Kalam Perantau

Icon

Betulkah Melayu sukar berubah?

Oleh Ustaz Idris Ahmad

BETULKAH orang Melayu sukar berubah, apakah orang Melayu tidak boleh berubah. Jawapannya Insyaallah Melayu boleh berubah. Tidak ada perkara yang mustahil atas dunia ini untuk berubah cuma ia mesti bertepatan dengan sebab dan musabbab.

Firman Allah SWT bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah suatu kaum itu sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri”.

 Teruk sangatkah Melayu sehingga tergamak orang berkata demikian. Kayu ukur mereka yang berpandangan demikian ialah apabila melihat siri keputusan pilihanraya kecil di Galas, Tenang, Merlimau dan Kedau yang masih menyebalahi BN walaupun terdapat lambakan isu yang tidak menyebelahi BN, namun rakyat tetap memilih BN. Maka mereka merumuskan Melayu sukar untuk berubah.

InsyaAllah Melayu boleh berubah dengan ilmu pengetahuan dan agama. Selagi Melayu berjaya dibutakan maklumat oleh BN melalui media arus perdana seperti Televisyen maka selagi itulah mereka akan digula-gulakan oleh kerajaan BN. Menyedari hakikat ini kerajaan BN akan menggunakan sebaik mungkin tanpa belas kasihan kepada parti lawan.

Dengan skil yang terlatih di kalangan pakar media di media elektronik maka ia berjaya mengelirukan orang Melayu, terutamanya yang berkiblat dengan televisyen. Tetapi dengan pengetahuan semuanya akan berubah.

Benarlah Allah SWT yang menurunkan ayat pertama di dalam Surah al-Alaq dengan arahan” bacalah” membawa erti, bahawa tamaddun suatu umat akan berjaya apabila masyarakat yang mempunyai pengetahuan.

Ramai di kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sekarang berasal daripada keluarga Umno telah bertukar kem untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana mereka dianugerahkan Allah ilmu pengetahuan samaada ke berada di menara gading atau mereka akses maklumat daripada media baru.

Ketika itu mereka akan meninggalkan perahu bocor yang dinaiki oleh ibu bapa dan datuk nenek mereka selama ini. Manamana pemimpin diktator ia mesti menutup maklumat supaya tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

Sebab itu orang Melayu yang terdedah dengan maklumat yang bebas mereka boleh membuat pertimbangan yang waras untuk mencorak kepimpinan negara. Mereka tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang tidak amanah, perasuah, pecah amanah.
Mereka ini ialah melayu yang rasional dan waras.

Kedua ialah faktor memahami ajaran Islam yang syumul, akan menjadi perkara pokok yang boleh menjadi faktor untuk islahkan masyarakat Melayu. Mereka yang memahami agama akan merasa bersalah menyokong parti yang penuh dengan rasuah, umno maka ia cepat-cepat dipancong.

Ketika Umno berkuasa di Selangor sebelum PRU 2008, Para ustaz diburu kerana penyampaian agama mereka yang dianggap boleh membunuh virus sekular yang bersarang di dalam otak orang Melayu. Masyarakat tidak akan lupa tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) yang hendak menangkap Dato’ Dr Haron Din, Dato’ Ishak Baharom, Dato’ Ismail Kamus semuanya gara-gara takut orang Melayu me mahami Islam yang sebenar.

Maka apabila majlis ilmu tidak hidup di masjid dan surau maka kekuatan Umno begitu bertenaga, Sekiranya tempat itu subur dengan pengajian ilmu seperti pondok maka ia akan menjadi kubu kuat PAS.Oleh itu institusi pondok adalah pengkalan PAS yang paling teguh. Kerana kebanyakan Tok Guru pondok adalah penyokong tegar PAS, walaupun pondok mereka tidak di atas nama PAS.

Contohnya Pondok PASir Tumbuh di Parlimen Kubang Kerian, Pondok Pak Nik Lah dan Madrasah Darul Anuar Pulau Melaka di Pengkalan Chepa. Di Pasir Emas ada Pondok Tok Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, Pondok Tuan Guru Haji Zakaria. Di Kedah ada Pondok Pak Ya di Padang Lumat, Pondok Pak Man Bukit Besar, Pondok Tuan Guru Haji Awang Lanai Baling dan banyak lagi pondok yang menjadi kubu PAS.

Umno begitu cemburu dengan kuliah agama maka mereka berusaha menyekat kuliah dan memecat ahli jawatankuasa masjid dengan diganti mereka yang bukan ahli masjid. Pada mereka biar masjid mati tidak mengapa asalkan orang Melayu tidak memahami Islam yang syumul.

Usaha pencerahan maklumat perlu di kalangan orang melayu jika mahu mereka berubah. Selagi mereka cetek agama. maka selagi itulah mereka akan tidak tahu membezakan antara hak dengan yang batil. Melayu cerdik apabila ada agama, melayu akan hina apabila jauh daripada pegangan agama.

Benarlah kata-kata Saidina Umar “Kami kaum dimuliakan dengan Islam, jika kami mencari lain daripada Islam maka kami akan dihina oleh Allah”. Hari ini orang Arab dihina kerana mereka tidak menghayati Islam sehingga mereka takut kepada Israel walaupun mereka mempunyai hasil minyak yang banyak untuk dijadikan senjata untuk melumpuhkan ekonomi Israel dan sekutunya.

Ustaz Idris Ahmad merupakan Ketua Penerangan PAS

Advertisements

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Surau Al-Hidayah Rawang : Demonstrasi hanya provokasi

BANDAR BARU SELAYANG – Demonstrasi bantahan terhadap Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu Pekan Rawang yang dikatakan bakal dirobohkan hanyalah provokasi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata, tujuan demonstrasi pihak tertentu berhubung surau itu, hanya mencari populariti murahan bagi menghasut rakyat membenci dan keliru, kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak prihatin isu agama Islam.

“Rakyat kini semakin cerdik menilai. Pihak berkenaan hanya mahu membuat provokasi dengan menguar-uarkan kepada penduduk Rawang, seolah-olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di Pekan Rawang jatuh ke tangan syarikat swasta.

“Kita bukan sekadar mempertahankan tanah, tetapi lebih daripada itu kesucian Islam,” katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Permuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang berkata, pihaknya menyokong kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan pelan pembangunan tapak seperti dituduh.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mereka menghadiri demonstrasi yang majoritinya terdiri pimpinan tertentu termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sarkom, yang penglibatannya disifatkan tidak wajar.

Katanya, kenyataan semasa demonstrasi menghentam Kerajaan Negeri itu tidak berasas dan memakan diri kerana kini, daripada rakyat tidak tahu menahu, ia sebenarnya memecahkan tembelang pihak terlibat.

“Tanah terlibat dalam projek pembangunan itu sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat yang akan menjalankan projek bersama sebuah syarikat swasta. Rekod menunjukkan syarikat yang dimaksudkan bukan lagi anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

“Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja kita sentuh, tetapi ada beberapa perkara lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang dan Pas Selayang akan cuba membongkar isu berkaitan,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman Rawang untuk pembinaan jalan oleh syarikat swasta sama.

Menurutnya, ini termasuk tanah surau dan rizab kubur di Rawang yang sudah digazetkan telah bertukar status, di mana ia dikatakan berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Negeri lalu.

“Mungkin tidak ramai tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk kronologi surau itu. Oleh itu pihak kami meminta rakyat dan penduduk sekitar Rawang tidak mudah percaya kenyataan dikeluarkan pihak tertentu.

“Mereka yang mahukan maklumat lanjut boleh merujuk Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai penaung semua surau di dalam pentadbirannya,” katanya.

Mohamad juga menggesa penilaian rakyat sebaiknya kerana sepanjang PR memerintah tidak pernah berlaku lagi perobohan masjid dan surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. Katanya, masjid dan surau kini juga sentiasa diimarahkan oleh rakyat, berbeza berbanding masa pemerintahan sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, pihaknya menyokong Kerajaan Negeri agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu Surau Al-Hidayah.

“Siasatan ini termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai di tapak surau itu dan bayaran yang disalurkan ke tabung surau.

“Insya-Allah kami akan sentiasa memberi kerjasama bersama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam demonstrasi 19 Disember lalu, Penasihat Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan tapak surau yang juga rizab masjid terbabit didakwa dipecahkan kepada lapan lot, manakala lima daripadanya dikatakan sudah ada pembeli.

Filed under: News, , , ,

Kenapa takutkan bukan Islam dengan rumah Allah? – kemaskini

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Ramadhan Al-Mubarak dah hampir kepenghujungnya. Bulan yang penuh degan keberkatan ini sepatutnya diperbanyakkan dengan amal ibadat dan dakwah menyeru orang Islam dan bukan Islam mengenali ajaran Islam dengan lebih dekat lagi.

Tetapi ramadhan tahun ini dicemari dengan propaganda yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menakutkan bukan Islam untuk menghampiri rumah Allah, samaada masjid ataupun surau.Lebih mendukacitakan lagi, bila seorang mufti menambahkan lagi ketakutan bukan Islam kepada Islam dengan kenyataan yang tidak sesuai dengan semangat ramadhan. 

Secara tersirat mufti berkenaan cuba memperlekehkan PAS dalam melalui dakwah dan politik yang diperlopori oleh PAS. Tetapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin jelas tidak bersependapat dengan mufti berkenaan.

Perkara pemimpin bukan Islam hadir di masjid atau surau bukan sesuatu yang baru. Tetapi ianya mungkin baru berlaku di Selangor. Di Kelantan dan Terengganu, ADUN MCA dah lama ziarah dan berucap di surau dan masjid di kawasan yang mereka wakili. Kalau tak percaya media boleh tanya, Datuk Foo Chong Yoong (bekas ADUN Padang Garong, Kelantan) dan Datuk Tok Teng Sai (bekas ADUN Bandar, Terengganu).      

Tak semena-mena nama Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Chin (DAP) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong (PKR) menjadi kontroversi di media kerana mereka hadir memberikan bantuan kerajaan negeri kepada surau dan masjid di kawasan mereka.

Sebelum itu kecoh berhubung dengan khutbah jumaat di Pulau Pinang mendoakan supaya pemerintahan Lim Guan Eng, Ketua menteri Pulau Pinang yang menjadikan khalifah Umar Abdul Aziz sebagai ikutannya diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Perkara yang  dilakukan secara terpencil ini bukan dengan arahan pihak berkuasa Pulau Pinang atau Selangor  telah dijadikan isu oleh UMNO kedua-dua negeri berkenaan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu dan menjauhkan bukan Melayu dengan agama Islam. 

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumah Kelantan pada 30hb. Ogos,  bagi mendapatkan pandangan mursyidul am PAS itu berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu 

Menurut Harakahdaily, selepas pertemuan itu, Nie Ching berkata, beliau gembira dapat bertemu dan mendapat pandangan mursyidul am PAS itu. 

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno. 

“Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid. Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi,” katanya menjelaskan isi pertemuan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah: 

  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta’abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam. 
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid. 
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza

Nasihat Presiden PAS

Ekoran beberapa insiden yang menjadi polemik antara bukan Islam dan Islam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.
 
Presiden PAS juga mengingatkan supaya jangan bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu.
 
Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri.

 Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

BUKAN MUSLIM, MASJID DAN MAINAN POLITIK

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
 
Saya amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya. Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam.
 
Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis. Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak. Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar. Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!
 
Tambah Keliru

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan. Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas.
 
Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan. Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!
 
Masuk Masjid
 
Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:

Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.  Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.
Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.
Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi.

Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Uthal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam. Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya.

Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

“Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut:

“Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Uthal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam.

Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

Luaskan Fungsi Masjid
 
Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam. Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan non-muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan. Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?!

Filed under: News, , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories