Kalam Perantau

Icon

PAS tiada pilihan, tanding pilihanraya kecil berkembar

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa hari ini saya ditanya adakah PAS akan bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkembar Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Bermacam-macam teori yang dikemukakan selain pujuk rayu pelbagai pihak supaya PAS tidak bertanding pada kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS sebelum ini.

Ramai yang keliru dengan PKR yang mendakwa mereka parti yang boleh menang di Sg Besar dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18hb Jun 2016 nanti. Semua parti akan mendakwa mereka boleh menang hatta Parti Amanah Negara (PAN) yang belum teruji itu pun membuat dakwaan yang sama.

Saya tak berminat untuk sebut tentang PAN dulu setakat ini. Biarkan mereka dengan dakwaan dan teori-teori mereka. Ramai yang kenal siapa mereka. Mereka tak lebih dari ahli politik yang kecewa dalam PAS setelah kalah dalam pemilihan parti pada tahun lepas.

Begitu juga dengan dakwaan PKR yang mendakwa mereka boleh menang juga boleh dipertikaikan. Tak perlulah PKR nok bertukar kerusi pada masa ini kerana masa hendak tukar kerusi boleh dibuat pada PRU ke-14 nanti. Sekarang PAS dan PKR masih terikat dengan ‘status quo’ yang telah dipersetujui sebelum ini.

Cuma saya minta PKR merenung sejenak kebelakang dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 selepas PRU ke-12. Kerusi Hulu Selangor tersebut dimenangi oleh PKR dalam PRU ke-12 sebanyak 198 undi.

Ketika itu Pakatan Rakyat (PR) masih kuat dan semua pihak menyokong PKR tanpa berbelah bahagi dibantu oleh kerajaan PKR yang memimpin Selangor. Calon PKR pun bukan calang-calang orang, seorang bekas Menteri UMNO, Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan kerana prinsip dan menyertai PKR.

Apa yang berlaku dalam PRK tersebut, PKR bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi tersebut, malah tewas dalam pilihanraya kecil tersebut dengan majoriti 1,725 undi. Calon  BN, P. Kamalanathan mendapat 24,997 undi dan calon PKR,  Datuk Zaid Ibrahim pula mendapat 23,274 undi sahaja.

Dalam satu perkembangan yang lain pada PRU ke-12, calon PAS Mohd Sabu (sekarang Presiden PAN) yang disebut-sebut sebagai calon popular PAN di Sungai Besar gagal memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi.

Bila PAS bertanding semula dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, PAS meletakkan calon yang diterima rakyat mampu merampas kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Saya sendiri pun tidak pasti sama ada PAS akan bertanding atau tidak kerana penamaan calon belum diadakan lagi. Penamaan calon bagi pilihanraya kecil berkembar itu akan diadakan pada 5hb Jun 2016 nanti.

PAS berkeras kerusi tradisi parti Sg Besar dan Kuala Kangsar

Dalam Pakatan Harapan, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, atas alasan ia mempunyai hak keatas kerusi itu yang sebelum ini ditandingi oleh PAS apabila mereka menjadi sebahagian daripada bekas gabungan Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam masa yang sama, Azmin Ali Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar juga ‘berminat’ PKR bertanding di Sungai Besar, Selangor kerana beranggapan mempunyai lebih peluang untuk menang.

Tetapi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin PAS mempunyai peluang yang cerah pada PRK ini dengan berkata, “PAS akan bertanding di sini kerana PAS secara tradisinya bertanding di kerusi Sungai Besar, kerusi tradisi PAS, maka keputusan parti itu untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa dan kini memberi tumpuan untuk merampasnya dari BN kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional akibat dari kebobrokan pentadbiran BN”.

Dalam banyak-banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin politik terutama dari kem pembangkang, saya rasa kenyataan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang juga pemimpin PKR paling realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Saya bersetuju PAS bertanding dikerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pembangkang harus tunjukkan komitmen berpadu jika mahu mengambil alih Putrajaya pada PRU 14 nanti. Bertanding untuk tewas bukanlah pilihan yang bijak” dimuat naik dalam facebook beliau pada 12hb Mei 2016 yang lepas.

Tan Sri Muhammad dilihat terus konsisten dengan pendirian awalnya bila seminggu lepas itu, pada 19hb Mei, 2016 sekali lagi beliau memuat naik pandangan beliau dalam facebook, “kalau saya memutuskan siapa nak bertanding di piluihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya akan pilih PAS. Soal dia dilihat berbaik-baik dengan Umno sama lah seperti PH dilihat berbaik-baik dengan Tun Mahathir”

Walaupun diserang kiri dan kanan dalam dalam dunia maya, beliau bertegas, “mengapa di satu pihak kita boleh berbaik-baik dengan Tun Mahathir dan disatu pihak tidak mahu sokong-menyokong dengan PAS dalam pilihanraya kecil ini? Biasanya dalam pilihanraya kecil, ‘incumbent’ akan bertanding” katanya dalam facebook beliau pada 19hb mei, 2016 tersebut.

Keputusan PAS untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa hatta PKR sekali pun sebagaimana PAS tidak mempertikai PKR bertanding pada kerusi tradisinya di Selangor.

Apatah lagi dalam keadaan PAS akan adakan muktamar ke-62 pada 1-3hb Jun, 2016 (dpercepatkan sehari dari asal yang akan berakhir pada 4hb Jun) di Kota Bharu kerana penamaan calon PRK berkembar berkenaan pada 5hb Jun, 2016.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini konsisten dalam kenyataan mereka bahawa parti itu akan meneruskan keputusannya untuk meletakkan calonnya dalam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setakat ini saya tak nampak ada pemimpin PAS yang sanggup “membunuh” karier politik mereka dalam PAS dengan mengambil sikap U-turn dengan keputusan yang dah diputuskan untuk bertanding dan sanggup berhadapan dengan ahli dalam muktamar yang diadakan untuk digelar pengkhianat parti sendiri.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah ‘naik tocang’ dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi ‘membuli’ PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang ‘bercelaru’ kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , ,

Selepas Kedah, giliran politik Terengganu bergolak? 

Oleh: Shuhaimi Al Maniri

Belum pun pergolakan politik Kedah yang dicetuskan Ahmad Bashah terhadap Mukhriz Mahathir reda, tetiba Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya pula melempar ‘bom jangka’ kepada politik Pulau Pinang dengan meminta SPRM menyiasat dakwaannya di Parlimen bahawa Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang melakukan rasuah dengan membeli rumah banglo dibawah harga pasaran semasa seperti yang dilakukan oleh mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo.

https://i1.wp.com/assets.nst.com.my/images/articles/irb27.transformed.jpgDilaporkan dalam pelbagai media, Lim Guang Eng membeli sebuah rumah banglo daripada Miss Phang pada harga RM 2.8 juta. Sebelum itu pada tahun 2008, hartanah tersebut dibeli pada harga RM 2.5 juta dan telah dilakukan ubahsuai sebelum disewakan kepada beliau dengan kadar RM5,000 sebulan sehingga dijualkan kepada beliau pada tahun 2015.

Ekoran kenyataan ini perdebatan di parlimen menjadi kecoh terutama dari blok Pakatan Harapan. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan jarang berada di parlimen  kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan media di Komtar, George Town, Pulau Pinang pada 18.3.2016 ‘menjemput’ Datuk Shabudin Yahaya, Pengerusi PERDA merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor untuk bersemuka secara satu-sama-satu “Mencari Kebenaran Daripada Fakta” di hadapan pihak media massa di pejabat saya di Komtar pada hari Ahad, 20 Mac ini jam 11am.

Sebagaimana yang dijangka, tidak ada keperluan untuk ahli politik UMNO Pulau Pinang tersebut untuk memenuhi jemputan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang daripada parti DAP. Malah Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula mencabar Lim Guan Eng memberi penjelasan secara gentleman di Parlimen yang akan bersidang Isnin ini berhubung pembelian rumah berkenaan yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa bukan mencabar Shabuddin pada Ahad ini kerana kenyataan Datuk Shahbudin di Parlimen meminta SPRM menyiasat dakwaannya bukan minta berdebat dengan Guan Eng.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan hal pembelian rumah ini dengan lebih mendalam sama ada berlaku rasuah atau tidak. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan selanjutnya.

Mungkinkah DUN Terengganu dibubarkan sebelum PRU14?

Dalam kolum Kalam Perantau pada dua minggu lepas, saya ada menulis, “Tidak dipastikan sama ada akan berlaku atau tidak lagi pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri lain selepas ini sebelum Pilihanraya Umum ke-14 nanti”.

Sejak pertukaran Menteri Besar pada 2014, politik negeri Terengganu kembali tenang dan sesekali berlaku ‘suam-suam kuku’ dipermukaan, tetiba mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal dalam ucapannya pada 8hb Mac, 2016 ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah membawa usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyebabkan DUN Terengganu menjadi kelam kabut seketika.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Datuk Abdul Razif Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan jolokan “Menteri Besar Seberang Takir” ini mampu atau tidak bertahan hinggga akhir penggal ini. Ura-ura untuk beliau membubarkan DUN Terengganu tidak dapat ditolak jika kerajaannya yang ibarat ‘telur dihujung tanduk’ tidak dapat dipertahankan daripada serangan dalaman UMNO sendiri.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan apakah status ADUN Kijal tersebut, sama ada masih menjadi ADUN UMNO dan penyokong kerajaan ataupun sudah bertukar menjadi ADUN Bebas kerana peruntukan beliau sebagai ADUN Kerajaan telah ditarik balik dan diuruskan sendiri oleh Pejabat Menteri Besar.

Jika usul undi tidak percaya kepada Datuk Seri Razif dibenarkan oleh DUN Terengganu baru-baru ini, belum tentu Datuk Razif Abdul Rahman tidak mengalami nasib yang sama seperti Daud Samad, Menteri Besar Terengganu.

Ternyata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zuber Embong “menyelamatkan” Datuk Razif dari kerusi Menteri Besar dengan menolak usul itu dan kemudian menangguhkan sidang DUN.

https://kalamperantau.files.wordpress.com/2016/03/c7226-razifmatsaid.png?w=320&h=225Ianya bukan lagi ibarat ‘telor dihujung tandok’ tetapi merupakan ‘mimpi ngeri’ kepada Razif kerana Ahmad Said tidak akan duduk diam bila Razif juga telah berndak balas. Jika ADUN Kijal bukan lagi ADUN Umno dan Penyokong kerajaan maka DUN Terengganu terikat 16 (UMNO) dan 16 (14 PAS, 1 PKR dan 1 Adun Kijal) disebelah pembangkang.

Percaturan politik di Terengganu sekarang ini adalah bergantung kepada usaha Ahmad Said (ADUN Kijal) untuk menjadi ‘kuasa politik ketiga’ di DUN Terengganu yang terdiri dari UMNO (16 kerusi) dan PAS (14 kerusi) serta PKR (1 kerusi) setelah ADUN Kijal ditolak oleh Menteri Besar Terengganu.

Kalau ‘kuasa politik ke3’ dalam DUN Terengganu yang bakal diusahakan Ahmad Said dapat mengumpulkan lebih daripada 3 orang ADUN, kuasanya tawar menawar mantan Menteri Besar (yang bukan pilihan UMNO sebelum ini) menjadi lebih besar daripada beliau bersendirian sahaja menjelang PRU ke-14 akan datang.

Tidak dapat dipastikan sama ada politik Datuk Razif di Terengganu sekarang ini mampu bertahan sehingga hujung penggal atau pun terpaksa dibubar DUN lebih awal bagi diadakan pilihanraya negeri yang baru sekiranya beliau tidak berjaya menangani ‘api dalam sekam’ politik UMNO di negeri tersebut.

Setakat ini Menteri Besar yang paling singkat dalam sejarah kerajaan negeri Terengganu adalah Daud Samad dari PAS yang mampu bertahan dari PAS pada 1959 – 1961, iaitu selama 2 tahun lebih sahaja.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , ,

Pemilihan Presiden PAS: Hadi terus istiqamah, Ahmad Awang hendak kemana?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Muktamar PAS ke 61 pada 4-6hb Jun, 2015 ini tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semua perhatian kini tertumpu kepada pertandingan kerusi Presiden, Timbalan Presiden selain daripada Naib-Naib Presiden dan 18 orang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta ketua-ketua dewan.

Sepanjang era kepimpinan ulama pasca Muktamar 1982, inilah kali pertama jawatan Presiden PAS dicabar secara terbuka berbanding sebelum ini yang dilakukan secara peralihan yang agak sistematik. Malah Dato’ Asri sendiri pun berundur secara terhormat dengan melepas jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang disandangnya ketika itu setelah majoriti ahli-ahli tidak dapat lagi menerima kepimpinannya dalam PAS.

Kali terakhir penyandang jawatan Presiden (dulunya dipanggil Yang Dipertua Agong PAS) ditandingi adalah pada tahun 1960an. Menurut pengkaji sejarah, Dr Burhanuddin Al Helmy dicabar oleh Prof Zulkifli Muhammad pada Muktamar Agung PAS yang kelima pada tahun 1960-an. Keputusannya Dr Burhanuddin Helmi kekal menjadi Yang Dipertua, tetapi Prof Zulkifli Mohamad pula diangkat menjadi Timbalan Yang Dipertua.

abdulhadi5Setelah sekian lama pemilihan kepimpinan dalam PAS berjalan lancar terutama kepimpinan tertinggi, tiba-tiba pemilihan 2015 kali ini mencatat satu lagi sejarah baru dalam pemilihan PAS khususnya dalam Pemilihan Presiden PAS. Sebelum itu, tradisi jawatan Timbalan Presiden yang tidak ditandingi pun telah mula ditandingi sejak pemilihan 2003 bila jawatan tersebut dikosongkan oleh Abdul Hadi Awang yang disahkan menjadi Presiden setelah memangku selepas kematian mengejut Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Entah dimana silapnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang memimpin PAS sejak 2002, buat pertama kalinya Hadi akan ditentang sepanjang 13 tahun beliau memimpin parti itu oleh Ustaz Ahmad Awang seorang pesara kerajaan yang pernah menjadi pemimpin PAS sebelum ini tetapi tidak lagi aktif dalam politik tetiba muncul sebagai calon pencabar Presiden PAS pada pemilihan PAS 2015 kali ini.

Ahmad Awang yang pernah menjadi Presiden Persatuan Ulama SeMalaysia (PUM) mula aktif dalam PAS selepas berlaku era reformasi Anwar 1998 hingga pernah mendaki hirarki politik PAS dengan cepat bila dilantik Pesuruhjaya PAS Perak hingga pernah terpilih menjadi Naib Presiden dan Ahli Majlis Syura Ulama. Pernah bertanding dalam pilihanraya di Bagan Serai Perak, tetapi kalah.

Kalau melihat dari kacamata pemerhati politik, Ustaz Ahmad Awang secara individu sudah tidak bertenaga lagi dalam politik PAS bukan kerana umurnya berusia 79 tahun, tetapi beliau sudah tidak aktif lagi dalam politik PAS setelah tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti. Apa yang dilakukan oleh Ahmad Awang ketika ini mungkin sama dengan apa yang dilakukan oleh Sulaimen Palestin yang bertanding menentang Presiden UMNO dalam tahun 1970an dahulu.

Sulaiman Palestin ketika itu tahu dia sukar untuk mengalahkan Husein Onn yang bukan sahaja menjadi Presiden UMNO tetapi juga Perdana Menteri. Tetapi kenapa Sulaimen Palestin nekad bertanding menentang Husein Onn ketika itu. Tentu sahaja ada ‘tangan-tangan ghaib’ dan ‘grand design’ yang lebih besar disebalik pertandingan tersebut.
Terbukti kemudiannya, bila Sulaiman Palestin yang mendapat sekita 20% undi perwakilan, Timbalannya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mula menekan Husein Onn untuk bersara lebih awal dan meletakkan jawatan dengan alasan sakit.

Berbalik kepada pertandingan dalam pemilihan Presiden PAS kali ini, berdasarkan kepada jumlah pencalunan yang diperolehi kedua-dua calon (sebenarnya 3 calon, Dato Husam tarik diri hanya bertanding Naib Presiden sahaja), rata-rata pemerhati politik yakin sukar untuk Ustaz Ahmad Awang memenangi pertandingan tersebut.

Tetapi kenapakah Ustaz Ahmad Awang bertanding? Ini persoalan yang sedang cuba dirungkaikan oleh ahli PAS dan perwakilan dalam Muktamar ke61 pada 4 hingga 6 Jun, 2015 di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Disebalik apa yang berlaku dalam PAS sekarang ini, apakah tidak ada ‘grand design’ politik yang lebih besar?

Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya di sini. Tetapi memerhatikan kepada kenyataan Ahmad Awang dan beberapa pemimpin lain yang sealiran ‘fikrah’ politik dengannya, ramai yang berpendapat, kalau tidak ada ‘grand design’ masakan tempuan bersarang rendah.

Kata mereka, kalau betul-betul nak cabar Presiden PAS untuk digantikan, mestilah cari calon yang lain daripada pesara politik. Bagi mereka, cukup elok kalau Husam yang cabar Presiden dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden menetang Timbalan Presiden untuk membawa PAS ke satu era yang lain dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke14 nanti.

Dato’ Husam Musa yang mendapat pencalonan yang lebih baik dari Ahmad Awang dikatakan lebih bertenaga untuk mencabar Presiden sekarang kerana beliau bukan sahaja Naib Presiden tetapi yang lebih penting adalah Husam jauh lebih muda dari segi usia daripada Dato Seri Abdul Hadi.

Ahmad Awang mula terasa ada yang tidak kena dalam pemilihan kali ini bila DAP terus menyerang Abdul Hadi. Beliau mula bersuara yang disiarkan media, “Serangan demi serangan yang dihala kepada Ustaz Abdul Hadi Awang tidak akan memberikan kelebihan politik kepada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Hentikan serangan-serangan tersebut”.

Shuhaimi Almaniri
27hb Mei, 2015

Filed under: Recommended, , , , , , , , , , , , , ,

Sidang Dun Tergempar lancar: Ikuti kronologi di dalam dewan dan di luar dewan

Oleh Tarmizi Mohd Jam

ADUN dan para wartawan tiba awal hari ini untuk menghadiri sidang DUN Selangor yang akan membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri, lapor Malaysiakini.

Dua trak anggota polis kelihatan berada di pintu masuk DUN manakala satu trak lagi berada berhampiran Wisma MBSA, ekoran kemungkinan berlakunya protes pagi ini. Kedua-dua pintu masuk dan keluar DUN dibuka separuh, dengan ruang yang mencukupi untuk dilalui sebuah kereta. Sidang DUN dijadual bermula jam 10 pagi di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang meminda Undang-undang Tubuh Negeri tersebut.

BN sebagai pembangkang negeri bagaimanapun menuduh kerajaan merancang untuk menambah kuasa menteri besar dalam menentukan pelantikan pegawai tinggi kerajaan negeri. Cadangan pindaan itu dibuat ekoran tindakan kerajaan pusat melantik bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Kerajaan Selangor membantah keras pelantikan tersebut dan menuduh Putrajaya mengetepikan kuasa negeri, apabila melantik Khusrin tanpa berbincang dengan menter besar. Sultan Selangor bagaimanapun memperkenankan pelantikan Khusrin yang mengangkat sumpah pasa 5 Januari lalu.

LAPORAN LANGSUNG 9.30 pagi: ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah tiba di bangunan SUK, diiringi dua pembantu.  Beliau disambut oleh silauan lampu kamera jurufoto, menyebabkannya agak terkejut. “Wah, banyak peminat ni!” katanya berseloroh. Beliau enggan menjawab sebarang soalan walaupun ditanya bertubi-tubi oleh pemberita, sama ada akan mencabar keputusan speaker Teng Chang Khim yang mengisytiharkan kerusinya kosong.

9.32 pagi: Kira-kira 200 berkumpul di Dataran Shah Alam bawa pengawasan ketat polis. Sebahagian peserta memakai ikat kepala bertulis GAPS (Gagasan Anti Penyelewengan Selangor). Empat unit pasukan polis berkawal di depan pintu SUK. 9.40 pagi: Didesak pemberita, Badrul Hisham Abdullah memberitahu akan memfailkan saman bagi mencabar keputusan itu tengah hari ini selepas menghadiri sidang DUN. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada beliau dibenarkan memasuki dewan ekoran kerusinya telah diisytihar kosong. 

10 pagi: Dewan mula bersidang. Badrul Hisham Abdullah – yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker – duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan. Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan perkenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan. Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

10.24 pagi: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membacakan ucapannya. Berdasarkan perkara 10(3) peraturan dewan, kerajaan Selangor membentangkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Selangor 1959 terhadap perkara 52(1), kata menteri besar. Pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan, kata Khalid. Pakatan Rakyat memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rujun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini, tambahnya. Pakatan juga, tambah Abdul Khalid, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

10.35 pagi: Selepas duduk di bilik khas media kira-kira 30 minit, Badrul meninggalkan bilik itu dan bercadang mengadakan sidang media di luar. 10.50 pagi: Dalam sidang media selepas itu, Badrul Hisham mengaku beliau masih merupakan wakil rakyat yang sah dan akan terus berkhidmat kepada rakyat. Bagaimanapun, ditanya lagi sama ada beliau mahu memfailkan tuntutan di mahkamah, beliau hanya menjawab “mungkin”. Beliau juga memberitahu, setelah menunjukkan surat jemputan bertarik 11 Januari daripada speaker, pihak keselamatan masih tidak membenarkannya masuk ke dalam dewan.

11.20 pagi: Abdul Khalid selesai berucap. Ketua pembangkang negeri yang baru dilantik Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) berucap mempersoalkan tindakan Teng memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari. Speaker menegur kembali Mohamad Satim supaya mengingat peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara atau beliau akan diminta keluar untuk mengingatinya. Penyokong Pakatan ketawa besar. 11.25 pagi: Mohamad Satim ketika membahaskan pindaan itu mendakwa kerajaan negeri ‘syok sendiri’. Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana bertentangan dengan perlembagaan negara dan bermotifkan politik. Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat pekenan Sultan.

11.26 pagi: Peserta perhimpunan di Dataran Shah Alam kini bertambah sehingga 500 orang. 11.41 pagi: Mohamad Satim mengulangi dakwaan bahawa wakil Pakatan biadan dan derhaka terhadap Sultan dalam banyak tindakannya, antaranya dalam isu penggunaan kalimah Allah dan tulisan dalam blog Shuhaimie Shafiei (PKR-Sri Muda) yang didakwa menghina Sultan.

12.10 tengah hari: Pengerusi Kelab penyokong kerajaan negeri Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) membalas Umno yang derhaka kerana enggan menyokong cadangan pindaan undang-undang itu. Katanya, walaupun Umno boleh menukar fakta menggunakan media arus perdana, mereka tidak boleh mengubah sejarah. Azmin juga berkata Umno sudah lama menikmati kekebalan bawah pentadbiran ‘Mamak Bendahara’ dan pihak eksekutif, yang mengundang bantahan ADUN Taman Templer Subahan Kamal. Subahan berkata Azmin berniat jahat dengan menggunakan perkataan ‘mamak’. Sementara bangun Shamsudin Lias (Umno-Sungai Burong) menyokong Subahan, mendakwa Azmin menggunakan perkataan itu dengan cuba merujuk kepada Subahan. Azmin pantas membidas kefahaman “cetek” pembangkang negeri berhubung penggunaan prosa Melayu klasi di mana gelaran ‘mamak bendahara’ dirujuk kepada pembantu utama Sultan.

1 tengah hari: Sidang dewan ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini. 1.10 tengah hari: Sekumpulan 20 pemuda Pakatan Rakyat berhimpun di depan bangunan DUN bagi menunjukkan sokongan terhadap cadangan pindaan itu. Mereke membawa kain rentang dan menjerit perkataan “Daulat Tuanku!” dan “Hidup Rakyat!” sebelum beredar sepuluh minit kemudian.

Filed under: News, , , , , ,

Pindaan Undang-Undang Selangor : Mampukah Khalid dapat 2/3?

Oleh MOHD SUHAIMI AL-MANIRI

Kerajaan Negeri Selangor pimpinan  Tan Sri Khalid Ibrahim bertegas untuk mengadakan sidang tergempar DUN pada akhir bulan ini bagi meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Sementara Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman pula dilaporkan sebagai berkata, pihaknya belum membuat keputusan untuk menghadiri persidangan tergempar DUN sebagaimana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Selangor.

Daripada 56 kerusi DUN, Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) mempunyai 35 kerusi iaitu 14 PKR, 13 DAP, 8 PAS dan BN mempunyai 20 kerusi. Manakala seorang lagi ADUN Badrul Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang) yang keluar dari PKR menjadi ADUN Bebas telah memihak kepada BN.

Apa yang menarik di sini adalah kesungguhan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Negeri Selangor untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 itu sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mempunyai 37 kerusi yang menjadi jumlah undi yang diperlukan bagi mendapatkan undi majoriti dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehingga tahun 2010, Negeri Selangor telah mempunyai 28 orang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang telah berkhidmat bermula dengan Raja Tun Uda Raja Mohamad (1947-1949), Othman Mohamad (1949-1953), Abdul Aziz Abdul Majid (1953-1955), Engku Mohamad Engku Besar Burhanuddin (1955-1957), Abdul Jamil Rais (1957), Mohd Ismail Abd Latif (1957-1958), Taib Andak (1958-1959), Hashim Mat Deris (1959-1960), Lokman Mohd Yusof (1961-1963), Mohd Shamsuddin Yaacob (1963-1967), Tuan Megat Mahy Megat Ismail (1959-1960), Abd Gani Mod Don (1961-1963), Datuk Alwi Jantan (1972-1975), Hussain Mohd Idrus (1976), Datuk Wan Mansor Abdullah (1977-1981), Datuk Sulaiman Amin (1981-1983), Datuk Sulaiman Hashim (1983-1985), Datuk Sulaiman Osman (1985-1988), Datuk Abdul Halim Abd Rauf (1988-1991), Datuk Ahmad Zabri Ibrahim (1991-1993), Datuk Yaakub Abd. Hamid (1993-1994), Datuk Tik Mustaffa (1994-1995), Datuk Hashim Meon (1995-1999), Datuk Ambrin Buang (1999-2001), Datuk Abd Aziz Mohd Yusof (2001-2004), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa (2004), Datuk Ramlan Othman (2004-2006) dan Datuk Ramli Mahmud (2006-2010).

Isu SUK Selangor ini bermula bila Tan Sri Mohd Sidek Hassan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam satu kenyataannya mengumumkan perlantikan bahawa Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Khusrin Munawi akan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari, 2011.

Memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan pegawai utama yang akan bekerja bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Selangor, khususnya Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor maka perlantikan ini harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Pemerhati politik melihat tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) membuat pengumuman SUK Selangor yang baru ini tanpa mendapat persetujuan daripada Menteri Besar (Ketua Eksekutif) Kerajaan Negeri Selangor sendiri merupakan satu tindakan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan perlu diwujudkan dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Dalam Nota Amalan mengenai prosidur perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dinyatakan bahawa; (1) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan menghantar calon yang difikirkan layak yang difikirkan layak (gred 54 dan keatas) kepada Menteri Besar; (2) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada Sultan; (3) Setelah tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, MB akan menyerah semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Polemik perlantikan Kusyrin yang pernah menjadi Setiausaha Sulit, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohamad Taib sebagai SUK yang baru ini difahamkan belum mendapat persetujuan daripada Menteri Besar Kerajaan Negeri Selangor  walaupun SUK telah mendapatkan perkenan Sultan Selangor.

Tan Sri Khalid mendakwa haknya sebagai Menteri Besar tidak dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdahulu, Datuk Ramli Mahmud hingga kepada tarikh persaraannya pada 16hb. Disember, 2010 berhubung dengan penggantinya walaupun difahamkan Sultan telah berkenan melantik Datuk Mohamad Khusrin dalam suratnya kepada SUK pada 10hb. Disember, 2010 lagi.

Kedua-dua pihak cuba berada dipihak yang benar. Dalam kes ini Menteri Besar dan sultan Selangor berada dalam pihak yang benar.  Kelicikan pegawai tadbir Selangor memainkan peranan ‘gunting dalam lipatan’ menyebabkan Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor dimalukan dalam satu okestra politik yang disengajakan bila perlantikan SUK yang baru tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar. 

Disebabkan oleh tindakan tidak professional mantan SUK Selangor, Datuk Ramli Mahmud memaklumkan kepada Menteri Besar berhubung dengan penggantinya sebelum diumumkan oleh KSN menyebabkan pihak Sultan memaklumkan kepada Menteri Besar bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak cadangan yang dikemukakan kepadanya oleh SPA ekoran pindaan undang-undang kerajaan persekutuan pada tahun 1983 dan 1993 yang lalu.

Bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam hal perlantikan 3 pegawai kanan kerajaan iaitu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, DUN Selangor akan mengadakan pindaan kepada Undang-undang tubuh kerajaan Negeri Selangor, 1959. 

Menurut laporan Bernama hari ini (10hb Januari, 2010), kerajaan negeri sudah melantik Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan peguan Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Krisis Pelantikan Jawatan SUK Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor.

Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.

Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011

Filed under: News, , , , , ,

Teks Ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah

Berikut adalah teks titah ucapan baginda:

Pada pagi yang penuh bermakna ini, marilah kita semua bersama-sama mengangkat tangan memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmati dan dilindungi daripada apa-apa malapetaka dan musibah, supaya rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam aman makmur dan harmoni.

Pada hari ini Beta merasa amat terharu dan kesal kerana banyak titah-titah Beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat Beta di Negeri Selangor ini.

Seperti yang pernah Beta nyatakan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) semasa pada Majlis Santapan Sembah Kasih sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang ke-65 pada 5 Disember 2010 yang lalu, Beta menegaskan bahawa Beta tidak menyebelahi mana-mana pihak atau mana-mana parti politik.

Hasrat Beta adalah untuk melihat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini sentiasa dalam aman dan rakyatnya tidak kira daripada apa bangsa dan agama hidup dalam harmoni dan sentiasa tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu sama lain. Dato’ Menteri Besar Selangor sentiasa menghadap Beta sekurang-kurangnya seminggu sekali dan semasa sesi menghadap ini, Beta dan Dato’ Menteri Besar Selangor sentiasa bertukar-tukar fikiran dan saling menasihati serta berbincang untuk mendapatkan sesuatu yang baik dan elok untuk Negeri Selangor yang dikasihi ini.

Beta mahu rakyat Negeri Selangor ini makmur dan mengecap kekayaannya bersama-sama dan mendapat apa yang mereka perlukan untuk kehidupan seharian. Dalam erti kata lain, jika Negeri Selangor ini aman dan tiap-tiap pihak menjalankan tugas mereka dengan jujur, telus dan penuh komitmen, maka pembangunan dan kemajuan yang dicapai akan benar-benar dapat dikecapi oleh rakyatnya.

Justeru itu, Beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambat proses kemajuan.

Walau bagaimanapun, Beta juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya, Negeri Selangor masih berada di dalam keadaan yang aman dan makmur sehingga ini. Beta mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para penerima yang hadir pada hari ini.

Beta mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Berbahagia Dato’ Mohammed Khusrin bin Haji Munawi sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Beta ingin menegaskan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini adalah mengikut peraturan-peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

Beta tidak mahu isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor ini diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Harapan Beta yang Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik dan cemerlang.

Sumbangan dan tanggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan Negeri Selangor yang kita kasihi ini amatlah penting untuk kesejahteraan rakyat jelata yang berbilang bangsa. Beta berkenaan menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan di Negeri Selangor memberi kerjasama yang baik kepada YB Dato’ Haji Mohamed Khusrin agar segala perjalanan urusan pentadbiran negeri akan berjalan dengan lancar dan sempurna. Beta juga menitahkan supaya Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan dasar-dasar Kerajaan yang memerintah Negeri Selangor (Government of the day) mengikut undang-undang dan peraturan semasa (current rules dan regulations).

Beta mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor yang baru. Di sini ingin Beta mengingatkan bahawa Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor mempunyai peranan yang penting dalam menasihati Beta dalam masa pemerintahan Beta ini dan mereka mestilah menjalankan tugas dengan jujur, amanah serta ikhlas supaya Beta dapat menjalankan kuasa-kuasa sebagai pemerintah Negeri Selangor ini dengan adil dan saksama.

Beta sebagai seorang manusia, tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Oleh itu, Dewan di-Raja Selangor yang mulia ini haruslah memberi pandangan dan nasihat jika ada kesilapan yang Beta lakukan.

Kepada Sahibus Saadah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor yang baru, Beta berharap agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sempurna demi untuk menegakkan syiar Islam di Negeri Selangor ini serta menaikkan lagi martabat Agama Islam di Negeri Selangor.

Pada hari ini, Beta berkenaan untuk melantik tiga (3) orang Jaksa Pendamai Selangor dan Beta berharap Ahli-Ahli Jaksa Pendamai Selangor ini dapat memberi perkhidmatan mereka kepada masyarakat dan juga dapat menyatupadukan rakyat di Negeri Selangor yang berbilang kaum ini. Jagalah nama baik Jaksa Pendamai dan janganlah menyalahgunakan pelantikan mereka untuk kepentingan diri sendiri.

Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan Beta ini, Beta berkenan supaya Negeri Selangor ini akan kekal sebagai negeri yang termaju di Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain serta segala urusan pentadbiran dan operasinya akan menjadi benchmark kepada negeri-negeri sedang membangun di rantau ini. Marilah kita bersama-sama bersatu padu untuk merealisasikan harapan Beta ini.

Beta berdoa semoga kita semua akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta kekal maju dan berdaya saing di samping mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Filed under: News, , ,

Isu SUK: ‘Khas Buat Mu Sidek Hassan’

Oleh NAZRI ABDULLAH   

PUTRAJAYA, 4 Jan: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini diserahkan senaskhah buku Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai ‘hadiah istimewa’ kepada beliau.

Hadiah itu diserahkan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor beserta memo sebagai membantah perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang didakwa mereka dibuat dengan proses yang mencabul kuasa kerajaan negeri.

Mereka diiringi hampir 100 penyokong, berarak dari perkarangan Masjid Putrajaya menuju ke pajabat KSN di Kompleks Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 10.30 pagi dengan dikawal oleh lebih 50 anggota polis.

Hanya tiga dibenar pihak polis masuk membuat penyerahan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainudin dan Adun DAP Teratai, Janice Lee Ying Ha yang juga ketua DAPSY Selangor.

Pada sidang media selepas itu mereka memaklumkan hadiah dan memo tersebut berjaya diserahkan kepada pembantu peribadi kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN.

Dalam memo tersebut antara lain menggesa Mohd Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin.

Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat KSN bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

“Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini.

“Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor,” kata Khairul Anuar.

Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

“Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak.

“MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam,” gesanya.

Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu.

“Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau.
“Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut.
Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Filed under: News, , , , , , ,

Isu SUK : Nizar kata perlantikan Khusrin akan bawa masalah

Oleh AZIZ MUDA   

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan ‘mengganggu’ mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

“Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

“Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.   

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu. 

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

“Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories