Kalam Perantau

Icon

‘Istana Dr Khir Toyo’ : Khir dihadap ke mahkamah

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 6 Dis. – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat, tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni, 52.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shamsuddin turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan terhadap Shamsuddin yang juga mengaku tidak bersalah, dibuat mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan memohon agar kedua-duanya diikat jamin tidak kurang RM1 juta dengan alasan kesalahan dilakukan adalah serius dan melibatkan jumlah wang yang amat besar.

Katanya, tertuduh yang merupakan seorang wakil rakyat dan memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri sepatutnya lebih arif tentang undang-undang.

Beliau turut memohon kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini serta dibicara bersama kerana ia melibatkan transaksi yang sama.

Sementara peguam yang mewakili Mohamad Khir, M. Athimulan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan jumlah yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Beliau berhujah, jumlah jaminan hanya untuk memastikan kehadiran dan bukan menghukum selain pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh hanyalah melibatkan kes saman.

Abdul Gani bagaimanapun membalas hujah bahawa pertuduhan itu bukan lagi kes saman kerana ia merupakan satu kesalahan yang ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Ia satu kesalahan yang serius serta menarik perhatian masyarakat umum. Kedua-dua tertuduh telah diberi hak masing-masing semasa siasatan dan siasatan telah dilakukan dengan adil.

“Saya tidak menafikan jaminan untuk pastikan kehadiran dan saya tidak kaitkan jaminan dengan berat kesalahan, malah ia satu isu yang berbeza. Satu jaminan yang sesuai diperlukan bagi memberikan keyakinan kepada sistem perundangan keseluruhan,” jelasnya.

Pendakwaan turut diwakili Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Dzulkifli Ahmad; dan Timbalan Pendakwa Raya, C. Vignes Kumar.

Sementara Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam Afifuddin Mohd. Hafifi.

Azhaniz kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan secara ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan kes itu dipindah dan dibicara di Mahkamah Tinggi di sini.

Tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi akan ditentukan kemudian.

Mohamad Khir yang merupakan Menteri Besar Selangor ke-13 dan menjawat jawatan itu dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9 pagi ini.

Beliau dan Shamsuddin dibawa ke mahkamah pada pukul 11.25 pagi selepas dikatakan disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

Kes pembelian hartanah itu menarik perhatian umum serta mula disiasat SPRM ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Mohamad Khir menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman fitnah terhadap Suee Lim yang kini di peringkat pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Diterbit Siasah Online bertarikh 6hb julai 2009

Istana Dr Khir Toyo bernilai RM24 juta

SHAH ALAM : Adun DAP dari Sekincan, Ng See Lim, mendedahkan hari ini, istana umpama resort di Jalan Suasa 7/1L dekat sini adalah milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Beliau mendedahkan, istana Khir itu dibina diatas tanah seluas lebih 50,000 kaki persegi atau 1.17 ekar.

Beliau mempunyai dokumen dari Jabatan Tanah Negeri yang menunjukkan Khir membeli lot seluas 31,794 kaki persegi dengan harga RM2.9 juta manakala lot satu lagi bersais 20,427 kaki persegi dengan harga RM900,000.

Dia juga mendakwa, istana dalam pagar tinggi itu dibina dengan kos melebihi RM20 juta.

“Saya ingin mendapat penjelasan Dr Khir, yang mana adalah seorang doktor gigi sebelum menjadi MB selama lapan tahun, dari mana beliau dapat wang sebanyak sekurang-kurangnya RM24 juta itu,” kata Ng See Lim dalam kenyataannya

Advertisements

Filed under: News, , , , , , ,

Resolusi Persidangan Shah Alam : Meneruskan cita-cita Rakyat

Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat
29 November 2010, Shah Alam, Selangor

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

  • Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
  • Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai  berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
  • Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
  • Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
  • Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

  • Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
  • Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
  • Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
  • Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
  • Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri;  dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(Menteri Besar Selangor)

Lim Guan Eng
(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Kedah)

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

“Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

“Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

“Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

JANGAN PILIH KASIH : HADI AWANG

Oleh Hazayani Zakaria   

SHAH ALAM, 8 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan anak-anak muda PAS tidak memilih bulu dalam mendidik masyarakat kepada Islam.

Abdul Hadi berkata, pada zaman Rasulullah S.A.W., baginda menyampaikan Islam kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang, dan menasihatkan umatnya berbuat perkara sama.

“Kita nak tarbiyah ini bukan orang terpelajar sahaja tapi termasuk yang buta huruf, yang berjudi, yang tak pernah sembahyang kita kena tarbiyah.

“Jangan nak terbiyah yang baik-baik sahaja. Yang tak baik kita tinggalkan. Ini bukan ajaran nabi. Nabi mentarbiyah semua golongan dan mengajar sahabat-sahabat buat perkara sama,” katanya ketika berucap pada sesi dialog di majlis ramah mesra anak-anak muda Terengganu di perantauan, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, PAS telah mencipta kejayaan apabila berjaya menyatukan semua badan politik di negara ini walaupun terdapat pelbagai jemaah Islam ketika ini.

“Apa yang penting bagi PAS, kita telah berjaya menyatukan badan politik walaupun kita berbilang jemaah. Ada di negara Islam yang lain, di Indonesia sebagai contoh, terdapat 20 parti Islam, dan semua bertanding dalam pilihanraya.

“Apabila 20 parti Islam bertanding, sudah tentu suara Islam 60 hinga 70 peratus. Tetapi apabila 20 ini berpecah, hanya dapat lima peratus suara Islam.

Ini sangat merugikan. Alhamdulillah di Malaysia cuma ada satu parti Islam,” katanya yang juga Adun Rhu Rendang.

Tambahnya lagi, PAS bukan sahaja parti politik yang terlibat dalam pilihan raya tetapi sebuah gerakan yang merangumi semua aspek.

Program yang dihadiri seramai 150 anak muda kelahiran Terengganu itu memberi peluang kepada mereka untuk mendengar penerangan mengenai isu semasa yang berlaku di Terengganu.

Turut hadir, Setiausaha Aung PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Pemuda Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Filed under: News, , , , , , ,

Khalid Samad digantung, Hasan Ali hanya amaran

KUALA LUMPUR, Jan 29 — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad digantung daripada jawatannya manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pula diberikan amaran sahaja.
 
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,  Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib berkata Hasan juga diberikan amaran daripada membuat sebarang kenyataan berkatan Pakatan Rakyat ketika
mengumumkan keputusan jawatankuasa tatatertib..
 
Selain itu Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dilarang daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan parti.
 
Khalid yang merupakan anggota Lajnah Politik PAS tidak hjadir kerana berada di luar negara .

Filed under: News, , , , , ,

Hassan Ali Dukacita Spekulasi Tinggalkan PR

Persuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali melahirkan dukacita dengan spekulasi pihak tertentu yang mendakwa beliau akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Menyifatkan dakwaan itu sebahagian dari kempen fitnah, pensyarah itu berkata beliau dan gerakan Islam terbesar negara itu komited kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Jawatankuasa Displin Pas sedang menyiasat Dr Hasan dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ekoran kenyataan dari dua pemimpin itu yang dikatakan menjejaskan imej Pakatan Rakyat.

Pas telah menetapkan tarikh 7 Januari dan 9 Januari untuk menyoalsiasat Khalid manakala satu tarikh baru akan ditetapkan buat Hasan.

Pengerusi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jawatankuasa mempunyai kes yang kuat terhadap mereka.

Meskipun begitu Adun Gombak Setia ini menegaskan beliau mahu kekal dalam Pakatan Rakyat kerana gagasan kerajaan alternatif ini memerlukan wakil rakyat yang bukan dari spesis katak melompat.

Dr Hassan Ali turut mencurigai kewujudan geng pemisah yang dikatakan mahu menyerahkan memorandum kepadanya esok

Filed under: News, , , , , ,

Kenyataan Zulkifli tidak bertanggungjawab – Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad menyifatkan kenyataan terbuka oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin berhubung isu bai’ah Pas baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Zulkifli tidak sepatutnya membuat kenyatan tersebut kerana boleh disifatkan sebagai percubaan menggambarkan Pas sebuah parti yang sanggup menjatuhkan talak tiga dan mengetepikan hak-hak isteri semata-mata kerana politik.

“Sumber beliau adalah dari sumber yang langsung tidak boleh dipercayai. Saya minta Zulkifli untuk tarik balik kenyataan beliau. Bai’ah adalah hal peribadi, janji seseorang kepada tuhan dan tidak elok untuk bercakap secara terbuka.

“Saya tersilap bercakap mengenainya (pada seminar politik Pas) dan disalah-ertikan oleh sesetengah pihak. Saya bercakap mengenainya kerana banyak kenyataan dalam blog yang salah dan bermacam-macam, jadi saya cuba menjelaskannya,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen semalam.

Khamis lalu, Khalid mendakwa wujudnya amalan bai’ah di kalangan calon wakil rakyat Pas bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.

Sementara itu beliau berkata, baiah dilakukan untuk memastikan seseorang itu tidak mengkhianat kepada parti, rakyat atau isteri.

“Bai’ah ini boleh berbentuk bermacam-macam, seperti bai’ah orang-orang UMNO yang berbetuk BMW dan rumah banglo mewah, jadi kepada Pas ia berbentuk lebih spiritual,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau `tidak sebulu` dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Khalid menjelaskan ia adalah perkara biasa dalam sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Katanya, Jawatankuasa Disiplin Pusat Pas telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beberapa pemimpin Pas Selangor atas alasan mencemarkan kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) di Selangor serta kepada pemimpin Pas pusat.

“Ia bukannya persoalan antara saya ataupun beliau (Hassan), siasatan oleh jawatankuasa disiplin parti bukannya berkenaan dakwaan ini, siasatan ini berkenaan perkara yang lebih penting dari saya dan beliau.

“Perbezaan pandangan dalam Pas adalah perkara yang biasa, kami memang tidak sependapat dalam sesetengah isu tetapi jika saya berkata saya bersetuju dengan beliau dalam semua perkara, maka ia adalah pembohongan,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Tidak timbul isu bai’ah dalam Pas – Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan wujudnya sumpah bai’ah yang membawa kepada perceraian isteri sehingga menjadi polemik baru dalam kepimpinan Pas kini.

Sebaliknya Menteri Besar kelantan itu berkata, isu itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu dalam kalangan orang Islam sendiri yang dengki dengan perjuangan Pas yang mula diterima masyarakat umum.

“Sebenarnya Pas ini telah didengki oleh orang Islam sendiri, oleh sebab parti ini berkembang akhir-akhir ini. Golongan sekular ini berusaha juga dan mencari juga jalan yang boleh menggugat kedudukan Pas.

“Apa maksud bai’ah? Saya sendiri tak ingat dari mana bai’ah ini datang. Di Kelantan isu baiah ini tak timbul langsung. Itu sahaja yang boleh saya sebut. Jadi oleh sebab ia tidak tahu dari mana, macam mana saya nak komen. Dalam kepala saya tak ada bai’ah ini. Tak ada dengar khabar di dalam Kelantan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Abdul Samad sebelum ini mendakwa wujudnya syarat yang menghendaki pemimpin parti itu melafazkan bai’ah, iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri mereka jika mereka mengkhianati parti.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau sendiri tidak mengetahui perkara itu wujud di Selangor.

“Selangor boleh jadi ada. Wallahualam. Itu dia punya fasal. Saya tak terdengar di Kelantan ini benda itu (wujud). Pas Pusat saya tak ingat.

“Tetapi kita ada angkat sumpah supaya setia dan hormat (pada parti). Dalam borang pun ada. Mana ada parti yang tak ada. Parti ke, syarikat ke, kerajaan ke, semua ada ikat sumpah setia itu ada.

“Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan dan ada ijab dan kabul. Ijab dan kabul itu baiah, dah tu. Baiah untuk setia kepada Allah dengan Rasul. Tapi dengan orang lain ni tak mahu cakap lah saya. Tak mahu panjang-panjangkan benda ini (isu baiah),” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, ia adalah tindakan pihak tertentu yang tidak memberikan peluang kepada masyarakat terima gerakan Islam.

“Saya sebagai MB dan Mursyidul Am masalah Selangor, masalah individu, masalah sempit-sempit ni saya tak nak ganggu dia ada jawatankuasa disiplin dia.

“Daripada akhbar memperbesarkan barang tak ada lebih baiklah tolong memburuk-burukkan agama lain, politik lain,” katanya.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz mengakui sebelum calon Pas bertanding (dalam pilihan raya) ada angkat sumpah dan ianya terdapat dalam borang taat setia.

“Kita kahwin dengan orang pun ada ijab kabul, ijab kabul itu yang dipanggil bai’ah,” katanya.

Sumber asal : Sinar Harian

Filed under: News, , , , , , ,

Hutang di Shah Alam bayar di Bagan Pinang

“Jika pada PRU lalu masyarakat India dikatakan 70 peratus mengundi calon PAS, selepas peristiwa ini saya percaya sokongan kaum India mungkin meningkat hingga 90 peratus.

“Orang India tahu siapa di sebalik provokasi ‘sepak kepala lembu’ baru-baru ini. Hutang di Shah Alam itu akan bayar di Bagan Pinang,” kata Kumutha Raman, Ketua Wanita Kelab penyokong PAS kaum India (gambar)

Kata beliau, politik provokasi seperti itu tidak sewajarnya berlaku dalam dunia dan negara bertamadun sekarang.

“Tragedi mengarak dan menyepak kepala lembu di Shah Alam itu membuatkan kaum India sangat marah kerana menganggapnya sebagai satu penghinaan kepada agama. Saya fikir kesannya boleh mengalahkan Umno-BN pada PRK Bagan Pinang nanti. Suara Makkal Sakti akan berkumandang di sana”.

Filed under: News, , , , , , , ,

Muktamar PAS dah berakhir, ke mana PAS selepas ini?

Oleh: Mohd Suhaimi Al-Maniri

Muktamar PAS ke55 yang diadakan dalam suasana yang agak meriah berbanding dengan sebelum ini dah berakhir pada Ahad, 7hb. June, 2009. Pertama kali sejak saya menjadi pemerhati muktamar PAS, begitu ramai wartawan yang membuat liputan. Lebih 300 orang dari dalam dan luar negara berkampung mengikuti muktamar PAS. Kehadiran petugas-petugas media ini seolah-olah mereka mengadakan muktamar mereka sendiri pulak.

Bukan sahaja kehadiran mereka untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi berbagai agenda cuba dicungkil dan diprovokasi kepada pemimpin-pemimpin PAS untuk disiarkan dalam media masing-masing. Perkara yang mendapat perhatian media adalah untuk melaga-lagakan pemimpin utama PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat sama ada dari DAP ataupun PKR daripada memberikan fokus kepada agenda Islam Menerajui Perubahan yang menjadi tema kepada ucapan dasar beliau pada tahun ini. 

Ucapan Presiden PAS sejak Muktamar tahun lepas menjadi perhatian masyarakat dan terus dibincangkan. Tema PAS untuk Semua atau PAS For All telah diterima dan berjaya membukakan pintu PAS kepada semua masyarakat sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Kehadiran lebih 20,000 keahlian Kelab Penyokong PAS sebagai bukti kejayaan pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dinamik dan progresif untuk memimpin PAS.

Kehebatan Presiden PAS telah diabadikan dalam sebuah buku setebal lebih 400 mukasurat bertajuk Abdul Hadi Awang – Murabbi, Ideolouge, Pemimpin yang ditulis oleh seorang tokoh pemuda , Haji Riduan Mohamad Nor yang mengkagumi pemimpin ini dan mengikutinya dari dekat.

Dalam tulisan ini, saya tidak bercadang untuk mengulas isi kandungan apa yang telah diucapkan oleh Presiden PAS dalam memperkukuhkan politik PAS sebagai mendokong aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya tetapi melihat beberapa aspek yang diberikan perhatian oleh perwakilan dan pemimpin PAS lain dalam muktamar kali ini.

Apa yang disarankan oleh Presiden PAS mendapat sambutan dan perhatian perwakilan. Perwakilan dari Sabah dan Sarawak mengalu-alukannya dan meminta pemimpin utama PAS lebih kerap turun ke negeri-negeri berkenaan. Apatah lagi dalam keadaan Sarawak sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihanraya negeri yang dijangkakan diadakan lebih awal.

Beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak yang saya temui di Muktamar kali ini mengharapkan pemimpin PAS mempunyai strategi tertentu dalam memperkasakan PAS Sabah dan Sarawak. Apa yang saya perhatikan, selepas pilihnraya umum ke-12 yang lepas, Timbalan Presiden PAS telah ditugaskan mengetuai jentera Pilihanraya Kecil PAS bermula di Parlimen Kuala Terengganu, kemudian diikuti Parlimen Bukit Gantang.

Nampaknya dibawah kepimpinan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden telah berjaya mencapai kemenangan yang diharapkan. Saya tak pasti sama ada pilihanraya kecil Manik Urai, Kuala Krai juga mengikut formula dan kaedah yang sama. Sebagai peringatan, jika PAS tersilap percaturan, tidak mustahil pengalaman pahit PAS gagal dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir berulang lagi di Manik Urai.

Berbalik kepada perkembangan politik Sabah dan Sarawak, ada sebahagian pemerhati politik berpendapat, adalah wajar seorang pemimpin PAS dari negeri Sabah dan Sarawak dikenalpasti untuk menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik bagi meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan PAS di negeri-negeri berkenaan. Manakala jawatan Pesuruhjaya pula diserahkan kepada pemimpin berpengalaman dari Semenanjong untuk melakukan tranformasi politik.

Mungkin ada baiknya PAS mengikuti apa yang telah dilakukan oleh PKR sekarang ini dalam memastikan kedua-dua negeri berkenaan berada dalam pengaruh Pakaran Rakyat. PKR telah meletakkan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim sendiri untuk mengetuai jentera pilihanraya di negeri berkenaan.

Sementara PAS pula setidak-tidaknya menugaskan Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bagi mengetuai jentera PAS di kedua-dua berkenaan. Kejayaan PAS dikedua-dua negeri ini akan memberikan impak politik yang lebih besar kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Pemilihan Muktamar PAS  ke-55

Selain isu Sabah dan Sarawak, keluhan Dr. Lo’lo’ Mohamad Ghazali, peranan yang kecil diberikan kepada muslimat mungkin disebabkan kelemahan muslimat itu sendiri. Ketika Dewan Ulama dan Pemuda sudah lama menyelesaikan, isu kepimpinan mereka, Dewan Muslimat masih lagi tercari-cari ketua mereka. Sebelum ini, silih berganti ketua mereka digantikan dalam muktamar.

Cuma tahun ini Ketua Muslimat yang sebelumnya dikekalkan, walaupun ada cubaan untuk menggugatnya tetapi pergelutan dikatakan belum berakhir. Muslimat sepatutnya bersatu memperkasakan bahtera mereka, Dewan Muslimat supaya dihormati kawan dan lawan.

Setelah melihat keputusan pemilihan, saya merasakan perwakilan tidak terpengaruh dengan kempen-kempen yang dilakukan sebelum muktamar. Seorang kawan saya bernama hamdy, seorang penulis buku dan blog yang membuat pemerhatian terhadap keputusan pemilihan berpendapat; Faktor yang semua ketahui iaitu undi terpecah  antara Haji Mohd Sabu (261) dan Haji Husam Musa (281). Jumlah undi yang diterima kedua-dua mereka adalah 52%.  Manakala Ustaz Nasharuddin sepatutnya menerima sekurang-kurangnya  51 % undi perwakilan untuk mencapai kemenangan mutlak .

Media-media yang pro kepada Husam Musa lebih awal melakukan provokasi Husam telah menang Timbalan Presiden sebelum keputusan diumumkan. Bila keputusan diumumkan, hampir 75% perwakilan menolak Husam . Oleh itu ada kemungkinan   mereka yang menyokong Husam telah underestimate akan title ustaz yang ada pada ustaz  Nasharuddin. Ustaz Nasharuddin  telah menerima 480 undi, iaitu meningkat  30 undi lebih dari undi yang beliau  terima pada 2007.

Jika mengikut seorang pemerhati dan pengulas politik terkenal. Mohd Sayuti Omar (MSO), faktor berikut adalah faktor kekalahan Husam;
a. Gagasan politiknya;  liberalisme dan modenisasinya kontradik dengan gagasan parti  yang dibawa oleh  Presien. Gagasannya baik dan bernas tetapi silapnya beliau tergesa-gesa mahu  melaksanakan tanpa melihat kepada keupayaan dirinya.
b. Bentuk kempen yang agresif,  mendahului kaedah dan amalan sebelum ini dan bahan kempen yang  tidak dipantau  menyebabkan ia bersifat emosi dan menyimpang dari amalan PAS.
c. Menyerlah keghairahan yang tinggi untuk membuat perubahan ke atas parti. Sikap ini dianggap sebagai gelojoh dan kurang fatanah.
d. Kenyataan-kenyataan yang  bersifat ego dan terlalu profesional misalnya pertandingan itu sebagai mesej teguran kepada parti, ataupun meletakkan dirinya sebagai harapan masa depan parti sekaligus merendahkan pencapaian orang lain. Sikap sebegini tidak berapa disenangi oleh veteran Pas. 

Ketika menggulungkan muktamar PAS ke-55, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pemilihan PAS bukan untuk memancung mana-mana pemimpin. Secara peribadi, saya berpendapat, Presiden PAS perlu melantik Haji Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu menganggotai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dibawah ehsan Presiden PAS melalui kouta lantikan tambahan yang diberikan kepada beliau.

Walaubagaimanapun tradisi melantik calon lain yang telah bertanding diperingkat AJK yang kalah sama ada muslimin dan muslimat untuk mengambil hati dan sebagainya tidak perlu dipraktikkan kalau kehadiran mereka boleh digantikan oleh orang lain dalam membantu memperkasakan pengaruh PAS.

PAS sepatutnya fokus kepada kehadiran tokoh-tokoh baru dan muda yang akan menjadi pemimpin masa depan PAS seperti Nik Abduh Nik Mat, anak Mursyidul Am yang memenangi undi kedua tertinggi dalam pemilihan Pemuda PAS. Kehadiran Nik Abduh dalam jawatankuasa PAS Pusat mungkin boleh menjadi penghubung antara kedua-dua pemimpin utama PAS yang dilihat sering bercanggah pendapat di media.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar Siasah bil 0153 (14-20 jun, 2009) 

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories