Kalam Perantau

Icon

PAS tiada pilihan, tanding pilihanraya kecil berkembar

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa hari ini saya ditanya adakah PAS akan bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkembar Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Bermacam-macam teori yang dikemukakan selain pujuk rayu pelbagai pihak supaya PAS tidak bertanding pada kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS sebelum ini.

Ramai yang keliru dengan PKR yang mendakwa mereka parti yang boleh menang di Sg Besar dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18hb Jun 2016 nanti. Semua parti akan mendakwa mereka boleh menang hatta Parti Amanah Negara (PAN) yang belum teruji itu pun membuat dakwaan yang sama.

Saya tak berminat untuk sebut tentang PAN dulu setakat ini. Biarkan mereka dengan dakwaan dan teori-teori mereka. Ramai yang kenal siapa mereka. Mereka tak lebih dari ahli politik yang kecewa dalam PAS setelah kalah dalam pemilihan parti pada tahun lepas.

Begitu juga dengan dakwaan PKR yang mendakwa mereka boleh menang juga boleh dipertikaikan. Tak perlulah PKR nok bertukar kerusi pada masa ini kerana masa hendak tukar kerusi boleh dibuat pada PRU ke-14 nanti. Sekarang PAS dan PKR masih terikat dengan ‘status quo’ yang telah dipersetujui sebelum ini.

Cuma saya minta PKR merenung sejenak kebelakang dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 selepas PRU ke-12. Kerusi Hulu Selangor tersebut dimenangi oleh PKR dalam PRU ke-12 sebanyak 198 undi.

Ketika itu Pakatan Rakyat (PR) masih kuat dan semua pihak menyokong PKR tanpa berbelah bahagi dibantu oleh kerajaan PKR yang memimpin Selangor. Calon PKR pun bukan calang-calang orang, seorang bekas Menteri UMNO, Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan kerana prinsip dan menyertai PKR.

Apa yang berlaku dalam PRK tersebut, PKR bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi tersebut, malah tewas dalam pilihanraya kecil tersebut dengan majoriti 1,725 undi. Calon  BN, P. Kamalanathan mendapat 24,997 undi dan calon PKR,  Datuk Zaid Ibrahim pula mendapat 23,274 undi sahaja.

Dalam satu perkembangan yang lain pada PRU ke-12, calon PAS Mohd Sabu (sekarang Presiden PAN) yang disebut-sebut sebagai calon popular PAN di Sungai Besar gagal memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi.

Bila PAS bertanding semula dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, PAS meletakkan calon yang diterima rakyat mampu merampas kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Saya sendiri pun tidak pasti sama ada PAS akan bertanding atau tidak kerana penamaan calon belum diadakan lagi. Penamaan calon bagi pilihanraya kecil berkembar itu akan diadakan pada 5hb Jun 2016 nanti.

PAS berkeras kerusi tradisi parti Sg Besar dan Kuala Kangsar

Dalam Pakatan Harapan, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, atas alasan ia mempunyai hak keatas kerusi itu yang sebelum ini ditandingi oleh PAS apabila mereka menjadi sebahagian daripada bekas gabungan Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam masa yang sama, Azmin Ali Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar juga ‘berminat’ PKR bertanding di Sungai Besar, Selangor kerana beranggapan mempunyai lebih peluang untuk menang.

Tetapi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin PAS mempunyai peluang yang cerah pada PRK ini dengan berkata, “PAS akan bertanding di sini kerana PAS secara tradisinya bertanding di kerusi Sungai Besar, kerusi tradisi PAS, maka keputusan parti itu untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa dan kini memberi tumpuan untuk merampasnya dari BN kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional akibat dari kebobrokan pentadbiran BN”.

Dalam banyak-banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin politik terutama dari kem pembangkang, saya rasa kenyataan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang juga pemimpin PKR paling realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Saya bersetuju PAS bertanding dikerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pembangkang harus tunjukkan komitmen berpadu jika mahu mengambil alih Putrajaya pada PRU 14 nanti. Bertanding untuk tewas bukanlah pilihan yang bijak” dimuat naik dalam facebook beliau pada 12hb Mei 2016 yang lepas.

Tan Sri Muhammad dilihat terus konsisten dengan pendirian awalnya bila seminggu lepas itu, pada 19hb Mei, 2016 sekali lagi beliau memuat naik pandangan beliau dalam facebook, “kalau saya memutuskan siapa nak bertanding di piluihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya akan pilih PAS. Soal dia dilihat berbaik-baik dengan Umno sama lah seperti PH dilihat berbaik-baik dengan Tun Mahathir”

Walaupun diserang kiri dan kanan dalam dalam dunia maya, beliau bertegas, “mengapa di satu pihak kita boleh berbaik-baik dengan Tun Mahathir dan disatu pihak tidak mahu sokong-menyokong dengan PAS dalam pilihanraya kecil ini? Biasanya dalam pilihanraya kecil, ‘incumbent’ akan bertanding” katanya dalam facebook beliau pada 19hb mei, 2016 tersebut.

Keputusan PAS untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa hatta PKR sekali pun sebagaimana PAS tidak mempertikai PKR bertanding pada kerusi tradisinya di Selangor.

Apatah lagi dalam keadaan PAS akan adakan muktamar ke-62 pada 1-3hb Jun, 2016 (dpercepatkan sehari dari asal yang akan berakhir pada 4hb Jun) di Kota Bharu kerana penamaan calon PRK berkembar berkenaan pada 5hb Jun, 2016.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini konsisten dalam kenyataan mereka bahawa parti itu akan meneruskan keputusannya untuk meletakkan calonnya dalam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setakat ini saya tak nampak ada pemimpin PAS yang sanggup “membunuh” karier politik mereka dalam PAS dengan mengambil sikap U-turn dengan keputusan yang dah diputuskan untuk bertanding dan sanggup berhadapan dengan ahli dalam muktamar yang diadakan untuk digelar pengkhianat parti sendiri.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah ‘naik tocang’ dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi ‘membuli’ PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang ‘bercelaru’ kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Analisa PRN ke-11 Sarawak: Pengajaran kepada pembangkang

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ketika menulis kolum Kalam Perantau ini, saya tak sempat lagi meneliti secara terperinci keputusan-keputusan pilihanraya negeri Sarawak kali ke-11 pada 7hb Mei, 2016 yang baru diumumkan pada hari tersebut. Sebagaimana yang dijangka, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang tidak sehaluan pada kali ini.

Gelombang demam Adnan menyebabkan BN berjaya menang 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus berbanding BN hanya mendapat 55 daripada 70 kerusi (78.6 peratus) pada PRN 2011. Ini mengulangi kejayaan 2006 apabila BN menguasai 88.6 Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 7hb Mei lalu, parti-parti pembangkang peringkat federal terdiri dari PKR-DAP-PAN yang membentuk Pakatan Harapan dan PAS telah mundur setapak ke belakang berbanding pada pilihanraya negeri Sarawak 2011.

Sama ada disedari atau tidak, rakyat Sarawak tidak memberikan harapan pada mereka untuk memerintan malah untuk menang pun sukar bila PKR dan DAP bertembung sesama sendiri sebanyak 6 kerusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih. Kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Bukan sahaja impian DAP menembusi kawasan bumiputera juga gagal, malah turut hilang 5 kerusi DUN majoriti Cina yang dimenangi sebelum ini. Selepas mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan lima kerusinya pada pilihan raya Sarawak Ke-11, DAP hari ini mengakui bahawa sokongan masyarakat Cina kembali beralih kepada BN.

Lebih parah 63 calon telah hilang wang deposit dimana PKR (10 calon), PAN (9 calon), DAP (7 calon), PAS (7 calon), STAR (7 calon), PBDS (5 calon) dan 18 calon Bebas dimana 35 kawasan memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, 28 (tiga penjuru) 12 (empat penjuru) dan lima (lima penjuru).

Dalam pilihanraya kali ini, DAP menang 7 kerusi sahaja dan PKR pula hanya mampu kekal 3 DUN yang dimenangi sebelum ini. Ketiga-tiga kerusi itu adalah N11 Batu Lintang, N39 Krian dan N81 Ba’kelalan. Manakala DAP pula hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

PAS dan parti serpihannya, PAN bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. PAS bertanding 11 kerusi manakala PAN pula 13. Lebih menyedihkan PAN menentang PAS di 5 kerusi DUN. PAN telah hilang deposit pada kerusi DUN yang ditandingi menentang PAS, Samariang (Nani Shahari, 389 undi), Muara Tuang (Abang Abdul Halili Abang naili, 765 undi), Sadong Jaya (Othman Mustafa, 157 undi), Sebuyau (Andrew Jain, 164 undi)) dan Beting Maro (Andri Zulkarnain Hamden, 103 undi).

Walaupun calon parti Islam berjaya mendapat serba sedikit sokongan  dibeberapa tempat, amat jelas sekali  dalam pertembungan kedua-dua parti ini, undi yang di raih PAS adalah lebih besar, walaupun terjejas oleh kehadiran parti PAN.

Akibatnya, calon PAS juga turut hilang deposit di DUN Sadong Jaya dan Muara Tuang pada kali ini berbanding dengan PRN 2011. Lima lagi DUN yang pertama kali PAS bertanding pada PRN2016, iaitu Pujut, Lambir, Jepak, Samalaju dan Kakus juga turut hilang deposit. Malah PAS juga gagal dapat kerusi sulung yang dicita-citakan di Beting Maro, malah BN menambah majoriti di situ.

Sementara itu, dua parti negeri sarawak, STAR dan PBDS (baru) gagal memberikan saingan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan parti pembangkang peringkat nasional. Sesungguhnya keputusan positif  BN di kawasan-kawasan kaum Cina ini mengambarkan populariti Tan Seri Adenan Satem yang luar biasa yang mampu meningkatkan sokongan semua kaum kepada BN.

Barisan Nasional

Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) dengan PBB dan PRS mencatat kemenangan 100 peratus. Malah 11 daripada 13 calon langsung BN juga telah menang pada kali ini termasuk dua Presiden bekas parti TERAS dan UPP, serpihan kepada SPDP dan SUPP.

Parti Cina di Sarawak – SUPP – pula menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya dan mendapat nafas baru apabila presidennya, Senator Dr Sim Kui Hian berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selepas menewaskan penyandangnya Christina Chiew Wang See dengan majoriti undi 2,085. Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi. Manakala Calon Bebas Liu Thian Leong, bekas pengerusi UPP Batu Kawah, hanya mendapat 1,109 undi, telah hilang deposit.

Manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing memperoleh 5,272 undi mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong yang hanya 479 undi dengan majoriti 4,793 undi telah hilang deposit dalam pertandingan satu lawan satu itu.

Sementara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBB dan Ketua Menteri terus kekal sebagai ADUN untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu mendapat 6,360 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Numan meraih 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, selepas menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun. Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.

Cukup setakat ini dulu dalam catatan ringkas pemerhatian saya berhubung dengan PRN11.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Pilihanraya Sarawak: Pakatan Harapan bertembung sesama sendiri

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Semakin hampir pilihanraya negeri Sarawak, krisis pembahagian kerusi diantara parti-parti politik tidak semudah seperti yang diharapkan. Baik di pihak Barisan Nasional (BN) apatah lagi parti-parti pembangkang.

Minggu lepas, saya pun menulis dalam kolum ini berhubung dengan kalangan komponen BN. Kali ini kita tinjau sikit sembang-sembang politik di kalangan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan. Dua parti utama dikalangan Pakatan Harapan, DAP dan PKR semakin menemui jalan buntu.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak telah menyenaraikan dan mengumumkan semua calon bagi 29 kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN11, 7 Mei nanti. Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata senarai asal ini tidak termasuk Bukit Goram disebabkan perubahan saat akhir, Larry Sng Wei mantan. Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk tidak bertanding di Bukit Goram, DAP telah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi itu.

Chong Chieng Jen akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa termasuk lapan (8) bekas ADUN yang akan mempertahankan kerusi mereka iaitu Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).

Terdapat 16 kerusi DAP memperkenalkan calon baharu iaitu Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Nyabe (Kedup), Yong Siew Wei (Repok), Rinda Juliza Alexander (Pakan), Richard Lias (Ngemah), Irene Mary Chang (Bukit Assek ), Chiew Sung Ngie (Bawang Assan), Frankie Bendindang (Pelagus), Paren Nyawi (Katibas), Larry Asap (Bukit Goram), Kenneth Adan Silek (Murum), Leighton Manjah (Kemena), Baba Emperan (Samalaju), Dr Ting Tiong Choon (Pujut) dan Paul Raja (Mulu).

Manakala calon yang lain pula adalah Mordi Bimol (Tasik Biru), Edward Luwak (Bukit Semuja), Leon Jimat (Simanggang) dan Baru Langub (Senadin).

DAP Sarawak bukan sahaja telah mengumumkan bertanding 29 dun berbanding dengan 15 pada PRN10 dahulu tetapi memaklum akan bertanding satu lagi kerusi Dun menjadi 30 kerusi DUN pada pilihanraya ini. Kini, DAP mula melebarkan sayapnya meluaskan kedudukan kerusi mereka ke luar bandar di mana sebelum ini PKR telah bertanding kerusi pilihanraya di luar bandar.

Sehingga kolum ini ditulis, PKR belum mengumumkan lagi secara terperinci 40 kerusi Dun (berbanding dengan 49 dun sebelum ini) dan calon yang bakal bertanding. Lebih memberikan tekanan kepada PKR, Boniface Willy Tumek, Naib Pengerusi PKR Sarawak dan Ketua Cabang Mas Gading telah mengumumkan pengunduran daripada semua jawatan dalam PKR pada Ahad, 17 April lepas.

Beliau kecewa dengan PKR yang gagal mempertahankan kerusi DUN Tasik Biru untuk ditandingi beliau kerana dirampas oleh DAP. Ini bukan kali pertama PKR gagal mempertahankan kerusi untuk ditandinginya, sebelum itu perkara yang sama juga berlaku pada pilihanraya umum ke-13.

Jika PKR tidak beralah, beberapa kerusi bertindih antara PKR dengan DAP yang belum diselesaikan secara tuntas. Mahu tidak mahu, PKR terpaksa beralah kepada DAP kerana mereka telah mengumumkan calon. PKR tiada pilihan lain untuk selamatkan Pakatan Harapan daripada berpecah.

Satu lagi komponen, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan akan bertanding 13 kerusi tetapi belum juga mengumumkan calon mereka.

Parti serpihan PAS ini dijangka akan bertembung dengan PAS sekurang-kurangnya 5 kerusi, iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Semariang dan Muara Tuang.

Manakala calon PAS dijangka akan bertembung dengan PKR di empat (4) kerusi, iaitu Pantai Damai, Kakus, Jepak dan Lambir. Dua lagi Dun yang ditandingi PAS, Samalaju dan Pujut dijangka akan bertembung dengan DAP.

Apa pun kita lihat lah senarai penuh mereka yang bertanding selepas penamaan calun pada 25hb April ini. Pertembungan pelbagai penjuru termasuk dengan parti-parti berasal dari Sarawak seperti PBDS (Baru), STAR dan lain-lain calon bebas terutama pemimpin yang tak dicalonkan parti masing-masing dijangka akan turut bertanding menjadikan pertandingan kali ini lebih meriah.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

PRN Sarawak meriah, bukan ‘straight fight’

Oleh : Shuhaimi AlManiri

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 dijangka menjadi lebih meriah dan menarik dengan beberapa parti baharu muncul untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini. Dijangkakan terdapat 14 parti bakal bertembung, dimana 10 adalah parti pembangkang.

Pertembungan pelbagai penjuru bukan perkara baharu di dalam politik Sarawak tetapi angkanya dijangka meningkat hampir tiga kali ganda dalam dua pilihan raya lalu.

Terdapat 44 kerusi berlakunya pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya ke-10 pada 2011 berbanding dengan 15 kerusi pada pilihanraya ke-9 pada 2006.

Beberapa calon bebas bergabung membentuk Barisan Malaysia (BM) itu telah mengenal pasti kira-kira 15 calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi yang disasarkan dan dijangkakan bertanding di lebih 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Gabungan digelar BM, secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Bebas.diketuan Affendi Jeman yang juga pengerusi sementara untuk Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (ARBS) yang belum berdaftar.

Menjelang hari penamaan calon pada 25hb April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu diberikan kebenaran untuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya ini.

Terdapat juga spekulasi akan muncul sebuah parti baharu, Dayak National Party (DNP), bakal mencuba untuk menggugat Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak masih belum mengatasi rasa tidak puas hati berhubung isu tuntutan kerusi bertindih.

Bagi pembangkang dari Semenanjong yang dikenali Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta PAN dilihat gagal menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih dan dijangka menghadapi pertembungan antara satu sama lain di sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi jika tiada pihak yang mengalah.

Berdasarkan kepada 29 senarai yang diumumkan DAP Sabtu lalu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata terdapat pertempuran di kira-kira lima kerusi – Mambong, Simanggang, Ngemah, Murum dan Mulu.

Dilaporkan, PKR akan meletakkan calon di 40 kawasan. Manakala PAS, yang menawarkan budaya politik matang dan sejahtera akan meletakkan 11 calon seperti yang diumumkan pada 6hb Mei lepas.

SUPP, komponen BN tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi

BN turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, dengan tiga lagi calon yang ada kaitan dengan PBB.

BN terdiri daripada 4 parti kompenan dan 2 parti serpihan yang disebut mesra BN. Satu kelainan BN dibawah Tan Sri Adenan Satem adalah turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan SUPP dikenali Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebanyak 7 kerusi dan Teras, parti serpihan SPDP dengan 3 kerusi dengan tiga lagi calon langsung yang dikatakan ada kaitan dengan PBB.

Manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) diperuntukkan 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 13 kerusi, dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) hanya 5 kerusi.

Keadaan ini telah menjadikan sekurang-kurangnya SUPP tidak berpuashati kerana kerusi mereka diberikan kepada parti serpihan mereka, UPP dijadikan calon langsung BN.

Dilaporkan media, Penolong Ketua Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Pending, Milton Foo dikecam oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung tindakannya mempersoalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meletakkan calon langsung BN di beberapa kerusi tradisi SUPP.

Malah dilaprkan juga. seorang ahli SUPP iaitu “LTC” (nama singkatan) pada status Facebooknya. “SUPP tidak akan berdiam diri, sama ada PRS dan SPDP memilih untuk berdiam diri, itu terpulang kepada mereka,” tambahnya lagi.

Malah beliau menyeru, agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bergabung bangkit menentang PBB kerana mengikut status quo dalam BN Sarawak, 20 kerusi telah diperuntukan untuk SUPP dan maka itu SUPP seharusnya mempertahankannya tanpa kompromi.

“Sekiranya PBB mahu melanggar tradisi status quo yang berusia 50-tahun ini dan meyusun semula jumlah kerusi yang sedia ada, sudah sampai masanya SUPP, PRS dan SPDP bangkit dan menubuhkan BN Sarawak yang baru,” kata LTC.

“Jika SUPP, PRS dan SPDP tidak diberi kuota kerusi di dalam BN Sarawak, SUPP, PRS dan SPDP harus duduk berbincang dan merancang untuk meletakkan calon terbaik diantara tiga parti tersebut untuk diletakkan bertanding di setiap kawasan yang ditandingi PBB,” kata LTC lagi.

Keadaan ini ditambah lagi dengan komen supremo DAP, Lim Kit Siang yang dilihat cuba campor tangan dalam urusan BN Sarawak dengan mempertikai Adenan berkenaan pembahagian kerusi SUPP.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories