Kalam Perantau

Icon

Resolusi Persidangan Shah Alam : Meneruskan cita-cita Rakyat

Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat
29 November 2010, Shah Alam, Selangor

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

  • Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
  • Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai  berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
  • Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
  • Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
  • Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

  • Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
  • Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
  • Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
  • Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
  • Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri;  dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(Menteri Besar Selangor)

Lim Guan Eng
(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Kedah)

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

“Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

“Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

“Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

Doa untuk bukan Muslim

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya “malu”) dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: “Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan “sejahtera” itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.

Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh – bukan lemah seperti saya – dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia “Islam adalah agama yang rahmat”. Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”.

Walaupun Nabi SAW – seperti riwayat al-Bukhari – dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan “assalamualaikum” sahaja. Perkataan “assalamualaikum” itu memang bermaksud “kesejahteraan ke atas kamu”.

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan “salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Tidakkah “salam sejahtera kepada bukan beragama Islam” itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru “Salam 1Malaysia” juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas’ud: “Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”.

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya

Filed under: News, , , , , , ,

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT PULAU PINANG

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT PULAU PINANG DALAM MESYUARAT TERGEMPAR PADA 22.8.2010 DI KOMTAR, GEORGE TOWN.

Mesyuarat tergempar PR dipanggil hari ini berikutan permainan isu “Guan Eng gantikan Agong” yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan media massa. Permainan politik oleh UMNO ini adalah begitu karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama lain.

Dalam mesyuarat tersebut Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang portfolio agama Islam YB Abdul Malik Kassim telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.

10 usul telah diluluskan dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Lim Guan Eng:-

  1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
  2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
  3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
  4. Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.
  5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.
  6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
  7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agung serta Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.  
  8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam masjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.
  9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama YAB Lim Guan Eng diarahkan oleh kerajaan negeri.
  10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik kerajaan negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat   (SAR),  serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.

YB Dato Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Pengerusi PKR Pulau Pinang 

YB Chow Kon Yeow
Pengerusi DAP Pulau Pinang

Ustaz Rosidi Hussain
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

LGE ganti Agong: Tindakan UMNO karut

By Harakahdaily   

GEORGE TOWN, 22 Ogos: Mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini memutuskan mengutuk keras tindakan Umno memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah Jumaat.

Tindakan tersebut disifatkan amalan politik kotor dan jahat Umno dan media massa yang dikuasai mereka bagi memfitnah kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kami menafikan dengan keras dakwaan Umno kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri”, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.  

Permainan politik oleh Umno itu juga karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat sahaja berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.

Kenyataan tersebut ditandatangan oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dato Mansor Othman, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosidi Hussain.

Turut serta pada mesyuarat yang dipengerusikan Lim Guan Eng itu, Ahli Exco Negeri Pulau Pinang yang memegang portfolio agama Islam, Abdul Malik Kassim.

Mereka turut mendesak Umno mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib atau imam masjid yang dapat dibuktikan telah mengubah doa tersebut.

“Kita mendesak BN dan Umno hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam dan khatib.

Mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Mereka turut menyatakan komitmen menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Tindakan umno itu juga jelas mereka bagi mengalihkan pandangan rakyat dari kebaikan yang dibuat kerajaan negeri.

Antaranya meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas.

Selain itu menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.

Filed under: News, , , , , , , ,

Pulau Pinang setuju LA bukan dari Peguam Negara

Oleh Ali Hashim    

BUKIT MERTAJAM, 2 Julai: Selepas Kelantan, Pulau Pinang pula setuju cadangan agar Penasihat Undang-undang (LA) dilantik sendiri oleh kerajaan negeri bukannya dari Jabatan Peguam Negara namun buat masa ini akan kekal dengan kakitangan yang ada.

Ketua Menteri Pulau Pinang,  Lim Guan Eng, menyokong cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua negeri yang ditadbdir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) melantik Penasihat Undang-Undang sendiri.

Langkah ini akan menghentikan amalan yang menjadi tradisi kerajaan yang lalu apabila penjawat jawatan tersebut diisi oleh wakil dari Jabatan Peguam Negara.

Menurut Lim lagi, cadangan tersebut adalah suatu proposal yang baik bagi mengelakkan berlakunya tindakan cuai pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Tindakan ini adalah baik kerana sebagaimana yang kita ketahui pegawa-pegawai ini adalah lantikan daripada Kerajaan Pusat yang mewakili kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menimbulkan pelbagai masalah kepada pentadbiran negeri.

“Walau bagaimanapun setakat ini Pulau Pinang akan terus menggunakan khidmat nasihat daripada pegawai yang sedia ada, memandangkan Penasihat Undang-Undang tersebut adalah wakil kepada Kerajaan negeri dalam semua urusan yang berasaskan perundangan dan mereka harus berurusan melalui saya terlebih dahulu,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, semua tindakan yang akan diambil perlu terlebih dahulu mendapat arahan daripada Exco Kerajaan Negeri dan Pulau Pinang masih lagi mengekalkan Penasihat Undang-Undang sedia ada.

Lim berkata demikian semasa bercakap kepada media di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Filed under: News, , , , , ,

Dua Tahun Pakatan Rakyat, PAS Kekal Sebagai Komponen Yang Penting

Oleh Idris Ahmad

Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara. Kelantan kekal ditangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu-Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).

Dengan kejayaan itu, ia memberikan inspirasi kepada penubuhan PR yang mengukuhkan kedudukan rakyat yang bencikan kezaliman BN. PR menguasai 82 kerusi Parlimen dan BN menguasai 140 kerusi Parlimen.

Selepas 8 Mac 2008, Umno kembali menyedari bahawa mereka kini kembali bersendirian menjadi juara BN selepas kekalahan teruk komponen lain kecuali parti-parti di Sabah Sarawak. Umno cuba memujuk PAS untuk bergabung di Selangor, Perak dan Kedah. Di Perak mereka mengunakan Mufti Negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno. Namun PAS terbukti sebagai parti yang mementingkan persahabatan dan tidak pernah lupa akan dosa-dosa Umno-BN kepada rakyat. Ke semua tawaran penuh tipu muslihat itu ditolak dan PAS nekad mewujudkan Kerajaan Pakatan.

Walaupun ramai yang mempersoalkan pendirian PAS berhubung usaha Umno itu, namun jelas bahawa PAS adalah parti yang berprinsip dan tidak mudah terpengaruh. PAS memiliki 3 Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak ketika itu.

Umno yang kecewa dan tidak berpuashati dengan kekalahan teruk itu menukar Presiden mereka pada tahun 2009 dan Tun Abdullah Badawi disingkirkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Sedang diperingkat PR, Presiden PKR, Datuk seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula di Permatang Pauh sebagai tiket untuk memasuki semula Parlimen sejak dipecat oleh Tun Mahathir pada tahun 1998.

Dengan kembalinya Anwar yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PR menjadi lebih kukuh. Usaha mewujudkan PR secara rasmi dibuat dan PR didaftarkan secara rasmi dalam senarai Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PR bertambah selepas PAS kembali menguasai Parlimen Kuala Terengganu dan menjadikan kedudukan di Parlimen 83 PR, 139 BN pada Januari 2009. Dan BN ketika itu terdesak untuk melakukan rombakan strategi.

Tanpa memikirkan kepentingan dan sensitiviti rakyat, Umno-BN melakukan kezaliman terbesarnya dengan merompak Kerajaan PR di Perak melalui strategi membeli 3 orang ADUN-Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Gabungan PR yang begitu muda, dengan usia kurang dari dua tahun ketika itu turut menerima pelbagai cabaran.Umpama anak kecil yang belajar bertatih, PR tidak mengenal erti putus asa.

Dengan kesepakatan PR, cadangan DAP Kedah untuk keluar PR ditarik balik dan semua pihak kembali bekerjasama.Di Selangor, Umno cuba melagakan PR dengan isu-isu Kerajaan Perpaduan, isu agama-Arak, Nama Allah, Kepala Lembu dan sebagainya. Namun PAS mempunyai cara yang tersendiri, dan PR tidak dapat digoyahkan.

Tidak cukup menyerang PAS, DAP di Selangor difitnah sebagai parti yang ditaja oleh samseng dan kongsi gelap. Malah isu kematian Teoh Beng Hock juga menjelaskan lagi usaha memfitnah DAP yang dikatakan menyalahgunakan dana rakyat melalui penyelewengan beberapa ADUNnya. Namun hingga kini belum ada ADUN yang disabitkan bersalah. Rakyat pula bertanya, kenapa ADUN PR dikejar oleh SPRM macam mengejar penjenayah besar, sedangkan Khir Toyo dan beberapa ADUN BN yang dilaporkan mengamalkan rasuah semasa memerintah lambat diambil tindakan.

PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.

Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat Projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.

Di Kelantan, Umno_BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.

Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu,  Zulkifli Noordin sebagai ‘hadiah’-Beli 3 dapat 1 ‘percuma’. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah ‘sampah-sampah’ terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.

Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.

PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanat rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesunguhnnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.

Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progreasif hari ini.

——————————–

Ustaz Idris Ahmad merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Dapatkan maklumat tepat dari pemimpin Pulau Pinang – Nasruddin

Ditulis oleh Harakahdaily    
 
GEORGETOWN – Dewan Pemuda PAS Pusat meminta semua pihak mendapatkan maklumat yang tepat daripada pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri berhubung apa sahaja isu yang berlaku di negeri ini sebelum membuat kesimpulan awal sendiri.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, kebanyakan isu berkaitan tindakan kerajaan Pulau Pinang pada waktu ini sebenarnya sengaja ditimbulkan dan direka oleh pihak tertentu untuk cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP negeri itu.

“Saya betul-betul mengharapkan selepas daripada ini terutamanya pihak media agar dapat memberikan laporan dan penjelasan kepada masyarakat berasaskan fakta yang benar dan tepat dengan mendengar sendiri dari pihak kerajaan Pulau Pinang,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan pakatan rakyat Pulau Pinang seharusnya diberi peluang membuktikan keupayaan memimpin negeri itu kerana mereka dipilih secara sah pada pilihan raya umum lalu dan bukannya cuba melaga-lagakan dan memecahbelahkan mereka.

Tanggungjawab membuat perubahan, jelasnya bukan kerja mudah apatah lagi setelah sekian lama dirosakkan oleh kerajaan BN yang memerintah sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.

Terdahulu, deligasi dari 13 anggota dewan harian pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Pulau Pinang mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam bersama Lim.

Pertemuan tersebut bagi mendapat penjelasan perkara sebenar terhadap beberapa isu yang sedang diperkatakan tentang negeri ini.

“Kunjungan hormat kami hari ini bertujuan mendapat penjelasan dan maklumat ‘first hand’ dari ketua menteri selepas diasak pihak media dan pemerintah Umno BN.

“Saya kira, banyak maklumat tidak tepat dan ada orang ketiga atau pihak lain memanipulasi maklumat itu,” katanya lagi.

Dalam pertemuan itu juga, Nasruddin memklumkan beliau turut menyampaikan beberapa hasrat dan kebimbangan masyarakat Melayu negeri itu terhadap beberapa tindakan kerajaan negeri.

“Alhamdulillah jawapan diberikan ialah beliau (Lim) bersedia bertemu dengan semua NGO asalkan sahaja pertemuan itu atas maksud untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi segala salah faham dan ketidakjelasan terhadap sesuatu isu,” tambahnya.

Berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul tahun ini pula, perkara itu jelas Nasruddin sengaja ditimbulkan.

Ianya kerana sambutan tersebut sebenarnya hanya ditunda dan tetap akan diadakan pada 26 Februari ini.

“Pada tahun 2008, perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, ketua menteri berada di saf hadapan dan saya kira dia (Lim) ketua menteri bukan Islam pertama menyertai maulud dalam negara kita,” katanya.

Manakala Lim dalam responsnya menyatakan kesediaan secara terbuka untuk bertemu dan membuat penjelasan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tersebut

Filed under: News, , , , , , ,

Pilihan raya ke 13 sudah hampir

Oleh Zulkifli Sulong   

Selepas Kelantan dan Pulau Pinang diserang bertubi-tubi, kini giliran pimpinan PAS pula yang diserang. Serangan ini pula betul-betul permainan media kerana lain yang dikatakan oleh pimpinan PAS, lain pula yang disiarkan oleh media.

Yang menjadi sasaran nampaknya adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan terbaru Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kalau selama ini Bernama agak dilihat profesional dalam membuat laporan manakala akhbar Sinar Harian nampak sedikit adil dalam menyiarkan laporan untuk Pakatan Rakyat. Namun, kedua-duanya ada agenda tersendiri dan datang dengan nada yang sama, pecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Berita Bernama yang melaporkan kononnya Presiden PAS, Abdul Hadi membantah campurtangan Australia dalam isu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak sangat cuba untuk melagakan Presiden PAS itu dengan para penyokong Anwar.

Ini kerana, kalau diperhatikan, jelas Abdul Hadi ketika ditanya oleh wartawan adakah beliau membantah campurtangan Australia, Abdul Hadi menjawab tidak.

Saya kutip balik transkrip perbualan antara wartawan dan Abdul Hadi pada 19 Februari lalu di Kuala Terengganu:-

Wartawan: “Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?”

Abdul Hadi: “Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.”

Memang menjadi sikap PAS menolak sebarang campurtangan asing ke atas negara ini sebagai sebuah negara yang berdaulat. Tetapi dalam masa yang sama, adakah kenyataan dan memorandum anggota Parlimen Australia dan ucapan pemimpin mereka meminta Malaysia mengkaji balik dakwaan ke atas Anwar itu campurtangan atau tidak.

Namun, sebagaimana dikatakan Abdul Hadi, kalau sistem keadilan kita sendiri sudah lemah, sudah tentu ada campurtangan asing.

Selepas menyiarkan Abdul Hadi membantah campurtangan Australia, akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz menyokong kenyataan para MP Australia itu. Berita muka depan bertajuk “Agenda halang Anwar” itu kelihatan positif kepada Pakatan Rakyat namun ia mempunyai racun yang berbisa.

Kenapa? Bagi saya kerana akhbar berkenaan mahu menonjolkan perbezaan pendapat dua tokoh besar PAS iaitu Abdul Hadi dengan Nik Aziz. Sebelum ini, Abdul Hadi ‘bantah’ sekarang Nik Aziz ‘sokong’. Padahal jelas, Abdul Hadi juga berkata dia tidak bantah. Yang mengatakan Abdul Hadi bantah adalah media.

Akhbar Sinar Harian mula diterbitkan di Kelantan. Apabila ia diterbitkan, para penyokong PAS di Kelantan bagaikan dituba dengannya apabila masing-masing berebut-rebut membeli dan memuji akhbar itu apabila berita-berita mereka disiarkan.

Namun, menjelang pilihan raya 2008, tiba-tiba meletup Nik Aziz membuat kenyataan “Saya haramkan akhbar ini masuk ke pejabat saya”. Ia berlaku selepas akhbar berkenaan membuat serangan yang bukan-bukan terhadapnya termasuk menyiarkan laporan apa yang belum berlaku lagi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.

Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan palsu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Sebelum ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia juga membuat berita yang jauh sama sekali dari konteks sebenar apa yang dicakapkan Abdul Hadi. Berita itu berbunyi “Umno mula alami perubahan yang baik – Hadi”

Akhbar Umno jelas mengambil kenyataan itu dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita itu dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan, iaitu tema yang selalu diperkenakan terhadap Abdul Hadi.

Di Pulau Pinang sebelum ini, Lim Guan Eng diserang bertubi-tubi. Sasarannya adalah memencilkan beliau dari orang Melayu yang sensitif dengan Islam khasnya pimpinan dan penyokong PAS. Ia juga bersifat ‘double edge‘ atau gergaji mata dua…tarik makan, sorong pun makan.

Apabila pimpinan PAS membela Lim Guan Eng, mereka akan menyerang PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Apabila PAS tidak membela, Lim Guang Eng akan terasing. Namun, sebagaimana biasa para pimpinan PAS tidak memikirkan hal itu sangat, bagi mereka yang benar perlu dibela dan semangat setiakawan sangat menebal di kalangan pimpinannya. Lalu mereka berbondong-bondong membela Lim Guang Eng dan kadang-kadang dilihat sebagai berlebihan. Lalu Umno pula berkata, memang sah PAS kuda tunggangan DAP sebagaimana fitnah yang dikenakan ke atas Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Perak.

Semua ini bagi saya hanya bunga-bunga atau tanda-tanda pilihan raya sudah dekat. Jadi bersedialah menghadapi pilihan raya yang akan penuh dengan permainan media kerana bunga-bunganya sudah jelas kelihatan

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Guan Eng: Saya rasa Zahrain geram kerana tidak dilulus tender

PULAU PINANG, Feb 13 — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim keluar daripada PKR sebagai menjaga kepentingan individu dan peribadi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keretakan antara beliau dan Ahli Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

“Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu.

“Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat ‘dua ringgit’ itu?,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

“Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator,” katanya.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan anggota lembaga pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

Semalam, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis. — Bernama

Filed under: News, , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories