Kalam Perantau

Icon

PRN Sarawak meriah, bukan ‘straight fight’

Oleh : Shuhaimi AlManiri

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 dijangka menjadi lebih meriah dan menarik dengan beberapa parti baharu muncul untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini. Dijangkakan terdapat 14 parti bakal bertembung, dimana 10 adalah parti pembangkang.

Pertembungan pelbagai penjuru bukan perkara baharu di dalam politik Sarawak tetapi angkanya dijangka meningkat hampir tiga kali ganda dalam dua pilihan raya lalu.

Terdapat 44 kerusi berlakunya pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya ke-10 pada 2011 berbanding dengan 15 kerusi pada pilihanraya ke-9 pada 2006.

Beberapa calon bebas bergabung membentuk Barisan Malaysia (BM) itu telah mengenal pasti kira-kira 15 calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi yang disasarkan dan dijangkakan bertanding di lebih 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Gabungan digelar BM, secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Bebas.diketuan Affendi Jeman yang juga pengerusi sementara untuk Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (ARBS) yang belum berdaftar.

Menjelang hari penamaan calon pada 25hb April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu diberikan kebenaran untuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya ini.

Terdapat juga spekulasi akan muncul sebuah parti baharu, Dayak National Party (DNP), bakal mencuba untuk menggugat Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak masih belum mengatasi rasa tidak puas hati berhubung isu tuntutan kerusi bertindih.

Bagi pembangkang dari Semenanjong yang dikenali Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta PAN dilihat gagal menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih dan dijangka menghadapi pertembungan antara satu sama lain di sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi jika tiada pihak yang mengalah.

Berdasarkan kepada 29 senarai yang diumumkan DAP Sabtu lalu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata terdapat pertempuran di kira-kira lima kerusi – Mambong, Simanggang, Ngemah, Murum dan Mulu.

Dilaporkan, PKR akan meletakkan calon di 40 kawasan. Manakala PAS, yang menawarkan budaya politik matang dan sejahtera akan meletakkan 11 calon seperti yang diumumkan pada 6hb Mei lepas.

SUPP, komponen BN tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi

BN turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, dengan tiga lagi calon yang ada kaitan dengan PBB.

BN terdiri daripada 4 parti kompenan dan 2 parti serpihan yang disebut mesra BN. Satu kelainan BN dibawah Tan Sri Adenan Satem adalah turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan SUPP dikenali Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebanyak 7 kerusi dan Teras, parti serpihan SPDP dengan 3 kerusi dengan tiga lagi calon langsung yang dikatakan ada kaitan dengan PBB.

Manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) diperuntukkan 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 13 kerusi, dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) hanya 5 kerusi.

Keadaan ini telah menjadikan sekurang-kurangnya SUPP tidak berpuashati kerana kerusi mereka diberikan kepada parti serpihan mereka, UPP dijadikan calon langsung BN.

Dilaporkan media, Penolong Ketua Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Pending, Milton Foo dikecam oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung tindakannya mempersoalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meletakkan calon langsung BN di beberapa kerusi tradisi SUPP.

Malah dilaprkan juga. seorang ahli SUPP iaitu “LTC” (nama singkatan) pada status Facebooknya. “SUPP tidak akan berdiam diri, sama ada PRS dan SPDP memilih untuk berdiam diri, itu terpulang kepada mereka,” tambahnya lagi.

Malah beliau menyeru, agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bergabung bangkit menentang PBB kerana mengikut status quo dalam BN Sarawak, 20 kerusi telah diperuntukan untuk SUPP dan maka itu SUPP seharusnya mempertahankannya tanpa kompromi.

“Sekiranya PBB mahu melanggar tradisi status quo yang berusia 50-tahun ini dan meyusun semula jumlah kerusi yang sedia ada, sudah sampai masanya SUPP, PRS dan SPDP bangkit dan menubuhkan BN Sarawak yang baru,” kata LTC.

“Jika SUPP, PRS dan SPDP tidak diberi kuota kerusi di dalam BN Sarawak, SUPP, PRS dan SPDP harus duduk berbincang dan merancang untuk meletakkan calon terbaik diantara tiga parti tersebut untuk diletakkan bertanding di setiap kawasan yang ditandingi PBB,” kata LTC lagi.

Keadaan ini ditambah lagi dengan komen supremo DAP, Lim Kit Siang yang dilihat cuba campor tangan dalam urusan BN Sarawak dengan mempertikai Adenan berkenaan pembahagian kerusi SUPP.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , ,

Rakyat terus Tolak BN, Najib PM terakhir BN ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April, 2009 adalah kekal status quo sebagaimana yang dijangkakan dalam tulisan saya pada minggu lepas (Siasah bil: 143, 5 – 11 April, 2009) ketika pertarungan pada 7hb. April sedang rancak berjalan.   

Sebagaimana yang dijangkakan, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada PAS. Beliau mendapat 21,860 undi mengatasi calon BN, Ismail Shafian (mendapat : 19,071) dan calon Bebas, Kamarul Ramizu (mendapat: 62 undi) dengan majoriti 2,789. Peningkatan undi majoriti PAS berbanding dengan Pilihanraya Umum Mac, 2008 adalah sebanyak 1,223 undi.     

Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 75 peratus bersamaan dengan 41,626 undi daripada 55,462 pengundi berdaftar. Undi majoriti tersebut dijangka lebih tinggi jika, pilihanraya kecil tersebut dibuat pada hari tidak bekerja, Sementara calon PKR, S. Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menewaskan calon BN, S Ganesan dan 13 calon Bebas yang lain.

Undi yang diperolehi oleh calon PKR merosot sebanyak  563 undi berbanding yang diperolehi oleh V. Arumugam, calon Bebas yang kemudiannya menyertai PKR, V. Arumugam. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, V. Arrumugam  memperolehi 13,225 undi menewaskan calon BN, S.Krishnan yang memperolehi 10,229 undi dengan majoriti 2,362 undi. Sungguhpun begitu majoriti calon PKR, AS. Manikumar meningkat 41 undi. Semua calon Bebas hilang wang pertaruhan selepas mendapat undi tidak melebihi satu perempat daripada mereka yang keluar mengundi (70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar).

Manakala BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air. Malcom Mussen Lamoh calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), memperoleh 3,907 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi) dengan majoriti 1,854 undi sahaja.

Sebanyak 75.32 peratus dari 8,600 pengundi telah keluar mengundi. Undi yang diperolehi calon PKR ini merosot sebanyak 446 undi berbanding calon Parti Negara Sarawak (SNAP), Nicholas Bawing Anggat yang mendapat 2,489  undi yang hanya ketinggalan sebanyak 806 undi sahaja berbanding dengan calon BN, Dublin Unting Ingkot (mendapat: 3,295 undi). 

Teori RAHMAN menjadi, Najib PM sehingga PRU ke-13
Teori RAHMAN telah selesai, sama ada secara kebetulan atau tidak. Mengikut teori RAHMAN yang tidak diketahui asal-usulnya secara jelas ini, ianya mungkin diambil dari nama Perdana Menteri yang pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dengan huruf ‘R’ itu merujuk kepada namanya.

Manakala huruf ‘A’ yang kedua itu merujuk kepada nama Tun Abdul Razak Husin, Perdana Menteri kedua. Samaada secara kebetulan ataupun tidak, Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri  kepada Tun Abdul Razak tidak sempat menjadi Perdana Menteri kerana meninggal lebih awal dan diganti oleh Datuk Hussein Onn sebagain Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-3 bagi memenuhi huruf ‘H’ dalam kedudukan ke-3 itu.

Begitu juga ketika Hussein Onn hendak memilih Timbalan Perdana Menteri. Beberapa nama seperti nama Tengku Razaleigh dan Tun Ghaffar Baba adalah lebih kanan daripada Tun Dr. Mahathir sendiri dari kalangan Naib-naib Presiden UMNO untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sama ada tuah atau secara kebetulan sahaja, Mahathir yang pangkal namanya dengan huruf ‘M’ yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri keempat. Dr. Mahathir menjadi PM paling lama selama 22 tahun dengan 4 orang Timbalan Perdana Menteri bermula dengan Tun Musa Hitam, kemudiannya Tun Abdul Ghaffar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun).

Anwar yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri tidak bernasib baik walaupun dah memenuhi kreteria dan hampir-hampir menjadi PM jika tidak disingkirkan oleh Dr. Mahathir pada September,1998.  Abdullah Ahmad Badawi bernasib baik memenuhi huruf ‘A’ keempat untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat. 

Sepatutnya Pak Lah akan terus menerajui kerajaan sehingga mandatnya tamat. Peralihan kuasa secara tergesa-gesa oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah sekadar bagi memperlengkapkan teori RAHMAN yang diperkatakan oleh banyak pihak sebelum ini.

Apa yang menarik minat pemerhati politik sekarang adalah pembentukan kabinet pertama Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mungkin sedang membuat percaturan untuk membalas jasa Pak Lah dan juga memenangi semula kepercayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir mungkin mempertaruhkan Mukhriz untuk meneruskan lagenda keluarganya dalam politik sebagaimana Najib dan Hishamuddin  mewarisinya dari Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Bagi Pak Lah, beliau tidak ada pilihan melainkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang sekarang sudah menjadi Ketua Pemuda. Begitu juga kabinet Najib ini sudah tentu, ramai Menteri dari kem Pak Lah yang tewas dalam pemilihan  UMNO baru-baru ini akan digugurkan.

Najib sudah tentu tidak mengikut jejak Pak Lah ketika mengambil alih kuasa dari Tun Dr. Mahathir dengan mengekalkan kesemua Menteri yang dilantik oleh Mahathir sebelum itu. Senarai kabinet baru  yang sepatutnya diumumkan pada 8hb. April, 2009.

Saya menunggu penuh minat sama ada senarai yang akan diumum itu sama atau tidak dengan senarai yang dihantar kepada saya pada malam sebelumnya oleh seorang rakan yang mempunyai makluman dalaman berhubung  nama-nama yang akan dimasukkan dan digugurkan dari kabinet Najib.

Tetapi malangnya, ianya tidak diumumkan pada hari yang telah dijadualkan kerana ada beberapa masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan pilihanraya ini boleh dianggap sebagai referendum rakyat terhadap penerimaan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dengan  keputusan PR 2- BN 1, menampakkan rakyat tidak lagi berhendakkan BN.  Mereka selesa dengan keadaan yang telah ada.

Jika Najib tidak berhati-hati ketika percaturan membentuk kabinetnya kali ini, tidak mustahil beliau mungkin Perdana Menteri terakhir BN sebelum diambil alih oleh pihak lain selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar SIASAH bilangan 144 (12-16 April)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Keputusan PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai kekalkan status quo?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa orang rakan dan kenalan bertanya saya tentang pertarungan 3 pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April ini. Pakatan Rakyat (PR) meramalkan 3-0 di mana kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau bukan sahaja di kekalkan, malah mereka turut menawan kerusi DUN Batang Ai.   

Bagi saya ini ramalan optimistic. Tetapi di pihak Barisan Nasional pula, mereka merasakan akan mengekalkan kerusi Batang Ai dengan mudah tetapi terpaksa bertarung dengan sengit di Parlimen  Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.  

UMNO yang baru mendapat suntikan kepimpinan baru selepas perhimpunan Agung baru-baru ini begitu bersemangat untuk merampas semula kerusi parlimen Bukit Gantang yang telah terlepas ke tangan PAS dalam pilihanraya umum yang lepas.

Begitu juga MIC pula berhasrat merampas kembali kerusi Bukit Selambau yang telah terlepas dari tangan mereka. Manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula akan mempertahankan kerusi Batang Ai untuk Barisan Nasional (BN).   

Pertarungan Sengit pada 7hb. April  
Bila seorang rakan mengajak saya turut serta pergi meninjau suasana penamaan calon bagi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang di Taiping pada Ahad, 29hb. Mac yang lepas saya terkejut melihat suasana yang berlaku pada hari itu.  

Jauh lebih ramai  dari kehadiran dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Mengikut laporan media penyokong-penyokong BN sekitar 10,000 orang. Manakala penyokong-penyokong Pakatan Rakyat pula dianggarkan 5 kali ganda dari jumlah tersebut.

Begitu ramai sekali penyokong-penyokong Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari kalangan Melayu, Cina dan India yang mengiringi beliau bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Pengaruh Menteri Besar Perak pilihan rakyat itu masih kukuh bersemadi dihati rakyat walaupun BN melakukan rampasan kuasa dengan menabalkan Menteri Besar ke-2.

Apa yang saya lihat, UMNO/BN sedang memohon restu rakyat terhadap tindakan diluar perlembagaan yang menyebabkan Perak dilanda krisis perlembagaan yang memalukan Sultan Azlan, bekas Ketua Hakim Negara yang cukup dihormati suatu ketika dahulu dalam aspek–aspek perundangan.

Bagi banyak pemerhati politik, pilihanraya kecil ini adalah pertarungan kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang mendapatkan undi kepercayaan dari rakyat terhadap pemerintahannya yang digulingkan secara tidak berpelembagaan.

Penentuan nasib hidup mati politik Ir Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak selepas ini adalah ditangan 55,562 pemilih berdaftar di Parlimen Bukit Gantang termasuk 136 pengundi pos dengan pecahan 63.5 peratus pengundi Melayu, Cina (27.1 peratus), India (9.1 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Ianya  bukan sekadar  pertarungan Ir. Nizar Jamaluddin dengan  calon BN, Ismail Safian dan calon bebas Kamarul Ramizu. Malah di sudut yang lain ianya pertanrungan antara Ir. Nizar Jamaluddin dengan Dr. Zamry Abdul Kadir, Menteri Besar ke-2 Perak.

Jika Ir Nizar Jamaluddin menang bermakna, rakyat Perak tidak bersetuju dengan Dr. Zamry Abdul kadir yang begitu gelojoh hendak berkuasa tanpa mengikut proses perlembagaan yang betul dengan mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan Ir. Nizar Jamaluddin di DUN Perak yang boleh dipanggil dengan titah Sultan pada bila-bila masa.

Sementara pilihanraya DUN Bukit Selambau pula begitu mengejutkan pemerhati politik. Tidak diketahui apa sebab yang menyebabkan begitu ramai yang berminat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil tersebut sehingga menciptakan sejarah baru pilihanraya kecil di Malaysia.

Selain dua calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk S. Ganesan,  daripada MIC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar,  terdapat 13 calon lain bertanding atas tiket Bebas menjadikan lapan calon berbangsa India, enam calon berbangsa Melayu dan seorang calon berbangsa Cina. bertanding.

Manakala logo calon-calon Bebas adalah R. Loganathan, (kelapa Sawit) , Tan Hock Huat, (Kunci), Radzi Md Lazim, (Kerusi), Mohd Fazil Abdul Wahab, (Kepala Harimau), Abdul Rahim Abu, (Jam loceng), L.Sarala, (Basikal) dan A. Jayagopal, (Payung). S. Moganakumar, (buku), Khamis Awang, (Ayam Jantan), Husaini Yaacob, (Bas), M.Vaneson,  (Ikan), Anuar Abdul Hamid, (Telefon) dan T. Chandrarajah, (Kapal Terbang).

Tidak mustahil calon Bebas sekali lagi dipilih pengundi Bukit Selambau dan dilantik sebagai exco kerana kekosongan kerusi exco yang disandang oleh V. Arumugam belum diisi dan hanya akan diisi selepas pilihanraya kecil ini. 

Keghairahan calon-calon bebas bertanding pemenang kerusi ini kecuali calon Barisan Nasional (BN) terutama dikalangan India akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Ini sekaligus membayangkan mana-mana calon India yang menang dalam pilihanraya itu boleh dilantik sebagai anggota Exco

Keadaan yang berbeza berlaku dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai pyang mana  akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sahaja.

BN meletakkan muka baru Malcom Mussem Lamoh, dari Parti Rakyat Sarawak (PRS). Manakala PKR pula meletakkan Jawah Gerang, bekas Anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal di mana Batang Ai adalah satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Lubok Antu.

Dalam pilihanraya negeri yang lepas, Datuk Dublin Unting Ingot , Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) daripada Barisan Nasional  telah menewaskan Nicholas Bawin, yang bertanding diatas tiket Parti Negara Sarawak (SNAP).

Dalam pilihanraya kecil ini SNAP tidak bertanding semula dan Nicholas Bawin memberikan laluan kepada Jawah Gerang merampas kerusi tersebut daripada BN. Mampukah Jawah Gerang dan PKR melakukannya dalam pilihanraya kecil Batang Ai kali ini? 8,600 pengundi berdaftar di sini akan menentukannya pada 7hb. April ini…

Artikel ini disiarkan untuk akhbar SIASAH bilangan 143 (5-11 April)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories