Kalam Perantau

Icon

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah ‘naik tocang’ dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi ‘membuli’ PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang ‘bercelaru’ kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

BN dah pulih, Pilihanraya Sarawak April ?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihanraya kecil DUN N27 Merlimau, Melaka dan N28 Kerdau, Pahang memang sudah dijangka lebih awal oleh pemerhati-pemerhati politik. BN menang besar di DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 undi dimana calon BN, Roslan Ahmad mendapat 5,962 undi, manakala calon PAS, Yuhaizad Abdullah memperolehi 2,319 undi. BN turut menang pilihan raya kecil DUN Kerdau dengan majoriti 2,724 undi dimana calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi, menewaskan calon PAS yang mendapat 2,336 undi.

Di Kerdau, majoriti kemenangan BN di situ juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008 dan dapat  mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi. Manakala Di Merlimau, majoriti itu lebih tinggi berbanding dengan 2,154 undi pada 2008. Bagaimanapun, ia masih rendah berbanding dengan majoriti BN pada 2004 sebanyak 5,087.

Setelah 16 siri pilihanraya kecil diadakan, saya tidak pasti sama ada akan berlaku atau tidak lagi pilihanraya kecil selepas ini memandang masa berbaki selepas 3 tahun persidangan DUN pertama  selepas Pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 masih ada kira-kira sebulan lebih lagi.

Tidak ada pilihanraya kecil DUN jika berlaku kekosongannya selepas tarikh berikut, di Penang (20hb. April), Melaka dan Johor (21hb. April), Perak dan Negeri Sembilan (25hb. April),  Perlis dan Kelantan (28hb. April), Sabah (30hb. April), Terengganu (6hb. Mei), Pahang (20hb. Mei) dan Selangor (21hb. Mei).

Jika tidak ada lagi PRK selepas ini bagi penggal PRU ke-12, bermakna ianya kurang 1 daripada 17 PRK yang diadakan dalam penggal PRK ke-8 pada tahun 1990 dan melebihi 1 daripada 15 PRK yang diadakan sepanjang PRK ke-9 pada tahun 1995. Dalam penggal ke-10 (1999), 9 PRK  diadakan dan 6 PRK sahaja diadakan pada penggal ke 11 (2004).

Sebelum tahun 2008, walaupun banyak PRK diadakan tetapi ianya bukanlah menjadi fenomena dan mimpi buruk kepada parti pemerintah, BN. Walaupun begitu, pada tahun 1990 dan 1999 kedudukan BN sedikit tergugat, sebelum pulih semula pada tahun 1995 dan 2004.      

Sebagaimana yang saya tulis dalam ruangan ini beberapa minggu yang lepas, tirai pilihanraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011) Sekarang berjaya mengekalkan Merlimau, Melaka  dan Kerdau, Pahang pula. 

Manakala bagi 6 kerusi DUN dalam PRK pada tahun 2009 sebelum itu, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti  (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010).

Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN)  dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.

Mulai tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN  keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010).

Daripada 16 PRK ini, PR bermula dengan baik, tetapi BN mengakhir dengan baik. Setelah 16 siri PRK, BN berjaya memenangi 8 kerusi, iaitu Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan), Batu Sapi (Sabah), Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang). Manakala PR juga memenangi 8 kerusi, iaitu Permatang Pauh (Pulau Pinang), Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah), Penanti (Pulau Pinang), Manek Urai (Kelantan), Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Sibu (Sarawak).  

Sepintas lalu kekuatan kedua-dua pihak masih lagi seimbang antara BN dan PR walaupun kelebihan sentiasa memihak kepada BN dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang terakhir pada tahun 2011 seperti di Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan kerdau (Pahang) yang merupakan kubu kuat mereka.

Pilihanraya Sarawak 9hb April, 2011?

Sehari sebelum pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau, BN Sarawak telah mengadakan konvensyennya dengan dihadiri oleh lebih 5 ribu perwakilan daripada 4 parti BN Negeri, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakya Bersatu Sarawak (SUPP), Pari Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Sekarang ini BN menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak.

Pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 2006 dengan DUN dibubarkan pada 24 April manakala penamaan calon 9 Mei dan pengundian 20 Mei. Mandat untuk Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada 24hb. Julai akan datang. Beberapa pemerhati politik dan media tempatan telah mula membuat ramalan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud akan membubarkan DUN dalam jangkamasa terdekat setelah perkembangan positif dalam beberapa siri PRK yang disertai oleh BN kebelakangan ini.

Ramalan yang cukup popular sekarang ini, pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 9hb. April, 2011. Laporan The Star hari ini (2 Mac) menyebut DUN Sarawak akan dibubarkan pada 19 Mac dan kemungkinan hari pengundian pula 9 April.   

Artikel ini diterbit untuk akbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

“Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, ” katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan. Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akanditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan,bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.- BERNAMA

Filed under: News, , , , , , , ,

Keputusan pilihanraya kecil N45 Galas mengikut saluran

Rumusan

1. Kali ini, PAS hanya menang 8 daripada 26 saluran.  Selebihnya Umno-BN

2. Manakala undi orang asli kepada BN melebihi 1,000, satu angka yang agak besar menyebabkan BN menang dengan majoriti yang besar.

3. Jika dilihat pola undi cina, keputusan ini memberi isyarat bahawa undi cina bukan lagi “fixed deposit” kepada Pakatan Rakyat. Undi mereka mungkin beralih kepada BN semua sekiranya segala aspirasi mereka berjaya dipenuhi.

Result Galas 2010

Filed under: News, , , , , , ,

BATU SAPI : LALUAN PAKATAN RAKYAT LEBIH SUKAR JIKA PKR?

Oleh : Azim Fitri

Politik Sabah kembali menjadi tumpuan sejak ahli parlimen P185 Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket Wah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya baru-baru ini. Parlimen Batu Sapi yang terletak di pinggiran Bandar Sandakan, merupakan salah satu daripada tiga parlimen yang terletak dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan.

Berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2008, pemilih Bumiputera Islam membentuk 60.14% manakala Bumiputera Bukan Islam 2.31%, cina 37.31 % dan lain-lain 0.31%

Jika pilihanraya berlaku, ianya akan menguji sejauh manakah rakyat menerima dan berpuashati dengan pemerintahan Barisan Nasional pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman setelah dua tahun pilihanraya umum 2008 berlangsung.

PKR : DUA KALI GAGAL MENJADI CALON
Disebalik keghairahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu meletak calon mereka di parlimen Batu Sapi pada pilihanraya kecil nanti, satu perkara yang mungkin tidak dapat dinafikan ialah parti tersebut sebenarnya gagal mengemukakan calon mereka sebanyak dua kali iaitu pada pilihanraya ke-11 tahun 2004 dan pilihanraya ke-12 tahun 2008. Kegagalan calon PKR itu menyebabkan Datuk Edmund Chong dari PBS-BN menang tanpa bertanding pada tahun 2004 dan sekali lagi pada tahun 2008 Datuk Edmund Chong nyaris-nyaris menang tanpa bertanding gara-gara calonnya ditolak pencalonan atas sebab –sebab tertentu. Walaubagaimanapun kehadiran calon Bebas telah berjaya menafikan calon PBS-BN menang tanpa bertanding.

Salah seorang pemimpin PKR negeri, Datuk Kong Hong Ming (gambar – kiri) dalam satu kenyataan beliau membidas Pengarah Pilihanraya PKR Pusat Fauziah Salleh kerana mendahului Pakatan Rakyat Sabah dengan memberi kenyataan kepada media elektronik dan portal berita The Malaysia Insider. Beliau kesal kerana Pakatan Rakyat (PR) Sabah telah mengambil pendirian bersama untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bercanggah sehinggalah Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri bermesyuarat dan memutuskan parti manakah yang akan mewakli Pakatan di Batu Sapi.

Namun demikian, sesetengah pemimpim PKR termasuklah bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Ansari Abdullah dan Ketua Cabang Batu Sapi Hassanar Ibrahim terus mengeluarkan kenyataan dengan membelakangi persefahaman yang telah dicapai.

Menurut sumber yang dipercayai Ansari diantara nama yang disebut-sebut calon PKR di Batu Sapi disamping Setiausaha Cabang Batu Sapi Zainudin Hassan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Ahmad Thamrin Zaini. Thamrin dikatakan calon yang dikaitkan dengan Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffry Kitingan bersama dua orang lagi calon yang tidak didedahkan identiti mereka. Manakala Ketua Cabang Batu Sapi Hassanar Ibrahim difahamkan lebih berminat bertanding di DUN Sekong pada pilihanraya ke-13 nanti walaupun disenaraikan sebagai calon utama.

Soalnya apakah munasabah Pakatan memberi peluang sekali lagi  kepada PKR walhal parti itu telah gagal mengemukakan calon selama dua kali pilihanraya?

KEPUTUSAN PILIHANRAYA LEPAS
Merenung kembali sejarah penyertaan PKR dalam pilihanraya 2008, PKR telah meletak calon mereka di 19 kerusi parlimen berbanding DAP 5 kerusi dan PAS kosong. Manakala diperingkat DUN PKR telah meletak calonnya di 54 kerusi manakala DAP 10 dan PAS hanya 2. 

Taburan parti-parti yang bertanding peringkat parlimen Sabah PRU-12

Taburan parti-parti yang bertanding peringkat DUN Sabah PRU-12

Taburan keputusan P185 Batu Sapi PRU-12 mengikut daerah mengundi

 

PAS LEBIH POPULAR DI BATU SAPI
Seorang penganalisa politik tempatan ketika diminta pandangan beliau berkata, “PKR tidak sepatutnya bertanding di Batu Sapi kerana imej mereka terjejas berikutan kegagalan projek 16 september, ramainya ahli parlimen mereka keluar parti dan insiden pergaduhan semasa pemilihan parti yang sedang berlaku sekarang. PKR dilihat sebagai sebuah parti yang tiada integriti, mementingkan diri, tamak dan kucar kacir “, katanya.

Beliau mencadangkan agar Pakatan menilai semula kewajaran PKR mewakili Pakatan di Batu Sapi.

“Adalah lebih baik PKR menyelesaikan dahulu hal ehwal rumahtangga mereka. Pemilihan 2010 masih lagi berjalan, manakala persepsi negatif yang ditimbulkan media sangat memberi kesan. Sebahagian besar penduduk Batu Sapi amat bergantung dengan media elektronik yang dikuasai oleh kerajaan Barisan Nasional kecuali pengundi dikalangan kaum tionghua”. Katanya.

Dalam satu tinjauan awam yang dibuat di Batu Sapi baru-baru ini, misalnya di daerah mengundi Jalan Sibuga,  apabila ditanya siapakah tokoh yang dihormati 51.69% memilih Tun Dr Mahathir Mohamad, 27.97% memilih Dato Seri Najib Razak, 3.39% memilih Dato Seri Anwar Ibahim, 3.03% memilih Datuk Nik Abdul Nik Mat dan 1.69% memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Manakala di Daerah Mengundi Jalan Batu Sapi apabila ditanya sejauh manakah mereka yakin kepada Pakatan Rakyat 25.45% menyatakan yakin, 61.82% tidak yakin dan 12.73% berkecuali.

Apabila ditanya parti manakah di kalangan Pakatan yang mereka sokong, 58.18% memilih PAS, 20% PKR, 1.82% DAP dan 18.18% berkecuali.

Di Daerah Mengundi Lupak Meluas apabila ditanya soalan yang sama 25% memilih PAS, 17.24%  PKR,  2.59% DAP dan 55.17% tidak membuat keputusan.

Disebalik pelbagai kelemahan dan masalah rakyat yang gagal diselesaikan oleh ahli Parlimen lalu kajian menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional kekal kukuh dengan undi popular melebihi 80%.

Filed under: News, , , , , , , , , , , ,

Batu Sapi: SAPP buat keputusan Sabtu ini

Oleh :  Joseph Sipalan
 
SAPP dijangka memutuskan sama ada parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil Batu sapi apabila majlis tertingginya bermesyuarat di Kota Kinabalu pada Sabtu ini.

Timbalan presidennya, Eric Majimbun berkata mesyuarat itu akan diadakan di inu pejabat parti bermula 10 pagi.

“Saya fikir selepas itu kita boleh putuskan sama ada untuk bertanding kerusi itu ataupun tidak. Kita tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana pengebumian adalah hari ini dan kita juga perlu tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya, esok,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Kerusi parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari PBS yang terbunuh dalam kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

SPR awal minggu ini mengumumkan bahawa mereka akan bermesyuarat di Putrajaya esok bagi menentukan tarikh pilihan raya dan penamaan calon Batu Sapi.

Sumber : Malaysiakini

Filed under: News, , , , , , , ,

PRK Galas dan Batu Sapi, kenapa tidak serentak?

Oleh : Mohd Suhaimi Al-Maniri

Pilihan Raya Kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada Pas, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 4 November.

Manakala Pilihanraya Kecil Batu Sapi pula perlu diadakan kerana kerusi Parlimen Batu Sapi turut dikosongkan berikutan penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN (PBS) terbunuh  dalam kemalangan dengan sebuah kereta 9 Oktober lalu.

Sementara SPR pula menyatakan tarikh pilihan raya akan diumumkan  dalam tempoh 10 hari daripada tarikh kekosongan kerusi itu, selewat-lewatnya pada 19 Oktober depan. Sepatutnya SPR tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya pilihan raya kecil diadakan serentak kerana pernah melakukannya sebelum ini di Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai di Sarawak pada April tahun lepas.

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, adalah mustahil pilihanraya kecil Galas akan berlaku serentak Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi sebelum mesyuarat SPR pada hujung minggu ini menampakkan SPR mungkin bergantung kepada pihak lain terlebih dahulu dalam membuat keputusannya. 

Ku Li tidak bertanding di Galas, PAS bertanding di Batu Sapi?

Tidak semena-mena nama Tengku Razaleigh Hamzah, yang lebih dikenali sebagai Ku Li mantan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang kembali semula kepada UMNO dan BN secara tiba-tiba namanya melonjak naik dalam persada politik UMNO berikutan pilihanraya kecil Galas yang akan diadakan selepas persidangan tahunan UMNO pada hujung bulan ini.

Jika tidak kerana pilihanraya kecil Galas di Gua Musang, nama Ku Li sudah dipedulikan lagi dalam UMNO. Beliau hanya setakat Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Ahli Parlimen kawasan tersebut sama ada semasa berada dalam BN ataupun PMS46, sebuah parti pembangkang Melayu pada awal hingga pertengahan tahun 1990’an dulu.      

Tengku Razaleigh Hamzah menafikan spekulasi beliau akan dicalonkan mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini. Dalam pada itu UMNO semacam terdesak untuk memperkudakan Ku Li dalam pilihanraya kecilnya dalam usaha mereka untuk merampas kerusi tersebut yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum lalu buat pertama kalinya dalam sejarah dengan majoriti tipis, 646 undi sahaja.

Namun, PRU 2008 PAS dapat mencapai kemenangan tipis (majoriti 646) adalah tempias perubahan sikap pengundi terutama pengundi Cina di bandar. Berdasarkan PRU 2008 sokongan diperolehi PAS sekitar 53.96% (54%). Kemenangan PAS tahun 2008 sedikit sebanyak berlaku penolakan rakyat kepada kepimpinan Pak Lah dan pengharapan baru kepada pendekatan sederhana PAS, terutama kesan pendekatan kebajikan pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Apa yang pasti, kedudukan UMNO di sini dilihat lebih berpotensi untuk merampaskan kembali kerusi ini daripada PAS dalampilihanraya kecil ini jika berjaya menampilkan calon yang berjaya diterima rakyat. Berdasarkan tiga PRU yang terakhir (1999, 2004 dan 2008), setelah BN berjaya mengambil alih kerusi ini dari Semangat 46 ekoran pembubaran Semangat 46 menyertai UMNO. Kerusi ini dikuasai oleh S46 pada PRU 1990 dan 1995. Pengaruh reformasi 1998 tidak mengubah sikap pengundi pada PRU 1999 dan 2004 yang kekal dengan BN. Ini bermakna pengaruh krisis pemecatan Anwar Ibrahim tidak berupaya mengubah kesetiaan pengundi BN kepada Ku Li.

Sementara di Batu Sapi Sabah, BN terkejut dengan kekosongan kerusi tersebut dalam keadaan luar jangka berbanding dengan kerusi Galas yang telah sekian lama diidamkan oleh BN untuk mengambilnya semula dalam satu pilihanraya yang ditunggu oleh mereka sejak lebih setahun yang lepas.

Belum pun ada perundingan dengan mana-mana pihak, Fauziah Salleh, Pengarah Pilihanraya Keadilan Rakyat (PKR) terus menuntut kerusi Batu Sapi adalah milik mereka walaupun mereka gagal menghantarkan calon bertanding dalam dua pilihanraya berturut-turut iaitu pada 2004 dan 2008. 

Kenyataan Fauziah Salleh ini khabarnya turut tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin PKR Sabah sendiri. Apatah lagi dengan PAS yang sudah lama bertapak di Sabah sejak tahun 1986 lagi berbanding dengan PKR yang munculpada penghujung tahun 1990’an dahulu.

Kegairahan PKR membolot semua 19 daripada 25 kerusi parlimen di Sabah dengan menafikan PAS untuk bertanding walaupun satu kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang lepas adalah satu tindakan yang tidak wajar. Apatah lagi tiada satu kerusi dimenangi oleh PKR di Sabah berbanding dengan DAP.

Lebih mendukacitakan lagi PKR gagal menghantar calon dalam 2 pilihanraya berturut-turut di Batu Sapi ini. Ketidakmampuan pengaruh PKR jelas di sini, sebagai contoh di DUN Karamungsing dimana dalam PRU-12 calon PKR hanya mendapat 452 undi sahaja berbanding dengan DAP mendapat 1809 undi. 

Jika PKR mengatakan PAS tiada pengaruh di Sabah, saya kira di Kelantan, Terengganu malah di sesetengah parlimen dan DUN PKR langsung tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Namun atas semangat setiakawan, PAS tetap diberikan kerusi di Kelantan dan Terengganu untuk bertanding.

Dengan komposisi Batu Sapi dimana muslim membentuk 60% pengundi(60% muslim, 37% cina, 2.6% bumi bukan Islam dan selebihnya lain-lain), maka PAS amat sesuai diberi peluang bertanding di sini setelah PKR gagal menjadi calon dalam 2 pilihanraya bertutut-turut iaitu PRU 11 (2004) dan PRU 12 (2008).

Keadaan ini boleh membalas budi PAS Sabah pernah memberi laluan kepada PKN (kini PKR)  pada pilihanraya kecil DUN Likas pada tahun 2001 walhal kerusi N13 Likas adalah milik PAS dimana PAS meletak calon PRU 10 pada tahun 1999.

Maka dalam pilihanraya kecil Batu Sapi kali ini giliran PKR pula berkorban dengan memberi laluan kepada PAS Sabah pula demi keutuhan Pakatan Rakyat di Sabah. PKR yang berada dalam keadaan kelam kabut ekoran pemilihan kepimpinan pada waktu sekarang wajar berkorban tidak bertanding di Batu Sapi. Dengan satu formula baru di mana Parlimen Bt Sapi diberi kepada PAS,  DUN Sekong DUN Sekong diberi kepada PKR (80% muslim) diberi kepada PKR dan  DUN Karamunting (muslim 44%, cina 53%, bbi 2.3%) diberi kepada DAP berjaya mengelakkan pertandingan sesama sendiri.

Yang Dipertua PAS Sandakan, Abdul Wahid menegaskan bahawa peluang untuk Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili oleh PAS, menang adalah cerah. Ini kerana, PAS Batu Sapi yang diketuai oleh Hamzah Abdullah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah sekian lama menjalankan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi kredit kepada PAS. Di samping itu parlimen Batu Sapi mempunyai 60.14% pengundi Bumiputera Islam. Maka dengan imej Islam yang dibawa PAS sudah pasti ia dapat menambat hati pengundi.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Semua petugas PAS, Pakatan dikerah ke Galas

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.

Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.

“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.

“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.

“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Pelajar UKM dapat injuksi halang prosiding

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Keempat-empat pelajar itu dari jurusan Sains Politik, pada 1 Jun lepas memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.

AUKU bertentangan Perlembagaan

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.

Dalam saman itu, mereka mendakwa universiti itu melalui satu surat bertarikh 13 Mei, telah meminta mereka hadir ke bilik mesyuarat universiti itu pada 2 Jun bagi menjawab dakwaan terhadap mereka, dan jika mereka tidak hadir atau tidak mengemukakan apa-apa representasi bertulis dalam tempoh 14 hari, mereka dengan serta-merta akan digantung daripada menjadi pelajar universiti itu.

Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.

“Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru,” katanya.

Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.

Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.

– Bernama

Filed under: News, , , , ,

PRK Sibu : Penentu keputusan kemenangan BN dan PR ?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Kemenangan status quo berlaku di Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Ai (BN), Penanti (PKR), Permatang Pasir (PAS) Manik Urai (PAS) dan Bagan Pinang (BN) bila mana parti-parti yang memenangi kerusi dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, berjaya mengekalkan kerusi masing-masing dalam beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Kekalahan BN di Kuala Terengganu pada tahun 2009 telah berjaya ditebus semula dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor baru-baru. Ini menjadikan kedudukan sekarang seperti selepas keputusan PRU ke-12 dengan BN dan PR saling bertukar kerusi di Kuala Terengganu (PR) dan Hulu Selangor (BN) tanpa mengambil kira kerusi-kerusi yang dilarikan tanpa direstui pengundi masing-masing.

Pilihanraya Kecil Sibu pada 16hb. Mei, 2010 ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru diantara calon BN Robert Lau Hui Yew (SUPP) dan calon DAP Wong Ho Leng (PR) serta calon Bebas. Narawi Haron diadakan berikutan kematian penyandangnya, Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Parlimen Sibu mengandungi tiga kawasan dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.  DUN Bawang Assan didominasi pengundi Iban (65 peratus), Pelawan pula pengundi Cina (91 peratus) dan pengundi Melayu/Melana pula adalah majoriti di DUN Nangka. 

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar iaitu 52,158 adalah pengundi biasa dan 2,537 undi pos yang merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis. Daripada keseluruhan pengundi , jumlah pengundi di kalangan kaum Cina adalah 67 peratus, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus), Iban (18 peratus), Orang Ulu (1.1 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Dalam pilihanraya umum ke-12 pada Mac, 2008, Datuk Robert Lau Hoi Chew, Timbalan Menteri  Pengangkutan  menang dengan majoriti 3,549 dalam pertandingan 3 penjuru bersama DAP dan PKR. Beliau berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak beberapa penggal yang lepas  setelah a merampas kerusi tersebut dari DAP yang memenangi kerusi tersebut pada tahun 1982.

Selepas Pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada tahun lepas, pilihanraya kecil Sibu ini adalah agak seimbang kerana kedua-dua parti BN dan PR pernah memenangi kawasan tersebut dimasa lalu. Di Kuala Terengganu Terengganu, PAS pernah memenanginya pada tahun 1999. Begitu juga DAP pernah menang di Sibu pada tahun 1982.

Kejutan berlaku di Sibu?

Sebagaimana yang saya tulis dalam Siasah keluaran lepas, jika DAP menang di Sibu mereka bukan sahaja akan menambahkan seorang lagi Ahli Parlimen DAP di Sarawak, tetapi lebih penting dari itu adalah petanda Pakatan Rakyat diterima untuk membawa sinar baru kepada Sarawak dalam pilihanraya negeri yang akan diadakan bila-bila masa sahaja mulai pertengahan tahun ini.

Pada pilihanraya umum tahun 1982, DAP membuat kejutan  dengan memenangi kerusi ini melalui Ling Soe Ming mengalahkan Timbalan Ketua Menteri, Tan Srin Wong Soon Kai. Pemerhati-pemerhati mula mencongak-congak angka sama ada pilihanraya kecil Sibu ini akan kekal status quo atau adakah berlaku kejutan sekali lagi? Berjayakah DAP sekali lagi membuat kejutan pada pilihanraya kecil Sibu kali ini?

Melihat kepada trend pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor baru-baru ini dimana hanya 25 peratus sahaja memihak kepada BN berbanding dengan 75 peratus lagi kepada PKR (Pakatan Rakyat) menyebabkan DUN Kuala Kubu Bharu yang dulunya dimenangi oleh MCA telah memihak kepada Pakatan Rakyat.

Malah disesetengah tempat undi Cina melebihi 80 peratus. Contohnya di DUN Kuala Sepetang, Perak, 84 peratus pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon PAS, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.

BN khususnya SUPP sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku ini dalam pilihan raya Sibu apabila sokongan untuk calon DAP semakin meningkat. Mereka hanya mengharapkan sokongan pengundi Cina 50-50 antara SUPP (BN) dan DAP (PR).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang awal-awal lagi menyebut hanya keajaiban sahaja yang boleh menyebabkan DAP menang pada kali ini. Ini kerana, mereka terpaksa menentang parti pemerintah yang kuat di negeri Sarawak ini di samping masyarakat Cina yang masih lagi percaya dengan isu seperti negara Islam yang dimainkan oleh BN di negeri ini.

Kempen ini dimulakan oleh Ketua SUPP Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. ‘Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam’.

Jadi peranan penceramah PAS menjadi penting untuk menjelaskan isu ini kepada masyarakat Cina di sini” kata seorang wartawan yang aktif menulis untuk akhbar DAP, Rocket. Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar dipetik Harakahdaily berkata “kehadiran PAS saya lihat seperti ditunggu-tunggu, dan mereka layan kita seperti sudah bersedia membuat perubahan”

Seorang pemimpin Bumiputera Bukan Islam yang berpengaruh yang menjadi Penasihat PKR di Sarawak, iaitu Datuk Daniel Tajem, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak menyeru rakyat Sibu membuat perubahan kali ini sebagai persediaan awal untuk membuat perubahan kepada pemerintahan Sarawak selepas ini.

Tetapi pengundi Cina merasakan mereka tidak perlu takut untuk mengundi DAP sekali lagi kali ini kerana keputusan ini hanyalah sekadar untuk menghantar wakil mereka ke parlimen bukannya untuk membentuk kerajaan yang baru. Kerajaan Pusat tetap kekal ditangan BN. 

Memandangkan pilihanraya kecil ini bukan sahaja penting kepada kedua-dua pihak (BN dan PR), lebih 700 jentera PAS dari semenanjung telah berkampung di Sibu sejak sebelum penamaan calon lagi. Tetapi  kehadiran Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Sibu mulai Jumaat ini amat ditunggu-tunggu masyarakat Cina di sini  bagi menjelaskan kekeliruan tentang isu Negara Islam yang sengaja ditimbulkan dan diiputarbelitkan oleh SUPP dan BN dalam menghadapi pilihanraya kecil kali ini.

Kita tunggu keputusan pengundi-pengundi Sibu pada 16hb Mei ini sama ada untuk kekal status quo atau mencipta sejarah sekali lagi!

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: News, , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories