rizab tunai walaupun aset dari hartanah dan pegangan sahamnya banyak.

“Banyak lagi kes peneroka yang tidak berpuas hati tentang Tabung Tanam Semula.

“Dua bulan lalu, ada satu kes yang melibatkan peneroka berusia 60 tahun yang melalui skim tabung tersebut telah menyimpan sebanyak RM17,000.

“Oleh disebabkan alat-alat dan baja di bawah skim FELDA mahal, beliau menggunakan wang sendiri dan apabila beliau mahu menuntut wang tersebut, FELDA kata tak boleh,” jelasnya.

Beliau yang mempersoalkan tindakan tersebut, menggesa supaya FELDA melantik syarikat akauntan untuk menjalankan audit dalaman terhadap akaun lembaga tersebut.

Dr Tan turut mempertikaikan kenyataan Najib di mana FELDA juga mempunyai 45 anak syarikat yang tidak diberikan butiran termasuk pelaburan luar negara RM3 bilion di Amerika Syarikat.

“Bagilah semua butir-butir, sebab kita tidak tahu apakah butir-butirnya tetapi beliau tidak jawab langsung,” ujarnya.

Tambahnya, apabila FELDA kalah dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG) di FELDA Kemahang 3 di Kelantan, Najib turut menyalahkan peguam di mana menyebabkan peneroka semakin marah dengan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata sebelum Najib dan pemimpin Umno membuat tuduhan, beliau harus melihat kembali tentang apa yang didedahkan oleh Dr Tan mengenai penyusutan rizab FELDA dari tahun 2004 sehingga 2009.

“Maknanya daripada sejumlah rizab FELDA menyusut daripada RM4 bilion kepada hanya RM1.3 bilion.

“Ia juga telah dikemukakan dalam Parlimen tentang kebenaran dakwaan Dr Tan dan telah dijawab oleh Datuk Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau telah mengaku bahawa wujud kemerosotan tersebut, jadi adakah dengan jawapan secara berterus-terang itu bahawa kononnya pihak pembangkang telah membuat pengkhianatan dan tuduhan mengatakan FELDA bankrap?,” soalnya

Justeru, Mazlan menegaskan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab ke atas salah urus dan kemerosotan rizab tunai yang dipertanggungjawabkan ke atasnya ketika itu.

Semalam dalam satu ucapan di hadapan peneroka FELDA, Najib melabel golongan yang menuduh agensi itu bankrap sebagai pengkhianat.

FELDA pada ketika ini menyaman akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan ‘FELDA Bankrap’ sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan akhbar berpengaruh itu

Filed under: News, , , , , , ,

Najib gelabah rakyat bangkit

Oleh : Idris Ahmad    

PAS nampak Datuk Seri Najib Tun Razak gelabah dan resah menghadapi gelombang kebangkitan rakyat. Serangan demi serangan kepada Pakatan Rakyat melalui media perdana dan meminta rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13.

Beliau cuba hendak mengajak rakyat supaya membutakan mata supaya jangan melihat kebaikan yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat yang memerintah selama  dua tahun lapan bulan cukup teruji dan terbukti kamampuanya berbanding dengan BN yang memerintah selama 53 tahun.

Ditambah pula kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN di bawah kepimpinan Najib memerlukan masa untuk  mendapat sokongan majoriti kerana masih  ada lagi rakyat yang belum berpuas hati  terhadap BN.

Rakyat mula membuat perbandingan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang tidak mempunyai hasil yang banyak tetapi mampu membuat kebajikan kepada rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah dan sebagainya.

Rakyat sudah membayangkan jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat dengan hasil yang begitu melimpah ruah, maka banyak lagi kesenangan rakyat akan diperolehi.

Rakyat mula memikirkan apa yang mereka dapat di negeri BN yang memerintah. Sebaliknya rakyat hanya dapat kenaikan harga barang, petrol, gas dan akan datang pula kenaikan tarif elektrik.

Taktik serangan terhadap Pakatan Rakyat untuk melindungi masalah dalaman BN yang begitu parah. Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 gagal mencapai hajat penyatuan di kalangan mereka sebaliknya berakhir dengan perang mulut antara Umno dan MCA mengenai isu ketuanan Melayu.

Slogan 1Malaysia nampaknya tidak berapa menjadi untuk menjadi umpan kepada pengundi bukan Melayu untuk bersama dengan BN, maka jalan keluarnya ialah dengan menyerang Pakatan Rakyat.

Hari ini Datuk Seri Najib mendakwa siapa yang mengatakan Felda bankrap pengkhianat bangsa. Apabila peneroka sudah mempunyai kekuatan dan celik maklumat hasil daripada perjuangan PAS yang menubuhkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) untuk generasi kedua, maka banyak tembelang Umno BN sudah terbongkar.

Barisan Nasional tidak boleh menipu generasi kedua peneroka kerana mereka adalah generasi yang bermaklumat dan terpelajar. Sekarang mereka bangkit menuntut hak mereka, selama ini bapa mereka diperah seperti kilang sawit memerah buah sawit, yang peneroka dapat hanya hampas ini yang menjadi kemarahan Datuk  Seri Najib.

Golongan Dakwa Felda Bankrap Pengkhianat Bangsa – Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap, sebagai pengkhianat bangsa, kerana sanggup menghina institusi itu yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan Felda sebenarnya merupakan sebuah institusi yang berjaya dan telah mengubah lanskap sosio-ekonomi negara selain mempunyai simpanan tunai yang banyak.

“Dua tiga hari lepas, saya bermesyuarat dengan pengurusan Felda, saya tengok akaun Felda. Kalau semua saham milik Felda yang tersenarai dalam Bursa Malaysia hari ini, kita cairkan, keuntungan atau pendapatan yang boleh Felda peroleh adalah sebanyak RM4.3 bilion.

“Siapa kata Felda bankrap…mana ada? Pengurusan Felda kata, jangan sebut tetapi banyak wang tunai kita ada dalam simpanan…(dan) selamat,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di sini, Ahad.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Najib berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap sebenarnya telah membuat pembohongan kedua terbesar selepas kononnya akan mengambilalih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada 16 Sept 2008.

Sebab itu, Perdana Menteri berkata adalah wajib bagi rakyat termasuk warga Felda untuk mempertahankan kerajaan sedia ada di Putrajaya.

Sambil menyifatkan golongan berkenaan tidak berhati perut kerana sanggup menghina dan mencemar imej Felda, Najib berkata pihak terbabit kini takut “menyerang” Felda kerana kebenaran telah terbukti bahawa apa yang mereka dakwa tidak betul.

“Sebab itu orang yang dakwa Felda bankrap hari ini dah ketaq (ketar) lutut. Kita dah menang dua kes (saman) di mahkamah dan empat lagi kes sedang tunggu.

“Kita berada di pihak yang benar. Hari ini mereka tidak berani berkokok lagi. Kita cabar, kalau mereka berkokok, kita saman,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata dengan peluang dan rancangan jangka panjang yang dilaksanakan Felda di 317 tanah rancangannya di seluruh negara, telah membawa banyak perubahan atau transformasi kepada komuniti Felda itu sendiri.

Sebagai contoh, beliau berkata seramai 36 anak peneroka Felda yang diberi peluang untuk mendapat kelulusan dalam jurusan “License Aircraft Maintenance” (penyelenggaraan pesawat berlesen) akan menjadi kumpulan pertama, diiktiraf sebagai jurutera dalam bidang tersebut tahun depan.

Justeru, beliau berkata tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa komuniti Felda kini merupakan contoh masyarakat luar bandar yang berjaya di negara ini.

Beliau juga berkata antara kejayaan paling berkesan oleh Felda di peringkat global ialah dalam membanteras masalah kemiskinan.

“Ini semua adalah bukti bahawa perjuangan kita merupakan perjuangan yang dapat membawa manfaat kepada komuniti Felda. Saya dimaklumkan dua juta rakyat mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung dengan kejayaan Felda,” katanya.

Malah, beliau berkata kejayaan dan perubahan itu bukan sahaja dinikmati masyarakat Felda tetapi komuniti di sekeliling tanah rancangan institusi berkenaan.

“Ini bererti bahawa kejayaan Felda bukan untuk komuniti Felda sahaja tetapi untuk seluruh negara. Sebab itu Felda perlu kita pertahankan daripada diserang oleh sesiapa yang berniat buruk dan tiada hati perut,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kejayaan yang dicapai oleh Felda, warga institusi itu boleh menjadi komuniti yang akan mencapai masyarakat berpendapatan tinggi lebih awal daripada rakyat lain di negara ini, iaitu sebelum 2020.

Bagi menghargai peranan peneroka Felda, Najib mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan lima program di tanah rancangan tersebut, yang masing-masing membabitkan peruntukan RM1 juta.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu melibatkan Program Memerangi Dadah dan Gejala Sosial; Program Pembangunan Belia, Kebudayaan dan Sukan; Program Komuniti Berpagar; Pengurusan Majlis Belia Felda Kebangsaan, Wilayah dan Rancangan serta Program Sahsiah Komuniti Belia.

Beliau turut mengumumkan bahawa Felda bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembinaan gelanggang futsal terbuka di tanah-tanah rancangannya.

Najib berkata kos pembinaan gelanggang tersebut yang melibatkan RM100,000 sebuah, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2012. – BERNAMA

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Antara Lembu Khalid & Lembu Najib. Mana satu rasuah dan Korban?

Oleh : Ustaz Saiful Bahri Mamat

Dulu gawat masa Hari raya eidul adha apabila MB Selangor mengagihkan 46 ekor lembu korban untuk HariRaya Adha. Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan tersebut. Gerak membuat aduan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak – kawasan Parlimen Abdul Khalid – ketika Hari Raya Korban yang lalu.

Masa itu PR baru menang. Ramai yang nak jadi pahlawan. Para media pun nak tunjuk juara mengampu mereka. Pemuda UMNO ketika menyerang MB Selangor itu memberi sebab dan alasan dengan menyebut amalan korban ni adalah satu amalan yang dikhaskan untuk dilakukan oleh seseorang individu. Amalan korban bukan ditujukan kepada institusi. Kalau suruh institusi yang buat korban, nilai amalan dan pahala tu tuhan nak bagi siapa pulak. Jadi, di sini sudah wujud dua kesalahan.

Pertama melakukan amalan korban tidak mengikut seperti mana tertib yang tuhan syaratkan iaitu kepada individu muslim dengan duit poket sendiri.

Kedua, mengarahkan institusi perbendaharaan kerajaan pula menanggong kos amalan korban bagi pihak Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Ini adalah satu penipuan serentak yang dilakukan terhadap tuhan dan manusia. Inilah bahananya bila amalan agama pun mahu dijadikan sandaran untuk persembahan politik..

Khalid Ibrahim pula menafikan tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak).

Beliau berkata : Kerajaan negeri sentiasa berpegang teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawab secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

“Saya peka dengan tuduhan ini yang dilemparkan tentang menyalahgunakan kuasa dalam isu pembelian 46 lembu untuk program korban diperingkat Perlimen Bandar Tun Razak untuk 46 buah surau dikawasan itu.

“Lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri” tambahnya ketika diminta mengulas tuduhan ini.

Tegas beliau, dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk membeli lembu-lembu tersebut. Sebaliknya, lembu itu telah didermakan oleh enam anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat.

Entah kenapa SPRM senyap aje isu ini hingga kini. Kot-kot tak boleh makan. Apatah lagi pengerusi GERAK pun dah lompat menyertai PKR. Puak-puak UMNO pun mungkin dah habis suara kot nak menyalak. Tahun ini sunyi sepi. SPRM pun mungkin sibuk, mungkin terlalu banyak kes-kes rasuah?. Ish yang ni tak sempat nak siasat ke?

Eidul Adha 2010: Najib bahagi 659 ekor lembu kepada Umno bahagian Pahang.

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ibadah korban bukanlah diertikan sebagai penyembelihan haiwan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada skop yang lebih luas.

Beliau berkata ibadah korban perlu dilihat sebagai suatu konsep yang menuntut setiap umat Islam berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara mereka.

“Kita mesti melihat pengertian berkorban dari skop kecil penyembelihan binatang korban kepada skop yang lebih luas iaitu pada setiap saat dan ketika. “Kita mesti menggandakan korban tenaga, pemikiran, kepakaran dan masa bagi mentransformasikan negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik”. katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan lembu-lembu korban untuk Parlimen Pekan di sini, Selasa.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan ketua-ketua Bahagian Umno bahagian di Pahang. Sebanyak 659 ekor lembu disumbangkan oleh 20 syarikat untuk diagih-agihkan kepada 14 bahagian Umno di Pahang dan 55 buah masjid di kawasan Parlimen Pekan– BERNAMA

Hah! Macamana yang ini ni? Apakah makna korban yang lebih luas? Selama ini UMNO faham secara sempit ke? Berjuang atas nama bangsa tu sempit ke luas. Dalam masa yang sama slogan 1Malaysia, berbilang kaum pulak. Pemimpin UMNO kekadang melarang mencampur adukkan ibadah dan politik. Mereka nakkan sekular. Dah bagi lembu ke Bahagian UMNO di Pekan Pahang tu apa? Lidah mereka ni bercabang berapa sebenarnya? Kekadang tak faham mana satu nak ikut pemimpin-pemimpin UMNO ni bercakap? Inilah bahana apabila si jahil menjadi pemimpin! rakyat akan dilembukan. Mufti dibisukan. Bila berkuasa yang lain menjadi mangsa.

Semoga Eidul-Adha kali ini dapat kita mempertingkatkan perjuangan kita. Bukan hanya sekadar berupaya melakukan pengorbanan terhadap lembu dan kambing sahaja. tetapi mempertingkatkan jihad kita ke arah menegakkan cita-cita Islam di negara tercinta ini.

Jangan lupa kita pakat-pakat korbankan UMNO-BN dalam Pru-13 nanti

Filed under: Most Popular, News, , , , , , , , , , ,

Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

“Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

“Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

“Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories